Satu sms yang saya terima mempersoalkan: Apa jaminan kebahagiaan yang puan boleh berikan kepada orang lain sedangkan kebahagiaan sendiri pun belum pasti? Saya tersenyum sendiri. Saya yakin, persoalan itu muncul kerana saya pernah ‘mendakwa’ di dalam laman Bina Bahagia bahawa saya adalah rakan anda untuk membina bahagia. Terima kasih kepada yang bertanya. Soalan anda memberikan saya peluang untuk menjelaskan bagaimana hajat dan hasrat saya untuk membantu anda di luar sana mencapai bahagia di dalam hidup, dilaksanakan. Saya ulangi, MEMBANTU… bukan saya memberikan jaminan anda akan mencapai bahagia tetapi anda berpeluang mencapai bahagia dengan bantuan saya dan diri anda sendiri, insyaAllah. Bantuan saya atau sesiapa saja di sekeliling anda tidak mencukupi jika anda tidak membantu diri anda sendiri untuk mencapai bahagia.
Tak percaya anda boleh mengecap bahagia di dalam hidup? Percayalah, setiap individu yang lahir dan hidup di atas muka bumi ini berhak dan mampu menikmati kebahagiaan hidup. Segalanya terletak di dalam diri anda sendiri bagaimana untuk merealisasikan kebahagiaan yang dijamin oleh Allah Taala menjadi hak anda itu. Di dalam satu ayat, Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak membebankan seseorang kecuali dia mampu memikulnya. Ayat ini jelas membuktikan bahawa apa sahaja ujian dan dugaan yang diberikan kepada anda adalah daripada Allah Taala dan segala ujian dan dugaan itu diberikan kerana anda mampu menghadapinya. Bererti, walau berapa banyak ujian yang anda terima, semua itu tidak menafikan hak anda untuk hidup bahagia. Paling penting, seperti yang saya tegaskan di awal tadi, segalanya bergantung kepada diri anda.
Bagaimana? Secara ringkas, anda hanya perlu lakukan tiga perkara. Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah menerima setiap apa yang berlaku di dalam hidup anda sebagai satu ujian daripada Allah. Sakit, pening, demam, gagal dalam percintaan, tidak cemerlang dalam peperiksaan, anak tak kenang jasa orang tua, suami gagal beri nafkah, suami ada orang ketiga, isteri tak dengar kata dan macam-macam lagi; semua tu adalah ujian daripada Allah Taala kepada hamba-Nya yang Dia tau, hamba itu mampu menghadapinya. Perlu diingat, bukan saja perkara yang mendukacitakan malahan kegembiraan dan kejayaan juga adalah satu ujian daripada Allah.
Kenapa? Fahami konsep ujian! Ujian adalah untuk kita sebagai hamba mendekatkan diri kepada-Nya. Allah dah jelaskan: Tidak Aku jadikan manusia itu kecuali untuk beribadat kepada-Ku. Bermaksud, walau dalam keadaan apa sekali pun, kita perlu dekat kepada-Nya. Kalau susah tu, memang perkara biasa untuk setiap hamba memohon pertolongan-Nya walau tak dinafikan, ada yang makin ‘jauh‘ dan kebanyakannya pula ‘amat jauh’ apabila berada di kemuncak, nauzubillah. Keadaan ‘jauh’ ini tidak boleh berlaku lantaran itulah kejayaan dan kesenangan itu juga satu ujian.
Perkara kedua: Apabila anda menerima setiap yang berlaku di dalam hidup anda adalah ujian, seharusnya anda bersabar, redha dan pasrah dengan kehendak-Nya. Namun, konsep redha dan pasrah bukan bermaksud anda perlu menerima bulat-bulat apa yang berlaku. Anda perlu berusaha untuk keluar daripada ujian atau permasalahan. Sebagai contoh, jika anda mengetahui suami anda mula berpaling kasih kepada orang lain, anda tidak boleh menyalahkan suami dan pihak ketiga sahaja sebaliknya anda perlu koreksi diri mencari apakah sebab permasalahan tersebut timbul? Bagaimana suami anda boleh berpaling kasih? Mungkin anda tidak bersalah dan keadaan berlaku kerana orang ketiga lebih bijak mengambil hati suami anda. Lantas, anda perlu berusaha 200% untuk kembali menakluk hati dan kasih suami anda. InsyaAllah, usaha pihak ketiga untuk memikat suami anda akan terkandas di pertengahan jalan.
Namun, jika suami anda tetap atau telah berkahwin lagi, terimalah juga ianya sebagai ujian. Jangan berusaha untuk meruntuhkan mahligai yang dibina sebaliknya anda mempunyai peranan untuk mempastikan suami anda berlaku adil di dalam perkahwinan poligaminya. Sebaliknya, jika anda dianiayai oleh suami anda atau oleh madu anda dalam erti kata hak-hak anda sebagai seorang isteri dikesampingkan selepas perkahwinan yang baru, anda berhak untuk memperjuangkan hak anda. Perjuangan menuntut hak ini juga adalah ujian untuk anda.
Apabila setiap perkara anda terima sebagai ujian seterusnya anda terima dengan sabar, redha dan pasrah bererti anda telah mencapai bahagia. Mungkin ada yang mempersoalkan, apa ertinya bahagia jika perlu naik turun mahkamah menuntut itu ini? Ingatlah, bahagia adalah satu perkara asbtrak, sukar untuk didefinisikan secara jelas dan terperinci. Yang penting, bahagia adalah apabila hati anda merasa lapang dan lega menghadapi sesuatu. Bagaimana untuk merasa lapang dan lega? Di sinilah perkara terakhir dan tindakan klimaks yang perlu anda lakukan. Bersyukurlah dengan apa yang anda terima. Perhatikan insan-insan lain di sekeliling anda. Ingatlah, jika anda susah, ada mereka yang lebih susah daripada anda. Jika anda diuji, ada orang lain yang lebih teruk ujiannya daripada anda. Apabila anda mampu merasa nikmat tersebut, anda akan merasa bahagia yang amat sangat, insyaAllah.
Saya hanya mampu untuk membantu anda memberikan jalan ke arah menyelesaikan ujian yang anda hadapi dan menyampaikan bagaimana caranya untuk anda mengecap bahagia, selebihnya terletak di tangan anda….
****Siaran April 2007
1 ulasan:
Salam,
Menitik air mata bila baca artikel yang ini. Off late saya senang sangat 'emo' tak bertempat... huk.. huk..
Ya Allah, kurniakanlah hamba-Mu sekeping hati yang kuat dan tabah dalam menjalani ujian-Mu.
Amiiin...
Catat Ulasan