28 Januari 2013

Jangan jadi mangsa keganasan emosi

Masih ingat lagi janji saya untuk bincangkan tentang keganasan emosi dan psikologi beberapa minggu yang lalu? Kepada yang terlepas isu berkaitan, saya ulang sedikit tentang maksud keganasan emosi dan psikologi. Keganasan psikologi dan emosi meliputi perbuatan seperti ugutan, penghinaan termasuk juga caci maki dan kata-kata sindiran serta sinis. Walaupun mangsa tidak mengalami sebarang bentuk kesan luka yang boleh dilihat namun mangsa boleh mengalami tekanan perasaan yang amat teruk. Mangsa juga boleh hilang upaya untuk mengawal emosi secara normal yang kesan jangka pendek atau jangka panjang boleh menyebabkan kemungkinan mangsa melakukan sesuatu yang di luar kawalan.

Teringat satu kes yang pernah sampai ke pengaduan saya. Seorang adik meminta tolong agar saya membantu kakaknya. Kakaknya seorang suri rumah sepenuh masa, bersuamikan seorang pemandu lori dan mempunyai empat cahayamata. Perkahwinan mereka berusia hampir 10 tahun. Malangnya hampir 10 tahun itulah juga, saban hari si kakak dihujani dengan kata-kata nista, caci maki malah dipanggil babi oleh suaminya walaupun hanya disebabkan kesilapan kecil yang tidak disengajakan. Si adik mengambil keputusan untuk bertemu dengan saya setelah satu hari, dia perasan kakaknya mula berperangai pelik. Si kakak menunjukkan ke arah anak ketiganya yang mirip rupa suaminya dan melafazkan: Aku dengar ada suara suruh aku cekik budak ni sampai mati…

Ya!! Ngeri dan menyeramkan tapi itu adalah sebuah kisah benar yang diadukan kepada saya. Jika anda masih ingat, ada banyak kes melibatkan ibu membunuh anak sendiri yang berlaku sebelum ini, ada yang mencekik leher, membelit dengan wayar seterika dan macam-macam lagi. Jika difikirkan, mana mungkin seorang ibu yang waras sanggup bertindak sedemikian.

Seorang ibu yang waras akan mengorbankan nyawanya sendiri demi anaknya yang tersayang. Tapi, dalam kes-kes disebutkan tadi, ibu yang bertindak membunuh anaknya itu sedang berada dalam keadaan emosi tidak terkawal. Dia gagal untuk mengawal dirinya sendiri menyebabkan dirinya terpengaruh dengan kata-kata yang kononnya disampaikan kepadanya. Hakikatnya, kata-kata itu terbit dari dalam dirinya sendiri yang tika itu bukan membayangkan anaknya sebaliknya seseorang yang terlalu menikam perasaannya dan kebanyakan kes, suami mereka sendiri.

Kenapa boleh jadi begitu? Kajian membuktikan, mereka yang terlalu memendam perasaan terutamanya perasaan yang berbaur antara rasa sedih, terluka dan marah, adalah mereka yang terlalu mudah menjadi mangsa keganasan emosi. Jalan terbaik ialah luahkan segala kekusutan, tekanan perasaan, resah gelisah malah rasa marah anda. Jangan pendam atau simpan. Takut? Tak boleh nak luah sebab suami lebih garang? Anda boleh luahkan kepada teman rapat. Paling tidak pun, luahkan di dalam diari atau blog. Hamburkan segala kekusutan, tekanan dan amarah anda. Ada tikanya, anda tak perlukan seseorang untuk memberikan maklumbalas terhadap luahan anda tetapi dah memadai apabila ada orang lain yang mendengar luahan hati anda itu.

Jika keadaan semakin rumit dan anda rasa sukar mengawal diri anda sendiri, cepatlah dapatkan rawatan pakar psikiatri di hospital berdekatan. Ingat satu perkara: berjumpa pakar psikiatri bukan bererti anda gila. Sebaliknya anda berusaha untuk kembali menjadi seorang manusia yang normal dan waras sepenuhnya disebabkan kewarasan anda sebelum ini digugat oleh ketidaktenangan hati anda menyebabkan anda mengalami kecelaruan emosi. Pakar akan memberikan anda rawatan dan insyaAllah, anda boleh pulih sepenuhnya jika anda berkehendakkan sedemikian.

Kepada mereka yang menjadi mangsa keganasan psikologi dan emosi, sebagai seorang isteri, anda boleh menggunakan peruntukan fasakh bagi melepaskan diri daripada derita perkahwinan anda. Sebagai contoh, seksyen 52, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan memperuntukkan: seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, antaranya bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain: (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya.

Gunakan peruntukan yang ada, sertakan sekali dengan dokumen pengesahan daripada pakar psikiatri yang memperakui bahawa anda adalah mangsa keganasan psikologi dan emosi, sertakan juga saksi-saksi bagi menyokong kes anda. Ingat! Tanpa pengesahan pakar psikiatri, permohonan anda sukar diterima walau ramai saksi yang menyokong kes anda. Paling penting dan harus diingat juga, pengesahan pakar adalah untuk mengesahkan keadaan anda yang hilang kewarasan akal dan emosi disebabkan perlakuan keganasan suami. Walau perakuan dah ada, anda tetap perlu bangkit daripada kemelut tersebut, pulihkan diri agar anda tidak perlu bergantung kepada ubat atau rawatan pakar psikiatri lagi. Anda perlu keluar dari masalah ketidakwarasan emosi untuk pastikan anda mendapat hak-hak anda yang lain terutamanya hak jagaan anak!! Tinggalkan kisah semalam, bukalah buku baru dan terus bergerak ke depan….

**** Siaran November 2009

02 Januari 2013

Berazam, jangan ketepikan yang tersayang

Tahun baru datang lagi. Terasa macam baru sangat saja menyambut tahun baru kan! Apa nak dikatakan, masa beredar tanpa menunggu kita. Biarlah masa berlalu sebab setiap detik itu mempunyai ertinya juga untuk kita, tak gitu? Bila tahun baru, dua perkara yang tak boleh dipinggirkan iaitu azam dan diari. Bercakap tentang azam, saya tak nak bincang tentang azam baru sempena tahun baru, sebaliknya saya lebih berminat untuk memperkatakan tentang azam tahun lalu. Dah tercapai? Saya pernah wujudkan perbincangan mengenai pencapaian azam 2009 ini melalui Facebook saya dan beberapa komen yang diterima, kebanyakannya meluahkan masih belum dicapai sepenuhnya.

Saya sendiri, tika perbincangan ini disediakan, masih ada sebulan saja lagi untuk tibanya tahun baru. Alhamdulillah, beberapa hasrat saya untuk tahun 2009 telah pun terlaksana dan saya akui, masih ada lagi yang belum mampu saya capai. Antaranya, untuk mempunyai lesen kereta, ibu saya memarahi kerana sudah banyak kali bercadang untuk mengambilnya tapi masih juga belum melakukannya. InsyaAllah, janji saya kepada diri sendiri, saya akan cuba usahakan jugak hasrat tersebut berjaya saya capai sebelum tibanya 2010. Doa saya, Allah SWT memudahkan segala urusan untuk saya memenuhi azam dan tekad awal tahun ini.

Saya masih ingat lagi, pada keluaran pertama tahun lalu, melalui majalah kesayangan ramai ini, dibincangkan tentang azam; ada yang mencadangkan azam perlu setiap hari. Saya setuju sebab sebagai seorang yang ingin berjaya, kita perlu lebih baik daripada hari sebelumnya. Bermaksud, kita perlu sentiasa ‘up grade’ diri sendiri. Persoalannya, apakah itu yang dilakukan oleh kebanyakan daripada kita? Paling penting juga, berapa ramai antara kita yang menanam azam untuk menjadi seorang yang lebih baik kepada orang lain? Maksud saya; menjadi seorang isteri atau suami yang lebih bertanggungjawab, menjadi seorang ibu atau ayah yang lebih prihatin dan penyayang, menjadi seorang anak yang lebih bertimbangrasa, menjadi seorang pekerja yang lebih produktif, menjadi majikan yang lebih bekerjasama malah macam-macam lagi.

Kita perlu ingat, kita hidup bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain. Dalam rumahtangga, kita mempunyai tanggungjawab dan peranan yang tersendiri kepada insan di sekeliling kita: pasangan, anak-anak, ibu bapa dan saudara mara. Bukan hanya hak yang perlu kita tuntut daripada mereka. Ada tikanya kita terlupa malah sengaja buat-buat lupa tentang tanggungjawab tersebut semata-mata kerana azam yang kita tanam, untuk dicapai bagi kepentingan diri sendiri. Ya!! Saya pernah sarankan, sayangilah diri sendiri lebih daripada sayangkan orang lain tapi bukan bermaksud, anda perlu menafikan terus hak orang lain yang sewajarnya anda sayangi dan penuhi haknya.

Satu contoh mudah; saya kongsi kisah saya sendiri. Jika anda melayari weblog saya, anda pasti dah ketahui satu rahsia besar mengenai diri saya yang saya kongsikan bersama pelayar setia tika ulangtahun kelahiran saya awal Disember baru ni. Saya tak nak ulangi cerita tersebut. Yang saya nak kongsikan ialah keputusan saya untuk menarik diri daripada menjadi panel di slot Awani Pagi, Astro Awani yang sebelum ini disiarkan pada setiap Jumaat bermula April lalu. Bermula minggu saya menyediakan perbincangan ini, saya tidak lagi bersama Awani Pagi semata-mata saya mempunyai masalah mendapatkan penjaga anak-anak saya tika saya perlu meninggalkan mereka untuk ke Kuala Lumpur pada hujung minggu. (Kepada yang belum tahu, saya dah pun berpindah ke Sungai Petani, Kedah).

Saya ada tekad dan azam untuk berjaya dalam kerjaya tetapi bukan sampai mengenepikan keluarga. InsyaAllah, pengorbanan tersebut berbaloi! Malah, ada para isteri yang mengadu kepada saya, sukar nak beribadah sepenuhnya kepada Allah, berwirid panjang, bersolat jemaah dan macam-macam lagi disebabkan kekangan masa kerana perlu tumpukan kepada kebajikan suami dan anak-anak. Jangan bimbang sebaliknya bersyukurlah kerana pahala yang anda perolehi ketika sibuk menyediakan sarapan pagi untuk suami dan anak-anak hingga perlu memendekkan wirid subuh anda, adalah lebih besar berbanding anda berwirid panjang di tikar sembahyang dan mengabaikan kebajikan suami dan anak-anak. Itu baru sikit...

Saya tahu, ramai wanita khususnya para isteri yang mempunyai azam tertentu untuk dicapai. Ada yang nak teruskan pelajaran. Ada yang nak jadi usahawati berjaya. Ada yang nak pegang pangkat tertinggi. Teruskan! Berazamlah dan usahakanlah agar azam tersebut berjaya diperolehi. Namun, satu pesanan saya, jangan sesekali lupakan insan sekeliling. Jika belum berkahwin, anda punya ibu bapa untuk dikongsi segalanya. Bila telah berkahwin, tanggungjawab anda bertambah-tambah lagi. Paling penting, dapatkan sokongan daripada insan tersayang, insyaAllah, bila anda direstui, segala azam, hasrat, impian dan cita-cita anda akan mudah diperoleh, insyaAllah!!

Kepada insan tersayang; ibu bapa, pasangan (suami atau isteri) malah anak-anak juga, bantulah insan tersayang anda merealisasikan azam dan cita-citanya kerana bantuan dan sokongan anda amat diperlukan. Saling bekerjasama, azam dapat dilaksana, hidup kan lebih bahagia dan ceria.

Bagaimana dengan diari baru? Apa kaitannya dengan perjalanan hidup? InsyaAllah, saya akan bincangkan minggu depan!!

****Siaran Januari 2010