Awal Januari yang lalu, saya telah bincangkan mengenai persoalan: salahkah menyintai suami orang? Terus terang, perbincangan tersebut menyebabkan saya menerima pelbagai emel dan sms yang boleh dikatakan 70% daripadanya adalah memarahi, mencaci maki malah ada satu sms yang mengkafirkan saya dengan alasan, saya telah menolak kehendak syariat. Respons pelbagai itu berlanjutan hingga masuk ke bulan Jun walau hakikatnya, perbincangan di awal Januari itu mempunyai sambungannya dengan satu perbincangan tambahan bertajuk: isteri sanggup dimadukan jika...
Terus terang, ada antara sms tersebut yang membuatkan saya panas hati. Siapa tak panas hati kalau menerima kata-kata caci maki yang melampau-lampau malah sampai sanggup mengkafirkan saya? Namun, alhamdulillah saya berjaya mengawal kemarahan saya. Caranya, semua sms tersebut saya biarkan tanpa balasan: terima, buka, baca kemudian abaikan. Bila dibaca semula beberapa hari kemudian, saya akan tergelak sendiri. Inilah manusia, pantang ditegur pasti akan terus melatah. Apatah lagi jika meyakini perbuatan mereka benar, maksud ayat al-Quran pun sanggup dimanipulasi, ambil yang kena dengan kehendak diri sahaja, yang lain-lain dipinggirkan ke tepi. Saya tahu dan faham sangat dengan maksud ayat yang mengharuskan poligami: Kahwinlah kamu dua, tiga atau empat.
Malangnya, ramai antara kaum lelaki malah kaum wanita yang terlibat di dalam isu poligami ini terlupa dengan sambungan ayat tersebut: ”Tetapi jika kamu tidak mampu berlaku adil, memadailah dengan satu!” Mungkin terlupa atau sengaja melupakannya. Atau mungkin betul kata sesetengah orang, tak habis belajar. Belajar sekadar yang kena dengan kehendak diri sendiri sahaja. Apa yang dirasakan tak perlu, buat tak tau atau buat tidak peduli sedangkan isu ketidak adilan inilah yang menjadi permasalahan di dalam poligami. Ada antara sms tersebut menyatakan: lebih baik menerima cinta suami orang yang memang akan tau kita sedang menjejak masalah kerana kita boleh bersedia berbanding menerima cinta lelaki bujang yang diharapkan takkan membawa masalah tetapi akhirnya turut memberikan derita dan sengsara. Betullah kata pepatah, banyak udang banyaklah garamnya, ramai orang bermacam-macam juga perangai dan prinsip hidupnya.
Jika itulah prinsip hidup anda, kenapa mengeluh dan mengadu apabila diri ditimpa masalah? Apakah persediaan yang boleh anda lakukan untuk menghadapi ranjau dan onak di dalam kehidupan poligami sedangkan anda tidak tau apa yang bakal anda lalui? Memperkemaskan diri dengan pelbagai kata-kata motivasi atau berjumpa pawang dan bomoh untuk menundukkan suami? Jika itulah persediaan anda, terus terang saya katakan, anda belum bersedia sebaliknya anda menempa masalah sendiri. Inilah yang dikatakan orang, tak ada beban batu digalas, tak ada penyakit mencari sakit. Jangan salah faham, terus terang saya bukanlah anti poligami. Saya masih ada iman dan tau yang mana baik dan yang mana buruk. Malah dua sahabat baik saya adalah isteri kedua kepada seorang suami. Saya masih berhubungan dengan mereka dan merekalah contoh kes yang saya utarakan di dalam isu isteri sanggup dimadukan jika...
Saya juga tak menghina anda yang berpoligami cuma saya membenci pelaksana poligami yang membuat hukum sendiri. Tak kiralah lelaki atau perempuan, kedua-duanya sama sahaja. Jika anda suami dan anda gagal berperanan sewajarnya sebagai seorang suami kepada isteri-isteri anda, anda memang layak dimarahi kerana anda bersikap dayus. Jika anda perempuan, antara isteri yang dimadukan suami tetapi anda gagal untuk berkongsi sedangkan anda merelakan perkongsian sejak awal, anda berada di kedudukan yang lebih rendah berbanding suami. Kenapa? Seperti yang selalu saya tegaskan, keadilan suami di dalam poligami adalah bergantung kepada kesediaan para isteri. Jika anda isteri pertama yang terpaksa menerima poligami, saya akui memang sukar namun demi kasih kepada suami, relakanlah kerana ketidak relaan anda mampu membawa suami ke jalan yang tidak diredhai-Nya. Jangan sesekali mengongkong suami kerana suami anda sudah mempunyai tanggungan dan tanggungjawab baru. Bantulah suami anda menjadi seorang suami yang bertanggungjawab. Jika anda sebagai isteri yang hadir di dalam keluarga sedia ada, ingatlah kedudukan anda. Jangan berbangga jika anda lebih muda atau lebih berpendidikan dan berharta. Status anda itu takkan mengubah apa-apa hak anda sebagai isteri yang dipoligamikan. Hak anda dan isteri sedia ada adalah sama tiada bezanya. Jika mahukan hak anda dipelihara, peliharalah juga hak madu-madu anda.
Ada juga yang menyatakan, saya gagal memahami jiwa gadis lanjut usia yang belum bertemu jodoh dan jodoh di depan mata hanyalah lelaki milik seorang isteri. Saya sendiri lewat bertemu jodoh, tika usia hampir 30 barulah saya bergelar seorang isteri. Sebelum itu, saya pernah dilamar untuk menjadi isteri kedua kepada seorang lelaki, ahli perniagaan berjaya. Kakak yang mengatur jodoh tersebut beriya-iya menasihati, sebagai seorang peguam yang rutin kerjanya adalah sentiasa sibuk, memang takkan ada masalah jika saya menerimanya. Namun, saya akui, saya tidak sanggup melukakan hati kaum sejenis saya. Saya cuba letakkan diri saya di dalam kasut isteri pertama. Nauzubillah, saya tidak mampu. Ketidakmampuan itu berjaya menolak rasa kasih dan sayang yang saya dambakan daripada seorang lelaki bernama suami. Saya hanya berdoa, jika ditakdirkan saya bertemu jodoh, biarlah dengan lelaki yang bukan suami orang dan hingga tiba detik itu, mohon dijauhkan daripada segala hasutan syaitan.
Tanyakan pada diri, di mana anda ingin berada? Jika anda memilih air, jangan bising jika anda kesejukan. Jika anda memilih api, jangan kecoh jika anda panas terbakar. Keputusan, anda yang tentukan.
****Siaran Ogos 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan