20 Februari 2012

Kuasa gerak hati

Pernahkah secara tidak disengaja atau tiba-tiba anda rasa bagai ada yang tak kena dengan pasangan anda? Akhirnya perasaan tidak kena tersebut terjawab juga satu masa, sama ada cepat atau pun lambat. Benar? Pernah alami? Saya nak kongsikan satu kes yang baru saya terima. Seorang isteri sering saja rasa gelisah dan tak senang hati apabila suaminya keluar daripada rumah dengan alas an uruskan perniagaan. Setiap kali memandang wajah suami; bagaikan si suami menyembunyikan sesuatu. Pernah rasa tak senang hati tersebut diluahkan kepada si suami tetapi si suami hanya ketawa besar. Kata si suami: gangguan perasaan saja. Si isteri yang taat dan patuh berusaha tenteramkan perasaan sendiri.

Si isteri hanya berdoa mohon Allah berikan ketenangan, jangan sampai merosakkan hubungan perkahwinan. Berbelas tahun melawan gerak hati, akhirnya rahsia gerak hatinya terjawab selepas kematian si suami – si suami telah berkahwin lagi tanpa pengetahuannya, mempunyai anak yang hampir sebaya dengan anak-anaknya dan lebih menyedihkan hingga tika saat ini - setelah hampir tujuh tahun pemergian si suami – dia masih tidak dapat memaafkan sepenuhnya penipuan si suami yang sanggup tidak berterus terang dengannya.

Kronologi kes ini; si isteri langsung tidak berjumpa apa-apa bukti yang boleh mengaitkan si suami dengan wanita lain. Si suami kekal macam biasa walaupun sering kerja luar atau balik lewat malam dengan alasan menguruskan perniagaan – biarpun selepas kematiannya, si isteri yang bertindak sebagai ‘rakan kongsi diam’ terpaksa melunaskan hutang berjumlah lebih 40juta. Persoalannya, bagaimana si isteri boleh rasakan semacam ada yang tidak kena dengan si suami, seakan si suami menyembunyikan sesuatu daripadanya?

Dalam satu kes yang lain; seorang isteri tak pernah ambil peduli mengenai telefon bimbit suami atau pun beg kerja si suami. Hinggalah tiba satu hari, si isteri terasa nak sangat membuka beg kerja suami dan nak periksa mesej-mesej kat telefon bimbit suami. Gerak hati diikut; pecah rahsia suaminya baru berkahwin lagi di sempadan Negara. Sama seperti kes pertama tadi; tiada petunjuk, cuma rasa hati yang mendorong si isteri nak memeriksa beg dan telefon bimbit. Kenapa?

Ya!! Itulah kuasa gerak hati. Mungkin ada yang berpendapat, gerak hati itu lebih kepada turutkan emosi atau ikutkan nafsu dan syaitan. Bagi saya, gerak hati berbeza dengan emosi atau nafsu. Saya tiada statistik yang tepat tetapi berdasarkan pengalaman saya lebih 12 tahun dalam bidang konsultansi ini, gerak hati seseorang tak kiralah suami atau isteri, ibu atau bapa atau anak-anak; adalah satu anugerah daripada Allah bagi menjaga kerukunan hubungan dan keharmonian berkeluarga.

Perlu diingat! Hubungan sebagai suami isteri adalah satu hubungan yang sah dan diiktiraf oleh syarak. Sama juga hubungan antara ibu dengan anak atau bapa dengan anak. Lantas, apabila seseorang melakukan sesuatu yang mencemarkan kesucian hubungan tersebut, Allah akan bantu dengan memberikan satu rasa tidak senang hati sebagai petunjuk dan isyarat, ada yang tidak kena dengan hubungan yang sepatutnya dipelihara kesuciannya. Sama juga jika insan tersayang terlibat dengan sesuatu kecelakaan, Allah akan berikan rasa tersendiri kepada diri seseorang itu dan gerak hatinya boleh rasakan bagai ada yang tidak kena biarpun kecelakaan tersebut belum dikhabarkan kepadanya.

Bagaimana nak bezakan antara petunjuk Ilahi atau pengaruh emosi? Perkara pertama yang membezakan antara dua perkara tersebut ialah kekerapan anda mempunyai rasa tersebut. Jika anda memang selalu risau, selalu saja bimbang tanpa apa-apa sebab atau memang sentiasa rasa tidak tenang; itu adalah pengaruh emosi. Berkemungkinan mempunyai sejarah tertentu yang jadikan anda sebegitu. Sebaliknya jika anda tidak pernah rasa bimbang atau tak sedap hati dan tiba satu masa secara tiba-tiba saja anda rasa bagai ada yang tidak kena; itulah dia kuasa gerak hati.

Bila dah rasa sebegitu, jangan terus gelabah sebaliknya bermunajat mohon petunjuk daripada Allah. Jika benar ada yang tidak kena bakal menimpa, mohon diberikan kekuatan dan bantuan untuk jalan penyelesaian. Paling utama: jangan biarkan gerak hati tadi menguasai minda sebab jika minda dikuasai gerak hati bererti anda biarkan emosi menguasai anda. Sebaliknya pastikan minda ada stabil, rasional dan mampu menguasai gerak hati. Berhati-hati dalam melaksanakan apa saja yang tergerak dek hati anda. Jika ia tidak bercanggan daripada syariat, berkemungkinan itu adalah petunjuk daripada-Nya. Maka, sentiasa bermunajat dan berserah kepada-Nya untuk sentiasa membantu anda dalam segala aspek hidup. DIA akan berikan jawapan melalui gerak hati anda, insyaAllah!!

****Siaran Disember 2010

11 Februari 2012

Isteri bertakliq: sah atau tidak?

Seorang isteri yang sedang hamil lima bulan bertemu dengan saya, inginkan penjelasan tentang status dirinya yang terkini. Menurut si isteri, suaminya terlibat dalam hubungan dengan wanita yang bekerja di rumah urut. Dah banyak kali menegur sikap dan perbuatan si suami dan si suami pula, dah banyak kali berjanji untuk menamatkan hubungan tersebut tetapi janji hanya tinggal janji. Hinggalah pada satu malam, si isteri yang amat tertekan dicampur rasa sedih yang amat sangat, meminta suami berjanji, takkan berjumpa atau telefon atau jawab telefon perempuan tu lagi. Jika suami engkar, akan jatuh talak satu kepadanya (si isteri). Kata-kata isteri diakui oleh suami dan suami melafazkan, ya lah, abang janji…

Tidak sampai sebulan selepas perjanjian tersebut, si isteri dapat bukti, si suami ada menghubungi perempuan rumah urut tersebut malah beberapa kali si suami menerima panggilan daripada si perempuan. Bila diluah kepada si suami tentang perjanjian yang pernah dibuat, si suami menegaskan, perjanjian tersebut dilafaz oleh isteri dan suami cuma akui maka ia bukanlah takliq dan tidak jatuh talak. Rasa sangsi dengan jawapan suami, si isteri mengadakan temujanji bersemuka dengan saya.

Jawapannya: lafaz yang disebut oleh isteri tadi adalah juga termasuk di dalam kategori lafaz takliq sebab walaupun lafaz tersebut diucapkan oleh isteri tetapi lafaz si isteri diterima dan dipersetujui oleh si suami. Apabila lafaz tersebut berlaku maka perkahwinan suami isteri tadi telah digantung kepada syarat yang disebutkan di dalam lafaz tadi. Apabila syarat yang diucap berlaku maka takliq dikira telah dilanggar dan talak dikira jatuh, sama kedudukannya seperti lafaz takliq wajib yang dilafazkan oleh suami selepas selesai akad nikah.

Sebenarnya, takliq yang secara mudahnya bermaksud menggantung perkahwinan kepada syarat yang tertentu yang jika berlaku syarat tersebut, perkahwinan akan dibubarkan. Tak kiralah jika isteri yang melafazkan syarat-syarat tertentu itu asalkan syarat tersebut diakui, diterima dan dipersetujui oleh si suami maka takliq tetap sah menurut syarak. Apabila lafaz syarat tersebut berlaku, maka takliq dikira telah dilanggar dan perkahwinan terbubar.

Kalau suami bersetuju dan mengakui sekadar untuk menutup mulut si isteri? Tak kiralah apa juga alasan yang diberikan oleh si suami, asalkan lafaz si isteri tadi diterima walau dengan sekadar uacapan ya atau ok atau aah atau apa-apa juga lafaz yang membawa maksud terima, ataupun suami menganggukkan kepala, statusnya adalah sama: takliq tetap sah dan boleh dikira berlaku apabila syarat yang ditetapkan oleh si isteri tadi dilanggar.

Kenapa boleh berlaku? Sebab, talak bukanlah bahan gurauan. Talak yang disebut secara soreh iaitu jelas dan nyata walaupun dalam nada bergurau ataupun hanya dengan hasrat bergurau, tetap dikira sebagai talak yang sah. Jika lafaz yang disebut adalah lafaz kinayah iaitu lafaz yang tidak menunjukkan lafaz perpisahan yang jelas dan nyata tetapi lafaz tersebut boleh juga difahami sebagai lafaz perpisahan, talak boleh berlaku sekiranya si suami mempunyai niat untuk menceraikan si isteri.

Jika lafaz cerai sahih atau lafaz takliq ditulis atau ditaip oleh si isteri kemudian si isteri dapatkan tandatangan si suami, apakah talak dan takliq tersebut sah? Jawapannya; bergantung kepada keadaan ketika si suami menandatangani kertas yang ditulis atau ditaip oleh si isteri. Jika si suami membaca ayat-ayat yang ditulis atau ditaip itu kemudiannya menandatanganinya maka dikira si suami memahami maksud ayat yang ditandatangani itu. Secara jelasnya juga bermaksud si suami bersetuju dengan ayat-ayat itu maka jawapan mudah, talak dikira berlaku jika ia adalah lafaz talak dan takliq juga dikira sah dan akan berlaku bila syarat pada ayat-ayat tadi dilanggar.

Sebaliknya jika si suami tidak membacanya tetapi si suami tahu dan faham dengan isi kandungan ayat-ayat yang disediakan oleh si isteri kemudian bertindak menandatanganinya, keadaan tersebut adalah sama dengan keadaan jika si suami membacanya kemudian menandatanganinya. Namun, jika si suami tidak tahu apa-apa satu mengenai kandungan ayat-ayat tersebut dan si isteri tidak pula mengkhabarkan apa-apa pun tentang isi kandungan ayat-ayat tersebut kemudian terus ditandatangani oleh si suami, tandatangan tersebut termasuk dalam kategori cerai kinayah dan perlukan niat suami kenapa si suami menandatangani ayat-ayat cerai talak atau takliq tersebut?

Seperti yang pernah dan selalu saya jelaskan, talak sama ada lafaz soreh, kinayah atau takliq, bukanlah perkara gurauan atau mainan. Jangan bermain-main dengan lafaz-lafaz berbau talak. Sekiranya rasa ragu-ragu dengan lafaz yang pernah disebut atau diakui atau ditandatangani, rujuklah kepada pihak yang arif dan pakar untuk dapatkan penjelasan. Jangan sampai anda terlibat dalam persetubuhan syubhah pula. Paling penting, jangan tunggu sampai lafaz-lafaz tersebut berlaku tiga kali, baru nak buat pengesahan. Ya, rujuk itu ada tapi anda tetap perlukan pengesahan sejak awal bagi mengelakkan masalah di belakang hari…

****Siaran September 2009