Isnin baru ni, debar di hati saya kencang ketika menunggu untuk berjumpa doktor bagi pemeriksaan kandungan yang hampir berusia lapan bulan. Namun, debar di hati bukan kerana memikirkan perjumpaan dengan doktor sebaliknya kerana memikirkan bahawa pada saat yang sama, adik saya (Suraini atau saya panggil Angah) bakal melahirkan anaknya yang ketiga. Sungguh-sungguh saya bermohon kepada Allah agar kali ini, adik saya itu dianugerahkan dengan anak perempuan kerana itulah hasratnya setelah dua anaknya sebelum ini adalah lelaki. Memandangkan kedua-dua anaknya sebelum ini lahir melalui pembedahan, begitu juga kali ketiga ini, saya bermohon agar Allah menunaikan hasrat adik saya itu, lantaran kasihan. Saya tak pasti pendapat orang lain namun bagi saya, walaupun bersalin melalui pembedahan, sakitnya tak seteruk sakit bersalin secara biasa namun penjagaan selepasnya itu yang membuatkan saya berpendapat, lebih baiklah bersalin secara normal, jika terpaksa, tak boleh nak kata apa lagi lah kan, rezeki masing-masing.
Tak lama selepas tiba di pejabat, saya menerima sms daripada Bapa memberitahu Angah dah selamat, dapat anak lelaki. Tergenang air jernih di mata saya, bersyukur dan sedikit sedih juga sebenarnya mengenangkan hasrat adik saya sejak kelahiran anak kedua, masih belum dipenuhi oleh Yang Maha Esa. Memikirkan keadaan Angah yang masih perlukan rehat, saya segera mengirimkan sms kepadanya: Salam. Along dah dapat berita daripada Bapa. Tahniah ya! Tak pe lah anak lelaki juga pun. Setiap anak tu adalah amanah daripada Allah. Jaga diri elok-elok ya! Sejak detik itu juga, saya sentiasa memohon kepada Allah agar dibukakan pintu hati adik saya untuk menerima anak lelaki ketiganya kali ini dengan berlapang dada. Semalam, saya hubungi Angah, alhamdulillah, dia ceria dan saya yakin, dia menerima ketentuan Ilahi dengan tenang.
Mungkin ada yang pelik, kenapa sampai begitu sekali tahap kerisauan saya? Bukan tidak percayakan adik sendiri tetapi bimbang kes-kes yang pernah saya kendalikan menimpa batang hidung sendiri. Ya lah, cubit paha kanan, paha kiri akan terasa juga kan? Sebenarnya, terdapat beberapa kes berkaitan yang pernah saya kendalikan sebelum ini. Antaranya, seorang ibu yang ditakdirkan menerima tiga anak perempuan berturutan. Kali ketiga kelahiran, si ibu berterus terang, tak reti nak rasa apa, suka atau benci. Kesannya, anak ketiganya itu dipinggirkan, nauzubillah. Jangan pelik kerana setiap wanita dan ibu juga adalah manusia biasa yang dikurniakan dengan akal dan juga emosi. Apabila emosi gagal dikawal oleh akal yang waras, keadaan sedemikian memang akan berlaku.
Lantaran itu, insan sekeliling perlu memainkan peranan untuk sentiasa menyedarkan si ibu, mungkin juga si bapa. Setiap individu perlu ingat dan tanamkan di dalam fikiran bahawa setiap anak yang dilahirkan ke dunia ini adalah anugerah dan amanah daripada Allah. Sama ada anda mengharapkannya atau tidak, tanggungjawab anda adalah sama: sebagai ibu dan bapa, anda perlu menjaga, mendidik dan mengasuh si anak menjadi seorang insan. Bukan sekadar dengan memberi makan minum sebaliknya anda wajib memberikan sepenuh perhatian, belaian dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Lagipun, tiada bezanya antara anak lelaki atau anak perempuan. Walau apa juga jantinanya, si anak tetap anak anda, anugerah dan amanah daripada Yang Maha Esa.
Si anak tak pernah minta dilahirkan ke dunia ini sebaliknya anda, sebagai ibu dan bapa, yang bertanggungjawab mengenalkan si anak dengan kehidupan dunia. Lantas, setelah anda lahirkannya ke dunia, kenapa dia dibiarkan tanpa perhatian dan kasih sayang? Anak anda tidak sama dengan anak sesetengah binatang yang mampu hidup berdikari di awal usia sebulan. Anak anda akan tetap memerlukan anda di sepanjang hayatnya hatta setelah si anak mempunyai anak sendiri.
Saya faham, ada ibu bapa yang mengharapkan akan menerima anak lelaki setelah dikurniakan anak perempuan, begitulah juga sebaliknya. Saya juga mengharapkan dan mendoakan yang sama semasa mengandungkan anak kedua, memohon kepada Allah agar dikurniakan dengan anak lelaki pula setelah dianugerahkan anak perempuan pada kelahiran pertama. Alhamdulillah, permintaan saya dimakbulkan. Tak salah anda mengharap dan memohon kepada Allah tetapi anda wajib menerima apa juga keputusan dan ketentuan-Nya kerana setiap ketentuan-Nya itu bukanlah sia-sia, pasti ada hikmahnya. Saya juga tidak terlepas daripada pasrah menerima takdir-Nya. Kandungan saya kali ini, bukanlah saya harapkan. Sebaik sahaja menerima keputusan, memang sah saya mengandung lagi, sungguh saya terkejut namun saya tanamkan di dalam fikiran, ini adalah anak saya dan saya akan menerimanya.
Kenapa? Kerana saya cuba memahami bagaimana perasaan ibu atau wanita yang tidak berpeluang menimang cahayamata. Sudah pasti mereka amat mengharap, sedangkan saya dan anda di luar sana yang berpeluang menimang cahayamata, tak kira apa juga jantinanya, sewajarnyalah kita semua bersyukur dengan kehendak-Nya. Semoga kita semua mampu memberikan yang terbaik untuk kebajikan anak-anak kita, amin!!!
****Siaran Ogos 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan