Entah mengapa sejak kebelakangan ini, saya kerap sangat tidak sihat. Badan rasa lemah semacam. Sebelum ini, saya memang susah sangat nak demam. Kalau demam tu, memang teruk terus. Dalam setahun, pernah lah sekali. Tapi kali ni lain pulak. Yang peliknya bila diperiksa, kata doktor saya cuma demam dan sakit kepala biasa, paling penting tekanan darah saya ok. Mungkin juga faktor cuaca (tika artikel ini ditulis, jerebu teruk melanda negara). Nak MC lama-lama, bertimbun pulak kerja jadinya. Saya paksakan diri, menggagahkan diri ke tempat kerja. Bila dah berdepan dengan kerja, sakit pun entah ke mana… Alhamdulillah. Mungkin ada yang pelik, apasal lak saya mulakan perbincangan kali ni dengan kisah saya yang kurang sihat?
Sebenarnya, saya berasa terpanggil untuk berkongsi dengan anda satu cerita tentang nikmat. Saya yakin para pembaca semua pernah dengar dan tahu tentang rebutlah lima sebelum datangnya lima: sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati. Sungguh benar sabda baginda Rasul itu. Betapa kini, setelah saya teruji dengan kesihatan yang kurang baik, baru saya betapa nikmatnya hidup sihat. Sungguhlah benar kita ni manusia yang tak lepas daripada ‘nis yan’ atau lupa. Apabila teruji, barulah kita tau menghargai barang dan orang yang ada di sekeliling kita sedangkan sebelumnya kita seakan tidak sedar dengan nikmat yang diberikan oleh Allah tersebut kepada kita. Ya. Kesihatan, pekerjaan, kewangan, harta, kasih sayang, insan sekeliling… semuanya adalah nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Malangnya berapa ramai yang menghargai?
Saya tak nak sentuh tentang perkara-perkara lain, cukuplah sekadar membawa isu ini berkaitan dengan kekeluargaan. Tanyakan pada diri, berapa kalikah dalam sehari anda mengucapkan sayang kepada pasangan anda? Berapa kalikah dalam sehari anda memeluk sayang anak-anak anda? Atau pernah tak anda sedar betapa selama ini, anda memiliki nikmat hidup yang tidak ternilai harganya? Kenapa suami atau isteri dan anak-anak adalah nikmat? Perhatikan orang lain di sekeliling anda, ada yang masih belum bersuami, masih belum beristeri dan masih belum punya anak walaupun telah lama mendirikan mahligai perkahwinan. Sedangkan anda, memiliki semua tu… itulah nikmat kurniaan Ilahi yang mesti anda hargai. Malangnya, kebanyakan daripada kita hanya akan terngadah bila dah terhantuk. Paling malang lagi bila jatuh untuk kali yang kedua ke dalam lubang yang sama.
Saya teringat satu kes yang saya terima pertengahan tahun baru ni. Seorang isteri mengadu tentang suaminya yang masih mengulangi kecurangannya dengan wanita lain sedangkan telah acap kali berjanji dan bersumpah untuk berubah. Tika aduan dibuat, si isteri telah nekad untuk berpisah kerana beberapa peluang yang diberi kepada si suami dipersiakan. Satu kes lagi, seorang suami berpatah arang dengan sikap si isteri yang dilayan bagai menatang minyak yang penuh. Huluran madu si suami dibalas dengan tuba gara-gara si isteri berpangkat lebih tinggi dan lebih banyak menyumbang di dalam ekonomi rumah tangga. Dalam kedua-dua kes, pasangan masing-masing tersentak bagai diserang sakit jantung apabila diajukan dengan permohonan talak. Pelik kan? Kenapa perlu tersentak?
Bukan dua kes ini sahaja. Saya pernah perhatikan banyak kes salah satu pihak menangis selepas disahkan perceraian mereka. Banyak kes juga kedua-dua bekas suami dan isteri menangis apabila hakim mengisytiharkan perceraian mereka. Air mata gembira? Saya yakin, bukan air mata gembira kerana riak wajah mereka bukan menggambarkan sebuah keceriaan. Sedih? Kenapa perlu sedih jika itulah pilihannya kan? Malah saya pernah saksikan satu kes perceraian berpunca daripada sikap buruk suami tetapi akhirnya si suami yang menangis teresak-esak apabila permohonan cerai isteri diluluskan.
Ya… mereka dah mula terasa betapa milik mereka sebelum ini adalah satu nikmat yang telah dipersiakan dan kini mereka kehilangan nikmat tersebut. Sedangkan sebelum ini mendabik dada menjerit kepada dunia: aku ada hak untuk mendapatkan yang terbaik. Salahkah jika dah ada isteri yang setia dan sanggup berkorban segala tetapi masih nak pasang mata mencari yang lebih licin dahinya, yang lebih ramping pinggangnya? Silapkah jika dah ada suami yang baik dan bertanggungjawab tetapi masih nak cari lelaki yang lebih gagah dan berharta? Saya tahu, anda berhak mendapatkan yang terbaik tetapi tanyalah pada diri sendiri, apakah anda sendiri adalah yang terbaik? Sungguhpun anda yakin anda adalah yang terbaik, ceriakah hidup jika anda hanya bersama mereka yang sama dan setaraf dengan anda?
Satu analogi mudah: Anda telah mempunyai satu warna dan diberi kebebasan untuk memilih satu warna tambahan. Apakah warna pilihan anda? Apakah warna yang sama dengan warna yang anda telah ada. Sudah pasti tidak kan? Kenapa? Kerana anda inginkan keserasian, bukan persamaan. Keserasian pula tidak sama antara seorang individu dengan individu yang lain. Kebahagiaan yang anda miliki bersama pasangan anda tidak menjamin anda juga akan bahagia dengan pasangan baru anda walaupun pasangan baru anda lebih cantik, tampan dan berharta.
Teringat senikata lagu Allahyarham Sudirman: Pernah dulu kufikirkan tanpa cinta tak mengapa, bila kau pergi kurasakan sunyinya di hati, baru kini kutahu nilai cintamu…. Tak perlulah saya panjangkan senikata lagu yang saya pasti masih tetap menjadi pujaan tersebut. Pujalah dan hayatilah kata-katanya. Bukan saja alunan lagunya yang merdu tetapi liriknya penuh makna. Moga anda tidak turut mendendangkan irama yang sama kerana tersilap menilai harga sebuah nikmat…
****Siaran Nov 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan