09 Ogos 2008

Melentur buluh adalah dari rebungnya

Seorang pengirim emel menceritakan perihal anak-anak suaminya dengan isteri pertama yang telah terbiasa dengan cara hidup yang mewah. Berbelanja memilih tempat, pasaraya seperti Giant dan Carrefour tu pun, tak main ler. Pasar malam memang langsung tak bau. Pakaian dalam pun, paling murah yang harganya mencecah RM50 sehelai. Bila beliau cuba mengubah cara hidup tersebut memandangkan kedudukan kewangan mereka yang tidak mengizinkan, anak-anak tirinya menuduh beliau cuba menyekat peruntukan kewangan mereka dan ingin menguasai harta ayah dan harta peninggalan aruah ibu mereka. Suami beliau juga tidak mampu mengambil tindakan kerana bila bersuara, dikatakan tidak menyayangi mereka lagi.

Meneliti emel ini, saya teringat kisah yang disiarkan di dalam beberapa slot siri Bersamamu siaran TV3. Antara episod yang disiarkan itu, memaparkan kisah kehidupan beberapa keluarga yang anak-anak mereka hanya makan nasi berlaukkan telur goreng, hanya makan nasi berkuahkan air garam, hanya makan bubur nasi saban hari dan paling menyayat hati, makan nasi berlaukkan siput babi. Pakaian mereka pula serba dhaif dan kebanyakannya pemberian orang ramai. Namun, anak-anak ini bersyukur dan redha dengan apa yang mereka ada. Kenapa? Kerana mereka telah terbiasa dengan kehidupan serba kekurangan dan anak-anak seperti ini akan tetap sedar dan insaf dengan segala kekurangan yang pernah dialami walau tiba satu saat, mereka dihujani dengan harta dan kemewahan. Berbanding dengan anak-anak yang telah terbiasa dengan kehidupan yang mewah. Duit belanja ke sekolah berjumlah RM50 sehari, santapan seharian adalah KFC, lebih mewah daripada pendapatan seorang kakitangan awam. Bila dah susah sikit, mula ler tak reti nak bergerak.

Persoalannya, kenapakah anak-anak bersikap sedemikian? Dah memang perangai cam tu? Kalau yer pun perangai cam tu, siapa yang membentuknya? Siapa yang menggalakkannya? Dah sahih di dalam hadis Rasulullah s.a.w bahawa setiap anak yang dilahirkan itu adalah bersih dan suci atau dalam erti kata lain, jiwa anak itu memiliki sifat yang murni. Ibu dan bapa anak itulah yang bertanggungjawab membentuk keperibadiannya. Ya! Saya faham, anak-anak zaman globalisasi sekarang ini lebih bijak dan lebih cepat bertindak daripada ibu bapa. Sebab itulah, wujud pepatah, ‘melentur buluh adalah dari rebungnya’. Rebung bagi anak-anak adalah ketika mereka belum mencapai usia baligh atau cukup umur. Rasulullah s.a.w sendiri menggariskan panduan di dalam mendidik anak-anak seperti di dalam kes sembahyang: “Ajarlah anak-anak kamu solat ketika umurnya 7 tahun dan pukullah mereka (seandainya enggan) apabila umurnya 10 tahun” – Sunan al-Tirmizi, Kitab Solat. Berapa ramai ibu bapa yang mengambil pengajaran daripada sabda Rasulullah s.a.w ini? Inilah punca kepada segala sikap yang akhirnya memeningkan ibu bapa sendiri.

Sebagai ibu bapa, kita wajib mementingkan pendidikan anak-anak, bukan sahaja didikan untuk hidup di dunia tetapi juga untuk kehidupan di akhirat. Saya pernah mendengar luahan kesal seorang bapa berusia hampir 60 tahun ketika mengendalikan kes melawan tuntutan anak gadisnya yang memohon untuk mendapatkan izin nikah menggunakan wali hakim. Kata si ayah: “ Pak Cik ada empat orang anak. Tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan. Semua anak-anak Pak Cik belajar di universiti luar negara. Semua anak-anak Pak Cik berjaya dalam kerjaya tapi hidup Pak Cik tak bahagia. “ Bila saya tanyakan, kenapa? Jawab Pak Cik tersebut: “ Camana Pak Cik nak bahagia? Kalau anak sendiri ler, bolehkah anak rasa bahagia kalau daripada empat orang anak-anak yang anak ada, cuma seorang jer yang belum panggil anak, orang tua yang bersusah payah membesarkannya, sebagai anjing!” Tika itu, ada titik-titik jernih di kelopak matanya. Saya sendiri mula terasa ada air jernih yang bergenang di mata saya. Tak lama selepas itu, ayah yang malang itu menyambung, “ Semua ni salah Pak cik. Pak Cik bagi didikan dunia kepada anak-anak Pak Cik tapi Pak Cik lupa nak bagi didikan akhirat.” Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan perbuatan, tidak mustahil akan menanggung sesal sepanjang hayat.

Namun, sebagai seorang Muslim yang perlu sentiasa bersikap positif, segala yang berlaku perlu dihadapi dengan kekuatan dan ketabahan kerana setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Percayalah, selagi ada hayat, kita masih belum terlambat, selagi itulah peluang masih ada, selagi itulah juga harapan boleh menjadi nyata. Pendidikan awal di usia rebung yang tidak dimanfaatkan itu masih boleh dipupuk dan dibentuk. Paling penting, perlu ada kesungguhan dan ketekunan. Tika ini, bukan lagi masa untuk berdiplomasi tetapi juga bukan masa untuk menyerang terus-terusan tanpa henti. Mendidik anak-anak bukan sahaja semasa bayi, bukan setakat zaman kanak-kanak dan remaja tetapi mendidik anak-anak adalah tanggungjawab sepanjang hayat ibu bapa dan sepanjang hayat anak-anak itu juga.

Selain usaha, jangan lupa untuk berdoa. Kita hanya mampu merancang, kita juga hanya mampu mengambil tindakan tetapi penentu segala keputusan adalah Allah Subhanu wa Ta’ala. Mohonlah agar anak-anak kita malah kita juga diberikan hidayah dan petunjuk, menjadi hambaNya yang soleh dan solehah. Moga semua ibu bapa akan bahagia memiliki anak-anak yang dikatakan sebagai cahayamata.

****SiaranSeptember 2005

1 ulasan:

Ana Rashid berkata...

Saya terpanggil untuk mencatat seposen dua puluh sen saya...kalau diperhatikan, bukan sahaja anak-anak, malah ramai jugak rakyat Malaysia dewasa yang sudah terbiasa dengan kemewahan hidup ini.

Kita lihat sahaja dalam keadaan sekarang dimana keadaan ekonomi dunia dan negara semakin hari semakin tidak mementu. Ramai dewasa yang tidak sanggup mengubah cara dan gaya hidup untuk menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran sekarang ini. Jika tidak, tiadalah saban hari kita baca dan dengar serta lihat insan-insan dewasa hanya merungut dan menrengek betapa kerajaan harus melakukan itu ini untuk menaikkan semula taraf ekonomi kita.

Memang wajar itu tanggungjawab sesebuah kerajaan biar siapapun yang memimpin...tapi bukankah kita sebagai rakyat juga harus membuat persediaan diri dan mahu mengubah cara serta gaya hidup kita bersesuaian keadaan masa kini?