26 Ogos 2012

Bila satu pintu ditutup akan ada pintu lain yang terbuka


Kita masih di dalam suasana berhari raya. Pasti ada di antara pembaca semua yang masih sibuk beraya atau mungkin masih sibuk mengadakan majlis rumah terbuka. Teringat hasil undian yang saya sediakan menerusi blog saya berkenaan peratusan kegembiraan yang dialami semasa berhari raya yang baru berlalu tika itu. Ada pengundi yang memilih 50% dan 30% gembira sahaja dan selebihnya adalah sebaliknya yang bermaksud tidak gembira. Pagi ini, ketika sedang menunggu klien untuk sesi temujanji menerusi panggilan telefon, sambil-sambil membelek e-mel, ada satu e-mel yang menarik minat saya bertajuk: Raya kali kedua yang mengecewakan…

Menurut pengirim e-mel, raya yang bakal tiba lebih kurang dua minggu lagi (tika perbincangan ini disediakan) adalah raya kedua yang terpaksa dilalui olehnya (seorang lelaki bujang) dengan rasa sedih dan kecewa disebabkan kehilangan pekerjaan beberapa bulan sebelum Aidilfitri tahun lalu dan terpaksa menerima keputusan tunangnya, memutuskan ikatan pertunangan beberapa hari sebelum hari raya dan jika diikutkan perancangan, mereka bakal disatukan selepas hari raya tahun ini. Berada dalam situasi ‘dah lah jatuh, ditimpa tangga pula’, pengirim e-mel merasakan hidupnya tidak lagi bererti. Hampir setahun ini juga dia berusaha mendapatkan pekerjaan malah berusaha memujuk semula bekas tunangnya agar menerimanya kembali namun kedua-duanya gagal dan hampa. Paling menyakitkan, sejurus sebelum e-mel dikirimkan kepada saya, dia baru sahaja menerima kad undangan perkahwinan bekas tunangnya itu, pada tarikh yang sama dirancangkan perkahwinan mereka sebelum ini, bezanya nama pengantin lelaki. Sedih, kecewa dan hampa….

Saya yakin, para pembaca semua dapat merasai kekecewaan yang dihadapi oleh pengirim e-mel ini. Walaupun kecewa, sedih dan hampa yang amat sangat, satu perkara yang perlu diingat: hidup bukan untuk terus berasa sedih, kecewa dan hampa. Seperti yang selalu saya tegaskan, hidup yang kita lalui seharian adalah satu ujian dan cabaran untuk kita. Allah dah janjikan di dalam ayat 2-3 surah al-Ankabut : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

Ramai yang lupa atau masih enggan percaya, setiap yang Allah SWT tetapkan mempunyai sebab, alasan dan hikmah yang tersendiri. Saya percaya, ada sebabnya kenapa pengirim e-mel tadi kehilangan pekerjaan kemudian kehilangan tunang. Walau telah berusaha hampir setahun ini untuk mendapatkan kedua-duanya semula, Allah masih belum izinkan. Berkemungkinan, jika pengirim e-mel tidak hilang kerja sebelum raya dan tidak putus tunang, seterusnya perkahwinan berjalan seperti yang dirancangkan, tiba-tiba Allah uji pengirim e-mel tadi dengan ujian yang sama, dia bukan saja akan hilang pekerjaan tetapi hilang isteri disebabkan si isteri bersikap hanya ingin senang bersama, seperti kes yang telah berlaku tahun lalu. Itu satu kemungkinan, mungkin ya, mungkin juga tidak. Yang pasti, ada sebab dan rahsia tersendiri kenapa semua itu berlaku.

Yang pasti juga, ada yang lebih baik berbanding pekerjaan yang hilang sebelum ini termasuk juga pekerjaan yang masih berjaya dimiliki. Sama juga, pasti ada gadis lain yang lebih baik dan sesuai menjadi calon isterinya yang akan setia menemani dalam setiap keadaan dan situasi, tak kira susah atau senang. Firman Allah SWT dalam ayat 216 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."

Ayat ini membuktikan kepada kita, bila kita kehilangan sesuatu, kita sebenarnya tidak kehilangan sebaliknya kita bakal diberikan sesuatu yang baru yang lebih baik lagi, insyaAllah. Seperti tajuk perbincangan saya kali ini, kita perlu yakin dan percaya, apabila satu pintu tertutup, hakikatnya ada pintu lain yang sudah terbuka dan sedang menanti kita. Terpulang kepada diri kita sendiri untuk berusaha meninggalkan pintu yang tertutup tersebut dan berusaha pula untuk mencari pintu baru yang telah sedia terbuka.

Bagaimana nak tahu pintu yang mana satu terbuka menanti kita? Anda takkan tahu, saya juga tak tahu, hanya Allah SWT yang tahu. Jalan terbaik ialah sentiasa berserah kepada-Nya memohon panduan dan petunjuk tentang apa juga perkara yang bakal anda lakukan. Percayalah, jika anda betul-betul berserah, anda akan dapat jawapan yang tepat dan cepat, insyaAllah. Cara berserah? Berdoa seolah-olah anda sedang bercakap dengan seseorang, luahkan segala yang membelenggu di hati anda, luahkan juga keinginan anda tetapi mohon agar diberikan yang terbaik untuk masa depan anda. InsyaAllah, pintu baru akan anda temui…

****Siaran Oktober 2009