26 Mac 2013

Rezeki bukan di tangan manusia

Masih ingatkah lagi dengan topik perbincangan minggu lepas, berkaitan kelayakan sebagai penjaga kepada anak-anak selepas berlakunya perceraian? Persoalan yang sama telah ditanyakan kepada saya dalam siri ceramah Hidup Bahagia Tanpa Keganasan anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pahang. Seorang peserta meluahkan, masih bimbang dengan perbelanjaan anak-anak walaupun ada peruntukan yang menetapkan ibu tidak bekerja masih layak menerima hak jagaan dan saran anak dipertanggungjawabkan kepada si bapa. Kebimbangan berlaku disebabkan terlalu banyak kes yang didengar tentang kegagalan si bapa melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Jawapan kepada persoalan tersebut, saya kongsikan bersama pembaca semua di sini. Ya!! Seperti tajuk perbincangan saya kali ini, rezeki, makan minum, segala peruntukan untuk perbelanjaan kita seharian bukan terletak di tangan manusia; bukan di tangan suami atau juga di tangan isteri malah bukan juga di tangan majikan. Setiap pemberian yang kita nikmati setiap saat: udara untuk bernafas, air untuk diminum, makanan untuk dijamah, pakaian untuk dipakai, rumah untuk tempat tinggal dan macam-macam lagi, segalanya itu adalah pemberian dan rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. Suami, isteri, majikan atau siapa pun juga adalah sebagai perantara. Percaya? Kalau percaya, kenapa masih bimbang?

“Ye lah, bukannya apa… kalau isteri bekerja tu lain la, ada juga pendapatan tapi bagi isteri yang tak bekerja, takkan nak berserah ja?” Persoalan yang amat menarik!! Ya lah, takkan nak berserah sahaja. Nak berserah kepada Allah SWT pun ada syaratnya. Syarat paling utama ialah berusaha, kemudian berdoa seterusnya barulah berserah atau bertawakkal.

Saya nak kongsi dengan pembaca semua tentang satu kisah benar. Seorang klien saya yang dulunya tika masih bergelar isteri adalah seorang suri rumah sepenuh masa, tidak melakukan sebarang bentuk pekerjaan dan seluruh hidupnya diabdikan untuk suami dan anak-anak. Apa yang diberi suami, itulah yang diterima. Pernah tak cukup dan terpaksa mengikat perut tapi si isteri redha, paling penting perut anak-anak diisi. Hinggalah tiba satu hari, si isteri dapat tau suami telah berkahwin lagi dalam keadaan si isteri dan anak-anak sedia ada hampir merempat. Bukan sekali tapi dah banyak kali suami bersikap sedemikian. Kali ini, si isteri dan serik dan tak percaya lagi.

Cuma satu masalahnya, isteri bimbangkan tentang anak-anaknya nanti. Siapa yang nak suapkan makan? Dalam keadaan masih suami isteri pun, suami boleh pandang sebelah mata. Si isteri pula tak bekerja. Sama seperti klien-klien lain, saya mohon si isteri tadi berdoa mohon yang terbaik untuk dirinya, suami dan anak-anak. Selepas dua minggu, si isteri menghubungi saya dan memohon agar saya membantu kes tuntutan cerainya. Dalam masa yang sama, si isteri nekad belajar membuat kuih dan kini, tika artikel ini disediakan, klien saya tadi dah pun bergelar seorang peniaga, walau kecil-kecilan tapi telah mampu menampung segala perbelanjaan anak-anak biarpun telah bergelar ibu tunggal.

Fakta paling penting, rezeki kita semua ditentukan dan diberikan oleh Allah SWT. Jangan merintih, jangan menangis dan jangan bersedih bila lelaki yang selama ini diharapkan menjadi penjaga anda dan anak-anak, enggan menjalankan tanggungjawabnya lagi setelah berlakunya perceraian walaupun diperintahkan oleh pihak mahkamah. Biarkan perintah mahkamah dilanggar tetapi anda perlu bertindak. Bukan bertindak membuat bising dan onar mencanangkan kegagalan bekas suami menjalankan tanggungjawab tetapi bertindak mencari sumber kewangan.

Banyak kerja yang boleh anda lakukan. Berniaga nasi lemak, menjahit, menjaga anak orang, membuat kuih untuk jualan dan macam-macam lagi. Dalam usaha anda, jangan lupakan Dia. Sentiasalah berdoa dan memohon kepada-Nya agar setiap usaha dan ikhtiar anda membuahkan hasil. Doakan agar anda mampu membiayai keperluan anda dan anak-anak. Berdoalah sepanjang masa dan setiap ketika. Tak perlu tunggu waktu solat sahaja, malah anda boleh berdoa bila-bila masa. InsyaAllah, aka nada jalan untuk anda. Mungkin ambil masa tapi percayalah, aka nada pertolongan daripada-Nya. Yakinkan itu!!!

Paling penting, carilah pekerjaan atau sumber pendapatan yang halal. Saya akui, sukar untuk memenuhi setiap keperluan dengan pendapatan yang sedikit. Seperti kes yang pernah didedahkan di dalam akhbar tika musim Aidilfitri yang lalu, seorang ibu menjual badan demi membeli baju raya untuk anak-anak. Kenapa perlu sampai menjahanamkan diri sendiri? Ya!! Anak-anak nak baju baru tapi percayalah, anak-anak takkan pakai baju baru tersebut jika tahu dari mana sumbernya. Sama juga dengan keperluan lain. Jangan masukkan makanan haram ke dalam diri anak-anak. Walaupun yang anda suap ke mulut anak adalah nasi yang nyata adalah halal tetapi jika wang yang digunakan untuk membeli nasi adalah wang dari hasil kerja yang haram, samalah dengan anda menyuapkan makanan haram ke mulut anak anda.

Jangan patah semangat. Terus cekal dan tabah. Jangan lupakan Dia kerana Dia tak pernah lupakan anda. Mintalah kepada-Nya kerana Allah dah janji: “Mintalah, sudah pasti Aku akan beri….”

****Siaran November 2009

Kelayakan sebagai hadhinah


Hadhinah bermaksud penjaga kepada anak atau anak-anak iaitu sama ada ibu atau bapa atau orang lain selain ibu dan bapa. Saya terpanggil untuk membincangkan topik ini setelah seorang kenalan mengirimkan SMS meminta penjelasan tentang kes adiknya. Hadhanah atau hak jagaan anak pula bermaksud pemeliharaan anak lelaki atau anak perempuan yang masih kecil dan belum boleh berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.

Setelah berlaku perceraian antara ibu bapa, persoalan yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak-anak tersebut? Ramai wanita yang sanggup bertahan hanya kerana bimbang kehilangan anak tambah bila diugut suami atau kerana wanita itu tidak bekerja.

Hakikatnya, Islam mengutamakan perempuan dalam hal hadhanah kerana secara asasnya ibu lebih sayang kepada anaknya, lebih tahu mendidiknya dan lebih sabar mengasuh anaknya daripada si ayah. Menurut satu riwayat daripada Abdullah bin Umar r.anhu: “Seorang perempuan telah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: “Ya Rasulullah, bahawa anakku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku”. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:,“Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain”. – hadis  riwayat Abu Daud.

Menurut Undang-undang Keluarga Islam, sekiranya anak-anak di bawah usia mumaiyiz, mereka berhak dipelihara oleh ibu mereka bererti hak jagaan diberikan kepada isteri. Berdasarkan maksud seksyen 84(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan: kanak-kanak lelaki yang belum mumaiyiz ialah dari usia bayi hingga berumur enam tahun. Kanak-kanak perempuan pula dari usia bayi hingga berumur lapan tahun. Ini bermakna kanak-kanak lelaki yang telah mencapai umur tujuh tahun dan kanak-kanak perempuan yang telah mencapai umur sembilan tahun dianggap mumaiyiz. Mumaiyiz bermaksud berkemampuan untuk membuat keputusan membezakan antara yang baik dan buruk.

Namun, si ibu berhak memohon hak lanjutan penjagaan sehingga usia anak mencapai 11 tahun bagi perempuan dan sembilan tahun bagi lelaki. Selepas usia tersebut, mahkamah akan memberi pilihan kepada anak-anak untuk memilih sama ada ingin bersama ibu atau bapa mereka. Namun, ada masanya keputusan anak tersebut tidak diambil kira. Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan: keputusan yang dibuat oleh anak tidak mutlak kerana mahkamah boleh memerintahkan keputusan yang berlawanan dengan pilihan anak. Sebagai contoh, jika si anak memilih untuk tinggal bersama bapa dengan alasan bapa selalu bawa membeli belah atau bermain ‘game’ dan enggan tinggal bersama ibu kerana ibu selalu suruh belajar atau mengaji, maka mahkamah akan menyerahkan hak jagaan kepada si ibu.

Kelayakan yang perlu bagi seorang ibu untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anaknya ialah seorang Islam, sempurna akal, berumur yang melayakkannya memberikan penjagaan dan kasih sayang yang diperlukan oleh si anak, berkelakuan baik mengikut akhlak Islamiyah dan tinggal di tempat anak itu tidak mungkin terdedah kepada apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Ramai isteri yang rasa bimbang dengan hak jagaan kerana mereka tidak bekerja. Jika dilihat kepada kelayakan yang perlu, tidak mensyaratkan seorang ibu itu bekerja bagi melayakkannya mendapatkan hak jagaan. Ini adalah kerana anak-anak adalah di bawah tanggungan bapa sepenuhnya hinggalah anak tersebut mampu berdikari (bagi lelaki) atau berkahwin (bagi perempuan).

Ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan kelayakan seorang ibu hilang antaranya jika ibu itu bernikah dengan seorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan anak itu. Namun, ada kes isteri berkahwin lain tetapi masih mendapat hak menjaga dan memelihara anak-anaknya. Kenapa? Sebenarnya, kehilangan kelayakan seorang ibu diputuskan oleh mahkamah. Sekiranya seorang bapa dapati bekas isterinya berkahwin lain, si suami boleh mengemukakan permohonan untuk melucutkan hak hadhanah yang diperolehi oleh bekas isterinya. Sekiranya mahkamah dapati, perkahwinan baru bekas isteri tidak mengganggu kebajikan si anak, hak jagaan akan tetap diberikan kepada si ibu.

Paling penting, dalam menentukan hak jagaan ini, mahkamah menitikberatkan kebajikan dan kemaslahatan anak-anak agar anak-anak dapat hidup berlandaskan ajaran Islam.

****Siaran November 2009