27 Ogos 2008

Jangan jadi suami dayus

Pagi ini, saya tiba awal di pejabat, belum pukul lapan, dah tercongok di depan pintu. Awal lagi, perut pun belum diisi, terasa pulak nak makan roti canai telur, sedap tu bila kena dengan teh tarik. Gerai mamak di seberang jalan saya kunjungi. Ketika menunggu pesanan, terdengar dua suara wanita dan satu suara lelaki di belakang. Bila diteliti, rupa-rupanya mereka membincangkan tentang ceraka Natasya. Satu suara wanita, meluahkan rasa tidak suka dengan sikap ibu saudara Natasya yang katanya terlalu kasar dan biadap dengan suami. Sambut satu suara wanita lagi, katanya, tindakan sebegitu ada tikanya perlu supaya suami tak naik tocang. Mencelah pulak suara lelaki, memang nada tak puas hati dengan kata-kata, yang saya rasa, mungkin rakan sekerjanya itu… Amboii!! Tocang lelaki jer yang kau fikir, tocang isteri lagi tinggi dari tocang suami tau!!

Saya tergelak… kalau rambut si isteri lebih panjang, memang sah ler tocangnya lebih tinggi! Itu hakikat dari pandangan fizikal. Sebenarnya, panjang atau pendeknya rambut bukan penentu tinggi rendahnya tocang. Saya yakin, para pembaca semua faham maksud kiasan saya ini. Sebenarnya, jika berkesempatan, saya juga mengikuti cereka Natasya. Saya turut sependapat dengan wanita pertama tadi, sebagai seorang isteri, memang tidak wajar ibu saudara Natasya bersikap sedemikian. Paling tidak wajar juga, bapa saudara Natasya membiarkan isterinya memperlakukannya sedemikian. Inilah punca sebenar kenapa isteri berterusan bersikap biadap dan kurang ajar terhadap suami. Mungkin pada awalnya sekadar meninggikan suara. Lama-kelamaan, bercakap dalam nada yang tinggi malah herdikan dan pekikan seperti satu kebiasaan.

Di sinilah suami wajar dan perlu memainkan peranan. Sebagai ketua keluarga, suami perlu menegur kesilapan isteri. Seorang isteri yang lupa (saya gunakan istilah lupa kerana secara rasionalnya, semua isteri mengetahui bahawa suami adalah insan yang perlu dihormati) perlu diingatkan oleh suami tentang tanggungjawab dan kewajipan mereka. Tanggungjawab seorang isteri adalah menghormati suami, melayan kehendak suami, menjaga segala kebajikan suami termasuk menjaga perlakuan dan perkataan agar hati suami tidak terguris. Mungkin ada isteri yang mencelah, alahhh, kalau suami dah gagal tunaikan tanggungjawab sebagai suami, nafkah pun tak dapat nak beri, makan minum semua isteri yang cari, takkan masih nak hormat lagi?

Jawapannya tetap YA! Selagi kegagalan tersebut bukanlah atas ikhtiar suami. Seperti yang pernah saya bincangkan dulu, suami mempunyai satu pengecualian di dalam memainkan peranan sebagai pemberi nafkah zahir iaitu apabila suami tidak berupaya yang diharuskan di dalam syarak. Tidak berupaya ini merangkumi tidak mempunyai kudrat iaitu tidak mampu dari segi fizikal, sakit yang tidak memungkinkannya berusaha untuk menyara keluarga. Tidak berupaya juga dikira bagi suami yang kehilangan kerja atau tiada pekerjaan yang mampu menjamin dirinya menjadi penyumbang utama kepada ekonomi rumahtangga tetapi dengan syarat, suami tadi tidak putus berusaha. Ketidak upayaan juga dikira bagi suami yang mempunyai pendapatan kecil dan perlu bergantung kepada bantuan isteri untuk mengelakkan keluarga dari masalah kewangan. Walaupun faktor-faktor ketidak upayaan ini boleh dijadikan sebab untuk isteri memohon perceraian tetapi dalam konsep perkongsian hidup suami isteri, tindakan isteri yang berbuat demikian adalah satu tindakan yang zalim.

Dalam erti kata lain, isteri tetap wajib menghormati suami walau isteri terpaksa menanggung si suami. Di sinilah kesetiaan dan kasih sayang teruji. Di waktu senang bersama, waktu susah tetap juga bersama. Dah kalau tak nak tanggung suami, kenapa kau pilih lelaki yang kau tau takkan mampu memberikan kau hidup tanpa pertolonganmu? Dah buta kerana cinta? Suami pula, perlu peka dengan situasi ini. Walaupun isteri membantu anda menyara keluarga ataupun anda sendiri disara oleh isteri, peranan anda sebagai suami tidak pernah hilang. Anda tetap sebagai ketua rumahtangga. Anda berhak menegur kesalahan isteri. Anda berhak membetulkan kesilapan isteri. Tanggungjawab dan peranan anda untuk mendidik dan membawa isteri anda ke jalan yang betul. Anda berperanan untuk menjadikan isteri anda sebagai isteri yang baik, solehah dan menghormati anda sebagai suami.

Ada tiga tahap didikan yang boleh dipraktikkan oleh para suami kepada isteri yang lupa tanggungjawab dan peranannya. Tahap pertama: Menegur perlakuan isteri. Yang tidak betul, katakan tidak betul. Yang perlu dilakukan, nyatakan dan arahkan. Tahap kedua: Jika isteri membantah, tinggalkan isteri sendirian di bilik tidur. Bab ni yang selalunya para suami bermasalah nak lakukan. Isteri pula, ada yang menggunakan ‘ilmu tempat tidur’ ni untuk membuatkan suami lupa segala arahan atau permintaannya. Tengok cermin, perhatikan diri sendiri. Ingin bahagia yang sebenarnya? Anda tahu apa yang perlu anda lakukan. Tahap ketiga: Memukul isteri dengan tujuan untuk mengajar. Pukulan untuk tujuan mengajar bukan bererti boleh membelasah sesuka hati. Sekadar peringatan. Pukulan pula tidak boleh dilakukan di tempat-tempat yang akan nampak kesan yang nyata seperti muka. Kalau tahap-tahap didikan ini dilakukan, kebahagiaan akan dikecapi.

Memang betul kata seniman agong P.Ramlee, siapa tak sayangkan isteri. Kalau sayang pun, jangan sampai anda menjadi suami yang dayus. Anda tidak dayus jika terpaksa hidup dengan hasil titik peluh isteri tetapi ANDA SUAMI YANG DAYUS JIKA GAGAL MENGEMUDI ISTERI.

****Siaran Disember 2005

26 Ogos 2008

Kunci kebahagiaan rumahtangga

Lebih kurang lima tahun yang lalu, seorang isteri menghubungi saya mengadukan perihal suaminya yang panas baran, susah dibawa berunding dan paling merisaukan dirinya, sejak akhir-akhir ini, si suami jarang-jarang sekali menunaikan solat lima waktu. Bila ditegur, suaminya akan menyinga. Perkahwinan mereka menjangkau usia lima tahun dan di sepanjang tempoh hampir lima tahun itu, suami tidak pernah gagal menunaikan kewajipan sebagai seorang suami dan seorang ayah. Segala perbelanjaan rumahtangga cukup cuma memang perkara biasa jika si isteri diherdik setiap kali meminta wang belanja. Selesai herdikan dan ada kala penuh caci maki yang menyakitkan hati, si suami akan tetap menghulurkan jumlah wang yang diminta oleh isteri. Dengan anak-anak pula, tengok ler keadaannya. Kalau mood si suami ok, wow… memang best jer dia melayan anak-anak, kadang-kadang gelagat si suami lebih anak-anak daripada anak-anaknya. Kalau mood tak ok, jangan harap ler nak rapat. Kalau difikirkan hati yang terluka, mahu saja dia berundur tapi memandangkan dirinya yang tak bekerja dan anak-anak yang masih kecil, beliau cuba bertahan namun soalannya, sampai bila? Sepanjang tempoh perkahwinan itu, beliau hanya mampu berdoa agar dirinya akan tetap tabah menghadapi kerenah si suami.

Selesai mendengar luahan hatinya, saya hanya tanyakan satu soalan, sayang lagi tak dengan suami? Si isteri menjawab, sayang tu memang ler sayang tapi… jawapannya terhenti. Saya faham, sayang camana pun, kalau hati sering disakiti, sayang akan pudar dan boleh hilang tetapi memandangkan masih ada rasa sayang, saya yakin, rumahtangga mereka masih boleh diselamatkan. Sungguh, dalam keadaan ini, isteri memainkan peranan penting. Bukan memihak kepada kaum sendiri. Tanyalah pada mana-mana kaunselor sekali pun termasuk kaunselor lelaki, pasti semuanya mengakui, ISTERI adalah KUNCI KEBAHAGIAAN RUMAHTANGGA. Imbas semula asal usul kejadian manusia, Allah menciptakan Hawa sebagai teman hidup Adam apabila Adam mengadu dirinya keseorangan dan kesepian di dalam syurga. Sebab itu lah juga, hukamak mengatakan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita solehah. Wanita solehah ialah wanita yang menunaikan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya dan jika wanita itu adalah isteri, beliau adalah isteri yang taat kepada suaminya selagi si suami tidak menyuruh beliau melakukan kemaksiatan kepada Allah dan tidak melarangnya daripada melakukan suruhan Allah Yang Maha Esa.

Berasaskan kepercayaan dan keyakinan ini, saya nasihatkan si isteri tadi supaya teruskan bersabar dan paling penting, berdoa agar suaminya berubah sikap, tidak panas baran lagi dan kembali menjadi hamba yang soleh, yang menunaikan segala suruhan dan meninggalkan segala laranganNya. Jangan pelik pula, mungkin ada yang menganggap, cara saya kali ini berbeza. Dahulu saya sendiri mengatakan sabar ada batasnya. Ya, saya akui kebenaran tersebut. Saya menyarakan agar si isteri tadi supaya bersabar kerana di dalam hatinya, masih ada rasa kasih dan sayang kepada suaminya. Suaminya juga tidak membahayakan keselamatan diri dan anak-anaknya. Syukur, si isteri bersetuju dengan pandangan saya.

Hari ini, saya menerima emel beliau, yang khabarnya telah lama mencari saya kerana beliau telah kehilangan nombor telefon saya. Saya lampirkan petikan emel beliau: “ Assalamualaikum, Puan Suzana. Masih ingat pada saya? Saya, (ada paparan namanya yang terpaksa saya rahsiakan), pernah mendapatkan khidmat kaunseling daripada Puan kira-kira lima tahun yang lalu. Pada masa tersebut, saya mengadu tentang suami saya yang terlalu baran dan Puan nasihatkan saya bersabar dan berdoa agar suami saya berubah. Alhamdulillah, setelah sekian lama saya bersabar dan berdoa tanpa henti, dalam setahun kebelakangan ini, saya perhatikan barannya makin kurang, dah tak ada lagi caci maki pada saya, dah tak ada lagi marah-marah tanpa sebab dan suami saya telah mula menjadi seorang Muslim yang sebenar. Puasa baru-baru ini adalah tahun pertama suami saya berpuasa penuh sebulan. Yang paling membuatkan saya rasa amat bahagia, pertama kalinya dalam tempoh perkahwinan kami hampir 10 tahun ini, beliau meraikan ulangtahun kelahiran saya. Hanya Allah yang tahu betapa gembira dan bahagianya saya saat ini….”

Saya yakin, para pembaca semua dapat fahami apa yang saya ingin jelaskan di dalam topik perbincangan kali ini. Ya, sesungguhnya, isteri adalah kunci kebahagiaan sesebuah perkahwinan. Apa sahaja ujian dan dugaan yang mendatang di dalam rumahtangga, sekiranya si isteri bersabar, bukan sekadar bersabar tetapi berdoa memohon pertolongan Yang Maha Esa, insyaAllah, akan tiba masanya, kebahagiaan yang diinginkan akan menjelma di depan mata.
Seperti yang pernah saya bincangkan dulu, wanita bukan insan yang lemah. Wanita sebenarnya diciptakan dengan satu kekuatan yang maha hebat, tetapi sukar dilihat. Kekuatan yang saya maksudkan ialah kekuatan emosi. Sebab itulah wanita diberi peranan sebagai isteri. Atas sebab kekuatan emosi inilah juga, wanita ditugaskan memegang tanggungjawab sebagai seorang ibu. Kekuatan emosi ini ialah sabar, tabah, gigih, cekal dan tidak mudah putus asa. Seperti klien saya tadi, doanya hanya dimakbulkan selepas lebih empat tahun bersabar dan berdoa. Bukannya empat hari atau empat bulan, empat tahun bersamaan 1460 hari, sedangkan hakikat sebenarnya, jika jiwa menderita, sehari yang berlalu rasanya bagaikan setahun.

Lantaran, saya menyeru kepada diri saya sendiri dan semua isteri, kita adalah penentu kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga. Peranan kita penting, jika sayangkan perkahwinan kita, lakukan peranan kita dengan sebaiknya. Tanpa isteri, siapalah suami!!!

****Siaran Disember 2005

Jangan buta kerana cinta

Sejak kebelakangan ini, saya menerima banyak emel daripada wanita dan juga lelaki yang meluahkan kegelisahan dan kekeliruan mereka di dalam membuat keputusan berkaitan dengan cinta. Ada yang keliru, perlukah diputuskan hubungan dengan pasangan yang berlainan agama? Ada yang sukar memilih antara cinta dengan kehendak keluarga apabila keluarga melarang perhubungan dengan kekasih hati gara-gara terbukti lelaki pilihan adalah seorang penipu. Ada yang masih ingin mempertahankan cinta walau pasangannya telah acapkali bersikap curang, bebas bergaul dengan wanita lain tetapi dalam masa yang sama mengakui cintakan dirinya. Ada juga, yang dengan senang hati mengenepikan semua padangan orang lain malahan kata hatinya sendiri tentang kecurangan pasangan apabila mendengar kata-kata: Aku cinta padamu.

Walau apa jua alasan, segala kekeliruan dan kecelaruan ini berpunca dari rasa cinta, satu perasaan yang kebanyakan daripada kita sukar untuk mendefinisikan dengan sejelas-jelasnya. Yang pasti, cinta itu satu perasaan yang indah walau ada tikanya, kedukaan hadir dalam cinta. Kebiasaannya, bila hati dah cinta, segalanya nampak indah sahaja. Malah, sukar untuk membuat pertimbangan yang wajar apabila diri diamuk rasa cinta. Inilah sebenarnya punca kepada kekeliruan yang diluahkan kepada saya.

Tidak salah bercinta malah sememangnya realiti hidup setiap manusia, ingin dicintai dan menyintai. Namun, perlu berhati-hati dengan rasa cinta yang wujud di dalam diri anda, bimbang nanti cinta anda memakan diri. Sebenarnya, cinta untuk kebahagiaan hidup. Tidak ada manusia yang bercinta untuk menempa derita. Untuk bahagia, rasa cinta perlu diselarikan dengan pertimbangan akal yang waras. Di sinilah, perlunya celik ketika bercinta walaupun biasanya orang berkata, cinta itu buta. Cinta tidak buta sebaliknya pencinta akan buta jika gagal menyeimbangkan emosi dan rasa cintanya itu dengan kerasionalan minda.

Di dalam kes kecelaruan memilih pasangan berlainan agama, pertimbangkan seadilnya, ajaran manakah yang anda yakini kebenarannya? Jika agama anda, kenapa perlu memilih dia yang anda pasti jalan hidupnya tidak kena? Risau akan kehilangan cinta? Apakah jaminan anda akan bahagia dengan cinta tersebut sedangkan anda sendiri tahu betapa sukarnya perjalanan yang perlu anda tempuhi sekiranya anda meneruskan cinta anda? Ya, kesukaran itu satu ujian tetapi bukan ujian yang sengaja dicari. Di dalam kes penipuan pula, tidakkah anda terfikir bahawa anda terdedah kepada seribu satu penipuan lagi sekiranya anda bersamanya. Ya, manusia akan berubah namun jika pembohongan tersebut terlalu berat, sebagai contoh, sanggup menafikan wujudnya ibu bapa hanya kerana inginkan cinta anda, berbaloikah peluang diberikan kepadanya? Bukan tak boleh berikan peluang tetapi penipuan melibatkan kepercayaan dan ketulusan hati. Sukar mempercayai mereka yang diketahui pernah menipu dan berbohong, walau dalam apa jua perkara, hatta hanya kerana inginkan cinta. Cinta yang diperolehi dengan menipu juga, tidak akan bahagia hingga ke akhirnya.

Nasihat saya kepada mereka yang sedang bercinta, jangan buta kerana cinta. Hidup tidak cukup hanya dengan ucapan cinta. Ucapan, perasaan dan luahan cinta perlu selari dengan kematangan dan kewarasan minda. Kaum wanita khususnya, kita berhak memilih tetapi jangan sampai tersalah pilih. Memang benar cinta tidak mengenal rupa, pangkat dan harta tetapi cinta perlu kenal budi pekerti dan hati nurani pasangan anda. Memang sukar mengenal pasti, jalan terbaik ialah kenal dahulu siapa rakan dan lawannya, mohon petunjuk daripadaNya yang Maha Esa, barulah mengambil keputusan sama ada untuk menerima atau sebaliknya.

Ketika bercinta juga, jangan bersikap pejam mata dengan apa-apa yang anda rasa kurang senang hati dengan perangai atau sikap pasangan anda. Luahkan ketidak puasan hati anda, betulkan sikapnya yang anda rasa perlu dibetulkan. Jangan anda fikir, tak mengapalah, nanti kalau dah kawin, dia pasti berubah… jangan sesekali menanam fikiran sedemikian sebabnya terlalu banyak kes perceraian berpunca dari sikap semasa bercinta yang diteruskan selepas berkahwin malah menjadi lebih teruk lagi. Sebaiknya, semasa bercinta inilah, perbaiki diri anda dan pasangan anda agar alam perkahwinan anda berdua nanti, akan lebih tenang diharungi.

Paling penting, jangan takut untuk putus cinta kerana putus cinta bukanlah bererti berakhirnya perjalanan hidup anda. Anda berhak memilih untuk keluar dari alam percintaan anda sekiranya percintaan anda memberikan kelukaan dan derita yang berpanjangan kepada anda. InsyaAllah, anda akan berjumpa dengan si dia yang akan dapat memberikan anda cinta yang membahagiakan.

Ingat… !! Jangan bertindak atas nama cinta semata sebaliknya segala keputusan perlu diambil dengan mengadunkan emosi cinta dengan fikiran yang rasional. Sekiranya adunan ini sebati, insyaAllah, kebahagiaan akan anda perolehi.

****Siaran Disember 2005

***Mulai 7 September 2011, kunjungi Pejabat Perundingan Keluarga & Guaman Syarie beralamat di Aras 1, Blok C, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; untuk khidmat konsultansi bersemuka. Hubungi 03-79676117 untuk temujanji terlebih dahulu.

***Bagi mereka yang tidak dapat bersemuka, boleh gunakan temujanji melalui telefon atau chat YM. Hubungi 013-2545965 atau layari http://bersamasuzana.blogspot.com untuk maklumat lanjut.

21 Ogos 2008

Antara harapan dan bebanan

Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, dah pun berlalu. Sekarang ini pula, pelajar Tingkatan Lima seluruh negara sedang menghadapi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Antara PMR dan SPM, sudah pasti SPM dirasakan lebih ‘killer’ dan lebih penting kerana SPM merupakan penentu halatuju pelajar seterusnya. Disebabkan inilah ada di kalangan pelajar yang berasa tertekan apabila ibu bapa seakan-akan mendesak agar mereka berjaya. Pelajar ini faham betapa ibu bapa inginkan kejayaan anak-anak tetapi cara ibu bapa yang bersikap keras menyebabkan harapan ibu bapa itu dirasakan bagai satu bebanan. Inilah antara luahan daripada beberapa calon SPM yang dikirimkan kepada saya. Rasanya, bukan mereka yang mengirimkan emel kepada saya sahaja malah ramai lagi pelajar di luar sana yang mengalami tekanan seperti ini.

Ya, setiap ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Setiap ibu bapa inginkan anak-anaknya berjaya. Walaupun hasrat dan impian ibu bapa itu sangat murni, ianya bukan bererti ibu bapa berhak meletakkan bebanan yang berat ke bahu anak-anak. Ibu bapa berhak menjelaskan tanggungjawab anak mereka sebagai pelajar. Ibu bapa juga berhak menerangkan impian dan harapan mereka. Namun, sekadar menjelaskan bukan memaksa. Anak-anak yang telah dibentuk dengan prinsip pendidikan yang baik, akan memahami tanggungjawab mereka. Akan mengerti betapa pentingnya mereka berjaya. Akan cuba mencapai kejayaan dengan berusaha semampu daya.

Walaupun anak-anak telah mengerti atau boleh mengerti, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh setiap ibu bapa ialah mengenal pasti keupayaan dan kebolehan anak-anak. Setiap manusia mempunyai saiz otak yang sama tetapi dikurniakan IQ yang berbeza. Tahap IQ inilah yang membezakan pencapaian seseorang. Ada kalanya, anak pertama akan lebih mudah belajar berbanding anak kedua. Ada tikanya anak kedua lebih bijak dari anak pertama. Walaupun tahap pemerhatian dan pendidikan yang diberikan adalah sama. Tahap keupayaan dan kebolehan ini penting dikenal pasti terlebih dahulu agar ibu bapa tidak meletakkan bebanan harapan kepada si anak. Mungkin dalam sepuluh orang anak, seorang sahaja mempunyai tahap IQ yang lebih rendah, hakikat ini perlu diterima. Dalam setandan kelapa, tak semua mempunyai air yang sedap dan manis.

Jangan sesekali membandingkan pencapaian si anak dengan anak-anak yang lain. Jika si anak mempunyai tahap IQ yang sama, perbandingan mungkin boleh menjadi satu cabaran yang membina tetapi jika antara anak-anak yang dibandingkan itu, wujud perbezaan tahap IQ, maka perbandingan akan menjadi satu beban yang maha hebat. Paling teruk, perbandingan tersebut akan lebih menjejaskan tahap pencapaian si anak kerana si anak hanya memikirkan bagaimana untuk memenuhi hajat dan impian ibu bapa yang baginya terlalu sukar dicapai.

Ibu bapa juga perlu sentiasa memberikan semangat kepada anak-anak, bukan memarahi apatah lagi mengancam si anak. Paling baik, ibu bapa perlu memberikan kebebasan untuk si anak membuat pilihan terutama berkaitan bidang ilmu yang ingin mereka terokai. Ada ibu bapa yang memaksa anak-anak mengikut kehendak hati mereka sedangkan kehendak hati mereka bukanlah pilihan si anak. Kesannya si anak mengalami masalah untuk menumpukan perhatian kepada bidang ilmu pilihan ibu bapanya. Keputusannya si anak sukar mencapai kejayaan. Ya, memang diakui ada di antara anak-anak yang mengikuti pilihan hati ibu bapa masih mampu mencapai kejayaan tetapi hanya berapa kerat sahaja. Kebanyakkannya, akan memberikan kekecewaan kepada ibu bapa, mulalah ibu bapa nak mengamuk kepada si anak, mulalah keluar kata-kata yang tak sepatutnya dihamburkan kepada anak-anak, nauzubillah!!

Selain kata-kata semangat, tak salah sekiranya ibu bapa menjanjikan sesuatu sebagai imbuhan dan ganjaran kepada si anak sekiranya si anak berjaya. Imbuhan dan ganjaran ini akan menjadi satu motivasi kepada anak-anak. Walaupun mungkin ada yang berpendapat, imbuhan dan ganjaran ini akan mengajar anak-anak untuk belajar demi hadiah dan bukan untuk berjaya, namun dari segi jangka panjangnya, ianya akan memberikan pulangan yang lebih baik. Pelajar akan tahu, jika inginkan sesuatu yang dihajati, mereka perlu berjaya di dalam pelajaran.

Perlu diingat, berhati-hati dengan bentuk imbuhan yang dijanjikan. Biarlah imbuhan yang dijanjikan itu sesuai dengan bentuk ujian dan pencapaian si anak. Jangan pula, sekadar lulus UPSR dah dijanjikan sebuah telefon bimbit atau lulus SPM dah dihantar makan angin ke luar negeri. Memang tak salah bagi ibu bapa yang mampu cuma ianya tidak sesuai dan tidak elok untuk masa depan si anak. Ingat lagi artikel saya, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sikap ibu bapa yang akan membentuk jati diri anak-anak di belakang hari, berhati-hatilah!

Alhamdulillah, Mak dan Bapa saya tidak pernah memaksa saya dan adik-adik. Kami sentiasa diingatkan bahawa ilmu itu penting untuk kejayaan masa depan, berusahalah sedaya mungkin dan kini, saya dan tiga orang adik telah berjaya memperolehi pekerjaan yang sesuai dengan tahap pendidikan kami, dua orang masih belajar di IPT, seorang sedang menunggu keputusan PMR dan seorang sedang mengharungi cabaran SPM. Kedua-dua mereka merupakan calon harapan sekolah.

Buat adik-adikku, Syatirah dan Muhammad Juwaini, semoga kalian berdua memperolehi kejayaan, amin!!

****Siaran November 2005

Jika sudah jodoh

Ketika sedang asyik menyiapkan kerja, tiba-tiba telefon bimbit saya mengeluarkan nada, memberitahu ada sms yang masuk. Cepat saya ambil, batalkan ‘keypad locked’ dan baca mesej tertera, “Assalamualaikum akak, hari ni Lin akad nikah, lepas Asar. Akak doakan semuanya berjalan lancar ye…”. MasyaAllah, leka dengan kesibukan kerja, terlupa hari ini, 15hb Oktober, adik angkat saya yang saya kenali menerusi majalah kebanggaan ramai ini, akan memasuki gerbang perkahwinan bersama jejaka pilihannya. Petang, ketika dalam perjalanan pulang dari kerja, saya menghantar sms kepada adik angkat saya itu, bertanyakan khabar. Tak lama, beliau menghubungi saya. Ceria sekali suaranya. Memang lah kan, kalau hajat dan impian tercapai, hanya Dia yang Maha Mengetahui sahaja yang tau betapa bahagia dan gembiranya hati. Tambah pulak, setelah terpaksa melalui pelbagai ranjau dan duri. Seperti kes adik angkat saya ini. Hubungannya dengan jejaka pilihan hati ditentang hebat oleh ibu bapa dengan alasan, mereka berdua tidak sekufu. Namun, berkat doa dan yakin pada ketentuanNya, akhirnya hubungan mereka direstui dan detik bahagia yang diharapkan menjelma juga.

Kes adik angkat saya ini, hampir sama dengan kes saya sendiri. Sementelahan pula, suami saya dan suami adik angkat saya itu, tidak diterima oleh ibu bapa kami berdua kerana pilihan kami hanyalah seorang tentera berpangkat Lans Koperal sedangkan kami adalah graduan universiti. Namun, kalau dah jodoh, ikan di laut, asam di darat pun akan bersatu juga. Saya yakin, masih ramai lagi individu di luar sana yang pilihan hati mereka ditentang oleh keluarga. Saya ingin berkongsi rasa dengan anda semua. Ya, memang sedih dan pedih bila pilihan hati tidak diterima oleh ibu bapa. Memang sedia dimaklumi, ibu bapa hanya inginkan yang terbaik untuk anak-anak tetapi bukan bererti setiap pilihan ibu bapa adalah betul dan tepat. Walaupun anak-anak lebih lewat merasa masinnya garam dan manisnya gula, tidak semestinya pilihan anak-anak pula tidak betul dan tersasar. Yang pasti, perselisihan pendapat antara ibu bapa dan anak-anak ini adalah atas nama kasih sayang. Ibu bapa bertindak menolak pilihan hati si anak kerana kasihkan si anak dan inginkan yang terbaik untuk anaknya. Si anak pula, tetap berkeras dengan pilihan hati kerana sayang dan kasih dan yakin, pilihan hatinya itulah yang terbaik dan mampu memberikan kebahagiaan buat dirinya.

Apabila berhadapan dengan situasi sebegini, perkara yang paling penting yang saya ingin ingatkan kepada anak-anak yang menghadapi dilema seperti ini ialah, jangan berkasar atau meninggikan suara apatah lagi bertindak melawan ibu bapa anda. Jangan sampai hati ibu bapa terluka. Jika ibu bapa anda mengeluarkan kata-kata yang tidak elok tentang pasangan anda, cuba bersihkan minda mereka dengan menafikan semua yang tidak baik itu dan sampaikan yang sebenarnya, jangan menipu, lebih buruk jadinya nanti. Ingat! Sampaikan dalam keadaan emosi terkawal, lemah lembut dan teratur. Jangan sampai ibu bapa anda merasakan mereka tidak penting lagi di dalam hidup anda. Jangan sampai ibu bapa anda merasakan pilihan hati anda telah merosakkan jiwa anda hingga anda sanggup menentang ibu bapa anda. InsyaAllah, jika anda dapat mengawal emosi anda menghadapi situasi yang genting ini, anda akan berjaya mendapat restu mereka. Sebabnya, ibu bapa anda pasti akan sedar betapa anda benar-benar ingin hidup bersama dengan pilihan anda.

Paling penting, tunggu dan bersabar hingga ibu bapa anda merestui hubungan anda. Restu ibu bapa adalah penting untuk kebahagiaan hidup anak-anak. Tanpa restu ibu bapa, biarpun kita mempunyai kerjaya dan pendapatan yang baik dan dapat hidup bersama pilihan hati, hidup kita tidak akan senang dan bahagia kerana kita tidak mendapat redha Ilahi. Janji Allah itu pasti, redha Allah pada kita hanya setelah kita mendapat restu ibu bapa kita. Bila tiada redha Ilahi, berbagai ujian dan cabaran akan dihadapi. Pengalaman saya mengendalikan kes sepanjang tujuh tahun kerjaya saya ini juga membuktikan, banyak perkahwinan atas dasar pilihan hati sendiri tetapi tidak mendapat restu ibu bapa kesudahannya berakhir dengan perceraian, nauzubillah!!
Memang penantian itu satu penyiksaan tetapi percayalah, hasilnya memang berbaloi. Anda sendiri perlu bersabar, percaya dan yakin dengan diri sendiri bahawa si dia adalah pilihan hati anda yang nyata dan pasti. Yakin bahawa anda memang mengasihinya, percaya bahawa si dia adalah yang terbaik untuk anda. Anda juga perlu yakin dan percaya bahawa anda adalah pilihan hati si dia. Anda perlu yakin bahawa si dia juga ingin hidup bersama dengan anda mendirikan mahligai bahagia. Bila telah yakin dan pasti, berdoalah kepada Yang Maha Kuasa. Dia yang mengetahui segalanya. Doa yang terbaik ialah mohon petunjukNya tentang jodoh anda dan pilihan hati anda. Jika jodoh anda dan pilihan hati anda itu baik untuk masa depan anda, masa depan ibu bapa dan keluarga anda juga, mohon supaya Allah mudahkan hasrat hati anda.

Segala yang saya luahkan dalam perbincangan kali ini, bukanlah sekadar mainan bicara. Semuanya telah saya lalui. Pilihan hati saya juga telah menghadapi segala ranjau ini. Inilah yang kami berdua lakukan. Alhamdulillah, berkat doa dan kesabaran kami, hubungan kami direstui. Setelah hampir 12 tahun menanti, akhirnya kami bersatu dan kini, dalam tempoh 41 bulan perkahwinan, kami dikurniakan sepasang cahayamata penghibur jiwa. Kawan-kawan sepengajian turut terkejut dengan perkahwinan saya. Itulah… nak kata apa lagi, jika sudah jodoh…..!!!

****Siaran November 2005

15 Ogos 2008

Bila hati telah retak

Kepada para peminat aktres Rubiah Suparman, tentu masih ingat tentang drama hebat lakonan beliau dengan tajuk yang sama seperti topik perbincangan kali ini. Seingat saya, drama ini dah lama, ditayangkan ketika saya masih di sekolah rendah namun, kisahnya membekas di hati. Saya bukan nak bincangkan topik berkaitan moral drama itu cuma tertarik dengan tajuknya, menyamai tajuk satu emel yang saya terima hari ini. Seorang isteri mengadu, sepanjang hampir lima tahun perkahwinan, si suami sering melukakan hatinya. Tempeleng tu perkara biasa. Bukan sekadar penampar naik ke muka tetapi beliau telah masak dengan kata-kata nista. Paling pedih, beliau dituduh membawa sial dan celaka kepada si suami dan keluarganya. Pengirim emel ini adalah wanita dari Semenanjung, setelah berkahwin beliau mengikut suami tinggal di tanah kelahiran suami, di Ranau.

Bukan sekadar dirinya dikatakan membawa celaka, malah dua anak-anak yang lahir atas nama kasih dan sayang suami isteri, turut dikatakan memberikan kecelakaan kepada suami dan keluarganya. Hubungan dengan mertua, memang jauh sekali ler nak rapat. Bertegur pun sesekali walau tinggal sebumbung. Memang sejak awal mertuanya tak suka dengan perkahwinan mereka. Yang amat mengecewakan, si isteri sanggup mengikut kata suami agar tinggal bersama mertua. Diam di rumah menjaga anak-anak walaupun mempunyai kelulusan untuk mendapatkan pekerjaan dengan pendapatan empat angka. Pada awalnya, si isteri boleh bersabar kerana hanya mertua yang mengatakan dirinya sial tapi sekarang, sejak dua tahun kebelakangan ini, perkatan sial dan membawa bala itu telah biasa bermain di bibir suami. Terkini, si suami bertindak memukul anak sulungnya berusia tiga tahun dengan tali pinggang. Nauzubillah!!

Membaca emel ini, membuatkan saya teringat satu episod baru di TV3, Natasya. Air mata saya tak berhenti mengalir mengenangkan nasib ibu Natasya terpaksa menerima caci maki saudara sendiri, walaupun sekadar biras, bahawa anaknya membawa sial. Itu baru saudara jauh, ini suami, asal usul anak-anak, darah dagingnya sendiri, memang nak kena potong lidah ler orang yang lupa dunia cam ni!!!

Mana ada anak sial. Mana ada isteri sial. Tak ada yang sial atau membawa bala kepada orang lain di muka bumi ini. Tapi, bukan satu kes, dah banyak kes yang saya dengar, suami selalu sangat mengatakan isterinya sial, tambah-tambah kalau gagal dalam perniagaan. Dah kalau kau kata dia tu sial, buat apa kau simpan lagi. Buat apa kau guna dia lagi untuk lepaskan nafsu serakah kau tu? Ya, saya memang marah. Memang suami macam ni, patut dipotong jer lidah tu. Senang-senang jer nak cakap ikut sedap mulut. Sedar ler sikit, isteri dah banyak berkorban untuk kau. Bersabar dengan kerenah ibu kau, kau juga yang tak reti-reti nak hargai.

Dalam kes sebegini, saya ingin nasihatkan kepada isteri-isteri yang menerima dugaan sebegini, sabar ada batasannya. Yer, selalunya isteri akan kata, ingatkan anak-anak!! Percayalah, perkahwinan yang hanya diteruskan dengan alasan anak-anak, susah untuk bahagia. Bukan tu saja, anak-anak akan turut tertekan apabila terpaksa berhadapan dengan bapa yang berperangai seperti binatang cam tu. Cadangan saya, sebagai permulaan, pisahkan diri anda dan anak-anak daripada suami. Mohon izinnya secara baik untuk balik ke rumah ibu bapa anda. Jika suami menggunakan kekerasan, cari jalan untuk pergi ke balai polis berhampiran. Adukan bahawa suami menggunakan kekerasan kepada anda dan anak-anak. Catatkan dengan jelas, “Suami saya bertindak menggunakan kekerasan (nyatakan apakah bentuk kekerasan tersebut) sejak (nyatakan bilakah atau sejak bila kekerasan tersebut berlaku). Saya membuat aduan ini kerana bimbangkan keselamatan saya dan anak-anak saya. Selepas membuat aduan ini, saya bercadang untuk berlindung di rumah ibu bapa saya (atau sesiapa sahaja dan nyatakan alamatnya).”

Dengan aduan tersebut, anda boleh keluar dari rumah untuk pulang ke rumah ibu bapa anda atau sesiapa yang berkenaan untuk berlindung, walau tanpa izin suami dan anda tidak boleh disabitkan nusyuz. Apabila tiba di alamat yang anda telah nyatakan, segera pergi ke pejabat agama yang berhampiran, buat aduan berkaitan kes anda di sana. Jangan risau, aduan di pejabat agama bukan bererti anda akan berpisah dengan suami. Seringkali orang tersalah anggap, kalau buat aduan, ertinya nak berpisah. Sebenarnya antara fungsi pejabat agama di bahagian kekeluargaan ialah untuk membantu suami isteri mencapai bahagia. InsyaAllah, jika ada jalan perdamaian, suami isteri akan kembali bersama, yang penting, masing-masing pihak memberikan kerjasama dan bersedia untuk berubah.

Jika tiada jalan perdamaian, maka jalan keluar adalah perpisahan. Terimalah dengan redha, jodoh kalian hanya setakat ini. Paling penting, sebelum bertindak dan mengambil keputusan, mohonlah bantuan Yang Maha Esa. Berdoalah, andai dia dan anda masih ada jodoh dan jodoh tersebut baik untuk anda, dia dan anak-anak, mudahkanlah agar suami anda berubah. Jika sebaliknya, berikanlah anda kekuatan untuk melalui kehidupan seterusnya. Jangan bimbang anak-anak tidak berbapa, mereka berbapa pada hakikatnya dan suami anda masih bertanggungjawab kepada mereka. Redha, pasrah dan bersabar. Setiap yang berlaku ada hikmahnya!!!

****Siaran November 2005

Kasih seorang ibu

Saya sangat bahagia hari ini, berbanding hari-hari yang terpaksa saya lalui dalam satu minggu yang lepas. Bukan kerana hari ini hari ulangtahun. Bukan kerana hari ini saya menerima bonus. Sebaliknya saya berasa sangat gembira dan bahagia kerana kedua-dua puteri dan putera saya kini berada di depan mata. Seminggu yang lalu, anak-anak saya terpaksa saya tinggalkan bersama ibu saya nun jauh di utara tanahair. Saya tiada pilihan kerana pengasuh anak-anak saya, saya berhentikan dengan tiba-tiba. Saya ada alasan kukuh untuk berbuat demikian tapi saya tidak ingin bincangkannya kali ini. Dalam resipi kali ini, saya ingin berkongsi rasa dengan para pembaca semua tentang hati seorang ibu, hati saya sendiri ketika berpisah dengan anak-anak yang menjadi penyejuk mata pengubat duka.

26hb September, saya ditugaskan ke Langkawi bagi mengikuti satu bengkel. Memang berat hati untuk melangkah pergi walau cuma untuk tempoh masa tiga hari kerana inilah kali pertama saya terpaksa berjauhan dengan anak-anak. Sebelum ini, tak kira sesibuk mana pun, saya tetap punya masa untuk bersama dengan anak-anak di malam hari. Demi tugas, saya gagahkan juga langkahan kaki. Kebetulan, suami saya pula ditugaskan ke Johor Baharu. Memang perkara biasa kalau suami saya bertugas di luar daerah. Anak-anak saya tinggalkan dengan adik saya lantaran pengasuh yang makin rancak menunjukkan taringnya. Inilah klimaks cerita yang menyebabkan khidmatnya saya tamatkan.

Kembali dari Langkawi, penat otak saya memikirkan bagaimana dengan anak-anak saya selepas ini. Adik saya tak dapat nak jaga sepanjang masa sebab punya tugas sendiri. Nak ambil pengasuh dari negara jiran, sungguh… saya tak sanggup mengambil risiko. Banyak sangat kisah-kisah yang menggerunkan. Memang tak semua tapi tak rugi kalau kita berjaga-jaga lebih awal. Nak hantar ke taska, dalam keadaan tergesa-gesa, rasanya tetap meresahkan jiwa. Ya lah, anak-anak bukan untuk dijaga sahaja tetapi untuk dididik dan diasuh akhlaknya. Akhirnya, saya mohon pendapat daripada Mak saya. Mak saya mencadangkan supaya kedua-dua cucunya itu dihantar kepadanya terlebih dahulu. Walau berat hati, pendapat itu saya terima kerana untuk masa tersebut, itulah keputusan terbaik.

Sepanjang tempoh hampir seminggu, bermula 3 hingga 7 Oktober, hati saya betul-betul tidak tenang. Walau rakan-rakan mengusik, bolehlah berbulan madu sekali lagi… segala usikan bagai masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Apanya nak berbulan madu, setiap malam, kami hanya akan balik ke rumah apabila mata dah betul-betul mengantuk. Sebelum tu, berbagai aktiviti luar yang kami lakukan. Alasannya, tak nak berada di rumah dan merasai kesunyian tanpa suara anak-anak. Setiap malam pula saya akan menghubungi Mak saya bertanyakan hal anak-anak dan bercakap dengan puteri sulung saya, berpesan supaya tinggal elok-elok dengan Tok (panggilan untuk Mak saya). Sesekali saya bercakap dengan anak kedua saya yang baru tau ah, uh… cukuplah dia mendengar suara dan kata-kata saya, dia pasti faham betapa saya merinduinya.

Kerinduan yang mencengkam jiwa ini membuatkan saya teringatkan kisah saya ketika mula-mula masuk ke sekolah berasrama dulu. Juga masa yang sama, di bulan puasa. Kata adik-adik saya, Mak saya takkan masak hidangan kegemaran saya walaupun diminta berkali-kali oleh mereka. Sebagai jawapan kepada permintaan mereka, Mak saya hanya akan mengatakan, tunggulah Along balik dulu. Bila saya ajukan kepada Mak saya kenapa beliau bertindak sedemikian, Mak cuma menjawab: Esok nanti, bila hang dah jadi Mak, hang faham la!! Ya, betul kata Mak saya, kini saya merasa apa yang Mak saya dah rasa. Sungguh perit menahan rindu kepada anak-anak. Jika Mak saya enggan masakkan hidangan kegemaran saya, saya pula enggan makan di gerai yang pernah saya makan bersama dengan anak-anak. Hinggakan tengok bantal peluk anak-anak pun, pasti air mata saya mengalir. Suami hanya mampu menggeleng walau saya tahu di hatinya juga berbunga rindu. Kalau tidak, takkan ler hari-hari dibeleknya gambar anak-anak.
Hmmm… inilah hakikat sebenar kasih dan sayang seorang ibu dan seorang ayah kepada anak-anak. Anak-anak adalah harta yang paling bernilai dan berharga, tiada galang gantinya. Saya yakin, bukan saya dan suami sahaja yang tidak sanggup menghadapi perpisahan sebegini. Malah ramai lagi ibu bapa di luar sana yang mengalami keadaan yang sama. Ingat lagi rakan sekerja saya yang pernah saya ceritakan kisahnya ketika hamilkan anak sulungnya. Beliau sendiri tidak sabar menunggu petang hari untuk kembali ke rumah berjumpa dengan bayinya. Bayangkan keadaan ibu dan ayah yang menerima ujian kematian anak-anak dalam usia yang muda dan dalam keadaan sekelip mata, seperti kes kemalangan jalan raya, nauzubillah!! Moga ibu dan ayah ini tabah dan kuat menerima ketentuan Ilahi.

Di kesempatan ini, ketika Syawal makin menjenguk diri, saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada mereka yang bernama anak, kenanglah kasih sayang ibu dan ayah yang membesarkan kita. Walau mungkin hati anda pernah terluka kerana perlakuan mereka, ingatlah, segala yang ibu dan ayah lakukan hanya atas satu alasan, inginkan kebahagiaan anda, anak yang mereka sayangi sepenuh hati. Jenguklah mereka selagi ada hayat mereka. Kucuplah tangan mereka selagi daya. Jangan menyesal di belakang hari, keluar air mata darah pun dah tak berguna lagi.

****Siaran Oktober 2005

13 Ogos 2008

Berterus terang eratkan hubungan

Debar di hati saya masih kencang. Berdegup pantas seakan baru menyelesaikan satu larian keliling padang. Bukan terkejutkan hantu, bukan takutkan jembalang. Entahlah, sukar nak diterjemahkan apa perasaan yang melanda benak saya sebenarnya. Puncanya, satu emel pengakuan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi. Remaja tersebut meluahkan rasa kesalnya di atas perbuatan yang telah dilakukan bersama gurunya. Beliau dan guru yang mengajarnya mata pelajaran Bahasa Inggeris telah menjalani hidup bagai sepasang suami isteri, sejak beberapa bulan yang lepas. Setiap kali suami gurunya tiada di rumah, mereka akan bersama dan gurunya pernah beberapa kali meluahkan rasa gembira dan bahagianya bersama remaja itu kerana menurut kata guru tersebut, pelajarnya itu berjaya memenuhi segala kehendaknya yang beliau tidak dapat daripada suaminya. Astaghfirullah wa nauzubillahi Allahu Akbar!!!

Mungkin ada di kalangan pembaca turut merasai apa yang saya rasai tika ini. Ya, kejutan yang maha hebat. Secara logiknya kita ketahui, tugas seorang guru ialah untuk mengajar dan mendidik seorang anak bangsa menjadi insan yang berguna. Sebaliknya, kes yang baru saya kemukakan tadi…. semua pembaca sedia maklum, bukan? Saya tidak bercadang untuk menghuraikan tentang peranan seorang guru. Sebaliknya, saya ingin memfokuskan kepada punca permasalahan sebenar kes ini.

Segala-galanya bermula daripada guru tersebut, seorang wanita dan yang pasti adalah seorang isteri. Nyata sekali daripada luahannya itu, isteri ini tidak mendapat kepuasan yang sebenar daripada si suami. Jangan tergelak atau terkejut pula, isteri juga punya nafsu syahwat yang sama dengan suami. Bukan suami sahaja yang perlu dipenuhi keinginannya. Kehendak nafsu isteri perlu juga dipenuhi. Kegagalan memenuhi keinginan tersebut boleh menyebabkan sesebuah perkahwinan itu roboh dan jika isteri-isteri ini tidak kuat imannya, timbullah kes-kes isteri curang dan mencari hidangan di luar. Isu kehendak dan keinginan yang tidak dipenuhi ini sewajarnya tidak timbul jika masing-masing individu iaitu suami dan isteri juga, mengamalkan sikap berterus terang dengan pasangan masing-masing.

Sikap berterus terang amat penting dalam mengeratkan hubungan suami isteri. Segala apa yang dirasai, segala tidak kepuasan hati malahan perkara-perkara yang berkaitan dengan hubungan seksual perlulah diluahkan kepada pasangan masing-masing. Jika sikap terus terang ini diamalkan, insyaAllah, tidak akan timbul masalah-masalah suami atau isteri curang dan ‘makan luar’. Berterus terang adalah salah satu prinsip komunikasi dalam perkahwinan. Kerana itulah saya pernah menegaskan bahawa komunikasi amat penting dalam hubungan suami isteri. Malu? Apa yang hendak dimalukan? Kita berterus terang dengan suami dan isteri masing-masing. Antara suami dan isteri tiada lagi istilah aurat. Hatta perhubungan yang diharamkan sebelum perkahwinan juga telah menjadi satu ibadah apabila suami isteri melakukannya dengan rasa penuh kasih dan sayang. Luahkan apa yang anda rasa, tidak puas hati, inginkan suasana yang lebih romantik, inginkan aksi-aksi yang lebih menambat rasa atau apa saja… berterus teranglah kepada pasangan anda.

Saya teringat satu kisah yang pernah sampai ke telinga saya, seorang isteri yang sarat mengandung meminta suaminya memakai tuala tanpa apa-apa pakaian lain. Kemudian suami itu diminta pula supaya duduk mencangkung. Pelik jer permintaan si isteri namun kerana sayang, suami menurut. Bila suami bertanyakan kepada isteri, kenapa beliau diminta berbuat demikian? Barulah si isteri berterus terang. Rupa-rupanya si isteri inginkan ‘belaian hangat’ kerana suami tidak memenuhi kehendak batin si isteri hampir sebulan. Bukan suami membenci tetapi tersilap jangkaan, bimbang isteri tidak selesa maka dibiarkan sahaja, turut sama mengorbankan keinginannya. Inilah punca jika tidak mengamalkan sikap berterus terang. Jika sikap terus terang diamalkan, perkara-perkara pelik takkan terjadi. Perlakuan-perlakuan yang melanggar batas moral dan syarak juga dapat dijauhi.

Satu ilmu yang saya ingin kongsi dengan para pembaca semua terutama kepada isteri yang sedang hamil, juga kepada suami yang isterinya sedang hamil, hubungan kelamin antara suami isteri ketika menunggu saat-saat kelahiran (maksud saya ketika kandungan sarat bukan ketika sakit mula terasa) akan membantu proses kelahiran, insyaAllah, isteri akan lebih mudah bersalin. Ilmu ini saya dapat daripada seorang jururawat semasa pemeriksaan kandungan ketika mengandungkan anak pertama. Alhamdulillah, Allah izinkan saya bersalin dengan mudah, bagi kedua-dua anak saya… tapi, bukan itu saja, ada juga doa-doa yang saya amalkan.

Kembali kepada tajuk perbincangan, sekali lagi saya menyeru kepada semua individu yang bernama suami dan isteri, jangan malu dan jangan segan, berterus teranglah kepada pasangan anda tentang segala apa yang anda rasakan mengenai hubungan kelamin anda. Kepada para suami, jangan salah anggap bahawa hanya keinginan anda yang perlu dipenuhi sedangkan keinginan isteri dibiar sepi. Wanita dan lelaki mempunyai tahap kepuasan yang berbeza. Jika sayangkan isteri anda, belajar dengan lebih lanjut mengenai perkara ini dan sebaik-baiknya, berkomunikasilah dengan isteri anda. Sama juga dengan para isteri. Komunikasi penting untuk intimasi, praktikkanlah. Maaf jika ada yang merasakan perbincangan kali ini keterlaluan atau sangat terbuka. Satu sahaja yang perlu diingat, ini adalah ilmu.

****Siaran Oktober 2005

Mencincang air takkan putus

Semua orang tau, air dicincang takkan putus, biarpun ianya air batu yang keras. Biar ketulannya dipecahkan atau dihancurkan, ia kan tetap cair dan bersatu semula atas nama air. Sebegitulah perumpamaan yang orang tua terdahulu berikan kepada hubungan darah antara manusia. Ramai yang mengetahui, ramai yang memahami tetapi tidak ramai yang ingin menerimanya sebagai satu realiti. Jangan pelik pulak, isu ini saya timbulkan rentetan satu panggilan yang saya terima daripada seorang wanita bernama ibu. Wanita awal 20-an ini sedang menanggung rindu yang amat sangat kepada puteri yang dilahirkannya sejak lebih dua tahun lalu.

Ibu yang kerinduan ini berasa amat malang kerana hanya mampu mengandungkan dan melahirkan tetapi tidak berkesempatan menyusukan apatah lagi memeliharanya. Semuanya gara-gara ingin menutup dosa yang dilakukan ketika usia muda. Syukur, pintu taubat masih terbuka, wanita ini bertaubat sesungguh hati dan akhirnya beliau dikurniakan seorang suami yang amat memahami. Bayangkanlah, suaminya mengetahui segala kisah silamnya tetapi masih bersedia menerima anak yang dilahirkan oleh isterinya itu sebagai anak sendiri. Masalahnya, entah ke mana menghilangnya si puteri? Janji asal, suami isteri yang memelihara puterinya akan membenarkan beliau melawat paling kerap sekali dalam sebulan. Malangnya, dalam tempoh hampir dua tahun ini, suami isteri tadi telah acap kali berpindah rumah tanpa memberitahu wanita tersebut. Bila wanita tadi dah tau tempat tinggalnya yang terkini, pergi pula bulan depan, mereka dah tak ada di situ lagi, seolah-olah melarikan diri. Ketika panggilan dibuat kepada saya, wanita tadi dah kehilangan anaknya hampir lima bulan.

Meneliti kes ibu malang tadi, saya teringat kisah yang diceritakan oleh seorang rakan mengenai sikap seorang rakannya. Menurut rakan saya itu, setelah lebih 12 tahun perkahwinan tanpa kurniaan zuriat, rakannya itu mengambil anak angkat daripada seorang ibu muda yang terpaksa menyerahkan anak yang dilahirkannya dengan alasan yang sama dengan wanita tadi, untuk menutup kesilapan lalu. Namun, ada perjanjian antara ibu muda dan rakan kepada rakan saya itu. Beliau dibenarkan untuk melawat anaknya pada setiap bulan. Namun, rakan kepada rakan saya tadi bertindak menipu dan cuba menyembunyikan anak angkat yang diambilnya itu. Hingga sekarang, telah hampir enam bulan, ibu muda tadi tidak pernah berkesempatan bertemu dengan anaknya kerana gagal menemui alamat yang diberikan ketika perjanjian kerana rakan kepada rakan saya itu menggunakan alamat palsu. Bila ditanyakan kenapa beliau bertindak sedemikian? Wanita yang terlalu inginkan anak tersebut menyatakan rasa bimbangnya jika ibu muda tadi akan mengambil semula anaknya itu satu hari nanti.

Mungkin ada di kalangan pembaca yang merasakan, memang wajar perlakuan sedemikian. Mungkin juga ada yang berpendapat, perbuatan tersebut adalah melampau. Namun, secara logik dan atas nama norma masyarakat, juga demi menjaga kesucian hubungan keluarga di dalam Islam, perbuatan kedua-dua ibu bapa angkat tadi, yang bertindak cuba memutuskan hubungan antara ibu dengan anaknya walaupun anak tidak sah taraf (gelaran kepada anak-anak yang dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan yang sah), adalah perbuatan yang tidak wajar. Seorang anak tetap mempunyai hubungan dan kaitan yang mantap dengan ibu yang mengandungkan dan melahirkannya. Biarpun ibu tersebut tidak berupaya memelihara dan mendidik anaknya itu, walau atas apa jua alasan, tidak ada seorang pun di dunia ini yang berhak memutuskan apatah lagi menafikan haknya sebagai ibu kepada anaknya. Tambah pula, dalam kedua-dua kes tadi, si ibu ingin menjalankan tanggungjawab sekadar terdaya, maksud saya, masih mahu berjumpa dan memberi kasih dan perhatian sekadar termampu.

Walaupun ibu yang hanya berpeluang mengandung dan melahirkan ini tidak pernah peduli dengan proses tumbesaran si anak dan ditakdirkan selepas beberapa ketika, wujud rasa insaf di hati, si ibu mula mencari anaknya, pertalian darah antara ibu dan anak ini juga tidak boleh dinafikan. Sebagai seorang anak, kesalahan si ibu perlu dimaafkan. Anak tersebut tidak berhak mempertikaikan kenapa si ibu bertindak menyerahkan dirinya kepada orang lain dan langsung tidak mempedulikannya lagi. Sebagai seorang ibu, pasti beliau mempunyai alasan tersendiri demi menjaga nama diri sendiri dan juga si anak yang amat dikasihi. Walau apa juga tindakannya, seorang anak tetap wajib menghormati si ibu sebagai orang yang telah bersusah payah mengandung dan melahirkannya ke dunia ini. Jika seorang anak tidak berhak menafikan darah yang mengalir di dalam tubuhnya adalah juga darah daripada si ibu yang melahirkannya, apakah pula hak anda, mereka yang mengambil anak-anak ini sebagai anak angkat, untuk menafikan pertalian tersebut?

Bukan sekadar tidak berhak menafikan, malah perbuatan dan tindakan anda menyembunyikan identiti sebenar si anak akan lebih memburukkan keadaan. Bayangkan sekiranya si anak tadi bertemu dengan anak daripada ibu yang sama kemudian bercinta ataupun mendirikan rumahtangga. Hubungan tersebut adalah haram. Anak-anak ini tidak berdosa sebaliknya perbuatan anda yang menyembunyikan kerahsiaan ini yang harus dipersalahkan. Biarpun anak angkat anda adalah anak tidak sah taraf tetapi hubungan saudara seibu tetap wujud yang boleh mengharamkan wujudnya ikatan perkahwinan. Lantas, berfikirlah sebelum bertindak. Kenapa risau si anak akan diambil semula? Jika segala perhatian dan kasih sayang anda mantap, si anak akan tetap menyayangi anda biarpun si anak tahu, bukan anda ibu atau ayah kandungnya. Malah bagi kebanyakan kes, si anak akan tetap bersama ibu dan ayah yang menjaganya dan dalam masa yang sama, tidak membelakangkan ibu kandungnya. Bukankah itu lebih adil untuk semua?

****Siaran Oktober 2005

09 Ogos 2008

Wanita bukan insan yang lemah

Melihatkan kepada tajuk perbincangan kali ini, mungkin ada di kalangan pembaca lelaki yang berkata; dia dah mula sokong kaum sendiri dah!! Tak mengapa, saya tak kisah malah saya akui memang saya menyokong penuh bahawa wanita bukan insan yang lemah. Saya terpanggil untuk membincangkan topik ini apabila seorang rakan meluahkan rasa penatnya dengan kerja-kerja pejabat. Tak cukup dengan kerja pejabat yang sentiasa perlu disiapkan segera, balik rumah perlu pulak mengadap kerja-kerja rumah dan kerenah anak-anak yang pelbagai. Katanya lagi, kalau tak punya daya ketahanan mental yang kuat, memang boleh jadi gila. Saya akui kata-katanya itu. Saya sendiri merasa apa yang dirasakannya. Walaupun suami saya rajin menolong tetapi ada tikanya beliau akan memberikan alasan, penat!! Pernah terlepas dari mulut saya, ye lah!! Abang jer yang penat! Ana ni kuat! Siang bertungkus lumus di pejabat, balik rumah bertungkus lumus dengan kerja rumah pulak! Tak penat pun!! Sedar dengan sindiran saya, suami saya pasti tersenyum.

Saya yakin, bukan saya atau rakan saya sahaja tetapi hampir semua isteri yang bekerja merasai kepenatan ini. Yang ada pembantu rumah tu, mungkin kurang terasa tetapi ada juga isteri yang punya pembantu rumah tetapi lebih suka buat kerja rumah sendiri jika telah ada di rumah. Walau penat, lebih senang melakukan kerja-kerja rumah sendiri. Walau terasa hilang kudrat tetapi segala keperluan anak-anak dan suami akan tetap diutamakan. Kenapa? Kerana kasih dan sayang. Kerana ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak dan suami. Namun, berapa ramai suami yang menghargai segala jerih payah si isteri? Berapa ramai suami yang sedar betapa tingginya nilai pengorbanan si isteri?

Bukan hanya isteri berstatus dwi kerjaya tetapi juga isteri yang memegang jawatan penuh sebagai suri rumah tangga. Kepenatan mereka juga hampir setara dengan wanita dwi kerjaya. Bangun di awal pagi, selepas mengadap Allah Yang Maha Esa, sibuk pula menyediakan sarapan pagi. Selepas suami keluar ke tempat kerja, dah mula sibuk mengemas rumah, mencuci, walau ada bantuan mesin baju tapi perlu jugak inisiatif diri, bukannya baju-baju tu boleh kering dan berlipat sendiri. Kalau ada anak yang dah sekolah, sibuk pula menyiapkan hidangan tengahari untuk anak-anak menjamah bila pulang dari sekolah nanti. Kalau ada anak-anak kecil, mana nak layan kerenah yang pelbagai lagi, mana nak selesaikan kerja-kerja rumah lagi, mana nak memasak lagi... pernah saya dengar luahan hati seorang lelaki yang bercuti dan menyaksikan sendiri kesibukan si isteri: kalaulah saya di tempat isteri saya, memang saya dah jatuh pengsan. Pergerakannya sehari, seperti berlari keliling padang lebih dari 10 kali. Itu suami yang betul-betul memerhati pergerakan isteri, bukan sekadar memerhati tetapi merasai susah payah isteri. Yang memilukan, berapa keratkah suami yang bersikap sedemikian?

Itu satu bukti bahawa wanita bukan insan yang lemah. Bukti lain, perhatikan kaum wanita yang ditakdirkan mempunyai jodoh yang singkat dengan suami mereka, samada bercerai hidup ataupun bercerai mati. Wanita-wanita yang menjadi ibu tunggal ini berhempas pulas membesarkan anak-anak. Kalau yang ada pekerjaan sejak awal tu, mungkin terasa tak terlalu berat. Kalau bercerai hidup lak, suami masih wajib menjalankan tanggungjawab memberikan nafkah untuk anak-anak. Cuma, berapa kerat jer yang betul-betul memainkan peranan ini? Kebanyakannya, mahkamah dah keluarkan perintah pun, masih pandai sembunyikan diri. Kalau bercerai mati tu, mungkin ada yang kata… tak kuat cam mana, dah tak der saper dah nak tanggung keluarga.

Sebenarnya, di dalam Islam, sekiranya seorang bapa meninggal dunia atau hilang atau tidak berkemampuan dalam erti kata tidak berdaya menurut syarak, tugas menanggung perbelanjaan keluarga jatuh kepada waris lelaki bapa iaitu suami yang tidak berdaya itu samada bapanya iaitu datuk kepada anak-anak lelaki tidak berdaya itu ataupun saudara-saudara lelakinya yang lain.

Malangnya, jika berlaku perceraian hidup pun, susah sangat si suami apatah lagi keluarga suami nak menonjolkan batang hidung. Inikan pula kalau bercerai mati. Segalanya dibebankan kepada wanita yang kini memegang status ibu tunggal. Daripada suri rumah sepenuh masa, terpaksa memikul tugas mencari nafkah keluarga. Walau apa pun yang berlaku, mulut anak-anak perlu disuap. Minda anak-anak perlu diisi dengan ilmu yang berguna. Belum campur dengan segala tekanan daripada masyarakat sekeliling. Ibu tunggal dianggap saingan paling hebat di dalam rumahtangga, bimbang si ibu tunggal merampas suami mereka. Dengan segala kepayahan dan kesusahan ini, wanita-wanita ini tetap tabah, kuat dan gagah menempuh cabaran hidup.

Biarlah apa orang nak kata. Biarlah apa orang nak sangka. Allah ada dan Dia yang Maha Mengetahui segalanya. Sejarah membuktikan wanita-wanita cekal ini berjaya di dalam misi mereka membesarkan dan mendidik anak-anak hingga berjaya.

Lantaran itulah, memang pendapat yang mengatakan wanita insan yang lemah patut disanggah dan sekali lagi saya bertegas… wanita bukan insan yang lemah.

****Siaran Oktober 2005

Melentur buluh adalah dari rebungnya

Seorang pengirim emel menceritakan perihal anak-anak suaminya dengan isteri pertama yang telah terbiasa dengan cara hidup yang mewah. Berbelanja memilih tempat, pasaraya seperti Giant dan Carrefour tu pun, tak main ler. Pasar malam memang langsung tak bau. Pakaian dalam pun, paling murah yang harganya mencecah RM50 sehelai. Bila beliau cuba mengubah cara hidup tersebut memandangkan kedudukan kewangan mereka yang tidak mengizinkan, anak-anak tirinya menuduh beliau cuba menyekat peruntukan kewangan mereka dan ingin menguasai harta ayah dan harta peninggalan aruah ibu mereka. Suami beliau juga tidak mampu mengambil tindakan kerana bila bersuara, dikatakan tidak menyayangi mereka lagi.

Meneliti emel ini, saya teringat kisah yang disiarkan di dalam beberapa slot siri Bersamamu siaran TV3. Antara episod yang disiarkan itu, memaparkan kisah kehidupan beberapa keluarga yang anak-anak mereka hanya makan nasi berlaukkan telur goreng, hanya makan nasi berkuahkan air garam, hanya makan bubur nasi saban hari dan paling menyayat hati, makan nasi berlaukkan siput babi. Pakaian mereka pula serba dhaif dan kebanyakannya pemberian orang ramai. Namun, anak-anak ini bersyukur dan redha dengan apa yang mereka ada. Kenapa? Kerana mereka telah terbiasa dengan kehidupan serba kekurangan dan anak-anak seperti ini akan tetap sedar dan insaf dengan segala kekurangan yang pernah dialami walau tiba satu saat, mereka dihujani dengan harta dan kemewahan. Berbanding dengan anak-anak yang telah terbiasa dengan kehidupan yang mewah. Duit belanja ke sekolah berjumlah RM50 sehari, santapan seharian adalah KFC, lebih mewah daripada pendapatan seorang kakitangan awam. Bila dah susah sikit, mula ler tak reti nak bergerak.

Persoalannya, kenapakah anak-anak bersikap sedemikian? Dah memang perangai cam tu? Kalau yer pun perangai cam tu, siapa yang membentuknya? Siapa yang menggalakkannya? Dah sahih di dalam hadis Rasulullah s.a.w bahawa setiap anak yang dilahirkan itu adalah bersih dan suci atau dalam erti kata lain, jiwa anak itu memiliki sifat yang murni. Ibu dan bapa anak itulah yang bertanggungjawab membentuk keperibadiannya. Ya! Saya faham, anak-anak zaman globalisasi sekarang ini lebih bijak dan lebih cepat bertindak daripada ibu bapa. Sebab itulah, wujud pepatah, ‘melentur buluh adalah dari rebungnya’. Rebung bagi anak-anak adalah ketika mereka belum mencapai usia baligh atau cukup umur. Rasulullah s.a.w sendiri menggariskan panduan di dalam mendidik anak-anak seperti di dalam kes sembahyang: “Ajarlah anak-anak kamu solat ketika umurnya 7 tahun dan pukullah mereka (seandainya enggan) apabila umurnya 10 tahun” – Sunan al-Tirmizi, Kitab Solat. Berapa ramai ibu bapa yang mengambil pengajaran daripada sabda Rasulullah s.a.w ini? Inilah punca kepada segala sikap yang akhirnya memeningkan ibu bapa sendiri.

Sebagai ibu bapa, kita wajib mementingkan pendidikan anak-anak, bukan sahaja didikan untuk hidup di dunia tetapi juga untuk kehidupan di akhirat. Saya pernah mendengar luahan kesal seorang bapa berusia hampir 60 tahun ketika mengendalikan kes melawan tuntutan anak gadisnya yang memohon untuk mendapatkan izin nikah menggunakan wali hakim. Kata si ayah: “ Pak Cik ada empat orang anak. Tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan. Semua anak-anak Pak Cik belajar di universiti luar negara. Semua anak-anak Pak Cik berjaya dalam kerjaya tapi hidup Pak Cik tak bahagia. “ Bila saya tanyakan, kenapa? Jawab Pak Cik tersebut: “ Camana Pak Cik nak bahagia? Kalau anak sendiri ler, bolehkah anak rasa bahagia kalau daripada empat orang anak-anak yang anak ada, cuma seorang jer yang belum panggil anak, orang tua yang bersusah payah membesarkannya, sebagai anjing!” Tika itu, ada titik-titik jernih di kelopak matanya. Saya sendiri mula terasa ada air jernih yang bergenang di mata saya. Tak lama selepas itu, ayah yang malang itu menyambung, “ Semua ni salah Pak cik. Pak Cik bagi didikan dunia kepada anak-anak Pak Cik tapi Pak Cik lupa nak bagi didikan akhirat.” Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan perbuatan, tidak mustahil akan menanggung sesal sepanjang hayat.

Namun, sebagai seorang Muslim yang perlu sentiasa bersikap positif, segala yang berlaku perlu dihadapi dengan kekuatan dan ketabahan kerana setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Percayalah, selagi ada hayat, kita masih belum terlambat, selagi itulah peluang masih ada, selagi itulah juga harapan boleh menjadi nyata. Pendidikan awal di usia rebung yang tidak dimanfaatkan itu masih boleh dipupuk dan dibentuk. Paling penting, perlu ada kesungguhan dan ketekunan. Tika ini, bukan lagi masa untuk berdiplomasi tetapi juga bukan masa untuk menyerang terus-terusan tanpa henti. Mendidik anak-anak bukan sahaja semasa bayi, bukan setakat zaman kanak-kanak dan remaja tetapi mendidik anak-anak adalah tanggungjawab sepanjang hayat ibu bapa dan sepanjang hayat anak-anak itu juga.

Selain usaha, jangan lupa untuk berdoa. Kita hanya mampu merancang, kita juga hanya mampu mengambil tindakan tetapi penentu segala keputusan adalah Allah Subhanu wa Ta’ala. Mohonlah agar anak-anak kita malah kita juga diberikan hidayah dan petunjuk, menjadi hambaNya yang soleh dan solehah. Moga semua ibu bapa akan bahagia memiliki anak-anak yang dikatakan sebagai cahayamata.

****SiaranSeptember 2005

05 Ogos 2008

Antara komunikasi dan intimasi

Dalam berkira-kira isu apa yang akan saya kemukakan kali ini, teringat saya satu cereka tayangan tv3, Miftahul Jamilah. Walaupun tanyangannya baru-baru ini adalah siri ulangan dan pertama kali saya menontonnya, cereka tersebut betul-betul membekas di jiwa saya. Kisah kesabaran dan ketulusan kasih seorang isteri. Contoh dan tauladan bahawa sebuah perkahwinan itu bukanlah bererti sekadar satu hubungan intimasi sahaja. Sebaliknya sebuah perkahwinan itu adalah lebih menjurus kepada komunikasi antara suami dan isteri. Satu ketika dulu, seorang rakan sekerja lelaki pernah menanyakan kepada saya dan seorang lagi rakan sekerja wanita, apakah yang paling penting di dalam sebuah perkahwinan, komunikasi atau intimasi? Saya dan rakan wanita sependapat, komunikasi paling penting. Kalau komunikasi lingkup, intimasi pun tak jalan ler. Bagi rakan lelaki yang bertanyakan soalan tersebut pula, intimasi paling penting katanya, kalau intimasi rosak, komunikasi pun punah. Lain orang lain pendapat kerana masing-masing dengan alasan yang tersendiri.

Namun, saya tetap berpendirian bahawa antara komunikasi dan intimasi, faktor komunikasi memainkan peranan penting di dalam kebahagiaan rumah tangga. Saya akui, Islam menetapkan bahawa sebuah perkahwinan boleh difarakkan atau dengan erti kata lain, suami atau isteri boleh memohon perceraian sekiranya pasangan mereka tidak mampu menunaikan kehendak batin iaitu layanan seks mereka. Kita renung semula apakah hikmah dan tujuan perkahwinan? Apakah kerana matlamat seks semata-mata? Memang benar tujuan pertama perkahwinan adalah untuk melangsaikan keinginan seks setiap individu melalui cara yang halal tetapi masih ada hikmah-hikmah lain di dalam perkahwinan yang juga perlu diberikan keutamaan. Kita imbas semula sejarah perkahwinan Rasulullah s.a.w dengan para Ummahatul Mukminin. Iktibar dari sejarah perkahwinan baginda Rasulullah s.a.w ini jelas membuktikan bahawa tujuan perkahwinan bukanlah demi kerana intimasi sahaja.

Sekiranya seseorang itu berkahwin hanya kerana keinginan seks atau lebih mengutamakan soal intimasi maka perkahwinan yang dibina akan mula goyah apabila hal-hal intimasi ini ditimpa masalah. Mencontohi kes di dalam cereka Miftahul Jamilah, sebenarnya kes yang sama pernah berlaku kepada seorang klien saya cuma bezanya si suami dijangkiti HIV kerana ketagihan dadah dan kesudahan cereka juga tidak sama dengan kesudahan kisah klien saya tetapi ada alasannya. Miftahul Jamilah bersedia menerima kekurangan suaminya kerana rasa cinta dan kasih kepada suami. Sementelahan pula Miftahul Jamilah memahami isi hati si suami, biar pun tidak menerima layanan sebagai seorang isteri pada mulanya tetapi suaminya berubah menjadi seorang suami yang baik dan bertanggungjawab walaupun tidak mampu memenuhi kehendak batin si isteri. Bererti wujud komunikasi yang baik antara pasangan suami isteri. Sememangnya suami begini wajar menerima setulus kasih si isteri walau si isteri terpaksa korbankan keinginan intimasinya.

Berbeza dengan kes klien saya, si suami bukan sahaja seorang penagih tegar tetapi gagal menunaikan tanggungjawab yang wajar bagi seorang suami kepada isteri dan anak-anaknya. Segala urusan rumah tangga dipikul oleh isteri maka si isteri mengambil keputusan untuk keluar dari perkahwinan tersebut. Kes disebut dan didengar. Si suami bertegas, walaupun beliau dijangkiti HIV, beliau tidak kisah sekiranya si isteri tidak melayani kehendaknya asalkan hubungan perkahwinan mereka masih ada. Walau alasan tersebut digunakan oleh suami, hakim yang membicarakan kes menerima permohonan fasakh si isteri setelah mengambil kira faktor komunikasi yang tidak baik antara kedua pasangan suami isteri tersebut.

Sungguh, sekiranya wujud komunikasi yang baik antara suami dan isteri maka intimasi juga akan berjalan dengan baik. Sebaliknya jika komunikasi bermasalah maka kecenderungan untuk melakukan intimasi juga kurang malah boleh mencapai tahap tiada. Tika inilah ada antara suami yang menjauhkan diri daripada isteri. Isteri tidur di bilik, suami tidur di ruang tamu. Ada juga isteri yang melarikan diri tidur bersama anak-anak. Ataupun ada juga pasangan yang masih melakukan intimasi tetapi dalam keadaan terpaksa, sekadar menunaikan tanggungjawab maka jadilah seperti perumpamaan, bagai melepaskan batuk di tangga. Natijahnya, tiada kepuasan maka hubungan akan lebih bermasalah. Berbeza jika komunikasi cantik maka intimasi yang kurang elok akan dapat diindahkan lagi. Komunikasi yang baik antara suami isteri akan mendorong kedua-dua mereka berbincang bagaimana untuk mengatasi malah intimasi antara mereka. Komunikasi yang baik juga mendorong pasangan suami isteri berikhtiar mencari jalan bagi merungkai segala permasalahan yang berkaitan dengan isu intimasi ini.

Lantas, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua individu, utamakan komunikasi di dalam perkahwinan anda. InsyaAllah, isu intimasi akan berjalan dengan lancar.

****Siaran September 2005

Bila si kecil memberontak

Hari ini, hari pertama saya kembali bertugas setelah hampir seminggu bercuti sempena meraikan sambutan kemerdekaan ke 48. Walau bercuti agak lama namun saya tidak ke mana-mana kerana suami saya bertugas. Lantas, ruang masa yang ada saya gunakan sepenuhnya untuk bersama puteri dan putera saya yang makin lincah dan tangkas. Memang berbaloi percutian ini tambahan pula pengasuh yang bertanggungjawab menjaga anak-anak saya, saya izinkan bercuti. Bangga dan gembira kerana saya dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada dua permata hati saya itu. Terhibur dengan telatah mereka malah ada tikanya kerenah mereka hampir menggegar pintu kesabaran saya.

Selama hampir seminggu itu jugalah saya mendapat bukti tentang kebenaran fakta yang mengatakan bahawa si kecil memberontak kerana inginkan perhatian. Sungguh, dalam dua hingga tiga hari pertama, telatah anak-anak lebih ke arah menguji kesabaran saya. Ada saja tindak tanduk mereka yang boleh menyebabkan saya marah. Alhamdulillah, saya masih menang dalam menangani situasi tersebut. Hari-hari selepasnya pula, tiada lagi kerenah sedemikian sebaliknya mereka makin manja dan hati saya sentiasa digeletek dengan telatah mereka. Pengalaman berharga inilah yang ingin saya kongsi dengan para pembaca semua terutamanya para ibu. Perbincangan ini juga sekaligus menjawab pertanyaan beberapa emel yang saya terima selepas tersiarnya perbincangan isu anak-anak adalah amanah Allah kepada kita. Ada yang meluahkan rasa insaf dengan perlakuan mereka sebelum ini dan ada juga yang meminta, apakah resipi untuk menghadapi kerenah dan telatah anak-anak yang dikatakan penyejuk mata tetapi ada tikanya, gelagat mereka betul-betul menikam jiwa.

Tiada resipi istimewa sebenarnya. Hanya satu bahan utama untuk menu menangani kerenah anak-anak ini iaitu menyedari dan menginsafi bahawa mereka adalah anak-anak kecil. Insan yang hanya inginkan perhatian dan belaian. Setiap tindak tanduk mereka sama ada mereka menangis, menjerit biarpun tanpa sebab malah segala tingkah laku ketika melakukan apa juga aktiviti seharian, tujuan mereka hanyalah untuk mendapatkan perhatian daripada kita. Sememangnya jiwa kanak-kanak terlalu lembut. Mereka sentiasa inginkan perhatian. Sentiasa inginkan kita memberikan tumpuan kepada mereka. Tak mampu meluahkan keinginan mereka dengan kata-kata maka segalanya disampaikan melalui tindak tanduk mereka. Sebagai insan yang lebih dewasa, kita tidak semestinya mengikut cara mereka, maksud saya, ada ibu bapa yang cenderung memarahi anak-anak apabila anak-anak bersikap sedemikian. Kemarahan yang kita luahkan kepada mereka menunjukkan kita juga bersikap seperti mereka.

Saya cadangkan para pembaca semua buktikan sendiri kebenaran fakta bahawa kerenah anak-anak semata-mata kerana inginkan perhatian daripada ibu bapa. Perhatikan, apakah tingkah laku anak-anak sekiranya kita memberikan perhatian kepada mereka? Perhatikan pula, apakah tindak tanduk mereka apabila kita kurang mempedulikan mereka? Saya yakin, kedua-dua situasi ini memberikan keputusan yang berbeza kan?!! Satu perkara yang perlu diingat juga, perhatian bukan sekadar kepada si kecil yang belum pandai mengucapkan kata tetapi kepada semua anak-anak kita. Seperti yang pernah saya bincangkan dulu, anak-anak adalah amanah Allah kepada kita. Kita sebagai ibu bapa adalah insan yang paling bertanggungjawab dalam membentuk syakhsiah dan peribadi anak-anak, bukan guru, bukan pengasuh dan bukan ibu semata-mata. Kedua-dua, ibu dan bapa bertanggungjawab membentuk peribadi dan mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Seorang ibu pernah meluahkan pandangannya ketika beliau menghubungi saya menceritakan perihal dirinya yang sentiasa memarahi anaknya biarpun tanpa sebab. Kata ibu tersebut, beliau juga mengalami nasib yang sama dengan anaknya sekarang. Beliau sentiasa dipukul dan dimarahi oleh ibunya walaupun tanpa apa-apa kesalahan. Kesannya, kata si ibu, beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan ibunya. Beliau lah tempat ibunya meminta bantuan, tempat ibunya menumpang kasih tika tua. Berbanding kakaknya yang dimanjakan sepenuhnya oleh ibunya dahulu tetapi si kakak bersikap menjauhkan diri daripada keluarga. Tambah ibu muda itu lagi, dia yakin perlakuannya kepada anaknya tika ini akan merapatkan hubungannya dengan anaknya itu.

Sebenarnya, pendapat ini adalah pendapat yang salah. Kewujudan kes seperti yang ibu muda ini alami adalah satu antara sejuta. Sebaliknya, kajian yang pernah dijalankan membuktikan bahawa hampir 90% kanak-kanak yang menerima layanan tidak baik daripada ibu bapa akan melayani anak-anaknya juga sedemikian rupa, sama seperti kes ibu muda tadi, dan anak-anak ini pula, hampir 80% daripadanya akan menjauhkan diri daripada ibu bapanya. Kajian juga menyingkap beberapa kisah ibu bapa yang mendiami rumah orang tua sebenarnya mempunyai sejarah gagal melayani anak-anak dengan baik. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua yang bernama ibu, mama, emak, ummi atau apa juga panggilannya, juga kepada semua yang dipanggil bapa, ayah, abi, papa dan apa jua yang sewaktu dengannya, jalankanlah tanggungawab yang diamanahkan oleh Allah dengan sebaik-baiknya. Jangan hanya pandai menyebabkan kelahirannya ke dunia ini tetapi jadikanlah insan yang kau sebabkan kelahirannya itu sebagai seorang insan yang berguna untuk dirinya, dirimu, juga untuk agama dan masyarakat.

Moga diriku tergolong di dalam kumpulan anak-anak yang membahagiakan ibu bapa dan moga anak-anakku akan turut membahagiakan diriku dan suamiku satu masa nanti, amin!!

****Siaran September 2005

01 Ogos 2008

Pikat pasangan tugas sepanjang masa

Seorang suami mengadu, selama hampir 5 tahun perkahwinan, dia akan lebih senang membawa isterinya keluar berjalan-jalan bersama anak-anak kerana jika di luar rumah, isterinya adalah ratu yang paling cantik… kalau di rumah pulak, seperti orang gila yang waras sahaja. Yang peliknya, luah si suami… sepanjang tempoh perkenalan dan percintaan selama lebih 4 tahun, dia mengenali isterinya itu sebagai seorang yang cantik dan kemas. Penampilan si isteri berubah setelah melahirkan anak yang pertama. Kalau di rumah, isterinya jarang bersolek hatta susah sekali nak berbedak atau bersikat rambut. Kalau nak keluar, mak aiii… risau pulak kalau isterinya dikebas orang.

Hmmm… saya percaya, bukan seorang suami sahaja yang menghadapi situasi seperti kes tadi. Ramai suami di luar sana yang menghadapi kemelut yang sama. Malah, ada juga para isteri yang menghadapi dilema ini… tika di luar rumah, suami aku lah hero nombor satu, kalau di rumah pulak, susah nak percaya, inikah suamiku? Alahaiii… nak kata silap orang, memang sah dialah wanita atau lelaki yang kucintai dan kesenangi penampilan dirinya dulu hingga kuterima dirinya menjadi pasangan hidupku. Kenapa bila dah kawin, lain pulak jadinya? Kenapa ya? Jawapannya mudah… kerana isteri atau suami tersebut tersalah niat ketika menampilkan dirinya di hadapan pasangan. Sebelum dapat, mestilah tampilkan diri dalam keadaan yang paling sempurna, barulah dapat memikat hati si dia. Bila dah dapat… ok lah tu, tampil camana pun, dia dah jadi milik aku. Haaaa…. Ingat lagi topik saya, wajarkah berubah bila dah dapat? Ada kaitan lah dengan topik kali ini.

Sebenarnya, ramai di kalangan kita yang berpendirian, aku mesti tampil menawan di hadapan lelaki atau wanita yang ingin kutakluki hatinya. Bila dah dapat, tak per dah ler. Pendirian sebegini perlu dan wajib ditukar. Seperti yang pernah saya katakan… bermulanya cinta daripada tiada dan daripada ada, boleh menjadi tiada semula. Maka kita perlu berwaspada dan berjaga setiap masa agar cinta yang ada akan kekal bersama kita. Dalam erti kata lainnya, memikat pasangan tak kira suami atau isteri, adalah tugas dan tanggungjawab setiap individu pada setiap masa…. setiap saat, setiap tempat dan pada setiap keadaan. Memang tidak dapat dinafikan, dalam pergerakan arus masa, kulit yang licin akan berkerepot, badan yang ramping akan menjadi besar… tambahan pula bagi wanita yang mengandung kemudian melahirkan zuriat penyambung keturunan suaminya. Namun, semua ini bukan alasan untuk para isteri mengabaikan tanggungjawab memikat hati suami.

Biarlah kulit berkerepot… dah namanya kita ni manusia, memang tak dapat lari dari proses yang telah ditetapkan olehNya Yang Maha Kuasa. Tetapi, janganlah pulak bila kulit dah berkedut, kebersihan diri dah tak dipeduli, penampilan dah tak kemas lagi... lagipun, pada pandangan saya, cantik bukan pada kelicinan rupa atau keayuan wajah dan paras… cantik adalah sesuatu yang sukar didefinisikan tetapi memberikan satu pengertian… sedap mata memandang. Sama jugak, walau bentuk badan dah mengembang sikit dan tak berdaya nak mengembalikan ke bentuk asal, jagalah penampilan, rambut tu bersikat kemas, kalau dibiarkan mengerbang, takut lak suami mati terkejut kerana disangkanya jembalang… dah tak pasal-pasal jadi janda senang. Kalau suami bising nakkan bentuk tubuh yang asal, cakap pada suami… jangan suruh jer… bagi perangsang dan sokongan…. moral dan kewangan. Tapi kalau ada isteri yang memang bersaiz besar sebelum kahwin tiba-tiba suami suruh turunkan berat badan dan proses penurunan itu sesuatu yang agak mustahil, suami cam ni memang nak kena belantan. Kalau dah nak isteri bersaiz kecil, apasal yang kau cari isteri bersaiz besar? Memang cari pasal la tu.

Lantaran, setiap isteri, tak kira lah yang baru jer memegang status amat berharga ini atau pun dah lama, perlu pastikan penampilan kita di hadapan suami adalah yang terbaik. Kalau kita dah pastikan semua ini tetapi suami masih nak cari jalan untuk tubuhkan cawangan, kita dah ada alasan untuk menentang. Bukan isteri sahaja, para suami juga perlu pastikan penampilan diri di hadapan isteri adalah yang terbaik. Kalau suami nak tengok isteri dalam keadaan yang menarik, sama jugak ler dengan para isteri. Kadang-kadang, ada jenis suami yang becok marahkan isteri yang tampil sederhana tetapi dia dengan bersahaja tampil lebih teruk daripada isteri.

Tampil menarik tidak semestinya perlukan pakaian mewah atau berjenama. Memang ada jenis yang suka menggayakan pakaian yang mahal-mahal, terpulanglah kepada kemampuan masing-masing. Tampil menarik yang saya maksudkan ialah bersih dan kemas, sedap mata pasangan anda memandang. Mata orang lain tak penting sebab diri anda adalah milik pasangan anda. Saya menyokong amalan sesetengah pasangan, jika memilih pakaian untuk isteri maka pendapat dan pandangan suami akan diambil kira, begitu jugalah sebaliknya jika memilih pakaian untuk suami, pendapat isteri pula diambil kira. Amalan sebegini akan mengekalkan suasana harmoni di dalam rumah tangga.

Tapi, kena ler beringat-ingat… bila pasangan dah tampil anggun dan menawan setiap masa, jangan lah pula cemburu buta. Saya akan bincangkan topik berkaitan cemburu ini dalam perbincangan yang akan datang, insyaAllah.

****Siaran September 2005

Mencari cinta

Ini bukan perbincangan tentang program kat TV3 tu tapi perbincangan kali ini adalah bagi merungkai permasalahan para pengirim emel yang meluahkan rasa sedih dan sepi mereka kerana masih gagal menemui jodoh apatah lagi merasai nikmat cinta. Bukan hanya keluhan golongan wanita malah luahan rasa kaum lelaki juga. Masing-masing mempersoalkan, tidak adakah jodoh untuk mereka? Sukar untuk memberikan satu jawapan yang pasti kerana segala yang terjadi adalah atas kehendak dan kuasa Yang Maha Esa. Namun, berpegang kepada satu firmanNya… setiap kejadian adalah secara berpasangan… saya percaya sesungguhnya setiap dari kita mempunyai jodohnya masing-masing. Cuma, masa untuk bersama dengan pasangan yang dijanjikan itu masih belum tiba.

Mungkin ada yang mempertikaikan.. habis tu, ada juga yang meninggal dunia dalam usia yang dah agak tua tetapi masih kekal dengan status bujangnya? Bukan itu saja, ada juga yang meninggal dunia dalam usia yang masih agak muda hingga tidak sempat menikmati hidup berumah tangga. Malah ada antaranya bakal memasuki gerbang perkahwinan atau baru saja kering dari peluh dingin yang merembes keluar ketika melafazkan akad nikah tetapi telah dijemput pergi mengadap Ilahi. Ya, saya akui kebenaran fakta tersebut tetapi semua itu di luar kawalan kita sebagai hamba. Tidak mustahil, pasangan yang dijanjikan untuknya bukan untuk bersama di dunia tetapi jodoh mereka bertemu di akhirat, hanya Dia yang mengetahuinya. Namun sebagai hamba, kita semua dibenarkan untuk mengecapi nikmat cinta, nikmat satu hubungan yang suci atas nama perkahwinan.

Persoalannya, bagaimana caranya untuk merasai nikmat cinta sekiranya sukar memperolehinya? Tepuk dada, tanya minda. Apakah sebabnya, ketika berada dalam usia yang rata-ratanya orang lain yang sebaya dengan kita telah mendirikan rumah tangga tetapi kita masih lagi sendiri? Mungkin ada yang menjawab, siapalah yang sukakan saya, rupa tak ada, harta jauh sekali. Fikir semula, apakah cinta itu kerana rupa atau harta? Ingat lagi artikel saya dulu, jika kita memilih cinta kerana rupa atau pun harta, percayalah… cinta tersebut tidak akan kekal lama. Bila rupa mula berubah, bila harta makin kurang tak bertambah, cinta juga akan mula berubah arah. Ada juga yang menjeruk diri kerana kekecewaan yang lalu. Bukan sekadar kecewa tetapi tidak mampu untuk percaya lagi kepada kata-kata cinta. Sikap seperti ini akan tambah menjerukkan perasaan sebenarnya. Allah telah janjikan bahawa cinta akan membahagiakan kita. Sekiranya kita kecewa kerana cinta bererti ada sesuatu yang tidak kena dengan cinta kita itu, sama ada yang tidak kena itu ada pada kita, mungkin juga pada pasangan kita.

Maksud saya dengan ‘ada yang tidak kena’ ialah sikap kita tentang cinta. Ya, semua orang inginkan cinta sejati. Hanya cinta sejati yang boleh memberikan kebahagiaan kepada diri. Saya akui kebenaran itu tetapi, apakah dia cinta sejati? Apakah dengan memiliki cinta dari insan yang menepati keinginan dan impian kita maka itu adalah cinta sejati? Bercakap mengenai keinginan dan impian seseorang, tidak pernah ada yang inginkan kekurangan, betul tak? Jadi, bila ada kekurangan maka ianya bukan lagi cinta sejati, begitu? Tidak salah mengasah impian tetapi kita semua perlu akui bahawa kita adalah manusia yang tidak pernah sunyi dari kekurangan. Cinta sejati adalah cinta yang menepati enam peraturan cinta seperti yang pernah saya jelaskan satu ketika dulu. Kita perlu menerima segala kelebihan dan kekurangan pasangan kita barulah kita akan memiliki kesejatian cinta. Lantas, jika kita menunggu hari demi hari dengan matlamat untuk memperolehi cinta daripada putera atau puteri impian kita, memang payahlah impian itu menjadi nyata.

Teringat saya kepada satu kisah yang saya perolehi daripada forwarding email. Seorang lelaki menginginkan seorang gadis yang memiliki ciri-ciri terbaik sebagai calon isteri. Setelah sekian lama mencari, ditakdirkan satu hari beliau bertemu dengan seorang gadis yang memenuhi impiannya itu. Setelah lama berkenalan, si jejaka berhasrat untuk melamar si gadis. Sebelum meluahkan hasrat hati, si jejaka bertanya kepada si gadis, kenapa si gadis masih belum berkahwin sedangkan si gadis mempunyai segala-galanya yang diinginkan oleh seorang lelaki. Jawab si gadis: sehingga ke saat ini saya belum menemui seorang lelaki yang saya yakin terbaik untuk diri saya. Ringkas jawapan si gadis tetapi bernas kan?! Kenapa saya katakan bernas? Ya, jawapannya itu wajar kita teladani bersama. Tidak salah untuk memilih yang terbaik tetapi apakah kita terbaik untuk orang lain? Maka, bersyukurlah dengan apa yang ada pada diri kita dan terimalah pasangan kita seadanya.

Cinta juga tidak datang dengan sendirinya maka kita perlu mencari cinta. Tidak salah mempraktikkan perigi mencari timba tetapi perlu kena caranya. Rasulullah s.a.w sendiri dipinang oleh Sayidatina Khadijah, lantas kenapa malu meluahkan rasa kepada lelaki yang kita yakin dapat menjadi teman hidup kita sepanjang hayat? Bagaimana caranya? InsyaAllah, kita akan bincangkan untuk resipi yang lain pula.

****Siaran September 2005