“Saya berasa musykil dengan talak yang dilafaz suami, untuk makluman puan kami baru bernikah di sempadan berwalikan ayah saya 5 bulan yang lalu dan saya merupakan isterinya yang ke-2. Dr awal pernikahan kami memang menghadapi masalah rumahtangga yang datang dari madu saya, tapi sebelum bernikah memang suami menjanjikan yang dia akan tangani segala masalah tapi selepas bernikah lain jadinya, ternyata suami sendiri tak mampu menegur dan mengawal sikap isterinya dari memaki hamun dan menyerang saya. Baru-baru ni akibat dari pertengkaran saya jadi tak tahan dengan kehidupan sekarang, mana tidak nya hingga saya hampir kehilangan karier saya akibat dari masalah rumahtangga yang saya hadapi.
Dalam keadaan bertengkar masih jelas di ingatan sambil menampar pipi kanan saya sambil kata "abang ceraikan ayang sekarang" dan sekali lagi masa dia mengambil barang dalam kereta dia kata "nak sangat minta cerai sekarang abang lepas ayang" saya yang tergamam dan terkejut hanya berdiam diri. kemudian tak sampai sejam suami datang memeluk saya dan mengatakan yang dia langsung tak dak niat di hati nak ceraikan saya, katanya dia dalam keadaan marah...dia mengucap mangatakan minta saya lupakan semua ni katanya dia benar benar jadi lupa dan tak ada sebarang niat untuk ceraikan saya, saya merasa ragu-ragu dengan status hubungan kami.....”
Ini adalah petikan emel yang baru saya terima hari ini. Sebenarnya emel ini adalah antara puluhan emel yang menanyakan mengenai hal yang sama. Saya akui agak lambat memberi respons mengenai isu ini kerana saya berpendapat, maklumat yang berkaitan dengan isu ini telah banyak dibincangkan dan mampu diperolehi daripada pelbagai sumber. Malahan, bagi setiap pasangan yang bakal berkahwin, maklumat yang berkaitan dengan isu ini telah dibincangkan dan dihuraikan dengan panjang lebar. Namun, pengalaman saya berdepan dengan mereka yang mendepani isu-isu berkaitan talak dan perceraian ini, kebanyakannya enggan mengetahui dan tidak ambil peduli tentang maklumat seperti ini. Ya lah, seperti yang selalu saya tegaskan, tiada individu (kecuali satu kes yang pernah saya jelaskan dulu) yang inginkan perceraian berlaku di dalam perkahwinannya. Malah, ada yang beranggapan, mengambil tahu mengenai isu talak dan perceraian seolah-olah akan menerima badi, pasti akan berlaku di dalam hidupnya satu hari nanti jika maklumat tersebut diketahui. Entah camanalah prinsip sedemikian boleh timbul sedangkan ramai ulama, ustaz ustazah dan mereka yang lain yang tahu dan arif mengenai isu talak dan perceraian masih hidup bahagia dengan perkahwinan mereka.
Kembali kepada kes yang diutarakan. Jika dilihat kepada situasi pertama, suami secara terang dan jelas melafazkan bahawa dia menceraikan si isteri. Bagi kes-kes sebegini, sama ada si suami berniat atau tidak, sama ada suami sedar atau dalam keadaan marah, talak adalah dikira jatuh kerana suami melafazkan perkataan cerai: satu perkataan yang secara jelas memberi maksud talak. Sebaliknya jika berada di dalam situasi kedua iaitu suami melafazkan perkataan ’melepaskan’, lafaz ini dikira sebagai lafaz kinayah iaitu lafaz yang tidak jelas dan tika inilah, niat suami melafazkan perkataan tersebut diambil kira. Jika suami niatkan perkataan ’lepas’ itu dengan maksud cerai, talak dikira jatuh. Jika tidak, hubungan perkahwinan masih dikira ada.
Lafaz-lafaz lain yang selalunya disebut oleh suami yang boleh dikirakan sebagai lafaz kinayah ialah ’pergilah kau balik ke rumah mak bapa kau’, ’keluar kau dari rumah ini’, ’lebih baik kita berpisah sahaja’ dan beberapa perkataan lagi. Jika anda sebagai isteri berdepan dengan situasi sebegini, segeralah laporkan ke unit nikah, cerai dan rujuk di pejabat agama yang berdekatan dengan tempat anda. Jangan sibuk-sibuk memaksa suami menjelaskan niatnya, lebih banyak buruk daripada baiknya. Biarlah pihak berkuasa yang menentukan niat di sebalik perkataan yang disebut oleh suami anda. Jika suami menggunakan lafaz jelas seperti perkataan cerai atau talak, sama ada suami menyebutnya atau menulisnya atau mengirimkan sms atau emel kepada anda, segeralah juga laporkan kepada pihak berkuasa.
Andai tidak lama selepas lafaz soreh (jelas) tersebut diucapkan dan suami kembali ke pangkuan anda, anda TETAP PERLU MEMBUAT ADUAN bagi memudahkan diri anda sendiri di belakang hari. Walaupun secara jelas, jika anda kembali bersama suami, anda dan suami boleh dikategorikan sebagai telah rujuk menurut hukum syarak tetapi aduan tetap perlu untuk mengira jumlah talak yang pasti. Namun, jika suami secara jelas menyebut perkataan cerai dengan talak tiga, jangan ambil mudah walaupun suami kembali ke pangkuan anda kerana antara anda dan suami dikira telah berlaku talak bain kubra iaitu talak yang tidak boleh dirujuk. Hubungan antara anda dan suami telah tamat dan jika berlaku percampuran, ianya adalah haram.
Lantaran itulah, jangan terlalu mudah bermain dengan perkataan cerai atau talak. Walau dalam apa juga keadaan dan situasi yang berlaku antara anda dan pasangan anda, sentiasalah tenangkan diri dan kawal emosi anda, jangan sampai kewarasan fikiran anda hilang. Perkahwinan dan perceraian bukanlah satu perkara cubaan atau mainan. Perkahwinan dan perceraian bolehlah diumpamakan sebagai api. Kita perlukan perkahwinan tetapi jika gagal dijaga, perkahwinan akan merosakkan kehidupan anda. Begitu juga dengan perceraian, ada tikanya perceraian itu perlu tetapi jika tersalah membuat kiraan, perceraian boleh memakan diri anda sekeluarga. Pertimbangkanlah segalanya dengan akal yang waras, bukan hanya mengikut emosi sendiri.
****Siaran Ogos 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan