Seorang ibu berusia 30 tahun meng’sms’ saya meluahkan rasa tertekan dengan sikap keluarganya dan keluarga mertua yang mengatakan anak lelakinya yang berusia tiga tahun, kurang ajar. Menurut si ibu, anak lelakinya itu tidak reti nak duduk diam walaupun lima saat dan makin bersikap degil dan baran. Satu sms yang lain pula, seorang ibu menanyakan bagaimana caranya untuk menangani masalah anak sulungnya yang cemburukan adik-adiknya sendiri sedangkan ibu bapa tak pilih kasih. Anak sulungnya boleh berkawan baik dengan anak orang lain tetapi tidak dengan adik-adik sendiri. Hmmm…dilema dua ibu yang saya yakin, juga mewakili ramai ibu yang ada di era kini. Semua orang tau, anak-anak adalah ibarat kain putih bersih dan ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab mencorakkan kain putih tersebut.
Sama seperti sehelai kertas lukisan, jika cantik corak dan warna yang anda lakarkan, cantiklah jadinya lukisan anda itu. Jika sekadar cincai dan ‘aci siap’, jangan mengeluh jika hasil yang diperolehi tidak memuaskan hati anda sendiri. Samalah juga dengan memelihara, membesarkan, membimbing dan mendidik anak-anak. Jika sebuah lukisan yang cantik perlukan ketekunan dan kesabaran, mempunyai anak-anak yang baik berlebih lagilah memerlukan ketekunan dan kesabaran. Bukan mudah menjadi seorang ibu dan bapa tambah lagi di zaman serba canggih dan moden kini. Sebagai seorang ibu dan bapa, tanggungjawab menjadikan anak anda seorang insan yang berguna kepada semua orang terpikul di bahu sejak anak anda masih di dalam kandungan. Bila mengetahui anda bakal menjadi seorang ibu atau bapa, perkara paling utama yang perlu anda lakukan adalah melengkapkan diri anda dengan ilmu-ilmu keibubapaan.
Ketahui nama-nama yang baik dan sesuai untuk bakal bayi anda. Belajar mengenai psikologi anak-anak dan bagaimana kaedah untuk membesarkan dan mendidik anak-anak bermula dari hari pertama bayi anda dilahirkan hinggalah bayi anda pula berada di tempat anda sekarang. Malangnya ramai bakal ibu dan bapa yang tidak ambil berat mengenai hal ini. Ada masanya, bila anak-anak dah lahir baru sibuk mencari nama, dah tu nak pulak nama-nama ‘glamour’ dan ‘up to date’ tanpa memikirkan apakah maksudnya. Bila bayi anda membesar dan mula ‘buat perangai’, anda pulak yang serabut malah ada yang menganggap kerenah anak-anak itu adalah beban. Berbanding mereka yang ada ilmu keibubapaan di dada, setiap kerenah anak-anak akan dapat ditangani dengan mudah insyaAllah.
Sebagai contoh, di dalam kes pertama: kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tiga tahun memang tak reti nak duduk diam. Saya sendiri mempunyai anak lelaki yang bakal genap tiga tahun pada 28 Februari ini. Saya akui, amat penat dan letih melayan kerenah putera saya itu. Pukul 11 malam tika saya dah nak lelapkan mata, diajaknya saya bermain badminton atau bermain bola sepak. Terpaksalah saya dan suami bergilir-gilir melayan kerenahnya. Sebab? Dah memang itulah telatah dan sikap kanak-kanak di dalam usia sedemikian. Kanak-kanak yang makin bertambah usia, makin berkeinginan melakukan sesuatu yang baru. Jika perkara tersebut baik dan tidak membahayakan, cubalah layani kerenah anak anda. Jika tidak berdaya, jangan sesekali bersikap kasar atau memarahi si anak. Sikap keras yang anda tunjukkan akan membekas di jiwa anak anda dan tiba satu masa dia akan bersikap sama, memberontak bila kehendak dan hajatnya tidak kesampaian. Sebab itulah ada kanak-kanak yang dah pandai bersikap degil, keras kepala dan baran walaupun usia masih terlalu muda.
Di dalam kes kedua pula, walaupun ibu bapa yakin tidak pernah membezakan kasih antara anak-anak namun kadang kala ada tingkah laku ibu bapa yang tanpa disedari seolah-olah meminggirkan sebilangan anak-anak anda. Kebiasaannya, situasi ini dirasai oleh anak sulung walau ada kes, anak kedua atau ke bawah juga merasainya. Setiap ibu bapa perlu tahu dan ingat, anak-anak mempunyai jiwa yang amat sensitif. Segala apa yang mereka rasai tika kecil sukar untuk mereka luahkan tetapi akan tetap diingat dan dikenang hingga mereka dewasa. Mungkin anda sayangkan anak sulung sama seperti anak kedua tetapi anda tidak sedar, belaian dan perhatian yang lebih kepada anak kedua menyebabkan anak pertama rasa tersingkir. Perasaan tersingkir itulah yang membuahkan rasa cemburu di hati hingga anak mula membenci saudaranya sendiri. Saya masih ingat ketika saya hampir bersalinkan putera saya, hampir setiap hari saya berpesan kepada suami: Kalau Ana sibuk layan adik, abang mesti layan Ayang (anak sulung saya), jangan sampai Ayang rasa tak dipedulikan. Jika hanya saya di rumah, saya akan ajak puteri saya bersama melayan putera saya hatta jika saya sedang menyusukan adiknya. Hingga sekarang, apa juga yang saya dan suami lakukan, seboleh mungkin kami elakkan ada antara anak-anak yang rasa terpinggir.
Bukan nak nyatakan saya dan suami ‘perfect’ tetapi dari ilmu yang ada, itulah caranya yang perlu dilakukan untuk mengelakkan rasa cemburu di kalangan anak-anak. Anak yang terpinggir, tak kiralah anak sulung, kedua atau keberapa pun, jika si anak merasakan dia seperti tak dipedulikan, tidak mustahil perasaan cemburu akan berbunga di hati dan paling ditakuti, ianya akan mekar sebagai bunga dendam, nauzubillah. Jalan terbaik, cuba sedaya upaya tunjukkan keadilan anda kepada anak-anak. Tak semestinya yang sulung perlu selalu mengalah. Walau masih terlalu kecil, si adik tetap perlu menerima hukuman jika bersalah. Bila anak-anak nampak adanya keadilan, tidak timbul lagi soal pilih kasih atau terpinggir sayang. Perlu diingat juga, dalam mendidik anak-anak, jangan terlalu mudah memikirkan kata-kata orang sekeliling walaupun daripada darah daging sendiri. Jangan juga mengeluarkan kata-kata kesat kepada anak-anak kerana kata-kata anda adalah doa. Walau anda marah camana sekali pun, gunakan bahasa yang baik untuk menghukum anak-anak. Jangan biasakan anak-anak dengan kekerasan kerana hatinya akan lebih keras. Dalam mendidik, mulakan dengan hikmah, lembut tetapi tegas. Bukan tak boleh menghukum tetapi biar kena pada tempat. Memang sukar menjadi seorang ibu dan bapa, jika mudah, takkanlah redha Allah kepada anak itu bergantung kepada redhanya ibu bapa kepada anak-anak. Fikir-fikirkan dan bertindaklah dengan sebaiknya….
****Siaran Januari 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan