31 Disember 2008

Benarkah suami orang lebih berharga?

Sekali lagi, saya menerima emel bertanyakan soalan ini. Ntah kali yang ke berapa. Emel dari para isteri yang kecewa apabila suami mereka dipikat si gadis cantik jelita. Paling menyakitkan hati mereka, si gadis hampir sebaya anak mereka sendiri. Sebelum ini, saya pernah juga menerima beberapa pengakuan gadis-gadis yang meluahkan rasa resah apabila hubungan mereka dengan suami orang mula dihidu bakal madu. Yang jelas, gadis-gadis ini tahu mereka sedang bercinta dengan suami orang dan masih tetap ingin meneruskan hubungan walau ditentang isteri kekasih malahan ahli keluarga sendiri. Membalas persoalan di dalam emel saya, ada antara gadis-gadis ini mengaku tertawan dengan suami orang kerana suami orang lebih kukuh kewangan. Bukan tu saja, mereka lebih pandai memikat, menjaga hati dan pandai melayan si gadis berbanding jejaka bujang.

Hmmm… nak salahkan siapa? Si gadis kerana menggoda suami orang? Bagaimana dengan suami orang yang juga turut melayan walau dah tahu, diri tu dah beristeri dan beranak pinak? Nak salahkan takdir? Takdir yang menentukan kami jatuh cinta? Begitu? Kalau semua nak serah pada takdir, tak payahlah nak habiskan duit rakyat banyak-banyak untuk kerajaan membina penjara atau pusat serenti. Dah takdir orang tu jadi pencuri… dah takdir si dia jadi perogol… dah takdir dia tu nak jadi penagih… semuanya takdir… takdir dan takdir… setuju??? Semua orang tahu, setiap yang berlaku adalah dengan ketentuan dan takdir-Nya yang Maha Esa. Namun, sebagai manusia, kita perlu ingat… kita disuruh berikhtiar dan berusaha. Kalau nakkan sesuatu, kita perlu berusaha. Kalau tak nak pun, kita perlu berusaha… bukan menyerah begitu sahaja.

Samalah jugak dengan kes bercinta dengan suami orang… kalau dah tau, dia tu suami orang… kenapa nak teruskan jugak. Saya bukan menentang poligami… bukan maksud saya menghalang kaum lelaki berpoligami… kalaulah suami saya nak kawin lagi pun, silakanlah tetapi kenalah tilik diri… mampukah anda… jangan kawin sebab nak ikut syariat tapi selepas tu, perangai anda lebih teruk dari makhluk berkaki empat. Mampu tu pulak, bukan mampu dari segi nafkah batin jer tetapi dari segi nafkah zahir jugak…. tanggungan makan minum, pakaian, tempat tinggal, kesihatan dan semuanya yang bernama keperluan. Masalah yang banyak berlaku sekarang ni… sorang isteri pun tak mampu nak biayai segala keperluan, masih perlukan bantuan isteri namun masih ada hati nak beristeri lagi… konon alasan: Aku lelaki… berhak untuk ada lebih seorang isteri. Jangan cakap tentang berhak la kalau kewajipan diri pun gagal ditunaikan. Pentingkan hak sendiri, hak isteri… hak anak-anak sesenang hati ja tolak ke tepi.

Pasal kukuh ekonomi… hanya satu daripada 20 kes poligami, suami benar-benar berkemampuan daripada segi kewangan. Memanglah si gadis nampak suami orang hidup senang, kewangan stabil, punya rumah dan kereta besar… jangan tak tau, kebanyakan suami orang sekarang, mampu hidup dengan identiti mempunyai kewangan teguh adalah atas pertolongan dan bantuan isteri. Isteri mengambil alih bebanan suami melangsaikan bil-bil itu ini, membeli keperluan dapur, membantu suami menyara keluarga… malah, atas nama kasih dan sayang, setiap bulan ada saja baju atau seluar dibeli oleh isteri sebagai hadiah kepada suami. Malah, ada kes…segala pendapatan isteri diserahkan kepada suami dan suamilah orangnya yang menguruskan segala hal ehwal kewangan. Saya akui bukan semua suami orang pandai ambil kesempatan… bersyukurlah para isteri yang punya suami yang tak pandai ambil kesempatan. Namun, ramai jugak suami orang yang pandai… pandai segala hal… hingga akhirnya isteri menangis sendiri.

Rasanya, soalan yang diutarakan dah terjawab kan? Berhargakah suami orang jika yang ada pada dirinya hanyalah karektor menyusahkan insan yang pernah disayang? Saya gunakan insan pernah disayang kerana bila ada kasih yang baru, nyata sekali ianya lebih bernilai di mata suami orang tu berbanding kasih isteri sedia ada. Sebab itulah, tak boleh percaya kata-kata lelaki: kasih dibahagi sama rata. Rasulullah s.a.w sendiri mengakui sukar membahagikan kasih sama rata… anda umat akhir zaman yang tak tau kat mana nak menetap di akhirat nanti, mengaku pandai membahagi kasih sama rata? Dah la syariat Nabi ikut sekerat jalan dan buat sesuka hati … masalah tul kan? Bila cakap pasal poligami, nak ikut syariat Nabi konon, tapi solat lima waktu, suku rakaat pun tak lengkap… hmmmm

Tak mengaku kasih baru mengatasi kasih sedia ada? Tak yah borak laa… kalau anda tak suka barang baru lebih dari barang lama, mustahil anda akan beli yang baru kan… apa pun alasan anda, yang pasti, barang baru itu ada lebih keistimewaannya dari barang lama hingga membuatkan anda memilihnya. Saya tau isteri bukan barang tetapi dah ramai suami yang memperlakukan isteri seperti barang. Masa suka, diguna habis-habisan. Isterilah tempat bergantung harapan, daripada peniaga kecil dan jadi jutawan. Bila dah ada yang baru, yang lama terus disimpan dan paling tragis, dibuang ke tepi. Mulalah memberi alasan, yang baru ini mempunyai lebih keistimewaan yang bukan sekadar memenuhi empat kriteria pilihan… hmmmmm

Kepada anak-anak gadis dan wanita di luar sana yang sedang berhubungan dengan suami orang… fikir gunakan akal, bukan kata hati. Jangan mudah percaya kata-kata suami orang, konon memilih anda kerana tidak bahagia dengan isteri sedia ada. Jangan juga percaya, isteri sedia ada akan diceraikan kerana memilih anda. Jika anda tak bersedia bermadu, kenapa memilih suami orang? Fikirkan jika anda di tempat isteri suami orang itu. Paling penting, fikirkan tentang anak-anaknya yang bakal membesar. Mahukah anda, jika satu hari nanti, anak-anak terpaksa menerima perceraian ibu dan ayah mereka gara-gara si ayah berkenan dengan perempuan lain? Jangan ingat anda menang kerana berjaya meruntuhkan rumahtangga orang!! Jangan ingat anda pandai kerana berjaya memisahkan sepasang suami isteri!! Jangan berbangga diri konon anda boleh menjadi ibu yang baik untuk anak-anak tiri kerana anda belum tahu bagaimana sebenarnya menjadi ibu.

Saya tahu, anda berhak memilih dan membuat keputusan tetapi anda perlu ingat, di dalam dunia ini, bukan hanya anda tetapi masih ada insan lain yang ingin bahagia. Berwaspadalah kerana doa mereka yang teraniaya, akan dimakbulkan-Nya….

****Siaran Ogos 2006

Bahagiakah perkahwinan tanpa cinta?

Saya memilih untuk membincangkan topik ini setelah berulang kali menerima emel daripada seorang gadis yang menanyakan, bahagiakah perkahwinan tanpa cinta? Kepada si gadis, maafkan saya kerana memilih untuk menjawab emel anda melalui ruangan ini… saya lebih suka berbuat begini kerana saya yakin, dengan cara ini, jawapan kepada persoalan anda akan dapat dikongsi bersama dengan orang lain. Kepada yang mengirimkan emel kepada saya, maaf jika masih belum dijawab emel anda itu, terlalu banyak emel yang saya terima dan saya terpaksa memilih kes-kes ‘urgent’ sahaja untuk saya balas segera… insyaAllah, saya akan cuba membalas emel-emel yang lain juga.

Kembali kepada topik perbincangan kali ini…. semua orang tau, perkahwinan adalah penyatuan hidup dua individu, lelaki dan wanita bagi membina mahligai bahagia. Jika dengan cinta, perkahwinan berbeza usia, pangkat atau darjat, bukan lagi perkara luar biasa. Masalahnya, jika tanpa cinta, bolehkah sesebuah perkahwinan itu mewujudkan bahagia? Sebelum saya mengupas lanjut isu ini, satu persoalan kepada anda semua: Apakah definisi perkahwinan yang bahagia? Apakah ianya satu perkahwinan yang mampu mewujudkan sebuah rumah mewah bagai istana? Apakah ianya satu perkahwinan yang mempunyai ramai anak-anak walau bukan penyejuk mata? Apa pula definisi cinta? Kasih? Sayang? Atau rindu? Dari mana asalnya cinta? Apakah anda dilahirkan dengan cinta kepada bakal pasangan hidup anda?

Ramai yang tahu tetapi enggan mengakui bahawa sebenarnya cinta boleh dipupuk. Bererti, perkahwinan yang wujud tanpa cinta pada mulanya itu, boleh mencipta bahagia. Lihat sahaja orang tua dulu kala, kita mampu kenal erti cinta sekarang ini walau tika itu, nenek atau moyang kita tak pernah ada cinta kepada pasangan hidup mereka semasa awal perkahwinan. Ibu bapa saya juga tak pernah kenal erti cinta ketika disatukan tetapi alhamdulillah, tanggal 30 November ini, genap 33 tahun usia perkahwinan mereka, bahagia dengan 8 orang anak dan 5 orang cucu…

Mungkin ada yang cakap… alaaaa… itu zaman dulu, sekarang ni mana boleh cam tu lagi… zaman dah berubah… Ya! Saya akui, zaman dah berubah tapi istilah perkahwinan, cinta, kasih sayang yang sebenar tetap sama…

Cinta bererti penerimaan seseorang terhadap seorang yang lain… menerima bererti menyukai, menyayangi, mengasihi dan menghormati. Apabila wujud penerimaan maka rasa suka, kasih dan sayang akan wujud. Bukan sekadar kasih, rasa hormat akan membantu mengekalkan kasih sayang yang ada di dalam diri. Itulah sebabnya, perkahwinan orang dulu-dulu kekal hingga akhir hayat walau tak pernah kenal, tak pernah bersua muka apatah lagi mempunyai rasa cinta. Sebaliknya, masyarakat hari ini, ada sesetengah kes, bercinta 10 tahun, bertunang 2 tahun tetapi perkahwinan hanya kekal 6 bulan… kenapa? Kerana gagal memahami istilah cinta di dalam perkahwinan.

Saya pernah tegaskan dulu, cinta boleh ada selepas tiada bererti cinta juga boleh tiada selepas ada. Yang penting, keikhlasan diri anda untuk mewujudkan, menyimpan dan memberikan cinta anda kepada seseorang. Jika anda ditakdirkan mengahwini seseorang yang tidak pernah anda cintai tetapi anda mengenali dirinya sebagai seorang yang baik untuk dijadikan pasangan hidup… peranan anda sebenarnya untuk mengubah kata hati anda… membentuk rasa kasih di dalam diri… mewujudkan cinta seterusnya mencipta bahagia di dalam perkahwinan anda.

Jika anda seorang suami, anda mempunyai peranan penting untuk mewujudkan rasa kasih isteri kepada anda. Anda perlu faham, anda adalah seorang suami maka tugas anda adalah untuk membahagiakan isteri anda. Tak kira sama ada anda dipaksa kawin atau apa sahaja, selepas anda mengucapkan lafaz qabul dan perkataan sah dilafazkan oleh para saksi… anda adalah suami yang memegang peranan untuk membahagiakan isteri anda. Isteri anda adalah orang yang layak dan berhak menerima kasih sayang anda. Jika anda berhadapan dengan isteri yang juga terpaksa menerima anda, anda perlu bijak mengawal emosi dan situasi. Jangan memaksa isteri melayani anda semata-mata anda adalah suami. Kekasaran anda melayan isteri di malam pertama akan membuatkan isteri anda akan terus tidak menyukai anda.

Jika anda seorang isteri, anda juga mempunyai peranan untuk membahagiakan suami anda walau suami anda bukan pasangan pilihan hati anda. Bukan pilihan hati bukan bererti anda bebas memperlakukan suami anda sebagai orang luar. Anda menderhaka kepada Allah sekiranya anda gagal menjalankan tanggungjawab dan kewajipan anda yang sewajarnya sebagai seorang isteri.
Jika masih ada cinta lama di hati, pinggirkan kerana anda tidak berhak menyintai orang lain selain suami anda.

Bukan juga bererti lelaki berhak menyintai orang lain kerana anda berhak mengamalkan poligami. Walau lelaki boleh berpoligami, anda dikira sebagai suami yang curang jika anda mempunyai hubungan dengan wanita lain. InsyaAllah, saya akan kupas lanjut tentang topik curang ini satu hari nanti.

Lantaran, apabila anda menerima pasangan anda, anda akan menyayangi dan menyintainya malah berusaha mengukuhkan cinta anda… jika ini anda lakukan, bahagia akan wujud di dalam perkahwinan anda. Ingatlah… setiap perkahwinan boleh bahagia jika anda menginginkan perkahwinan anda bahagia kerana cinta itu boleh wujud selepas ikatan perkahwinan termeterai. Cinta juga boleh hilang walau telah wujud sebelum perkahwinan jika anda gagal mengukuhkan cinta anda dengan si dia…

****Siaran Ogos 2006

26 Disember 2008

Jangan kalah dengan emosi sendiri

Semalam, agak lewat saya keluar dari rumah. Jam dah menunjukkan pukul 8 pagi. Tak per lah, perjalanan 40 minit jer, masih sempat sampai ke pejabat sebelum pukul 9. Dalam berkira-kira nak melangkah, tiba-tiba saya terdengar bunyi pekikan suara wanita: “Kau ingat aku ni apa hah? Aku pergi kerja nak bagi kau makan jugak, bukannya pergi menyundal?” Terkejut saya… pembantu saya yang sedang menyapu di bahagian belakang terus lari masuk ke dalam. Terdengar pula suara lelaki menyambut: “Kau jangan nak kurang ajar dengan aku. Aku tampar nanti!” “Tampar la kalau berani. Kau tu yang kurang ajar. Jadi suami langsung tak berguna…” “Wooiii… diam laaa… kurang ajar punya betina..!” dan pertengkaran berterusan. Cukuplah sekadar itu saya ceritakan, bukan nak memburukkan sesiapa tetapi tujuan saya bawakan ke dalam ruangan ini sebagai topik perbincangan adalah untuk kita bersama jadikan teladan.

Saya pasti, anda semua boleh bayangkan sendiri betapa kecoh dan kalutnya suasana pagi semalam. Pagi yang sepi tiba-tiba dipecahkan dengan bunyi pekikan lelaki dan wanita yang bergelar suami dan isteri. Bukannya tak boleh bertengkar. Seperti lagu P.Ramlee.. sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri… saya tahu, selisih faham, bertengkar dan bergaduh adalah lumrah dalam hubungan suami isteri tetapi kalau dah sampai memekik, mencaci maki menggunakan bahasa yang tak sepatutnya, itu bukan lumrah lagi. Nauzubillah...

Seperti tajuk perbincangan kali ini, pasangan suami isteri tadi sebenarnya telah kalah dengan emosi mereka sendiri. Mereka bertindak di luar kawalan diri dan terlalu mengikut emosi. Suami dan isteri adalah dua individu yang pada mulanya tidak saling mengenal tetapi mengambil keputusan untuk hidup bersama selepas merasakan wujud satu persefahaman antara keduanya. Jika anda ingat dan sedar tentang perkara ini, anda akan dapat menjalani kehidupan berumahtangga yang aman dan damai. Aman dan damai bukanlah bererti tiada langsung perselisihan faham atau pertengkaran. Bohonglah jika ada suami isteri yang mengakui, sepanjang perkahwinan kami, kami tidak pernah bergaduh atau berselisih faham. Selisih faham dan pertengkaran kecil adalah perkara biasa. Namun, perselisihan faham dan pertengkaran kecil tidak boleh dibiarkan berlarutan. Anda mesti mengawal emosi anda dan bertindak mengikut kewarasan fikiran.

Sekiranya berlaku salah faham, cepat-cepat perjelaskan. Sama ada suami atau isteri, apabila anda mengetahui sesuatu yang meragukan tentang pasangan anda, jangan bertindak melulu. Sebaliknya, tanyakan kepada pasangan anda. Perbincangan dengan emosi terkawal dan akal yang waras akan memudahkan anda dan pasangan anda menyelesaikan segala kekusutan. Namun, sebelum berbincang, ada beberapa faktor yang perlu anda ambil kira. Pertama: kesesuaian masa. Anda perlu tunggu masa yang sesuai untuk berbincang dan meminta pasangan anda berterus terang. Jangan pula, pasangan anda baru ja sampai ke rumah, dalam keadaan sama-sama tengah penat, terus anda utarakan keraguan anda. Tindakan anda akan menambahkan kekeliruan dan menyukarkan penyelesaian masalah.

Faktor kedua: pendekatan atau cara anda meluahkan keraguan. Anda berhak mengutarakan persoalan tetapi anda tidak berhak menuduh pasangan anda. Anda perlu ingat, pandangan anda tidak sama dengan apa yang sebenarnya anda lihat dan pendengaran anda tidak sama dengan apa yang sebenarnya berlaku. Sebagai contoh, anda mendengar kisah keakraban suami anda dengan rakan sekerja. Untuk menyelidik, anda bergegas ke pejabat suami anda dan terpandang suami anda sedang berbual dan ketawa dengan seorang rakan sekerja wanita. Jangan hanya dengan apa yang anda dengar dan lihat, anda terus membuat kesimpulan, suami anda curang. Jika anda mengambil keputusan segera sedemikian, bererti anda telah memenangkan emosi anda. Sebaiknya, perkara tersebut hendaklah anda utarakan kepada suami anda terlebih dahulu. Ingatlah, mesra bukan bererti intim.

Faktor ketiga dan paling penting: Kawal emosi anda dan bertindak mengikut fikiran yang waras. Jangan mudah tunduk pada emosi. Saya akui, kaum wanita lebih mudah kalah pada emosi tetapi bukan bererti kaum wanita tidak boleh bertindak mengikut fikiran yang waras. Seperti kes yang saya utarakan di awal perbincangan, sekiranya si isteri tadi berjaya mengawal emosinya, saya dan jiran-jiran lain takkan tau kekalutan rumahtangga mereka. Jiwa wanita itu juga takkan sakit. Walau realiti kes adalah berpunca dari suami yang mungkin cemburukan isteri atau malas bekerja dan mengharapkan pendapatan isteri semata-mata, tindakan wanita tadi tidak memberikan apa-apa faedah kepada diri dan perkahwinannya. Ada cara lain sebenarnya yang boleh diambil untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi. Mengawal emosi juga bererti menjaga tutur kata dan perkataan yang anda luahkan ketika berlakunya pertengkaran. Jangan terlalu mudah mengeluarkan kata-kata yang memedihkan telinga. Ingat, itu suami atau isteri anda. Jika sesenang hati anda mencaci maki dirinya kemudian anda masih hidup dengannya, siapa yang malu sebenarnya?

Ingat sambungan lagu P.Ramlee… buang yang keruh, ambil yang jernih, baru teguh peribadi. Saya bukan peminat setia P.Ramlee tetapi saya suka lagu-lagu beliau yang bukan sekadar mempunyai melodi yang sedap didengar tetapi juga mempunyai seribu makna tentang kehidupan. Yang baik jadikan teladan….

****Siaran Ogos 2006

Anak Ramai: Kebanggaan dan Tanggungjawab

Hari Ahad baru ni, ramai kawan-kawan sepengajian dulu berkumpul di rumah saya. Itulah ‘gathering’ kami yang kedua selepas tamat pengajian kira-kira 8 tahun lepas. Dalam tempoh masa tersebut, kami hanya bertukar berita melalui emel, sms dan panggilan telefon. Bila dah lama tak jumpa, pelbagai topik menjadi tajuk perbincangan termasuklah perkara berkaitan menambah bilangan anak. Seorang kawan, apabila diajukan soalan bila nak tambah anak lagi, jawab beliau: Biarlah anak keduanya yang baru berusia setahun besar sikit. Seorang kawan lain pula menjawab: Biarlah ekonomi stabil sikit. Bila ditanyakan kepada saya: Dalam keadaan saya yang berjauhan dengan suami, cukuplah dulu dengan sepasang permata hati yang ada.

Lain orang, lain alasannya ketika membincangkan isu menambahkan bilangan anak. Bukan sekadar alasan untuk tidak menambahkan bilangan anak tetapi juga alasan kenapa ingin menambahkan bilangan anak. Antaranya, anak-anak adalah harta yang paling bernilai… Rasulullah s.a.w berbangga dengan umat yang ramai…. Anak-anak adalah pintu rezeki dan berbagai alasan lagi. Teringat saya tentang satu kisah di utara tanahair tentang sepasang suami isteri yang mempunyai seramai 16 orang anak. Walau sekadar bekerja biasa tetapi menurut si suami, mereka tidak mempunyai masalah untuk menyediakan makan minum anak-anak yang berusia dari 8 bulan hingga 13 tahun… Alhamdulillah.

Bukan itu saja, ada yg beralasan, mempunyai ramai anak adalah baik untuk kehidupan hari tua. Masa berlalu… anak pertama, kedua dan seterusnya akan membesar, dewasa dan akan meninggalkan rumah. Jika mempunyai anak dalam bilangan yang kecil… sekejap sahaja rumah akan sunyi. Jika ramai anak, seorang pergi… ada anak lain yang menemani. Bila dah tua pula, boleh bergilir-gilir tinggal di rumah anak-anak. Ada yang nak menjenguk jika sakit pening. Banyak kelebihannya jika mempunyai ramai anak.

Saya akui semua tu… memang banyak kelebihan jika mempunyai ramai anak. Cuma satu persoalan yang saya yakin, kita semua perlu fikirkan bersama… mempunyai anak yang ramai bukan sekadar kebanggaan tetapi kita juga mempunyai peranan yang amat besar berbanding mereka yang mempunyai anak-anak yang sedikit.

Tanggungjawab anda sebagai ibu atau ayah bukan sekadar memberi makan, minum, pakaian dan menyediakan tempat tinggal. Ibu dan ayah mempunyai tugas dan peranan untuk mendidik dan mengasuh anak-anak anda dengan penuh perhatian dan belaian kasih sayang. Malangnya, tugas dan peranan utama ini telah dikesampingkan oleh kebanyakan ibu bapa. Malah, dengan senang hati tugas utama ini diserahkan kepada pembantu rumah, pengasuh taska atau guru sekolah semata-mata.

Ada kes, sepasang suami isteri mempunyai 4 cahaya mata yang jarak usia antara mereka hanyalah setahun ke dua tahun dan anak-anak ini hanya berjumpa ibu bapa mereka tidak sampai satu jam dalam tempoh seminggu. Kepada anak-anak dipesan: “Tinggal dengan bibik ya. Mama dan Papa perlu kerja keras untuk cari duit…” Dalam kes yang lain pula, seorang ibu menceritakan bagaimana anak kecilnya yang berusia hampir dua tahun enggan bermain-main dengannya seolah-olah tidak kenal lantaran sering ditinggalkan bersama pembantu rumah dan kini, si ibu yang sama sedang menghitung hari untuk melahirkan anak yang ke 7.

Anda tentu boleh bayangkan keadaan anak-anak di dalam kedua-dua kes yang saya sebutkan tadi. Itu hanya kes contoh. Banyak lagi kes lain yang berkaitan dengan kegagalan ibu bapa memainkan peranan utama mereka sebagai pengasuh dan pendidik kepada anak-anak yang ramai. Saya bukan melarang anda mempunyai anak yang ramai sebab saya sendiri berasal daripada adik beradik yang ramai… saya anak pertama daripada 8 adik beradik. Mak dan Bapa saya pula mempunyai seramai 13 orang adik beradik. Namun, seperti apa yang saya jelaskan tadi… jika anda mampu memainkan peranan anda sebagai ibu dan ayah, silakan lah..

Mempunyai anak ramai bukan sahaja untuk anda membuktikan keupayaan anda sebagai seorang lelaki atau wanita…. Anda juga perlu buktikan keupayaan anda untuk menjadi seorang pengasuh dan pendidik kepada anak-anak anda. Berikan kasih sayang yang sama antara anak-anak walau kasih sayang sukar dibahagikan sama rata namun anda perlu pastikan, anak-anak tidak merasa terpinggir apabila terdapat ahli baru di dalam keluarga anda. Duit memang segalanya sekarang ini tetapi ingatlah, duit tidak mampu membeli kasih sayang. Seteruk mana anda berusaha mengumpul wang dan harta untuk anak-anak…. kasih sayang dan perhatian anda lebih diperlukan oleh anak-anak anda.

Buat semua ibu bapa, saya nasihatkan… jangan salahkan anak-anak jika mereka bersikap biadap dan kurang ajar. Tilik diri sendiri, adakah anda telah memberikan sepenuh kasih sayang, perhatian, bimbingin dan didikan kepada mereka? Rasulullah berbangga dengan umatnya yang ramai tetapi ramai yang berkualiti bukan ramai yang menyakitkan mata, telinga dan hati masyarakat… jangan sampai Nabi tak mengakui anak anda sebagai umatnya. Untuk menjadikan anak-anak anda umat yang dirahmati dan hamba yang diredhai… anda berperanan menentukan hala tuju mereka. Kebebasan hak asasi bukan alasan untuk anak-anak bertindak sesuka hati. Kegagalan anda mendidik anak-anak menjadi hamba-Nya yang soleh dan solehah adalah satu perkara yang perlu anda jawab di muka pengadilan akhirat nanti kerana anak-anak adalah kain putih… andalah pencorak warnanya… dengan asuhan, didikan dan doa.

Moga anak-anak kita akan menjadi insan berguna kepada diri mereka sendiri, kepada ibu bapa mereka, kepada agama, bangsa dan negara…. Aminnnn!!!

****Siaran Ogos 2006

04 Disember 2008

Intimasi hak bersama

Seorang isteri meluahkan rasa kecewanya dengan si suami kerana si suami gagal ‘menyelesaikan’ hubungan intim mereka dengan jayanya. Bukan satu dua aduan seperti ini yang saya terima, dah banyak… cuma isteri-isteri yang mengalami masalah seperti ini, ada yang mengambil keputusan mendiamkan diri, membiarkan kehendak batin sendiri tidak dipenuhi dan paling tragis, ada kes-kes mereka yang mengalami masalah ini, mencari makan di luar… nauzubillah…!

Hmmm…. Kesian kat kaum wanita. Bercakap lebih-lebih tentang seks, tentang intimasi, tentang hubungan suami isteri… dikatakan gatal. Teringat pulak isu gatal di parlimen satu ketika dulu. Saper yang gatal? Tak adakah yang miang? Tunggu perbincangan saya mengenai topik gatal vs miang ini…

Kembali ke tajuk perbincangan… berapa ramai yang tahu, intimasi atau seks atau hubungan suami isteri itu adalah hak bersama suami dan isteri. Bukan sekadar melayani kehendak batin suami semata-mata tetapi seks yang halal di dalam sesebuah perkahwinan, adalah untuk memenuhi kehendak batin suami dan kehendak batin isteri juga. Anda tentu ingat salah satu tujuan dan hikmah perkahwinan ialah untuk memenuhi kehendak batin seseorang. Seseorang ini termasuklah isteri, bukan suami semata-mata.

Malangnya, rata-rata perkahwinan, bila memperkatakan tentang intimasi, yang tergambar hanyalah isteri berhak memenuhi kehendak batin suami. Sementelah pula, tak ada hadis atau ayat yang mengatakan suami wajib memenuhi kehendak batin isteri, tidak seperti banyaknya nas yang menjadi dalil betapa isteri wajib memenuhi kehendak batin si suami. Tidak ada nas yang jelas ini bukan membuktikan bahawa Islam menafikan hak tuntutan batin isteri. Ada banyak ayat yang memberikan maksud, isteri juga mempunyai hak yang sama dengan suami di dalam kehidupan berumah tangga. Antaranya, ayat yang mengatakan: Gaulilah mereka dengan baik…

Ayat ini membawa pengertian yang maha luas. Gauli isteri secara baik bererti suami perlu menjaga kebajikan isteri, menjaga makan minumnya, menjaga perasaannya. Gauli isteri secara baik juga memberi erti bahawa isteri perlu dilayani kehendak batin mereka menepati selera mereka. Saya yakin, ramai yang sedia maklum, terdapat perbezaan yang ketara antara kehendak batin suami dan kehendak batin isteri. Kebanyakan suami mempunyai kehendak batin yang tinggi dan selalu inginkan kehendak batinnya dipenuhi. Berbeza dengan isteri, kehendak batin isteri boleh ditoleransi. Jika penat, sedih atau mood yang tak menentu, isteri tak mengharapkan layanan untuk kehendak batin mereka.

Malangnya, suami jarang ambil kisah sama ada isteri mau atau tidak. Yang suami tahu, aku nak… kau mesti layan… maka jadilah kes isteri mengeras diri seumpama batang atau apa saja. Sebenarnya, di sinilah suami perlu main peranan. Isteri tidak boleh dipaksa sebegitu sahaja. Walaupun dia isteri anda dan anda tidak akan didakwa kerana kesalahan merogol walau anda memaksa… tanya pada diri… inikah tujuan anda mengahwini isteri anda? Sekadar memenuhi kehendak batin anda sendiri? Suami yang bijak tahu bagaimana untuk merangsang isterinya… tak perlulah saya bincangkan di sini, anda lebih tahu cuma enggan mengakuinya sahaja, betul kan?

Namun, jika isteri perlu melayani kehendak batin suami, isteri bukan sekadar memenuhi kehendak suami tetapi isteri inginkan kehendak batinnya juga dipenuhi. Perlu diingat, tahap klimaks sesuatu hubungan intimasi antara suami dan isteri juga berbeza. Suami lebih cepat sampai ke destinasi berbanding isteri. Masalahnya berapa ramai suami yang endahkan perkara ini? Berapa ramai suami yang mengambil berat dan peduli tentang persoalan: Sudahkah aku memenuhi selera batin isteriku? Mungkin ada suami yang bertanya: Bagaimana nak tahu selera isteri dah dipenuhi atau belum?

Jawapannya mudah sahaja. Selesai hubungan, tanyalah isteri anda. Bukan sahaja suami, isteri juga perlu bertanya kepada suami, bagaimana layanan anda tadi? Ramai yang ambil mudah perkara ini. Dah selesai .... dah laaa… Anda jangan lupa, kejayaan intimasi anda adalah penentu kebahagian rumah tangga anda. Di sinilah pentingnya komunikasi yang pernah saya jelaskan dulu. Komunikasi penting dalam intimasi dan kebahagiaan perkahwinan anda. Bagaimana? Bersenda gurau sebelum intimasi dan mengambil berat kepuasan pasangan anda selepas intimasi…. itulah antara bentuk komunikasi yang perlu anda praktikkan.

Paling penting, anda... sama ada suami atau isteri, perlu bersikap terbuka. Berbincanglah dengan pasangan untuk menjadikan hubungan intimasi anda sesuatu yang paling indah. Jangan jadikan intimasi sebagai satu alasan untuk anda keluar dari gerbang perkahwinan. Namun, jika masalah intimasi ini menganggu emosi anda, jangan makan luar tetapi carilah penyelesaian terbaik. Islam meletakkan jalan keluar bagi perkahwinan yang menghadapi masalah seperti ini. Bagi isteri, hak anda tidak diketepikan, anda berhak memohon fasakh dan tiada sebarang ganti rugi yang perlu anda bayar. Jangan risau tentang saksi kerana hubungan intimasi adalah rahsia anda dan suami. Mahkamah boleh bicarakan kes anda secara tertutup dan akan menerima sumpah istidzhar anda sebagai bukti. Paling penting, anda perlu mulakan tindakan pertama: berani tampil ke muka pengadilan. Semuanya di tangan anda.

****Siaran Julai 2006

Taatkan suami bukan mutlak

Semalam, saya menerima satu panggilan telefon daripada seorang isteri. Isteri berusia awal 30-an ini meluahkan rasa kecewa dengan sikap suaminya yang mengabaikan tanggungjawab memberikan nafkah. Jika dulu, suaminya kurang mampu maka si isteri sanggup menyerahkan hasil titik peluhnya saban hari bagi membantu suami menguruskan kewangan mereka sekeluarga. Malangnya, bila dah ditolong, makin lama si suami mula menyerahkan sepenuh tanggungjawab tersebut kepada si isteri. Kini, hampir tiga tahun, segala perbelanjaan keluarga diuruskan sepenuhnya oleh si isteri. Si suami masih bekerja, masih mempunyai pendapatan tetapi segala pendapatan suami digunakan untuk memenuhi selera dan kehendaknya sendiri. Nak serahkan kepada isteri walaupun sedikit, jauh sekali. Bila isteri meminta, hanya satu jawapannya: Mana ada duit lagi dah? Tetapi mampu pula beli barang-barang lain yang tak perlu. Pernah si isteri mintak belikan barang dapur, selamba ja si suami bersuara: Duitnya mana? Pesan dengan liur ja?

Hmmm… ini belum lagi diwartakan misyar (sebutannya mis-yar. InsyaAllah, akan datang nanti, saya akan bincangkan tentang isu mis-yar ini dan realitinya di Malaysia). Masalah si isteri sekarang ini, beliau tidak ada hati lagi untuk melayan kehendak seks si suami. Dah lah penat bekerja seharian, balik ke rumah terpaksa menguruskan segalanya: memasak, mengemas, melayan anak-anak. Ada kalanya, si isteri kepenatan dan tidak berupaya untuk melayan kehendak batin suami. Bukan saja penat badan malah penat perasaan kerana kecewa dengan sikap suami yang mengabaikan tanggungjawab sebenar sebagai suami dan seorang bapa. Soalan yang diajukan kepada saya, apakah boleh sekiranya si isteri enggan melayan kehendak batin suami?

Teringat saya kepada cerekarama Episod Terakhir, isteri menyuap mulut, isteri membelikan pakaian suami, isteri dibelasah oleh suami dan dalam kesakitan dan keterpaksaan, isteri melayan nafsu seks suami. Semua orang tahu, isteri wajib patuh kepada suami. Isteri wajib taat kepada suami. Isteri wajib melayani kehendak batin suami kerana ada hadis yang cakap: Isteri perlu melayan kehendak batin suami walau tika suami meminta, mereka berada di atas unta. Menggunakan hadis inilah, suami menggunakan sepenuh kuasa memperlakukan isteri sewenang-wenangnya.

Namun, ramai yang tidak tahu, taatkan suami bukan mutlak. Seperti yang pernah saya bincangkan, jika suami mengarahkan isteri melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak syarak, maka tika itu, isteri tidak wajar mentaati suami. Sama juga dengan kehendak batin suami yang gagal menunaikan tanggungjawab, kehendak suami ini boleh ditolak dan isteri tidak akan berdosa sekiranya menolak permintaan suami. Kenapa? Kerana suami mengabaikan tanggungjawab. Hadis menyuruh isteri mentaati suami yang betul-betul seorang suami. Apa maksud betul-betul seorang suami?

Seorang suami yang betul-betul seorang suami ialah seorang suami yang menunaikan tanggungjawab nafkah zahir dan batin seorang isteri, bukan menunaikan nafkah batin sahaja. Masalahnya, menunaikan kehendak batin tu, bukan memenuhi kehendak isteri sangat sebenarnya tetapi lebih kepada memenuhi kehendak sendiri. Sebab itulah, walau isteri diberi layanan batin, berapa ramai suami yang ambil tahu, sukakah isteriku dengan layananku? Ramai yang menganggap, seks adalah memenuhi kehendak nafsu suami dan bukan kehendak kedua-dua pihak, suami dan isteri. InsyaAllah, saya akan bincangkan semula topik ini nanti.

Kembali kepada topik perbincangan. Bukan sahaja kes yang saya terima semalam tetapi banyak lagi kes sebelum ini, isteri meluahkan rasa terpaksa mereka melayan kehendak batin suami. Keterpaksaan kerana teringatkan tuntutan syarak: isteri wajib mentaati suami…. isteri perlu menunaikan kehendak suami setiap kali suami meminta…. jika isteri menolak permintaan suami untuk bersama maka si isteri akan dilaknat oleh malaikat di sepanjang malam. Para isteri akur dengan kehendak syarak, takutkan laknat daripada malaikat, takutkan balasan neraka daripada Allah. Mahu atau tidak, rela atau terpaksa, isteri biarkan juga diri diperlakukan seadanya oleh si suami. Mulianya kau wahai isteri. Hinanya kau wahai suami… sanggup mengenepikan tuntutan syarak… mengabaikan tanggungjawab sebagai suami. Tak takutkah balasan daripada Allah?

Lantas, wahai isteri.. bila suami anda berani menderhaka kepada Allah… maka anda tidak wajar lagi mentaati mereka. Jika anda, sebagai isteri… kecewa dengan sikap suami yang mengabaikan tanggungjawab dan tidak mampu atau enggan memenuhi kehendak seks suami, anda BERHAK menolak permintaan suami. Jangan bimbang dengan nusyuz. Anda BUKAN ISTERI YANG NUSYUZ SEMATA-MATA ENGGAN MENUNAIKAN KEHENDAK SUAMI YANG DAYUS.

Pesanan saya kepada isteri yang mengambil alih tugas suami, simpan segala resit perbelanjaan anda. Jika suami anda mengambil tindakan kerana anda menolak ajakannya, anda berpeluang menggunakan semua itu sebagai pertahanan diri. Ingatlah, perkahwinan adalah untuk kebahagiaan dua pihak, suami dan isteri… anda lebih tahu kedudukan anda. Selamat berbahagia.

****Siaran Julai 2006

01 Disember 2008

Putus tunang boleh tuntut gantirugi

Kecoh betul kat pejabat saya dengan cerita seorang artis lelaki tersohor di Malaysia nak putus tunang. Daripada meminati, dah ada yang mula mencaci maki. Sampai ada yang menyuarakan sanggup mewakili si gadis yang teraniaya untuk menyaman si artis, biar habis segala harta. Alahaiiii….!!! Inilah sandiwara hidup. Cuma, kalau orang sekeliling turut merasa perit dan pedihnya luka, bayangkanlah bagaimana si gadis, yang dijanjikan kebahagiaan bersama dan ketika asyik menganyam impian membina mahligai cinta tiba-tiba dikejutkan dengan berita, janji untuk menuju gerbang perkahwinan perlu dibatalkan. Bukan satu kes tunang si artis ini sahaja, malahan dah banyak kes yang seumpama dengannya. Mustahil ada gembira tika itu dan setabah mana pun si gadis, air mata pasti mengalir.

Tak mengapalah… biarkanlah air mata itu mengalir. Luahkanlah kekecewaan dan kesedihan anda tetapi jangan lama-lama. Saya tak suruh anda menjadi seperti Kassim Selamat, menangis hingga mata menjadi buta. Saya tak suruh anda bermurung dan hilang selera makan mengenang cinta tak kesampaian seperti kisah lagenda cinta Majnun dan Laila. Menangis dan kenanglah kedukaan tersebut tetapi untuk tempoh sementara, sehari… 24 jam adalah tempoh paling maksima. Selepas 24 jam, anda perlu bangun… ketepikan lara hati dan sediakan diri untuk mengajar si dia yang memberikan anda kelukaan sebelum ini.

Jangan salah faham. Saya bukan nak ajar anda menjadi pendendam. Saya cuma nak anda dapatkan hak anda. Ya… anda berhak menuntut ganti rugi di atas kekecewaan anda kerana pertunangan anda diputuskan. Ini bukan kata saya tetapi ketetapan undang-undang dan satu hukuman takzir di dalam hukum syarak. Bekas tunang anda telah melakukan kesalahan kerana memungkiri janji perkahwinan iaitu pertunangan. Perlu diingat, pertunangan atau janji untuk sebuah perkahwinan bukan hanya dikira apabila ada majlis besar-besaran semasa pertunangan atau ada rombongan meminang dan pemberian cincin atau hantaran seperti adat amalan masyarakat kita.

Janji untuk sebuah perkahwinan memadai dengan hanya si lelaki melamar si gadis dan kemudiannya si gadis menerima… dah termeterai sudah sebuah ikatan pertunangan sebagai janji untuk membina sebuah perkahwinan. Apabila janji ini diputuskan, maka pihak yang menerima keputusan berhak menuntut ganti rugi di mahkamah syariah. Namun, menepati kehendak undang-undang yang memerlukan dokumentasi dan bukti-bukti termeterai, nasihat saya kepada mereka yang membuat janji perkahwinan sendiri, pandai-pandailah menyediakan saksi. Jangan pulak nanti di depan mahkamah, bersungguh hati menyatakan hanya bulan dan bintang menjadi saksi… mahkamah takkan terima semua tu. Paling penting, pandai juga menjaga hubungan anda sebab pernah ada kes, seorang gadis yang dah tak gadis, menjadikan anak yang dikandungnya sebagai bukti adanya janji untuk perkahwinan… bukan saja mahkamah tak terima tetapi si gadis turut menerima satu hukuman lain pula.

Kembali kepada kes putus tunang… apabila tunang anda membuat keputusan untuk membatalkan janji perkahwinan, anda berhak menerima semula segala bentuk pemberian anda kepada si dia. Sebagai contoh, jika anda memberikan sepasang kain, anda berhak menerima kain tersebut semula. Jika kain tersebut telah digunakan, anda berhak menuntut nilai harga bagi pakaian tersebut. Jika anda telah membuat segala persediaan untuk majlis perkahwinan, anda boleh memohon di mahkamah untuk menuntut ganti rugi bagi segala perbelanjaan untuk persediaan tersebut. Harga tempahan kad jemputan, pakaian pengantin dan apa jua yang berkaitan dengan majlis perkahwinan yang bakal diadakan, anda berhak mendapatkan ganti rugi.

Malangnya, kes-kes saman kerana putus tunang ini masih belum banyak diselesaikan oleh pihak mahkamah. Tak tau di mana silapnya. Mungkin ramai yang tak tau… mungkin juga ada yang malas dah nak ambil kisah dengan apa yang dah berlaku. Hmmmm…. saya setuju… apa yang berlaku adalah takdir namun ada sebab musababnya… kita tidak boleh menerima takdir sebegitu sahaja. Takdir menentukan sesuatu itu terjadi agar anda mempunyai ruang untuk merebut peluang selepasnya. Peluang paling nyata dan jelas bagi anda yang kecewa apabila pertunangan diputuskan ialah untuk mengajar bekas tunang anda agar setia dan menunaikan janji. Walau bukan dengan anda, sekurang-kurangnya dengan orang selepas anda. Walau ganti rugi yang anda terima tidak boleh merawat luka hati anda namun fikirkanlah, ganti rugi tersebut berbaloi untuk membayar semula modal belanja yang telah anda dan keluarga anda keluarkan.

Satu perkara yang tidak kurang pentingnya, jangan bebankan perasaan anda semata-mata tidak mahu memutuskan pertunangan kerana bimbang perlu membayar ganti rugi. Situasi ini saya tujukan bagi anda yang mengetahui tunang anda beralih arah kasih atau curang kepada anda tetapi tunang anda masih meneruskan pertunangan sedangkan anda sendirian menanggung siksa. Di dalam kes seperti ini, anda berhak memutuskan pertunangan dan anda tidak perlu membayar ganti rugi. Paling penting, anda perlu mempunyai bukti kukuh untuk menyokong kewajaran anda memutuskan pertunangan tersebut.

Nasihat saya kepada mereka yang berada di alam pertunangan, jagalah tingkah laku dan adab anda. Bertunang bukan bererti anda telah bebas ke sana sini melakukan apa saja. insyaAllah, satu hari nanti, saya akan bincangkan kes menarik tentang isu berkaitan adab dalam pertunangan ini. Jumpa lagi…!!

****Siaran Julai 2006

28 November 2008

Susahkah hidup tanpa suami?

Soalan ini pernah diajukan kepada saya oleh seorang isteri yang ingin keluar daripada gerbang perkahwinan setelah tidak sanggup menghadapi kerenah suami yang nyata berlaku curang dan enggan berubah walau telah banyak kali peluang diberikan. Saya faham, wanita ini risau kerana beliau mempunyai anak-anak yang perlu dibesarkan. Tika itu, jawapan saya: InsyaAllah, tak susah…!! Ya lah, kalau risaukan tentang nafkah, suaminya nanti yang bertanggungjawab ke atas semua tu… Risau kehilangan ayah? Suami kan mempunyai hak lawatan… yang penting, wanita tersebut perlu kuat dan menerima realiti bahawa dirinya kini perlu hidup tanpa suami… Mungkin ada yang cakap: Alaaaa… bukan kau yang kena, senanglah kau cakap…. Tak mengapa, saya tak marah.

Minggu lepas, sekali lagi saya menerima soalan yang sama, kali ini daripada seorang rakan sekuliah semasa di UM dulu: Su, camana hidup kau sekarang ni bila suami tak der? Hmmm…. Jangan terkejut pulak… Sebenarnya, hari ini, tika artikel ini ditulis, genaplah sebulan saya menjadi ‘ibu tunggal bersuami’… saya masih bersuami, masih memegang status seorang isteri tetapi saya menjadi ibu tunggal kerana tika ini suami saya berada jauh di Sarawak, demi tuntutan tugas. Sejak sebulan lepas, segalanya saya uruskan sendiri. Hal anak-anak, rumah tangga, semuanya saya uruskan… bangun pagi, saya pergi kerja seorang diri, balik kerja pula, hanya saya yang melayan anak-anak. Alhamdulillah, saya tak terasa sebarang kesulitan, hanya satu kekurangan, tiada suami di sisi.

Kenapa? Kerana sejak awal saya tahu suami terpaksa berpindah ke Sarawak, saya tanamkan dalam diri: selepas ini, aku perlu hidup sendiri menjaga anak-anak. Memang anak-anak masih berkesempatan bertemu suami namun semuanya dah tak sama, dah tak acap kali atau setiap hari seperti sebelum ini. Saya tanamkan juga di dalam diri: aku boleh hidup tanpa suami… bukan kerana aku tak perlukan suami tetapi dah itu takdir hidup yang perlu aku tempuhi. Telah sebulan, segalanya seperti hidup saya yang sebelum ini, bezanya hanya tiada suami di sisi saya.

Sebab tu saya berani katakan sebelum ini, jika anda menerima realiti bahawa anda kini perlu meneruskan hidup anda bersama anak-anak tanpa suami, anda tak kan rasa sebarang kesulitan atau kepayahan. Ini ujian yang saya terima, mungkin untuk saya lebih jelas tentang keperitan yang perlu ditanggung oleh ibu tunggal. Hakikatnya, hidup saya kini sama seperti ibu tunggal. Segala urusan rumah tangga, saya uruskan. Kerenah dan telatah anak-anak, hanya saya yang perlu layani dan hadapi. Sakit demam anak-anak, hanya saya seorang yang menjaga. Tidak seperti dulu, saya dan suami sama-sama menguruskan rumah tangga dan melayan anak-anak. Kini, semuanya telah berubah.

Saya akui, mulanya agak susah terutama apabila perlu menjawab persoalan anak-anak. Namun, saya cakap elok-elok. Abi kena pergi kerja jauh… walau soalan yang sama sering ditanya dan jawapan yang sama juga saya berikan, akhirnya anak-anak tidak bertanya lagi…. saya percaya, mereka mulai mengerti.
Anak-anak juga akan lebih agresif dengan anda. Anda akan dapat rasakan perubahan anak-anak, mereka akan lebih rapat dengan anda, akan lebih mesra dengan anda dan ada kalanya akan membuatkan anda lebih cepat marah. Namun, jangan gelabah atau hilang arah. Keadaan itu biasa kerana anak-anak ingin perhatian yang sama seperti sebelumnya, semasa anda bersama suami dan kini, layanan tersebut hanya mereka boleh perolehi daripada anda. Banyakkan bersabar dan berselawat. Cakap elok-elok keadaan anda, kesibukan anda… mereka akan beransur-ansur menerimanya, insyaAllah.

Paling penting, jangan tunjukkan kesedihan atau ketidakupayaan anda kepada anak-anak. Siapa tak rindukan suami… kalau bercerai sekali pun, segala kenangan manis akan tetap di ingatan kan? Paling penting juga, jangan bebankan anak-anak dengan masalah antara anda dengan suami, terutamanya anak-anak kecil yang masih tidak tahu mengenai ujian hidup. Jangan sesekali memburukkan suami anda walau suami anda memang seorang yang teruk perangainya. Kesilapan anda akan membuatkan anak-anak hilang hormat kepada ayah mereka. Namun… jika anak-anak dah dewasa dan jika mereka bertanyakan tentang si ayah… apatah lagi jika si ayah yang terus menghilangkan diri… khabarkan cerita sebenar. Bukan bertujuan supaya anak-anak membenci ayah mereka tetapi sebagai teladan dan peringatan, jangan mereka ulangi perkara yang sama kepada anak-anak mereka nanti.

Satu perkara yang tidak kurang pentingnya, jangan menyamakan kerenah anak-anak anda dengan perangai buruk suami. Sebagai contoh, jika anak anda melakukan kesalahan, jangan samakan anak anda dengan suami seperti kata-kata: perangai kau dengan ayah kau sama saja… atau apa saja ayat yang membawa pengertian dan maksud yang sama. Jangannnn… anda akan lebih memburukkan keadaan. Ingat! Kata-kata ibu adalah satu doa. Mahukah anak anda mewarisi tabiat buruk suami anda? Mahukah satu hari nanti anak anda disingkirkan daripada kehidupan berkeluarga kerana tabiatnya yang berlarutan dan berterusan akibat doa anda? Pasti jawapannya tidak, bukan!

Banyakkan bersabar dan berdoa…. Apa yang anda lalui dan terpaksa hadapi adalah ujian hidup sebagai tanda kasih sayang-Nya kepada anda. Semat kemas kata-kata itu di fikiran anda. Saya yakin, kalau anda menerima semua ini sebagai ujian hidup, insyaAllah, anda akan dapat meneruskan hidup tanpa rasa tersiksa atau menderita.

****Siaran Julai 2006

26 November 2008

Mesra tapi berbatas

Ini bukan nak lawan lagu Ratu, teman tapi mesra… tetapi saya mengambil peluang sempena sambutan hari bapa yang jatuh pada 20hb ini untuk membincangkan isu kemesraan antara anak-anak dengan ayah, bapa, daddy, abi atau apa juga panggilannya, sinonim kepada lelaki yang bertanggung jawab mewujudkan satu benih membentuk satu manusia lahir ke dunia. Saya terpanggil untuk membincangkan isu ini setelah menerima banyak emel daripada anak-anak, ibu malah ayah sendiri yang meluahkan pelbagai rasa yang wujud kesan kemesraan yang ada antara anak-anak dan ayah…. si anak meluah rasa cintakan ayah sendiri, si ibu mula cemburukan suami dan anak sendiri dan ayah pula dah mula rasa macam nak madukan si anak dengan ibunya sendiri… nauzubillah!! Kenapa semua ini boleh terjadi? Inilah yang akan kita bincangkan bersama kali ini….

Sebenarnya, bukan sekadar hubungan anak perempuan dengan ayah tetapi juga hubungan anak lelaki dengan ibu, saudara perempuan dengan saudara lelaki, bapa saudara dengan anak saudara perempuan dan semua hubungan yang melibatkan perbezaaan jantina hatta hubungan antara datuk dan cucu perempuan. Kenapa? Kerana semua itu boleh mengundang satu masalah besar yang sering kali kita dengar sekarang ini iaitu sumbang mahram dan rogol saudara sendiri… nauzubillah!! Kenapa pula saya fokuskan perbincangan ini sempena sambutan hari bapa? Kerana bapa adalah sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab memelihara ahli keluarganya daripada terlibat dengan semua perkara yang tidak diingini seperti yang telah saya sebutkan tadi.

Baru-baru ini, ketika satu kunjungan ke sebuah lokasi percutian di selatan tanahair, saya melihat seorang wanita muda, usia dalam belasan tahun memeluk erat pinggang seorang lelaki yang agak berumur. Lelaki tersebut juga memeluk erat dengan tangan kirinya terletak di pinggul si gadis. Tak lama, muncul seorang gadis lain yang hampir sebaya bersama seorang wanita yang lebih tua. Daripada percakapan, saya fahami rupa-rupanya mereka berempat adalah sekeluarga: seorang ayah dan seorang ibu bersama dua anak gadis mereka. Mungkin pembaca semua mula faham kenapa situasi ini saya ceritakan. Ya… kemesraan yang agak melampau kan? Mungkin ada juga yang berpendapat… alaaaa, biasa ler tuh, anak dengan ayah, apa salahnya? Memang tak salah tetapi…. sikap dan perlakuan sebegitulah yang boleh membawa kepada pelbagai kes cinta saudara, sumbang mahram dan rogol ahli keluarga sendiri… nauzubillahi min zalik.

Di dalam Islam, malahan di dalam ugama lain juga, telah ditetapkan batas-batas pergaulan dan aurat antara anak-anak dengan ibu dan ayah mereka… antara saudara lelaki dengan saudara perempuan. Walaupun anak-anak dengan ibu atau ayah tidak boleh berkahwin dan boleh mendedahkan aurat, batasan aurat tersebut perlu dijaga sepenuhnya. Jika dengan lelaki ajnabi iaitu lelaki yang boleh berkahwin, aurat seorang anak gadis atau wanita ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Aurat seorang anak gadis atau wanita dengan wanita yang lain dan dengan ahli keluarganya iaitu ibu, ayah dan saudara sedarah pula adalah antara lutut dan pusat.

Sungguh pun begitu, menepati nilai dan norma masyarakat terutamanya masyarakat kita menyanjung tinggi adab-adab di dalam kehidupan, pakailah pakaian yang menutup seluruh badan terutamanya bahagian dari paras lutut ke atas pangkal leher. Kenapa perlu lakukan sedemikian? Ingatlah, syaitan dan nafsu tidak kenal saudara atau sesiapa sahaja. Bila syaitan dan nafsu menguasai diri, dedahan paha seorang anak gadis sendiri boleh menimbulkan ghairah seorang ayah…. nauzubillah.

Selain cara berpakaian, pergaulan juga perlu dijaga. Di dalam Islam, kita disarankan agar memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan ketika anak-anak berusia 10 tahun. Usia 10 tahun adalah usia maksima seorang anak lelaki boleh tidur bersama saudaranya yang perempuan. Sebaiknya, pisahkan tempat tidur anak-anak ini ketika mereka di usia mumaiyiz iaitu sudah boleh membezakan antara yang baik dan yang buruk dan berkeupayaan untuk memahami. Usia mumaiyiz ialah apabila anak-anak berumur tujuh tahun. Bukan sekadar pemisahan tempat tidur tetapi juga pemisahan semasa mandi, elakkan anak-anak melihat kemaluan anak yang lain dan elakkan juga anak-anak menyentuh bahagian sulit anak yang lain. Mungkin ada yang fikir, alaaaa…. budak kecik, apa lah yang dia tahu? Jika anda antara yang berpandangan sedemikian, ubahlah tanggapan anda itu. Sebenarnya, inilah pendidikan seks peringkat awak kepada anak-anak. Ingat yer, pendidikan seks bukan bererti kita mengajar anak-anak mengenai hubungan kelamin tetapi kita mengajar anak-anak mengenai keperluan menjaga hak diri sendiri dan menghormati diri orang lain.

Sebagai bapa, tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak bukan sekadar memberi makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Tanggungjawab seorang bapa juga adalah untuk memastikan wujud kebahagiaan di dalam rumahtangga… memastikan tidak ada berlaku perkara-perkara yang dilarang oleh syarak dan tidak ada perkara-perkara yang boleh menggugat keharmonian keluarga. Semoga anda berjaya menjadi seorang ayah, seorang bapa, seorang abi atau apa sahaja yang sinonim dengan ayah…. Yang bertanggungjawab dan dihormati oleh semua ahli keluarga. Selamat hari bapa.

**Buat bapaku: Ghazali Ebramsa… kaulah permata yang menyinari kehidupan kami adik beradik. Terima kasih di atas segala pengorbanan dan penat lelah menyara, membimbing dan mendidik kami menjadi seorang insan. Moga bapa sentiasa bahagia dan gembira….

****Siaran Jun 2006

Bila berlaku perceraian

Saya sering menerima aduan… “Saya dah tak larat lagi menanggung derita di dalam perkahwinan, sayang pada suami pun dah tak ada, masalahnya… saya tak dapat nak tamatkan perkahwinan ini kerana bimbangkan kebajikan anak-anak… saya tak bekerja, kalau berlaku perceraian, bagaimana saya nak sara anak-anak? Adakah saya akan mendapat hak jagaan anak-anak sedangkan saya tidak bekerja?” Bukan seorang dua tetapi memang ramai yang bertanya. Ada juga isteri yang bekerja, turut bimbang jika tidak mendapat hak jagaan anak-anak sekiranya berlaku perceraian kerana suami berpendapatan lebih tinggi.

Sememangnya, inilah dilema seorang wanita bergelar ibu, apa jua yang bakal dilakukan, matlamat utama adalah demi anak-anak. Anak-anak adalah segalanya di dalam hidup seorang ibu. Sepanjang hampir 8 tahun terlibat di dalam bidang guaman dan kaunseling keluarga ini pun, hanya satu kes seorang ibu enggan mendapatkan hak jagaan anak-anak, menyerahkan empat orang anak hasil perkahwinan dengan bekas suami dengan kata-kata: awak ambillah semua anak-anak, lepas eddah ni, saya nak kawin lagi, saya beranak semula la… memang agak mengejutkan saya tetapi bila meneliti fakta kes, patutlah… sememangnya wanita itu bukan seorang isteri dan ibu yang baik. Jauh di dalam hati, saya berdoa, moga Allah berikan pembalasan kepada wanita yang bercakap takbur itu.

Kembali kepada topik perbincangan… satu fakta hakikat yang tidak dapat ditolak atau dibantah oleh sesiapa pun juga ialah: Perceraian tidak memutuskan hubungan antara anak-anak dengan ibu atau ayah. Apa maksudnya? Seperti yang selalu saya tegaskan, hubungan anak-anak dengan ibu dan ayah adalah hubungan kekal hingga ke akhirat. Bererti, sekiranya berlaku perceraian dan hak jagaan anak-anak diberikan kepada satu pihak, satu pihak lagi tetap mempunyai hubungan dan bertanggung jawab ke atas kebajikan anak-anak. Sebagai contoh, jika anak-anak diserahkan kepada pihak isteri iaitu ibu maka suami iaitu ayah tetap wajib mengambil peranan sebagai ayah kepada anak-anak tersebut walaupun anak-anak tidak tinggal bersamanya. Kebiasaannya juga, hak jagaan anak-anak diserahkan kepada pihak ibu dengan mengambil kira beberapa alasan dan sebab. Antaranya, ibu sememangnya orang yang lebih sesuai dengan tugasan menjaga dan mendidik anak-anak.

Undang-undang keluarga Islam yang dipraktikkan di negara kita juga memberi hak kepada ibu untuk mendapatkan hak jagaan anak-anak, walaupun bukan mutlak tetapi kelebihan adalah kepada pihak ibu. Hak ayah berada di tingkat ketiga selepas nenek sebelah ibu. Betapa jelas sekali, anak-anak dan ibu adalah sukar dipisahkan. Sungguhpun begitu, peranan dan tanggung jawab sebagai ayah tetap kekal. Ayah tetap wajib memberi nafkah yang patut dan perlu kepada anak-anak. Seorang ayah wajib menyara segala keperluan anak-anaknya meliputi makan minum, pakaian, kesihatan, pendidikan dan segala keperluan sehingga anak yang lelaki mampu berdikari sendiri dan anak yang perempuan pula mempunyai suami.

Alasan si ayah telah mempunyai keluarga baru tidak boleh diguna pakai untuk menafikan tugas dan tanggung jawab ini. Bukan sahaja wang belanja, kasih sayang dan perhatian juga tetap perlu diberikan kepada anak-anak. Lantaran itulah, pihak yang tidak mendapat hak jagaan anak-anak akan diberikan hak lawatan saban minggu atau bulan, bergantung kepada persetujuan dan perintah mahkamah. Jangan pula setiap bulan hanya hulur wang belanja, khabar berita langsung tak ditanya. Paling tak guna kalau tiada wang belanja, khabar berita pun tak ada, bila anak-anak dah besar panjang dan berjaya semuanya, barulah nak terhegeh-hegeh mengaku andalah ayah mereka… kalau tak diterima, jangan nak salahkan orang lain pula….

Bagi si ibu atau si ayah yang mendapat hak jagaan pula, jangan cuba memutuskan hubungan antara anak-anak dengan bekas pasangan anda. Yang terpisah hanyalah hubungan anda suami isteri dan bukannya hubungan ibu atau ayah dengan anak-anak. Jangan cuba meracun fikiran anak-anak agar membenci ibu atau ayah mereka. Baik atau jahat, dia tetap ibu atau ayah kepada anak-anak anda. Anda tidak boleh menafikan hakikat tersebut. Sewajarnya, anda ceritakan kepada anak-anak… anda terpaksa berpisah dengan pasangan anda kerana antara anda dan pasangan anda, sudah tiada jodoh untuk bersama.

Walaupun begitu, hubungan antara anak-anak dengan bekas pasangan anda tetap wujud dan akan kekal selamanya. Jika anak-anak anda telah mencapai usia baligh, di dalam undang-undang, maksima 11 tahun bagi perempuan dan 9 tahun bagi lelaki… anak-anak akan disuruh memilih untuk tinggal dengan ibu atau ayah. Bererti, anak-anak telah boleh diberitahu sedikit sebanyak sebab berlakunya perceraian antara anda dan suami tetapi harus diingat, jika sebab perceraian terlalu kritikal dan boleh mengganggu emosi anak-anak, sebaiknya anak-anak tidak tahu punca perceraian tersebut. Memang anak-anak akan sukar menerima tetapi hanya pada awalnya… jika anda bersabar, pandai mengambil hati anak-anak dan tidak memburukkan bekas pasangan anda, insyaAllah… anak-anak akan dapat menerima perceraian anda.

Paling penting juga, JANGAN lepaskan kemarahan anda terhadap bekas pasangan kepada anak-anak. Sebagai contoh menyamakan perangai anak anda dengan bekas pasangan anda…!!! Anda akan lebih memburukkan keadaan. Anak-anak akan merasakan dirinya juga tidak diperlukan oleh anda. Ketahuilah, telatah anak-anak hanyalah untuk mendapat perhatian anda kerana anak anda mulai rasa kekurangan di dalam hidupnya. Jangan sampai kekurangan tersebut menjadi satu kehilangan yang besar. Anda boleh berkawan dengan bekas pasangan anda. Bukan sesuatu yang pelik sebenarnya. Yang penting, apa jua yang anda lakukan, fikirkan kebajikan anak-anak kerana anak-anak adalah tanda cinta anda dan bekas pasangan anda satu ketika dulu… walau telah tiada cinta, anak-anak tetap permata paling berharga….

****Siaran Jun 2006

20 November 2008

Bagaimana melupakan?

Semalam, seorang isteri mengirim emel kepada saya, memohon pandangan, bagaimanakah caranya untuk dia melupakan segala kisah silam suaminya. Sebelum berkahwin, si suami pernah mengadakan hubungan dengan seorang wanita malah pernah terlanjur. Namun, si suami insaf setelah mengetahui wanita tersebut adalah isteri orang dan ibu kepada dua anak. Tidak lama selepas berkahwin, wanita isteri orang itu kembali menghubungi suaminya. Si suami bertindak menceritakan segalanya kepada si isteri, bimbang si isteri akan tersalah anggap. Suaminya juga tidak melayan wanita isteri orang itu dan berulangkali menukar nombor telefon bimbitnya agar wanita itu tidak dapat menghubungi. Kini, hampir dua bulan wanita tersebut mendiamkan diri namun si isteri tetap gelisah dan resah. Apatah lagi bila memikirkan keterlanjuran suaminya bersama isteri orang itu. Lantaran itulah, beliau inginkan petua, bagaimanakah beliau dapat melupakan semua itu?

Hmmmm… ingatan manusia bukanlah seperti disket komputer yang sesenang hati boleh di’delete’ dan anda tak mungkin memperolehi maklumat tersebut lagi. Bukan isteri muda ini sahaja yang mengalami masalah melupakan kisah silam suaminya malah semua orang mempunyai masalah yang sama. Jika berlaku sesuatu perkara yang tidak anda ingini di dalam hidup, anda pasti ingin melupakannya… jika boleh, anda ingin memadamnya dari ingatan anda seolah-olah ianya tidak pernah berlaku. Namun, yang menjadi masalahnya ialah, apabila anda berusaha untuk melupakannya, ianya semakin melekat di ingatan anda, betul kan?

Kenapakah ini boleh terjadi? Berusaha melupakan tetapi ianya makin membuatkan anda ingati perkara yang ingin dilupakan itu? Jika anda amati, sikap anda yang berusaha untuk melupakan itu sebenarnya adalah satu aktiviti mengingati perkara itu secara tidak anda sedar. Kenapa? Apabila anda cuba melupakan sesuatu, anda akan fikirkan mengenai perkara tersebut. Apabila anda memikirkan tentang perkara itu secara tidak langsung anda masih mengingati dan kerana itulah juga, anda sukar untuk melupakan sebaliknya anda makin ingat perkara yang ingin dilupakan itu.

Cara terbaik untuk mengingati ialah redha dengan segala yang telah terjadi. Semua itu adalah kehendak takdir. Percayalah, pasti ada hikmah di sebalik semua yang telah berlaku. Jangan paksa diri anda untuk melupakan perkara tersebut sebaliknya teruskan hidup anda seperti biasa. Biarkan semua itu berlalu dengan sendirinya. Sibukkan diri anda dengan sesuatu yang mampu mengalih fikiran anda daripada memikirkan tentang perkara itu. Sebagai contoh, ada orang yang dapat melupakan segala kekalutan hidupnya apabila menumpukan perhatian kepada kerjaya. Mungkin pada mulanya agak sukar tetapi anda perlu berusaha untuk mengalihkan perhatian anda daripada memikirkan perkara tersebut kepada memikirkan perkara lain.

Setiap daripada kita mempunyai daya kekuatan ingatan yang tersendiri dan paling penting, kita perlu mampu menguasai pemikiran kira. Jangan biarkan anda dikuasai oleh pemikiran anda. Percayalah, jika anda berjaya menguasai pemikiran anda, anda adalah insan yang berjaya membentuk hidup anda. Kenapa? Saya pasti, anda selalu dengar tentang kata-kata yang juga telah pun menjadi lirik lagu: jika kau fikirkan kau boleh, kau pasti boleh melakukan, jika kau fikirkan ragu-ragu, usahamu tidak menentu. Hayati kata-kata ini…. inilah kekuatan pemikiran.

Jika anda berusaha untuk menumpukan pemikiran anda kepada hidup anda hari ini dan akan datang, secara tidak anda sedari anda telah dapat melupakan perkara yang ingin anda lupakan itu. Memang sukar melupakan sesuatu itu terus. Selagi masih ada hayat, apa sahaja yang berlaku di dalam hidup, pasti tidak dapat kita lupakannya terus. Namun, anda pasti dapat melupakannya seketika. Apabila anda meneruskan hidup seperti biasa, sibukkan diri anda dengan perkara-perkara lain seperti kerjaya atau pembelajaran anda, anda tidak akan memikirkan perkara yang tidak ingin anda kenang itu. Itulah namanya melupakan seketika.

Apabila anda telah berjaya melupakan seketika, bila tiba masanya anda mengenang semula perkara tersebut, anda akan rasa betapa hikmahnya perkara tersebut berlaku. Paling penting juga, jangan jadikan perkara yang telah anda lupakan seketika itu sebagai perkara baru. Sebagai contoh, di dalam kes isteri yang mengirimkan emel kepada saya semalam, anda seharusnya bersyukur kerasa suami anda telah insaf dan sanggup berterus terang dengan anda. Suami anda juga berusaha untuk mengelakkan diri daripada dihubungi oleh wanita isteri orang itu. Sewajarnya, sebagai isteri, anda membantu suami anda mengharungi hidup seterusnya. Jangan hakimi suami anda atas kesalahannya yang lalu. Ingat! Jangan sesekali mengungkit mengenai keterlanjurannya itu. Anda perlu percaya, suami anda betul-betul insaf dan berubah. Segala yang telah berlaku, jadikan teladan dan sempadan. Dalam masa yang sama, anda perlu tanamkan kepercayaan di dalam diri suami anda bahawa anda percaya dia telah berubah.

Setiap manusia pernah melakukan kesalahan kerana kita manusia yang serba kekurangan. Jalani hidup anda bersama suami dengan helaian buku baru. Ingatlah, anda akan perolehi apa yang anda inginkan. Keinginan anda adalah apa yang anda fikirkan. Jangan lupa berdoa, moga Allah memudahkan segalanya. Bersedia untuk menerima apa jua ujian kerana hidup kita sememangnya satu medan peperiksaan. Bersedia juga untuk menerima apa jua halangan kerana hidup kita sememangnya satu medan perjuangan. Anda percaya semua ini… anda akan hidup bahagia dan tenang walau apa jua masalah mendatang, insyaAllah.

****Siaran Jun 2006

Bukan senang nak senang

Dalam proses menyediakan siri perbincangan mengenai perkahwinan mis-yar, tiba-tiba terdengar suara-suara kecoh membincangkan tentang isu Pok Leh, jurunikah palsu. Hmmm… teringat kes pertama yang saya kendalikan, tika itu masih belum bernama peguam atau perunding psikologi keluarga sebaliknya, saya masih seorang pelajar jurusan undang-undang syariah di UM. Pada tahun kedua, saya dan kawan-kawan diwajibkan menjalani latihan praktikal. Pilihan saya, pejabat agama daerah Kuala Muda. Seminggu di sana, saya terlibat di dalam satu perbicaraan. Dakwaan kes, atas kesalahan khalwat tetapi pasangan yang ditangkap itu mempertahankan bahawa mereka berdua sebenarnya adalah suami isteri.

Yang peliknya, bila disoal siapa wali perempuan? Wanita yang mengaku sebagai isteri menjawab tidak tahu. Si lelaki pula menjawab, saya tak tahu, semuanya abang angkat saya yang uruskan…abang angkat saya mintak saya sediakan RM3000 dan berjanji, dia akan uruskan semuanya. Sampai saat ini, saya masih teringatkan fakta-fakta menarik kes tersebut dan membuatkan saya senyum sendiri. Kenapalah sampai begitu sekali. Selesai perbicaraan, nyata sekali perkahwinan pasangan tersebut adalah perkahwinan palsu atau nikah sindiket. Lebih kurang sama lah dengan kisah Pok Leh yang konon kesiankan orang awam lantas bertindak menjadi jurunikah. Itu kisah Pok Leh yang memang nyata sekali mengambil kesempatan di atas nama kesian.

Tujuan saya mengutarakan isu Pok Leh ini ialah untuk pengajaran kepada anak gadis dan kaum wanita di luar sana. Jangan terikut-ikut dengan kehendak teman lelaki anda untuk mengambil jalan mudah bagi merealisasikan impian perkahwinan. Anda juga, jangan sesekali terfikir untuk bertindak mengambil jalan mudah sedemikian. Saya tahu, banyak kes perkahwinan atas nama jalan mudah ini. Ada yang pergi ke negara jiran untuk berkahwin setelah hasrat hati tidak direstui oleh ibu bapa ataupun pasangan sedia ada. Bukan sekadar tindakan anda menyalahi undang-undang tetapi dibimbangi tindakan anda itu turut bercanggah dengan kehendak syarak.

Islam menetapkan, setiap wanita sama ada gadis atau pun janda, perlu mempunyai wali untuk pernikahan. Walaupun ada peruntukan mengenai wali hakim, tidak semua gadis atau janda layak menggunakan wali hakim ketika pernikahan. Bagi pasangan yang ingin berkahwin tetapi dihalang oleh ibu bapa atas alasan yang tidak munasabah… kalau halangan daripada ibu bapa lelaki, tidak ada apa-apa halangan untuk pernikahan sebenarnya. Sekiranya halangan atas alasan tidak munasabah itu datang daripada ibu bapa pihak perempuan, maka pihak perempuan layak memohon daripada mahkamah syariah untuk mendapatkan kebenaran berkahwin menggunakan wali hakim. Kes-kes seperti ini dibicarakan atas aduan wali enggan.

Pihak mahkamah akan membicarakan kes wali enggan ini dengan mengambil kira pandangan dan pendapat bapa pihak perempuan, kenapakah si bapa enggan mewalikan perkahwinan si anak? Sekiranya pihak mahkamah berpuas hati bahawa keengganan si bapa adalah atas alasan yang tidak munasabah maka pihak mahkamah akan mengeluarkan perintah kebenaran kepada si gadis untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya menggunakan wali hakim. Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan alasan tidak munasabah? Alasan tidak munasabah yang dimaksudkan di sini ialah alasan yang tidak wajar diterima menepati kehendak syarak. Sebagai contoh, hubungan terhalang kerana pihak lelaki dan pihak perempuan tidak sama taraf pendidikan atau harta. Walaupun ada istilah kufu di dalam Islam namun kufu yang dimaksudkan bukanlah daripada sudut harta kekayaan. Kufu yang wajar dipertimbangkan ialah pengamalan seseorang terhadap agamanya.

Begitu juga dengan kes berkahwin tanpa pengetahuan pasangan sedia ada atau poligami. Islam tidak mensyaratkan secara terperinci bahawa poligami itu dengan kebenaran atau pengetahuan isteri sedia ada. Namun, atas nama kejujuran dan keikhlasan di dalam berkasih sayang, isteri sedia ada wajar diberitahu tentang maksud anda untuk berpoligami. Kepada wanita yang berhajat untuk berkongsi suami, jangan ketepikan ‘kakak’ anda. Jangan fikir anda telah menang di dalam perebutan kasih. Saya tidak katakan anda perampas kerana anda berkongsi tetapi jika anda menyalahgunakan perkongsian yang dibenarkan di dalam Islam, anda memang seorang perampas. Jika tidak ingin disebut sebagai perampas, gunakanlah jalan yang betul untuk merealisasikan impian anda berkongsi kasih.

Kenapa perlu bertindak secara sembunyi? Bimbang dimarahi ‘kakak’ anda? Bimbang dipandang jelik oleh masyarakat? Lantas mengambil jalan mudah? Usah diutamakan kebimbangan yang ada. Anda hanya ingin berkongsi kasih, bukan merampas kasih. Tindakan secara sembungi bukan sahaja membuatkan anda dimarahi tetapi memungkinkan hak anda sebagai isteri tidak terbela. Anda perlu ingat, jika perkahwinan anda tidak sah di sisi undang-undang, hak anda sebagai isteri sukar untuk dikecapi. Jika perkahwinan anda tidak sah di sisi syarak, anda telah mengorek lubang kubur anda sendiri.

Nasihat saya kepada pasangan yang niat perkahwinan mereka terhalang atau mendapat tentangan, jangan guna jalan mudah. Islam tidak pernah menyusahkan kita sebaliknya memudahkan. Undang-undang, biarpun banyak prosedurnya, juga untuk kemudahan kita. Bersusah-susah dulu, bersenang-senang kemudian… bukan senang nak senang….

****Siaran Jun 2006

12 November 2008

Suami ketua rumahtangga penyumbang nafkah keluarga

Saya yakin, semua orang tahu pernyataan ini. Suami sememangnya sinonim dengan gelaran ketua, raja, kepala atau apa saja yang maksudnya adalah satu dan sama, menjadi ketua kepada semua ahli di dalam keluarga…. mengepalai isteri dan anak-anak. Masalahnya, berapa ramaikah lelaki yang menjadi suami dan ayah sekarang ini yang benar-benar menjalankan tugas, peranan dan tanggung jawab sebagai ketua rumah tangga???

Jika anda peminat siri cerekarama siaran TV3, pasti anda masih ingat satu kisah penuh pengajaran: Episod Terakhir. Saya bukan pengkritik filem atau drama namun jika ada kesempatan, saya memang gemar menonton cereka yang pada pendapat saya, kisah-kisah yang disiarkan itu kebanyakannya adalah lakonan semula kisah hidup yang benar-benar berlaku di dunia realiti yang dialami oleh individu-individu tertentu. Episod Terakhir adalah satu contoh realiti kehidupan kini kerana beberapa hari sebelum tersiarnya cereka tersebut, saya menerima beberapa emel yang aduan kisah emel-emel tersebut, hampir sama dengan masalah yang dialami oleh Suzila…. dilema seorang isteri apabila suami enggan bekerja.

Bukan satu dua kes tetapi dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, saya menerima 6 panggilan dan 10 emel, semuanya satu aduan, suami malas bekerja. Bukan dua bulan ini sahaja malah sebelum ini juga, dah banyak kes yang serupa. Satu kes, si isteri tetap bersabar dan masih setia memberi peluang walau telah 11 tahun si suami enggan bekerja dan hanya bersenang dengan hasil pendapatan isteri. Sabar ada batasnya, bila peluang diberi tetap disiakan, ada bukan menyenangkan malah menyusahkan maka penghujung Februari yang lalu, si isteri dengan tenang hati merelakan diri menjadi ibu tunggal.

Pelik kan? Bukannya tak tau memberi nafkah dan menanggung perbelanjaan rumah tangga adalah kewajipan suami. Masih tak faham? Apa yang tak faham lagi? Kalau tak ada ilmu agama sekali pun, adat masyarakat jelas mengatakan bahawa suami berkewajipan ke atas isteri dan anak-anak. Berkewajipan dalam erti kata perlu memberi makan minum, pakaian dan tempat tinggal yang sesuai untuk isteri dan anak-anak. Itu adalah kewajipan asas, belum dikira tanggung jawab mendidik, membimbing, memberi ilmu kepada isteri dan anak-anak. Sekarang ini pun, dah ada kursus perkahwinan yang wajib dihadiri oleh setiap bakal suami. Antara kandungan kursus ialah tentang peranan dan tanggung jawab seorang suami. Nyata dan jelas sekali antara tugas, peranan, tanggung jawab dan kewajipan seorang lelaki setelah bernama suami ialah menjaga kebajikan isteri dan anak-anak iaitu menjaga makan minum, memberikan pakaian dan tempat tinggal yang selesa serta membimbing isteri dan anak-anak ke jalan yang diredhaiNya.

Menjaga makan dan minum bermaksud memberi isteri dan anak-anak makanan yang cukup dan sesuai. Kalau anda makan nasi berlaukkan ayam goreng, isteri dan anak-anak juga perlu diberi makan nasi berlaukkan ayam goreng. Bukannya anda makan ayam goreng, isteri dan anak-anak makan bilis goreng. Bukan juga bila isteri makan ayam goreng, isteri perlu suapkan anda dengan ayam goreng. Kenapa tak boleh? Kerana tanggung jawab memberi nafkah adalah tanggung jawab anda sebagai suami. Bukan tanggung jawab isteri walaupun isteri anda berpendapatan dua atau tiga kali ganda daripada anda. Bukan isteri tak boleh menolong suami… boleh!!! Masalahnya kebanyakan kes, bila suami ditolong, suami mula lupa diri. Beban tanggung jawab suami dipikul sepenuhnya oleh si isteri, ada suami lebih teruk dari adanya melukut di tepi gantang… dah ler makannya nak disuapkan, tidurnya nak diulik saban malam, penat isteri tak dipeduli, duit tak diberi malah diminta lagi…. ini ker lelaki yang mengaku … aku suami, aku ketua famili, kata-kataku arahan yang perlu dipatuhi… kalau perut sendiri tak mampu diisi tanpa simpati isteri, tak perlulah nak mendabik dada meninggi diri… sedarlah diri tu sikit!!

Para suami perlu ingat, walau sekadar lima sen jumlah duit isteri yang anda gunakan, ianya adalah hutang yang perlu anda bayar walau isteri anda tidak menuntutnya. Kenapa dikira hutang? Kerana asasnya jelas… menyara isteri dan anak-anak adalah tugas dan tanggung jawab anda. Tak kira berapa pendapatan anda. Tak kira walau isteri anda bekerja. Tak kira walau pendapatan isteri anda melebihi pendapatan anda. Asas fakta tetap sama, sebagai suami… anda adalah penyumbang nafkah keluarga. Jika pendapatan anda kecil, anda boleh lakukan kerja lain untuk menambah pendapatan. Jangan gunakan alasan, “Aku dah bekerja, ini saja yang mampu aku adakan maka dah lepas dah tanggung jawab aku….” Itu bukan alasannya.

Jangan juga jadikan alasan, isteri bekerja dengan izin anda maka pendapatan isteri adalah hak anda. Seperti yang pernah saya tegaskan, nilai setitis liur kurniaan Allah kepada anda tidak sama dengan nilai keringat dan tenaga yang isteri anda gunakan untuk memperoleh sejumlah pendapatan pada setiap ujung bulan. Itu jika isteri anda bekerja… jika isteri anda suri rumah pula, realitinya isteri anda wajar dibayar kerana melakukan kerja-kerja rumah… memasak, mengemas, mendidik anak-anak… hatta Islam menetapkan bahawa isteri wajar dibayar bagi setiap titisan susu yang masuk ke mulut anak anda.

Sebegitu sekali tanggung jawab suami sebagai penyumbang nafkah keluarga. Berapa ramai yang benar-benar mempraktikkannya???

****Siaran Mei 2006

06 November 2008

Janji mudah diucap sukar dilaksana

Sebelum keluar untuk ke pejabat pagi ini, telinga saya menangkap satu lagu dendangan Aishah, Janji Manismu… terus minda saya teringatkan wanita yang tidak sempat merayakan ulangtahun perkahwinannya yang pertama gara-gara kerenah ibu mertua dan suami sendiri yang memungkiri janji. Saya tahu, memang sukar bagi wanita muda tersebut untuk menerima hakikat kekecewaan dan penipuan daripada seorang lelaki yang telah dicurahkan sepenuh kasih dan sayang namun akhirnya, diri ditinggalkan sendirian bersama segala impian dan harapan yang pernah dibina bersama. Namun, seperti yang selalu yang saya tegaskan, biar apa pun ujian dan halangan yang diterima, hidup perlu diteruskan dengan tekad dan azam bahawa satu hari nanti, pasti ada kebahagiaan, insyaAllah. Di samping keazaman tersebut, segala ujian yang pernah dialami perlu dijadikan tauladan dan sempadan. Sempadan inilah yang ingin saya kongsi dengan pembaca semua kali, jangan mudah menerima dan mempercayai segala janji.

Memang tidak dapat dinafikan, di dalam agenda berkasih sayang, janji dan sumpah setia adalah pengisian utama. Seperti yang pernah saya bincangkan dulu, kalau nak berjanji, biarlah janji yang kita mampu laksanakan dan memang wajar ditepati. Ingat lagi kisah isteri kedua yang tidak menerima apa-apa nafkah zahir daripada suami lantaran telah ada perjanjian sebelum perkahwinan: si isteri tidak akan menuntut sebarang nafkah zahir daripada suami asalkan mereka berdua dapat hidup bersama sebagai suami isteri. Memang benar si suami menunaikan janji tetapi natijahnya kepada si isteri yang terpaksa hidup sendiri menanggung anak-anak sedangkan si suami dengan riangnya memewahkan hidup isteri pertama. Sendiri cari penyakitlah namanya tu kan!!! Kenapa sendiri cari penyakit? Sebab, menerima janji yang memang tidak wajar. Jelas sekali, tanggungjawab nafkah adalah di bahu suami. Walaupun telah ada perjanjian, ianya langsung tidak menidakkan tanggungjawab tersebut. Malah, apa juga perjanjian atau memo atau apa juga namanya yang boleh dianggap sebagai satu ikrar bersama antara bakal suami dan bakal isteri, akan terbatal dengan sendirinya sekiranya isi-isi perjanjian tersebut menyalahi undang-undang dan syarak.

Kembali kepada wanita A, yang sedang cuba membina semangat diri. Tabahlah wahai srikandi. Kau memang srikandi kerana bersedia dilepaskan si suami yang sungguh tidak pandai menghargai. Jadikanlah segala yang berlaku sebagai pengajaran, untukmu dan anda semua wahai kaum wanita di luar sana. Pengajaran??? Ya!! Jangan mudah percaya kepada kata-kata manis lelaki terutama lelaki yang ‘diikat’ langkahnya oleh ibu atau ayah, di dalam kebanyakan kes, si ibu lebih mendominasi. Mengimbas sejarah perkahwinan wanita A, impian untuk membina mahligai perkahwinan telah dipupuk sejak lebih 5 tahun. Tertangguh kerana ibu si lelaki enggan menerima A sebagai menantu pilihan. Namun, ketetapan Ilahi, jodoh antara mereka tetap ada apabila si lelaki mengambil tindakan mengahwini A tanpa pengetahuan ibunya. Suami A berjanji akan membahagiakan hidup A walau apa juga halangannya dan meyakinkan A, dia akan berjaya memujuk ibunya. Bukan itu sahaja, A berikrar akan menjaga A dan akan tetap memelihara cinta suci mereka. Siapa yang tak ceria menerima janji bahagia sebegitu?

Namun, siapa sangka…. beberapa bulan sahaja selepas berkahwin, A dicaci maki oleh ibu mertuanya dan suaminya dipaksa menceraikannya dengan alasan, jika si anak tidak mendengar cakap si ibu maka si anak akan menjadi anak derhaka. Kesudahannya, seperti perbincangan saya pada episod minggu lepas lah. Begitu mudah sekali si suami melupakan janji. Biar atas alasan apa pun juga yang diguna pakai oleh si suami, lelaki tersebut tetap memungkiri janji dan si isteri yang terpaksa menanggung derita. Lantaran itulah, kepada kaum wanita di luar sana, sama ada anda gadis, isteri atau janda, jangan mudah terpedaya dengan janji. Periksa dan teliti janji-janji yang anda terima sebelum mempercayai dan menyimpan harapan dengan janji tersebut.

Memang susah… memang payah janji akan terlaksana sekiranya janji-janji itu melibatkan kepentingan ibu dan bapa. Kenapa? Sama seperti kes A tadilah, mudah saja si suami memungkiri janji kerana tidak mahu menjadi anak derhaka. Lantas, jika teman lelaki anda tetap ingin mengahwini anda walaupun tanpa pengetahuan dan izin ibu dan bapanya, nasihat saya… jangan terima. Memang ada kes suami tetap setia namun peratusan kekecewaan itu lebih ketara. Ada sesetengah kes, perkahwinan tetap kekal tetapi tidak ada kebahagiaan antara pasangan. Apa guna perkahwinan jika untuk derita???

Bukan saya katakan, semua janji tidak boleh dipercayai tetapi apa yang ingin saya tegaskan ialah berhati-hati mengucapkan dan menerima janji. Berjanji memang mudah, sekadar menggunakan liur yang tak perlu dibayar satu sen pun. Masalahnya ialah pelaksanaan. Melaksanakan janji memang berat dan amat payah. Ianya memerlukan satu pengorbanan yang tidak ternilai harganya. Janji yang paling sukar dilaksana ialah janji yang mempunyai kaitan dengan pendirian ibu dan ayah. Jika anda berada di dalam situasi tersebut, berwaspadalah. Bukan saja janji setia selepas perkahwinan malah kepada para gadis, jangan tertipu dengan janji si dia yang inginkan tubuh anda sebelum masanya, maksud saya sebelum anda halal menjadi miliknya. Jika anda percaya, anda bukan sahaja menjadikan diri anda seorang penzina malahan anda menempah tiket ke lorong hina kerana kebanyakan kes, mangsa janji hina ini akan hilang kepercayaan diri apabila ditinggalkan kekasih hati.

Kata pantun lama, kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji…. Namun di era kemajuan kini, kerbau hanya untuk dikorbankan… mungkin kerana itulah, janji juga sukar dilaksanakan. Jika anda tidak mahu dipanggil penipu, usah berjanji sesuka hati. Sekali anda diragui, seribu kali anda sukar dipercayai.

****Siaran Mei 2006

05 November 2008

Berkorban biarlah bertempat

Kita masih di dalam kemeriahan menyambut hari ibu. Sekali lagi, fokus saya kali ini berkaitan dengan ibu, mama, emak atau apa sahaja panggilan yang sewaktu dengannya. Semua orang tau, ibu adalah insan yang sanggup berkorban nyawa demi anak-anak. Jarang sangat kita dengar ibu buat tak elok kepada anak-anak walaupun memang tidak dapat masih ada kes yang dilaporkan, ibu mendera anak, ibu membuang bayi dan beberapa kes lagi. Walau mungkin satu dalam seribu dan walau apa pun alasan atas perlakuan tersebut, hakikat yang tidak boleh ditolak, ibu adalah insan yang pengasih dan penyayang. Insan yang sanggup melakukan apa saja demi kebahagiaan anak-anak tercinta.

Jika anda mengikuti kisah seorang ibu tunggal yang menggunakan tulang empat kerat membesarkan enam orang anak selepas kematian suaminya, tika itu beliau berumur 31 tahun dan anak-anak berusia antara 15 hingga 5 tahun, pasti anda terharu dengan pengorbanan ibu tersebut. Beliau sanggup melakukan berbagai jenis pekerjaan demi membesarkan anak-anak. Beliau mengambil upah menoreh getah, menjual kuih dan berbagai jenis kerja lagi termasuklah mencuci pakaian sebuah keluarga dari bangsa asing. Beliau hanya bertahan sebulan melakukan kerja mencuci pakaian kerana tidak sanggup menggadai harga diri mencuci pakaian dalam keluarga tersebut. Demi harga diri dan anak-anak, beliau tabah berusaha mencari rezeki yang halal dan kini, keenam-enam anaknya telah berjaya di dalam hidup masing-masing. Inilah satu contoh yang perlu diikuti oleh semua para ibu.

Kenapa saya katakan contoh? Kerana, ibu ini berkorban demi anak-anak tanpa mengenepikan harga dan maruah diri. Inilah yang dikatakan berkorban kena pada tempatnya. Malangnya, ada di kalangan para ibu sekarang ini, yang mengenepikan harga diri dengan alasan berkorban demi anak-anak. Saya pasti ramai yang pernah dengar pengakuan mereka yang menjual diri, banyak disiarkan di media-media massa…. Kami bukan suka lakukan pekerjaan ini tetapi demi anak-anak…

Astaghfirullah….!! Saya tahu, memang banyak kes ibu tunggal hasil perceraian hidup terpaksa menanggung keperluan anak-anak sendiri kerana bekas suami tidak menunaikan tanggungjawab tetapi kenapalah sampai perlu menggadaikan harga diri? Bukan sahaja menggadai harga diri tetapi anda telah melakukan perbuatan yang dilarang oleh agama dan menyalahi norma masyarakat. Ada banyak cara lain untuk anda mencari rezeki demi anak-anak. Ada ibu yang bekerja mengutip tin-tin aluminium untuk dijual, ada ibu yang bersengkang mata membuat jualan, ada ibu yang bekerja menjadi pembantu rumah…. banyak lagi kerja halal lain yang boleh anda lakukan demi mencari sesuap nasi untuk anak-anak. Terpaksa? Darurat? Apa yang daruratnya? Matlamat tidak menghalalkan cara.

Bayangkanlah, apa reaksi anak-anak jika mereka tahu anda menyuap mulut mereka dengan melacur diri? Ini bukan zaman Jepun yang sejarahnya memang sukar untuk hidup. Sekarang ini zaman serba mudah, yang penting anda kuat, tabah dan tidak mudah putus asa. Saya teringat kisah yang diceritakan oleh seorang kawan tentang pembantu rumah jirannya. Pembantu berbangsa Indonesia itu selalu menangis apabila melihat anak kecil kawan saya itu kerana teringatkan anaknya yang terpaksa ditinggalkan di Indonesia sebaik sahaja habis tempoh berpantang. Semasa perbincangan ini ditulis, telah hampir setahun beliau tidak bertemu dengan anak kecil dan tiga anaknya yang lain. Menurut ceritanya, beliau terpaksa bekerja demi membantu suami menyara keluarga. Saya yang mendengar, dapat membayangkan betapa hibanya hati ibu yang bekerja sebagai pembantu tersebut.

Inilah sebenarnya pengorbanan. Berkorban tanpa mengenepikan harga diri, norma masyarakat dan tuntutan agama. Pengorbanan anda bukan sahaja akan dihargai malah akan dikenang oleh anak-anak, insyaAllah. Sebaliknya, jika anda melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan harga diri sendiri walaupun anda katakan anda melakukannya demi anak-anak, anak-anak yang mengetahui kerja yang anda katakan satu pengorbanan untuk anak-anak pun pasti akan mencemuh. Bukan menghina tetapi malu dengan perbuatan anda.

Ingat lagi perbincangan saya tentang rezeki penentu bahagia. Mungkin ada kes anak-anak mereka yang melakukan kerja menjual diri ini berjaya di dalam hidup… saya katakan mungkin kerana saya sendiri tidak ada maklumat yang pasti. Cuma, secara logiknya memang tidak ada kebahagiaan jika mencari rezeki menggunakan cara yang dilarang agama dan dipandang hina oleh masyarakat. Bukan sahaja menjual diri malahan mencuri, menyamun ataupun curi tulang semasa melakukan kerja yang halal pun, menghasilkan rezeki yang haram… nauzubillah… apa pun, semua dengan kehendakNya. Jika Allah izinkan, walau si anak disuap dengan makanan dari sumber yang haram, anak-anak tersebut akan menjadi insan yang akan membawa ibunya ke pangkal jalan.

Nasihat saya kepada mereka yang terlibat dengan aktiviti tidak baik ini, insaf dan taubatlah jika anda betul-betul sayangkan anak-anak anda. Tunjukkanlah pengorbanan yang boleh anak-anak anda banggakan. Jangan sampai anda menyesal di belakang hari apabila anak-anak enggan mengakui anda sebagai ibu atau ayah mereka.

****Siaran Mei 2006

Restu ibu asas bahagia

Ibu mithali, ibu sejati, tunggak pada keluarga bahagia, kaulah pembimbing, pendidik, pengasuh, sikapmu penyayang, pengasih…. Inilah antara lirik lagu atau nasyid bertajuk Ibu Mithali yang saya pasti, tika ini… amat hangat dan laris dikeudarakan sempena sambutan Hari Ibu. Seingat saya juga, lagu ini memang telah lama dinyanyikan, sejak saya masih di sekolah rendah lagi. Saya pasti, memang ramai yang mahir mendendangkan lagu ini. Saya juga yakin semua orang tahu kata-kata azimat “Syurga di bawah tapak kaki ibu” walau tak semua mempraktikkan sebagai mana yang sewajarnya. Namun, kali ini, bukan tujuan saya untuk membincangkan tentang kepentingan mempraktikkan kata-kata azimat tersebut kerana semua orang sedia maklumi kepentingannya walaupun pernah tersilap praktik seperti kes yang telah saya bincangkan pada keluaran dua minggu yang lalu.

Sempena hari kebesaran, Hari Ibu… saya berminat untuk berkongsi dengan pembaca semua tentang peranan sebenar sebagai seorang ibu. Saya ada ibu atau yang saya panggil Mak, Che Su namanya. Saya juga ibu atau anak-anak memanggil saya sebagai Ummi. Tak kiralah apa juga namanya, ibu, mak, ummi, mama, mami… semua orang mempunyai ibu. Anda tak mungkin wujud di dunia ini tanpa adanya ibu. Memang penipuan yang nyata jika anda mengakui, anda tidak mempunyai ibu. Mungkin ibu anda tidak berkesempatan atau enggan mengambil tanggungjawab memelihara dan mendidik anda namun ibu anda tetap berjasa kepada anda. Jasa yang tidak dapat anda balas atau bayar walau dengan apa juga harganya. Ya, ibu anda berpenat lelah mengandungkan anda selama sembilan bulan 10 hari malahan ada kes-kes istimewa, melebihi tempoh tersebut seperti ibu saya mengandungkan adik bongsu saya yang kini belajar di sebuah sekolah di Melaka, selama tempoh 13 bulan. Bukan sekadar penat lelah mengandung yang kerap kali mempunyai segala macam alahan, ibu anda juga menyabung nyawa untuk melahirkan anda ke dunia. Betapa besarnya pengorbanan ibu anda. Lantaran itulah, sebagai anak, kita wajib menghormati dan mentaati ibu.

Semua ibu tau, anda mempunyai kuasa besar. Sebagai ibu, anda penentu kebahagiaan hidup anak-anak anda. Bagi yang beragama Islam, redha Allah kepada anda hanya wujud apabila ibu anda restui diri anda. Malah, kepercayaan agama lain juga sama, ibu unggul di takhta teratas. Betapa anda, sebagai ibu, dimuliakan dan diberi penghormatan yang tinggi. Malangnya, kebelakangan ini ramai ibu yang menyalah gunakan kuasa istimewa ini. Jika anda mengikuti ruangan ini pada keluaran 2 minggu yang lepas, seorang ibu meminta anak lelakinya menceraikan isteri, menantu yang bukan pilihan hatinya dengan memberi alasan, jika si anak enggan mengikut katanya maka si anak adalah anak derhaka. Inilah salah satu contoh salah guna kuasa yang saya maksudkan.

Ya, saya faham, ibu punya perasaan. Ibu punya hati. Ibu berhak membuat pilihan. Tetapi, harus diingat, ibu adalah insan yang terkenal dengan sifat pengasih dan penyayang. Sebagai ibu juga, sudah pasti anda inginkan kebahagiaan anak-anak anda. Jangan mendabik dada… aku ibu, aku tau apa yang terbaik untuk anakku… dalam sesetengah keadaan dan situasi, mungkin benar telahan anda itu. Tapi banyak juga kes yang membuktikan, terbaik pada mata ibu, bukan terbaik untuk anak-anak. Jika ibu sinonim dengan sifat pengasih dan penyayang, kenapa anda perlu bertindak sebaliknya? Anda kejam jika menolak tepi pilihan hati anak-anak semata-mata tidak memenuhi ketidak wajaran yang anda tetapkan. Ketidak wajaran yang bagaimana? Sebagai contoh, anda tidak suka pilihan hati anak anda kerana kurang cantik atau kurang tampan konon kurang padan dengan anak anda yang kacak bergaya atau jelita menawan. Atau anda tidak suka pilihan hati anak anda kerana dari kalangan kurang berharta sedangkan anda, punya harta dan kedudukan.

Tahukah anda, anak anda yakin akan bahagia dengan pilihan hatinya. Kenapa anda perlu mengenepikan keyakinan yang ada di dalam diri anak anda? Kenapa anda tegar memaksa anak anda berpisah atau paling tragis memaksa berlakunya satu perceraian. Anda memang zalim dan kejam. Betapa hinanya anda kerana menghancurkan sebuah perkahwinan, meruntuhkan sebuah masjid.

Ke mana perginya sifat pengasih dan penyayang anda? Sifat pengasih dan penyayang bukan hanya kepada anak anda tetapi anak orang lain juga, kepada menantu anda. Tidak terfikirkan anda betapa deritanya hati bekas pasangan anak anda gara-gara sikap kejam anda itu? Tidak terfikirkah anda, anak anda mungkin tidak bahagia walaupun memenuhi kehendak anda mengahwini pilihan hati anda? Kecualilah jika anda yakin, bakal pasangan anak anda memang dari kalangan mereka yang tidak baik akhlaknya. Anda memang berhak menghalang. Namun, jika telah ada ikatan suami isteri, jalan terbaik adalah menerima menantu anda itu sebagai anak sendiri, didik dan bimbinglah dia menjadi insan yang baik akhlaknya.

Restu ibu asas bahagia. Jika anda benar-benar seorang ibu, anda akan berusaha melakukan apa sahaja demi kebahagiaan anak-anak anda. Anda sanggup korbankan pilihan hati anda dan memujuk diri untuk menerima pilihan hati anak anda seadanya. Jika anak anda melakukan sesuatu yang menyalahi kehendak anda, anda akan menerimanya dengan hati terbuka dan merestui dengan doa agar apa jua pilihan anak anda, anak anda akan menemui bahagia. Jika anak anda menerima kecelakaan, jangan pula memaki sesuka hati. Ingat, kata-kata ibu ibarat doa. Jika baik yang keluar dari mulut anda, baiklah jadinya. Akhir kata, sayangkan anak… doakan kebaikannya. Selamat hari ibu!!!

****Siaran Mei 2006

03 November 2008

Hak ibu bapa tanggungjawab anak

Suasana sambutan Hari Ibu masih panas terasa. Sepanas goreng pisang yang memang meriah diniagakan di merata tempat. Lantaran itulah saya merasa terpanggil untuk membincangkan mengenai hak seorang ibu yang menjadi tanggungjawab seorang anak. Namun, saya tidak berhajat untuk membincangkan isu ini secara global. Tumpuan saya kali ini adalah kepada hak seorang ibu daripada anak-anaknya yang telah mendirikan rumahtangga. Seperti yang acapkali saya jelaskan malah semua orang mengetahui, hak ibu yang paling utama ialah untuk ditaati. Syurga di bawah tapak kaki ibu adalah kata-kata yang memang semua maklumi. Setiap anak wajib mentaati ibu. Ibu lebih wajib ditaati berbanding ayah. Namun, bagi seorang wanita, ketaatan kepada ibu jatuh di tempat kedua kerana ketaatan kepada suami menerajui takhta.

Saya yakin, kebanyakan wanita tahu tentang tahap ketaatan yang berubah kedudukan ini. Malangnya kebanyakan lelaki masih tidak mengerti tahap ketaatan yang sebenar kepada seorang ibu atau lebih jelas lagi, tanggungjawab sebenar seorang anak lelaki kepada ibu dan ayahnya setelah si anak berumahtangga. Terlalu banyak aduan kes yang saya terima, suami mengabaikan tanggungjawab menyediakan keperluan rumahtangga kerana segala pendapatan suami digunakan untuk memenuhi kehendak ibu bapa dan adik beradik yang lain. Bila isteri meminta belanja, suami akan mengherdik marahkan isteri konon isteri tidak memahami tanggungjawab suami terhadap ibu bapa dan adik beradiknya. Persoalannya, siapa yang sebenarnya tidak faham?

Realitinya, seorang lelaki… apabila telah berkahwin, keutamaan tanggungjawab adalah kepada isteri dan jika ada anak, kepada anak-anak. Sekiranya ada baki atau lebihan daripada keperluan diri sendiri, isteri dan anak-anak barulah boleh diberikan kepada ibu dan bapa. Seorang ibu tidak boleh mendesak anak lelakinya untuk menyara dirinya atau bapanya atau adik beradiknya yang lain. Jika si ibu masih mempunyai suami iaitu si bapa maka bapa yang bertanggungjawab menyara si ibu dan adik beradik yang lain. Jika si ibu telah kematian suami atau bercerai hidup dan tidak disara oleh suami, si ibu harus menyara dirinya dan anak-anak yang lain dengan kudrat dirinya sendiri. Bukannya setelah si ibu bersusah payah memelihara si anak maka sebagai balasan, si anak pula perlu menyara hidup si ibu dan adik beradik yang lain hingga mengabaikan tanggungjawab si anak yang lebih utama.

Walaupun isteri si anak bekerja dan mampu mengambil alih tugas suaminya menanggung belanja keperluan rumahtangga, kemampuan si isteri itu tidak menamatkan tanggungjawab seorang anak lelaki bernama suami sebagai kepala dan ketua di dalam rumahtangga. Perlu diingat, segala pendapatan isteri adalah hak mutlak isteri. Jika suami menginginkan hasil pendapatan isteri maka ianya adalah satu hutang yang tetap perlu dibayar walau isteri tidak menuntutnya. Jangan sesekali memberi alasan, hasil pendapatan isteri adalah hak suami kerana suami memberi izin kepada isteri untuk bekerja… sesiapa yang memegang kepada prinsip ini, sungguh terbukti betapa bodohnya diri anda. Biarpun isteri anda bekerja dengan izin anda, anda tetap perlu mendapatkan izin isteri untuk menggunakan hasil pendapatannya. Memberi izin dengan air liur kurniaan percuma dari Yang Maha Esa tidak sama dengan titik peluh yang terpaksa isteri anda keluarkan untuk memperolehi sejumlah pendapatan yang diperolehi setiap hari atau setiap ujung bulan. Mungkin kebenaran ini agak keras untuk diterima tetapi inilah yang sebenarnya.

Namun, seperti yang sering saya tegaskan, hidup berumahtangga adalah satu perkongsian. Suami berkongsi hak dengan isteri. Isteri juga wajar berkongsi hak dengan suami. Memang tidak dapat dinafikan, di dalam kehidupan serba maju kini, kebanyakan isteri perlu bekerja untuk membantu suami. fahami betul-betul….membantu suami bukan mengambil alih peranan dan tanggungjawab suami. Masalahnya, ada di kalangan suami yang mengenepikan urusan rumahtangga sendiri semata-mata memenuhi kehendak ibu bapa dan paling tragis, ada isteri yang memikul tugas suami kerana si suami menanggung keperluan kakak atau adik yang ditinggalkkan suami. saya bukan menghalang anda menolong keluarga sendiri apatah lagi menolong ibu bapa yang bersusah payah untuk anda tetapi pertolongan anda itu biarlah sesuai dan munasabah. Munasabah bererti jangan sampai anda mengabaikan tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak.

Kalau anda berhasrat untuk membantu ibu bapa anda sepenuhnya dan hasil pendapatan anda cukup-cukup untuk tugasan itu sahaja, kenapa anda berkahwin? Semata-mata ingin melangsaikan nafsu sendiri? Tahukah anda, apabila anda mengahwini seorang wanita bererti anda mengambil peranan dan tanggungjawab menjaga makan minum, pakaian, tempat tinggal dan segala kebajikannya. Jangan fikir… tak apa lah… cukup aku berikan mani walau aku tak boleh berikan money!!! Ibu bapa dan adik beradik juga harus ingat dan faham hak anda setelah anak lelaki anda atau saudara lelaki anda berkahwin. Jangan sesenang hati meminta itu ini… kalau sesekali memohon bantuan masih boleh diterima. Dah kalau sepanjang masa, apatah lagi bukan untuk keperluan tetapi untuk kemewahan, memang logik kalau ada yang kena perli sebagai tak sedar diri.

Kepada ibu bapa… anda yang membentuk jati diri anak-anak anda. Jadikanlah anak-anak anda sebagai seorang yang bertanggungjawab. Jika anak lelaki, pastikan anak anda menjadi suami yang bertanggungjawab. Jika anak anda perempuan, pastikan anak anda menjadi isteri yang bertanggungjawab. Bahagia hidup anak anda bergantung kepada ketelusan anda.

****Siaran Mei 2006

Percayai diri sendiri

Beberapa hari yang lalu, saya menerima emel daripada seorang pembaca setia ruangan ini yang juga senama dengan saya. Kembar senama saya itu meminta pandangan, wajarkah dia, yang muda beberapa tahun sahaja daripada saya, menduduki peperiksaan SPM tahun ini? Menurut kembar senama saya itu, semasa remajanya, beliau banyak membuang masa dan tidak minat belajar. Sekarang ini, ketika usia melebihi suku abad, beliau mula sedar bahawa beliau ingin lakukan sesuatu dan amat berminat untuk melakukannya. Namun, untuk memenuhi minat dan impiannya itu, beliau perlu ada kelayakan dalam SPM. Soalan yang diajukan kepada saya, bolehkah dia menyertai calon-calon lain yang masih muda untuk berjuang pada akhir tahun ini?

Pada hari yang sama juga, saya menerima satu emel daripada seorang calon STPM pada tahun lepas. Menurut adik ini, tahun lepas adalah kali kedua beliau mempertarungkan diri dan nasib belum menyebelahi, beliau gagal kali pertama dan juga kali kedua. Akibat kegagalan kali kedua baru-baru ini, ibunya bersikap menyisihkan dirinya, langsung tidak mempedulikannya lagi, menyebabkan beliau merasa amat tertekan.

Dua situasi yang berbeza tetapi mempunyai satu jalan penyelesaian yang hampir sama. Jawapannya, percayai diri sendiri. Ya, memang satu perkara yang susah walau sebenarnya amat mudah. Kenapa saya katakan mudah? Kerana apa yang anda perlukan untuk percayai diri anda adalah DIRI ANDA SENDIRI! Tak perlu orang lain, cuma diri anda.

Dalam kes yang pertama, usia bukan penghalang seseorang untuk mencapai impian dan cita-cita. Selagi anda bernafas di atas muka bumi ini, selagi itulah anda berpeluang untuk memperbaiki diri. Hatta, jika anda pernah melakukan kesalahan atau dosa, pintu taubat masih sentiasa terbuka. Jika pintu kebahagiaan untuk kehidupan selepas mati masih ada, apatah lagi pintu kebahagiaan untuk kehidupan kini. Sebenarnya, anda berhak melakukan apa sahaja demi kebahagiaan hidup anda asalkan ianya tidak menyalahi kehendak syarak dan tidak melanggar norma masyarakat. Walau dalam apa jua perkara atau pekerjaan yang ingin anda lakukan, mesti ada azam dan semangat. Yang penting, percayakan diri sendiri. Anda yang mengawal diri anda. Bukan orang lain. Mudah kan??!

Kenapa? Sukar nak percayakan diri sendiri? Bagaimana nak percayai diri sendiri? Sama seperti anda percayakan seseorang, begitu jugalah anda perlu percayakan diri anda. Jika anda percaya orang lain boleh melakukan sesuatu dengan baik, anda juga perlu percaya bahawa anda juga boleh melakukan perkara yang sama. Semat di minda anda: Kalau orang lain boleh buat, kenapa aku tak boleh? Kalau orang lain tak boleh, tak semestinya aku tak boleh kerana aku boleh jadi orang pertama melakukan perkara tersebut. Kalau aku tak boleh kali pertama, tak semestinya aku takkan boleh selamanya!! Anda perlu ada keazaman seperti ini.

Di samping keazaman ini, anda perlu kuat dan tabah untuk hadapi ujian sekeliling antaranya seperti kes kedua, disisihkan orang terdekat malahan ada juga yang dihina dan diketawakan hanya kerana kegagalan anda. Jangan cepat mengalah, biarlah apa orang nak kata. Biarlah anda dihina atau disisihkan, yakinkan diri: Ini bukan harinya untuk aku berjaya, insyaAllah satu hari nanti, aku akan berjaya juga. Tanamkan semangat seperti ini di dalam diri, teruskan perjuangan dengan semangat dan usaha yang lebih lagi. Buktikan, anda mampu mencapai cita-cita dan kehendak anda. Buktikan, anda tidak mudah diketawakan.

Tiada yang mustahil!! Sejarah telah membuktikan bahawa keazaman, semangat dan sikap percayakan diri sendiri mampu membawa kejayaan dan kebahagiaan. Anda lihat kapal terbang… bandingkan dengan basikal. Basikal kecil dan ringan tetapi hanya mampu bergerak di daratan. Sebaliknya kapal terbang besar dan berat boleh terbang tinggi di udara. Kenapa keajaiban ini boleh berlaku? Kerana Oliver dan Wilbur Wright mempunyai kepercayaan pada diri sendiri bahawa mereka pasti berjaya membawa manusia terbang di udara. Kerana kepercayaan juga, Nabi Muhammad SAW sanggup dipinggirkan saudara, terus tabah menyebarkan ajaran Islam bersama para sahabat baginda dan hingga kini Islam ada di mana-mana.

Lantas, kenapa merendahkan keupayaan diri sendiri? Kenapa hanya berbangga dengan keupayaan dan kebolehan orang lain? Kita semua dianugerahkan otak yang mempunyai kapasiti yang sama. Bezanya hanyalah bagaimana kita menggunakannya untuk memajukan diri kita. Singkirkan ketidakyakinan yang wujud dalam diri. Pandang diri anda di cermin. Percayailah: Aku ada Dia yang maha berkuasa. Dengan kuasa dan kehendakNya, aku mampu hadapi semua ini demi satu kejayaan dan kebahagiaan yang aku ingini. Aku mampu berusaha sedaya upaya aku untuk mencapai cita-cita dan impian. Doaku pasti akan didengarNya. Aku pasti berjaya!! Aku pasti berjaya!! InsyaAllah!!!

Hanya anda dan Dia yang tahu segalanya! Selamat berjaya!!

****Siaran April 2006

28 Oktober 2008

Antara dayus dan derhaka

30 April bakal menjelang. Seorang wanita bakal meraikan ulangtahun perkahwinan pertamanya pada tarikh tersebut. Malangnya, belum sempat ulangtahun diraikan, hak beliau sebagai isteri telah diragut oleh ibu mertuanya sendiri ketika perkahwinannya baru mencecah 10 bulan. Lebih malang lagi, si suami yang diharapkan sebagai pelindung diri turut mengambil peranan memudahkan lagi kerja-kerja keji si ibu. Ini bukan kes pertama. Telah acap kali saya berhadapan dengan kes-kes sebegini. Ada satu kes, inai masih merah di jari, si isteri menemui saya bagi menentang tuntutan cerai si suami. Malah, kes pertama yang saya kendalikan ketika mula menjejak bidang guaman ini ialah kes menentang perceraian daripada seorang suami terhadap isteri. Satu persamaan di dalam kes-kes ini: punca perceraian ialah kerana desakan ibu suami yang tidak suka dengan isteri pilihan si anak.

Kalau kau aku dah benci, keturunan kau pun aku tak sudi…. Saya yakin, ramai yang tahu dengan ayat ini. Inilah ayat yang dilafazkan oleh Nyonya Mansor, ibu mertua kepada Kassim Selamat. Semua orang kenal Nyonya Mansor di dalam cerita P.Ramlee itu tetapi ramai yang tidak tahu, sudah ada ibu di era globalisasi ini yang lebih berani dan lebih kejam daripada Nyonya Mansor. Nyonya Mansor menggunakan muslihat untuk memisahkan anaknya dengan menantu yang tidak disukai. Sekarang ini, sudah ada ibu yang secara terang-terangan memaksa si anak menceraikan menantu yang tidak memenuhi kehendak hati. Si anak pula dengan rela hati menceraikan si isteri, yang sebelumnya dijanjikan akan dijadikan suri seumur hidup, yang pernah dijanjikan juga akan dibahagiakan hidupnya hingga ke akhir hayat. Bila terpaksa memenuhi kehendak si ibu, si suami mula menggunakan alasan, konon tak nak jadi anak derhaka, sedangkan kebanyakan kes, perkahwinan adalah di luar pengetahuan si ibu. Konon, kalau ibu tau, dia takkan izinkan jadi tak perlah kawin dulu tanpa pengetahuan ibu, nanti lambat laun si ibu akan terima perkahwinan tersebut.

Akhirnya, bukan si ibu terima tetapi seperti kisah wanita yang tak sempat merayakan ulangtahun perkahwinan pertamanya tadilah. Yang tanggung derita, adalah si isteri, wanita yang telah meletakkan sebuah harapan penuh kasih dan sayang tetapi berkecai sebelum sempat panas punggung perkahwinan. Saya faham dan tahu, itu semua ketentuan takdir. Persoalannya, jika enggan jadi anak derhaka, kenapa tak fikir semua itu sebelum perkahwinan? Sedarlah, anda tetap jadi anak DERHAKA ketika mengambil keputusan berkahwin tanpa pengetahuan ibu dan bila anda menceraikan isteri anda dengan arahan ibu, anda telah menerima satu anugerah khas iaitu DAYUS. Anda sekarang adalah anak derhaka dan suami yang dayus!!!

Kenapa anda masih derhaka? Kerana anda telah melukakan hati ibu anda walau akhirnya anda menunaikan kehendaknya dengan menceraikan isteri anda. Kenapa anda dayus? Kerana anda gagal memegang peranan dan tanggung jawab anda sebagai seorang suami. Apa salah isteri anda? Apa dosa isteri anda hingga anda perlu menceraikannya seperti kehendak ibu anda? Semata-mata isteri anda bukan menantu pilihan ibu anda? Anda memang telah sedia maklum bukan bahawa isteri anda itu, sebelum anda mengambilnya sebagai isteri, dia memang bukan pilihan ibu anda. Justeru, kenapa masih ingin mengahwininya? Percubaan? Dengan harapan ibu akan menerima? Jika anda bersedia untuk mencuba, kenapa tidak mencuba hingga usaha anda berhasil? Maksud saya, teruskan dengan perkahwinan anda, bukan mencuba sekadar tiga empat bulan atau setahun dua sahaja.

Jika ibu anda enggan menerima isteri atau suami pilihan anda, pertimbangkan dengan wajar, kenapa ibu anda enggan menerima? Jika hanya kerana pilihan anda tidak berharta, kurang cantik paras rupa, anda berhak tidak mendengar kata-kata ibu anda. Anda berhak mempertahankan pilihan hati dan perkahwinan anda. Bukan hanya mengikut kata seperti kerbau ditarik hidungnya. Walau ibu lebih dulu rasa masinnya garam dan manisnya gula, tidak semua pendapat dan kata-kata ibu itu benar dan boleh diguna.

Saya bukan mengajar anda menjadi anak derhaka. Anda juga harus faham apa definisi sebenar istilah derhaka. Malah, anda perlu fikirkan untuk tidak derhaka sejak anda bersedia menerima si dia menjadi pasangan hidup anda. Bukan setelah anda menerima dirinya menjadi sebahagian daripada hidup anda. Bukan setelah madunya anda sedut sepuas-puasnya. Bukan setelah kasihnya melimpah ruah untuk anda. Apabila anda mengucap janji untuk menerima si dia sebagai pasangan anda yang sah maka anda perlu menunaikan segala janji yang pernah anda ucapkan sebelum ini. Sebagai suami, anda perlu menjaga kebajikan isteri dan anak-anak yang bakal lahir nanti. Tak kira apa juga halangan yang mendatang, anda perlu pertahankan isteri dan perkahwinan anda. Jika ibu anda memarahi, anda sewajarnya bersedia menerima kemarahannya kerana anda patut tahu, memang ibu anda akan marah kerana anda telah melakukan sesuatu di luar kehendak dan pengetahuannya.

Bersedia dimarahi bukan bererti anda perlu mengikut kehendak ibu supaya menceraikan isteri anda tetapi anda perlu memujuk ibu anda agar menerima pilihan hati anda. Memang bukan mudah. Tak cukup sekali dua pujukan atau rayuan. Yang penting, anda perlu berusaha dan berdoa. Didik isteri anda agar menghormati ibu anda walaupun ibu anda membencinya. Batu yang keras tetap berjaya dilekuk oleh titisan air, inikan pula hati manusia. Yang penting, anda ada keinginan untuk melakukannya. Paling penting, jika kasih anda ikhlas maka anda akan bersedia mempertahankannya. Jika tidak, anda bukan memilih untuk tidak derhaka, tetapi anda adalah seorang yang dayus dan derhaka.

****Siaran April 2006