25 Januari 2010

Kenapa perlu maafkan dan beri peluang?

“Dia tak puas hati kenapa akak selalu sangat suruh perempuan maafkan dan bagi peluang? Dah la lelaki tu buat salah, kenapa nak senang ja memaafkan? Sampai bila nak kena bagi peluang?” Itulah antara luahan hati seorang pembaca ruangan ini yang disampaikan oleh pembantu saya. Maafkan saya kerana anda tidak berpeluang bercakap terus dengan saya apabila menghubungi nombor telefon bimbit seperti yang tertera di bawah nama saya, di ruangan ini. Seperti yang tercetak, nombor tersebut adalah untuk temujanji. Bukan saya enggan berikan nombor saya sendiri atau nak berlagak ‘glamour’ hingga perlu ada pembantu. Sungguh, saya tidak berkesempatan melayan panggilan anda. Daripada anda menelefon saya tak der respons, baiklah saya bersembunyi dalam terang. Harap faham keadaan saya…

Kembali kepada persoalan yang menjadi topik pilihan saya kali ini. Sebenarnya, maklum balas yang menjadi pembuka perbincangan kali ini saya terima selepas perbincangan “Membina kepercayaan yang telah hilang” disiarkan di ruangan ini. Mengimbas semula perbincangan saya, memang saya akui saya mencadangkan agar anda memaafkan kesalahan pasangan anda dan berikan peluang. Seperti yang saya sering tegaskan, perbincangan saya adalah berasaskan kepada fakta dan bukan berdasarkan emosi. Sebagai Muslim, asas yang paling penting ialah saranan daripada hukum syarak.

Menjawab persoalan, kenapa perlu maafkan? Rasanya semua orang dah maklum cuma mungkin terlupa. Islam menganjurkan setiap umatnya untuk bermaaf-maafan. Bukan sahaja Islam malah setiap agama mempunyai prinsip sedemikian. Bermaaf-maafan sesama manusia adalah sifat yang amat mulia. Jangan bersikap sombong, bongkak dan enggan memaafkan kesilapan atau kesalahan orang lain apatah lagi memaafkan pasangan anda, orang yang pernah dan tak mustahil, masih anda sayangi dan cintai. Ingat!! Allah yang Maha Berkuasa, pemilik segalanya di alam maya ini, sanggup memaafkan dan mengampunkan setiap kesalahan hamba-Nya. Kita ni manusia biasa, tiada apa-apa kuasa, kenapa berlagak diri besar sangat sampai tak nak maafkan orang lain?

Mungkin ada yang berpendapat: Takkan nak maafkan begitu sahaja? Hati dah disakiti. Hampir setiap saat terasa penderitaan tersebut. Nak maafkan begitu sahaja? Saya faham, memang sukar melupakan. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah-kisah yang melukakan hati yang tak pernah terfikir atau diimpikan selama ini. Sabar dan jangan marah-marah. Saya tak minta anda mengenang kisah-kisah luka tersebut. Saya hanya minta anda memaafkan. Memaafkan tak perlukan anda melupakan semua kisah-kisah luka tersebut dan jangan paksa diri melupakan. Bertenang, tarik nafas dan lepaskan. Kemudian lafazkan: Aku maafkan....!! Cuba berulang kali, insyaAllah lama-kelamaan ucapan terpaksa tersebut akan lahir daripada hati dan minda anda sendiri.

Persoalan kedua: Kenapa perlu berikan peluang? Saya yakin ramai yang maklum, di dalam perkahwinan ada perceraian. Di dalam perceraian ada tempoh eddah. Apa yang anda faham dengan tempoh eddah? Ya, tempoh eddah adalah untuk anda berikan peluang. Bukan sekali tetapi banyak kali. Jika bercerai talak satu, boleh merujuk kembali dalam tempoh eddah. Bila dah rujuk dan jika berlaku lagi perceraian, ada lagi tempoh eddah selepas perceraian kedua. Bila bersama semula selepas perceraian kedua dan berlaku lagi perceraian, dah tak boleh rujuk tetapi dibenarkan untuk bersama semula melalui perkahwinan baru dengan syarat setelah si isteri berkahwin dengan lelaki lain terlebih dahulu kemudian diceraikan sama ada mati atau hidup atau perkataan terkenal di kalangan masyarakat kita ’cina buta’.

Saya tak nak ceritakan pasal cina buta. Penerangan di perenggan sebelum ini adalah untuk menjelaskan mengenai peluang yang diberikan oleh syarak kepada setiap pasangan yang berjanji untuk sehidup semati. Bukan sekali malah beberapa kali. Kalau hukum syarak boleh berikan peluang kepada kita, kenapa anda pula enggan berikan peluang kepada pasangan anda? Peluang untuk diri anda juga!!

Tapi jangan salah faham. Bukan bererti saya meminta anda dengan sesenang hati memberi peluang. Bukan juga bermaksud dengan mudah juga anda perlu maafkan. Saya tak kata bila anda dipukul, dilanyak sesedap rasa, anda perlu terima atau berdiam diri dan maafkan seterusnya berikan peluang begitu sahaja? Saya juga tak maksudkan bila anda ditipu, dipergunakan sesuka hati oleh pasangan anda, anda pasrah dan redha begitu sahaja.

Beri peluang bila pasangan anda memohon maaf, mengakui kesilapan dan meminta agar diberikan peluang dan bila anda rasa yakin anda boleh percayakan maaf yang dipohon. Bagaimana nak rasa yakin? Saya tak boleh berikan anda keyakinan. Keyakinan perlu lahir daripada diri anda sendiri. Paling penting, pohon keyakinan tersebut daripada Allah Taala kerana hanya Dia yang mengetahui segalanya.

****Siaran Jun 2008

15 Januari 2010

Hadapi kematian insan tersayang

Seorang teman menghantar e-mel menceritakan berita sedih kematian suami salah seorang rakan kami. Dalam e-mel itu menceritakan bagaimana suami rakan tersebut yang tidak mempunyai sakit apa pun. Cuma malam sebelum pemergian itu, suaminya terjaga dan mengerang kesakitan. Akan tetapi selepas itu dia kembali tidur. Namun jam empat pagi sekali lagi suaminya mengerang kesakitan. Tak lama kemudian dia kembali kepada Allah. Tak dapat dibayangkan situasi yang dihadapi Alif di rumahnya sendiri bersama empat orang anak-anaknya. Si sulung darjah satu dan yang paling bongsu baru berusia empat bulan.

Di atas adalah cerita yang dihantar oleh seorang rakan sepengajian kepada saya dan rakan-rakan sepengajian lainnya melalui syariah-law98-yahoogroups. Emel ini adalah respons kepada emel sebelumnya yang menyampaikan berita kembalinya suami rakan kami itu ke rahmatullah pagi Ahad 5hb Mei baru-baru ini. Memang mengejutkan. Aruah suaminya sebaya kami sahaja. Benarlah janji Allah, bila tiba masanya, takkan terlewat atau tercepat walau sesaat. Yang agak melegakan, rakan kami itu bekerja. insyaAllah, tak terlalu bermasalah untuk menguruskan keperluan anak-anak.

Itu dari segi zahirnya lah, dari segi emosi memang agak payah. Bukan saja untuk Alif malah untuk semua individu di dunia ini. Bila orang tersayang pergi secara tiba-tiba, memang susah nak diluahkan apa yang dirasa. Paling mudah, air mata sahaja jadi teman setia. Seperti rakan kami ini, khabarnya (menurut emel seorang rakan yang menghubunginya, saya masih belum berkesempatan berbual sendiri dengannya semasa perbincangan ini disediakan), dari cara Alif berbual dengannya, dapat dirasakan semangat Alif yang kuat dan tabah. Cuma menurut kata rakan saya itu, mungkin masih terlalu baru. Bila makin lama, kehilangan akan lebih terasa. Seperti dirinya sendiri yang hanya merasakan kehilangan ayah tercinta selepas dua minggu pemergian aruah kira-kira 16 tahun lalu.

Cepat atau lambat, bukan pokok perbincangan saya kali ini. Yang ingin saya kongsi bersama semua pembaca kali ini ialah peranan kita sebagai insan yang masih ada dan perlu meneruskan kehidupan di dunia ini setelah orang tersayang yang menjadi tunggak utama kehidupan dijemput pergi mengadap Ilahi sama ada secara tiba-tiba atau memang dijangka (contohnya kes sakit berpanjangan). Terus terang, saya masih belum diuji dengan berita kematian insan tersayang. Namun, apa yang saya bincangkan di sini, bukan hanya nak pandai cakap tetapi juga sebagai satu panduan untuk saya sendiri apabila perlu menghadapi situasi demikian. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan, sama ada payung patah atau sedikit bocor, mempunyai payung adalah lebih baik daripada perlu basah kuyup di dalam hujan.

Peranan pertama dan paling utama ialah kita perlu ingat dan percaya bahawa kematian adalah pasti untuk setiap insan. Sama ada cepat atau lambat, kematian pasti datang. Bila? Di mana? Bagaimana cara atau apa sebabnya? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Kedua: Anda boleh menangis kerana kehilangan tetapi jangan sampai anda tidak merelakan pemergiannya. Tidak merelakan bererti anda melawan takdir Ilahi, nauzubillah. Ketiga: Jangan fikirkan kesusahan yang bakal anda tempuhi di dalam hidup kerana kehilangannya sebaliknya fikirkan bagaimanakah caranya untuk anda meneruskan kehidupan setelah pemergiannya. Ingat! Allah dah janjikan rezeki yang tersendiri untuk setiap makhluknya yang hidup di muka bumi ini. Anda hanya perlu berusaha, ikhtiar dan tawakkal, insyaAllah ada rezeki yang datang kepada anda.

Keempat: Tunaikan hasrat si mati. Jika anda mempunyai impian bersama untuk membesarkan anak-anak, jangan jadikan kematian pasangan anda sebagai alasan untuk anda menguburkan impian tersebut. Sebaliknya anda perlu tabahkan hati dan kuatkan semangat untuk menunaikan impian dan hasrat aruah. InsyaAllah, rohnya akan turut gembira bila impiannya ditunaikan oleh anda. Kelima: Jangan kecewakan roh si mati. Saya yakin, anda pernah mendengar tentang roh balik ke rumah, melihat kehidupan orang yang ditinggalkan. Wallahua’lam, saya tak dapat nak pastikan kebenaran kata-kata tersebut sebab roh adalah antara perkara ghaib yang kita adalah dilarang untuk mempersoalkannya kerana tersalah soal atau tersilap percaya, boleh membawa kepada kufur, nauzubillah.

Yang penting, kehidupan selepas kematian itu ada, bermula di alam kubur seterusnya di akhirat setelah berlakunya kiamat. Kekecewaan yang saya maksudkan adalah berkaitan kehidupan selepas kematian. Seringkali kita lupa tentang kehidupan si mati selepas dia dikebumikan. Kita sering kali mempertikaikan nasib orang yang ditinggalkan sedangkan Allah telah memberi jaminan rezeki kepada setiap hamba-Nya yang hidup. Sebaliknya, tiada jaminan selamat daripada siksaan kubur melainkan si mati membawa bersamanya amal soleh. Di dalam satu hadis menyatakan: Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang diambil orang manfaatnya dan anak yang soleh yang mendoakannya. Bukan sahaja doa anak soleh malah doa sesiapa sahaja yang ikhlas boleh membantu mereka yang telah pergi.

Moga kita semua lebih bersedia dalam setiap perkara mendepani hari muka…

****Siaran Jun 2008

10 Januari 2010

Sama tapi tak serupa

Sabtu baru ni, tika negara hangat dengan kes permohonan seorang pemandu lori untuk berkahwin buat kali keempat dengan keizinan tiga isterinya yang sedia ada, saya berdepan dengan dua kes melibatkan poligami. Satu kes mengenai seorang wanita yang sedang mengandung dan menghadapi tekanan akibat suaminya ingin berkahwin lagi. Satu lagi kes mengenai seorang wanita yang baru ingin memulakan kehidupan bahagia berkeluarga selepas sakit yang agak lama, menghadapi tekanan hampir dua bulan selepas mendapat berita suaminya berkahwin lagi awal tahun ini. Kes pertama saya bantu dengan nasihat melalui e-mel dan kes kedua melibatkan pertemuan enam mata antara saya, wanita bermasalah dan suaminya.

Saya tak ingin ceritakan dengan terperinci mengenai sesi pada hari tersebut. Yang menarik perhatian saya ialah beberapa penyataan suami sepanjang sesi tersebut: Apalah susah sangat? Terima ja lah. Saya kahwin, bukan buat perkara tak elok. Saya bagitau dia sendiri, tak nak dia dengar daripada orang lain. Isteri saya ni yang ego. Bimbang orang cakap bukan-bukan. Kalau orang tanya, bagitau ja la itu isteri kedua suami saya, senang cerita. Orang sana boleh ja bagi peluang kat saya dah dua bulan tak der giliran bermalam kat sana. Tak yah nak fikir saya dengan orang sana, anggap ja saya keluar kerja.

Jawapan saya kepada kata-kata tersebut yang ingin saya kongsi di dalam perbincangan kali ini. Bukan sahaja kepada suami tersebut sebaliknya jawapan yang hampir sama saya berikan kepada seorang kakak (panggilan yang digunakan dalam sesi perbualan telefon tersebut) dari Melaka beberapa bulan lalu bila dia mempersoalkan kenapa isteri pertama tak boleh nak terima hakikat terpaksa berkongsi suami sedangkan dia boleh terima hakikat tersebut.

Jawapannya: keadaan kedua-dua isteri memang sama iaitu berkongsi seorang lelaki iaitu suami mereka tetapi tak serupa sebab isteri kedua memang mengetahui hakikat perlu berkongsi suami sebaliknya isteri pertama terpaksa menerima hakikat tersebut. Realitinya adalah sama tetapi tak serupa.

Sebagai wanita yang memang tahu dirinya bakal mengahwini suami orang lain, sudah tentu wanita tersebut menyediakan dirinya untuk berkongsi suami dengan orang lain walau ramai suami yang berpoligami berkata, kasih tetap sama, tak berkurang, kasih kepada yang baru adalah kasih baru, bukan kasih yang dibahagikan daripada kasih yang lama dengan isteri pertama. Saya tak menafikan wujud kebenaran kepada perkara tersebut sebab ada kes-kes poligami yang bahagia. Saya dah pernah ceritakan dulu kan. Seperti yang saya tegaskan, poligami ada di dalam Islam bererti poligami bukan untuk memberikan penderitaan kepada kaum wanita. Sebaliknya poligami mempunyai banyak hikmah yang tersembunyi jika poligami tersebut diaplikasikan mengikut kehendak syarak.

Kebanyakan wanita jadi semacam histeria bila dengar suami berpoligami atau nak poligami ialah kerana kebanyakan kes poligami gagal menepati kehendak poligami yang sebenarnya. Isteri pertama atau sedia ada memang akan menghalang dan patah hati sebab mereka tidak menyediakan diri mereka untuk berkongsi suami. Selama ini dialah satu-satunya buah hati suami, tempat mengadu masalah, berkongsi suka dan duka. Tiba-tiba dapat tau suami dah kahwin lagi atau nak kahwin lagi, terus terang isteri sedia ada akan rasa tertipu, teraniaya, tidak disayangi, kehilangan, risau, sedih, marah, dikhianati dan macam-macam lagi. Bagaimana nak minta isteri pertama berlagak seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku? Setuju sahaja dan terima sama seperti isteri kedua yang boleh terima hakikat tersebut dengan hati terbuka? Memang boleh tapi ambil masa.

Bukan sahaja isteri pertama malah saya pernah kendalikan kes isteri kedua yang tak dapat terima suami berkahwin lagi buat kali ketiga tanpa pengetahuannya sedangkan sebelumnya dia menerima hakikat perlu berkongsi suami dengan isteri pertama. Sebab dan alasannya tiada beza, dua keadaan yang sama tetapi tak serupa.

Saya bukan penyokong poligami. Saya juga bukan anti poligami. Segala apa yang saya bincangkan bukan berdasarkan emosi tetapi rasional berasaskan sedikit ilmu pemberian Ilahi. Kepada para isteri yang ditakdirkan berpoligami, saya faham kepedihan hati kalian semua. Pesan saya, jangan rasa kehilangan sebab anda masih punya suami cuma berkongsi. Jika suami mampu laksanakan tanggungjawab tanpa mengabaikan hak anda dan anak-anak anda, berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, Dia lebih mengetahui hikmah di sebalik semua kehendak-Nya. Jangan sesekali fikirkan untuk berpisah kerana tak sanggup berkongsi kasih. Perkongsian bukan menghilangkan kasih sayang suami kepada anda malah boleh menambahkan lagi kasih sayangnya. Yang penting anda tahu caranya dan INGAT!!! BUKAN DENGAN AMALAN BOMOH ATAU PUJA. Bersainglah secara sihat dan menepati kehendak syarak.

Berikan peluang kepada diri anda untuk menerima hakikat perkongsian kasih tersebut. Suami takkan mampu berlaku adil sekiranya anda dan madu anda tidak memberikan kerjasama. Mahukah anda biarkan suami anda dilaknat Allah kerana gagal berlaku adil di dalam poligami. Dalam masa yang sama, berdoa kepada-Nya mohon yang terbaik. InsyaAllah, dengan kerjasama semua, poligami akan jadi indah dan membahagiakan semua pihak.

****Siaran Jun 2008

08 Januari 2010

Jom lawan orang ketiga

Haaa?? Apa yang tak kena pulak dengan saya ni? Minggu lepas beriya-iya bincang pasal poligami. Tiba-tiba minggu ni ajak lawan orang ketiga pulak. Dah tak betul ke apa? Hehehe… sabar!!! Jangan marah ya! Seperti yang selalu saya tegaskan, saya sedaya upaya membincangkan segala isu di dalam ruangan ini secara ilmiah, bukan berdasarkan emosi atau isu kejantinaan. Kali ini, saya terfikir untuk membincangkan topik ini kerana saya ingin sampaikan maklumat yang saya yakin, agak ramai di kalangan masyarakat kita tidak tahu. Apa maklumatnya? Seperti tajuk perbincangan, saya nak ajar anda melawan orang ketiga kerana terdapat peruntukan undang-undang yang boleh digunakan dan membenarkan anda melawan orang ketiga.

Oppsss! Nanti dulu, jangan bersorak gembira atau rasa terancam. Orang ketiga yang saya maksudkan bukanlah madu anda atau isteri suami anda yang telah sah di sisi syarak sebaliknya orang ketiga yang termasuk di dalam pendefinisian yang membenarkan peruntukan undang-undang tersebut dikenakan ke atas dirinya ialah lelaki atau wanita yang menggugat kebahagiaan perkahwinan dan rumahtangga anda bersama pasangan anda.

Pendefinisian ini bermaksud jika anda, tak kiralah seorang lelaki atau wanita menjadi sebab kepada berlakunya ketidakharmonian perkahwinan seseorang, anda boleh disabitkan melakukan kesalahan jenayah di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah. Akta ini terdapat di setiap negeri. Merujuk kepada Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan), seksyen 36, seksyen 37 dan seksyen 38 adalah berkaitan dan boleh digunakan untuk membawa orang ketiga ini ke muka pengadilan. Berikut saya lampirkan peruntukan tersebut:

Seksyen 36. Memujuk lari perempuan bersuami.Mana-mana orang yang memujuk lari seorang perempuan bersuami atau membawanya keluar dari atau dengan apa-apa cara mempengaruhinya supaya meninggalkan kediaman suami isteri yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh memerintahkan perempuan tersebut supaya kembali kepada suaminya.

Seksyen 37. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah.

Seksyen 38. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana orang lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan peruntukan ini, sesiapa sahaja yang menjadi penghalang hubungan bahagia antara anda dan pasangan anda, boleh dibicarakan. Sebagai contoh, suami anda mempunyai teman wanita hingga melalaikan kewajipannya sebagai suami dan ayah, teman wanita suami anda itu boleh dibawa ke mahkamah dan dibicarakan. Sama juga jika isteri anda mempunyai hubungan dengan teman lelaki hingga melalaikan tanggungjawab dan kewajipannya, teman lelaki isteri anda boleh dibicarakan.

Caranya? Anda perlulah mengemukakan aduan ke Unit Penguatkuasaan dan Pendakwaan, Mahkamah Syariah yang berdekatan dengan anda. Di dalam aduan tersebut, anda perlu jelaskan dengan terperinci mengenai hubungan pasangan anda dengan temannya hingga memporak-perandakan rumahtangga anda. Anda juga perlu kemukakan segala bukti yang ada berkaitan dengan hubungan mereka. Antara bentuk bukti yang boleh dikemukakan ialah gambar atau bil telefon atau emel atau sms atau apa saja bukti yang berkaitan. Aduan akan diselidiki dan jika berkaitan, pertuduhan dan pendakwaan akan dilakukan oleh Pihak Pendakwa, Unit Penguatkuasaan dan Pendakwaan tersebut. Sekiranya disabitkan bersalah, lelaki atau wanita terlibat akan dikenakan hukuman yang telah ditetapkan.

Jangan salah faham, peruntukan ini bukan penghalang wujudnya poligami. Seperti yang telah saya jelaskan minggu lepas, antara syarat dibenarkan poligami ialah tidak mengganggu perkahwinan sedia ada. Jika belum kahwin pun perkahwinan sedia ada dah berantakan dan bergoncang, bagaimana anda boleh dipercayai untuk mempunyai satu rumahtangga lagi? Poligami juga bermaksud perkongsian, bukan perebutan hak. Jika ingin hadir sebagai orang ketiga di antara sepasang suami isteri, jagalah tingkah laku anda dan awasi juga tingkah laku bakal teman hidup anda agar anda tidak menggugat kebahagiaan perkahwinannya yang sedia ada.

Bererti, kepada mereka yang berhasrat menggugat kebahagiaan orang lain, berhati-hatilah ya….

****Siaran Jun 2008

06 Januari 2010

Maksud adil dan mampu dalam poligami

Mungkin ramai yang masih ingat dengan kes permohonan seorang lelaki untuk berkahwin dengan seorang wanita sebagai isteri keempat dan permohonan tersebut dipersetujui oleh ketiga-tiga isteri sedia ada. Ketika perbincangan ini ditulis, kes tersebut masih menunggu kata putus mahkamah kerana hakim tidak berpuas hati dengan alasan permohonan. Tangguhan kes tersebut menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan beberapa rakan sekerja sama seperti mula-mula kes ini didengar. Malah, seorang rakan lama saya semasa sekolah menengah dahulu menghubungi PA saya kebetulan saya ada bersama, dapatlah saya bercakap dengannya. Antara topik yang dibualkan ialah kes permohonan poligami tersebut. Dia pelik, kenapa isteri-isteri dah setuju pun, mahkamah tak boleh nak benarkan?

Seperti jawapan hakim yang membicarakan kes, beliau tidak berpuas hati dengan alasan yang dikemukakan oleh lelaki tersebut untuk berkahwin lagi. Mungkin lelaki tersebut boleh dikategorikan sebagai boleh berlaku adil seperti cerita-cerita bagaimana dia melayan isteri-isteri dan anak-anaknya yang dihebahkan di dalam pelbagai media tetapi apakah lelaki itu benar-benar mampu? Kemampuan bukan sekadar mampu dari segi tenaga batin atau harta tetapi mampu untuk memberikan kasih sayang dan perhatian kepada isteri-isteri dan anak-anak sedia. Ingat! Tugas mendidik dan membesarkan anak-anak bukan tanggungjawab isteri semata-mata.

Saya masih ingat satu kes tentang seorang lelaki yang berkahwin empat. Bukan cerita novel atau mendengar daripada orang lain. Saya dan suami saya mendengar dengan jelas cerita lelaki tersebut: dia tak suka dengar suara bising anak-anak. Nak mengelak diri, dia lebih suka memerap kat kedai cuci kereta yang diusahakannya. Dia tak kenal rapat dengan anak-anaknya malah ada antara anaknya itu, dia tak boleh kenal pasti daripada isterinya yang mana? Penjelasan lelaki tersebut mengejutkan saya. Tambah mengejutkan bila saya menyoal: “Isteri-isteri pak cik tak kisah ke?” “Isteri-isteri aku sporting”, dan dia ketawa besar. Astaghfirullah hal ‘azim.

Apakah begitu pemahaman kebanyakan masyarakat tentang maksud poligami yang dianjurkan oleh Islam? Berapa ramai lelaki yang faham erti adil dan mampu yang perlu dipraktikkan di dalam poligami? Berapa ramai pula wanita yang terlibat di dalam poligami tahu hak yang patut diterima di dalam kehidupan berpoligami? Inilah masalahnya kebanyakan masyarakat kita hari ini. Suka ambil kepala, ekornya dibuang ke tepi. Poligami atau berkahwin ramai tu nak, boleh ja bila-bila masa tapi praktikal dan aplikasi yang sebenarnya tidak dipedulikan. Bila ramai yang menentang hasrat suami untuk berpoligami, dah dituduh isteri tamak kasih sayang suami. Alahaiii suami!!

Tak salah nak poligami, silakanlah!!! Tetapi, tepuk dada tanya iman, tanya kemampuan? Bolehkah berlaku adil? Adil bukan persamaan atau sama rata tetapi yang bertepatan, sesuai dan munasabah. Kalau isteri pertama ada anak lima dan isteri kedua ada anak dua, tak bererti isteri kedua perlu dapat rumah yang punya enam bilik sama seperti isteri pertama. Kalau isteri pertama suka barang kemas dan isteri kedua suka zhulian saja, tak perlulah belikan untuk isteri kedua emas juga sebab dia tak suka. Menunaikan hak-hak tersebut barulah dikira melaksanakan maksud adil.

Antara syarat untuk berkahwin lagi juga adalah perkahwinan yang bakal berlaku tidak memberikan masalah kepada perkahwinan sedia ada. Masalah yang ditakrifkan melalui kebanyakan kes permohonan poligami ialah masalah dari segi kos sara hidup, kasih sayang dan emosi. Kalau sekarang anda berpendapatan RM3000 sebulan dan perbelanjaan keluarga sedia ada adalah RM2500, anda tidak boleh mengurangkan jumlah RM2500 tersebut semata-mata kerana mempunyai keluarga baru. Bererti anda perlu ada pendapatan yang lebih untuk mencukupkan perbelanjaan dua keluarga.

Seperti yang saya jelaskan di awal tadi, mampu bukan sahaja dari segi tenaga batin atau seks ataupun kemampuan harta, sebaliknya kemampuan anda untuk memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang kepada para isteri dan anak-anak. Paling penting, MAMPU MENGAWAL EMOSI ISTERI-ISTERI ANDA. Kebanyakan kes poligami yang sampai ke meja saya ialah mengenai kegagalan suami untuk bersikap adil dan gagal mengawal emosi isteri-isterinya. Ada kes suami bersikap seolah lembu dicucuk hidung oleh seorang daripada isteri-isterinya, ada isteri pertama, ada isteri kedua, malah ada kes, isteri paling bongsu yang menguasai suami hinggakan hak isteri-isteri lain tidak dapat ditunaikan oleh suami.

Lantas, berpoligamilah jika anda yakin anda mampu bersikap adil, mampu memberikan kasih sayang dan perhatian kepada isteri-isteri dan anak-anak anda. Jika tak yakin, memadailah seorang. Jangan sesedap rasa meminta isteri-isteri anda bersabar demi mendapatkan payung emas di akhirat sedangkan anda sendiri sedang menempah tiket ke neraka kerana gagal mempraktikkan poligami seperti kehendak Islam, nauzubillah!!!

****Siaran Jun 2008

04 Januari 2010

Bersyukurlah kerana hidup sihat

Yei! Yei!! Kak Su dah sihat!! Itulah jawapan yang diberikan oleh seorang adik sepejabat ketika saya memberikan salam menjenguk ke pintu pejabat awal pagi tadi. Tak tau lah kenapa rakan sekerja tersebut gembira tetapi sungguh, saya juga amat gembira dan bersyukur kerana kembali pulih sihat seperti sediakala setelah tidak sihat sejak Selasa lepas. Genap seminggu jugak saya hilang kehidupan sihat saya yang sebenar. Bukan sakit teruk pun. Saya cuma demam dan mengalami bengkak tonsil. Demam pun hanya 38.4°C tetapi menurut doctor, tonsil saya memang bengkak dan merah sangat. Padanlah nak telan air liur pun perit. Mulanya saya bercuti hampir seminggu jugak menjaga bayi saya yang tak sihat seperti yang pernah saya ceritakan dalam keluaran yang lepas. Masuk semula kerja pada hari Selasa, menerima panggilan daripada Maswa, meminta agar perbincangan untuk ruangan ini dicepatkan sikit. InsyaAllah, saya usahakan, itu janji saya. Selepas menerima panggilan, saya hadiri satu perjumpaan bersama boss. Masa perjumpaan tersebut, saya dah rasa semacam. Seolah-olah alat penghawa dingin di dalam bilik tersebut lebih kuat daripada biasa. Hampir tengahari tika orang mula sibuk nak keluar makan, saya dihantar balik ke rumah. Tak berdaya lagi balik sendiri.

Dua hari MC. Memang dah cukup rehat rasanya. Hatta bayi saya pun tak saya sentuh. Kesian kalau demam saya kembali kepadanya yang baru jugak beransur sihat. Jumaat, saya kembali ke pejabat. Badan masih lemah tetapi MC dah habis tambahan pula, saya perlu tunaikan janji saya kepada Maswa. Jam 10am ada perjumpaan bulanan dengan semua staf. Sempat saya sambung sikit perbincangan yang dah ditaip Selasa dulu. Saya masih cuba menahan diri. Selalunya setiap kali perjumpaan, sayalah yang paling petah tetapi kali ini, saya hanya diam, mendengar dan memerhati. Tak perlu ditanya, rata-rata mengatakan wajah saya jelas menunjukkan saya masih tidak sihat sepenuhnya. Tak dapat bertahan, tengahari ketika rehat panjang solat Jumaat, saya balik ke rumah. Dua hari saya betul-betul rehat. Segala temujanji dibatalkan. Bayi saya sepenuhnya dengan pembantu. Dua anak saya mengikut adik saya balik kampung. Alhamdulillah, pagi ini saya kembali mendapat diri saya yang sebelum ini. Syukur kepada Allah.

Sungguh benar maksud hadis; Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, satu daripadanya ialah waktu sihat sebelum datangnya waktu sakit. Walaupun baru diuji oleh Allah dengan sakit yang amat mudah, ternyata saya merasakan hilang segala nikmat hidup. Saya sukar bergerak, sukar nak solat, tak boleh nak bermain-main dengan anak-anak hatta nak makan, perkara yang tak pernah menjadi masalah kepada saya selama ini. Dalam sekelip mata, hanya melalui demam mudah 38.4°C dan bengkak tonsil, saya hilang segalanya. Sungguh tak seronok!!! Saper kata seronok?? Apa yang seronok kalau nak makan pun tak boleh? Apa yang seronok kalau nak bermanja dengan anak pun tak boleh? Yang boleh dilakukan hanyalah berbaring dan tidur. Terjaga, celik, tak larat nak bangun lalu tidur lagi. Perut berkeroncong, badan makin lemah. Niat hati nak makan tapi tak sanggup nak telan sebab tekak sakit dan perit. Menelan air kosong pun seperti menelan duri. Itu dikatakan seronok???

Itu kesakitan fizikal, belum lagi kesakitan mental. Bila keadaan diri tak berdaya, berbagai-bagai perkara yang selama ini tak pernah difikir, muncul di minda. Apakah saya akan kembali sihat? Bagaimana jika sakit saya bertambah teruk? Bagaimana dengan anak-anak? Siapa yang akan menjaga mereka? Siapa akan membesarkan mereka? Terjagakah anak-anak bila berada di tangan orang lain? Allahu akbar!! Sakitnya kepala bila soalan demi soalan yang tak der pilihan jawapan ini mengganggu fikiran. Dalam keadaan yang amat lemah itulah, saya cuba bina kekuatan diri. Saya lawan pelbagai soalan yang tak diundang. Jauh di lubuk hati saya merayu ke hadrat Ilahi: Ya Allah!! Berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi ujian-Mu ini ya Allah. Aku mohon agar kau kembalikanlah semula kesihatan yang baik kepadaku agar aku segera sihat, pulih seperti sediakala. Bantulah aku ya Allah agar aku masih mampu menjaga dan membesarkan anak-anakku kerana sesungguhnya mereka masih kecil dan memerlukan aku sebagai ibu mereka Ya Allah! Aku ingin kembali sihat dan bertenaga agar aku dapat menjalankan kewajipanku sebagai hamba-Mu dan tanggungjawabku sebagai ibu dan anak. Tolonglah ya Allah!!

Itulah doa saya yang tak pernah putus saban waktu tika saya sedar. Alhamdulillah, Allah itu Maha Mendengar dan memakbulkan doa hamba-Nya. Kini, saya sedar betapa berharga sebuah kesihatan yang baik untuk sebuah kehidupan. Sebelum ini, saya jarang-jarang berdoa mohon diri saya dikurniakan kesihatan yang baik. Yang selalu saya doakan, jauhkan anak-anak saya daripada segala jenis penyakit yang merbahaya. Saya terlupa, saya juga perlu sihat demi anak-anak saya dan semua insan tersayang di sekeliling saya. Jika dulu, amalan mathurat merupakan satu cara saya mendekatkan diri kepada Allah memohon kurniaan kesihatan yang baik. Dalam kesibukan menjalankan peranan dan kewajipan sebagai ibu dan pekerja, sedikit sibuk sebagai hamba-Nya, saya dah lama tersasar daripada rutin membaca doa al-Mathurat setiap kali selepas subuh dan asar. Kesakitan seminggu ini saya jadikan iktibar untuk kembali mengamalkan rutin tersebut kerana KESIHATAN ADALAH NIKMAT TERBESAR DI DALAM HIDUP.

Marilah sama-sama kita mendoakan agar kita semua diberikan kesihatan yang baik dan bersyukurlah apabila sihat.

****Siaran Mei 2008