Alhamdulillah, hajat saya bersama rakan-rakan sekerja untuk mengadakan ‘surprise party’ sempena ulangtahun kelahiran boss kesayangan kami tercapai juga. Paling seronok, boss mengucapkan terima kasih kepada kami semua kerana mengingati dan meraikan ulangtahun kelahirannya itu. Memang seronok bila hari penting di dalam hidup kita diingati tambah lagi oleh insan yang paling rapat dan disayangi. Namun, kali ini saya tidak berhajat untuk kembali mengingatkan bagi entah kali yang keberapa tentang betapa hari-hari penting di dalam hidup seseorang perlu diingati. Kali ini, saya nak tumpukan kepada perbincangan apakah usia yang bertambah mencerminkan juga bertambahnya kematangan fikiran anda?
Tak lama lagi saya pun akan menyambut ulangtahun kelahiran. Setiap orang ada hari kelahiran masing-masing. Bezanya hanyalah apakah hari tersebut dirai meriah, sederhana atau sama saja dengan hari-hari biasa. Tak kiralah semeriah mana hari ulangtahun anda dirai, satu soalan yang ingin saya tanyakan, apakah anda rasa anda layak merayakan sambutan bertambahnya usia anda tersebut? Apakah anda berkelakuan dan bertindak persis usia yang anda raikan? Semua orang tau, usia makin bertambah setiap saat, bukan mengurang. Setiap detik yang berlalu adalah umpama satu anak tangga yang anda langkah untuk makin ke atas. Jangan hanya seronok meraikan bertambahnya usia tetapi anda gagal memenuhkan usia anda dengan selayaknya.
Tanyakan pada diri, apakah anda telah bertindak selayaknya dengan usia anda? Jika usia anda sekarang 17 tahun, 21 tahun, 30 tahun, 40 tahun atau lebih lagi, apakah segala perlakuan anda dan cara anda berfikir, selayak dengan capaian umur anda? Saya tau, ramai anak-anak remaja yang tidak sabar untuk meraikan ulangtahun kelahiran yang ke 21. Sebabnya, konon hari itulah anda akan dapat ‘kunci’ kepada kehidupan anda. Hmmmm… pelik juga ya. Kunci apa yang anda perlukan sedangkan anda telah menerima kunci untuk menikmati hidup ini sewajarnya sejak anda dilahirkan? Jangan cepat sangat menjawab, ianya kunci untuk anda berfikir dan bertindak atas keputusan sendiri. Sedarlah, selagi anda masih mempunyai ibu dan ayah, sewajarnya segala keputusan yang bakal anda ambil adalah atas perbincangan bersama. Mengapa? Supaya apa juga kesan atau natijah daripada keputusan tersebut, anda tidak akan menghadapi atau menanggungnya sendirian. Jika bahagia yang dicapai, sudah pasti ibu dan ayah akan tumpang merasai kegembiraan anda. Sebaliknya jika duka yang dialami, anda tidak bersendirian menghadapi derita. Ibu dan ayah akan tetap bersama anda mendepani hari muka.
Jika anda berusia 40 tahun pula, jangan sesedap rasa mendabik bangga bahawa pendapat anda adalah bernas berbanding mereka yang lebih muda daripada anda. Kenapa? Ketuaan umur bukan cerminan matangnya fikiran. Sebab itulah saya tanyakan pada awal tadi, apakah anda bertindak selayak dengan usia anda? Tindakan seiring usia pula berbeza mengikut status setiap individu. Jika anda berusia 25 tahun dan telah mendirikan rumahtangga, kematangan yang sepatutnya anda miliki tidak sama dengan rakan sebaya anda yang masih bujang. Anda mempunyai tanggungjawab dan kewajipan yang perlu anda tunaikan kepada pasangan hidup anda dan anak-anak jika anda telah menjadi ibu atau ayah. Anda tidak boleh menyamakan diri anda dengan rakan-rakan anda yang masih suka melepak di hujung minggu atau sering pulang lewat malam.
Bererti, usia anda dan siapa diri anda meletakkan anda di dalam satu acuan khas yang perlu anda didik dan bentuk diri anda menjadi seseorang yang sepatutnya dan terbaik. Jika anda isteri atau suami, ibu atau ayah… bertindaklah sewajarnya dengan status dan usia anda. Jangan jadikan alasan perkahwinan paksa di usia muda sebagai asas untuk anda tidak menjalankan tanggungjawab dan kewajipan yang sepatutnya sebagai seorang suami atau isteri apatah lagi sebagai seorang ibu atau ayah. Jangan rosakkan minda dan jiwa anak-anak anda semata-mata anda ingin mengecapi semula usia remaja yang hilang sebelum ini.
Jangan juga menuding jari menyalahkan sesiapa kerana anda kehilangan peluang tersebut. Apa nikmat usia remaja yang ingin anda kecapi hingga sanggup mengenepikan kewajipan anda? Berjalan-jalan di kompleks membeli belah? Berbual dengan teman-teman. Sekarang pun anda boleh lakukan itu semua, betul? Semuanya sama saja. Tiada yang lebih indah kan? Jika ada pun perkara yang anda rasa anda gagal kecapi semasa berusia belasan tahun, sekarang anda bukan lagi belasan tahun. Usia belasan tahun itu telah berlalu dan sewajarnya sekarang ini anda bertindak selayaknya dengan usia anda.
Jika anda ibu, bertindaklah sewajarnya sebagai seorang ibu. Jika anda seorang ayah, bertindaklah sewajarnya sebagai seorang ayah. Tanggungjawab seorang ibu dan ayah bukan semudah memetik jari. Di bahu anda terpikul tanggungjawab untuk membesarkan dan mendidik anak-anak anda menjadi seorang insan yang berjaya dan berguna. Sekadar berjaya tetapi menjadi sampah masyarakat pun, tiada faedahnya. Tanya pada diri, jika anda telah merasai kepahitan hidup dengan apa yang anda ada sekarang ini, apakah anda mahu anak-anak anda mewarisi kepayahan dan kepahitan hidup tersebut? Sudah pasti jawapannya TIDAK kan!
Kepada yang meraikan ulangtahun kelahiran hari ini atau hari-hari akan datang, atau hari-hari yang baru berlalu…. jangan sekadar meniup lilin dan menerima ucapan selamat atau hadiah, ingatlah usia anda telah bertambah. Bertambah usia seharusnya anda bertambah bijak dan matang di dalam mengambil tindakan. Dan jangan juga lupa… bertambah usia bererti makin dekat harinya untuk anda kembali kepada-Nya yang Maha Esa…. bersedialah.
****Siaran Disember 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan