17 Julai 2008

Isteri adalah rakan kongsi segalanya

Seorang teman menceritakan tentang salah seorang ahli kumpulan e-mel yang disertainya meluahkan rasa kecewa kerana tidak diizinkan oleh suami untuk terus menyertai kumpulan e-mel tersebut. Alasan suami, isterinya membazirkan wangnya sedang bagi si isteri, kumpulan e-mel tersebutlah yang menjadi rakan-rakannya untuk berkongsi pendapat dan menimba ilmu kerana pergaulan isteri terbatas. Tugasnya sebagai seorang suri rumah menyekat kebebasannya untuk bergaul. Sebagai jalan penyelesaian, suami benarkan dengan syarat si isteri perlu merekodkan setiap penggunaan internet dan si isteri sendiri yang perlu melunaskan bilnya.

Mulanya memang susah, sebagai suri rumah, sudah tentu beliau tiada punca pendapatan. Namun, mahu seribu daya, hendak seribu usaha, si isteri bersetuju dan berhasrat menggunakan peluang yang diberikan dengan sesungguhnya. Dengan bermodalkan sedikit wang hasil simpanan ketika bekerja semasa belum berumahtangga, beliau menyertai satu perniagaan siber. Kini, beliau bukan sahaja bebas menyertai kumpulan e-mel tetapi berjaya memiliki pendapatan hasil perniagaan siber yang disertainya. Saya berbangga dengan beliau, selayaknya kaum wanita semua mentauladani kisah ini.

Topik saya minggu ini ada sedikit kaitan dengan kisah ini. Apabila rakan saya menamatkan ceritanya, saya teringat kisah seorang klien saya ketika mula-mula saya melibatkan diri di dalam bidang guaman dan kaunseling keluarga ini. Klien saya ini juga seorang suri rumah yang menguruskan seorang suami, seorang anak kandung, lima orang anak tiri termasuklah menyelenggarakan sebuah rumah besar 2 tingkat, lengkap dengan segala peralatan. Malangnya klien saya tidak gembira dengan hidupnya kerana beliau tidak diperlakukan sebagai seorang isteri.

Bukan mengeluh kerana penat menguruskan rumahtangga tetapi layanan yang diberikan oleh si suami amat meletihkannya. Selain teman tidur suami, beliau ibarat hamba di dalam rumah sendiri. Tidak bebas menggunakan segala kelengkapan dan peralatan yang ada. Nak tonton televisyen, perlukan izin suami. Jika suami melepak kat lantai, jangan harap ler isteri nak bersenang-senang di atas sofa. Pokoknya, segala peralatan yang ingin digunakan perlu dapatkan izin suami terlebih dahulu setiap kali nak digunakan. Jika tidak, kena makan ler kata-kata sindiran atau makian, paling dasyat tangan pun terpaksa dimakan sama. Enam tahun bertahan akhirnya klien saya bebas selamanya.

Mungkin lebih banyak lagi kes sebegini di luar sana. Bukan sahaja suri rumah malahan isteri yang bekerjaya juga ada yang diperlakukan sedemikian rupa. Harta dan pendapatan suami adalah hak mutlak suami, pendapatan isteri juga hak mutlak suami malah isteri terpaksa merayu bila perlukan wang atau sesuatu. Ini tidak betul dan tidak wajar berlaku.

Suami adalah sebagai ketua keluarga, bertanggungjawab ke atas segala keperluan isteri samada isteri tersebut suri rumah atau pun bekerja. Akad nikah adalah satu perjanjian perkongsian hidup antara suami dan isteri. Berkongsi suka, berkongsi duka malahan berkongsi harta suami tetapi tidak harta isteri. Harta dan pendapatan isteri adalah hak isteri yang mutlak dan sekiranya suami berkehendakkan harta dan pendapatan isteri, isteri boleh mengkategorikannya sebagai hutang. Hutang yang perlu dibayar walaupun tidak dituntut. Ini kata syarak, bukan kata saya.

Namun, apabila sebuah perkahwinan terbina selayaknyalah segalanya adalah perkongsian bersama, harta suami adalah milik isteri, begitu juga harta isteri adalah milik suami kerana prinsip ini tidak melanggar syarak. Syarak membenarkan perkongsian sebegini dengan syarat isteri meredhai seikhlas hati dan bukan dengan paksaan.

Selain berkongsi harta, isteri juga sewajarnya adalah rakan kongsi suami di dalam segala suka dan duka, segala masalah dan resah dan gelisah. Namun tidak semua suami mengamalkan perkongsian ini. Kebanyakannya hanya mampu berkongsi harta dan berkongsi rasa suka dan gembira. Sebaliknya apabila diri berduka, isteri dibiarkan tertanya-tanya kenapa suami bermuram dan bermasam muka. Malahan ada juga isteri yang bersikap sebegini, lebih senang menceritakan kekalutan jiwa kepada orang lain.

Sebenarnya, tak kira samada isteri atau suami, apabila menghadapi sebarang masalah, pasangan kita adalah tempat rujukan kita yang pertama walaupun masalah tersebut berkaitan dengan pasangan kita. Di dalam situasi tersebut, rujukan itulah dinamakan perbincangan. Sekiranya masalah bukan berkaitan pasangan kita pula, luahkan juga segala apa yang membeku di minda. Kita yang mendengar pula perlu bijak menangani suasana. Mungkin kita tidak dapat memberikan sebuah penyelesaian terbaik tetapi memadailah kita sanggup meluangkan masa mendengar luahan hatinya. Ketahuilah, kaunselor terbaik sebenarnya adalah pendengar yang baik.

Ingatlah juga, isteri atau suami yang baik adalah mereka yang juga mampu menjadi kekasih, rakan dan sahabat yang baik kepada pasangan masing-masing.

****Siaran Jun 2005

Tiada ulasan: