31 Julai 2008

Antara keinginan isteri dan kehendak suami

“Masalah yang saya hadapi ialah suami saya lebih suka tidur di ruang tamu daripada tidur di sebelah saya di bilik tidur dengan alasan, bilik tidur kami kurang selesa memandangkan dua anak kecil kami tidur bersama. Perkara ini membuat saya selalu berkecil hati dan kadangkala menangis seorang diri. Bila saya bangkitkan kepada suami dia mengatakan bahawa ini hanyalah isu kecil dan meminta saya bersabar, tapi sampai bila saya harus bersabar dan bila dia hendak bersama, tau pula dia mencari saya di bilik tidur dan tidak timbul pula isu tidak selesa dan selepas itu dia tinggalkan saya lagi berseorangan bersama-sama anak sedangkan dia tidur dengan nyenyak di ruang tamu di tingkat bawah atau menonton TV. Perkara ini membuat saya sangat tertekan kerana saya memerlukan dia bukan setakat untuk 'bersama' tetapi lebih daripada itu. Saya langsung tidak kisah kalau dia tidak ingat tarikh hari jadi saya, tarikh perkahwinan dan tidak pernah memberi hadiah kepada saya kerana saya sudah lali dengan perkara ini. Semasa awal perkahwinan dulu saya sedih juga, tetapi sekarang tidak lagi. Tetapi perkara yang satu ini memang saya tidak boleh berkompromi dan tahap kesabaran sudah habis. Bila saya mengenangkan perkara ini saya rasa tawar hati hendak melayan suami kerana berasa diri tidak dihargai tapi bila tak dilayan rajuknya berpanjangan pula.”

Di atas ini ialah petikan emel yang saya terima daripada salah seorang pembaca majalah kegemaran ramai ini. Sebenarnya bukan satu emel ini sahaja yang meluahkan perasaan isteri yang rasa tidak dihargai apabila suami melayani mereka tidak seperti yang diinginkan, malah daripada lebih 300 emel belum berbalas yang ada di dalam fail saya sekarang, hampir 30% adalah berkisar mengenai isu ini. Lantas, kali ini saya ingin membincangkan isu antara keinginan isteri dan kehendak suami… harapan saya, semua pengirim emel yang berkaitan akan berpuas hati. Maaf kerana saya tidak dapat membalas segera emel-emel pembaca semua dan maaf juga kerana tidak dapat membalasnya satu persatu. Saya mengambil pendekatan membincangkan segala isu yang dikemukakan, di ruangan ini, seperti kali ini… sebagai jalan terpantas menjawab segala emel-emel tersebut. Maafkan saya sekali lagi.

Kembali kepada isu kita pada kali ini… antara keinginan isteri dan kehendak suami. Selalu sangat saya dengar keluhan lelaki bernama suami ketika berborak sesama mereka di kantin atau restoran malahan ada juga yang menjadikan pejabat sebagai premis membincangkan… apa lagi yang isteri inginkan? Segalanya dah disediakan, rumah besar, perabot pelbagai, makanan yang cukup mengenyangkan, wang tunai dan kad kredit untuk berbelanja… apa lagi yang isteri kehendaki? Salah satu keinginan isteri, seperti yang diluahkan oleh pengirim emel tadi… isteri memerlukan suaminya lebih dari sekadar teman tidur. Bagaimana tu?

Bab berkaitan limpahan harta dan kewangan… kebanyakan isteri tak kisah sangat, memadailah cukup makan, pakai dan tempat tinggal yang selesa. Memang ada kes isteri yang inginkan kemewahan dan selalunya isteri begini menyayangi suami kerana wangnya. Seperti yang pernah saya timbulkan di dalam satu isu dahulu… kerana apakah kita memilih pasangan kita sebagai teman hidup? Jika kerana cinta dan sayang… kemewahan tolak ke tepi, yang penting adalah isteri inginkan belaian kasih dan sayang daripada suami.

Belaian kasih dan sayang ini bukan sekadar untuk ‘bersama’ tetapi setiap masa. Bukan bererti sepanjang masa suami perlu membelai isteri seperti membelai seorang bayi… perlu diusap, dipeluk, dicium… belaian yang isteri inginkan adalah lebih kepada memberi perhatian dan prihatin dengan dirinya. Jika isteri bersedih, dia inginkan suami bertanya… apa yang disedihkan? Jika isteri resah gelisah… dia mengharapkan suami menyoal… apa yang tak kena? Biar ada tikanya suami tak dapat menyelesaikan permasalahan yang menjerat jiwa tetapi apabila suami bersuara menanyakan tentang gejolak rasa yang dialami isteri… sungguh… segala resah gelisah akan hilang dan isteri akan lebih berani dan tabah menghadapi segalanya.

Masalahnya, kebanyakan suami… bila isteri tiba-tiba muram, dia akan buat tak tau jer… alaaa, biasa ler tu, sekali dalam sebulan, orang perempuan kan… isu sekali dalam sebulan ini akan tetap digunakan oleh suami walaupun dia perasan dan tau, bukan itu sebabnya. Kenapa? Sebab ambil jalan mudah… aku pun ada banyak benda nak fikirkan… inilah yang tak kena. Kalau dulu semasa bercinta, awek tak angkat telefon jer dah mula gelisah, sanggup menyerbu ke rumah sewa teman wanita walau jauh beribu batu semata-mata nak pujuk dan ambil tau, apa yang tak kena? Sekarang ni, perlu lah bertindak lebih agresif lagi… kalau nampak isteri gembira, tanyakan apakah yang diraikannya? Jika nampak isteri berduka, tanyakan pula apa yang meruntun jiwanya? Jika isteri merajuk pula, cepat-cepat ler pujuk… jangan biarkan rajuknya dipujuk sendiri… lama-lama nanti, tak mustahil kau akan gigit jari.

Jika selalunya pengantin perempuan diingatkan… jangan bersedih jika suami gembira, jangan tersengih jika suami merana… saya amat mengharapkan agar selepas ini, pengantin lelaki juga diingatkan dengan perkara yang sama… jangan berduka jika isteri ceria dan jangan ketawa jika isteri menitiskan air mata. Inilah konsep sebenar hidup berumahtangga, satu perkongsian antara suami isteri, perkongsian harta benda malah perkongsian rasa suka dan duka. Bukan sahaja isteri perlu peka dan perlu menuruti segala kehendak suami. Suami juga perlu prihatin dengan segala keinginan isteri. Jalan terbaik, amalkan sikap berterus terang, sentiasa berbincang dan saling memperbaiki kelemahan, insyaAllah… mahligai cinta anda akan terus bergemerlapan.

****Siaran Ogos 2005

29 Julai 2008

Layakkah anda dihormati sebagai suami?

Mungkin ada para suami yang marah bila melihatkan topik perbincangan pada kali ini. Takkan lah tak reti lagi yang suami itu adalah ketua keluarga. Suami wajib dihormati, setiap kata suami mesti dipatuhi, mengengkari kata suami itu bererti nusyuz. Ya… saya tahu itu malah amat memahaminya tetapi jangan lupa, suami juga manusia biasa yang tidak lepas dari berbuat salah dan silap. Walaupun memang kelemahan itu diakui ada pada setiap manusia tetapi ianya boleh dielakkan. Keengkaran mengelakkan berlakunya kelemahan inilah yang boleh menghilangkan kelayakan anda untuk dihormati sebagai suami dan inilah yang ingin saya tegaskan di dalam perbincangan minggu ini.

Jangan cepat melatah! Bukan maksud saya untuk menjatuhkan harga diri lelaki bernama suami atau untuk menggalakkan para isteri agar tidak menghormati suami mereka. Tujuan saya membincangkan topik ini adalah untuk menyedarkan para suami tentang tanggungjawab yang sewajarnya mereka lakukan terhadap isteri dan anak-anak. Bukan hanya mendabik dada mengakui… akulah suami, akulah ketua keluarga, setiap kataku adalah perintah yang perlu dipatuhi… tetapi apabila tiba kepada aspek menunaikan tanggungjawab, langsung tak boleh diharap! Habis terlungkup!!

Saya yakin, para pembaca semua biasa mendengar pesanan kepada pengantin perempuan… jaga suami elok-elok, jaga makan minum dan pakainya, jangan benarkan suami mencium yang tak elok pada kita dan macam-macam lagi yang perlu isteri lakukan kepada suami. Kepada pengantin lelaki pula… lega lah kau lepas ni, dah ada orang jaga makan minum dan pakai kau!! Tak der ler makan nasi bungkus atau pakai baju tak bergosok lagi!! Jarang sangat nak dengar pesanan kepada pengantin lelaki… jadi suami ni tanggungjawabnya berat, makan minum dan pakai isteri kena jaga, segala perlakuan isteri yang melanggar hukum agama jika tak dilarang maka suami akan sama menanggung dosa, bila dah ada anak-anak pula kena didik agar jadi insan yang berguna… berapa keratkah yang bertuah mendapat pesanan sedemikian? Inilah masalah di dalam masyarakat kita. Mengharapkan keputusan yang baik tetapi silap memberikan tunjuk ajar.

Ya, sekarang ini semua bakal pengantin perlu hadiri kursus pra perkahwinan dan semua tu dah diterangkan. Persoalannya, apakah semua yang mengikuti kursus tersebut benar-benar menghayati ilmu yang disampaikan? Ada yang menghayati, mengetahui tetapi enggan mempraktikkan, inilah insan yang paling malang. Sebagai ketua keluarga, seorang suami wajib menanggung segala keperluan rumah tangga dengan sedaya upayanya. Saya letakkan sedaya upaya bagi menegaskan bahawa seorang suami perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi melaksanakan tanggungjawabnya menunaikan nafkah dan perbelanjaan keluarga.

Jika usaha telah dilakukan namun masih tidak berhasil, di sinilah rukhsah atau pengecualian yang Islam benarkan agar tanggungjawab tersebut dibantu oleh isteri sebagai rakan kongsi hidup berumahtangga. Tetapi, jangan salah menggunakan rukhsah yang diberi seperti berani memasuki gerbang perkahwinan walau tiada punca pendapatan yang dapat menjamin saraan hidup diri sendiri apatah lagi isteri. Rukhsah hanyalah bagi kes-kes seperti kehilangan kerja atau ketidakupayaan yang wujud selepas diri berupaya menyara keluarga.

Bukan sekadar perbelanjaan atau sara hidup, suami juga mesti menghargai kewujudan isteri di sisi. Jaga hati dan perasaannya. Jika kau ingin dihargai, sama jugak dengan isteri. Isteri tidak inginkan sanjungan atau limpahan berlian memadailah jika suami menghargai kasih sayangnya, menyintainya dan setia pada cintanya. Isteri sanggup berkorban segalanya termasuk menggadaikan nyawa bagi menyatakan cintanya dengan melahirkan zuriat untukmu, wajarkah semua itu kau pandang sepi sahaja? Teringat saya ketika saya dimasukkan ke wad kerana sakit untuk melahirkan anak pertama, seorang wanita meluahkan rasa hatinya tentang sikap si suami yang tidak pernah mempedulikan dirinya setiap kali perutnya mula membesar. Bukan sekali tetapi tika itu dah empat kali dan bukan sekadar tak peduli bahkan si suami mengabaikan semua tanggungjawab malah mencari pengganti. Bila dah kempis kembali barulah si suami terhegeh-hegeh menjengah isteri. Suami macam ni memang tak layak dihormati.

Mungkin ada di kalangan suami yang cakap, kami bukan mendera isteri atau tak menghargai… kami suruh dia lakukan semua kerja untuk kami malah menolong kami tunaikan tanggungjawab kepada keluarga untuk menolong isteri kami mendapatkan status isteri solehah. Oooo, kalau isteri pandai pulak kau nak jadikan isteri yang solehah, habis tu, suami tak nak jadi suami yang soleh? Berbangga menjadi suami ala-ala mat saleh?

Maaf jika ada yang rasa saya agak keras dengan perbincangan kali ini. Saya rasa perlu semua ini saya dedahkan kerana sering sangat saya dengar para suami berceloteh mengomel isteri tak buat itu, tak buat ini… yang sebenarnya memang bukan tanggungjawab isteri. Bila isteri mula menuntut hak diri dah kata pula isteri tak hormati suami sedangkan isteri dah tolong ringankan beban suami.

Saya menyeru kepada semua suami dan isteri juga, ingatlah, bukan kita sahaja yang ada hati dan perasaan, jika kita ingin dihormati dan dihargai, begitu juga orang lain termasuklah pasangan hidup kita lantas tunaikanlah tanggungjawab dan kewajipan yang patut agar cinta terus mekar dan dapat kecapi bahagia di dalam hidup, insyaAllah!

****Siaran Ogos 2005

Berjanji biarlah yang wajar ditepati

Seorang isteri mengadu kepada saya, sejak berkahwin lebih lapan tahun lalu, suaminya tidak pernah memberikan nafkah atau wang belanja untuk dirinya dan anak-anak. Segalanya beliau tanggung sendiri sedangkan suaminya seorang yang berkemampuan. Bila saya tanyakan, ada tak beliau meminta wang belanja dari suami? Jawapannya, tidak! Bila saya tanyakan kenapa? Katanya, beliau adalah isteri kedua dan sebelum berkahwin, beliau telah berjanji tidak akan membebankan suami dengan masalah kewangan asalkan mereka dapat hidup bersama sebagai suami isteri.

Apa lagi saya nak kata? Rasa kasihan ada, rasa geram pun ada. Kenapalah kaum wanita selalu lemah dengan kata-kata cinta? Walau bukan semua tapi sesetengah kes sudah cukup untuk menjelaskan fenomena wujudnya kesetiaan membabi buta. Tidak salah berkorban demi insan tercinta tetapi pengorbanan yang menyiksa jiwa sendiri tiada faedahnya. Sedih betul bila mengetahui ada kaum wanita yang bersikap begini.

Dahulu, saya pernah mengingatkan para gadis dan wanita di luar sana, jangan biarkan harga diri tergadai di tangan teman lelaki. Kali ini, saya ingin menyeru kepada semua gadis dan wanita termasuklah para isteri dan bakal isteri… kalau berjanji biarlah yang wajar ditepati. Sama seperti mengucapkan kesanggupan cinta… tidak ada lagi istilah lautan api sanggup kurenangi… lautan air sehebat tsunami tu pun, ramai yang cabut lari.

Secara logiknya, setiap kita sama ada lelaki atau wanita, perlu sedar dan arif dengan tanggungjawab dan kewajipan di dalam berumah tangga. Sememangnya kaum lelaki yang bergelar suami diberikan tanggungjawab untuk menyara keluarga. Tugas dan tanggungjawab isteri pula adalah menjaga kebajikan dan keharmonian keluarga. Isteri boleh dan wajar membantu suami tetapi bukan bererti isteri pula mengambil alih segala tugas dan tanggungjawab suami kecualilah suami tidak berkemampuan atau tidak berkeupayaan. Maksud tidak mampu di sini ialah tidak mampu selepas segala usaha dan ikhtiar dijalankan. Bererti ianya tidak termasuk suami yang enggan bekerja dan suami bekerja tetapi pendapatan dihabiskan kepada perkara yang tak sepatutnya. Perkara yang tak sepatutnya pula termasuklah mengutamakan bukan untuk keperluan isteri dan anak-anak.

Apabila semua pihak menyedari perkara ini maka amalkanlah. Sebagai isteri atau bakal isteri pula, jangan terlalu mudah memanjakan suami… tak per lah, saya akan bayar semua ni… tak per lah, kerana you, I akan buat apa saja… tak per lah, I takkan minta apa-apa pun asalkan I dapat kawin dengan you…!!! Sedarlah… mengucapkan kata tak seberat mengotakannya. Sebelum kahwin dan selepas kahwin adalah dua dunia yang berbeza. Selama mana pun kita mengenali bakal suami atau bakal isteri, kita hanya mengenal hanya sebahagian dirinya yang sebenar, sebahagian lagi pula hanya akan diketahui selepas kita berkahwin. Ada yang kurang bernasib baik, perangai sebenar hanya akan diketahui setelah mempunyai menantu dan cucu… nauzubillah!!

Seperkara lagi, sikap kita sebelum kahwinlah yang akan mencerminkan corak dan warna kehidupan kita di dalam berumah tangga. Kebanyakan kes rumah tangga yang bermasalah ialah apabila masing-masing pasangan bersikap hipokrit, menyembunyikan perangai yang sebenar, terlalu memuja malah terlalu memanjakan pasangan. Sama sahaja, kalau terlalu manjakan isteri pun masalah, terlalu manjakan suami lagilah bermasalah. Kembali kepada punca asal kes, suami mengabaikan tanggungjawab memberikan nafkah. Jika dikaji, kes-kes begini hanya akan terjadi jika si isteri sudah membiasakan suami lalai dengan tanggungjawab utama ini sejak awal lagi.

Jika mendapat suami yang kuat iman dan tidak mudah lupa daratan, syukur Alhamdulillah ler! Ditakdirkan dapat suami yang mudah lupa diri pula, jika mempunyai isteri yang mampu berdikari... seakan menerima bonus ujung tahun ler. Mudah segala kerja, senang segala urusan. Kepala tak sakit, boleh ler pasang mata sikit. Kebiasaan ini walau sekadar satu atau dua bulan sahaja sudah cukup untuk menjadikan suami hilang rasa tanggungjawab. Bila di belakang hari isteri mula mendesak atau mengungkit, memang sah ler cari penyakit.

Lantaran, jangan ambil mudah perkara janji dan menunaikan tanggungjawab ini. Memang betul kasih sayang itu menuntut pengorbanan tetapi pengorbanan bukan bermakna menggalakkan pengabaian amanah dan tanggungjawab. Perlu diingat juga, sekali air bah, sekali pantai berubah… sama juga dengan manusia… dalam sesaat, berbagai perkara boleh berlaku… perangai malaikat boleh menjadi hantu. Lantaran itu, kita perlu bersedia pada setiap masa dan ketika. Tunaikan tanggungjawab yang perlu dan jangan mudah menabur janji setia… padahnya kita sendiri yang tanggung!!

****Siaran Ogos 2005

28 Julai 2008

Hidup suami isteri adalah rahsia tersendiri

Semasa makan tengahari tadi, saya terdengar dua wanita di meja sebelah saya bercerita… bukan menyibuk hal orang tapi dah dengar kan… kebetulan hari ini saya makan seorang diri, kawan yang sentiasa bersama saya bercuti. Menurut salah seorang wanita tersebut, beliau tengah sakit kepala memikirkan saranan ibunya agar suaminya berhenti berniaga dan mencari kerja tetap. Masalahnya, menurut wanita tersebut, suaminya berniaga kerana belum mendapat kerja tetap dan suaminya memang masih mencari kerja tetap. Bila ditanya oleh rakannya kenapa tiba-tiba sahaja si ibu mencadangkan demikian. Kata wanita itu, ibunya tahu perniagaan suaminya tidak lancar hinggakan urusan rumah tangga lebih ditanggung olehnya. Bagaimana ibu boleh tahu? Kata wanita itu, “aku yang cerita kat ibu aku!”

Inilah yang ingin saya kongsi dengan pembaca semua kali ini. Saya dah pernah bincangkan tentang kerahsiaan yang perlu dijaga antara kita dan pasangan kita.

Ada perkara yang perlu kita ceritakan kepada pasangan dan ada perkara yang perlu kita rahsiakan demi menjaga kebajikan dan kemaslahatan kedua-dua pihak. Kali ini, saya nak bincangkan pula tentang kerahsiaan hubungan kita dan pasangan kita yang perlu dijaga dan dirahsiakan agar tidak sampai ke pengetahuan orang ketiga khasnya ibu bapa dan adik beradik atau sanak saudara yang lainnya. Kenapa? Kerana setiap apa yang berlaku antara kita dan pasangan kita adalah satu rahsia tersendiri yang perlu disimpan seperti menyimpan gula di dalam balang…. tutup rapat-rapat supaya semut tak dapat masuk. Kalau semut dah masuk… bertambah pulak satu masalah.

Samalah dengan apa yang berlaku di dalam kehidupan seharian antara pasangan suami isteri. Seperti lagu popular di dalam filem Tiga Abdul… sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri... kalau lidah tergigit, hubungan suami isteri akan mudah untuk tenang tetapi jika kisah gigitan tersebut sampai ke telinga ibu bapa, adik beradik atau sanak saudara, gigitan yang hanya memberikan sakit sekejap cuma itu akan melarat menjadi satu kecederaan parah. Bukannya maksud saya ibu bapa dan sanak saudara akan mengganggu hubungan suami isteri tetapi dah menjadi kelaziman di dalam masyarakat kita, tidak ada ibu bapa yang inginkan anaknya menderita. Bak kata pepatah, cubit paha kanan, paha kiri pun terasa. Lantaran itulah, ibu bapa atau sanak saudara akan cuba memberikan jalan keluar kepada masalah yang diceritakan kepada mereka dan ada kalanya jalan tersebut akan memberikan lebih banyak masalah sebenarnya.

Saya akui tidak semua ibu bapa bersikap begini namun kerahsiaan tersebut tetap perlu dijaga. Walaupun ibu bapa tidak memberikan sebarang cadangan yang boleh dikategorikan sebagai makin menyesakkan fikiran kita namun cerita-cerita yang sampai ke pengetahuan mereka itu akan merumitkan ibu bapa kita pula. Sepanjang masa mereka akan memikirkannya…. antara kesannya, hubungan antara ibu bapa kita dengan pasangan kita akan dingin dan tidak mesra seperti sebelumnya.

Sebab itulah, sebagai isteri malah sebagai suami juga (saya pernah kendalikan kes melibatkan suami jenis ‘bawa mulut’), apa juga kesusahan, dugaan atau ujian yang kita alami sepanjang kita hidup bersama pasangan kita sebagai suami isteri… lipat dan simpan kemas di dalam diri. Jangan sesekali bocorkan kepada ahli keluarga yang lain. Apa-apa masalah yang kita hadapi walaupun berpunca daripada kelemahan suami atau isteri, cuba selesaikan dengan pasangan kita sahaja. Boleh jika ingin meminta pandangan atau buah fikiran tetapi carilah mereka yang bukan ahli keluarga dan lebih baik jika dapatkan khidmat mereka yang berkelayakan.

Kekadang, bukan masalah antara pasangan tetapi ada jenis individu yang suka menceritakan kelemahan pasangannya kepada ibu bapa dan adik beradik sendiri. Ini tak kena, itu tak kena… kesannya isteri atau suami yang akan tertanya-tanya kenapa keluarga pasangannya seperti tidak menerima kehadirannya sepenuhnya. Mula lah timbul syak wasangka… keluarga you tak boleh terima I ler… sedangkan punca asal kepada rasa tidak diterima itu adalah daripada pasangan mereka sendiri. Sebaiknya segala kelemahan atau apa sahaja yang kita tidak suka tentang pasangan kita, berterus terang sahaja secara elok. Elakkan orang lain mengetahui kelemahan pasangan kita. Hakikatnya, jika kita mendedahkan kelemahan pasangan kita bermakna kita mendedahkan kelemahan kita juga.

Bayangkan… kita menerima dia sebagai pasangan hidup tetapi dalam masa yang sama kita menghinanya… tidakkah kita telah mendedahkan perangai dan sikap buruk kita. Seperti yang selalu saya katakan, suami isteri adalah dua insan yang saling melengkapi… tampung kelemahan pasangan dengan kelebihan kita dan kelemahan kita pula ditampung oleh pasangan kita. Ingatlah, tidak ada manusia yang sempurna. Jangan sangka kita hebat dari segi kewangan maka kita adalah raja segalanya. Koreksi diri… ada kelemahan dari aspek lain pula… percayalahh!!

Namun, kerahsiaan ini juga ada pengecualiannya… sekiranya masalah yang kita hadapi boleh mengancam nyawa dan keselamatan diri, memang wajar perkara ini dikongsi bersama ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Jangan pula perkara-perkara serius sebegini dirahsiakan, banyak buruk dari baiknya. Lantaran, munasabah dengan kewarasan kita memilih si dia sebagai teman hidup… waraskanlah juga setiap kata-kata, keputusan malah apa jua tindakan yang kita ambil kerana sekali tersilap langkah, kita sendiri yang tersungkur.

****Siaran Ogos 2005

Perlu bijak memilih kawan

Mungkin ada yang berpendapat… alahai, topik mudah jer ni. Kalau untuk anak-anak remaja boleh ler. Hmm, nanti dulu… berkawan bukan sekadar di masa remaja atau kanak-kanak sahaja kan malahan semakin meningkat usia kita, makin luas pergaulan kita dan makin kita terdedah kepada berbagai jenis kawan dan rakan. Pepatah yang biasa kita dengar pun mengatakan… berkawan biar beribu tetapi berkasih cukuplah satu… dah ada kata-kata macam tu pun masih ramai lagi yang me’ribu’kan kekasih malah ramai juga yang berkasih dengan kawan. Fenomena biasa ler tu kan tapi ada juga yang luar biasanya yang akan saya bincangkan kali ini. Saya juga nak bincangkan tentang natijah tersalah pilih kawan hingga merosakkan kebahagiaan sedia ada.

Di dalam satu emel, seorang suami meluahkan sikap isterinya yang telah berulang kali malah acap kali minta dilepaskan dengan alasan beliau mampu teruskan hidup dan menjaga sepasang anak-anak mereka sendirian. Sebabnya, telah hampir setahun si suami tiada pekerjaan dengan pendapatan tetap setelah diberhentikan kerja dan hingga emel itu dihantar kepada saya, menurut si suami, beliau masih belum mempunyai kerja dengan pendapatan yang tetap dan lumayan walau dah berpuluh kali menghadiri temuduga. Namun begitu si suami masih menyara keperluan keluarga dengan pendapatan hasil perniagaan kecil-kecilan dari wang pampasan yang diperolehi daripada pemberhentian kerja sebelum itu.

Menurut si suami lagi, bukan sekadar acap kali minta dilepaskan tetapi si isteri telah pandai mengabaikan urusan rumahtangga termasuk makan minum dan pakainya malahan pernah beberapa kali si isteri pulang lewat malam. Setelah diselidiki, rupa-rupanya isterinya sedang berkawan rapat dengan seorang wanita yang telah bercerai dengan suaminya hampir setahun yang lalu. Sumber menyatakan juga wanita janda ini memang sering merangsang si isteri agar hidup sendirian kerana lebih bebas, senang untuk melakukan apa sahaja dan tidak terikat dengan segala masalah yang berpunca daripada lelaki.

Dah nampak kan tujuan perbincangan saya kali ini? Ya… memang nyata si isteri tadi tersalah pilih kawan. Memang diakui, ada wanita yang boleh hidup lebih berjaya tanpa lelaki atau lebih tepat lagi tanpa suami. Tetapi, itu jika mempunyai suami yang memang patut ditinggalkan. Jika tak patut, jangan harap ler nak berjaya kerana si isteri itu pasti menerima balasan Tuhan. Patut ditinggalkan ni pun ada banyak kategorinya. Di dalam kes pengirim emel ini, beliau tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami. Malahan, sekiranya beliau gagal menampung keperluan keluarga pun, bukan bererti suami tersebut perlu ditinggalkan kerana kegagalan beliau itu di luar upayanya. Beliau diberhentikan kerja dan telah berusaha mendapatkan kerja tapi belum berjaya. Lain lah kalau memang jenis yang tak sedar tanggungjawab, pendapatan ribuan ringgit tapi lebih kedekut dari Haji Bakhil.

Seperti tajuk topik saya kali ini, kita perlu bijak memilih kawan samada untuk meluangkan masa bersama ataupun untuk berkongsi segala permasalahan kita. Memilih kawan juga perlu fokuskan kepada jantinanya. Kalau lelaki tu, maksud saya para suami ler… elakkan lah berkawan rapat dengan wanita. Tak kira wanita itu kekasih orang, tunangan orang ataupun isteri orang, kalau masih bujang tu, lagi ler kan… sama jugak ler dengan para isteri, elakkan berkawan rapat dengan lelaki lain kalau diri tu dan ber’title’ isteri orang ataupun tunangan orang.

Rapat yang saya maksudkan ialah saling berkongsi masalah sebab selalunya bila dah berkongsi masalah, lanjutannya akan berkongsi rasa pula, dah lain ceritanya juga. Saya akui tidak semua kes berakhir sedemikian tetapi kebanyakan kes itulah kesudahannya dan kesannya, pasangannya yang merana sedangkan punca hanyalah perkara sekecil hama. Bukankah lebih baik kita mengelak diri daripada merana atau gelisah di belakang hari? Bukan saya melarang para isteri atau suami berkawan dan bukan bererti setelah berkahwin kita perlu menghadkan pergaulan… tidak sama sekali.

Maksud saya ialah elakkan berkawan rapat yang boleh mengundang masalah. Kita boleh berkawan dengan sesiapa juga tetapi bukan berkawan rapat. Jika nak rapat memadailah dengan kawan yang sejenis dengan kita. Jika isteri, kongsilah masalah anda dengan kawan wanita. Para suami pula, kongsilah masalah anda dengan kawan lelaki juga. Sebaiknya, seperti yang pernah saya sarankan sebelum ini, kongsilah segala masalah anda dengan pasangan anda sendiri. Ketahuilah, pasangan anda akan berasa lebih dihargai jika anda sanggup berkongsi masalah dengannya dan memang itulah yang sewajarnya dilakukan bila berada di alam rumah tangga.

Memilih kawan juga biarlah yang tidak merosakkan diri sendiri dan keluarga. Tidak salah meminta pendapat tetapi jangan diterima bulat-bulat. Pertimbangkan segalanya dan jangan main terima sahaja. Jangan mudah terpedaya dengan simpati atau baik hatinya kawan kerana niat seseorang belum dapat dipastikan. Kalau tidak, tak adalah istilah… kawan makan kawan, jadi berhati-hatilah!


****Siaran Julai 2005

25 Julai 2008

Wajarkah berubah bila dah dapat?

Saya terpanggil untuk membincangkan persoalan ini apabila mendapat satu emel daripada seorang isteri yang mengadukan bahawa suaminya berubah hampir 100% daripada sikap asalnya sebelum berkahwin. Mereka bercinta selama 7 tahun termasuk 4 tahun semasa sama-sama belajar di salah sebuah IPTA. Habis pengajian dan masing-masing mendapat tawaran pekerjaan yang agak lumayan, mereka bertunang selama setahun dan akhirnya bersatu dengan restu kedua-dua keluarga.

Namun, menurut pengirim emel tersebut, tidak sampai 6 bulan perkahwinan, suaminya berubah. Perubahan tersebut berlarutan hingga kini, setelah hampir 10 tahun berumahtangga dan mempunyai sepasang cahayamata. Nak kata si suami mempunyai wanita lain, beliau amat yakin suaminya tidak berbuat sedemikian. Pernah diintip beberapa kali sepanjang 10 tahun ini dan rekod orang ketiga memang tiada sama sekali. Nafkah dan perbelanjaan tak pernah kurang, bezanya hanyalah, suaminya tidak lagi seromantik dulu. Tiada lagi senda gurau, tiada lagi belaian mesra kecuali hanya untuk ‘bersama’ dan paling si isteri terasa hati, tiada lagi ucapan selamat ketika menyambut hari jadi sedang dulu kad dan hadiah memenuhi galeri. Bila ditanyakan kepada suami… jawapan yang diterima… apa awak nak lagi, kita dah jadi suami isteri… cukup lah tu.

Teringat saya kata-kata Shahruk Khan, hero Hindi yang terkenal di dalam filem Chalte Chalte ketika ditegur oleh Rani, si isteri yang menegur sikap suaminya yang berubah… dahulu kita bercinta tetapi sekarang kita dah berkahwin... cam tu ler lebih kurang maksud ayatnya… yang nak saya tekankan di sini ialah memang kebanyakan suami berpendirian sedemikian. Waktu bercinta, boleh ler nak romantik, nak kasi hadiah, nak selalu ucap sayang… dah kawin, memang dah confirm si dia aku yang punya, tak perlu lagi ler semua tu. Benarkah? Jangan lupa, sebelum ada adalah tiada dan selepas ada juga boleh ada tiada… faham maksud saya?

Sebenarnya, cinta dan kasih sayang bukan sesuatu yang tegar dan keras seperti batu malah batu juga boleh pecah dan hancur hanya oleh titisan air yang berulang kali. Sama juga dengan cinta dan kasih sayang. Seorang lelaki dan seorang perempuan perlukan cinta untuk bersama sebagai suami isteri. Untuk terus kekal sebagai suami isteri juga perlukan cinta. Cinta bukan sekadar perasaan yang disimpan lama tetapi cinta perlu dihangatkan setiap masa dan ketika. Jika hanya mengharapkan luahan cinta sejati di awal percintaan atau di awal perkahwinan, memang tidak memadai. Kerana itulah tidak pelik atau hairan kenapa pasangan yang berkahwin atas dasar cinta atau suka sama suka boleh berpisah akhirnya. Puncanya, cinta yang ada dibiarkan membeku dengan pendirian cinta tersebut akan tetap hangat dan mekar walau tanpa siraman kasih dan belaian sayang.

Sebagai suami malah isteri juga, rasa cinta perlu ditunjukkan setiap masa dan ketika. Pakar psikologi pernah mengatakan, pengucapan cinta satu kali sehari akan memanjangkan usia. Kenapa? Apa kaitan pengucapan cinta dengan panjangnya usia? Sebenarnya, maksud pendapat tersebut ialah dengan ucapan cinta akan membuatkan diri orang yang menerima ucapan tersebut rasa disayangi dan dihargai lantas akan membuahkan seribu rasa kegembiraan dan kebahagiaan. Rasa gembira dan bahagia pula membuatkan seseorang ingin terus hidup bagi terus menikmati kebahagiaan tersebut.

Kepada para isteri yang suaminya berubah sikap selepas perkahwinan malahan kepada para suami juga yang isterinya berubah sikap… ada juga kes sebegini dan biasanya isteri berubah dari segi penampilan… bila menyedari perubahan tersebut berlaku… luahkan rasa tidak suka anda dengan perubahan tersebut. Contohnya jika semasa bercinta suami sanggup menunggu lama tetapi selepas kahwin terlambat seminit dah macam-macam bunyinya… luahkan kenapa masa bercinta janji pukul 5, jam 4.30 dah sanggup tunggu depan tangga? Jika masa bercinta tudung kelepet sikit dah kecoh nak betulkan di bilik air, kenapa lepas kahwin berpakaian selekeh mengalahkan mak tani kat sawah… persoalkan perubahan ini?

Kenapa perlu dipersoalkan? Kerana pendirian ‘dah dapat dah, ok lah’ tidak wajar dipegang oleh sesiapa pun jua tak kira suami atau isteri. Sebaliknya setiap suami dan isteri perlu menjadikan prinsip ‘dah dapat, akan kupastikan kau milikku selamanya’ dan bagi memastikan dirinya yang kau cintai dan sayangi menjadi milikmu selamanya, sewajarnyalah segala usaha sebelum memilikinya dulu diteruskan malah sebaiknya ditambah lagi. Jika sebelum dapat, sanggup habiskan ratusan ringgit sebulan untuk berbual dan menyatakan cinta, bila dah di depan mata dan segalanya percuma, gunakan setiap ruang dan masa yang ada untuk berkomunikasi dengannya. Jika masa bercinta sanggup belikan hadiah untuk ulangtahun kelahirannya, bila dah sah menjadi milikmu, bawalah pula bercuti ke mana-mana.

Ini bukan cadangan nak menghabiskan kewangan sesiapa tetapi semua orang tahu, cinta perlukan pengorbanan dan pengorbanan cinta tidak tamat selepas kahwin sahaja. Pengorbanan cinta juga bukan bererti perlu izinkan suami menambah ‘cawangan’ semata. Pengorbanan cinta yang sebenarnya adalah sanggup melakukan apa sahaja yang tidak melampaui batas syarak dan tatasusila moral asalkan si dia tercinta tetap menyintai kita. Sesungguhnya, segalanya akan indah belaka asalkan dapat bersama si dia tercinta dan ingatlah juga cintanya akan malap jika kau terlupa menggilapnya!! Moga tiada lagi yang akan menyanyikan… “setelah aku kau miliki, mana janjimu yang sejati…!!”

****Siaran Julai 2005

Kisah hantaran perkahwinan

Kisah perkahwinan seorang selebriti muda masih menjadi topik hangat diperkatakan orang ramai termasuklah di pejabat saya. Dalam riuh rendah membicarakan perkahwinan yang rasa-rasanya adalah majlis perkahwinan paling sensasi bagi tahun 2005 ini, seorang rakan lelaki memberikan sentuhan syahdu… aku ni dah dekat 30, hajat hati nak kawin tapi bab hantaran tu yang aku tak larat tu…!

Alahai!! Kesiannya kan? Saya yakin, bukan rakan saya sahaja tetapi masih ramai lelaki bujang yang menghadapi masalah yang sama. Keluhan berkaitan masalah hantaran ini bukan sekarang ini sahaja tetapi dah lama. Seingat saya, zaman saya bersekolah di sekolah rendah dulu, setakat 3 atau 4 ribu tu, biasa ler tuh dan itu kalau pengantin perempuannya seorang graduan. Sekarang ni… dah tak der lagi dah harga tu, paling kurang 7, 8 ribu, ada jugak yang lebih dari itu. Bagi memenuhi tuntutan hantaran ini pula, pengantin lelaki terpaksa meminjam daripada pihak-pihak tertentu malahan ada ibu bapa yang sanggup bergolok gadai hanya kerana ingin memenuhi hajat menerima menantu. Kesannya, anak dah habis sekolah menengah tapi hutang untuk jelaskan hantaran kahwin belum selesai. Paling tragis, ada pasangan yang bercerai kerana hal hantaran ini.

Pernah saya tanyakan kepada seorang bapa kenapa letakkan jumlah hantaran sedemikian rupa.. kata si bapa… sebagai harga penat lelah dan perbelanjaan hidup anaknya selama dia membesarkannya. Lagipun harga barang dah naik. Hmmmm.. begitukah cara perkiraannya? Alhamdulillah, ibu bapa saya tidak berfikir sedemikian malahan menyerahkan bulat-bulat kepada saya untuk menentukan jumlah hantaran dan juga mas kahwin. Alhamdulillah juga, saya dan suami tidak menanggung apa-apa kesakitan daripada jumlah hantaran dan mas kahwin tersebut.

Saya nak kongsi satu kisah seorang klien saya kira-kira 3 tahun dulu. Seorang wanita yang masih cantik walau telah berusia hampir 40 tahun mengadu kepada saya, suaminya melarang beliau pulang ke rumah ibu bapanya. Larangan telah berkuat kuasa serta merta selepas hari kedua perkahwinan mereka dan ketika beliau bertemu dengan saya, beberapa hari saja lagi perkahwinan mereka akan genap 15 tahun. Saya tanyakan kenapa? Kata beliau, pada malam kedua selepas perkahwinan, suaminya berkata kepadanya… bapa awak bukan kahwinkan awak dengan saya tapi bapa awak dah menjual awak kepada saya. Bila klien saya tanyakan kenapa… suaminya tegas menjawab… awak tau kan berapa saya bayar untuk dapatkan awak? Menurut klien saya, suaminya mengeluarkan hampir 10 ribu untuk wang hantaran sahaja tidak termasuk segala benda yang serba satu dan mas kahwin yang hanya RM80.

Saya terdiam masa tu. Inilah masalahnya… hantaran yang tidak diwajibkan nilaiannya ribu-ribu dan mas kahwin yang wajib dibayar pulak jumlahnya lebih rendah berbanding harga sebentuk cincin pertunangan. Namun, berapa ramai yang sedar dengan perkara ini. Mas kahwin diwajibkan di dalam Islam sebagai simbolik kepada pengorbanan seorang wanita yang sanggup mengabdikan dirinya kepada suami. Bayangkanlah, seorang wanita dan seorang lelaki yang ajnabi diharamkan bersentuhan tetapi dengan hanya satu akad yang sah dan mas kahwin yang tertentu… hubungan antara mereka halal segala-galanya. Islam turut menetapkan sekiranya pengantin lelaki gagal menjelaskan jumlah mas kahwin maka pengantin perempuan berhak menolak permintaan suaminya pada malam pertama.

Amalan kita hari ini, mas kahwin cukuplah seperti yang biasa dan kononnya ditetapkan pejabat agama tetapi hantaran kena lebih dari orang lain, barulah orang tau yang anak kita bukan perempuan sebarang. Apa yang sebarangnya? Malahan, sebenarnya tidak ada satu ketetapan atau undang-undang yang menetapkan jumlah mas kahwin sedemikian sebaliknya jumlah tersebut dicadangkan sebagai jumlah minima bererti sekurang-kurangnya dan jumlah tersebut telah berabad lamanya masih di takuk yang lama. Ya, saya akui perempuan yang baik itu adalah perempuan yang rendah mas kahwinnya tapi kalau mas kahwin yang wajib tu boleh direndahkan jumlahnya sedangkan hantaran yang sekadar memenuhi tuntutan adat dan masyarakat itu pulak yang membebankan, tepuk dahi jawab sendiri ler…

Saya bukan menolak amalan masyarakat hari ini tetapi saya sekadar berusaha menjelaskan satu kebenaran yang telah dipinggirkan. Disebabkan kita hari ni lebih cenderung mengikuti lenggok langkah masyarakat sekitar, kesannya ditanggung oleh raja yang hanya sehari itu di belakang hari. Fikirkanlah, kita mengharapkan kebahagiaan anak-anak di dalam perkahwinan mereka tetapi sekiranya anak-anak menanggung beban kewangan yang bermula dari jumlah hantaran, bagaimana ingin bahagia? Zaman sekarang adalah zaman yang segalanya perlukan duit, nak buang air pun setara dengan harga nak minum segelas air kosong. Jika belum menjengah gerbang perkahwinan hutang dah keliling pinggang, bagaimana nak dapatkan jaminan suami tersebut dapat jalankan tanggungjawab menenuhi keperluan rumahtangga? Nafkah itu wajib dan membayar hutang juga wajib.

Renungilah ibu bapa sekelian… bakal isteri juga, jika sayangkan suami… berpada-padalah!!

****Siaran Julai 2005

24 Julai 2008

Percayai pasangan perlu ada batasannya

Seorang kakak menelefon menceritakan tentang adik iparnya iaitu isteri kepada adik lelakinya yang terlalu percayakan suami. Setiap apa kata suami baginya adalah benar, tidak ada yang tidak benar melainkan benar belaka… dah macam ayat dalam mahkamah pulak… si isteri juga akan menafikan segala kata-kata orang lain tentang sikap dan tingkah laku suami di belakangnya walaupun ianya datang dari ibu bapanya sendiri. Menurut kakak ipar yang baik hati ini, beliau kasihan melihat adik iparnya diperlakukan semacam boneka, berlagak baik di depan isteri tapi di belakang isteri, adik lelakinya itu bagaikan mat romeo paling masyhur di dunia. Saya rasa bangga mengenali kakak ipar sebegini. Tidak menyebelahi sebuah kecurangan walaupun yang curang adalah darah dagingnya sendiri.

Saya juga rasa bangga mengenali seorang isteri yang amat percayakan suami dan sanggup mengendahkan segala kata orang lain walaupun ibu bapa sendiri. Namun, sikap sebegini bukanlah satu sikap yang baik sebenarnya. Ya, kalau tak percayakan suami atau isteri sendiri, nak percayakan siapa lagi? Bukannya tak boleh percaya tetapi kepercayaan kita kepada pasangan kita itu perlu ada batasannya. Dalam seratus peratus kepercayaan itu sematkan hanya lima peratus rasa ragu dan sangsi. Maksud saya, jika ada yang seperti tidak kena atau kita dapat tau ada sesuatu tentang pasangan kita, kita wajar selidiki… menyelidik inilah menepati kategori kesangsian yang perlu walau sekadar lima peratus itu.

Jangan salah faham pula, bukannya saya nak ajar pembaca semua berasa sangsi dengan pasangan masing-masing tetapi saya ingin ingatkan betapa perlunya kita berhati-hati. Berhati-hati tak salah kan…!? Sama juga dalam apa jua perkara yang kita lakukan, kita dinasihatkan supaya yakin tetapi jangan terlalu yakin. Keterlaluan adalah satu sifat melampau yang biasanya akan mengundang masalah di belakang hari. Sebagai contoh, seorang isteri menyedari perubahan suami yang sejak kebelakangan ini kerap kali balik lewat dari biasa. Bila ditanyakan, suami memberi alasan banyak kerja. Tak apa, terima dulu katanya itu tetapi jika dah berlarutan maka sewajarnyalah kelewatan suami tersebut disiasat, bimbang kerja lain yang dibuatnya pula. Bukan menuduh tetapi kebanyakan kes begitulah sudahnya, kerana isteri akur dan percaya sahaja dengan alasan suami maka suami menggunakan peluang tersebut sebaiknya.

Mana mungkin suami atau isteri menduakan aku sebab dia sayangkan aku… kami kahwin pun atas dasar cinta… aku juga jaga hatinya sebaik-baiknya! Ya… mungkin tidak tapi mungkin juga itulah kebenarannya. Ingatlah, dalam setiap saat yang berlalu itu bermacam perkara boleh berlaku. Seperti kata pepatah, sekali air bah, sekali pasir berubah. Mungkin benar cinta suami atau isteri pada kita adalah cinta murni tetapi jika ada ujian luar yang mendatang… susah nak cakap lagi. Percayalah, tidak rugi kita mempersoalkan sesuatu yang kita rasa pelik dari biasa. Jika suami atau isteri persoalkan semula, kenapa seperti tidak percayai kejujurannya… ucapkan, bukan tak percaya, apa yang kita lakukan adalah atas nama cinta dan kerana cintakan dirinyalah, kita ingin pastikan bahawa tiada apa-apa jua perkara yang dapat memalapkan cinta kita padanya, juga cintanya pada kita.

Satu lagi kebaikan apabila sering mempersoalkan keganjilan sikap pasangan kita ialah pasangan kita akan lebih berhati-hati di dalam setiap tindak tanduknya. Pasti dia akan berfikir banyak kali jika ingin melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan hati kita kerana bimbang jika perlakuannya dapat dihidu dan diketahui oleh kita.

Itu jika kita perasan keganjilan yang berlaku pada pasangan kita tetapi ingatlah juga, jangan disangka sungai yang cetek tak ada buaya. Ada kala dan ketikanya kita langsung tidak menyedari berlaku sebarang perubahan pada pasangan kita tetapi kita ada terdengar atau ada khabar yang sampai kepada kita tentang perlakuannya di belakang kita. Jangan ambil mudah tentang perkhabaran ini. Langkah pertama, ajukan kepada pasangan tentang khabar yang sampai kepada kita, tengok apa reaksinya. Ada jenis yang mengaku tetapi memang ramai yang menafikan malah menuduh orang sengaja ingin merosakkan kebahagiaan. Jika penafian yang diterima, sabar dulu dan lakukan langkah kedua. Jika khabar didengar dari orang yang boleh dipercayai maka mintalah kerjasama orang itu untuk mengumpulkan bukti. Jika khabar didapati dari mereka yang boleh disangsikan, jangan pula khabar tersebut terus dibuang ke tepi tetapi carilah seseorang yang boleh dipercayai dan mintalah kerjasamanya untuk menyiasat khabar yang diperolehi itu.

Seperti yang saya katakan di awal tadi, siasatan yang kita lakukan bukan kerana tidak percaya tetapi sebagai langkah berhati-hati dan berjaga-jaga… seperti kata pepatah, jika tak ada angin masakan pokok bergoyang. Memang ada kala pokok bergoyang sebab digoncang orang tetapi walau apa pun sebab goyangan tersebut, perlu dipastikan dan jangan main agak-agak saja. Agakan bukan satu jawapan yang tepat dan pasti. Jangan dah terhantuk baru nak terngadah, nanti menyesal tak sudah… nauzubillah!!

****Siaran Julai 2005

Kekuatan cinta membahagiakan kita

Kata-kata ini diberikan oleh kawan karib saya semasa di kampus dulu yang juga salah seorang peminat majalah kebanggaan ramai ini. Saya akui kata-kata beliau. Ya, memang betul kekuatan cinta akan membahagiakan kita. Sekiranya cinta kita tulus suci dan ikhlas, biar apa juga masalah atau dugaan yang melanda, cinta kita akan tetap utuh dan bahagia.

Jumaat 8hb April 2005, tarikh yang tidak mungkin saya lupakan. Pada tarikh tersebut, saya telah disamun menyebabkan wang tunai berjumlah melebihi RM1000 yang baru saja saya keluarkan dari mesin ATM, hilang dalam sekelip mata. Mungkin bagi setengah orang, jumlah tersebut kecil tetapi bagi saya, ianya cukup besar. Banyak perkara yang boleh saya selesaikan menggunakan wang tersebut namun, semuanya hancur. Saya pasrah namun sebagai manusia biasa, saya tetap berasa sedih dan kecewa.

Namun, dalam rasa sedih dan kecewa itu, jauh di lubuk di hati saya rasa amat bertuah dan cukup berbangga dengan suami saya. Suami saya memberikan sokongan yang padu menyebabkan rasa kecewa dan sedih saya hilang begitu sahaja. Bayangkan, saya menyedari kehilangan beg duit saya kira-kira jam 2.20 petang. Selepas menyedari kehilangan tersebut, saya menelefon suami. Suami minta saya periksa dulu betul-betul dan jika betul hilang, barulah buat aduan ke balai polis. Selesai buat laporan polis, saya pulang ke pejabat dan tak sampai 10 minit, suami saya tiba di pejabat, menyabarkan saya di atas ujian Allah itu. Sungguh, di dalam keadaan sedemikian, saya memang amat memerlukan beliau dan syukur, tanpa diminta, beliau seperti mengerti. Alhamdulillah….

Mungkin ada ramai lagi isteri yang mempunyai suami seperti suami saya. Bukan sahaja kita para isteri malahan suami juga amat memerlukan kita sebagai isterinya di saat-saat beliau menghadapi kesusahan dan kecelaruan. Tak kira apa jua masalah yang melanda, sekiranya kita memiliki pasangan hidup kita sebagai teman yang sentiasa menyokong, memberikan kita semangat, sudah pastilah segala kesusahan yang mendatang akan berlalu bagai air yang mengalir laju.

Saya teringatkan kisah seorang klien saya, klien lelaki ketiga (yang menjalankan prosiding kes bersemuka) sepanjang usia kerjaya saya melebihi tujuh tahun ini. Beliau menceritakan perihal isterinya yang mula berubah sikap setelah beliau menghadapi masalah kewangan kerana dipecat daripada jawatannya semasa negara mengalami konflik ekonomi. Bukan kisah klien saya sahaja malah jika para pembaca masih ingat, banyak kisah-kisah berkaitan yang dipaparkan di dalam ruangan Tabir Hidup, Ya Tuhan dan Pengakuan Duda di majalah ini. Malahan, dalam dunia yang serba canggih dan globalisasi ini, terlalu banyak kes perceraian berpunca daripada kewangan… kurang duit mahupun berlebihan.
Kalau kurang duit tu, dah tentulah memilih perceraian kerana ingin lari dari beban kewangan. Bila dah lebih pula… memilih perceraian kerana tidak mahu dijadikan sebahagian daripada cawangan… alahaiii!

Saya tak ingin mengomel panjang. Cukuplah kita semua sama-sama fikirkan… kenapa dulu kita memilih isteri atau suami kita itu untuk menjadi pasangan hidup kita? Kerana wangnya kah? Atau kerana rupanya kah? Atau kerana kita amat menyayangi dan menyintainya? Jika kerana rupa… memang ler tak pelik apabila pasangan berubah wajah sahaja dah mula pasang mata cari yang lebih menyedapkan pandangan. Jika kerana harta dan wangnya, rumahtangga memang akan goncang bila kocek dah tak berisi. Jika benar kerana cinta, kenapa bila ditimpa sedikit dugaan dan ujian dah mula berpaling sayang?

Memang rupa itu penting… harta dan duit juga penting tetapi jika kita mempunyai kekuatan cinta dan sayang di dalam diri, kita akan dapat hidup bahagia dan gembira sepanjang hayat kita. Kenapa? Kerana suami atau isteri yang ikhlas menyayangi dan menyintai pasangan hidupnya akan bersedia menerima segala apa jua yang ada di dalam diri pasangannya itu termasuklah kekurangannya. Jika kekurangan suami adalah kewangan, bantulah sedaya mampu kita sebagai isterinya. Suami yang ikhlas menyayangi juga tidak akan membiarkan isterinya merana malahan akan bersedia melakukan apa sahaja demi membahagiakan rumahtangga mereka. Ingat lagi kisah suami rakan saya yang melakukan kerja separuh masa mencuci kereta?

Yang penting… perlu ikhlas dalam menyayangi dan menyintai dan berusaha untuk mengukuhkan rasa cinta di dalam diri. Ingatlah… setiap saat yang berlalu membuka jalan untuk menguji rasa cinta kita… juga ujian untuk tahap iman kita kepadaNya.

Amalkanlah untuk sentiasa berdoa moga Allah memberikan kita kekuatan menghadapi apa jua cabaran hidup berumahtangga, doakan juga agar pasangan kita akan tetap menyayangi dan menghargai kita di dalam hidupnya. Begitu juga doakan agar kita akan menjadi seorang pecinta yang setia dan bersedia menerima walau apa juga yang berlaku kerana pasti tersembunyi hikmah di sebaliknya…

Suamiku… moga kau sentiasa bersamaku… aminnn!!

****Siaran Julai 2005

17 Julai 2008

Isteri adalah rakan kongsi segalanya

Seorang teman menceritakan tentang salah seorang ahli kumpulan e-mel yang disertainya meluahkan rasa kecewa kerana tidak diizinkan oleh suami untuk terus menyertai kumpulan e-mel tersebut. Alasan suami, isterinya membazirkan wangnya sedang bagi si isteri, kumpulan e-mel tersebutlah yang menjadi rakan-rakannya untuk berkongsi pendapat dan menimba ilmu kerana pergaulan isteri terbatas. Tugasnya sebagai seorang suri rumah menyekat kebebasannya untuk bergaul. Sebagai jalan penyelesaian, suami benarkan dengan syarat si isteri perlu merekodkan setiap penggunaan internet dan si isteri sendiri yang perlu melunaskan bilnya.

Mulanya memang susah, sebagai suri rumah, sudah tentu beliau tiada punca pendapatan. Namun, mahu seribu daya, hendak seribu usaha, si isteri bersetuju dan berhasrat menggunakan peluang yang diberikan dengan sesungguhnya. Dengan bermodalkan sedikit wang hasil simpanan ketika bekerja semasa belum berumahtangga, beliau menyertai satu perniagaan siber. Kini, beliau bukan sahaja bebas menyertai kumpulan e-mel tetapi berjaya memiliki pendapatan hasil perniagaan siber yang disertainya. Saya berbangga dengan beliau, selayaknya kaum wanita semua mentauladani kisah ini.

Topik saya minggu ini ada sedikit kaitan dengan kisah ini. Apabila rakan saya menamatkan ceritanya, saya teringat kisah seorang klien saya ketika mula-mula saya melibatkan diri di dalam bidang guaman dan kaunseling keluarga ini. Klien saya ini juga seorang suri rumah yang menguruskan seorang suami, seorang anak kandung, lima orang anak tiri termasuklah menyelenggarakan sebuah rumah besar 2 tingkat, lengkap dengan segala peralatan. Malangnya klien saya tidak gembira dengan hidupnya kerana beliau tidak diperlakukan sebagai seorang isteri.

Bukan mengeluh kerana penat menguruskan rumahtangga tetapi layanan yang diberikan oleh si suami amat meletihkannya. Selain teman tidur suami, beliau ibarat hamba di dalam rumah sendiri. Tidak bebas menggunakan segala kelengkapan dan peralatan yang ada. Nak tonton televisyen, perlukan izin suami. Jika suami melepak kat lantai, jangan harap ler isteri nak bersenang-senang di atas sofa. Pokoknya, segala peralatan yang ingin digunakan perlu dapatkan izin suami terlebih dahulu setiap kali nak digunakan. Jika tidak, kena makan ler kata-kata sindiran atau makian, paling dasyat tangan pun terpaksa dimakan sama. Enam tahun bertahan akhirnya klien saya bebas selamanya.

Mungkin lebih banyak lagi kes sebegini di luar sana. Bukan sahaja suri rumah malahan isteri yang bekerjaya juga ada yang diperlakukan sedemikian rupa. Harta dan pendapatan suami adalah hak mutlak suami, pendapatan isteri juga hak mutlak suami malah isteri terpaksa merayu bila perlukan wang atau sesuatu. Ini tidak betul dan tidak wajar berlaku.

Suami adalah sebagai ketua keluarga, bertanggungjawab ke atas segala keperluan isteri samada isteri tersebut suri rumah atau pun bekerja. Akad nikah adalah satu perjanjian perkongsian hidup antara suami dan isteri. Berkongsi suka, berkongsi duka malahan berkongsi harta suami tetapi tidak harta isteri. Harta dan pendapatan isteri adalah hak isteri yang mutlak dan sekiranya suami berkehendakkan harta dan pendapatan isteri, isteri boleh mengkategorikannya sebagai hutang. Hutang yang perlu dibayar walaupun tidak dituntut. Ini kata syarak, bukan kata saya.

Namun, apabila sebuah perkahwinan terbina selayaknyalah segalanya adalah perkongsian bersama, harta suami adalah milik isteri, begitu juga harta isteri adalah milik suami kerana prinsip ini tidak melanggar syarak. Syarak membenarkan perkongsian sebegini dengan syarat isteri meredhai seikhlas hati dan bukan dengan paksaan.

Selain berkongsi harta, isteri juga sewajarnya adalah rakan kongsi suami di dalam segala suka dan duka, segala masalah dan resah dan gelisah. Namun tidak semua suami mengamalkan perkongsian ini. Kebanyakannya hanya mampu berkongsi harta dan berkongsi rasa suka dan gembira. Sebaliknya apabila diri berduka, isteri dibiarkan tertanya-tanya kenapa suami bermuram dan bermasam muka. Malahan ada juga isteri yang bersikap sebegini, lebih senang menceritakan kekalutan jiwa kepada orang lain.

Sebenarnya, tak kira samada isteri atau suami, apabila menghadapi sebarang masalah, pasangan kita adalah tempat rujukan kita yang pertama walaupun masalah tersebut berkaitan dengan pasangan kita. Di dalam situasi tersebut, rujukan itulah dinamakan perbincangan. Sekiranya masalah bukan berkaitan pasangan kita pula, luahkan juga segala apa yang membeku di minda. Kita yang mendengar pula perlu bijak menangani suasana. Mungkin kita tidak dapat memberikan sebuah penyelesaian terbaik tetapi memadailah kita sanggup meluangkan masa mendengar luahan hatinya. Ketahuilah, kaunselor terbaik sebenarnya adalah pendengar yang baik.

Ingatlah juga, isteri atau suami yang baik adalah mereka yang juga mampu menjadi kekasih, rakan dan sahabat yang baik kepada pasangan masing-masing.

****Siaran Jun 2005

Anak-anak adalah amanah Allah

Kita masih berada di dalam suasana sambutan Hari Ibu dan akan datang pula, sambutan Hari Bapa dan saya masih ingin memperkatakan mengenai kedua-dua insan yang amat besar pengorbanan mereka terhadap kita yang bernama anak.

Ingat lagi Nur Amalina Che Bakri? Menitik air mata saya menyaksikan kejayaan beliau yang telah berjaya memecahkan rekod pendidikan negara dengan mencatat kejayaan membanggakan apabila memperolehi 17A1 di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Walaupun artikel saya ini disiarkan setelah lebih dua bulan berita kegemilangan Nur Amalina menggegarkan negara, namun saya yakin ingatan pembaca semua masih segar dengan cerita beliau. Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa saya menitiskan air mata? Entahlah, memang sukar diceritakan tetapi apa yang pasti saya berasa cukup bangga dengan kejayaan beliau dan bayangkanlah perasaan Puan Sabariah Hassan, ibu Nur Amalina, sudah pasti lebih sukar untuk diterjemahkan.

Walaupun kebiasaannya kejayaan anak-anak di dalam peperiksaan dikaitkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan mungkin juga kerana susah payah para guru tetapi jerih perih para ibu dan bapa pelajar tersebut tetap perlu diperhatikan. Saya yakin, ibu Nur Amalina malahan semua ibu di luar sana bersetuju bahawa peranan kitalah yang lebih menyumbang ke arah kejayaan anak-anak. Kenapa? Kerana kita memainkan peranan yang besar di dalam pembesaran dan pendidikan anak-anak.

Tugas mendidik dan membesarkan anak sememangnya tanggungjawab kedua-dua pihak suami dan isteri. Namun, bersesuaian dengan karektor sebagai insan yang mengandungkan, insan yang melahirkan, insan yang menyusui, insan yang membesarkan… memang tidak dapat dinafikan bahawa tanggungjawab dan tugas menentukan kualiti seseorang anak lebih terletak di bahu seorang ibu. Bukannya saya menafikan peranan bapa tetapi peranan ibu adalah lebih utama tak kira ibu itu suri rumah sepenuh masa ataupun ibu yang bekerjaya. Mungkin juga lantaran tanggungjawab inilah, rata-rata keluarga sekarang ini lebih senang mempunyai bilangan anak yang sedikit.

Saya tidak menafikan bahawa ada isteri dan ibu yang mampu mendidik anak-anak yang ramai hatta lapan, sembilan orang malahan ada yang lebih lagi, menjadi insan yang berkualiti. Tetapi kebanyakan ibu ini adalah suri rumah sepenuh masa. Bagi yang bekerjaya, pertimbangkan kemampuan anda. Jika anda mampu, silakanlah. Jika tidak, pandai-pandailah bertindak. Memang Rasulullah s.a.w berbangga dengan umatnya yang ramai tetapi kebanggaan hanya bagi umat yang berkualiti. Yang tidak berkualiti hanya merosakkan agama.

Ingat… anak-anak adalah amanah daripada Allah yang perlu kita jaga, yang perlu kita didik, yang perlu kita belai dan pupuk menjadi insan yang berkualiti di dunia dan di akhirat juga. Anak-anak bukan tempat kita melampiaskan nafsu serakah, anak-anak juga bukan tempat kita melepaskan rasa marah. Saya teringat satu emel yang pernah saya terima kira-kira sebulan lepas. Seorang wanita bekerjaya meluahkan rasa hatinya yang dia sendiri sukar mengerti. Katanya, dia tidak tahu mengapa tetapi apa yang dia sedar, dia sering rasa geram dan marah pada si anak yang hanya berusia tiga tahun dan si anak sering menjadi mangsa pukulannya. Saya beristighfar panjang selepas membaca emel tersebut dan tidak pernah saya menjawab sesuatu emel dengan kadar segera tetapi emel tersebut saya jawab sejurus selepas saya terima dan mengharapkan pengirim emel menghubungi saya namun hingga artikel ini ditulis, beliau masih tidak menghubungi saya. Andai anda membaca artikel ini, hubungilah saya segera kerana kita perlu berbincang.

Sememangnya kes ini amat memberi kesan pada diri saya kerana ianya melibatkan anak-anak kecil. Anak-anak yang tidak mengerti apa-apa. Anak-anak yang sentiasa mengharapkan perhatian, belaian dan kasih sayang daripada kita. Anak-anak ini tidak pandai meluahkan rasa hati kecuali melahirkan emosi tersembunyi melalui tangisan, hilai tawa, bermasam muka dan sesekali mereka juga memberontak melawan kita. Awas!! Jangan cepat melatah… apa yang mereka lakukan adalah demi mengharapkan perhatian kita. Kita yang perlu memantapkan diri dengan jati diri yang kukuh dan utuh bagi memahami kerenah dan telatah mereka.

Bukan sekadar si kecil malahan anak-anak yang sedang meningkat remaja juga memerlukan perhatian kita. Kita juga masih perlu memantau perkembangan mereka termasuk segala aktiviti luar mereka. Anak-anak di dalam usia sebegini mempunyai lebih banyak ranjau dan onak yang perlu diharungi. Perhatian kita akan menyelamatkan mereka daripada terhumbam ke jurang yang dalam dan tak bertepi.

Sesungguhnya, cahayamata adalah anugerah Ilahi yang paling besar di dalam hidup sepasang suami isteri. Namun, kesediaan memiliki cahayamata dan kemampuan menjadikan anak-anak insan berguna kepada agama, bangsa dan negara perlu diambil kira. Lantaran, penuhkan dada dengan ilmu keibubapaan kerana satu hari nanti, anak anda akan turut menjadi kebanggaan semua.

Emakku, Che Su Md Isa dan bapaku, Ghazali Ebramsa, terima kasih kerana mendidikku dan tujuh adik-adikku menjadi insan. Terima kasih juga kerana menjadikan diri kalian idolaku. Ayuni Syafiqah dan Azfar Suhail kesayangan Ummi, moga satu hari nanti kalian akan menjadi anak-anak soleh dan solehah, harta peninggalan Ummi selepas usia dijemput pergi mengadap Ilahi. Amin!!

****Siaran Jun 2005

16 Julai 2008

Campur tangan ibu bapa dalam rumahtangga anak-anak

Kita baru sahaja menyambut Hari Ibu dalam seminggu yang lepas, rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua para ibu atau emak atau ummi atau mama atau apa saja panggilannya yang penting maknanya sama. Kepada para bapa pula, jangan bersedih kerana kalian juga bakal meraikan sambutan Hari Bapa pada pertengahan bulan depan. Bersempena dengan kedua-dua sambutan ini, saya berhajat untuk menunaikan janji saya suatu ketika dulu untuk membincangkan topik di atas, apakah ibu bapa berhak campur tangan di dalam urusan rumah tangga anak?

Jika dibuat undian, samada jawapan kepada soalan saya tadi adalah Ya atau Tidak, pasti peratusannya hampir sama banyak. Sebenarnya setiap ibu dan bapa memang berhak campur tangan di dalam urusan rumah tangga anak-anak tetapi campur tangan tersebut mempunyai had dan batasannya.

Awal-awal bab rumah tangga adalah menentukan jodoh dan pasangan. Pada peringkat ini, ibu bapa berhak campur tangan bagi menentukan bakal pasangan si anak adalah daripada golongan mereka yang baik pekerti, sihat tubuh badan dan paling penting adalah beriman. Biarlah tidak kaya tetapi jika seseorang itu mempunyai iman maka segala urusan akan dapat diuruskan dengan mudah.

Berkata mengenai iman, bukan bererti lelaki tersebut perlu keluar sebagai graduan syariah atau usuludin ataupun perlu seorang yang berjanggut tebal atau berserban. Sememangnya perkara iman susah untuk dikenal pasti tetapi kita boleh uji seseorang itu bagi mengetahui tahap keimanannya. Bukan perlu khatam kitab-kitab tua tetapi perkara paling penting, mengerjakan solat waktu yang lima kerana apabila solat terjaga maka segala-galanya juga akan terpelihara.

Sekiranya pilihan anak-anak menepati kehendak seperti yang disarankan oleh syarak maka sebagai ibu bapa, kita perlulah berikan izin dan redha dengan pilihan si anak. Dalam situasi begini, campurtangan kita adalah dengan mendoakan agar pilihan anak kita adalah pilihan yang tepat dan memberikan kebaikan buat diri anak kita juga buat diri kita di masa depan nanti. Sama jugak dengan situasi sekiranya jodoh anak kita kurang menepati pilihan kita dan saranan syarak, campurtangan kita adalah dengan mendoakan kebahagiaan perkahwinan mereka kerana Allah telah berjanji, mohonlah padaNya dengan berdoa, Dia akan makbulkan.

Namun, seperti janji Allah juga, Dia takkan biarkan iman kita begitu sahaja tanpa diuji dan salah satu ujiannya adalah dengan memberikan dugaan dan permasalahan di dalam rumah tangga dan mungkin ianya terkena kepada anak-anak kita walaupun pada awalnya kita yakin, menantu kita adalah yang terbaik malahan kita sering mendoakan ke arah kebahagiaan berkekalan. Apabila keadaan ini terjadi, jangan mudah gelabah, sungguhpun kita mendengar cerita daripada anak kita ataupun kita nampak dengan mata sendiri betapa menderitanya anak kita dengan perkahwinannya, langkah pertama untuk kita campur tangan ialah dengan meminta anak kita berbincang secara baik dengan pasangannya. Ingat!! Jangan sesekali kita turut masuk campur dalam perbincangan mereka kerana kebiasaannya agak sukar untuk ibu bapa bersikap rasional apabila menghadapi situasi sebegini. Bak kata pepatah, cubit paha kanan, paha kiri pun terasa. Campur tangan kita kadangkala akan lebih merosakkan suasana. Malahan, ada jenis ibu bapa yang akan memenangkan anak-anaknya walaupun hakikat sebenarnyanya, anaknya yang bersalah.

Cara terbaik ialah biarkan anak kita dan pasangannya berbincang. Jika tiada jalan penyelesaian, cadangkan agar kes mereka dirujuk kepada pihak berwajib. Namun, berbeza pula jika berlaku kes-kes yang membahayakan keselamatan, sebagai contoh suami anak kita adalah seorang yang panas baran apatah lagi jika anak kita telah didera maka di dalam keadaan ini, sebagai ibu bapa, kita wajar campur tangan dengan menyelamatkan anak kita malahan wajar bagi kita mengeluarkan anak kita daripada rumah suaminya. Cukup dengan mengambil anak kita dan bawakan ke tempat yang selamat tetapi sebelum di bawa ke tempat yang selamat itu, kita perlu laporkan ke balai polis yang berhampiran bahawa kita membawa anak kita keluar dari rumah suaminya di atas sebab keselamatan. Laporan ini berguna di belakang hari bagi mengelakkan anak kita dituduh sebagai nusyuz malahan saya sendiri pernah membantu seorang klien keluar dari rumahnya atas alasan yang sama dan pihak polis menanyakan klien saya itu samada pihak polis perlu menangkap suaminya atau tidak kerana suami klien saya itu menggunakan senjata tajam.

Campur tangan ibu bapa di dalam urusan rumah tangga anak-anak juga perlu bagi memelihara kerukunan rumah tangga anak-anak terutamanya sekiranya anak-anak kita adalah punca rumah tangga mereka goyah. Di sinilah ibu bapa sebagai insan yang lebih matang dan berpengalaman dan sebagai insan yang selalu mengisytiharkan, mereka lebih dulu rasa masinnya garam, perlu memberikan nasihat dan kritikan membina untuk anak-anak. Jangan bersikap jaga tepi kain sendiri sahaja sedangkan kain yang koyak adalah kain zuriat kita, kita juga akan turut sama menanggung kesannya.

Jelas seperti tulisan saya di awal tadi, ibu bapa berhak campurtangan di dalam urusan rumah tangga anak-anak tetapi tahap campurtangan tersebut perlu dipertimbangkan sebaiknya agar yang cantik jadi lebih indah dan yang retak tidak hancur berderai.

****Siaran Jun 2005

Jangan jadi pemusnah kebahagiaan orang lain

Kira-kira 3 bulan lepas, seorang rakan yang juga adik sepengajian yang juga berada di dalam bidang kerjaya yang sama dengan saya menghubungi saya. Mulanya kami berbual ceria seperti biasa tetapi tetiba sahaja beliau bersuara kendur, katanya inginkan pertolongan saya. Setelah diceritakan, saya menarik nafas… inilah yang dikatakan ujian. Kata orang, pawang buaya mati di mulut buaya, bagi kami yang bekerja di dalam bidang kaunseling rumahtangga dan guaman ini, akan menerima ujian yang berkaitan juga.

Bagi rakan saya ini, beliau sedang mencari teman hidup dan ditakdirkan muncul seorang lelaki. Setelah kata janji diikat, tiba-tiba si lelaki membocorkan rahsia diri bahawa dirinya adalah suami orang dan ayah kepada seorang kanak-kanak berusia empat tahun. Namun, khabarnya beliau tidak bahagia dengan perkahwinan sedia ada lantaran sikap isterinya yang sering marah-marah hinggakan sanggup memukul anak bagi melepaskan rasa marah, si isteri gagal memenuhi tanggungjawab hinggakan segala kebajikan suami diabai dan macam-macam lagi. Menurut rakan saya itu, lelaki tersebut mengambil jalan berterus terang agar rakan saya tidak rasa tertipu dan lelaki tersebut bersungguh-sungguh mengatakan akan menceraikan isterinya yang tidak bertanggungjawab itu.

Bila mendengarkan cerita yang kononnya sebuah keikhlasan dan terus terang daripada si lelaki, mungkin kita akan berkata, lelaki ini memang jujur… kalau tak, takkan ler dia nak berterus terang yang dia tu suami orang. Tetapi bagi saya, dengar boleh, percaya belum tentu… apa-apa pun, kena selidik dulu. Rakan saya bersetuju. Saya bertindak menjadi ‘private investigator’ bagi pihak rakan saya. Setelah diselidiki rupa-rupanya segala cerita si lelaki langsung tak boleh dipercayai. Realiti sebenar, dia yang panas baran… dia juga yang abaikan tanggungjawab… dia juga yang tidak suka melayan anak… bak kata Pak Cik Astro, macam-macam ada… memang sukar rakan saya menerima sebab hati telah suka tapi syukur cintanya tidak menggugat kerasionalannya.

Walau berjuta janji si lelaki taburkan… sanggup berubah demi cintakan rakan saya, rakan saya nekad, dia tak mahu jadi pemusnah rumahtangga dan kebahagiaan orang lain. Saya puji sikapnya dan berikan keyakinan, jodohnya akan tiba juga dan baru-baru ini dia menghubungi, insyaAllah penghujung tahun ini majlis perkahwinannya akan dilangsungkan, pilihan hati yang direstui orang tua dan paling penting, bebas dari hak sesiapa, sungguh… setiap orang ada jodohnya.

Jika kita enggan dikhianati, usahlah kita mengkhianati. Sama juga, jika kita tidak mahu kebahagiaan kita musnah, jangan cuba memusnahkan kebahagiaan orang lain. Sesungguhnya alam rumahtangga adalah alam yang penuh pancaroba tetapi jika teguh sehati sejiwa mengharunginya, segalanya akan indah belaka. Paling penting, jangan izinkan wujudnya pihak ketiga, kes sebesar hama boleh jadi sebahaya drakula.

Kaum wanita khususnya, jangan jadi pemusnah. Kenapa saya tujukan kepada kaum wanita? Sebab hampir 90% kemusnahan hidup wanita adalah disebabkan oleh kaum wanita juga, tak kira sebagai teman wanita atau sebagai mertua bahkan jiran tetangga. Sungguh… memang betul kata hadis, kaum wanita adalah fitnah.

Jatuh cinta? Memang cinta bukan paksaan, kalau dah tetiba cintakan suami orang, takkan perasaan nak disalahkan? Kalau berfikiran macam tu, fikirkan pula, andai dirimu di tempat isteri kekasihmu, apa pula perasaanmu? Gembira? Dusta semata… sudah pasti kamu terluka dan saya yakin, andai kamu memiliki cinta suami orang hasil pengorbanan isteri pertama… kamu tetap tidak akan sanggup berkongsi kasih sekiranya suami inginkan rakan kongsi ketiga dan ingatlah, lelaki sebegini tidak akan pernah merasa cukup hingga memenuhi keempat-empat kuota yang ada.

Ibu mertua pula… walau menantu perempuan bukan pilihan hati, fikirkanlah… walau siapa pun dia, dia adalah kaum sejenismu… kaum yang sama-sama ingin mengecapi bahagia hidup atas nama cinta… letakkan dirimu di tempatnya… apakah yang dikau rasa?

Jiran tetangga… fikirkan juga, andai dugaan tersebut kamu yang terima? Ataupun anakmu yang menerima nasib yang sama diperlakukan tidak seperti manusia? Bagaimana?

Lantas, renunglah dan fikirkanlah semasak-masaknya… walau takdir telah tertulis tetapi kita hanya layak pasrah menerima ketentuannya apabila kita tidak berdaya menolaknya lagi… bukan kita sendiri yang pandai-pandai cari pasal untuk mencipta bahagia sendiri tanpa mempedulikan kehidupan orang lain. Sebelum lakukan sesuatu, fikirkan… bagaimana sekiranya aku ditempatnya?

****Siaran Jun 2005

10 Julai 2008

Isteri paling mudah masuk syurga jika..

Jika ditanyakan kepada sesiapa pun jua di dunia ini, tidak ada yang menafikan keinginan untuk masuk syurga walau hakikatnya ramai yang tidak tahu apakah itu syurga yang sebenarnya. Yang diketahui ialah syurga adalah satu tempat yang indah dan membahagiakan lantaran itulah wujud beberapa tempat yang disogokkan sebagai syurga dunia. Sebagai kaum wanita Muslimah, kita seharusnya bersyukur kerana Islam menjanjikan bahawa sebagai seorang isteri, kita adalah makhluk yang paling mudah masuk syurga. Bagaimana? Hanya dengan melakukan dua perkara iaitu pertama, mentaati Allah dan Rasul dan kedua, mentaati suami. Mudahkan? Hanya dua perkara tetapi dua perkara yang mudah inilah paling sukar untuk kita lakukan.

Mungkin ada di kalangan pembaca yang pelik, kenapa tiba-tiba saya timbulkan topik perbincangan sebegini. Sebenarnya, saya ingin sedarkan diri saya dan diri para pembaca semua terutamanya kaum wanita tentang siapa kita sebenarnya. Mungkin selama ini, penulisan saya rata-rata memperkatakan tentang wanita yang dianiaya dan menjadi mangsa. Namun, kali ini saya ingin bangkitkan tentang sikap antara kaum wanita yang semakin hari semakin lupa siapa dirinya yang sebenarnya.

Sejak akhir-akhir ini saya sering menerima emel daripada para suami yang menceritakan perihal isteri masing-masing yang bersikap jelek, curang, kasar, biadap, tidak menghormati suami… berbeza sekali dengan sikap wanita yang terkenal sebagai makhluk yang lemah lembut dan penyayang. Malahan satu emel yang agak mengejutkan saya, pengakuan seorang isteri tentang kecurangannya kepada si suami. Saya akui wanita ini berani dan jujur kerana mengakui kesalahannya dan syukurlah hidayah masih terbuka untuknya. Tetapi, yang menjadi tarikan saya untuk membincangkan topik ini ialah, kenapa wanita kita kini jadi makin liar… tiada lagi rasa kasih apatah lagi simpati?

Apakah ini yang kita perjuangkan selama ini? Ingin mendapatkan hak kesamaan antara kita dan kaum lelaki hatta menumbangkan segala kebanggaan sifat kasih sayang dan lemah lembut yang ada di dalam diri? Demi sebuah impian yang belum pasti yang ingin kita kecapi, wajarkah kita abaikan pengorbanan insan yang ikhlas menyayangi dan menyintai kita selama ini? Patutkah kita rosakkan masa depan anak-anak yang kita lahirkan ke dunia ini demi mencapai kepuasan sendiri?

Sungguh, saya rasa amat sedih bila mengenangkan semua ini. Kenapa perlu kita rosakkan segalanya apabila kaum lelaki merelakan kita menyaingi mereka secara sihat? Jika dahulu wanita hanya betah di dapur tapi kini wanita sudah berada di angkasa raya. Jika dahulu wanita hanya menghayun buaian tetapi kini tangan wanitalah yang menggegarkan dunia. Tidak cukupkah semua itu? Perlukah harga diri dan maruah kita dicemari kerana status kita yang lebih gah kini?

Ingatlah kaum wanitaku semua, walau siapa pun kita… walau apa juga jawatan yang kita pegang… walau apa juga gelaran atau bintang yang kita perolehi… selagi kita bernama ibu dan isteri, selagi itulah kita perlu hormat, taat dan cintakan suami sepenuh hati. Bukannya sekadar cinta di kala suami berharta tetapi cinta sepanjang masa… di waktu senang juga di masa susahnya. Ya, saya tahu tugas menyara keluarga terletak di bahu suami tetapi dah nama sebagai isteri dan rakan kongsi suami, kita wajar membantu suami di kala suami susah dan menghadapi masalah kewangan dan segala masalah lainnya.

Bukannya bererti apabila tanggungjawab nafkah adalah di bahu suami dan apabila suami menghadapi masalah menunaikan kewajipannya itu, kita harus angkat kaki ataupun mencari lelaki lain sebagai pengganti. Inilah antara kes yang diadukan kepada saya sejak akhir-akhir ini. Sewajarnya, apabila keadaan ini terjadi, kita sebagai isteri menghulurkan bantuan dan sokongan kepada suami. Bantu selagi daya, sokong segala cara.

Ya… mungkin ada yang bimbang jika bantuan yang diberi disalahgunakan oleh suami. Risau jika sokongan yang dihulur, disalaherti pula oleh suami. Seperti yang pernah saya nyatakan sebelum ini, rekodkan setiap perbelanjaan yang kita hulurkan demi bantuan dan sokongan tersebut. Simpan segala bukti, insyaAllah, bukan meminta tetapi jika berlaku sesuatu yang tidak diingini di belakang hari, kita dah cukup pertahanan diri.

Ingatlah kata-kata hikmah… di belakang seorang lelaki pasti ada seorang wanita… apa ertinya? Ertinya kita sebagai isteri merupakan penyokong kuat suami kita. Suami memerlukan sokongan kita sepanjang masa. Sukar bagi seorang lelaki untuk berjaya tanpa mendapat sokongan isterinya. Ya… memang perit dan payah tambah lagi apabila segala pengorbanan sukar dihargai tetapi ingatlah… kerana kita wanitalah maka kita ditakdirkan sebagai isteri kerana hanya wanita yang mempunyai ketabahan hati dan kesabaran yang tinggi berbanding lelaki. Kerana itulah juga, betapa mudahnya kita mendapat jaminan syurga, berusahalah!!!!

****Siaran Mei 2005

Apa salah Alisya?

Siapakah Alisya? Bukan artis popular… bukan wanita hartawan ataupun wanita bangsawan. Alisya adalah seorang anak kecil yang berusia hampir tiga tahun yang masanya banyak dihabiskan di taska bersama para pengasuh. Ibu dan ayah akan menghantar Alisya ke taska di awal pagi dan hanya akan mengambil Alisya dari taska selewat jam 11 malam, setiap hari Isnin hingga Jumaat dan pada hari Sabtu pulak, Alisya hanya akan meninggalkan taska sekitar jam 5 petang atau paling lewat jam 9 malam.

Mungkin ada di kalangan pembaca yang pelik, kenapa sampai begini? Ada pulak taska yang sanggup menjaga Alisya sebegitu lama. Apa agaknya pekerjaan ibu dan ayah Alisya? Jawapannya, ibu dan ayah Alisya bekerja di pejabat yang tamat operasi pada pukul 5 petang, rumah mereka tidak jauh dari tempat kerja malahan agak dekat juga dengan taska. Pengasuh terpaksa menjaga Alisya kerana ibu dan ayah Alisya dah membayar pakej mengambil anak-anak lewat dari masanya sebanyak RM50 sebulan. Keterpaksaan itu akhirnya mengundang rasa kasihan kepada Alisya kerana merasakan kehadiran Alisya bagai tidak dihargai oleh ibu dan ayahnya.

Ya, saya yang mengetahui cerita ini pun rasa kasihan. Melihatkan Alisya yang comel, tangkas dan cerdik membuatkan saya terfikir, kenapakah Alisya diperlakukan sedemikian. Sibuk? Apakah yang lebih utama daripada anak yang perlukan perhatian dan bimbingan? Mustahil sekeras itu ibu dan ayahnya terpaksa bekerja untuk menyara hidup. Apa yang dicari sebenarnya? Kemewahan? Kebahagiaan? Tidak ada harta yang lebih bernilai daripada seorang anak. Tidak ada bahagia yang sebenarnya jika amanah yang Allah serahkan kepada kita diabaikan.

Saya dah pernah bincangkan topik anak-anak sebagai amanah Allah ini tetapi saya masih ingin bincangkannya sekali lagi. Tidak salah rasanya apabila sering mengingatkan kerana perkara yang sering diingatkan adalah perkara yang sering kita abaikan. Sama jugak seperti sembahyang, setiap hari lima kali azan akan dikumandangkan tapi ramai lagi yang tidak mengendahkan. Sungguh, dunia akhir zaman…!

Kembali ke topik perbincangan kita… satu soalan ingin saya ajukan kepada pembaca semua… wajarkah ibu dan ayah Alisya bertindak sedemikian? Cuba hitungkan… berapa lamakah masa yang ibu dan ayah Alisya peruntukkan untuk anak mereka yang hanya seorang itu? Kalau setiap hari diambil jam 11 malam, waktu tidur bagi kanak-kanak seusia Alisya tu. Paginya, dah dihantar pulak ke taska… alahaiii… kesian si anak!!

Di kesempatan ini, saya ingin mengingatkan diri saya dan menyeru kepada semua para ibu dan ayah… hargailah anak-anak anda. Anak-anak adalah permata hidup kita. Bersyukurlah kerana kita diberikan peluang untuk menjadi seorang ibu dan ayah. Kita dah tentu punya generasi penyambung keturunan. Fikirkan berapa ramai lagi lelaki dan wanita di luar sana yang tidak berpeluang merasai nikmat menjadi seorang ibu atau ayah walau telah suku abad menjengah gerbang perkahwinan.

Anak-anak tidak pernah minta kemewahan cukuplah sekadar keperluan. Anak-anak yang inginkan kemewahan hanyalah anak-anak yang dididik oleh ibu dan ayah untuk bersikap sedemikian. Jika kena cara asuhan dan didikan, anak-anak akan dapat hidup bahagia walau ibu dan ayah menjalani hidup kais pagi makan pagi. Tengok saja kisah-kisah anak-anak yang hidup di dalam keluarga yang sederhana atau miskin… anak-anak ini hidup ceria dan bahagia walau setiap hari hanya makan nasi sekali dan itupun sekadar berlaukkan telur dadar yang digoreng hanya dengan garam.

Kenapa? Kerana jiwa anak-anak ini kaya dengan kasih sayang ibu dan ayah mereka. Mereka miskin harta tapi penuh dengan limpahan kasih sayang dan perhatian ibu bapa. Kes-kes remaja rosak akhlak juga berpunca daripada anak-anak yang kurang mendapat perhatian dan kasih sayang ibu bapa. Bererti… puncanya ibu dan bapa… kenapa bila anak-anak terlibat dengan jenayah, ibu bapa pulak bermatian-matian menafikan yang penjenayah itu anaknya.

Bukan sekadar senang terjebak ke lembah hina, anak-anak yang terpinggir daripada perhatian ibu bapa ini juga akan meminggirkan dirinya daripada ibu bapa kandungnya sendiri. Ingat lagi kisah lembu punya susu tapi sapi pulak nakkan nama… inilah antara puncanya.

Mungkin ada yang kata… alah.. Alisya masih kecil.. apa lah yang dia faham? Ya.. memang masih kecil tetapi usia yang muda dan tubuh badan yang kecil itu mempunyai jiwa yang cukup besar malahan lebih besar berbanding kita yang dewasa ini. Ketahuilah… emosi anak-anak terbentuk sejak usia kecilnya dan apa jua yang dialaminya semasa kecil akan mendorong perlakuannya dan sikapnya di masa dewasa. Jangan nanti bila anak-anak meminggirkan anda… baru anda pulak nak terhegeh-hegeh menjejak kasihnya. Kalau nasi menjadi bubur, ada gunanya lagi tapi kalau dah hangus terus… hanya pahit jer yang akan dirasai.

****Siaran Mei 2005

07 Julai 2008

Jatuhkah martabat bila lelaki memikul tugas wanita

Seorang pembaca yang menamakan dirinya peminat setia ruangan resipi hidup… terima kasih banyak-banyak… mengirimkan emel kepada saya… suaminya enggan membantu beliau menguruskan rumahtangga ataupun anak-anaknya seramai lima orang. Beliau bekerja dan katanya di dalam emel itu lagi, di dalam usia mencecah 35 tahun, beliau rasakan wajahnya kelihatan seperti wanita berumur awal 50-an lantaran kepenatan seharian dengan kerja pejabat dan kerja rumah serta dek rasa ‘tensyen’ dan tertekan dengan sikap suami. Bukannya tak pernah menyuarakan hasrat hati memohon bantuan suami tetapi jawapan si suami… Mak saya ada sembilan orang anak, segalanya diuruskan sendirian. Habis, apa lagi yang mampu beliau lakukan?

Membaca emel peminat setia ini, saya teringatkan kisah benar di TV3 suatu masa dahulu, kisahnya lebih kurang sama dengan kisah pengirim emel ini. Memang ada para suami yang bersikap seperti ini. Enggan membantu isteri melakukan tugasan rumahtangga ataupun membantu menguruskan keperluan anak-anak hatta ada kes, mintak tolong buatkan susu anak pun dah kena penampar suami. Nauzubillah…!! Alhamdulillah, suami saya bukan kategori lelaki sebegini.

Sebenarnya, tugas menguruskan rumahtangga bukanlah kewajipan atau tanggungjawab seorang isteri. Islam meletakkan tugas dan tanggungjawab seorang suami adalah melayan suami di tempat tidur dan menjaga anak-anak sahaja. Tugasan rumahtangga hanyalah tugasan bonus bagi menambat hati suami. Para ulamak salaf pula berpendapat bahawa seorang suami harus dan wajar menyediakan seorang pembantu rumah bagi menguruskan hal ehwal di dalam rumahtangga seperti memasak, mengemas rumah, mencuci pakaian dan sebagainya.

Namun, atas nama rakan kongsi hidup maka anak-anak perempuan ditanam dengan satu prinsip dan dididik agar menjadi tukang masak, tukang kemas rumah dan tukang cuci baju di samping tukang meredhakan kehendak batin suami. Namun, berapa ramaikah yang sedar mengenai kebenaran ini? Kalau sedar pun, berapa ramai yang bersedia menerima hakikat ini? Inilah masalah yang menghantui kebanyakan isteri sekarang ini.

Persoalannya, kenapakah susah sangat para suami nak tolong tugasan isteri di rumah? Penat kerana seharian bekerja di pejabat? Isteri pun penat juga kerana turut bekerja di pejabat. Mungkin ada yang menjawab.. alaaaaa.. perempuan lain la.!!! Apa yang lainnya? Kenapa? Apakah kerana perempuan mempunyai tenaga lebihan dan luar biasa? Habis… kenapa masih mengkategorikan wanita sebagai insan yang lemah? Hilang ego atau jatuh martabat? Ego apa yang ingin dipertahankan? Martabat apa yang dibimbangkan tersungkur kecundang? Insaflah para suami… isterimu dah membantu kamu melunaskan tanggungjawab membiayai keperluan rumahtangga. Apalah salahnya kalau kamu pula yang membantu isteri melakukan kerja-kerja di rumah. Paling tidak pun, perhatikanlah dan jagalah anak-anak ketika isteri sibuk dengan kerja-kerjanya itu.

Saya akui tidak semua suami bersikap sebegini… buktinya, suami saya sendiri… bapa saya juga… adik lelaki saya juga dan beberapa kenalan lelaki lain malah mungkin hampir 20% para suami di luar sana yang bersikap rajin membantu isteri menguruskan kerja-kerja rumah. Malah, ada juga para suami yang menjadi suami rumahtangga atau dalam erti kata lain, suami yang tidak bekerja tetapi menguruskan rumahtangga, menggantikan seratus peratus kerja yang biasanya diuruskan oleh seorang suri rumahtangga seperti dua suami berketurunan Cina yang menjadi tetamu di dalam rancangan 1 2 3 Dutch lady siaran TV3 baru-baru ini.

Namun, kes-kes seperti ini hanyalah satu dalam seratus, yang lebihnya? Statistik inilah yang mesti diubah. Selain rasa ego, satu sebab yang menjadi halangan untuk para suami membantu isteri mereka adalah masyarakat kita sendiri terutamanya kaum wanita jugalah. Inilah yang menjadi masalah besar sebenarnya. Contohnya, jika seorang ibu melihat anak lelakinya membantu isteri di rumah walaupun tolong mengangkat pakaian yang dah kering di ampaian… ataupun para jiran sekeliling yang juga melihat insiden seperti ini, dah pas ti kecoh satu kawasan perumahan mengatakan suami tadi kena ‘control’ dek isteri. Prinsip dan tanggapan sebeginilah yang perlu kita semua kikis dan jangan amalkan lagi.

Fikirkan ler… siapa yang suami tu tolong? Isteri dia gak kan? Kalau awak tu suami tolong, suka ke tak? Jangan sebab suami awak tak tolong atau memang awak jenis yang tak payah ditolong sebab segala kerja memang awak tak pernah buat, awak nak cari pasal dengan orang lain pulak.

Moralnya… kepada para suami di luar sana, jika benar sayang dan kasihkan isteri anda, bantulah kerja-kerjanya di rumah. Biarlah susah dan senang sama-sama dirasai. Kita suami isteri ni saling memerlukan umpama gigi atas dan gigi bawah ler, kalau ada yang kurang, memang tak selesa lagi dah nak mengenyangkan perut. Fikirkanlah….!!

****Siaran Mei 2005

Lembu punya susu, sapi pula nakkan nama

Dalam berkira-kira topik apa yang ingin saya ketengahkan kali ini, tiba-tiba telefon bimbit saya berdering. Panggilan daripada seorang anak yang di dalam dilema antara rasa marah, geram dan serba salah. Menurut si anak, ayahnya yang tidak pernah dikenali selama hampir usianya 30 tahun, kini muncul mengharapkan rasa hormat, kasih sayang dan bantuan kewangan. Hmmm… macam pernah kudengar cerita ini…

Memang satu situasi yang sukar bagi si anak sekiranya berhadapan dengan kemelut seperti ini. Bayangkanlah, selama mengenali erti sebuah kehidupan, insan yang tidak pernah nampak bayang-bayangnya apatah lagi batang hidungnya tiba-tiba muncul mengenalkan diri sebagai ayah. Bukan sekadar mengenalkan diri tetapi mengharapkan satu penghormatan dan kasih sayang. Penghormatan dan kasih sayang melibatkan perasaan, sesuatu yang tidak boleh dipaksa tetapi boleh dipupuk kewujudannya. Wang dan harta benda? Bila melibatkan soal seperti ini, bolehlah dipertikaikan apa alasan lelaki yang mengakui dirinya sebagai ayah ini memunculkan diri.

Seperti yang kita semua sudah sedia maklumi, takkan wujud insan bernama anak jika tidak mempunyai dua insan utama bernama ibu dan ayah, tak kiralah anak sah taraf atau tidak sah taraf. Yang penting, adanya ibu dan ayahlah penyebab utama adanya anak. Sebab itulah setiap anak perlu menghormati ibu dan ayah. Namun, sekiranya sekadar pandai mewujudkan anak tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengasuh, menjaga, memelihara dan mendidik anak tadi, tidak ada faedahnya juga.

Tanggungjawab seorang ibu dan ayah adalah memelihara dan menjaga serta mendidik anak-anak agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Bukannya setelah anak-anak telah berjaya mencipta nama dan mengharumkan nama negara ataupun anak-anak telah berjaya hidup dalam kemewahan harta benda… baru nak bersikap hidung tak mancung pipi yang lebih tersorong-sorong. Bila anak menafikan pernah mengenali siapa dirinya, baru kalut nak adakan ujian DNA dan sebagainya dan paling ‘haru hijau’, sanggup pulak mengemukakan kes ke mahkamah konon si anak tidak menghormati dirinya selayak dan sewajarnya sebagai seorang ibu atau ayah. Sendiri tidak menghormati hak diri, harapkan orang lain pulak untuk menghormati hak dirinya… betul-betul memalukan diri sendiri!!

Seorang anak hanya arif dengan persekitarannya ketika membesar. Seorang anak juga hanya akan mengenal dan menghormati orang yang sentiasa bersamanya, memberinya kasih sayang, memberinya perhatian dan sanggup bersusah payah untuknya. Tidak kira siapa orang tersebut di dalam hidup si anak tetapi jika hanya orang tersebut yang bertanggungjawab menjadikan dirinya sebagai seorang manusia yang sebenarnya maka rasa hormat, rasa kasih dan sayang akan menjadi milik orang tersebut. Mungkin pengasuh, mungkin kakak atau abang, mungkin ibu dan bapa saudara dan mungkin juga ibu dan ayah angkat! Kenapa? Kerana orang itulah yang mencurahkan sejuta pengorbanan demi si anak meniti hari-hari di dalam hidupnya dan insan sebeginilah yang sewajar dan selayaknya menerima penghormatan dan kasih sayang dan juga perkongsian limpahan harta benda si anak.

Namun, selalunya insan yang betul-betul mengabdikan diri demi membesarkan seorang anak kecil sejak tapak kaki hanya sebesar ibu jari, sama sekali tidak akan mengharapkan segala jasa baktinya dibalas oleh si anak. Cukuplah anak yang pernah disayangi dan dijaga bagai menatang minyak yang penuh dapat membesar dan dapat hidup berjaya dan bahagia. Cukuplah anak yang disayangi sepenuh hati mengenangi dirinya sebagai insan yang pernah hadir di dalam kamus hidup si anak. Orang yang sanggup berkorban segalanya ini juga akan sentiasa mendoakan kebahagiaan hidup si anak yang dijaga dan dipeliharanya sejak kecil dan tidak pernah terlintas di dalam hati kecil mereka untuk mengganggu kejayaan atau kebahagiaan hidup si anak walaupun si kecil yang diasuh dan dipelihara sejak kecil itu bukan darah daging mereka.

Begitulah besarnya pengorbanan yang dibuat oleh mereka yang sanggup memikul beban peranan seorang ibu atau ayah. Di dalam diri mereka ada rasa tanggungjawab. Di dalam diri mereka ada rasa kasihan dan belas kepada si kecil yang tidak kenal erti hidup. Berbanding mereka yang hanya pandai mewujudkan seorang insan kecil ke dunia tetapi bodoh dalam mengenal erti sebuah tanggungjawab sebagai seorang ibu atau bapa.

Bila si kecil telah besar panjang… telah berjaya dengan gemilangnya… barulah terhegeh-hegeh memunculkan diri mengakui mempunyai pertalian darah yang wajar si anak hormati. Paling tak sedar diri… pandai pulak marah-marah bila si anak buat tidak peduli.

Alahai!!! Inilah yang dikatakan lembu punya susu tapi si sapi yang terhegeh-hegeh nakkan nama. Sedarlah diri tu sikit….!!

****Siaran Mei 2005

03 Julai 2008

Putus cinta bukan bererti pengakhiran hidup

Seorang gadis telah mengirimkan emel kepada saya meluahkan rasa hatinya yang amat kecewa kerana ditinggalkan oleh lelaki yang dicintainya sepenuh jiwa. Kata si gadis, hidupnya sudah tidak bermakna, hari-hari yang dilalui seakan batu yang menghempap kepala. Dia tidak tahu bagaimana harus meneruskan hidupnya tanpa si lelaki. Segalanya sudah tidak bererti lagi.

Selesai membaca emelnya, saya melepaskan satu keluhan panjang. Terkenang kembali kisah saya sendiri. Mungkin ada di kalangan pembaca yang pernah terbaca kisah cinta saya yang terhalang lantaran dikatakan tidak sekufu. Halangan tersebut memaksa berlakunya perpisahan selama hampir lima tahun tetapi kalau dah jodoh… ikan di laut dan asam di darat pun bertemu jua. Kini saya bahagia dengan cinta pertama saya.

Walau begitu, dalam tempoh lima tahun kehilangan cinta pertama tersebut, saya ditakdirkan berkenalan dengan seorang lelaki tika saya di tahun akhir pengajian. Asalnya hubungan kami sekadar hubungan kakak angkat dan adik angkat kerana lelaki tersebut lebih muda dari saya. Namun, perasaan kasih mengatasi segala. Ketika ulangtahun kelahiran saya yang ke 23, saya mendapat berita dari rakan baiknya bahawa beliau menyimpan hasrat kasih untuk saya. Dipendekkan cerita, selepas sesi soal jawab untuk sebuah kepastian akhirnya kami rasmi menjadi sepasang pencinta.

Namun, selepas 18 bulan 4 hari kami menjadi kekasih, saya dikejutkan dengan berita, teman lelaki saya mempunyai kekasih yang lain. Bila saya ajukan padanya, dia mengakui dan yang amat menjeruk hati, katanya selama ini, dia tidak pernah menyintai saya… cuma saya yang terhegeh-hegeh sendiri menagih kasihnya. Tika itu, Allah saja yang tahu perasaan saya tetapi terus terang, saya tidak menangis.

Perasaan saya tika itulah yang ingin saya kongsi bersama para pembaca semua kali ini. Betul, demi Allah.. selepas mendapat tahu mengenai segala kekecewaan tersebut, saya tidak menangis. Apa yang saya fikirkan waktu itu ialah, syukurlah saya mengalami kekecewaan ini ketika ini, tika hubungan kami belum sampai ke peringkat yang lebih serius sebagai teman hidup. Bukan bererti saya tidak kecewa, saya kecewa kerana saya amat menyintainya selepas hampir 18 bulan saya memujuk hati menerimanya sebagai teman lelaki.

Tambah kecewa apabila saya dikatakannya syok sendiri… salah anggap tentang kasihnya… terhegeh-hegeh menagih cintanya… bukan saja di hadapan saya tetapi juga kepada rakan-rakannya yang lain yang mengetahui hubungan kami. Bayangkan, betapa tebalnya muka saya tika itu menanggung malu. Harga diri saya dipijak-pijak. Namun, semua itu tidak mematahkan semangat saya. Saya jalani hidup seperti biasa. Makan saya, tidur saya, kerja saya… semuanya bagai tiada apa-apa kisah yang mencengkam jiwa. Malahan pernah beberapa kali saya terserempak dengannya, saya menegurnya seperti biasa hatta adik saya yang ada bersama, meluahkan rasa pelik dengan tingkah laku saya. Bagi saya, tidak ada gunanya saya menghabiskan air mata menangisi perbuatan kianat seorang lelaki. Tidak ada gunanya saya menahan lapar atau bersengkang mata sedang dia sedang seronok dengan teman barunya.

Saya sekadar berdoa moga Allah akan tunjukkan saya sebuah kebenaran dan sungguh, janji Allah itu pasti. Tidak sampai empat bulan kami berpisah, dia kembali menghubungi saya, katanya rindukan kata-kata motivasi dari mulut saya. Sempat saya mengusik, kenapa sekarang nakkan kata-kata motivasi dari saya pulak? Dia tergelak, nak pulihkan semangat yang hilang… oooo, macam lagu XPDC tu yer? Dia gelak lagi. Dalam tempoh setahun selepas itu, dia kembali menghubungi saya, mohon kata-kata semangat kerana dia kecewa, kekasih hatinya melukakan dirinya dan yang paling tidak dapat saya lupakan, dia diperlakukan sama seperti dia memperlakukan saya dahulu. Allah Maha Adil kan!!

Saya bukan sengaja nak ungkit kisah lama. Segala yang saya ceritakan kali ini ada sebabnya. Saya ingin ingatkan para gadis dan wanita di luar sana, putus cinta bukan bererti pengakhiran hidup kita. Kenapa perlu menyiksa diri kita memikirkan si dia yang tidak tahu erti setia? Kenapa menyakitkan hati dengan mengingati segala kenangan bersamanya sebelum ini? Kenapa perlu tanamkan dalam diri, tidak boleh hidup tanpa cintanya? Fikirkan, sebelum hadir dirinya di dalam hidup kita, tidakkah kita dapat hidup dengan selesa dan bahagia?

Kini setelah kehilangan diri dan cintanya, kita ingin kehilangan segalanya pula? Bagaimana dengan kerjaya kita? Berbaloikah kita kehilangan reputasi diri kerana seorang lelaki? Bagaimana dengan keluarga kita? Kita mempunyai keluarga yang amat menyayangi kita sebelum ada dia dan kini setelah dia tiada, keluarga juga ingin kita ketepikan? Fikirkan perasaan ibu bapa kita, ibu bapa kita lebih merana bila kita berduka.

Ingatlah juga… sesungguhnya dia bukan yang terbaik untuk menemani hidup kita. Sekali kecewa bukan bererti menderita selamanya. InsyaAllah, satu hari nanti, akan ada lelaki yang lebih memahami dan menyayangi kita. Sedarlah wahai kaumku…jangan buta kerana cinta.

****Siaran April 2005

Bila ada insan ketiga

Insan ketiga yang saya maksudkan bukanlah si kecil penyejuk mata pengubat duka tetapi insan ketiga yang ingin saya bincangkan di dalam topik kali ini ialah kehadiran lelaki atau wanita lain di dalam hidup sepasang suami isteri. Sudah pasti kehadiran insan ketiga ini membawa duka dan menambah lara. Walaupun begitu, saya bukan ingin membincangkan kekalutan jiwa yang berlaku sebab saya yakin, semua kekalutan itu tak perlu saya ceritakan. Semuanya telah tahu dan arif sangat.

Yang ingin saya ketengahkan kali ini ialah apakah yang perlu dan patut serta wajar bagi kita terutamanya para isteri (kerana wanita jarang-jarang sangat nak menduakan suami tapi tetap ada tau… berbanding kaum lelaki yang sedia maklum selalunya masih bujang tiga) lakukan apabila mengetahui kita sudah mempunyai pesaing di dalam merebut kasih suami.

Perkara pertama yang akan dilakukan oleh isteri apabila mengetahui telah wujud insan lain di hati suami, tentulah semua orang sudah maklum… ya, si isteri akan berduka… memang ganjil dan pelik lah kalau ada isteri yang tersenyum gembira bila mendapat khabar demikian rupa. Berduka, bersedih memang boleh tetapi perlu diingat, jangan sampai menyiksa diri. Wujudnya pesaing bukan bererti kisah cinta kita bersama suami telah tamat. Tidak mustahil, orang ketiga itu sebagai satu jalan untuk kita lebih memantapkan hubungan kita dengan suami tercinta.

Paling penting, sekiranya kita mengetahui kewujudan insan ketiga ini daripada orang lain, bererti bukan dari mulut suami kita sendiri dan sememangnya inilah kelazimannya, jangan bertindak melulu menyerbu suami atau pun menyerang perempuan, teman wanita suami kita itu. Jalan terbaik ialah, tanyakan suami apakah benar kisah yang kita dengar? Sekiranya suami enggan mengakui, kemukakan bukti-bukti sahih yang kita perolehi dan ingat… segalanya ini perlu dilakukan di dalam keadaan emosi yang rasional. Emosi yang tidak tertanggung kala itu perlu dikawal agar tidak tambah merumitkan keadaan.

Apabila telah nyata wujudnya insan ketiga di antara kita dan suami, persoalkanlah, kenapa wanita tersebut perlu wujud dan mendapat tempat istimewa di hati suami kita? Hampir 90% jawapan yang akan diberikan oleh para suami apabila berada di dalam situasi sebegini ialah insan ketiga tersebut lebih memahami, lebih bijak melayani dan segala-galanya lagi yang lebih daripada kita dan tika itu, isteri yang telah mengabdikan diri bertahun-tahun kepadanya, segalanya sudah serba tidak kena.

Tika inilah, kita perlu lebih rasional dan adil dalam tindakan kita. Pertimbangkan semua komen dan kritikan yang suami lontarkan kepada kita, koreksi diri cermin peribadi. Seandainya segalanya itu benar maka kita perlu bertindak. Cuba ubah sikap dan penampilan atau apa jua yang tidak disukai oleh suami tetapi ingat, jangan melampaui batasan syariat. Sebagai contoh, kita bertudung tetapi teman wanita suami tidak bertudung maka kita ingin menampilkan diri kita tidak bertudung pula, ini cara yang salah. Kita sebagai makhlukNya lebih berhak mentaati Allah walau apa jua kehendak suami.

Apabila segalanya telah diikuti ataupun komen suami langsung tidak ada yang berkaitan, sekadar memberi alasan… pertahankan harga diri kita. Cuba sedaya upaya untuk kembali memikat suami. Tingkatkan layanan sedia ada, mantapkan rasa kasih dan cintanya pada kita. Memang… ini adalah satu situasi yang sukar tetapi kita perlu melakukannya sekiranya kita tidak mahu insan ketiga menang dalam persaingan ini.

Perkara yang perlu dielakkan ialah mengapi-apikan perasaan suami seperti mengutuk teman wanita sebagai manusia tidak sedar diri, mengungkit-ungkit kebaikan dan pengorbanan kita yang tidak dihargai suami ataupun melakukan keganasan fizikal dengan mencederakan suami atau keganasan mulut dengan mencerca dan memaki hamun suami.

Memang sukar menghadapi semua ini… berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul tetapi percayalah… sekiranya kita sabar menghadapi ujian ini dan berdoa mengharapkan redhaNya, kita akan menang juga nanti. Seperti filem-filem atau drama di televisyen atau panggung wayang, heroin selalunya akan menderita dahulu sebelum mencapai bahagia, insyaAllah, kita juga seperti kisah Cinderella, mengecap bahagia di hujung derita.

Namun, seandainya kisah derita kita berlarutan dan kesakitan tidak dapat kita tanggung lagi malahan kesabaran yang kita pertahankan mengundang dosa kepada diri sendiri… berundurlah kerana mengalah bukan bererti kita kalah. Terimalah hakikat, jodoh kita dengan suami hanya setakat ini kerana suami kita bukan lagi lelaki terbaik untuk sama-sama menjadi teman kita mengharungi hidup. Segala yang berlaku itu ada hikmahnya, insyaAllah.

****Siaran April 2005