16 Mei 2008

Menyayangi Anak-anak

Beberapa hari lepas, saya menerima email daripada seseorang yang telah menceritakan tentang kisah silamnya sejak di zaman kanak-kanak hinggalah sekarang. Apa yang ingin saya kongsi bersama pembaca semua di sini ialah, bagaimana seorang anak merasakan dirinya sebagai orang luar lantaran sikap ahli keluarganya terutama ibunya sendiri.

Marliya (bukan nama sebenar) telah dianaktirikan oleh ibunya sendiri sejak kecil malahan ketika telah berumahtangga dan telah mempunyai beberapa orang anak, sikap ibunya masih sama dan tidak berubah kecuali ketika khidmat dan bantuannya diperlukan.

Segala yang dilakukan oleh Marliya serba tidak kena di mata ibunya walaupun Marliya telah cuba melakukan yang terbaik. Bukan setakat sering dipersalahkan malahan Marliya dikesampingkan daripada menerima pertolongan ahli keluarganya walaupun Marliya amat memerlukan dan bantuan yang diperlukan bukanlah terlalu besar untuk disempurnakan oleh keluarganya.

Yang membuatkan Marliya berkecil hati dan rasa kecewa ialah, si ibu melebihkan adik Marliya walaupun si adik sering mendatangkan masalah kepada keluarga terutama si ibu. Paling menyedihkan, apabila si adik memberikan masalah maka Marliya yang akan menjadi sasaran kemarahan. Hingga sekarang, Marliya sering tertanya-tanya kenapa dia diperlakukan sedemikian.

Saya sendiri tidak mampu untuk menjawab sepenuhnya, kenapa Marliya diperlakukan sedemikian. Kalau nak kata Marliya anak angkat, Marliya bagitau dia pernah lihat kad klinik ibu mengandung yang menyatakan dia dilahirkan oleh ibunya di awal 70-an dulu.

Apa yang dapat saya nyatakan ialah, sikap ibu Marliya sendiri yang tidak adil di dalam menyayangi anak-anak. Ibu Marliya lebih menyayangi adiknya, mungkin sebab adiknya hampir digugurkan seperti cadangan doktor, kerana masalah kesihatan ibunya semasa mengandungkan adiknya, tetapi ibunya bertahan, seperti cerita Marliya.

Namun, walau apa pun alasannya, kita sebagai seorang ibu yang melahirkan setiap anak-anak kita, hendaklah memberikan kasih sayang, pendidikan dan perhatian yang sama rata. Tak kira anak kita hampir meninggal dunia kerana sakit, tak kira anak kita terlalu cerdik berbanding anak-anak yang lain, walaupun anak kita tidak sempurna, pokoknya mereka adalah anak-anak kita, darah daging kita.

Kita yang bertanggungjawab melahirkan mereka ke dunia. Kenapa biarkan mereka menerima berbagai penderitaan dan penyeksaan daripada kita. Memang betul, kasih sayang tidak boleh diukur atau disukat malahan Rasulullah s.a.w sendiri mengakui sukar memberikan kasih sayang yang sama rata di dalam poligami. Persoalannya sekarang, cara kita menunjukkan bagaimana kita menyayangi anak-anak adalah penting.

Anak-anak yang kita lahirkan adalah ibarat kain yang putih bersih. Kita yang mencorakkan hidupnya menjadi merah atau biru atau berwarna warni. Mencorak pula bukan sekadar memerhati tetapi mendidik, menjaga pemakanannya, memberikan kasih sayang, perhatian dan pendidikan dunia dan akhirat yang cukup.

Menyayangi anak-anak bukan bermaksud menurut segala kehendak atau melarang segala kemahuan. Apa yang perlu dan patut, kita katakan ya, apa yang tidak, katakan tidak. Walau berapa pun anak-anak kita, ingatlah… mereka bukannya beban, mereka bukannya masalah tetapi anak-anak adalah amanah Allah kepada kita.
Marilah bersama kita menyayangi anak-anak kita, kesemuanya tanpa ada rasa pilih kasih walau mungkin, ada di antara pembaca yang turut merasai seperti apa yang Marliya rasai. Jika kita tahu keperitan menjadi mangsa pilih kasih, jangan biarkan anak-anak kita menerima nasib yang sama.

****Siaran Oktober 2004

Tiada ulasan: