07 Julai 2009

Rotan: mengajar atau mendera?

Dah agak lama isu guru merotan murid menjadi perbincangan hangat. Namun, kali ini saya terpanggil untuk membincangkan isu ini di majalah kegemaran ramai ini kerana saya merasakan terdapat kekeliruan dan kekalutan di dalam mendapatkan hak seorang guru, hak seorang murid yang juga seorang anak dan hak ibu dan bapa. Bukan menyokong, bukan juga menuding jari menyalahkan sesiapa sebaliknya harapan saya, perbincangan ini akan merungkai kekusutan yang timbul. Seingat saya, guru dan rotan boleh diibaratkan seperti pasangan uda dan dara. Di mana ada guru, di situlah ada rotannya. Seingat saya juga, ibu bapa dahulu kala akan berpesan kepada mana-mana guru yang akan diamanahkan untuk mengajar anak mereka: ”Ajarlah anak saya, jika perlu rotanlah ia.” Kenapa? Kerana guru dianggap sebagai orang yang akan membantu ibu bapa membentuk anak-anak menjadi seorang insan yang berguna kepada diri sendiri, ibu bapa, masyarakat dan agama.

Sememangnya, itulah guru. Di dalam Islam pula, tidak disyaratkan seseorang itu perlu mengajar di dalam kelas untuk dipanggil guru. Guru menurut Islam adalah sesiapa sahaja yang memberi petunjuk dan panduan kepada seseorang. Rasulullah SAW pernah mengiktiraf seorang hamba Badwi sebagai guru baginda hanya kerana hamba tersebut memberitahu arah jalan yang dicari. Pendefinisian ini menunjukkan betapa Islam mengiktiraf kriteria seorang guru yang juga adalah pendidik, pengajar dan pembimbing. Walau siapa pun anda tika ini, anda takkan berpeluang menikmati semua itu tanpa kehadiran guru. Tak kiralah anda kini lebih berjaya daripada guru anda tetapi darjat seorang guru tidak boleh dipandang sebelah mata. Ini adalah satu hakikat yang perlu diterima.

Masalahnya kini, karier sebagai guru semakin dipandang remeh. Malah, pernah sampai ke telinga saya ayat-ayat yang tidak enak didengar berkaitan guru. Ibu bapa mempertikaikan kewibawaan guru yang mengajar anak-anak mereka. Paling sedih, ada ibu bapa yang tanpa segan silu memberi amaran kepada guru-guru agar tidak menyentuh anak mereka. Saya faham, setiap ibu bapa tidak ingin anaknya cedera tetapi perlu diingat, tugas guru bukan melukakan atau mencederakan. Guru bertindak apabila keadaan memerlukan. Adik kedua saya seorang guru. Bapa saya juga seorang guru. Bermula sebagai guru biasa dan bersara pada Jun tahun lepas sebagai seorang guru besar. Kepakaran bapa saya ialah bidang sains dan matematik. Terus terang, ramai yang mengkategorikan bapa saya sebagai seorang guru yang garang. Namun, hingga saat ini, bapa saya masih menerima ucapan selamat hari guru daripada bekas-bekas muridnya dahulu, ada antaranya yang lebib berusia daripada saya dan antara ucapan yang melekat di fikiran saya ialah: Jika bukan kerana cikgu pernah merotan tapak tangan saya, saya takkan berjaya seperti sekarang.

Saya akui kebenaran tersebut kerana saya juga pernah mengalami insiden yang sama, dirotan kerana gagal menyiapkan kerja rumah. Alhamdulillah, sejak tarikh tersebut, saya tidak berani lagi untuk gagal menyiapkan kerja rumah. Kesudahannya, saya berjaya mencapai cita-cita menjadi Peguam Syarie dan Perunding Keluarga. Jelas sekali, guru dan rotan adalah pasangan yang serasi. Malahan di dalam Islam, terdapat penjelasan bahawa merotan dan memukul perlu untuk tujuan pembelajaran. Anak-anak yang telah berusia 10 tahun dan engkar untuk solat boleh dirotan. Isteri yang tidak menurut perintah suami yang patut dan tidak melanggar perintah syarak boleh dipukul. Namun, ada cara untuk merotan dan memukul, bukan belasah sesedap rasa sahaja. Pokok pangkalnya ialah merotan dan memukul tersebut berasaskan satu tujuan iaitu untuk mengajar.

Kepada yang menjadi guru, tanyakan kepada diri, kenapa anda memegang status sebagai guru? Adakah sekadar ingin mempunyai pekerjaan dan pendapatan? Adakah kerana kerjaya guru dianggap sebagai kerjaya paling banyak cuti? Walau apa pun alasan anda, ingat!!! Anda memikul amanah dan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak bangsa anda sendiri. Setiap anak-anak yang hadir ke sekolah, setiap ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka kepada anda, semuanya mempunyai impian dan harapan yang satu: untuk menjadi insan yang berjaya di dalam hidup, bukan kepada diri sendiri malah juga kepada orang lain. Sebagai guru, anda perlu mengajar dan mendidik anak-anak bangsa sama rata, bukan pilih kasih. Jika anak si kaya, diberikan perhatian yang lebih. Anak si miskin atau anak-anak yang agak lemah pencapaian mereka diherdik atau dimarahi sesuka hati. Ingat lagi tentang kisah lelaki yang datang temuduga ke pejabat saya, yang pernah saya ceritakan dulu? Lelaki tersebut pernah bekerja sebagai guru dan pernah memarahi pelajarnya yang selalu gagal menyiapkan kerja rumah. Atas dasar kemanusiaan, lelaki ini menyiasat kenapa anak muridnya itu gagal menyiapkan kerja rumah? Jawapannya, anak murid itu daripada keluarga yang amat miskin dan tidak berkesempatan menyiapkan kerja sekolah kerana terpaksa bekerja bagi membantu keluarga. Berapa ramai guru yang tahu latar belakang pelajarnya seperti lelaki ini?

Kepada ibu bapa, anda berhak mempercayai kata anak sendiri tetapi anda juga perlu ambil peduli dengan kata-kata orang lain terutama cikgu mereka. Jangan sampai anda tersilap membuat tafsiran, penyesalan akan sukar ditanggung.

****Siaran September 2007

Tiada ulasan: