16 Julai 2008

Campur tangan ibu bapa dalam rumahtangga anak-anak

Kita baru sahaja menyambut Hari Ibu dalam seminggu yang lepas, rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua para ibu atau emak atau ummi atau mama atau apa saja panggilannya yang penting maknanya sama. Kepada para bapa pula, jangan bersedih kerana kalian juga bakal meraikan sambutan Hari Bapa pada pertengahan bulan depan. Bersempena dengan kedua-dua sambutan ini, saya berhajat untuk menunaikan janji saya suatu ketika dulu untuk membincangkan topik di atas, apakah ibu bapa berhak campur tangan di dalam urusan rumah tangga anak?

Jika dibuat undian, samada jawapan kepada soalan saya tadi adalah Ya atau Tidak, pasti peratusannya hampir sama banyak. Sebenarnya setiap ibu dan bapa memang berhak campur tangan di dalam urusan rumah tangga anak-anak tetapi campur tangan tersebut mempunyai had dan batasannya.

Awal-awal bab rumah tangga adalah menentukan jodoh dan pasangan. Pada peringkat ini, ibu bapa berhak campur tangan bagi menentukan bakal pasangan si anak adalah daripada golongan mereka yang baik pekerti, sihat tubuh badan dan paling penting adalah beriman. Biarlah tidak kaya tetapi jika seseorang itu mempunyai iman maka segala urusan akan dapat diuruskan dengan mudah.

Berkata mengenai iman, bukan bererti lelaki tersebut perlu keluar sebagai graduan syariah atau usuludin ataupun perlu seorang yang berjanggut tebal atau berserban. Sememangnya perkara iman susah untuk dikenal pasti tetapi kita boleh uji seseorang itu bagi mengetahui tahap keimanannya. Bukan perlu khatam kitab-kitab tua tetapi perkara paling penting, mengerjakan solat waktu yang lima kerana apabila solat terjaga maka segala-galanya juga akan terpelihara.

Sekiranya pilihan anak-anak menepati kehendak seperti yang disarankan oleh syarak maka sebagai ibu bapa, kita perlulah berikan izin dan redha dengan pilihan si anak. Dalam situasi begini, campurtangan kita adalah dengan mendoakan agar pilihan anak kita adalah pilihan yang tepat dan memberikan kebaikan buat diri anak kita juga buat diri kita di masa depan nanti. Sama jugak dengan situasi sekiranya jodoh anak kita kurang menepati pilihan kita dan saranan syarak, campurtangan kita adalah dengan mendoakan kebahagiaan perkahwinan mereka kerana Allah telah berjanji, mohonlah padaNya dengan berdoa, Dia akan makbulkan.

Namun, seperti janji Allah juga, Dia takkan biarkan iman kita begitu sahaja tanpa diuji dan salah satu ujiannya adalah dengan memberikan dugaan dan permasalahan di dalam rumah tangga dan mungkin ianya terkena kepada anak-anak kita walaupun pada awalnya kita yakin, menantu kita adalah yang terbaik malahan kita sering mendoakan ke arah kebahagiaan berkekalan. Apabila keadaan ini terjadi, jangan mudah gelabah, sungguhpun kita mendengar cerita daripada anak kita ataupun kita nampak dengan mata sendiri betapa menderitanya anak kita dengan perkahwinannya, langkah pertama untuk kita campur tangan ialah dengan meminta anak kita berbincang secara baik dengan pasangannya. Ingat!! Jangan sesekali kita turut masuk campur dalam perbincangan mereka kerana kebiasaannya agak sukar untuk ibu bapa bersikap rasional apabila menghadapi situasi sebegini. Bak kata pepatah, cubit paha kanan, paha kiri pun terasa. Campur tangan kita kadangkala akan lebih merosakkan suasana. Malahan, ada jenis ibu bapa yang akan memenangkan anak-anaknya walaupun hakikat sebenarnyanya, anaknya yang bersalah.

Cara terbaik ialah biarkan anak kita dan pasangannya berbincang. Jika tiada jalan penyelesaian, cadangkan agar kes mereka dirujuk kepada pihak berwajib. Namun, berbeza pula jika berlaku kes-kes yang membahayakan keselamatan, sebagai contoh suami anak kita adalah seorang yang panas baran apatah lagi jika anak kita telah didera maka di dalam keadaan ini, sebagai ibu bapa, kita wajar campur tangan dengan menyelamatkan anak kita malahan wajar bagi kita mengeluarkan anak kita daripada rumah suaminya. Cukup dengan mengambil anak kita dan bawakan ke tempat yang selamat tetapi sebelum di bawa ke tempat yang selamat itu, kita perlu laporkan ke balai polis yang berhampiran bahawa kita membawa anak kita keluar dari rumah suaminya di atas sebab keselamatan. Laporan ini berguna di belakang hari bagi mengelakkan anak kita dituduh sebagai nusyuz malahan saya sendiri pernah membantu seorang klien keluar dari rumahnya atas alasan yang sama dan pihak polis menanyakan klien saya itu samada pihak polis perlu menangkap suaminya atau tidak kerana suami klien saya itu menggunakan senjata tajam.

Campur tangan ibu bapa di dalam urusan rumah tangga anak-anak juga perlu bagi memelihara kerukunan rumah tangga anak-anak terutamanya sekiranya anak-anak kita adalah punca rumah tangga mereka goyah. Di sinilah ibu bapa sebagai insan yang lebih matang dan berpengalaman dan sebagai insan yang selalu mengisytiharkan, mereka lebih dulu rasa masinnya garam, perlu memberikan nasihat dan kritikan membina untuk anak-anak. Jangan bersikap jaga tepi kain sendiri sahaja sedangkan kain yang koyak adalah kain zuriat kita, kita juga akan turut sama menanggung kesannya.

Jelas seperti tulisan saya di awal tadi, ibu bapa berhak campurtangan di dalam urusan rumah tangga anak-anak tetapi tahap campurtangan tersebut perlu dipertimbangkan sebaiknya agar yang cantik jadi lebih indah dan yang retak tidak hancur berderai.

****Siaran Jun 2005

Tiada ulasan: