05 Ogos 2008

Bila si kecil memberontak

Hari ini, hari pertama saya kembali bertugas setelah hampir seminggu bercuti sempena meraikan sambutan kemerdekaan ke 48. Walau bercuti agak lama namun saya tidak ke mana-mana kerana suami saya bertugas. Lantas, ruang masa yang ada saya gunakan sepenuhnya untuk bersama puteri dan putera saya yang makin lincah dan tangkas. Memang berbaloi percutian ini tambahan pula pengasuh yang bertanggungjawab menjaga anak-anak saya, saya izinkan bercuti. Bangga dan gembira kerana saya dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada dua permata hati saya itu. Terhibur dengan telatah mereka malah ada tikanya kerenah mereka hampir menggegar pintu kesabaran saya.

Selama hampir seminggu itu jugalah saya mendapat bukti tentang kebenaran fakta yang mengatakan bahawa si kecil memberontak kerana inginkan perhatian. Sungguh, dalam dua hingga tiga hari pertama, telatah anak-anak lebih ke arah menguji kesabaran saya. Ada saja tindak tanduk mereka yang boleh menyebabkan saya marah. Alhamdulillah, saya masih menang dalam menangani situasi tersebut. Hari-hari selepasnya pula, tiada lagi kerenah sedemikian sebaliknya mereka makin manja dan hati saya sentiasa digeletek dengan telatah mereka. Pengalaman berharga inilah yang ingin saya kongsi dengan para pembaca semua terutamanya para ibu. Perbincangan ini juga sekaligus menjawab pertanyaan beberapa emel yang saya terima selepas tersiarnya perbincangan isu anak-anak adalah amanah Allah kepada kita. Ada yang meluahkan rasa insaf dengan perlakuan mereka sebelum ini dan ada juga yang meminta, apakah resipi untuk menghadapi kerenah dan telatah anak-anak yang dikatakan penyejuk mata tetapi ada tikanya, gelagat mereka betul-betul menikam jiwa.

Tiada resipi istimewa sebenarnya. Hanya satu bahan utama untuk menu menangani kerenah anak-anak ini iaitu menyedari dan menginsafi bahawa mereka adalah anak-anak kecil. Insan yang hanya inginkan perhatian dan belaian. Setiap tindak tanduk mereka sama ada mereka menangis, menjerit biarpun tanpa sebab malah segala tingkah laku ketika melakukan apa juga aktiviti seharian, tujuan mereka hanyalah untuk mendapatkan perhatian daripada kita. Sememangnya jiwa kanak-kanak terlalu lembut. Mereka sentiasa inginkan perhatian. Sentiasa inginkan kita memberikan tumpuan kepada mereka. Tak mampu meluahkan keinginan mereka dengan kata-kata maka segalanya disampaikan melalui tindak tanduk mereka. Sebagai insan yang lebih dewasa, kita tidak semestinya mengikut cara mereka, maksud saya, ada ibu bapa yang cenderung memarahi anak-anak apabila anak-anak bersikap sedemikian. Kemarahan yang kita luahkan kepada mereka menunjukkan kita juga bersikap seperti mereka.

Saya cadangkan para pembaca semua buktikan sendiri kebenaran fakta bahawa kerenah anak-anak semata-mata kerana inginkan perhatian daripada ibu bapa. Perhatikan, apakah tingkah laku anak-anak sekiranya kita memberikan perhatian kepada mereka? Perhatikan pula, apakah tindak tanduk mereka apabila kita kurang mempedulikan mereka? Saya yakin, kedua-dua situasi ini memberikan keputusan yang berbeza kan?!! Satu perkara yang perlu diingat juga, perhatian bukan sekadar kepada si kecil yang belum pandai mengucapkan kata tetapi kepada semua anak-anak kita. Seperti yang pernah saya bincangkan dulu, anak-anak adalah amanah Allah kepada kita. Kita sebagai ibu bapa adalah insan yang paling bertanggungjawab dalam membentuk syakhsiah dan peribadi anak-anak, bukan guru, bukan pengasuh dan bukan ibu semata-mata. Kedua-dua, ibu dan bapa bertanggungjawab membentuk peribadi dan mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Seorang ibu pernah meluahkan pandangannya ketika beliau menghubungi saya menceritakan perihal dirinya yang sentiasa memarahi anaknya biarpun tanpa sebab. Kata ibu tersebut, beliau juga mengalami nasib yang sama dengan anaknya sekarang. Beliau sentiasa dipukul dan dimarahi oleh ibunya walaupun tanpa apa-apa kesalahan. Kesannya, kata si ibu, beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan ibunya. Beliau lah tempat ibunya meminta bantuan, tempat ibunya menumpang kasih tika tua. Berbanding kakaknya yang dimanjakan sepenuhnya oleh ibunya dahulu tetapi si kakak bersikap menjauhkan diri daripada keluarga. Tambah ibu muda itu lagi, dia yakin perlakuannya kepada anaknya tika ini akan merapatkan hubungannya dengan anaknya itu.

Sebenarnya, pendapat ini adalah pendapat yang salah. Kewujudan kes seperti yang ibu muda ini alami adalah satu antara sejuta. Sebaliknya, kajian yang pernah dijalankan membuktikan bahawa hampir 90% kanak-kanak yang menerima layanan tidak baik daripada ibu bapa akan melayani anak-anaknya juga sedemikian rupa, sama seperti kes ibu muda tadi, dan anak-anak ini pula, hampir 80% daripadanya akan menjauhkan diri daripada ibu bapanya. Kajian juga menyingkap beberapa kisah ibu bapa yang mendiami rumah orang tua sebenarnya mempunyai sejarah gagal melayani anak-anak dengan baik. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua yang bernama ibu, mama, emak, ummi atau apa juga panggilannya, juga kepada semua yang dipanggil bapa, ayah, abi, papa dan apa jua yang sewaktu dengannya, jalankanlah tanggungawab yang diamanahkan oleh Allah dengan sebaik-baiknya. Jangan hanya pandai menyebabkan kelahirannya ke dunia ini tetapi jadikanlah insan yang kau sebabkan kelahirannya itu sebagai seorang insan yang berguna untuk dirinya, dirimu, juga untuk agama dan masyarakat.

Moga diriku tergolong di dalam kumpulan anak-anak yang membahagiakan ibu bapa dan moga anak-anakku akan turut membahagiakan diriku dan suamiku satu masa nanti, amin!!

****Siaran September 2005

Tiada ulasan: