13 Ogos 2008

Mencincang air takkan putus

Semua orang tau, air dicincang takkan putus, biarpun ianya air batu yang keras. Biar ketulannya dipecahkan atau dihancurkan, ia kan tetap cair dan bersatu semula atas nama air. Sebegitulah perumpamaan yang orang tua terdahulu berikan kepada hubungan darah antara manusia. Ramai yang mengetahui, ramai yang memahami tetapi tidak ramai yang ingin menerimanya sebagai satu realiti. Jangan pelik pulak, isu ini saya timbulkan rentetan satu panggilan yang saya terima daripada seorang wanita bernama ibu. Wanita awal 20-an ini sedang menanggung rindu yang amat sangat kepada puteri yang dilahirkannya sejak lebih dua tahun lalu.

Ibu yang kerinduan ini berasa amat malang kerana hanya mampu mengandungkan dan melahirkan tetapi tidak berkesempatan menyusukan apatah lagi memeliharanya. Semuanya gara-gara ingin menutup dosa yang dilakukan ketika usia muda. Syukur, pintu taubat masih terbuka, wanita ini bertaubat sesungguh hati dan akhirnya beliau dikurniakan seorang suami yang amat memahami. Bayangkanlah, suaminya mengetahui segala kisah silamnya tetapi masih bersedia menerima anak yang dilahirkan oleh isterinya itu sebagai anak sendiri. Masalahnya, entah ke mana menghilangnya si puteri? Janji asal, suami isteri yang memelihara puterinya akan membenarkan beliau melawat paling kerap sekali dalam sebulan. Malangnya, dalam tempoh hampir dua tahun ini, suami isteri tadi telah acap kali berpindah rumah tanpa memberitahu wanita tersebut. Bila wanita tadi dah tau tempat tinggalnya yang terkini, pergi pula bulan depan, mereka dah tak ada di situ lagi, seolah-olah melarikan diri. Ketika panggilan dibuat kepada saya, wanita tadi dah kehilangan anaknya hampir lima bulan.

Meneliti kes ibu malang tadi, saya teringat kisah yang diceritakan oleh seorang rakan mengenai sikap seorang rakannya. Menurut rakan saya itu, setelah lebih 12 tahun perkahwinan tanpa kurniaan zuriat, rakannya itu mengambil anak angkat daripada seorang ibu muda yang terpaksa menyerahkan anak yang dilahirkannya dengan alasan yang sama dengan wanita tadi, untuk menutup kesilapan lalu. Namun, ada perjanjian antara ibu muda dan rakan kepada rakan saya itu. Beliau dibenarkan untuk melawat anaknya pada setiap bulan. Namun, rakan kepada rakan saya tadi bertindak menipu dan cuba menyembunyikan anak angkat yang diambilnya itu. Hingga sekarang, telah hampir enam bulan, ibu muda tadi tidak pernah berkesempatan bertemu dengan anaknya kerana gagal menemui alamat yang diberikan ketika perjanjian kerana rakan kepada rakan saya itu menggunakan alamat palsu. Bila ditanyakan kenapa beliau bertindak sedemikian? Wanita yang terlalu inginkan anak tersebut menyatakan rasa bimbangnya jika ibu muda tadi akan mengambil semula anaknya itu satu hari nanti.

Mungkin ada di kalangan pembaca yang merasakan, memang wajar perlakuan sedemikian. Mungkin juga ada yang berpendapat, perbuatan tersebut adalah melampau. Namun, secara logik dan atas nama norma masyarakat, juga demi menjaga kesucian hubungan keluarga di dalam Islam, perbuatan kedua-dua ibu bapa angkat tadi, yang bertindak cuba memutuskan hubungan antara ibu dengan anaknya walaupun anak tidak sah taraf (gelaran kepada anak-anak yang dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan yang sah), adalah perbuatan yang tidak wajar. Seorang anak tetap mempunyai hubungan dan kaitan yang mantap dengan ibu yang mengandungkan dan melahirkannya. Biarpun ibu tersebut tidak berupaya memelihara dan mendidik anaknya itu, walau atas apa jua alasan, tidak ada seorang pun di dunia ini yang berhak memutuskan apatah lagi menafikan haknya sebagai ibu kepada anaknya. Tambah pula, dalam kedua-dua kes tadi, si ibu ingin menjalankan tanggungjawab sekadar terdaya, maksud saya, masih mahu berjumpa dan memberi kasih dan perhatian sekadar termampu.

Walaupun ibu yang hanya berpeluang mengandung dan melahirkan ini tidak pernah peduli dengan proses tumbesaran si anak dan ditakdirkan selepas beberapa ketika, wujud rasa insaf di hati, si ibu mula mencari anaknya, pertalian darah antara ibu dan anak ini juga tidak boleh dinafikan. Sebagai seorang anak, kesalahan si ibu perlu dimaafkan. Anak tersebut tidak berhak mempertikaikan kenapa si ibu bertindak menyerahkan dirinya kepada orang lain dan langsung tidak mempedulikannya lagi. Sebagai seorang ibu, pasti beliau mempunyai alasan tersendiri demi menjaga nama diri sendiri dan juga si anak yang amat dikasihi. Walau apa juga tindakannya, seorang anak tetap wajib menghormati si ibu sebagai orang yang telah bersusah payah mengandung dan melahirkannya ke dunia ini. Jika seorang anak tidak berhak menafikan darah yang mengalir di dalam tubuhnya adalah juga darah daripada si ibu yang melahirkannya, apakah pula hak anda, mereka yang mengambil anak-anak ini sebagai anak angkat, untuk menafikan pertalian tersebut?

Bukan sekadar tidak berhak menafikan, malah perbuatan dan tindakan anda menyembunyikan identiti sebenar si anak akan lebih memburukkan keadaan. Bayangkan sekiranya si anak tadi bertemu dengan anak daripada ibu yang sama kemudian bercinta ataupun mendirikan rumahtangga. Hubungan tersebut adalah haram. Anak-anak ini tidak berdosa sebaliknya perbuatan anda yang menyembunyikan kerahsiaan ini yang harus dipersalahkan. Biarpun anak angkat anda adalah anak tidak sah taraf tetapi hubungan saudara seibu tetap wujud yang boleh mengharamkan wujudnya ikatan perkahwinan. Lantas, berfikirlah sebelum bertindak. Kenapa risau si anak akan diambil semula? Jika segala perhatian dan kasih sayang anda mantap, si anak akan tetap menyayangi anda biarpun si anak tahu, bukan anda ibu atau ayah kandungnya. Malah bagi kebanyakan kes, si anak akan tetap bersama ibu dan ayah yang menjaganya dan dalam masa yang sama, tidak membelakangkan ibu kandungnya. Bukankah itu lebih adil untuk semua?

****Siaran Oktober 2005

Tiada ulasan: