27 Mei 2009

Seruan untuk ibu

Kes 1: Seorang wanita berusia awal 30-an telah mengalami keguguran lantaran tekanan perasaan yang dialami kesan daripada perbuatan ibunya. Si ibu telah bertindak mengherdik, mencaci maki malah menyumpah bahawa anaknya itu akan mengalami kesusahan sewaktu melahirkan nanti gara-gara sikap si anak yang meluahkan rasa sedih dengan sikap si ibu yang langsung tidak bertanyakan khabar dirinya yang sedang dalam trimester pertama kehamilan sebaliknya mempersoalkan mengenai wang hasil jualan keretanya.

Kes 2: Seorang lelaki berusia lewat 30-an mengalami koma untuk kali kedua tetapi berjaya sembuh hanya dalam masa dua minggu. Doktor yang merawat berasa takjub dan pelik kerana lelaki tersebut mengalami dua kali koma dalam tempoh masa yang amat pendek dan mampu pulih dalam masa yang juga agak cepat. Bila ditanya kepada lelaki tersebut kenapa situasi tersebut dialaminya, lelaki tersebut menjelaskan; dia amat tertekan dengan sikap ibunya yang selalu mendesak agar dia membiayai perbelanjaan bukan keperluan adik-adiknya antaranya membeli kereta baru untuk digunakan oleh si adik yang sedang belajar di IPT dan adiknya yang baru mendapat pekerjaan, dengan alasan tidak mahu menyusahkan adik-adiknya. Sedangkan lelaki tersebut tidak berpendapatan tinggi dan mempunyai isteri dan anak-anak yang lebih perlu diberikan perhatian. Paling membuat lelaki tersebut tertekan ialah setiap kali dia mempertikaikan keputusan si ibu, dia akan dikatakan sebagai anak derhaka. Namun demi memikirkan kebajikan isteri dan anak-anak, dia berjuang untuk segera pulih.

Dua kes yang saya kemukakan di awal perbincangan kali ini bukanlah kes ciptaan atau rekaan sebaliknya adalah kisah benar dan nyata yang berlaku di dalam masyarakat kita pada hari ini. Sebenarnya masih terdapat beberapa kes lain yang berkaitan namun memadailah dengan dua kes di atas. Paling penting, tujuan saya mengemukakan kes-kes ini ialah untuk panduan dan pedoman kita bersama terutama sekali kepada para wanita yang bernama ibu. Sebenarnya, saya telah pernah membincangkan mengenai isu yang sama di dalam dua topik perbincangan iaitu Benarkah Ibu Salahkan Anak dan Jangan Salah Guna Kuasa Sebagai Ibu dan kali ini, saya terpanggil untuk membincangkan isu yang sama sekali lagi setelah menerima beberapa emel berkaitan isu ini dengan satu harapan: bantulah saya puan, apa yang perlu saya lakukan? Sebelum saya bincangkan mengenai tindakan yang perlu dilakukan oleh si anak yang mengalami krisis kekalutan emosi ini, saya lebih suka untuk bincangkan mengenai peranan yang perlu dan patut dimainkan oleh si ibu kerana bagi saya, ibulah punca kepada kekalutan yang dialami oleh si anak. Bukan 100% menyalahkan si ibu atau membela si anak tetapi melihatkan kepada kes, si ibu perlu diperbetulkan dahulu dan tidak pelik kerana si ibu juga manusia biasa yang mempunyai kekurangan dan kelemahan. Walau anda adalah ibu, emak, ummi, mama atau apa juga panggilan yang anda gunakan, anda juga mempunyai had dan batasan di dalam memainkan karektor anda di muka bumi ini.

Semua memahami, setiap anak terikat dengan satu perkara: syurga di bawah tapak kaki ibu. Setiap kata ibu tidak boleh disangkal, setiap perintah ibu tidak boleh disanggah, setiap permintaan ibu hendaklah dipenuhi, setiap kehendak ibu hendaklah dipatuhi. Melawan, menolak, membangkang atau membantah bererti si anak telah menderhaka kerana di dalam ayat al-Quran jelas, berkata ‘uh’ sahaja sudah salah, apatah lagi lebih daripada itu. Namun, perlu diingat, walau ibu diberikan darjat yang tinggi sedemikian, ibu masih manusia biasa yang terikat dengan hukum dan peraturan syarak. Ibu tetap tertakluk kepada kata hukum: tidak boleh melampau batasan syarak. Syarak memerintahkan si anak menghormati dan mematuhi kata, perintah dan kehendak ibu selagi segalanya itu tidak berlawanan dan bercanggah dengan prinsip syariat. Prinsip syariat adalah luas, bukan bererti apa-apa kata, perintah atau kehendak yang tidak mendatangkan maksiat kepada Allah SWT semata-mata sebaliknya setiap kata, perintah dan kehendak ibu mestilah TIDAK BERLAWANAN DENGAN PERANAN, TANGGUNGJAWAB, KEWAJIPAN DAN HAK SI ANAK.
Islam memberikan ibu hak untuk dihormati oleh si anak kerana ibulah yang bersusah payah mengandungkan, melahirkan dan membesarkan si anak yang secara asas dan logiknya, penuh dengan kasih sayang walau masih ada kes ibu yang gagal memainkan peranan tersebut. Walaupun anda gagal, hak anda tetap tidak boleh dinafikan oleh sesiapa juga. Namun, satu perkara yang perlu diingat, hak untuk dihormati bukan bermaksud si anak perlu membalas segala susah payah anda selama ini. Sebagai ibu, anda tidak berhak membangkitkan atau mengungkit segala susah payah anda mengandungkan, melahirkan atau membesarkan anak anda. Kenapa tidak berhak? Kerana segala yang anda lakukan itu adalah kewajipan dan tanggungjawab anda. Anak anda tidak pernah meminta untuk dilahirkan ke dunia, kenapa si anak perlu membayar segalanya?

Malah, segala susah payah anda telah dinilai oleh Allah SWT. Selepas melahirkan, status anda adalah sama dengan status bayi anda, bersih dari segala dosa. Ketika menyusukan, setiap kali sedutan, anda akan diberikan pahala satu kebajikan. Banyak lagi kebajikan dan pahala yang Allah berikan kepada anda sebagai ibu, dengan syarat segalanya anda lakukan dengan ikhlas tanpa keluh kesah. Tak cukupkah lagi semua itu? Masih menginginkan anak anda membalas budi anda sedangkan anda tahu, budi bukan untuk dibalas? Sewajarnya sebagai ibu, anda mengharapkan yang terbaik di dalam hidup anak anda, bukannya menyusahkan anak anda dengan perkara-perkara yang di luar kemampuannya.

Kepada si anak, bersabar dan berdoalah, moga Allah memberikan kesedaran kepada ibu anda kerana ibu anda juga manusia biasa. Jangan ulangi sikap yang sama kepada anak-anak anda andai anda sendiri tidak sukakan perlakukan ibu anda kepada anda. Moha hidup kita semua lebih diredhai Allah Taala. Amin!!

****Siaran Julai 2007

Persaingan antara menantu dan mertua

Makin kerap pula aduan mengenai masalah apabila tinggal sebumbung dengan mertua sampai kepada saya sejak kebelakangan ini. Paling banyak adalah kes berkaitan menantu perempuan dan ibu mertua. Terus terang, saya tidak berpeluang merasai nikmat mempunyai mertua samada ibu mertua atau bapa mertua kerana suami saya adalah anak yatim piatu. Apabila mendengar kisah daripada rakan-rakan yang mempunyai hubungan yang baik dengan mertua, terasa cemburu di hati. Apabila mengetahui kisah duka dan masalah yang berlaku antara rakan-rakan lainnya dengan mertua masing-masing serta beberapa aduan daripada para pembaca majalah ini khususnya, terasa syukur ke hadrat Ilahi kerana saya tidak diuji dengan masalah-masalah tersebut. Namun, seperti yang sedia dimaklumi, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Samalah juga dengan isu berkaitan hubungan antara menantu dan mertua.

Hakikatnya, hubungan seorang menantu dan mertua sepatutnya menjadi seperti hubungan seorang anak dengan kedua ibu bapanya. Apabila seorang lelaki atau wanita menerima kehadiran seseorang sebagai pasangan hidupnya, seharusnya juga dia menerima ahli keluarga pasangannya itu terutamanya kedua ibu bapa pasangannya seperti ibu bapanya sendiri. Samalah juga dengan ibu bapa; mereka seharusnya menerima pasangan hidup anak mereka bagai anak sendiri. Apabila prinsip ini dipegang oleh menantu dan mertua, takkan timbul masalah di dalam hubungan antara menantu dan mertua, tak kiralah tinggal serumah dengan mertua ataupun tidak.

Kebanyakan aduan yang saya terima adalah daripada menantu yang merasakan kehadiran mereka di dalam rumah (bagi kes tinggal sebumbung dengan mertua) seolah menjadi pesaing kepada ibu mertua mereka sendiri. Bukan sahaja daripada menantu malahan ada ibu mertua yang mengadu menantu mereka seolah-olah ingin mengambil tempat mereka. Sebenarnya, situasi dan fenomena ini timbul kerana menantu dan mertua mengalami konflik di dalam memahami tugas dan tanggungjawab mereka yang sebenarnya. Sewajarnya isu persaingan antara menantu dan mertua tidak akan timbul sekiranya mertua memahami peranan dan tanggungjawabnya sebagai mertua dan ibu; dan menantu pula memahami tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang menantu dan isteri. Sebagai seorang mertua dan seorang ibu, anda mempunyai peranan untuk memastikan menantu anda mampu membahagiakan hidup anak anda. Anda perlu pastikan segala tugas, peranan dan tanggungjawab sebagai seorang isteri atau suami dilakukan oleh menantu anda sebaiknya agar hak anak anda tidak terabai. Jika menantu anda adalah isteri, jadikanlah menantu anda sebagai isteri yang menyenangkan hati anak anda. Jika terdapat kekurangan pada diri menantu anda, JANGAN DIHINA sebaliknya ASUH DAN DIDIKLAH menantu anda menjadi seorang isteri yang baik dan mampu membahagiakan anak anda.

Tidak perlu timbul persoalan mengenai anda bimbang kebajikan anak anda terabai sekiranya anda menjalankan peranan dan tugas seperti yang saya tegaskan di atas tadi. Tidak perlu timbul juga soal kasih anak anda beralih arah kerana anak anda akan tetap menjadi anak anda walau apa pun keadaan dan statusnya. Perlu diingat, terdapat perbezaan kasih dan sayang antara seorang ibu dan ayah kepada seorang anak, begitu juga kasih dan sayang antara seorang suami dan isteri. Anak anda mengasihi menantu anda sebagai isterinya atau suaminya, kasih sayang anak anda kepada anda pula adalah kasih sayang seorang anak kepada ibu atau bapanya. Walau sebaik mana pun anda memainkan peranan anda sebagai seorang ibu atau bapa, anda masih tidak mampu menjalankan peranan yang mampu dimainkan oleh menantu anda iaitu menunaikan kehendak batin anak anda. Lantaran itu, berlapang dada lah menerima kehadiran menantu anda ke dalam hidup anak anda.

Bagi seorang menantu pula, anggaplah segala tunjuk ajar daripada mertua anda sebagai satu pelajaran untuk anda lebih mengenali pasangan hidup anda. Ingatlah, ibu dan bapa pasangan andalah yang memelihara, menjaga dan membesarkan pasangan anda hingga mampu menjadi teman hidup anda. Merekalah insan yang paling rapat dengan pasangan anda sebelum anda hadir ke dalam hidupnya. Tidak wajar kehadiran anda membuatkan hubungan yang sedia terjalin menjadi renggang dan tidak mesra. Seperti yang saya tekankan dalam topik perbincangan dua minggu yang lalu, janganlah anda menyalah gunakan kasih sayang suami anda.

Sama seperti isu kasih sayang mertua anda dan pasangan anda, anda tidak berhak untuk rasa cemburu kepada mertua anda sendiri. Apalah salahnya suami anda bermanja dengan ibunya? Bukankah itu ibu yang mengandungkan, membesarkan dan menjaga pasangan anda dengan penuh kasih sayang hingga anda mampu menjadikan pasangan anda sebagai kekasih hati teman sehidup semati? Sewajarnya anda sebagai isteri, berusaha menambahkan rasa kasih dan sayang suami anda kepada ibu dan bapanya walaupun setelah mempunyai keluarga sendiri. Satu perkara yang perlu diingat, jika seorang anak mampu menjaga hati dan perasaan ibu dan bapanya dengan sebaik-baiknya maka lelaki atau wanita tersebut berpotensi menjadi pasangan hidup anda yang penyayang, pengasih dan ideal sepanjang hayat.

Sedarlah, dunia ini hanya pinjaman. Segala yang ada di depan mata kita termasuk juga suami, isteri, anak, ibu, bapa, rakan taulan dan harta benda juga adalah pinjaman. Gunakanlah sebaiknya menepati hak yang ditetapkan oleh Ilahi. Hormatilah hak orang lain, hak anda akan dihormati, insyaAllah.

****Siaran Julai 2007

19 Mei 2009

Wahai wanita, jangan humbankan suami anda ke neraka

Maaf andai ada yang merasakan topik perbincangan saya kali ini agak melampau. Apa yang saya ingin tegaskan kali ini sesungguhnya adalah perkara yang amat penting kerana sejak kebelakangan ini, sudah terlalu banyak kes yang berkaitan dengan topik ini, sampai kepada saya. Mulanya terfikir untuk membincangkan mengenai isu ini setelah menyaksikan cereka Selimut Putih di kaca tv. Bagai satu pembuka jalan, cereka tersebut membawa beberapa kes yang serupa kepada saya.

Terus terang, sejak awal penglibatan saya di dalam dunia guaman syarie dan psikologi keluarga ini, terlalu sedikit kes rumahtangga yang berpunca daripada kaum wanita, sampai ke meja saya. Bukan bererti kes-kes seperti itu tidak ada tetapi saya yakin, kes-kes yang berlaku berjaya ditangani sebaiknya oleh para suami. Malangnya, sejak kebelakangan ini, saya menerima terlalu banyak kes yang melibatkan sikap kaum isteri atau wanita yang melampau termasuklah kes menghambakan suami dan curang kepada suami. Nauzubillah min zalik. Berkaitan dengan tajuk topik kali ini, sebenarnya saya lebih menjurus kepada kes-kes yang menyerupai kisah lakonan Rita Rudaini, Norlia dan Rosdi Ramli. Ya, tentang seorang isteri yang mempergunakan kasih sayang suami untuk kepentingan diri sendiri hingga menyebabkan si anak dilaknat oleh Allah kerana menderhaka kepada si ibu.

Seperti yang pernah saya jelaskan sebelum ini, setiap anak lelaki dan anak perempuan mempunyai tanggungjawab kepada ibu bapa masing-masing. Seorang lelaki yang berkahwin juga berhak menunaikan tanggungjawab kepada ibu bapanya selagi hak isteri dan anak-anak tidak terabai. Sekali lagi saya tegaskan, hak anda sebagai isteri dan anak-anak adalah perkara yang menjadi keperluan semata-mata, bukannya satu kemewahan. Satu perkara yang perlu diingat juga, antara tanggungjawab seorang isteri kepada suami ialah menggembirakan hati suami dan tidak membebankan suami dengan perkara sia-sia. Menggembirakan suami termasuklah membenarkan suami membahagiakan hati ibu bapanya, bukannya menggunakan suami untuk menyusahkan ibu bapa suami anda hingga suami anda mengecilkan hati ibu bapanya.

Pernah dengar kisah seorang sahabat Rasulullah s.a.w bernama Alqamah? Alqamah tidak dapat mengucapkan lafaz syahadah di saat kematiannya. Bukan sekadar tidak mampu mengucap syahadah tetapi tersiksa ketika mendepani saat terakhir kehidupannya. Hinggalah Rasulullah s.a.w meminta ibu Alqamah mengampunkan dosanya barulah Alqamah dapat melafazkan syahadah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sebenarnya, kesalahan Alqamah bukanlah besar malah tanpa disengajakan. Alqamah hanya tidak menjamah makanan yang dibawa oleh ibunya ketika bertandang ke rumah Alqamah. Si ibu berasa kecil hati kerana merasakan Alqamah tidak sudi menjamah masakannya lagi setelah mempunyai isteri. Hanya kerana kesalahan sekecil itu, Alqamah mendapat penyiksaan yang besar. Bayangkan jika kesalahan yang lebih besar anda lakukan kepada ibu dan juga bapa anda?

Sebagai seorang isteri, anda berperanan untuk menjadikan suami anda seorang anak yang soleh dan diredhai oleh ibu bapa suami anda kerana dengan redha merekalah, Allah akan meredhai kehidupan suami anda malahan kehidupan anda juga. Walaupun suami anda tidak mempunyai tanggungjawab sepenuhnya kepada ibu bapanya, apalah salahnya jika anda benarkan SEBAIKNYA ANDA SEBAGAI ISTERI, MENDORONG AGAR SUAMI ANDA melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapanya. Walaupun suami anda perlu mengutamakan keperluan anda dan anak-anak, apalah salahnya jika anda berkongsi hasil pendapatan tersebut dengan ibu bapa mertua anda sekiranya mereka memang tidak berkemampuan. Rezeki yang sedikit, jika dikongsi denga setulus hati akan berkat dan tidak akan habis, insyaAllah. Perlu diketahui, membantu ibu bapa dengan seikhlas hati walaupun dengan sedikit cuma, Allah akan memberkati rezeki anda. Kalau ibu bapa mertua nyata dah mampu untuk keperluan dan perlukan hasil pendapatan suami anda untuk kemewahan, memanglah tidak perlu disokong.

Peringatan untuk semua wanita bernama isteri, termasuk diri saya sendiri: Hari ini kita adalah wanita muda, seorang isteri, mungkin juga seorang ibu muda. Akan tiba masanya kita akan menjadi tua, mempunyai anak lelaki dan bermenantukan seorang wanita muda. Andai perlakuan anda tika muda adalah perlakuan tidak baik seperti watak lakonan Rita Rudaini, anda akan turut merasai pembalasan azab tika hari tua, sama seperti watak Norlia yang sedar bahawa segala penderitaan yang dihadapi adalah kerana dia bersikap kurang ajar dengan suaminya sendiri.

Paling penting, setiap daripada kita perlu memikirkan kepentingan orang lain juga, bukan hanya memikirkan kepentingan diri sendiri. Jadikan diri anda sebagai seorang yang baik budi pekerti. Percayalah, walaupun sukar untuk hidup tetapi anda akan mempunyai hati yang tenang dan bahagia selamanya. Paling penting juga, anda tidak menjadikan diri anda, anak anda atau pasangan anda sebagai hamba Allah yang tidak diredhai di dunia atau akhirat. Jadikanlah kasih sayang anda kasih sayang yang tulus agar setiap insan di sekeliling anda turut merasai bahagia hidup di dunia dan di akhirat.

****Siaran Jun 2007

Tanggungjawab tetap satu tanggungjawab

Semalam saya berpeluang menemuduga seorang lelaki berusia awal 40-an bagi satu jawatan kosong. Tak perlulah saya jelaskan apakah jawatan yang dipohon. Tujuan saya membawa kisah temuduga tersebut ke dalam sesi perbincangan kali ini ialah untuk saya dan pembaca semua merenung dan meneladani kisah lelaki ini agar dapat dijadikan panduan dan iktibar. Lelaki ini asalnya dahulu adalah seorang yang amat berjaya. Tika berusia di awal 30-an beliau telah berjaya menempa nama sebagai boss paling muda antara firma-firma yang ada di seluruh negara. Dalam apa juga perancangan, segalanya akan berjalan lancar dan menggembirakan hati big bossnya. Namun, panas pagi tidak kekal ke petang, hujan tiba-tiba turun di tengahari. Itulah hakikat yang terpaksa diterima dan ditelan oleh lelaki ini. Sejak tiga tahun lalu, beliau tidak mempunyai pekerjaan. Gara-gara kegawatan ekonomi dan kegagalan big bossnya bertindak dengan cepat dan tepat, beliau kini menganggur. Hanya sesekali membuat kerja sambilan.

Bila ditanya kenapa beliau memohon jawatan yang ditawarkan kerana bagi saya, dengan pengalaman dan kelayakan yang ada, lelaki tersebut berhak mendapat yang lebih baik. Jawapannya cukup membuatkan saya kagum: ”Terus terang, saya nak dapatkan satu pekerjaan yang berpendapatan tetap dan mampu menyara kehidupan saya sekeluarga”. Mungkin ada yang pelik, apa yang nak dikagumkan? Memang semua orang akan memberikan alasan yang sama untuk mendapatkan pekerjaan. Ya, saya akui. Semua orang yang inginkan pekerjaan akan memberikan alasan yang sebegitu tetapi perlu diingat, tidak semua orang seperti lelaki tersebut: sanggup menjawat jawatan yang tidak setaraf dengan kelayakan dan pengalaman semata-mata ingin mendapatkan sejumlah pendapatan yang mampu menyara diri dan keluarganya. Saya yakin, ramai di kalangan pembaca yang pernah bersua dengan kes-kes lelaki yang enggan bekerja semata-mata kerana pekerjaan yang diterima tidak setaraf dengan kelayakannya.

Ingat lagi popular dialek Negeri Sembilan dengan watak terkenal Ujang? Saya tak pasti nama penyanyi atau tajuk lagunya tetapi saya masih ingat kata-kata Ujang yang maksudnya antara lain; takkanlah dengan kelayakan seorang siswazah, nak bekerja di sawah? Saya faham, masing-masing punya pendapat dan pendirian yang tersendiri. Kalaulah anda seorang gadis atau wanita, saya tak lah nak kecoh sangat tetapi yang ingin saya tegaskan di sini ialah, jika anda seorang lelaki, anda tidak boleh bersikap pemilih seperti Ujang. Kenapa? Kerana sebagai seorang lelaki, anda mempunyai tanggungjawab yang berat. Jangan sangka anda bebas daripada melaksanakan tanggungjawab jika anda tidak mempunyai pekerjaan yang setaraf atau sesuai dengan kelayakan anda. Jangan juga menyangka, anda masih boleh bebas selagi tidak memikul amanah sebagai seorang suami.

Perlu diingat! Sebagai seorang lelaki, anda adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas diri anda apabila anda dikategorikan sebagai mampu berdikari. Mampu berdikari bererti anda telah cukup umur, tidak terikat dengan tanggungjawab untuk belajar yang selayaknya dan boleh menggunakan tulang empat kerat anda untuk mengadakan hidangan untuk disuap ke mulut anda sendiri. Bermaksud, apabila anda telah tamat pengajian, anda wajib melakukan apa juga jenis pekerjaan yang dapat memberikan hasil agar anda mampu mengenyangkan perut anda sendiri. Bukannya masih mengharapkan keringat ibu bapa anda untuk membasahkan tekak anda. Bukan juga mengharapkan duit daripada ibu bapa anda untuk mengisi minyak motosikal atau kereta, untuk membeli minyak rambut atau rokok atau apa sahaja.

Apabila anda telah berkahwin, tanggungjawab anda juga bertambah. Jangan menyangka apabila anda mempunyai isteri yang mempunyai pendapatan tinggi atau berasal daripada golongan orang berada, anda tidak perlu lagi mengambil kisah tentang makan minum, pakaian dan lain-lain kebajikan isteri anda. Terus terang, masih ramai lelaki yang enggan menerima hakikat yang satu ini: bahawa mereka turut bertanggungjawab ke atas isteri yang bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri. Sebaliknya masih ramai juga lelaki yang beranggapan bahawa jika si isteri bekerja, segala pendapatan isteri adalah hak mereka, konon kerana mereka mengizinkan isteri bekerja. Malah, ada juga mertua yang beranggapan demikian. Pendapat sebegini adalah pendapat yang salah dan mengikut nafsu semata.

Hakikat yang pasti, pendapatan seorang isteri adalah hak isteri sepenuhnya walaupun si isteri bekerja dengan izin dan redha suami. Jika suami menginginkan walau sesen pun hasil pendapatan isteri maka ianya adalah dikira sebagai hutang yang perlu dijelaskan walaupun isteri tidak menuntut. Kenapa? Kerana suami TETAP BERTANGGUNGJAWAB SEPENUHNYA KE ATAS DIRI ISTERI DAN ANAK-ANAK WALAUPUN SI ISTERI MAMPU MENYARA DIRI SENDIRI DAN ANAK-ANAK. Sebagai suami, anda perlu menyediakan makan, minum, pakaian dan tempat tinggal yang selesa untuk isteri dan anak-anak. Anak-anak pula wajib diberikan pendidikan dan pembelajaran yang secukupnya.

Ingatlah wahai lelaki, tidak ada alasan untuk anda melarikan diri daripada tanggungjawab kerana tanggungjawab anda tetap satu tanggungjawab yang tidak ada rukhsah atau pengecualiannya.

****Siaran Jun 2007

06 Mei 2009

Tanggungjawab lelaki, mana lebih utama?

Minggu lepas, saya dah bincangkan mengenai keutamaan ketaatan seorang wanita bergelar isteri. Minggu ini, saya ingin bincangkan pula mengenai keutamaan tanggungjawab seorang lelaki yang memegang status seorang anak dan pada masa yang juga adalah seorang suami dan seorang bapa kepada seseorang. Sebenarnya, saya telah pun bincangkan mengenai perkara ini di dalam siri keluaran tanggal 19 Mei tahun lepas bertajuk Hak Ibu Bapa Tanggungjawab Anak-anak. Namun, saya utarakan semula topik ini memandangkan terdapat beberapa permintaan daripada pembaca yang mungkin terlepas perbincangan saya yang lalu. Sementelah pula, kes-kes yang melibatkan kekeliruan seorang lelaki melaksanakan tanggungjawab antara ibu bapa dan isteri serta anak-anak sendiri makin banyak berlaku, malah makin kerap pula saya menerima aduan kes-kes ini sejak kebelakangan ini.

Seperti yang saya jelaskan pada minggu lepas, syurga seorang anak lelaki terletak di bawah tapak kaki ibu, bermula daripada kelahirannya hinggalah tika menghembuskan nafas yang terakhir. Dalam erti kata yang mudah, ibu adalah segala-galanya. Seorang anak lelaki perlu mengutamakan kehendak dan kemahuan seorang ibu berbanding kehendak seorang isteri dan anak-anak. Sebagai contoh, jika seorang ibu menginginkan anak lelakinya pulang ke kampung berhari raya bersama-sama dan pada masa yang sama, isteri kepada anak lelakinya juga menginginkan perkara yang sama, ingin berhari raya bersama ibu dan bapanya di kampung, lelaki yang berada di dalam situasi seperti ini perlu mengutamakan kehendak si ibu. Kenapa? Kerana permintaan si ibu tidak menyalahi kehendak syarak dan syariat. Namun, jika seorang ibu menyatakan kehendak yang boleh menyalahi kehendak syariat maka si anak tidak wajib melaksanakannya.

Persoalannya, apakah kehendak si ibu yang menyalahi kehendak syariat? Rata-rata kes yang saya terima adalah berkaitan kegagalan suami menjalankan kewajipan dan tanggungjawab sebagai seorang suami dan juga seorang ayah kerana mengikut kehendak ibu, bapa dan adik-beradik sendiri. Malahan ada beberapa kes, isteri terpaksa mengeluarkan duit hasil pendapatannya sendiri semata-mata terpaksa membantu suami melunaskan kehendak dan keinginan keluarga mertua. Secara logiknya, kes-kes seperti ini tidak wajar berlaku jika setiap anak lelaki dan setiap ibu bapa serta sanak saudara lainnya mengetahui had dan batasan kewajipan dan hak-hak mereka.

Mungkin ada di kalangan pembaca yang kurang pasti, apakah perbezaan antara kewajipan dan hak? Kewajipan adalah tanggungjawab yang merupakan perkara-perkara yang perlu dilakukan bagi memenuhi hak seseorang. Sementara hak pula adalah perkara yang hanya boleh diperolehi apabila seseorang menjalankan kewajipannya. Sebagai contoh, hak seorang isteri adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang suami. Hak seorang ibu juga adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang anak. Namun, bukan semua hak ibu adalah kewajipan anak-anak. Tambahan pula bagi anak lelaki yang sudah berumahtangga. Kewajipan seorang anak lelaki adalah untuk menunaikan hak-hak isteri dan anak-anaknya terlebih dahulu barulah berkewajipan menunaikan hak seorang ibu. Kenapa? Kerana hak seorang ibu itu sewajarnya dipenuhi oleh suami si ibu iaitu bapa si anak. Jika suami si ibu tiada lagi atau tidak mampu, maka anak-anak lain yang tidak mempunyai kewajipan terhadap isteri dan anak-anaknya sendiri berkewajipan menunaikan hak ibu mereka.

Bererti, walaupun seseorang itu adalah anak lelaki sulung atau tunggal dan telah berumahtangga serta mempunyai anak-anak sendiri, lelaki ini MEMPUNYAI KEUTAMAAN UNTUK MENUNAIKAN HAK-HAK ISTERINYA DAN ANAK-ANAKNYA TERLEBIH DAHULU berbanding hak ibu bapanya atau adik beradiknya yang lain. Perlu diingat juga, hak yang dimaksudkan adalah apa-apa perkara yang merupakan KEPERLUAN sahaja, bukan kemewahan atau kehendak yang melampau. Seorang suami berkewajipan menunaikan hak-hak yang patut dan wajar bagi seorang isteri dan anak-anak: menyediakan makan minum yang berpatutan dan sederhana; menyediakan tempat tinggal yang sempurna memadai dapat berlindung daripada panas matahari dan kebasahan hujan; menyediakan pakaian yang mampu menutup aurat; memberikan pendidikan yang dituntut oleh syariat merangkumi ilmu-ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah serta menyediakan kemudahan untuk isteri dan anak-anak mendapatkan rawatan jika mempunyai masalah kesihatan. Keperluan bukanlah perlu menyediakan hidangan KFC atau pizza setiap hari; bukan juga perlu menyalutkan tubuh si isteri dengan pelbagai perhiasan emas dan permata yang begemerlapan. Bermaksud, walaupun seorang lelaki itu mempunyai harta yang tidak menafikan keupayaannya untuk memberikan kemewahan kepada isteri dan anak-anak dan di dalam masa yang sama dia mempunyai ibu, bapa dan adik-adik yang juga memerlukan bantuannya untuk menjalani hidup yang sederhana tetapi lebih sempurna maka di dalam situasi ini, lelaki tersebut wajar dan wajib membantu ibu, bapa dan adik-beradiknya yang memerlukan walaupun perlu mengenepikan tuntutan isteri kerana tuntutan sedemikian bukan lagi menjadi hak yang perlu tetapi adalah sesuatu yang melampau.

Hakikatnya, setiap individu mempunyai hak dan kewajipan masing-masing. Hak seseorang juga adalah terbatas tertakluk kepada kepentingan dan keutamaan kewajipan seseorang. Lantas, jalan terbaik ialah bersikap bersedia menerima kesederhanaan, sanggup berkongsi dan bertoleransi. Kepada para isteri, ingatlah: suami anda adalah anak kepada seorang wanita, juga seperti anda yang akan menjadi mertua kepada seorang wanita lain bila tiba masanya nanti. Kepada para ibu, ingatlah: anak lelaki anda adalah suami kepada seorang wanita yang juga mempunyai hak sebagai seorang isteri sama seperti anda. Hormatilah hak orang lain, hak anda akan dihormati, insyaAllah.

****Siaran Jun 2007

Dilema wanita: ibu atau suami?

Seorang isteri tersepit di persimpangan dilema, mengikut kemahuan ibu supaya meneruskan kerjaya atau mengikut kehendak suami supaya berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Menurut pengadu, sebagai anak sulung, dia berasa bertanggungjawab untuk terus bekerja agar mempunyai pendapatan untuk diagihkan kepada ibu dan adik-adik. Sedangkan si suami berkeras agar dia berhenti kerja dan menumpukan sepenuh masa kepada pengurusan rumah tangga. Soalan pengadu: kehendak atau kemahuan siapa yang perlu diutamakan? Dalam satu kes yang lain, seorang isteri turut berada di dalam dilema apabila ibunya mengarahkan agar anaknya (cucu si ibu) dihantar pulang ke kampung pada waktu cuti sekolah dan kehendak si ibu itu tidak disukai oleh si suami. Si suami melarang si isteri menurut kehendak ibunya walau apa pun alasan yang diberi. Si isteri betul-betul tertekan kerana tidak pasti kehendak siapakah yang perlu diutamakan? Membantah kehendak ibu bererti menjadi anak yang derhaka. Melawan kehendak suami bererti menjadi isteri yang tidak taat.

Inilah antara beberapa kes yang boleh dikategorikan sebagai ‘diluah mati emak, ditelan mati bapa’. Memang sukar untuk membuat pilihan kan? Sebenarnya, situasi sebegini tidak wajar dihadapi oleh para isteri. Kenapa? Kerana setiap isteri adalah WAJIB MENGUTAMAKAN SUAMI WALAU DALAM APA JUGA KEADAAN DAN SITUASI SELAGI IANYA TIDAK BERCANGGAH DENGAN KEHENDAK SYARAK. Ini bukan kata saya, bukan juga kata mana-mana ahli psikologi atau pengamal undang-undang keluarga sebaliknya ini adalah HUKUM DAN KETENTUAN YANG DITETAPKAN OLEH SYARAK DAN AGAMA. Saya faham dan akui, setiap anak sama ada lelaki atau perempuan telah dididik dan ditanam dengan prinsip ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’. Kata-kata ini menjadi pegangan setiap individu hatta ada para ibu yang menjadikan kata-kata ini sebagai senjata untuk mengikat anak-anak.

Sebenarnya, terdapat perbezaan yang jelas dan nyata antara anak lelaki dan anak perempuan. Setiap anak lelaki adalah wajib berpegang dengan kata dan hukum bahawa syurga mereka terletak di bawah tapak kaki ibu. Tak kiralah ketika masih memegang status bujang atau sudah berkahwin dan mempunyai anak cucu. Dalam kata mudah, REDHA ALLAH PADA SI ANAK LELAKI BERGANTUNG KEPADA REDHA SI IBU KEPADANYA. Namun masih terdapat pengecualian tertentu bergantung kepada beberapa terma dan syarat. Saya akan bincangkan mengenai terma dan syarat ini pada perbincangan yang akan datang. Bagi anak perempuan, syurganya hanya terletak di bawah tapak kaki ibu jika si anak masih belum berkahwin. Sebaliknya, jika si anak perempuan telah pun berkahwin makan syurga si anak akan berpindah ke bawah tapak kaki suami dengan erti kata lain REDHA SI ANAK PEREMPUAN YANG TELAH BERKAHWIN INI BERGANTUNG KEPADA REDHA SUAMINYA KEPADANYA.

Jelas sekali, dalam kedua-dua kes yang saya bentangkan di awal perbincangan tadi, kedua-dua isteri ini perlu mengutamakan kehendak suami masing-masing terlebih dahulu. Tak perlu rasa gusar, gundah atau gulana kerana si isteri tidak akan dinobatkan sebagai anak derhaka hanya kerana mengikut kehendak suami dan membelakangkan kemahuan si ibu. Namun, sama seperti ketaatan tanpa berbelah bahagi seorang anak lelaki kepada ibunya, seorang isteri juga mempunyai syarat-syarat tertentu di dalam mentaati si suami. Syarat yang mudah yang telah saya jelaskan di awal tadi iaitu kehendak suami tidak bercanggah dengan kehendak syariat. Sama juga dengan si ibu, tidak perlu malah tidak wajar mempunyai rasa sedih atau kecil hati dengan sikap anak perempuannya yang tidak mengikuti kemahuannya kerana sebagai seorang ibu yang juga seorang anak dan seorang isteri, setiap ibu wajib mengetahui bahawa ketaatan seorang isteri kepada suami adalah lebih utama daripada ketaatan kepada ibu dan bapanya. Sewajarnya seorang ibu berbangga jika anak perempuan yang dikandungkan, dilahirkan dan dididiknya mampu menjadi seorang isteri yang solehah dan disenangi oleh menantunya dan paling penting, diredhai Ilahi.
Namun, sama seperti ketaatan bersyarat seorang anak lelaki kepada kehendak dan kemahuan si ibu, ketaatan seorang isteri kepada suami juga bersyarat. Ketaatan bukanlah mutlak dan melampau. Selagi mana kehendak dan kemahuan suami tidak bertentangan dengan syarak, maka si isteri wajib menurut dan mengikutnya. Tidak bertentangan dengan kehendak syarak termasuklah apa juga perkara yang bertentangan dengan kehendak moral dan tatasusila masyarakat. Sebagai contoh, seorang suami melarang isteri daripada balik ke kampung menziarahi ibu atau ayahnya yang sakit maka si isteri wajib mentaati kehendak suami. Kenapa? Kerana larangan suami hanyalah bertentangan dengan kehendak moral dan tatasusila masyarakat, bukannya bertentangan dengan kehendak syariat dan syarak.

Lantaran itulah, setiap ibu bapa wajib memilih calon menantu yang bukan sahaja boleh diharapkan untuk menyayangi dan menjaga si anak tetapi boleh juga diharapkan untuk menyayangi mereka. Paling penting, setiap anak gadis dan wanita: jangan buta kerana cinta. Jangan tersilap pilih lelaki yang tidak dapat menerima ibu dan ayah anda. Nasihat saya kepada setiap suami dan juga isteri, jangan terlalu taasub dengan hukum hingga sanggup menyalahgunakan hukum untuk kepentingan diri sendiri. Fahamilah pasangan anda seperti mana anda ingin diri anda difahami. Ingat!! Bukan hanya anda mempunyai ibu dan bapa lantas, bertoleransi lah…. demi sebuah kebahagiaan di dalam rumahtangga.

****Siaran Jun 2007