15 Ogos 2008

Kasih seorang ibu

Saya sangat bahagia hari ini, berbanding hari-hari yang terpaksa saya lalui dalam satu minggu yang lepas. Bukan kerana hari ini hari ulangtahun. Bukan kerana hari ini saya menerima bonus. Sebaliknya saya berasa sangat gembira dan bahagia kerana kedua-dua puteri dan putera saya kini berada di depan mata. Seminggu yang lalu, anak-anak saya terpaksa saya tinggalkan bersama ibu saya nun jauh di utara tanahair. Saya tiada pilihan kerana pengasuh anak-anak saya, saya berhentikan dengan tiba-tiba. Saya ada alasan kukuh untuk berbuat demikian tapi saya tidak ingin bincangkannya kali ini. Dalam resipi kali ini, saya ingin berkongsi rasa dengan para pembaca semua tentang hati seorang ibu, hati saya sendiri ketika berpisah dengan anak-anak yang menjadi penyejuk mata pengubat duka.

26hb September, saya ditugaskan ke Langkawi bagi mengikuti satu bengkel. Memang berat hati untuk melangkah pergi walau cuma untuk tempoh masa tiga hari kerana inilah kali pertama saya terpaksa berjauhan dengan anak-anak. Sebelum ini, tak kira sesibuk mana pun, saya tetap punya masa untuk bersama dengan anak-anak di malam hari. Demi tugas, saya gagahkan juga langkahan kaki. Kebetulan, suami saya pula ditugaskan ke Johor Baharu. Memang perkara biasa kalau suami saya bertugas di luar daerah. Anak-anak saya tinggalkan dengan adik saya lantaran pengasuh yang makin rancak menunjukkan taringnya. Inilah klimaks cerita yang menyebabkan khidmatnya saya tamatkan.

Kembali dari Langkawi, penat otak saya memikirkan bagaimana dengan anak-anak saya selepas ini. Adik saya tak dapat nak jaga sepanjang masa sebab punya tugas sendiri. Nak ambil pengasuh dari negara jiran, sungguh… saya tak sanggup mengambil risiko. Banyak sangat kisah-kisah yang menggerunkan. Memang tak semua tapi tak rugi kalau kita berjaga-jaga lebih awal. Nak hantar ke taska, dalam keadaan tergesa-gesa, rasanya tetap meresahkan jiwa. Ya lah, anak-anak bukan untuk dijaga sahaja tetapi untuk dididik dan diasuh akhlaknya. Akhirnya, saya mohon pendapat daripada Mak saya. Mak saya mencadangkan supaya kedua-dua cucunya itu dihantar kepadanya terlebih dahulu. Walau berat hati, pendapat itu saya terima kerana untuk masa tersebut, itulah keputusan terbaik.

Sepanjang tempoh hampir seminggu, bermula 3 hingga 7 Oktober, hati saya betul-betul tidak tenang. Walau rakan-rakan mengusik, bolehlah berbulan madu sekali lagi… segala usikan bagai masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Apanya nak berbulan madu, setiap malam, kami hanya akan balik ke rumah apabila mata dah betul-betul mengantuk. Sebelum tu, berbagai aktiviti luar yang kami lakukan. Alasannya, tak nak berada di rumah dan merasai kesunyian tanpa suara anak-anak. Setiap malam pula saya akan menghubungi Mak saya bertanyakan hal anak-anak dan bercakap dengan puteri sulung saya, berpesan supaya tinggal elok-elok dengan Tok (panggilan untuk Mak saya). Sesekali saya bercakap dengan anak kedua saya yang baru tau ah, uh… cukuplah dia mendengar suara dan kata-kata saya, dia pasti faham betapa saya merinduinya.

Kerinduan yang mencengkam jiwa ini membuatkan saya teringatkan kisah saya ketika mula-mula masuk ke sekolah berasrama dulu. Juga masa yang sama, di bulan puasa. Kata adik-adik saya, Mak saya takkan masak hidangan kegemaran saya walaupun diminta berkali-kali oleh mereka. Sebagai jawapan kepada permintaan mereka, Mak saya hanya akan mengatakan, tunggulah Along balik dulu. Bila saya ajukan kepada Mak saya kenapa beliau bertindak sedemikian, Mak cuma menjawab: Esok nanti, bila hang dah jadi Mak, hang faham la!! Ya, betul kata Mak saya, kini saya merasa apa yang Mak saya dah rasa. Sungguh perit menahan rindu kepada anak-anak. Jika Mak saya enggan masakkan hidangan kegemaran saya, saya pula enggan makan di gerai yang pernah saya makan bersama dengan anak-anak. Hinggakan tengok bantal peluk anak-anak pun, pasti air mata saya mengalir. Suami hanya mampu menggeleng walau saya tahu di hatinya juga berbunga rindu. Kalau tidak, takkan ler hari-hari dibeleknya gambar anak-anak.
Hmmm… inilah hakikat sebenar kasih dan sayang seorang ibu dan seorang ayah kepada anak-anak. Anak-anak adalah harta yang paling bernilai dan berharga, tiada galang gantinya. Saya yakin, bukan saya dan suami sahaja yang tidak sanggup menghadapi perpisahan sebegini. Malah ramai lagi ibu bapa di luar sana yang mengalami keadaan yang sama. Ingat lagi rakan sekerja saya yang pernah saya ceritakan kisahnya ketika hamilkan anak sulungnya. Beliau sendiri tidak sabar menunggu petang hari untuk kembali ke rumah berjumpa dengan bayinya. Bayangkan keadaan ibu dan ayah yang menerima ujian kematian anak-anak dalam usia yang muda dan dalam keadaan sekelip mata, seperti kes kemalangan jalan raya, nauzubillah!! Moga ibu dan ayah ini tabah dan kuat menerima ketentuan Ilahi.

Di kesempatan ini, ketika Syawal makin menjenguk diri, saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada mereka yang bernama anak, kenanglah kasih sayang ibu dan ayah yang membesarkan kita. Walau mungkin hati anda pernah terluka kerana perlakuan mereka, ingatlah, segala yang ibu dan ayah lakukan hanya atas satu alasan, inginkan kebahagiaan anda, anak yang mereka sayangi sepenuh hati. Jenguklah mereka selagi ada hayat mereka. Kucuplah tangan mereka selagi daya. Jangan menyesal di belakang hari, keluar air mata darah pun dah tak berguna lagi.

****Siaran Oktober 2005

Tiada ulasan: