‘Eh! Main apa tuh?”
“Nanti bila kakak dah besar, abah dan mak duduk kat sini. Kakak dan adik duduk kat rumah.”
“Abah jangan lupa pakai lampin tau.”
Saya pasti ramai yang masih ingat dengan kata-kata di atas. Ya, itulah petikan dialog daripada satu iklan paling hangat ditayangkan pada musim perayaan Aidil Fitri yang lalu. Iklan yang menarik dan mampu melekat di jiwa. Hatta tika artikel ini ditulis, seorang rakan sekerja sedang mengucapkan dialog si anak kecil mengingatkan si abah agar memakai lampin seperti datuknya.
Sebenarnya, menonton sketsa iklan tersebut membuatkan saya terfikir sendiri. Jika satu hari nanti saya ditakdirkan berkesempatan menjaga Mak dan Bapa yang tak sihat, apakah saya mampu menjaga mereka tanpa meluka dan mengecilkan hati mereka walaupun sedikit? Jika saya sendiri menjadi seorang ibu tua, apakah anak-anak mampu menjaga saya tanpa melukakan hati saya?
Jika dilihat kepada sketsa menarik tersebut malahan banyak juga cerita-cerita lain yang seakan-akan sama antaranya permintaan seorang anak kecil untuk mengumpulkan tempurung kelapa sebagai bekas makanan ayah dan ibunya semasa tua setelah melihat cara datuknya diberi makan, satu perkara yang dapat saya simpulkan ialah sikap dan cara anda melayan ibu bapa anda mencerminkan corak layanan yang akan anda terima daripada anak-anak ketika anda seusia ibu bapa anda.
Seperti yang telah diketahui, anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang bertanggungjawab mencipta corak dan warnanya. Jika cantik corak dan warnanya, cantiklah jadinya, jika sekadar sambil lewa, bukannya abstrak yang terhasil sebaliknya habis punah tanpa memberi hasil apa-apa. Kenapa? Kerana anak-anak belajar daripada ibu bapa. Ya, saya akui terdapat campur tangan pengaruh luar tetapi faktor utama yang mempengaruhi jiwa dan sikap anak-anak ialah sikap dan cara ibu bapa atau siapa sahaja yang membesarkan si anak. Jika si anak dijaga, dibesarkan dan dididik oleh ibu saudara, datuk atau nenek, si anak akan belajar dan meneladani sikap dan perwatakan ibu saudara, datuk atau nenek lah. Paling mudah lihat saja kes anak angkat. Ada anak daripada bangsa Cina tetapi dipelihara oleh keluarga Melayu maka si anak membesar menjadi seorang Melayu.
Lantaran, sebagai ibu dan bapa, anda berperanan penting untuk menunjukkan sikap dan teladan yang baik kepada anak-anak. Jika anda melayan ibu bapa anda dengan baik, bercakap menggunakan bahasa yang baik dan selalu pulang ke kampung menziarahi mereka, insyaAllah bila anda seusia ibu bapa anda, anak-anak anda akan memperlakukan perkara yang sama kepada anda. Sebab, mereka telah terdidik bahawa ibu bapa mesti dilayan dengan baik sebagaimana cara anda melayan ibu bapa anda. Bagi kes-kes ibu bapa dilayan tidak baik oleh si anak pula, tidak semestinya ianya ialah salah si ibu atau bapa itu. Ada juga kes ibu bapa menunjukkan teladan yang baik tetapi gagal menyerap ke dalam jiwa si anak lantaran pengaruh luar yang lebih kuat.
Seperti di dalam sketsa hari raya Petronas tersebut, saya yakin si anak (wanita) adalah seorang yang telah dididik dengan baik oleh si ayah. Malangnya wanita ini terpengaruh oleh sikap dan perwatakan si suami, yang mungkin juga menerima didikan yang sedemikian rupa ketika kecilnya maka si anak yang telah terdidik elok budinya menjadi goyah dan mudah terikut dengan sikap si suami. saya bukan pencetus moral sketsa atau penglipur lara. Hipotesis kisah tersirat di sebalik sketsa tersebut saya reka bertujuan, bukan saja-saja. Sketsa tersebut bukan sekadar memberikan teladan supaya berbuat baik kepada ibu bapa tetapi juga panduan dan teladan kepada golongan wanita agar berhati-hati di dalam memilih calon suami.
Walaupun tiada ayat atau qaul yang menyatakan ciri-ciri lelaki pilihan seperti mana ciri-ciri wanita pilihan, wanita sebenarnya perlu lebih berhati-hati di dalam memilih pasangan. Perlu diingat, syurga seorang anak perempuan berpindah daripada redha dan restu bapa kepada redha dan restu suami. Seorang isteri perlu taat dan patuh sepenuhnya kepada suami selagi kata-kata dan arahan suami tidak bercanggah dengan kehendak syarak. Malah sekiranya suami melarang isteri daripada menziarahi ibu bapa maka si isteri perlu taat. Sama juga jika suami tidak mengizinkan isteri menjaga ibu atau bapa yang sakit. Dari segi moral memanglah tak wajar tetapi dari segi syarak, tidak menziarahi ibu bapa atau tidak menjaga ibu bapa semasa sakit bukannya maksiat atau dosa.
Namun, sebagai seorang anak sudah semestinya lah kita ingin memberikan khidmat semampu mungkin kepada insan yang bertanggungjawab melahirkan kita hingga mampu mengecapi nikmat hidup di dunia. Kerana itulah, penting bagi seorang anak gadis malah janda, memilih dan menerima calon suami yang boleh dipercayai dan diharapkan dapat sama-sama melayani dan menjaga ibu bapa anda.
Harapan dan doa saya agar lebih ramai anak-anak malah ibu bapa yang mendapat pengajaran daripada sketsa raya Petronas ini. Tahniah kepada pencetus idea.
****Siaran Nov 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan