16 Mac 2011

Ajarkan anak tentang matlamat hidup

Saya yakin, pembaca semua masih ingat dengan kes seorang pelajar tingkatan empat yang maut selepas koma beberapa hari kesan dipukul teruk oleh rakan-rakannya sendiri hanya kerana seorang gadis. Hujung minggu lepas, pembantu saya mengkhabarkan, seorang ibu menelefon inginkan pandangan tentang masalah buli yang dihadapi oleh anaknya yang baru berusia tujuh tahun. Malah, terlalu banyak kes buli yang lain; ada yang dilaporkan, ada yang didiamkan, ada yang mengakibatkan cedera malah dah banyak juga yang mengakibatkan kematian. Bukan setahun dua kebelakangan ini sahaja malah kes-kes sebegini telah lama berlaku. Bukan sahaja di bandar, malah di kampung-kampung. Kenapa kes-kes buli melibatkan pelajar sekolah ini boleh berlaku?

Banyak pihak yang melakukan kajian tentang punca kejadian kes buli ini. Terdapat beberapa sebab yang disenaraikan dan antara sebab yang dikenalpasti yang menarik perhatian saya ialah kurangnya perhatian dan kasih sayang ibu bapa. Inilah punca utama dan menjadi pemangkin kepada segala sebab yang lain. “Haiii!! Balik-balik nak salahkan ibu bapa?” Mungkin ada antara pembaca yang berpendapat sedemikian. Apa nak dikatakan lagi? Itu adalah hakikat. Semua orang tahu, anak-anak adalah ibarat kain putih, ibu bapalah merupakan orang yang bertanggungjawab mencorakkan kain putih tersebut. Bukan tanggungjawab ibu sahaja, bukan juga tanggungjawab bapa sahaja sebaliknya tanggungjawab kedua-dua ibu dan bapa.

Apa pula maksud perhatian dan kasih sayang? Ramai ibu bapa yang salah anggapan dan silap faham tentang konsep perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya diberikan kepada anak-anak setelah anak-anak melalui pelbagai peringkat umur bermula daripada bayi hinggalah anak-anak dewasa, mampu berdikari dan mempunyai keluarga sendiri. Pakar membahagikan peringkat penjagaan anak-anak kepada lima kategori bermula daripada janin (dalam kandungan), bayi (sehari- 2 tahun), kanak-kanak (3 tahun – 11 tahun), remaja (12 tahun – 21) dan dewasa ( 22 tahun ke atas). Saya tak berniat untuk menghuraikan setiap satu peringkat dengan jelas, tak muat ruangan ini nanti namun focus saya ialah keutamaan yang perlu setiap ibu bapa tekankan kepada anak-anak ketika pemerhatian, pembesaran dan penyerahan kasih sayang kepada anak-anak, pada setiap peringkat tersebut iaitu ajarkan anak-anak tentang matlamat hidup.

Apakah matlamat hidup kita? Apakah matlamat hidup anda? Matlamat hidup semua manusia yang dilahirkan ke dunia ini seharusnya sama; untuk mencapai bahagia hidup di dunia dan di akhirat. Bahagia yang sebenarnya dan diredhai oleh Allah. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Didiklah anak-anakmu dan elokkanlah adab mereka."-hadis riwayat Ibnu Majah. Apakah maksud hadis ini? Ya!! Setiap ibu bapa ditekankan agar mengutamakan akhlak dan adab. Jika akhlak dan adab sempurna, insyaAllah aspek kehidupan yang lain juga akan sempurna. Jika anda pernah masuk ke blog saya atau pernah membaca tentang rahsia kejayaan sebenar di dalam hidup; bukan akal yang bijak, bukan rupa yang cantik atau kacak, bukan juga harta atau cinta sebaliknya kejayaan dan kebahagiaan hanyan boleh dicapai sekiranya seseorang itu mempunyai akhlak dan adab yang baik.

Inilah yang perlu ditekankan dan ditanam di dalam diri anak-anak. Malah Ibnu Khaldun membahagikan tujuan pendidikan anak-anak kepada tiga perkara. Pertama: Mempersiapkan seorang anak dari segi keagamaan, iaitu mengajarnya syiar-syiar agama menurut Al-Quran dan Sunnah Rasulullah sebab dengan cara itu sahajalah, potensi iman dapat diperkuatkan. Kedua: Menyiapkan seorang anak dari segi akhlak. Ketiga: Menyiapkan seorang anak dari segi pemikiran, sebab dengan pemikiran yang betul seseorang itu dapat memegang berbagai pekerjaan dan ketrampilan tertentu. Imam Al-Ghazali pula menekankan bahawa tujuan pendidikan bukanlah untuk mencari rezeki di dunia, tetapi maksudnya ialah untuk sampai hakikat ilmu yang sebenar dan akhlak yang sempurna.

Jika setiap ibu bapa menekankan aspek akhlak kepada anak-anak, insyaAllah masalah buli tidak akan berulang. Anak-anak akan menjadi seorang yang berjaya di dalam hidup dan disenangi oleh masyarakat. Malah, perkara yang paling penting juga, bukan hanya tekankan tentang adab dan akhlak kepada anak-anak sebaliknya ibu bapa juga wajib mempunyai adab dan akhlak yang baik terutama ketika bekerja mencari rezeki untuk anak-anak. Perlu diingat, setiap makanan dan minuman yang masuk ke perut anak-anak anda akan memberi impak dan kesan bukan sahaja kepada pembesaran fizikal anak-anak anda malah memberikan impak besar kepada akal, hati dan sikap anak-anak anda.

Walaupun pekerjaan anda adalah halal tetapi anda ‘mengharamkannya’ dek sikap cuai anda bekerja atau sikap curi tulang, wang yang anda terima hasil kecuaian dan sikap malas anda itu boleh disamakan dengan wang yang haram. Makanan dan minuman hasil daripada wang haram akan menghitamkan hati anda dan hati anak-anak anda juga yang kesannya boleh menyebabkan anak-anak anda mempunyai akhlak yang buruk, nauzubillah!! Sayangi diri, sayangi anak-anak anda dan jangan rosakkan mereka!!

****Siaran April 2009