Sejak nombor telefon bimbit saya disiarkan di ruangan ini, telefon saya asyik berdering hingga saya perlu menukarkan ‘tone’ dari ‘ring once’ ke ‘beep once’ bagi mengelakkan rasa ‘lemas’. Bukan tak suka, seboleh mungkin saya nak layan semua panggilan tapi kalau waktu hujung minggu dan waktu malam hari tuh, memang saya takkan layan. Maaf sangat-sangat sebab itu adalah waktu saya bersama keluarga. Bukan saja panggilan, sms pun makin banyak. Sekejap sahaja ‘inbox’ saya yang boleh memuatkan 30 sms pada satu-satu masa dah penuh. Sama seperti emel, mana-mana kes yang ‘urgent’ akan saya balas segera dan kes-kes lain, saya tetap akan balas cuma mengambil masa sebab saya juga perlu siapkan kerja-kerja saya yang lain.
Dalam banyak-banyak sms tuh, ada satu sms yang saya terima daripada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai rakan sewaktu sekolah. Melalui perantaraan beberapa sms selepas itu, rupa-rupanya beliau adalah rakan saya semasa saya bersekolah selama lima hari sahaja di sebuah sekolah di Alor Setar. Ya, lima hari sahaja saya mengenalinya dan selepas itu kami tidak pernah bertukar-tukar berita. Sekarang setelah lebih 20 tahun, kami dapat berhubungan kembali dan yang membuatkan saya tergelak sendiri, dia masih ingat tentang telatah saya yang asyik menangis saban hari sepanjang lima hari tersebut gara-gara tidak pernah berpisah dengan Mak saya. Tika itu, saya di tingkatan satu dan berada di sekolah berasrama, pertama kali berjauhan daripada Mak dan Bapa saya.
Bila diingat semula, memang kelakar tambahan bila seorang guru menasihatkan saya: “Kamu ni bijak. Kalau nanti dapat belajar kat U, takkan nak ajak Mak sekali?” Jawapan yang tetap saya ingat hingga kini: “Tak pa lah, kat depan rumah saya ada satu tanah lapang, nanti saya mintak la kerajaan bina U kat situ.” Kelakar kan?? Tapi masa tu, itulah yang terjangkau dek fikiran saya. Yang saya mahukan, hanyalah kembali ke pangkuan Mak dan Bapa saya. Semuanya gara-gara tidak pernah berpisah dengan Mak dan Bapa. Alhamdulillah, sikap itu tidak berlanjutan. Kalau tidak, mungkin saya tidak berpeluang berkongsi ilmu yang sedikit ini dengan pembaca semua.
Menyedari betapa pentingnya anak-anak diajar berjauhan daripada ibu bapa, saya dengan separuh hati melepaskan anak sulung saya pulang ke kampung bersama Mak dan Bapa saya. Tika artikel ini ditulis, Ayuni Syafiqah dah berjauhan daripada saya selama 18 hari, mmm…terasa bagai sudah berbulan. Rindu memang mencengkam tapi saya gagahkan hati demi kebaikan anak saya sendiri. Bukan saja mengajar anak-anak untuk berpisah tika melanjutkan pelajaran namun paling penting, jika anda sebagai ibu dan bapa dijemput mengadap Ilahi. Jika anak-anak hanya boleh bersama anda, agak bermasalah bagi si anak untuk meneruskan kehidupan mereka. Sebaliknya, jika anak-anak telah terbiasa berpisah dengan anda dan hidup dengan saudara-saudara anda, insyaAllah, kesulitan bukan di tahap yang kritikal.
Bukan saja anak-anak perlu diajar hidup berjauhan tetapi juga perlu diajar untuk menjalani kehidupannya sehari-hari dengan sendiri. Puteri sulung saya akan berusia empat tahun pada bulan Januari ni tetapi beliau telah pandai membantu kerja-kerja saya di dapur. Selesai makan tanpa perlu disuruh lagi, beliau akan segera membantu saya mengemas hidangan. Pernah beliau meminta daripada saya untuk mencuci pinggan tapi kata saya, tunggu dah besar sikit jer lagi. Sejak itu, boleh dikatakan hampir setiap hari beliau akan tanya, dah boleh ker Ummi? Bukan itu saja, puteri saya juga dah pandai melipat kemas baju-baju beliau dan adik lelakinya. Kiranya, kalau saya melipat baju, hanya baju saya dan suami yang perlu saya lipat. Baju anak-anak akan dilipat semua oleh puteri saya. Saya juga mengajar anak saya mengemas sendiri katilnya selepas bangun tidur. Pendek kata, sejak puteri saya berumur tiga tahun, banyak perkara yang berkaitan dengan hidupnya sehari-hari, saya ajar beliau untuk melakukannya sendiri.
Bukan mendera tetapi tujuan saya adalah untuk mendidik. Sebabnya jika anak-anak diajar berdikari sejak awal lagi, anak-anak akan rasa seronok kerana merasakan mereka telah jadi seperti kita, orang dewasa. Mereka akan rasa lebih teruja untuk terus meneroka hari-hari mendatang di dalam hidup. Itulah juga corak didikan yang Mak dan Bapa berikan kepada saya.
Bukan itu saja, mengajar anak-anak berdikari bukan saja memudahkan anak-anak di belakang hari tetapi turut mengajar mereka tentang tanggungjawab. Sebagai contoh, anak-anak yang diajar mengemas katil setelah bangun tidur dan tiba satu hari gagal mengemasnya maka anda sebagai ibu bapa perlu menerangkan kenapa katil itu perlu dikemas oleh beliau sendiri. Itulah adalah tugasannya yang perlu disiapkan setiap hari. Tugasan itu adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. InsyaAllah, bermula daripada tanggungjawab yang kecil, anak-anak akan bersedia sedikit demi sedikit untuk memikul dan melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar. Paling penting, anda sebagai ibu bapa perlu menceritakan sebab dan musabab sesuatu tugas itu dilaksanakan.
Teringat sekali, puteri saya pernah minta daripada saya tak nak ke sekolah (taska) tapi beliau nak ke tempat kerja bersama saya. Bila saya ajukan kenapa, jawabnya: Kalau Ayang pegi keje, Ayang dapat duit macam Ummi, nanti Ayang boleh beli susu Ayang sendiri. Jawapan puteri saya itu sebenarnya mencerminkan bahawa beliau sudah mula merasakan satu tanggungjawab, alhamdulillah.
Seperti yang selalu diperkatakan, ibu bapa yang akan mencorakkan masa depan anak-anak. Moga kita semua berjaya menjadi ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak kita menjadi generasi pelapis yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
****Siaran Disember 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan