Malam tadi ketika sedang mengemas selepas makan malam, ada satu sms masuk. Daripada seorang rakan ketika di UM. Mesejnya memeranjatkan saya: NB di SP telah meninggal dunia pada 10 Nov. Al-Fatihah utk kwn kita yg budiman. Sungguh saya terkejut sbb NB adalah rakan ketika sama-sama belajar di UM. Beliau nampak sihat. Malah, dalam usia yang agak muda, memang agak memeranjatkan apabila menerima berita sedemikian. Namun, saya mengerti, ajal dan maut ketentuan Ilahi, bila sampai masanya, tidak akan tercepat atau terlewat walaupun seminit. Segera saya balas mesej rakan saya itu: Innalillah hiwainna ilaihi rajiun. Apa sakitnya? Anak berapa org? Wife bekerja tak? Memang saya dah lama tak mendengar berita mengenai aruah, jadi banyak perkara yang saya tak tau. Tak lama saya mendapat jawapan: Leukimia. Anak 2. Isteri tak kerja. Sian kan… Allahu akbar. Kau lebih mengetahui tentang segala hikmah di sebalik setiap kehendak-Mu… hanya itu yang mampu saya katakan.
Saya pasti, para pembaca semua mula faham kenapa saya memilih topik perbincangan kali ini. Wanita kini, kebanyakannya sudah sinonim dengan status dwi kerjaya. Namun ada juga yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa dengan alasan-alasan yang boleh dikira kukuh dan masuk akal. Cuma, saya masih ingat pesanan seorang pensyarah saya ketika di UM dulu, sebolah-bolehnya jika telah bekerja, cubalah usahakan agar dapat bertahan dan jangan berfikir dua kali sahaja untuk meletakkan jawatan. Sebabnya? Kita tak tau apa yang akan terjadi di belakang hari. Apa salahnya kita bersedia lebih awal. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.
Saya tahu, ada wanita yang ditakdirkan bersuamikan seorang lelaki berharta. Mungkin tak perlu risau jika kisah malang seperti isteri rakan saya tadi terjadi ke atas diri anda. Namun, apakah jaminannya anda akan mewarisi harta peninggalan tersebut? Jangan salah faham yer. Saya bukan mengajar anda menjadi materialistik. Saya cuma ingin mengingatkan anda agar tidak mengadah setelah terhantuk. Paling penting, apa yang saya cadangkan bukan semata-mata untuk kepentingan anda seorang wanita tetapi adalah demi kepentingan dan kebajikan anak-anak. Sebagai seorang wanita, anda perlu lebih bersedia menghadapi apa jua kemungkinan yang bakal berlaku di dalam rumah tangga anda. Kematian dan kehilangan kasih sayang. Jangan anda sangka, anda telah menjaga suami anda secukupnya, tidak mungkin suami berpaling kasih. Bayangkan bila tiba satu detik anda diduga, suami menduakan anda malah paling malang, anda dipinggirkan terus kerana suami punya teman yang baru.
Bagaimana anda dan anak-anak? Ya, nafkah anak-anak tanggungan suami tetapi masih ada kes bapa yang tidak tunaikan tanggungjawab. Sekurang-kurangnya jika wanita bekerja, kebergantungan kepada suami bukan lagi 100%. Bukan bermaksud suami tidak diperlukan tetapi wanita akan lebih mudah berdikari dan tidak cepat melatah jika ditimpa apa juga ujian dan dugaan. Sebabnya wanita sendiri sudah punya pendapatan sendiri. Tidak perlu menunggu proses pengurusan harta peninggalan suami untuk meneruskan kehidupan sendiri dan anak-anak. Tidak perlu menagih simpati suami untuk menyuap makan anak-anak. Jangan terkejut ya, ada bapa yang sanggup menafikan anak kandung sendiri apabila beristeri baru, nauzubillah.
Saya masih ingat lagi semasa saya dan bakal suami merancang untuk mendirikan rumah tangga, perkara pertama yang saya usulkan pada suami ialah: Jangan minta saya berhenti kerja. Mungkin ada yang tak setuju tetapi bagi saya kehidupan wanita akan lebih terjamin jika mempunyai pendapatan sendiri. Tak kisah lah apa kerja anda… kerja pejabat, memasak, menjahit, menjaga anak jiran… yang penting anda punya pendapatan sendiri. Paling tidak pun, pujuklah suami supaya memberikan anda sejumlah wang untuk simpanan khas anda dan pastikan jumlah tersebut disimpan dan bukan untuk dibelanjakan walau apa juga kecemasan mendatang. Selagi suami bersama anda, biarlah suami yang berikhtiar dan berusaha menyelesaikannya. Ingat, anda memang bukan keturunan Haji Bakhil tetapi anda perlu bersedia untuk kebajikan anda dan anak-anak di masa depan.
Jika ditakdirkan anda mempunyai suami yang sedikit atau agak garang, sukar dibawa berbincang, pandai-pandailah anda menabung sendiri daripada baki kegunaan harian. Saya tahu, ada kes isteri bekerja tetapi hasil pendapatan dikaut bersih oleh suami, sekupang pun tak ditinggalkan untuk isteri. Jika anda menghadapi situasi begini, jangan berterusan menyiksa diri. Apa guna punya suami yang hanya tahu makan hasil titik peluh isteri sedang pada hakikatnya suamilah orang yang wajib menyuap mulut anak-anak dan isteri. Apa perlunya lagi anda mengharapkan suami sebegitu? Sepanjang pengalaman saya mengendalikan kes, isteri-isteri yang punya pendapatan sendiri paling mudah membuat keputusan apabila berhadapan dengan suami yang berperangai persis orang gila berbanding isteri yang tidak bekerja.
Lantas, kepada para isteri, sediakan bukan sekadar payung tetapi sebuah kanopi yang teguh agar anda dan anak-anak anda dapat meneruskan hidup dengan sempurna walau apa yang terjadi kepada suami anda nanti. Kepada para suami, saya mohon simpati anda semua atas nama seorang manusia, walau apa juga yang anda ingin lakukan, jangan kesampingkan wanita yang pernah bertakhta di hati anda dan jangan pinggirkan anak-anak anda, darah daging anda sendiri. Mereka adalah tanggungjawab anda yang perlu anda jawab di hari akhirat nanti.
****Siaran Disember 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan