23 Februari 2010

Jangan terlebih manjakan suami

Pagi tadi, semasa sama-sama makan pagi dengan rakan sepejabat, seorang rakan yang baru sahaja sebulan lebih bernama isteri menceritakan kisah kerjasamanya ketika menguruskan rumahtangga. Rakan lain yang mendengar, meluahkan rasa gembira dan bertuahnya rakan tersebut kerana mempunyai suami yang sanggup membantu. Ada juga yang sempat menyelitkan peringatan: jangan awal-awal ni jer nak tolong dah ler. Peringatan tersebut segera saya balas: Kalau daripada awal kita sendiri tak terlalu manjakan suami, insyaAllah suami akan setia membantu kita.

Kata-kata saya tika itu bukan sekadar nak sedapkan hati pengantin baru. Sebaliknya, memang terlalu banyak kes yang pernah saya kendalikan berkisar tentang kata-kata tersebut. Bukan tak boleh manjakan suami. Manjakanlah dan memang fitrah suami memang suka dimanjakan. Cuma nasihat saya, jangan terlalu manjakan suami hingga suami terlupa diri dan menganiayai diri anda sendiri di kemudian hari.

Rata-rata kes sebegini melibatkan isteri yang terlalu memanjakan suami di awal perkahwinan dan bila keadaan bukan lagi seperti masa-masa manis tersebut, memang sukar untuk terus memanjakan suami malah boleh mengundang tekanan perasaan.

Ada kes; sejak awal perkahwinan, isteri yang memakai dan menanggalkan sarung kaki suami ketika pergi dan balik dari bekerja. Isteri juga biasa menghulurkan cawan air kepada suami. Bila telah ada seorang cahayamata, rutin tersebut agak sukar untuk isteri lakukan memandangkan isteri perlu juga berikan perhatian kepada si anak. Malah, isteri bukanlah surirumah sepenuh masa sebaliknya turut sama bekerja, pergi dan balik sama masanya dengan suami.

Kes lain; seorang suami sering meminta wang daripada isteri. Alasan suami, pinjam nanti bayar balik. Mulanya sikit kemudian dalam jumlah yang banyak. Janji nak bayar, hanya tinggal janji. Bukan saja selalu mintak wang malah segala keperluan isteri tidak pernah ditunaikan. Macam-macam alasan diberikan: tidak mampu, banyak hutang, kena tolong keluarga dan macam-macam lagi.

Itu cuma dua kes berkaitan, memadai untuk saya jadikan contoh dalam perbincangan kali ini. Bukan cerita rekaan ye tetapi kes yang benar-benar berlaku dan saya dengar daripada pengadu sendiri. Sebulan dua atau setahun dua, mungkin isteri sanggup bersabar tapi kalau dah lama-lama? Bila dah cakap elok-elok dengan suami tapi suami masih dengan sikap yang sama. Malah boleh pula dengan nada angkuh menuduh isteri lalai tanggungjawab atau punya orang lain. Bila keadaan makin rumit, jalan dipilih ialah keluar daripada perkahwinan sedangkan hakikatnya, perceraian boleh dielakkan jika isteri bertegas terhadap suami.

Siapa kata isteri tidak boleh bertegas? Ya! Syurga isteri terletak pada keredhaan suami terhadap isteri. Itu kata hukum dan jelas. Tapi jangan lupa, hukum juga menyebut bahawa perkahwinan adalah berteraskan mawaddah iaitu kasih sayang dan rahmah. Rahmah hanya akan diperolehi apabila masing-masing pihak menjalankan tanggungjawab dan kewajipan yang ditetapkan oleh syarak bagi menunaikan hak pasangan.

Di dalam Islam, tanggungjawab isteri yang utama adalah patuh dan taat kepada suami namun kepatuhan pula mestilah tidak melanggar kehendak syarak. Kepatuhan juga bukan bererti hingga perlu menjadi hamba kepada suami sendiri. Wanita mendapat tempat yang mulia di sisi Islam. Kaum lelaki dipertanggungjawabkan untuk menjaga, memelihara, membelai, menyayangi dan mengasihi wanita. Jika suami yang telah memegang janji untuk menjaga, memelihara, membelai, menyayangi dan mengasihi anda gagal berbuat demikian maka anda berhak bertegas untuk mendapatkan hak-hak itu.

Bertegas juga bermaksud anda tidak membiarkan suami anda mengabaikan tanggungjawabnya. Mungkin ada tikanya suami betul-betul di dalam kesusahan tetapi membiasakan membantu suami akan menyebabkan suami jadi lebih ‘liat’, tidak berusaha menyelesaikan masalah sebaliknya mengharapkan bantuan isteri semata-mata.

Sama juga dalam urusan rumahtangga. Ingat!! Bukan tugas wajib isteri untuk mengemas rumah atau memasak untuk anda sebaliknya semua tugas itu adalah bonus atas nama mawaddah wa rahmah. Sewajarnya sebagai suami, anda membantu isteri menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Kalau isteri yang bekerja, memang wajiblah anda membantu sebabnya isteri anda membantu anda mendapatkan perbelanjaan untuk kehidupan sempurna rumahtangga anda. Jika isteri anda suri rumah sepenuh masa pun, wajar juga anda bantu sebab melakukan kerja-kerja rumah tidak sama seperti melakukan kerja-kerja pejabat.

Malah, bekerjasama melakukan tanggungjawab anda adalah sebaik-baiknya. Kenapa nak berkira? Sekiranya benar anda menyayangi dan mengasihi pasangan anda, pasti anda inginkan dia hidup bahagia, betul? Bahagia takkan dapat dicapai jika hanya sebelah pihak yang sedia berkorban sebaliknya kebahagiaan akan diperolehi bila kedua-dua pihak bersedia berkorban bagai matahari, teguh mencurah haba dan cahaya dan masih mampu tegak berdiri.

****Siaran Ogos 2008

20 Februari 2010

Prosedur adalah untuk kebaikan

Kes 1: Seorang isteri bermasalah dalam mendapatkan tuntutan KWSP aruah suaminya kerana gagal menyerahkan akuan kematian suami selepas tidak mendaftarkan kematian si suami.

Kes 2: Seorang isteri sering menjadi mangsa pukulan suami malah sepanjang tempoh tiga tahun perkahwinan, suami gagal memberikan nafkah zahir termasuk gagal menjadi seorang ayah yang baik. Si isteri berhasrat untuk keluar daripada perkahwinan tetapi bermasalah apabila pihak berkuasa (pejabat agama) tidak dapat memproses aduan kesnya kerana perkahwinannya tidak didaftarkan.

Kes 3: Seorang isteri serba salah sama ada perlu tinggal sebumbung dengan si suami atau pun tidak kerana si isteri bimbang akan terus ‘diperlakukan’ sebagai isteri sedangkan telah nyata sudah tiga kali suami melafazkan perkataan cerai cuma lafaz-lafaz tersebut tidak pernah dibawa kepada pertimbangan pihak berkuasa.

Tiga kes yang berbeza. Malah, bukan kes-kes ini sahaja sebaliknya banyak kes lain yang seumpamanya. Pokok permasalahan bagi setiap masalah ini hanyalah satu: gagal menepati kehendak prosedur dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Bagi mereka ini, yang penting adalah hukum syarak terlaksana. Hmmm, ye lah tu tapi natijhahnya??? Siapa yang merana? Saya pernah mendengar beberapa keluhan berkaitan prosedur atau peruntukan undang-undang yang khabarnya menyusahkan. Antaranya: Kahwin pun nak kena isi borang, pengesahan itu ini, interview sana sini, kursus itu ini, macam-macam sangat. Syarak kan mudah, cukup ja syarat dan rukun, dah la.

Memang lah, syarak tu mudah. Masalahnya terlalu ramai sangat dah sekarang ni yang pandai bercakap mengenai hukum syarak sebaliknya perlakuan langsung tak cerminkan ilmu yang diluahkan. Sebab tu lah terdapat peruntukan undang-undang yang menetapkan beberapa prosedur dan tatacara yang perlu kita ikuti dan patuhi. Bukan untuk menyusahkan sebaliknya adalah untuk kebaikan dan kebajikan semua pihak terutamanya kaum wanita.

Saya nak kongsi dengan anda tentang kes kedua yang saya nyatakan di awal perbincangan. Wanita K adalah isteri kedua kepada lelaki L. Mereka berkahwin tanpa mendapatkan kebenaran pihak berkuasa sebaliknya berkahwin menggunakan khidmat nikah sindiket. Pada mulanya, tidak timbul sebarang masalah hinggalah isteri pertama tahu mengenai perkahwinan tersebut tak lama selepas perkahwinan. Kes jadi makin kronik bila suami mula angkat tangan hanya kerana isteri kedua mempersoalkan haknya iaitu tentang nafkah dan giliran.

Demi mengenangkan janji-janji dan harapan yang ditabur oleh suami, si isteri bertahan. Sabar ada batasnya. Setelah hati dan badan sering disakiti, si isteri bertindak mengadukan kesnya ke pejabat agama dengan harapan dapat keluar daripada perkahwinan yang gagal mencapai hikmah yang diharapkan. Malang bagi si isteri apabila pejabat agama mengesahkan kesnya tidak boleh diproses memandangkan perkahwinannya tidak pernah didaftarkan dan surat nikah yang diterima adalah palsu. Tika perbincangan ini disediakan, kes wanita K sedang menunggu perbicaraan mahkamah untuk mendaftarkan perkahwinan mereka yang dibuktikan sah mengikut hukum syarak setelah siasatan dibuat oleh pihak berkuasa. Hanya setelah perkahwinan didaftarkan, barulah wanita K boleh meneruskan kes untuk permohonan cerai dan lain-lain permohonan yang berkaitan. Dah nampak kesannya jika tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa?

Hakikatnya, jika dikaji setiap peruntukan undang-undang terutamanya Undang-undang Kekeluargaan Islam membuktikan bahawa peruntukan undang-undang yang digubal berlandaskan hukum syarak adalah demi menjaga kebajikan dan kemaslahatan semua ahli masyarakat dan kaum wanita khususnya. Contoh kes yang saya bentangkan tadi adalah antara bukti bahawa undang-undang khususnya Undang-undang Kekeluargaan Islam diwujudkan untuk menjaga kebajikan dan kepentingan kaum wanita. Terdapat pelbagai peruntukan lain yang boleh anda dapatkan merangkumi tiga kategori utama iaitu:
sebelum memasuki alam perkahwinan
semasa tempoh perkahwinan
selepas perkahwinan berakhir atau dibubarkan

Ya! Bukan sahaja untuk mereka yang telah berkahwin,Undang-undang Keluarga Islam juga menjaga kepentingan kaum wanita semasa sebelum berkahwin. Apakah yang boleh anda dapat? Banyak perkara antaranya berkaitan had umur perkahwinan, pertunangan, izin wali dan mas kahwin. Semasa perkahwinan pula, kaum wanita diberikan kuasa untuk ‘memaksa’ suami memberikan nafkah yang patut dan perlu. Wanita yang berkahwin juga diberikan kuasa untuk mengakhirkan perkahwinan yang memberikan penderitaan kepada mereka melalui peruntukan cerai talak, takliq, khuluk dan fasakh.

Malah, melalui Undang-undang Keluarga Islam juga kaum wanita boleh menjadikan suami yang berpoligami bersikap adil dan saksama. Paling penting, Undang-undang Keluarga Islam amat menjaga kebajikan dan kepentingan kaum wanita yang ditadkirkan menghadapi perceraian atau pembubaran perkahwinan mereka sama ada bercerai hidup atau bercerai mati. InsyaAllah, saya akan bincangkan dengan lebih terperinci mengenai hak-hak ini di dalam buku saya yang saya sedang ‘pulun’ siapkan dan dijangka selesai hujung tahun ini.

****Siaran Julai 2008

07 Februari 2010

Utamakan keselamatan anak-anak

Masih terngiang-ngiang lagi di telinga saya laporan berita daripada Buletin Utama kelmarin, tentang seorang kanak-kanak berusia 21 bulan meninggal dunia selepas terhumban keluar dari kereta yang sedang dipandu oleh ayahnya sendiri. Lebih menyayat hati,kepalanya juga digelek tayar kereta. Innalillah hi waiinna ilaihi raji’un. Nauzubillahimin zalik. Tak sanggup saya membayangkan keadaan kejadian tersebut. Sah dan nyata roh kanak-kanak tersebut sedang hidup aman dan damai. Walau mungkin, tika artikel ini disiarkan, ibu bapa kanak-kanak masih merasai kehilangannya. Mungkin juga tika ini, masyarakat masih memperkatakan mengenai peristiwa ini atau mungkin juga, kisah ini sudah menjadi sejarah, persis kisah Sharlinie yang kini seperti sudah dilupakan.

Tak kisah lah apa keadaannya pun, tujuan saya membincangkan topik ini ialah tentang perlunya setiap ibu bapa mengutamakan keselamatan anak-anak. Terus terang, saya terkejut besar mendengar kanak-kanak kecil tersebut ditinggalkan duduk bersama kakak yang hanya berusia lima tahun di belakang. Ya Allah! Kenapa begitu jadinya? Bukan menuduh atau tidak kenal erti simpati atau melupai kehendak takdir. Sebenarnya, kes sebeginilah yang boleh dikategorikan sebagai kelalaian ibu bapa di dalam menjaga keselamatan anak-anak.

Kenapa lah kanak-kanak kecil tersebut tidak dipakaikan tali pinggang keledar? Tak ada? Kalau dah tak ada, pegang sajalah anak tu kat depan, letakkan di atas riba ibu. Tak selesa? Mana lebih penting, selesa atau anak selamat? Ya! Memang betul, kalau tau perkara nak berlaku, tak lah dibiarkan anak tu kat belakang. Sama juga lah,kalau tau bila nak mati, tak der lah orang nak lakukan maksiat. Betul tak? Apa sinonimnya? Ya! Sebagai makhluk, kita tak tau apa yang bakal berlaku di depan. Bila tak tau,kita perlu mengambil langkah-langkah yang perlu.

Kalau semua pembaca nak tau, hingga saat ini saya masih duduk di bahagian belakang bersama ketiga-tiga anak saya sekiranya suami saya memandu dan tidak ada orang lain yang turut serta bersama kami yang boleh saya harapkan untuk menjaga anak-anak saya kat belakang. Bukan tika ada bayi berusia sembilan bulan sekarang sahaja tetapi sejak mula. Pernah suami saya bersuara, dah rasa cam driver pulak. Saya yakin itu kata-kata gurauan tapi kalaulah suami memaksudkannya pun, saya hanya mampu memohon maaf sebab saya tak mampu melepaskan anak-anak saya sahaja di belakang walaupun kini Ayuni dan Suhail telah berusia lima dan empat tahun. Bukan saya sahaja, malah saya perhatikan beberapa rakan saya juga bertindak serupa. Bukan nak jadikan suami driver atau hamba tetapi demi menjaga keselamatan anak-anak.

Setiap ibu bapa perlu ingat, usia bayi tiga bulan, tika mula mengorak gerak meneroka persekitaran hinggalah menjadi kanak-kanak berusia 12 tahun, segala yang berada di keliling mereka adalah satu ujian. Persekitaran mereka bagaikan satu makmal kajian. Jika berada di dalam kereta, mereka akan mencuba segala perkara untuk mengetahui apa fungsi dan peranannya. Mereka cuba nak buka pintu. Mereka nak hulurkan muka dan tangan keluar. Macam-macam perkara. Apalah yang kanak-kanak tau tentang bahaya,apatah lagi kanak-kanak kecil yang belum pun berusia dua tahun? Allahu akbar. Mohon dijauhkan ujian serupa daripada menimpa saya dan anda semua.

Maaflah kalau kali ini saya seperti membebel. Memang sungguh saya kecewa. Kecewa dengan sikap acuh tak acuh sesetengah ibu bapa dengan keselamatan anak-anak walau sering disajikan dengan pelbagai berita yang boleh dijadikan pengajaran dan iktibar. Lebih kecewa bila ada ibu bapa yang lebih pentingkan harta benda daripada anak-anak. Saya yakin,ada di antara pembaca yang pernah membaca kisah seorang kanak-kanak perempuan yang minta dipulangkan semula tangannya yang terpaksa dipotong setelah mengalami luka parah kesan menerima pukulan daripada si ayah, hanya kerana si anak menconteng keretanya. Saya masih simpan cerita tersebut. Saya tak dapat nak pastikan kesahihannya tetapi moralnya memang menyentuh rasa. Kisah terbaru yang sampai kepada saya ialah kisah seorang ibu yang melarang orang ramai memecahkan cermin keretanya kerana bimbang dimarahi suami sedangkan anak kecilnya terperangkap di dalam kereta yang terkunci dan kuncinya ada di dalam kereta. Syukur juga ada manusia yang waras akal, tidak peduli larangan si ibu yang takutkan amarah suami, terus pecahkan cermin kereta dan alhamdulillah, bayi berjaya diselamatkan.

Ada tikanya saya terfikir, kenapalah ada ibu bapa yang bodoh seperti itu? Tak terfikirkah betapa berharganya nyawa si anak? Atau ambil jalan mudah, anak boleh ja nak buat lain tapi harta susah nak cari, begitu? Kalau itulah yang bermain di fikiran anda, maaf saya katakan, anda bukan saja tidak layak menjadi ibu bapa tapi juga tak layak menjadi hidangan anjing. Saya tak tau entah kali ke berapa saya sebutkan menerusi ruangan ini, ANAK-ANAK ADALAH TANGGUNGJAWAB IBU BAPA, bukan ibu sahaja atau bukan bapa sahaja. Ibu dan bapa, kedua-duanya perlu mengambil tahu, menjaga, mendidik dan membimbing anak-anak hingga berjaya menjadi insan yang berguna. Perceraian bukan alasan untuk anda engkar melakukan tanggungjawab tersebut. Mahu seribu daya kan?! Tanggungjawab ibu bapa juga untuk menjaga keselamatan anak-anak dan jika anda gagal, anda memang patut dibicarakan di bawah peruntukan yang ada. Berhati-hatilah…

****Siaran Julai 2008