23 September 2008

Jodoh itu keserasian

Ingat lagi janji saya untuk membincangkan topik ini? Sebenarnya, saya terpanggil untuk membincangkan topik ini setelah bertemu dengan banyak kes, ada suami yang sanggup jadi hamba isteri hanya kerana termakan budi mertua, ada isteri yang sanggup menahan kesakitan kerana pukulan dan terajang suami semata-mata ingin pertahankan status sebagai isteri. Paling menyedihkan, ada suami yang enggan lepaskan isteri walaupun mengetahui tentang kecurangan si isteri yang masih berterusan, bukan sekadar di belakang malah nyata di depan mata. Ada juga isteri yang sanggup pejam mata dengan tingkah liar suami bertukar-tukar pasangan asalkan diri tidak dijandakan. Saya bukan menyokong perceraian tetapi apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah, kenapa menyiksa diri dengan segala penderitaan yang boleh dielakkan?

Dah jodoh? Itu semua ujian hidup berumah tangga? Allahu Akbar, kenapalah berpegang dengan prinsip sebegitu? Ya, perkahwinan berlaku kerana adanya jodoh antara seorang lelaki dan seorang wanita. Tetapi, kenapakah lelaki dan wanita tersebut dijodohkan? Paling mudah, kenapa anda menerima si dia sebagai pasangan anda, teman anda seumur hidup? Ya lah, tak pernah ada orang berkahwin dan di dalam masa yang sama mempunyai niat untuk bercerai (kecuali satu kes yang pernah saya ceritakan dulu, satu dalam berpuluh juta). Sudah pasti anda memilih si dia kerana anda pasti hanya si dia yang dapat membahagiakan hidup anda. Kalau berkahwin atas pilihan orang tua pun (sebab tak ada istilah kahwin paksa sebenarnya kerana keizinan anda diminta oleh jurunikah, jika masa itu anda bersedia bererti anda rela dan anda boleh tidak setuju dengan pernikahan tersebut dengan menyatakannya kepada jurunikah) sudah pasti anda mengharapkan kebahagiaan.

Ujian hidup berumah tangga? Tahukah anda, kenapa ada perkahwinan? Perkahwinan bukan sekadar untuk melampiaskan nafsu yang ada di dalam diri, bukan setakat untuk melahirkan zuriat penyambung keturunan. Perkahwinan adalah sebagai satu mahligai cinta dan lambang kasih sayang. Bila disebut sebagai mahligai cinta dan lambang kasih sayang, sewajarnyalah segala yang wujud di dalam institusi perkahwinan itu adalah berasaskan kepada kasih sayang. Hatta hubungan suami isteri juga perlu diadakan dalam suasana kasih sayang, bukan paksaan atau keterpaksaan. Menyentuh tentang keterpaksaan di dalam hubungan suami isteri ini, sebenarnya menjadi tanggungjawab suami untuk memupuk sayang di dalam diri isteri bererti tanggungjawab suami juga untuk membawa isteri ke dalam hubungan suami isteri. Nanti saya akan bincangkan mengenai topik ini, insyaAllah.

Yang ingin saya tegaskan kali ini ialah, apakah yang dikatakan jodoh itu? Jodoh bukan persamaan, sudah pasti bukan perbezaan. Jodoh ialah keserasian. Keserasian bererti sesuai. Kesesuaian hanya wujud apabila setiap individu menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing di dalam institusi perkahwinan. Lantaran, ada lelaki pendiam dapat hidup bahagia dengan wanita peramah. Ada wanita kurang cantik dapat hidup bahagia dengan lelaki kacak idaman ramai gadis. Tetapi, jika salah satu pihak gagal memainkan peranan dan tangggungjawab yang patut malah bersikap liar yang melanggar kehendak agama dan norma masyarakat, jelas sekali tidak ada keserasian lagi. Jika ditegur, pasangan akur dan bersedia berubah, memang wajar diberi peluang dan memang logik itu dinamakan ujian di dalam perkahwinan. Tetapi, jika sikap liar berterusan, memberikan penderitaan kepada pasangan, di mana keserasian? Sesuaikah anda bersama si dia sedangkan dalam setiap saat, yang ada hanya derita dan tangisan?

Di dalam al-Quran sendiri, jelas dinyatakan, wanita baik untuk lelaki yang baik. Pengertian sebaliknya, sudah pasti semua memahami. Lantas, jika pasangan anda dikategorikan sebagai jahat, memang jahat jika sanggup hidup liar, bertukar-tukar pasangan bagai binatang, nyata tiada lagi keserasian antara anda dan pasangan anda itu. Bila tiada keserasian, bererti tiada lagi jodoh. Dalam keadaan ini, perkahwinan anda harus dibubarkan. Seperti yang saya tegaskan, saya tidak menyokong perceraian malah bukan menggalakkan. Tetapi, jika hikmah perkahwinan tiada lagi, Islam menghalalkan perceraian.

Saya tak salahkan jika anda masih ingin bertahan atau mungkin kata anda, itulah pengorbanan anda demi sebuah perkahwinan yang anda pilih dan anda redai. Tetapi ingat… jangan sampai silap berkorban. Pengorbanan untuk perkahwinan biarlah berbaloi, bukan sampai mengorbankan diri membuta tuli. Paling penting, jangan anda turut sama menanggung dosa bagi setiap perlakuan liar dan jahat pasangan anda. Kenapa turut sama menanggung dosa? Yaaaa!! Kerana anda bersubahat, biar pun anda tidak suka dengan perlakuan pasangan anda tetapi cara anda yang seolah-olah membenarkan tindakannya itu diteruskan, memberikan dosa kering kepada anda, nauzubillahh!!

Lantas, kepada mereka yang berkenaan, ujian berumah tangga ada tahapnya. Jika melibatkan dosa kepada yang maha Esa, fikir-fikirkanlah… wajarkah anda bertahan? Anda berhak bahagia. Mungkin juga, tindakan anda memilih untuk keluar dari perkahwinan menyebabkan si dia berubah sikap kerana kebanyakan manusia hanya tahu menghargai sesuatu malah seseorang apabila ia atau dia telah tiada di depan mata. Pilihan di tangan anda!!

****Siaran Januari 2006

Pertimbangkan kebaikan dan kelebihannya

Kenapa begini nasibku sebagai isteri? Kalau aku merajuk, tak pernah dia nak pujuk. Kalau aku marah dan bising-bising, dia buat tak tau jer, cam tak der apa-apa yang berlaku. Kalau ulangtahun pulak, jangan harap ler nak ada hadiah, ucapan lisan pun hanya akan dapat bila orang lain dah ucapkan lebih dulu. Kenapa dia tak macam suami orang lain? Romantik … pandai jaga hati isteri. Kalau ler berterusan cam ni, lebih baik aku berpisah saja. Tapi… dia baik. Tak pernah dia tinggikan suara pada aku ataupun anak-anak. Dia juga penyayang dengan anak-anak. Bab nafkah pun dia tak pernah abaikan walaupun aku yang terpaksa tolong tampung mana-mana yang kurang… nak kata apa lagi, memang dia pilihan aku walau aku tau kedudukan kewangannya begitu… tapi sampai bila aku harus begini. Nak jugak aku merasa hidup senang, riang… tapi sekarang pun aku riang cuma dia tak romantik cam suami oarng lain… ahhhh… camana ni????

Situasi di atas adalah antara luahan hati daripada beberapa orang isteri yang diemelkan kepada saya. Saya yakin, bukan para pengirim emel ini sahaja yang mengalami situasi yang sukar ini malah ramai lagi yang memendamnya di dalam diri, akhirnya terlepas membuak bagai gunung berapi. Malah, dalam satu kes yang pernah saya kendalikan, seorang isteri mengalami situasi yang lebih sukar, bukan sekadar suami tidak romantik, lupakan sambutan ulangtahun tetapi sepanjang tempoh perkahwinan, isteri yang terpaksa bertindak sebagai ketua keluarga, menanggung segala perbelanjaan termasuk menyara suami, terpaksa bersabar dengan kerenah suami yang bersikap seperti kanak-kanak, hanya ingin dimanjakan, pantang ditegur akan merajuk diri hinggakan isteri terasa seperti suaminya adalah salah seorang daripada anak-anaknya. Memang sakit kepala kan… tapi alhamdulillah, hingga kini perkahwinan mereka masih mampu bertahan tanpa sebarang gegaran. Kenapa? Kerana si isteri berbangga dengan sifat penyayang suaminya kepada anak-anak. Suaminya juga mudah menolong walau untuk menguruskan kerja rumah dan anak-anak. Suaminya tak pernah marah-marah walau ada tikanya si isteri tertinggi suara. Kerana kelebihan yang ada pada si suami inilah, si isteri pasrah, menerima segalanya sebagai ujian dan menerima suaminya seadanya.

Inilah sebenarnya hakikat sebuah rumah tangga. Satu medan ujian yang perlukan sikap rasional mengatasi emosi diri. Seperti mana kita menerima si dia sebagai seorang kekasih hati semasa di awal pertemuan dan percintaan dahulu, sanggup berkongsi segala kepayahan dan kesusahan, sanggup sama-sama ketawa girang dan riang maka setelah sah menjadi pasangan hidup kita, tak kiralah sebagai seorang isteri atau sebagai seorang suami, maka sewajarnyalah juga, kita sanggup menerima segala kekurangan dan kelemahan si dia. Paling penting, ketika membuat sesuatu keputusan atau mengambil tindakan, pertimbangkan segala kebaikan dan kelebihannya dan bukan mempersoalkan kekurangan dan kelemahan pasangan anda.

Mungkin dalam sepuluh, hanya tiga atau paling teruk, hanya satu sahaja yang anda kenal pasti sebagai kebaikannya tetapi kebaikan yang satu itu mengatasi sembilan kekurangannya, yang satu itu pun perlu diambil kira untuk anda meneruskan hubungan yang anda. Seperti kes yang saya paparkan sebelum ini, suami masing-masing penyayang cuma masalahnya, tidak romantik dan tidak mampu menanggung perbelanjaan keluarga. Fikirkan, jika anda mengenepikan suami anda kemudian anda memilih seorang lelaki lain yang lebih kaya dan berpendapatan tinggi, mampu membelikan anda apa-apa sahaja, apakah anda pasti bahawa anda akan disayangi seperti suami anda menyayangi anda? Apakah anda pasti anak-anak anda akan mendapat kasih sayang yang sama seperti kasih sayang bapa mereka?

Ya, hidup dengan cinta sahaja tidak akan ke mana. Saya akui kata-kata tersebut. Memang cinta tak kan mengenyangkan. Cinta juga tak mampu berikan anda mahligai yang indah. Tetapi apakah kekenyangan dan mahligai indah itu membahagiakan? Ingat lagi artikel saya mengenai kekuatan cinta. Cinta yang teguh dan kukuh boleh mewujudkan apa saja apabila pencinta sanggup berkorban demi pasangannya. Seorang pencinta pula adalah orang yang berfikir dengan akal bukan dengan emosi. Apabila berfikir dengan akal, kita akan mempertimbangkan segalanya, kelemahan dan juga kebaikan walau sebesar kuman. Selain itu, ketika emosi sedang menggeledak, cuba imbas semula kenangan lama. Ingat segala kenangan lalu yang indah dan membahagiakan. Sudah pasti anda akan tergelak dalam kemarahan.

Persoalan yang perlu kita sama-sama fikirkan, pernahkah anda berdoa semoga anda bahagia di dalam perkahwinan anda? Pernahkah anda berdoa supaya pasangan anda kekal menyayangi dan menyintai anda? Pernahkah anda berdoa supaya anda dijadikan sebagai seorang suami yang soleh atau isteri yang solehah? Pernahkah anda berdoa semoga pasangan anda berubah sikap menjadi seorang isteri atau suami yang menjalankan segala peranan dan tanggungjawabnya? Tanya segala persoalan ini kepada diri anda. Anda tahu jawapannya. Bertindaklah hasil daripada keputusan jawapan anda itu demi kebahagiaan anda dan perkahwinan anda. Kenang juga, mungkin segala apa yang anda alami kini adalah kifarat dari kesilapan dan dosa-dosa anda yang lalu. Dekatkan diri pada Allah dan Allaah akan dekat pada kita.

****Siaran Januari 2006

08 September 2008

Ujian dan dugaan itu asam garam kehidupan

Pagi ini, saya menerima satu sms dari satu nombor yang tidak saya kenali. Sms yang agak mengejutkan juga namun, saya gembira. Secara terperincinya (kerana sms tersebut banyak menggunakan perkataan ringkas), inilah isi kandungan sms tersebut: “Puan selalu berikan cadangan supaya orang lain berbuat itu berbuat ini tetapi tahukah puan betapa beratnya beban yang ditanggung oleh orang itu. Bercakap memang mudah sebab Puan tidak mengalami segala masalah itu. Hidup puan sentiasa ceria dan bahagia. Memang ler senang hati kan!”

Alhamdulillah, terima kasih dengan doa tersebut. Terima kasih kerana sudi mendoakan keceriaan dan kebahagiaan saya. Sungguh… saya tak marah, saya tak kecik hati malah saya bersyukur. Namun, saya tetap ingin menjelaskan keadaan yang sebenar. Memang tak semua yang saya bincangkan di dalam artikel-artikel saya sebelum ini mengenai diri saya. Apa yang saya luahkan mengenai diri saya hanyalah tentang kebahagiaan yang saya alami. Walau pun begitu, tidak bererti saya tidak pernah diuji. Setiap orang mempunyai ujian dan dugaan hidupnya yang tersendiri. Ujian dan dugaan itu adalah asam garam di dalam kehidupan. Hidup tanpa ujian atau pun dugaan adalah hidup yang mati. Ujian itu adalah cabaran untuk kita meneruskan kehidupan ini agar lebih tabah dan berani.

Haaaa… saya tak bercakap kosong. Sungguh, sepanjang lebih tiga puluh tahun usia saya, sejak saya kenal dan mampu mengingati setiap yang berlaku di dalam hidup saya, dalam tempoh lebih dua puluh tahun ini, saya juga menerima pelbagai jenis ujian hidup. Maaf kerana tidak dapat menceritakan segalanya kerana saya juga mempunyai rahsia hidup saya sendiri. Cukuplah saya katakan, saya pernah diejek, bukan sekadar ejekan tetapi cemuhan kerana memiliki rupa yang hodoh. Saya pernah dipanggil beruk, si muka lebar, si hodoh dan macam-macam lagi. Saya pernah dipanggil anak dara tak laku kerana saya lewat berkahwin berbanding adik-adik saya. Saya pernah gagal dalam peperiksaan. Saya pernah tak makan selama tiga hari, hanya mengalas perut dengan air kosong. Saya pernah berjalan kaki sejauh lebih lima kilometer kerana tidak ada wang untuk membayar tambang bas. Saya pernah putus cinta, bukan sekadar putus cinta malah dihina kerana setelah lebih 18 bulan saya menyimpan impian cinta, saya dicanangkan sebagai syok sendiri. Betapa harga diri saya dipijak-pijak tika itu.

Sekarang ini, ketika saya telah dipanggil Ummi, saya masih menerima ujian. Walaupun saya sentiasa ceria, ketawa namun hanya Dia yang mengetahui segala apa yang saya terpaksa lalui. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dengan setiap ujian inilah, saya mampu terus tersenyum dan ketawa sekarang ini. Tanpa segala ujian yang pernah saya hadapi sebelum ini dan segala ujian yang bakal menghampiri, saya yakin, agak sukar bagi saya menghadapi hidup dengan senyuman. Saya juga bersyukur kerana berpeluang berkongsi segala ujian kehidupan orang lain kerana saya tahu, ada antara mereka yang sama ujiannya dengan saya. Ada yang kurang sikit dan ada yang lebih, yang penting, setiap individu di dunia ini tidak akan dapat lari dari ujian dan dugaan hidup.

Paling penting pula, bagaimana caranya kita menghadapi ujian itu? Jangan lari kerana melarikan diri daripada masalah tidak akan menyelesaikannya. Malah, kita akan lebih dibebani dengan masalah. Hadapi segala ujian hidup dengan tenang, tabah dan berani. Setiap masalah yang berlaku, pasti ada jalan penyelesaiannya. Jadikan ujian dan dugaan yang dihadapi sebagai cabaran untuk anda terus maju ke hadapan. Saya masih ingat lagi, ketika saya dicemuh kerana memiliki rupa yang hodoh, saya tanamkan di dalam hati, “Akan aku buktikan, dengan rupaku yang hodoh ini, aku akan memiliki kejayaan!!” Kata-kata itu bukan sekadar tersemat di jiwa tetapi saya tuliskan di buku-buku rujukan saya, malah saya tampalkan di meja study saya. Hasilnya, saya berjaya memecahkan rekod sekolah, masuk ke universiti di dalam bidang yang saya minati dan mampu hidup ceria seperti sekarang, alhamdulillah!!

Kita juga perlu tanamkan di dalam diri, kegagalan atau kepayahan yang hadir di dalam hidup kita bukanlah penamat cita-cita. Bukan juga penutup bahagia. Sebaliknya setiap kegagalan dan kepayahan itu adalah sebagai cetusan semangat agar kita berusaha lebih gigih, lebih tabah dan berani untuk menghadapi kemelut hari mendatang. Apabila diri ditimpa masalah, jangan mendengus atau menyesali takdir hidup anda. Tuhan hanya akan menguji hambaNya kerana Dia tahu hambaNya itu mampu menghadapi ujian tersebut.

Ujian yang Tuhan berikan kepada anda adalah kerana Dia menyayangi anda. Dengan ujian, diri anda akan lebih rapat lagi denganNya. Caranya, luahkan segala kepayahan yang membelenggu jiwa anda, mohon dimudahkan segalanya. Walau mungkin memakan masa, pasti satu hari, doa anda akan dimakbulkan.

Apabila kita diuji, jangan hanya memandang mereka yang hidupnya lebih baik dari kita sebaliknya pandanglah mereka yang lebih susah. Dengan cara tersebut, anda pasti rasa bertuah dan berbangga dengan hidup anda. Ingatlah, bukan senang nak senang. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya dan percayalah, setiap insan akan menerima ujian sebelum menerima kebahagiaan dan kebahagiaan itu pasti akan lebih bermakna.

****Siaran Januari 2006

Tanam azam untuk kecapi bahagia

Tahun baru menjelma lagi, bagai baru saja menyambut tahun baru 2005, kini tiba pulak 2006. Betapa cepatnya masa berlalu. Seperti biasa, apabila tiba tahun baru, perkara yang sering diperkatakan ialah mengenai azam. Walaupun kebanyakan orang mempunyai azam baru, malah mungkin juga azam yang lama yang masih belum dicapai tetapi tetap ingin dicapai, ada antara kita yang enggan berazam apa-apa. Cukup ler dapat hidup seperti sekarang ni. Ataupun, ada yang berpendapat, tak guna ada azam baru kalau hidup tak bahagia. Haaa… ini yang salah ni. Kenapa pertikaikan diri tidak bahagia sedangkan setiap individu yang hidup di atas muka bumi ini berhak untuk mengecapi bahagia.

Saya teringat satu kisah, seorang petani menunggang basikal membawa isterinya melalui tepi jalan kampung. Si isteri memeluk erat pinggang suaminya dari belakang. Dalam masa yang sama, lalu sebuah kereta Mercedes, dipandu seorang ahli perniagaan berjaya bersama isterinya yang cantik berhias. Terfikir di benak petani: “Alangkah bahagianya lelaki itu, memiliki kereta yang besar dan isteri yang cantik.” Ketika itu juga, ahli perniagaan tadi terfikir: “Alangkah bahagianya petani ini, mempunyai isteri yang penyayang walaupun hidup sederhana.”

Saya yakin, pembaca semua memahami moral cerita di atas. Ya, kebahagiaan itu sesuatu yang abstrak untuk didefinisikan. Seseorang itu akan rasa bahagia apabila berjaya memiliki impian dan hajat hatinya. Untuk mencapai sesuatu impian, kita perlu ada tekad dan semangat. Tekad dan semangat inilah yang dimaksudkan dengan azam. Bererti, semua orang perlu berazam untuk mengecapi bahagia. Setiap orang dengan bahagianya yang tersendiri. Tepuk dahi tanya minda, apakah yang boleh membahagiakan anda? Apabila sudah ada jawapannya, sematkan di dalam jiwa. Catatkan juga di atas sekeping kertas sebagai peringatan malah sebagai pendorong semangat… inilah yang membahagiakan aku, aku akan memperolehinya.

Sekarang, anda sudah pun mempunyai hala tuju untuk bahagia. Tujuan dan azam sahaja tidak memadai. Anda perlu berusaha mencapainya. Perlu diingat, untuk mencapai impian, tidak semudah yang dilafazkan. Seperti yang biasa dikatakan orang, bukan senang nak senang. Yang penting, anda perlu berusaha dengan sedaya upaya dan jangan mudah putus asa. Setiap usaha pasti ada kegagalannya tetapi kegagalan bukanlah penyudah segala usaha. Mungkin ada yang berpendapat, kalau nak capai kejayaan di dalam kerjaya, boleh ler gunakan pendirian seperti yang saya sebutkan tadi. Kalau nak capai bahagia dalam percintaan dan rumahtangga, bagaimana pula?

Jawapannya, tetap sama, masih boleh gunakan prinsip yang saya sebutkan tadi. Jika anda yakin anda akan bahagia dengan memiliki cinta si dia, berusahalah untuk memperolehi cintanya. Kalau lelaki, mungkin tidak bermasalah. Ya lah, tidak pelik jika timba mencari perigi. Kalau si gadis, bagaimana? Ada caranya. Anda boleh tunjukkan keprihatinan anda kepada si dia. Tanyakan khabarnya apabila bertemu. Pandai-pandailah, jangan pulak dalam hari yang sama, setiap kali bertemu, asyik tanyakan khabar saja. Kemudian, tidak salah sesekali anda menghubunginya ataupun sekarang ini, sms kan ada. Waktu tengahari, anda boleh sms tanyakan sama ada si dia dah makan atau belum. Memang perkara remeh tetapi yang remeh itulah menunjukkan betapa anda mengambil berat mengenai dirinya. Dalam masa yang sama, berdoa semoga anda mampu memiliki cintanya.

Namun, seperti yang pernah saya bincangkan sebelum ini, jangan buta kerana cinta. Berhati-hati di dalam menyimpan rasa cinta. Jalan terbaik, mohon petunjuk daripadaNya. Jika benar anda akan bahagia dengan memiliki cinta si dia, mintak Allah mudahkan urusan anda agar si dia menyintai anda juga. Kalau anda cintakan seseorang yang telah pun menjadi milik orang, lupakan sahaja impian anda itu kerana anda bukan mengejar bahagia tetapi mencari masalah sebenarnya. Percayalah, anda akan menemui bahagia dengan orang lain. Di dalam kes sebegini, anda perlu berazam dan kuatkan semangat untuk melupakan cinta yang pernah hadir di dalam diri anda. Cinta pertama tidak semestinya cinta terakhir. Ada tikanya, cinta ketiga, keempat malah mungkin entah yang ke berapa kali, itulah sebenarnya cinta anda yang sejati. Sama juga jika ingin bahagia di dalam rumahtangga. Kenal pasti apakah yang membelenggu diri anda dan pasangan anda selama ini? Cari punca masalahnya dan atasi dengan sebaiknya.

Perlu diingat juga, tidak semua impian cinta kita akan tercapai. Jika anda gagal mencapainya, itu bukan salah takdir dan bukan juga salah anda. Semua itu mempunyai hikmahnya. Namun begitu, jangan jadikan kegagalan cinta itu penyudah hidup anda. Anda boleh menanam impian untuk mencari cinta yang seterusnya dan berusaha lagi untuk memilikinya. Jodoh anda telah ditetapkan, hanya Dia yang Maha Mengetahui siapakah jodoh anda. Di dalam perkahwinan pula, tidak mustahil akan berlaku perceraian kerana jodoh itu keserasian, apabila tiada keserasian, jalan terbaik untuk bahagia ialah keluar daripada perkahwinan tersebut. Saya akan bincangkan lebih lanjut mengenai jodoh ini di resepi yang akan datang.

Lantas, jadikan tahun baru ini adalah hari baru di dalam hidup anda. Lupakan kekecewaan semalam. Hari ini adalah hari untuk anda bangkit, berusaha mencapai bahagia.

****Siaran Januari 2006

03 September 2008

Anak: Bersediakah anda menerima kehadirannya?

Ulang tahun kelahiran saya baru-baru ini, saya mendapat hadiah yang paling berharga, berita bahawa saya akan memperolehi cahaya mata ketiga, insyaAllah, penghujung Julai tahun depan. Walau tak berharap namun Dia menentukan, saya terima dengan redha, alhamdulillah. Khabar gembira saya sampaikan pada suami, walau separuh tidak percaya namun dia tersenyum, cepat saja meng’sms’ adik-adiknya menyampaikan khabar. Senyumnya sampai ke telinga bila menerima balasan sms daripada adik-adik yang mengucapkan tahniah. Sejak mengetahui khabar ini, suami makin sibuk mengambil berat mengenai saya. Seawal pagi, jika saya tidak sempat makan pagi bersamanya, jam 9 pagi pasti saya menerima sms daripadanya, menanyakan sama ada saya telah makan atau tidak? Begitu juga dengan waktu tengahari. Suami saya juga lebih senang melakukan kerja-kerja rumah atau menguruskan puteri dan putera saya tanpa saya perlu meminta bantuan. Syukur alhamdulillah, sesungguhnya, benarlah seperti kata orang, anak adalah penyubur kasih suami isteri.

Namun, tidak semua yang bertuah seperti saya dan kebanyakan isteri-isteri yang lain. Masih ingat lagi, semasa awal-awal penglibatan saya bersama Resepi Hidup, saya pernah menceritakan bagaimana sepasang suami isteri telah berpisah gara-gara kelahiran sepasang kembar lelaki seiras? Memang satu dalam sejuta kerana kebiasaannya, rumah tangga akan bergolak sekiranya perkahwinan tersebut tidak dikurniakan cahaya mata. Ada suami yang mula pasang mata apabila isteri gagal melahirkan zuriatnya selepas beberapa tahun perkahwinan, ada juga hanya setelah setahun perkahwinan kerana merasakan si isteri tidak mampu memberikannya zuriat. Paling bermasalah sekiranya ibu bapa campur tangan, terlalu inginkan cucu, sanggup menggadaikan kebahagiaan menantu dan selalunya, si isteri yang akan disalahkan walau ada kes, wanita yang diceraikan atas alasan mandul, kemudian wanita itu berkahwin dengan lelaki lain, beliau mampu melahirkan zuriat. Siapa yang bersalah sebenarnya??

Sebenarnya, di dalam satu-satu perkahwinan, suami dan isteri perlu berbincang dari hati ke hati mengenai kesediaan masing-masing untuk menimang anak. Sungguh, anak-anak adalah penyeri rumah tangga namun jika kehadirannya tidak disenangi oleh salah satu pihak, maka kelahirannya akan menjadi punca keretakan rumah tangga. Dah anak yang tidak berdosa dikatakan membawa bala bencana, nauzubillahh!! Menimang cahaya mata bukan sekadar membuktikan kelelakian atau kewanitaan sebenar. Anak-anak yang dianugerahkan oleh Allah adalah satu amanah kepada pasangan suami isteri, sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab mendidiknya menjadi insan yang berguna kepada dirinya, agama dan bangsa. Lantas, sebelum berfikir untuk menimang cahaya mata, segala persediaan perlu dilakukan, dari segi mental, fizikal dan juga kewangan.

Dari segi mental, sama ada anda sebagai seorang suami atau isteri, anda perlu melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan, bukan hanya berserah dan menunggu emosi anda berubah dan bersedia. Perlu diingat, apabila anda memasuki gerbang perkahwinan, dunia anda yang sebenar adalah rumah tangga. Sekarang bukan lagi masanya untuk bersuka ria bersama rakan-rakan sebaya, tidak kiralah jika anda berkahwin di usia muda. Sebelum berkahwin, semua itu perlu difikirkan. Bukan bererti anda tidak boleh meluangkan masa bersama kawan-kawan tetapi keutamaan adalah kepada rumah tangga. Dari segi fizikal, anda terutamanya isteri, perlu bersedia untuk menerima perubahan diri. Tidak dinafikan wanita yang mengandung dan melahirkan akan berubah bentuk badan, walau ada yang berjaya kembali anggun namun hakikatnya, organ dalaman tetap berlaku perubahan. Jika gagal bersedia dengan sebaiknya, anda akan menghadapi masalah kesihatan yang akan mengganggu rutin kehidupan anda sebelumnya.

Dari segi kewangan pula, anda perlu bersedia secukupnya agar mampu memberikan kehidupan yang sempurna walaupun sederhana kepada anak-anak anda. Selalunya, kewangan merupakan masalah yang biasa dialami oleh pasangan yang baru menimang cahayamata. Namun, seperti yang Allah janjikan, setiap anak yang lahir ke dunia, ada rezekinya, insyaAllah.

Nasihat saya, kepada mereka yang baru berkahwin, berbincanglah dengan pasangan anda sebaiknya, bersediakah untuk menimang cahaya mata? Tidur malam yang sebelumnya indah dibuai mimpi, akan terganggu. Kepenatan bekerja seharian bertambah apabila pulang perlu melayani pula kerenah anak-anak yang pelbagai. Namun, sepanjang pengalaman saya dan saya pasti pengalaman ramai ibu bapa lain juga, kepenatan akan hilang sejurus selepas melihat wajah anak-anak. Jika ada yang tidak merasakan sedemikian, koreksi diri, pasti ada yang tak kena dengan diri anda. Kepada para suami pula, anak yang lahir itu adalah anak anda dan isteri anda, maka sama-samalah menjaga dan mendidiknya dengan penuh kasih sayang. Jangan harapkan isteri sahaja. Tidak salah jika anda bangun malam menukar lampin anak atau membuatkan susu anak. Ianya akan merapatkan lagi kasih sayang anda suami isteri.

Kepada yang masih belum dikurniakan cahayamata, akan tiba masanya, berusaha dan berikhtiarlah. Jangan salahkan kaum wanita semata. Sebaiknya, anda suami isteri sama-sama melakukan pemeriksaan. Jika ada kekurangan, sama-sama betulkan. Jika masing-masing suami isteri dapat berbincang dari hati ke hati tentang isu kehadiran cahaya mata ini, sungguh…. anda pasti tidak sabar menunggu untuk mendengar tangisan pertamanya.

****Siaran Disember 2005

Mendidik anak perlu tegas bukan keras

Ketika bertandang ke rumah seorang rakan sempena menghadiri rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan pada cuti hujung minggu baru-baru ini, puteri sulung saya beraksi nakal, sama-sama berlari bermain tangga rumah, menuruti jejak rakan-rakan sebaya yang berbuat demikian. Pada mulanya saya melarang dengan nada perlahan. Dalam keadaan ini, saya menggunakan panggilan manja untuk puteri saya, Ayang. Puteri saya terdiam sebentar, memerhatikan saya kemudian kembali beraksi ketika rakan-rakan yang lain makin galak bermain-main di tangga. Sekali lagi saya memanggail, nada suara agak keras daripada tadi, sebagai tanda amaran. Ketika itulah seorang tetamu rakan saya yang baru saya kenali ketika menghadiri rumah terbuka tersebut bersuara: “Biarlah!! Budak-budak!!” Saya tersenyum, memahami kenapa anak-anaknya mengepalai aksi bermain di tangga itu.

Tanpa mempedulikan kata-katanya, sekali lagi saya memanggil puteri saya, kali ini dengan satu pertanyaan, “Ayuni Syafiqah!!! Ummi cakap apa?” Alhamdulillah, bagai memahami pertanyaan saya, tambah pula saya menggunakan nama penuhnya, panggilan yang hanya akan saya lakukan jika saya bertegas, puteri saya kembali bersama saya dan si adik, yang tadinya turut berminat untuk bersama si kakak malangnya tertahan kerana beliau di dalam pegangan saya. Tidak lama, terdengar suara-suara berbisik tetapi cukup untuk saya mendengarnya… garangnya… kesian kat anak dia, nak main-main pun tak boleh. Saya tersenyum sendiri. Biarlah apa orang nak kata… saya garang, saya tegas atau apa sahaja, segala yang saya lakukan adalah demi kebaikan anak-anak saya. Ya, saya faham, anak-anak saya masih kecil, masih budak-budak yang tidak lepas daripada keinginan untuk bermain, untuk mencuba sesuatu yang baru tetapi di usia yang masih muda inilah juga, anak-anak perlu diajar dan dididik agar menjadi insan yang berguna, paling tidak pun, untuk dirinya. Kalau dah besar, dah panjang akal untuk mempertimbangkan kehendaknya sendiri tanpa adanya panduan daripada kita sebagai ibu bapanya, didikan dan teguran dah tak berguna lagi.

Saya akui, kalau ada yang melihat cara saya mendidik putera puteri saya, akan ada yang melafazkan, saya terlalu garang dengan anak-anak. Tetapi, bagi emak dan bapa saya sendiri, saya tidak dikatakan garang atau keras tetapi tegas. Dengan ketegasan jugalah, emak dan bapa saya mengajar dan mendidik saya bersama tujuh lagi adik-adik saya dan berkat ketegasan dan doa daripada emak dan bapa saya, kami adik beradik berjaya di dalam hidup. Kami tidak kaya harta, cukuplah sekadar menjalani hidup dengan cara yang sederhana. Tetapi kami adik-beradik amat disenangi oleh semua pihak. Pergilah ke mana sahaja, insyaAllah, kami akan mudah mendapat kawan. Saya meneladani cara emak dan bapa saya mendidik anak-anak. Pengalaman emak dan bapa saya ditambah dengan ilmu yang saya kutip di sepanjang pengajian dan pembacaan saya berkenaan psikologi keluarga, saya praktikkan pula kepada anak-anak saya.

Ingat lagi pepatah orang tua kita, sayang anak tangan-tangankan… tangan-tangankan bukan bererti boleh membelasah sesuka hati sampai anak-anak rasa serik dan takut nak mendekati. Tangan-tangankan bermaksud perlu tegas dalam mendidik dan membimbing anak-anak. Menyayangi anak-anak bukan bererti segala kehendak dan kemahuannya dituruti. Juga bukan bermaksud segala keinginannya perlu dipenuhi. Apa yang perlu dikatakan ya, katakan ya. Apa yang perlu dikatakan tidak, katakan tidak, bukan diam sahaja. Jika ada perkara yang kita tak mahu anak-anak lakukan, nyatakan kenapa kita melarang. Begitu juga bila kita menyuruh anak-anak melakukan sesuatu, jelaskan kenapa anak-anak perlu melakukannya.

Sebaiknya, jika si ibu melarang atau memarahi si anak, si ayah pula mengambil tugas memujuk dan menjelaskan kenapa si ibu melarang atau marah-marah. Jika si ayah yang melarang, si ibu pula mengambil peranan memujuk dan menjelaskan punca kemarahan si ayah. Elakkan daripada si anak tidak mempunyai tempat untuk mengadu. Maksud saya, jika si ibu memarahi si anak, jangan pula si ayah turut sama memarahi hinggakan si anak merasakan dirinya tidak disayangi lagi. Jiwa anak-anak amat sensitif dan mudah terasa. Lantas, berjaga-jaga dalam menegur dan memarahi anak-anak. Seperti yang saya katakan awal tadi, boleh malah memang perlu tegas tetapi bukan keras. Tegas bererti anak-anak dijaga dengan kasih sayang yang seimbang dengan proses didikan, bukan kemanjaan atau kemarahan yang melampau.

Satu perkara lagi, jika si ayah menegur perlakuan si anak, jangan pula si ibu menegur tindakan si ayah. Sikap ini akan membuatkan si anak naik tocang. Tak per lah kalau ayah tak suka, ibu ada untuk membela. Kesannya anak-anak tidak akan terdidik dan akan memberikan impak yang tidak baik kepada si anak di belakang hari. Bukan itu sahaja, si anak akan tidak menghormati si ayah. Samalah juga jika si ibu yang menegur, si ayah jangan pula nak membela. Kalau ada pun teguran si ayah atau si ibu yang dirasakan agak melampau, pasangannya boleh membincangkan semula mengenai teguran tadi tetapi bukan di hadapan anak-anak. Tidak dinafikan, ada tikanya si ibu atau si ayah tersilap teguran, paling mudah terjadi ketika si ibu atau si ayah tidak dapat mengawal emosi, sakit kepala memikirkan hal lain, si anak pula menjadi mangsa herdikan. Dah namanya manusia, takkan lari daripada kesilapan dan tugas pasangan sebagai penyempurna kehidupan untuk menegur. Menegur tindakan pasangan juga ada caranya. Jangan sampai disebabkan hal anak-anak, suami isteri pula yang porak peranda. Moga kita semua menjadi ibu bapa yang cemerlang demi menjadikan anak-anak kita insan yang terbilang.

****Siaran Disember 2005