“Kak Su balik kul baper ari ni? Saya balik nanti terus amik suami kat Pudu.” “Oooo, suami balik yer minggu ni?” Rakan sepejabat saya mengiyakan. Ceria saja wajahnya. Saya faham sangat. Memang sukar nak diceritakan betapa gembiranya bila dapat bertemu suami semula selepas perpisahan dengan tempoh masa yang agak lama. Rakan saya ini menjadi suami isteri ujung minggu. Ada tikanya, mereka akan berjumpa sekali dalam tempoh dua minggu. Kiranya dah lebih dua tahun mereka menjadi pasangan jarak jauh. Namun alhamdulillah, saya nampak rakan saya itu ceria sepanjang masa. Malah tika sempat berkenalan dengan suaminya ketika majlis rumah terbuka baru-baru ini, memang jelas sangat mereka adalah pasangan penuh romantik dan mesra walau telah dikurniakan dengan dua orang puteri.
Jangan pelik kenapa tiba-tiba saya membawa kisah rakan sepejabat saya untuk perbincangan kali ini. Kisah rakan sepejabat saya ini malah saya juga mempunyai dua rakan sepengajian yang juga menjadi pasangan suami isteri jarak jauh, amat wajar untuk saya kongsi dengan pembaca semua. Saya harap, perbincangan saya ini menjawab beberapa emel yang meluahkan rasa sedih apabila mengalami cinta malap bila pasangan berada jauh di mata. Malah saya harap juga dapat menjawab persoalan individu yang masih sangsi untuk membuat keputusan, wajarkah membiarkan pasangan bekerja jauh. Jika ikut kata pepatah, jauh di mata dekat di hati. Kalau itu yang terjadi, tidak ada masalah lah kan. Tetapi menurut beberapa emel yang saya terima, bila jauh di mata, makin jauh juga di hati. Kalau selalu berjumpa sebulan sekali, sekarang ini bercakap di telefon sekali dalam sebulan pun payah. Bila diajukan pertanyaan, alasannya sibuk. Hmmmm…. macam dia sorang jer yang bekerja kan?
Sebenarnya, dekat atau jauh bukan satu faktor untuk mengekalkan hubungan kasih sayang. Ada pasangan yang tinggal sebumbung akhirnya berpisah juga dan seperti rakan-rakan saya, walaupun telah bertahun terpisah, hubungan tetap kekal malah makin mesra. Pokoknya, kemahuan dan kehendak hati sendiri. Tepuk dada tanyalah cinta anda. Jika anda sedar dan berkehendak untuk mempertahankan cinta dan kasih sayang anda kepada si dia, anda boleh melakukannya walau jarak ratusan batu memisahkan anda berdua…. walau hanya sesekali berjumpa…. walau hanya mampu mendengar suara melepas rindu. Yang penting, kemahuan anda dan si dia.
Renung kembali sejarah perkenalan anda. Kebanyakan kita tidak berkenalan dan berpasangan dengan jiran sebelah rumah, betul kan? Ada yang berkenalan dengan individu dengan jarak puluhan atau ratusan batu. Masih boleh meneruskan perhubungan hingga masing-masing sepakat mengikat kata janji. Jika saat mula anda boleh mewujudkan cinta dengan si dia bererti bila cinta dah ada, jauh bukan lagi alasan atau sebab untuk menafikan cinta. Seperti yang saya tegaskan, dekat atau jauh tidak penting. Yang penting, kehendak anda sendiri. Seperti rakan saya, walau suami jauh nun di utara, apa saja yang dilakukannya atau apa juga telatah dan kerenah anak-anaknya, suami takkan tak tau walaupun hanya sekadar keluar bersama saya ke Carrefour. Setiap pergerakan dan perbuatan akan dikhabarkannya kepada suami. Sama juga dengan suaminya, walau apa aktivitinya di sana, rakan saya akan tahu. Sesibuk mana pun, pasti mereka akan mencari masa walau sekejap untuk berbual dan bertanya khabar. Jelas sekali kata bidalan, hendak seribu daya, mahu seribu cara.
Jika anda mahu menghasilkan biskut, sudah pasti anda takkan sediakan adunan kek. Sama lah juga jika anda ingin kekalkan rasa cinta dan sayang kepada pasangan anda, anda akan berusaha mempertahankan kasih sayang anda dan si dia. Jauh di mata bukan alasan mudah untuk anda memasang mata mencari yang kedua, ketiga atau ‘spare tyre’. Saya teringat satu luahan seorang suami mengenai konsep hubungn jarak jauh ini atau lebih tepat lagi, luahannya menjurus kepada hikmah berpoligami. Kata si lelaki, dah kalau terpaksa berjauhan, apalah salahnya jika si isteri memberi izin kepada si suami untuk berkahwin seorang lagi dengan seseorang yang boleh menemani si suami sepanjang masa.... itulah luahannya. Jawapan yang saya kemukakan tika itu, ingin saya kongsi bersama dengan anda hari ini.
Kalaulah semudah itu mencari alasan untuk berpoligami, memang hancurlah perkahwinan. Bayangkanlah…sekali terpaksa berpisah, kawin lain untuk mempunyai teman, terpisah lagi kawin lagi, terpisah lagi kawin lagi…. kalau ditakdirkan dalam lima tahun mempunyai lebih dari empat lokasi kerja, berapa ramai isteri anda dah ada? Perkahwinan bukan sekadar nak adakan teman di depan mata, banyak perkara yang lebih utama perlu difikirkan. Paling penting, kenapa berpandangan hanya suami yang perlukan teman sepanjang masa? Isteri??? Hakikatnya isteri yang lebih memerlukan teman kerana isteri secara asasnya adalah untuk dilindungi.
Dalam era ‘air dalam besi dan api dalam kaca’ sekarang ini, jauh ribuan batu bukan satu alasan untuk anda beralih kasih apatah lagi bersikap curang. Terlalu banyak kemudahan yang ada yang boleh anda gunakan untuk mengukuhkan ikatan cinta dan kasih sayang. Jauh dirindu, dekat di sayang. Malahan secara logiknya, pertemuan sesekali itu adalah lebih baik dan mengeratkan kasih sayang seperti kata pepatah Arab: Zur ghibban tazdad hubban…. Paling penting… kehendak anda….
****Siaran Disember 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan