03 Julai 2008

Bila ada insan ketiga

Insan ketiga yang saya maksudkan bukanlah si kecil penyejuk mata pengubat duka tetapi insan ketiga yang ingin saya bincangkan di dalam topik kali ini ialah kehadiran lelaki atau wanita lain di dalam hidup sepasang suami isteri. Sudah pasti kehadiran insan ketiga ini membawa duka dan menambah lara. Walaupun begitu, saya bukan ingin membincangkan kekalutan jiwa yang berlaku sebab saya yakin, semua kekalutan itu tak perlu saya ceritakan. Semuanya telah tahu dan arif sangat.

Yang ingin saya ketengahkan kali ini ialah apakah yang perlu dan patut serta wajar bagi kita terutamanya para isteri (kerana wanita jarang-jarang sangat nak menduakan suami tapi tetap ada tau… berbanding kaum lelaki yang sedia maklum selalunya masih bujang tiga) lakukan apabila mengetahui kita sudah mempunyai pesaing di dalam merebut kasih suami.

Perkara pertama yang akan dilakukan oleh isteri apabila mengetahui telah wujud insan lain di hati suami, tentulah semua orang sudah maklum… ya, si isteri akan berduka… memang ganjil dan pelik lah kalau ada isteri yang tersenyum gembira bila mendapat khabar demikian rupa. Berduka, bersedih memang boleh tetapi perlu diingat, jangan sampai menyiksa diri. Wujudnya pesaing bukan bererti kisah cinta kita bersama suami telah tamat. Tidak mustahil, orang ketiga itu sebagai satu jalan untuk kita lebih memantapkan hubungan kita dengan suami tercinta.

Paling penting, sekiranya kita mengetahui kewujudan insan ketiga ini daripada orang lain, bererti bukan dari mulut suami kita sendiri dan sememangnya inilah kelazimannya, jangan bertindak melulu menyerbu suami atau pun menyerang perempuan, teman wanita suami kita itu. Jalan terbaik ialah, tanyakan suami apakah benar kisah yang kita dengar? Sekiranya suami enggan mengakui, kemukakan bukti-bukti sahih yang kita perolehi dan ingat… segalanya ini perlu dilakukan di dalam keadaan emosi yang rasional. Emosi yang tidak tertanggung kala itu perlu dikawal agar tidak tambah merumitkan keadaan.

Apabila telah nyata wujudnya insan ketiga di antara kita dan suami, persoalkanlah, kenapa wanita tersebut perlu wujud dan mendapat tempat istimewa di hati suami kita? Hampir 90% jawapan yang akan diberikan oleh para suami apabila berada di dalam situasi sebegini ialah insan ketiga tersebut lebih memahami, lebih bijak melayani dan segala-galanya lagi yang lebih daripada kita dan tika itu, isteri yang telah mengabdikan diri bertahun-tahun kepadanya, segalanya sudah serba tidak kena.

Tika inilah, kita perlu lebih rasional dan adil dalam tindakan kita. Pertimbangkan semua komen dan kritikan yang suami lontarkan kepada kita, koreksi diri cermin peribadi. Seandainya segalanya itu benar maka kita perlu bertindak. Cuba ubah sikap dan penampilan atau apa jua yang tidak disukai oleh suami tetapi ingat, jangan melampaui batasan syariat. Sebagai contoh, kita bertudung tetapi teman wanita suami tidak bertudung maka kita ingin menampilkan diri kita tidak bertudung pula, ini cara yang salah. Kita sebagai makhlukNya lebih berhak mentaati Allah walau apa jua kehendak suami.

Apabila segalanya telah diikuti ataupun komen suami langsung tidak ada yang berkaitan, sekadar memberi alasan… pertahankan harga diri kita. Cuba sedaya upaya untuk kembali memikat suami. Tingkatkan layanan sedia ada, mantapkan rasa kasih dan cintanya pada kita. Memang… ini adalah satu situasi yang sukar tetapi kita perlu melakukannya sekiranya kita tidak mahu insan ketiga menang dalam persaingan ini.

Perkara yang perlu dielakkan ialah mengapi-apikan perasaan suami seperti mengutuk teman wanita sebagai manusia tidak sedar diri, mengungkit-ungkit kebaikan dan pengorbanan kita yang tidak dihargai suami ataupun melakukan keganasan fizikal dengan mencederakan suami atau keganasan mulut dengan mencerca dan memaki hamun suami.

Memang sukar menghadapi semua ini… berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul tetapi percayalah… sekiranya kita sabar menghadapi ujian ini dan berdoa mengharapkan redhaNya, kita akan menang juga nanti. Seperti filem-filem atau drama di televisyen atau panggung wayang, heroin selalunya akan menderita dahulu sebelum mencapai bahagia, insyaAllah, kita juga seperti kisah Cinderella, mengecap bahagia di hujung derita.

Namun, seandainya kisah derita kita berlarutan dan kesakitan tidak dapat kita tanggung lagi malahan kesabaran yang kita pertahankan mengundang dosa kepada diri sendiri… berundurlah kerana mengalah bukan bererti kita kalah. Terimalah hakikat, jodoh kita dengan suami hanya setakat ini kerana suami kita bukan lagi lelaki terbaik untuk sama-sama menjadi teman kita mengharungi hidup. Segala yang berlaku itu ada hikmahnya, insyaAllah.

****Siaran April 2005

Tiada ulasan: