22 April 2011

Sentiasalah berkomunikasi dengan pasangan

Baru-baru ni, sepasang suami isteri berjumpa dengan saya. Melihat kepada kemesraan mereka, memang sukar dipercayai mereka sedang menghadapi situasi sengit di dalam perkahwinan. Mulanya, saya menjangkakan masalah salah faham biasa namun mengejutkan apabila si isteri meluahkan, dia dah tak ada perasaan terhadap suami. Bila ditanya sebabnya? Si isteri meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan sikap suami yang tidak peduli dengan kehendaknya – mohon bantuan dalam menguruskan anak-anak dan rumahtangga – malah si suami selalu ambil mudah dengan setiap permintaannya. Contohnya si isteri minta tolong suami pakukan gambar kat dinding tapi si suami dengan selamba bertanya: kerja abang ke tu?

Bukan sekali tapi banyak kali hinggakan si isteri dah bosan meminta tolong lalu segalanya dilakukan sendiri. Banyak kali juga bising tapi si suami akan buat tak peduli. Kadang-kadang si suami akan marah-marah, menuduh isteri nak mengajar dia pulak. Tambah menyakitkan hati bila si isteri tak cukup tangan dan tersilap atau terlewat sediakan sesuatu, si suami akan menempelak. Bila saya tanyakan, dah pernah bincang tentang semua ni? Jawapan yang saya terima amat menghampakan. Si isteri dah tak sanggup nak bersuara sebab suami tak peduli dan si suami pula, tak perasan pun kehendak si isteri – itu katanya lah. Saya yang baru dengar luahan si isteri, perasan air muka isteri yang tidak puas hati dengan kata-kata suami.

Itu saja alasannya? Saya masih mengorek. Ya lah, takkan sebab tu saja dah boleh hilang kasih sayang. Ramai lagi yang hadapi masalah serupa tapi tak terus hilang sayang. Lama isteri terdiam, kemudian si isteri bersuara: “Saya rasa sunyi di rumah sendiri. Anak kami ada tapi hanya saya dan anak-anak.“ “Suami?“ “Setiap hari balik kerja, dia akan tengok tv ataupun layan game. Lepas makan malam pulak, dia akan naik atas buat kerja dia. Saya dengan anak-anak ja lah.”
Selepas melafazkan ayat tersebut, wajah si isteri berubah dan tiba-tiba dia menangis. Sejak awal kahwin kak, bukan baru-baru ni ja. Dulu dia susah sangat nak sentuh saya sampaikan saya rasa saya ni tak berguna. Seminggu sekali pun susah. Lepas bersalin anak kedua, lagi lah. Kadang-kadang saya yang kena mulakan dan dia pernah menolak kak.”

Saya pandang si suami. “Saya sibuk la kak, saya kerja, belajar jugak. Sebab tu saya menolak.” Saya tak nak pertikaikan isu tersebut, cuma yang saya nak tau: “Pernah tak bincangkan pasal perkara ni sebelum ni?” Kedua-duanya menggeleng. Tepat jangkaan saya. Nasihat yang saya berikan kepada pasangan tersebut yang ingin saya kongsikan dengan pembaca semua kali ini. Hakikatnya, terlalu ramai yang tak ambil berat tentang komunikasi antara pasangan. Bukan saja suami, malah ada kes melibatkan isteri. Bagi mereka ini, cukuplah isteri atau suami tau statusnya sebagai isteri atau suami kepada seseorang, faham dengan kesibukan yang dialami dan pandai-pandailah bawa diri. Zaman serba maju, bergerak selangkah ja perlukan duit maka perlulah bekerja keras. Hmmm... kalau benar pun gitu pandangannya, kenapa perlu korbankan insan tersayang?

Kerjalah... belajarlah... buatlah apa saja yang anda suka tetapi jangan sampai meminggirkan pasangan dan anak-anak anda. Seperti pesanan saya kepada pasangan tadi, luangkan masa bersama pasangan dan anak-anak. Luangkan masa bukan bererti anda berada di rumah bersama pasangan dan anak-anak tetapi masing-masing melakukan aktiviti sendiri. Kalau 24 jam di rumah dengan cara begitu, anda masih dikategorikan sebagai gagal berkomunikasi dengan baik. Berkomunikasi bermaksud adanya pertukaran maklumat dan perasaan. Sama-sama berbual, bergurau, berkongsi idea dan buah fikiran, bergelak ketawa, makan bersama, beriadah bersama dan pelbagai aktiviti lagi yang dilakukan bersama-sama dalam keadaan yang mesra, bukannya membatukan diri seperti bangkai bernyawa.

Paling penting, perlu bijak uruskan jadual kerja anda. Praktikkan, masa bekerja seharian di pejabat adalah masa untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja anda. Bila waktu pejabat tamat, cepat-cepat pulang ke rumah walaupun masih ada kerja yang perlu diselesaikan. Jika perlu habiskan juga untuk hari itu, bawalah pulang ke rumah tetapi hanya lakukan kerja-kerja tersebut selepas selesai urusan anda dengan pasangan dan anak-anak anda. Apa urusannya? Solat jemaah bersama-sama, makan malam bersama-sama, berbual dengan pasangan dan anak-anak, bantu anak-anak lakukan kerja sekolah, lakukan hubungan intimasi dan bila segalanya telah selesai, berikanlah perhatian kepada kerja anda semula. Mungkin dalam lingkungan jam 10 atau 11 malam. Lewat? Biarlah terlewat sedikit, itulah namanya pengorbanan untuk yang tersayang.

Seperkara lagi, setiap pasangan perlu membiasakan diri untuk berterus terang. Luahkan segala ketidakpuasan hati anda kepada pasangan. Segala kerisauan, segala kebosanan, segala masalah. Jika semasa bercinta, boleh saja berkongsi masalah dan kerisauan, kenapa tidak teruskan selepas dah jadi pasangan yang sah? Sebaik-baiknya juga, khaskan satu masa dalam seminggu untuk setiap ahli keluarga berkumpul dan berbincang tentang apa juga perkara. Untuk suami isteri pula, khaskan masa antara 10 hingga 30 minit untuk berbincang dengan pasangan anda. Tika waktu itu, setiap individu perlukan tumpukan sepenuh perhatian kepada perkara yang dibentangkan. Jangan main-main, jangan ambil mudah walaupun perkara yang dibentangkan itu amat remeh bagi anda sebaliknya bagi orang lain, ia boleh jadi sesuatu yang amat sukar dan perlukan diberi perhatian. Lantas, sentiasalah berkomunikasi!!

****Siaran April 2009

06 April 2011

Benarkah lelaki yg baik utk wanita yg baik?


  • Dua hari lepas, seorang adik rakan sekerja menanyakan; sejauhmanakah kebenaran fakta ‘lelaki yang baik untuk wanita yang baik, lelaki jahat pula untuk wanita yang jahat’? Terkejut juga bila soalan itu diajukan kepada saya pada awal-awal pagi. Sebelum jawapan saya berikan, saya tanyakan dulu kenapa soalan tersebut diajukan kepada saya. Menurut adik yang dikenali dengan nama Suci ini, seorang rakannya bakal berkahwin tidak lama lagi. Ketika pertemuan baru-baru ini, rakannya tersebut meluahkan rasa bimbang dengan latar belakang gadis yang bakal dikahwininya.

  • Kenapa bimbang? Menurut ceritanya, rakan Suci adalah seorang lelaki yang agak liar sebelum ini, mengamalkan pergaulan bebas tanpa batas dan pernah mengamalkan cara hidup melanggar hukum syarak. Tapi itu dulu, suatu masa dulu dan kini rakan Suci dah pun berubah. Latar belakang dirinya yang jahat sebelum ini yang menimbulkan kerisauan; apakah gadis yang bakal dikahwininya mempunyai sejarah yang sama dengan sejarah hidupnya? Jawapan saya kepada persoalan Suci akan saya bincangkan di dalam resipi kali ini.

  • Hakikatnya, tak ada seorang individu pun di dunia ini yang suka kepada kejahatan atau suka untuk berkawan dengan orang yang jahat. Malah, individu yang terlibat dalam aktiviti tidak sihat, tidak pernah merasakan mereka jahat. Apakah maksudnya? Ya!! Baik atau jahat itu adalah satu perkara yang tidak sama definisinya atau konsepnya kepada setiap individu. Bagi seseorang yang tidak sukakan individu perokok, tidak mustahil perokok adalah tergolong di dalam kategori jahat. Jelasnya, maksud baik dan jahat adalah bergantung kepada penerimaan seseorang.

  • Berkaitan persoalan Suci tadi, ya… di dalam al-Quran jelas menyatakan: "Perempuan-perempuan jahat untuk lelaki-lelaki jahat, lelaki-lelaki jahat untuk perempuan-perempuan jahat pula, perempuan-perempuan baik untuk lelaki-lelaki baik, lelaki-lelaki baik untuk perempuan-perempuan baik pula. Mereka itu (orang-orang baik) terlepas dan tuduhan yang mereka katakan, untuk mereka ampunan dan rezeki yang mulia."

  • Menurut pengajian ulum al-Quran, ayat ini sebenarnya diturunkan oleh Allah SWT selepasnya meletusnya tuduhan dan fitnah terhadap isteri Rasulullah SAW, Saiyidatina Aisyah yang kononnya melakukan perbuatan jahat dengan seorang lelaki. Walaupun sekadar satu penafian terhadap fitnah tersebut, ayat ini juga difahami sebagai satu janji Allah SAW kepada hamba-Nya.

  • Saya yakin, anda biasa bertemu dengan kes seseorang ber’title’ ustaz atau ustazah (yang sinonim dengan seorang yang baik) mengahwini individu yang biasa-biasa sahaja atau mungkin bagi sesetengah orang, agak kurang baik jika dibandingkan dengan pasangannya. Jika ayat tadi adalah janji Allah kepada hamba-Nya, kenapa jodoh sebegini tetap ada? Hakikatnya, setiap pasangan yang ditakdirkan bertemu jodoh adalah dengan kehendak-Nya juga. Seperti yang kita semua sedia maklum, setiap sesuatu yang dijadikan oleh Allah mempunyai sebab dan hikmah yang tersendiri. Sama jugalah dengan jodoh seseorang.

  • Saya percaya, kebanyakan individu mempercayai dan mengharapkan pasangannya adalah yang terbaik untuk dirinya. Bererti, tercapailah maksud ayat, lelaki baik untuk perempuan baik. Namun, apabila berlaku ketidakadilan atau perlanggaran hak ketika melaksanakan tanggungjawab dan peranan yang sewajarnya di dalam perkahwinan dan rumahtangga, sudah pasti akan menyebabkan timbulnya masalah.

  • Apabila pihak yang sengaja enggan melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya yang sewajarnya, tetap enggan biarpun telah diberikan teguran, selalunya akan menyebabkan berlakunya perceraian. Tika inilah janji kedua di dalam ayat tersebut, berlaku: lelaki yang jahat untuk wanita yang jahat – bererti sudah tidak ada jodoh antara mereka disebabkan berlakunya perbezaan sikap di dalam melaksanakan tanggungjawab yang patut dan perlu. Sama juga dengan kes suami isteri yang bertemu jodoh dalam keadaan sama-sama menggagalkan diri daripada menunaikan tanggungjawab yang patut dan wajar di dalam kehidupan Muslim dan rumahtangga.

  • Apabila seorang daripada mereka tersedar dan kembali cuba menunaikan tanggungjawab yang perlu, selalunya akan berlaku perpisahan, menepati janji termaktub di dalam ayat 26, surah an-Nur tadi.

  • Merujuk kes kawan Suci, hakikatnya sejarah hitam seseorang tidak perlu diungkit. Tambahan pula, kawan Suci dah pun bertaubat dan dek kerana kebaikan yang wujud di dalam diri kawan Suci tadi, dia bertemu jodoh dengan seseorang yang dianggap terbaik untuk dirinya tika itu. Kenapa nak fikirkan kisah silam sendiri atau bakal pasangan? Allah SWT Maha Pengampun malah seseorang yang melakukan dosa besar dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat adalah lebih mulia dan suci berbanding mereka yang seringkali melakukan dosa kecil.

  • Tak perlu bincangkan kisah lama kerana kita perlu hidup untuk hari ini dan masa depan. Paling penting, sentiasa berusaha untuk tingkatkan keimanan dan kebaikan di dalam diri sendiri dan pasangan kita. InsyaAllah, jika satu pihak yang baik ditemukan dengan yang kurang baik namun mahu dan sanggup berusaha ke arah yang lebih baik, maka akan jadi baiklah juga akhirnya.

  • ****Siaran April 2009