24 Februari 2009

Catatan diari baru

Sejak seminggu lepas, saya menerima banyak sms malah emel daripada para isteri, suami dan beberapa pelajar yang meluahkan rasa hampa dan kecewa kerana merasakan tahun ini tidak memberikan apa-apa kebahagiaan kepada mereka. Ada isteri yang kecewa kerana kebahagiaan yang diharapkan ranap apabila gagal mendapat perhatian dan belaian daripada suami yang terlalu sibuk dengan perniagaan walhal baru hampir setahun mendirikan perkahwinan. Ada isteri yang berusaha menambat semula perhatian suami setelah suami cuba berpaling kasih hingga sanggup membelanjakan sejumlah wang yang banyak demi menyaingi kekasih suami malangnya suami seperti tak sedar kehadiran isteri sendiri. Ada suami yang cuba mendidik isteri agar menjadi isteri yang taatkan suami dan tidak terlalu menurut kata-kata orang tua tetapi isteri masih berperwatakan sama. Ada pelajar yang telah berusaha 200% tetapi masih gagal mencapai keputusan terbaik seperti harapan ibu bapa. Macam-macam kisah lagi sebenarnya yang kesemuanya menjurus kepada satu kesimpulan: hasrat dan azam tahun ini tidak berjaya dicapai.

Hmm… terasa macam baru sangat memperkatakan mengenai tahun baru dan azam baru, dah tiba pula tahun baru sekali lagi. Betapa cepatnya masa berlalu. Saya pasti, walau banyak luahan kecewa yang saya terima, masih ramai juga sebenarnya yang telah berjaya menunaikan azam masing-masing. Tahniah!! Kepada mereka yang mengirimkan sms dan emel kepada saya malah mereka yang belum mencapai azam sendiri atau perlu disambung pelaksanaannya sebagai azam tahun baru juga, anda perlu memeriksa kenapakah azam anda boleh tertangguh? Kerana tiada kesungguhan ketika cuba menggapainya atau ianya kurang sesuai dengan situasi anda sekarang. Tak kiralah apa pun alasannya, yang paling penting ialah jangan berasa kecewa atau sedih hati kerana masih belum berjaya mencapai azam dan impian anda. Ingat!! Anda bukan gagal tetapi masih belum berjaya.

Terdapat perbezaan antara kegagalan dengan masih belum berjaya dan hakikatnya yang pasti: TIADA ISTILAH GAGAL DALAM BERUSAHA. Sebaliknya ketidakberjayaan anda hanyalah satu cabaran untuk anda terus mempertingkatkan usaha bagi mencapai azam, cita-cita dan impian yang anda inginkan. Jangan meletakkan tempoh masa tertentu sebagai pengukur kejayaan sebaliknya anda boleh membuat satu kiraan masa untuk menghitung sejauhmana anda telah dapat mencapai azam dan cita-cita anda. Anda perlu ingat, apa juga impian dan iltizam anda, bukan hanya anda yang terlibat ke arah pelaksanaan cita-cita anda itu. Terdapat banyak faktor-faktor lain yang terlibat sama termasuklah insan di sekeliling anda.

Sebagai contoh, kes seorang suami yang ingin mendidik isteri supaya patuh kepadanya dan tidak terlalu menurut kata orang tuanya. Untuk mencapai hasrat anda, bukan hanya anda yang perlu memainkan peranan tetapi isteri anda dan ibu bapanya juga. Anda perlukan cara dan strategi berhikmah untuk mencapai hasrat anda. Paling penting, hasrat anda perlu diketahui oleh isteri anda dan nyatakan kenapakah anda ingin mencapai hasrat tersebut. Malangnya, ada di kalangan kita yang mempunyai pelbagai azam setiap awal tahun tetapi tidak tahu kenapakah azam itu ingin dicapai malah tidak pasti, perlukah azam tersebut demi kebahagiaan diri sendiri dan insan-insan lain di sekeliling anda.

Semua orang ingin bahagia dan seperti yang selalu saya katakan, kebahagiaan itu terlalu abstrak, sukar untuk didefinisikan. Lantas, walau anda dan pasangan anda berada di dalam satu alam rumahtangga, kebahagiaan bagi anda belum tentu kebahagiaan bagi si dia. Seperti kes isteri yang kesepian lantaran suami yang terlalu sibuk dengan perniagaan. Bagi si isteri, beliau inginkan perhatian dan belaian suami. Mungkin bagi suami pula, beliau ingin menyediakan segala kemewahan buat isteri tercinta. Apabila hasrat masing-masing terpendam maka kusutlah jadinya. Ya… memang selalunya azam dan impian seseorang menjadi rahsia. Bimbang jika dihebahkan dan tiba-tiba gagal mencapainya, anda akan disindir atau diketawakan.

Kenapa perlu bimbang disindir atau diketawakan? Bukan hanya anda yang tidak berjaya? Seperti yang saya katakan juga, anda bukan gagal cuma masih belum berjaya. Jika anda kongsi hasrat dan impian anda dengan orang lain, akan lebih banyak kebaikan yang anda akan terima. Anda boleh dapatkan bantuan dan pertolongan daripada mereka yang lebih arif di dalam bidang yang ingin anda capai. Malahan, pengetahuan orang lain mengenai azam dan cita-cita anda boleh anda jadikan sebagai pendorong semangat anda agar lebih berusaha dan bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Jangan takut dengan sindiran atau gelak tawa orang. Jika anda takut disindir atau diketawakan, ke mana pun anda takkan boleh bergerak. Apa pun sukar anda nak laksanakan.

Masih ingat lagi pesanan saya dulu? JADILAH DIRI ANDA SENDIRI dan jangan jadi orang lain. Anda adalah manusia yang dianugerahkan kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Memang anda juga ada kelemahan dan kelemahan itu bukan satu halangan untuk anda terus maju ke depan. Walau anda bukan graduan atau orang berharta, anda tetap berhak memiliki kebahagiaan anda sendiri. Pedulikan kata nista atau sindiran orang, selagi anda yakin segala tindakan dan keputusan anda benar dan diredha Ilahi, teruskan memburu impian anda. Jadikan tahun baru ini, tahun untuk anda menolak tepi segala duka kerana ANDA BERHAK BAHAGIA.

****Siaran Januari 2007

Tiada ulasan: