‘Saya kasihan pada anak perempuan saya yang berumur 11 tahun sebab dia memang rapat dengan suami. Dia selalu murung. Bila abah dia datang barulah dia ceria dan bersemangat. Saya pun risau apa pula kata jiran setempat bila bekas suami kerap dating ke rumah. Memandangkan keadaan anak-anak, suami buat keputusan nak rujuk semula walau apa cara sekali pun sampai mencarikan jodoh untuk saya.’ Petikan ini adalah sebahagian daripada sms yang saya terima pada hujung Februari yang lalu. Seperti yang pernah saya jelaskan, saya memohon maaf kerana tidak mampu untuk melayan sms, emel atau panggilan lagi kerana luang masa yang terhad dan jadual kerja yang padat. Namun, saya akan berusaha membantu sekadar terdaya dan jika kes anda adalah kes yang saya boleh kategorikan sebagai kes yang perlukan jawapan segera, saya akan cuba memberikan ‘respons’ dalam tempoh yang agak segera, insyaAllah.
Kembali kepada sms di atas. Sebenarnya ada beberapa sms lagi yang menceritakan mengenai kegawatan dan kerisauan yang sama, mengenai emosi anak-anak yang tercalar dan tidak terkawal selepas berlakunya perceraian antara ibu dan bapa mereka. Sungguh, emosi tidak terkawal ini bukanlah perkara luar biasa sebaliknya adalah perkara biasa berlaku terutama bila anak-anak yang terpaksa menghadapi kemelut perpisahan ibu bapa berusia di bawah umur. Malahan, ada juga anak-anak di usia remaja yang turut merasai kesan gangguan emosi akibat perceraian.
Hakikatnya, perpisahan memang memberi kesan kepada emosi anak-anak. Anak-anak akan berasa kesunyian tambahan pula bila anak-anak hanya rapat dengan satu pihak dan selepas perceraian, si anak tidak dapat bersama seperti kebiasaannya dengan pihak tersebut, sama seperti kes di atas. Ada juga kes anak-anak yang merasakan merekalah punca kepada perceraian yang berlaku. Seperti yang jelaskan pada minggu lepas, setiap anak inginkan ibu bapanya tetap tinggal bersama walau apa juga keadaan yang berlaku kecuali anak-anak menghayati kes yang menyebabkan berlakunya perceraian seperti gangguan fizikal. Dalam kes si ibu didera atau dipukul, ada anak-anak yang meminta ibunya bercerai dengan si ayah.
Dalam kes perceraian yang anak-anak tidak tahu apakah puncanya dan tidak dapat menerima hakikat perceraian yang berlaku dan dalam masa yang sama perceraian merupakan jalan terbaik untuk kedua ibu bapa serta untuk kebajikan anak-anak juga, maka emosi anak-anak yang tercalar ini perlu dirawat. Langkah pertama ialah dengan menceritakan mengenai keputusan yang telah diambil iaitu perceraian. Apabila anda dan pasangan anda telah sepakat mengambil keputusan untuk bercerai, beritahu anak-anak anda mengenai keputusan tersebut. Paling penting, beritahu mereka bahawa anda dan pasangan anda tidak boleh tinggal bersama lagi tetapi si anak tetap anak anda berdua dan anda serta pasangan anda TETAP MENJADI IBU DAN AYAH KEPADA ANAK ANDA. Jika si anak menyoal, kenapa? Anda tidak perlu menceritakan segalanya, cukup sekadar mengulangi bahawa anda dan pasangan anda tidak boleh tinggal bersama lagi.
Jangan sesekali mengatakan, urusan anda adalah urusan orang dewasa dan anak akan tahu bila mereka dewasa. Jawapan sedemikian akan memberikan bebanan tambahan kepada emosi mereka. Tekankan bahawa si anak akan tetap disayangi dan diberi perhatian. Bezanya, si anak tidak boleh tinggal bersama si ibu atau si ayah serentak pada masa yang sama. Jelaskan juga walaupun si anak tidak tinggal dengan anda (jika bukan anda dipilih sebagai penjaga dan hanya mempunyai hak lawatan atau tinggal bersama sekali sekala), anda akan tetap mengambil berat mengenai kebajikan si anak.
Sungguh, si anak memang takkan dapat menerima segala penjelasan tersebut secara terus. Sebaliknya si anak akan mula memikirkan kenapa semua yang baru didengarnya itu boleh berlaku? Bukan tanggungjawab anda untuk memaksa si anak menerima keputusan tersebut. Tanggungjawab anda adalah berulang kali memperingatkan si anak mengenai keputusan dan kesan daripada keputusan tersebut. Tanggungjawab anda juga adalah untuk menunaikan segala yang telah anda janjikan dengan si anak. INGAT!!! Walaupun hubungan anda dengan pasangan anda telah berakhir tetapi sebagai seorang ibu dan ayah, setiap daripada anda mempunyai peranan dan tanggungjawab yang sama hingga ke akhir hayat. Seringkali kita dengar kata-kata pasangan yang baru bercerai:”Kami akan tetap berkawan demi kebaikan dan kebajikan anak-anak!” Ingin saya tegaskan bahawa kata-kata seperti ini bukan sekadar mainan lisan tetapi satu tanggungjawab yang perlu dilaksana dan ditunaikan.
Satu perkara yang perlu disimpan kemas di lipatan fikiran, sejahat mana pun pasangan anda atau sebenci mana pun anda kepada pasangan anda, JANGAN MEMBURUKKAN PASANGAN ANDA DI HADAPAN ANAK ANDA. Biarlah si anak dewasa dalam keadaan tetap menghormati pasangan anda kecualilah sikap pasangan anda memang dapat dihidu oleh si anak. Dalam keadaan seperti ini, cukuplah si anak mempunyai pendapatnya sendiri, jangan sesekali mencurahkan minyak ke dalam api. Anda mempunyai tanggungjawab untuk menyuruh anak anda agar tetap menghormati ibu atau ayah yang ‘buruk’ perangainya itu kepada tanggungjawab anak-anak adalah untuk tetap menghormati ibu bapa.
Kepada pengirim sms di atas, cubalah atasi masalah emosi anak anda. Bertindak ‘cina buta’ bukanlah saranan agama. Lantaran kepada semua pasangan ibu bapa, berfikirlah dengan sebaiknya dan pertimbangkan segalanya, bukan saja kebajikan anda tetapi kebajikan anak-anak anda, sebelum keputusan perceraian dibuat. Mohonlah petunjuk daripada-Nya agar keputusan anda bukanlah dari emosi dan nafsu diri semata kerana anak-anak tetap darah daging anda dan pasangan anda. Tetap menjadi cahayamata anda. Utamakanlah kebajikannya.
****Siaran Mei 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan