29 Julai 2009

Kalau dah sayang

Tika artikel ini saya sediakan, saya berada di dalam hari keempat berpantang setelah melahirkan bayi lelaki dengan berat 3.21Kg pada jam 2.42am 21hb September bersamaan 9hb Ramadhan. Walaupun perlu menggantikan puasa lebih daripada 20 hari, namun saya rasa amat gembira dengan kehadiran Afkar Sulaim (tahap pemikiran yang tinggi lagi menyempurnakan). Bukan saya sahaja malah suami dan puteri putera saya yang sedia ada. Paling nampak ketara, Ayuni Syafiqah dan Azfar Suhail la. Memang sejak saya bercuti beberapa hari sebelum dijangka akan melahirkan, kedua-dua anak saya itu telah sibuk bertanya: “Bila Ummi nak pegi hospital ambik baby?” Saya hanya cakap: “Sabar la. Nanti dah sampai masa Ummi pergi ambik la.” Menunggu detik itu, terdapat beberapa janji yang saya minta daripada anak-anak antaranya jangan bergaduh bila bermain, jangan nakal-nakal dan kena dengar cakap Ummi dan Abi.

Sebabnya, mereka akan jadi kakak dan abang bererti dah pun besar jadi tak boleh la nak nakal-nakal lagi. Walaupun nakal anak-anak saya bukan kenakalan melampau tetapi dah nama pun anak-anak yang sedang membesar dengan kehendak yang ingin melakukan pelbagai perkara, saya mahukan mereka kurang menguji kesabaran saya dan suami ketika saya berpantang nanti. Sudah tentulah saya perlukan ketenangan, suami pula perlukan kesabaran yang lebih memandangkan dialah yang akan menguruskan segalanya termasuk saya dan baby ketika saya menjalani tempoh berpantang nanti.

Alhamdulillah, empat hari yang berlalu, kedua-dua anak saya masih mendengar kata. Malah menjadi jauh lebih baik daripada sebelum ini. Semua yang dilakukan, pasti dengan satu alasan: “sayangkan baby…” Suhail dah bertambah selera makannya gara-gara tak sabar nak besar dek keinginan untuk mendukung baby sedangkan sebelum ini, dialah yang paling susah nak makan. Ayuni pula dah sanggup tinggalkan botol susunya walaupun sebelum ini dah banyak kali dipujuk. Semuanya hanya kerana sayangkan baby….

Jika dua anak kecil sanggup melakukan perkara yang di luar kemahuannya sebelum ini hanya kerana rasa sayang, apatah lagi kita sebagai warga dewasa. Selalu sangat kita dengar: dah sayang kan... ataupun, hati dah sayang, apa pun sanggup dilakukan. Satu pantun Melayu yang tak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia berkasih sayang tetapi sudah wajar sangat dikesampingkan sekarang ini ada menyebut: Nasi lemak buah bidara, sayang selasih saya lurutkan, buang emak buang saudara, kerana kasih saya turutkan….. alahaiiii… kuatnya penangan sayang tapi tak kena pada tempatnya. Inilah fokus perbincangan saya kali ini. Bukan hanya sayangkan kekasih, suami, isteri, anak, ibu bapa, adik beradik malah sayangkan sesiapa sahaja. Kenapa? Kerana kasih sayang itu amat luas dan mendalam maknanya.

Masalahnya, ada di kalangan kita yang tersalah mendefinisikan maksud sayang. Kebanyakannya menafsirkan sayang dengan memenuhi segala kehendak orang yang disayangi. Melawan keinginan atau menghalang kehendak tersebut seolah-olah menafikan sayang yang ada. Ini adalah pendefinisian yang salah. Sayang sebenarnya membawa maksud sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan dan kebajikan orang yang disayangi. Termasuklah menegur kesalahan dan kesilapannya malah menasihatinya menjadi yang lebih baik untuk dirinya sendiri dan masyarakat umum.

Saya masih teringatkan satu insiden yang berlaku di depan mata. Seorang anak perempuan berusia lingkungan lima tahun menempik ayahnya agar berjalan lebih cepat sedangkan si ayah sedang bersusah payah membimbit beberapa bungkusan barang. Sabarnya si ayah bila dia hanya menyebut: “Ya lah, ya lah…” Allahu akbar, nauzubillah min zalik. Saya tak pasti apakah itu sahaja kesudahannya. Manalah tahu, mungkin di rumah, si anak menerima habuan daripada si ayah sebab ada jenis ibu bapa yang takkan tunjukkan marahnya pada anak-anak di depan orang luar dengan alasan yang tersendiri. Namun, jika kesudahannya hanya setakat kata-kata lembut si ayah, terus terang saya katakan, si ayah sedang menyediakan anaknya ke arah menjadi seorang anak yang derhaka.

Saya faham, setiap ibu bapa sayangkan anak-anak. Saya juga. Namun terus terang, saya mengaku saya pernah merotan kedua-dua anak saya. Walaupun tabiat semulajadi anak-anak suka melakukan apa yang dilarang, saya takkan benarkan ianya berlanjutan. Sekali saya larang dengan lisan, masih berlaku, saya larang lagi dengan lisan. Masuk kali ketiga masih mengulangi perkara yang saya larang, rotan pasti kena di kedua-dua tapak kaki, tak kiralah Suhail atau pun Ayuni. Bagi saya, biarlah anak-anak menangis sekarang daripada kita sebagai ibu bapa menangis di belakang hari. Tambah lagi, dalam keadaan yang serba mencabar sekarang ini.

Jika anda tidak pernah ketinggalan mengikuti perbincangan di ruangan ini, anda pasti ingat kisah seorang ayah berusia awal 60-an yang meluahkan kesedihannya apabila empat anaknya yang selama ini dijaga bagai menatang minyak yang penuh, hanya anaknya yang ketiga, tika itu, masih belum memanggilnya dengan ‘anjing’, nauzubillah. Kesilapan yang dikesali oleh si ayah ialah dia terlalu sayangkan anak-anaknya hingga sanggup mengikut apa sahaja kemahuan si anak dan mengabaikan pendidikan agama di dalam diri anak-anak. Satu antara berjuta kisah nyata namun sudah cukup untuk memberikan pilihan kepada kita sebagai ibu bapa. Lantas, kalau dah sayang… jangan salahgunakan kasih sayang anda….

****Siaran Oktober 2007

Aidilfitri datang lagi

AIDILFITRI DATANG LAGI…

Perbincangan ini saya tulis pada hari keempat berpuasa. Alhamdulillah, walau saya sedang menanti hari untuk melahirkan cahayamata yang dijangka akan lahir dalam tempoh lima hari lagi, saya masih mampu berpuasa. Penat juga kalau terpaksa menggantikan sebulan puasa nanti. Tika perbincangan ini disiarkan pula, kita baru sahaja menyambut Aidilfitri dan saya, insyaAllah dah hampir sebulan di dalam tempoh berpantang. Perancangannya, saya berpantang di rumah sendiri sahaja dan tidak akan kembali ke kampung pada hari raya ini. Tak tau lah bagaimana pelaksanaannya bila tiba hari raya nanti. Tapi yang pasti, adik-adik saya akan bersama Mak dan Bapa saya meraikan hari raya. Sudah pasti juga, Mak dan Bapa tidak akan kesunyian.

Kenapa pula saya timbulkan isu ini ya? Sebenarnya, perbincangan saya kali ini adalah perbincangan yang sudah biasa diperkatakan. Setiap kali tiba musim perayaan, isu balik kampung menjadi agenda utama malah topik hangat perbincangan suami isteri. Alhamdulillah, setelah lebih lima tahun perkahwinan, isu balik kampung semasa musim perayaan tidak menjadi masalah kepada saya. Ada hikmahnya saya bersuamikan seorang anak yatim piatu. Tetapi baru-baru ini, saya menerima kejutan apabila adik sepengajian semasa di UM dulu mengadu, menghampiri tiga tahun perkahwinan dengan dua kali meraikan hari raya Aidilfitri, wanita yang dulunya saya kenali agak berisi tetapikini kurus melidi, hanya pulang ke rumah kedua ibu bapanya semasa hari raya persis bagaikan tetamu menziarah. Tak sampai satu jam bertamu, si suami dah mula angkat punggung. Si isteri yang enggan menderhaka malah tidak mahu ibu bapa menghidu masalah yang dihadapinya, mengikut tanpa suara.

Memang amat mengejutkan saya kerana kediaman mereka bukanlah dekat dengan rumah ibu bapa si isteri. Malah, setahun sekali waktu perayaan itulah sahaja masanya untuk si isteri bertemu kedua ibu bapanya. Alasan nak lebihkan masa beraya bersama keluarga suami memang tidak boleh diterima kerana ibu bapa suami tinggal sekali dengan mereka. Saya tahu, ada pendapat yang mengatakan bahawa anak perempuan perlu mengutamakan keluarga suaminya. Tak taulah pendapat siapa tetapi saya masih ingat tentang satu emel yang saya terima.Seorang ibu bersedih apabila anak lelakinya tidak balik beraya di rumahnya sebaliknya si ibu gembira apabila anak perempuannya mengikut suami balik beraya di rumah ibu bapa suami. Dalam erti kata mudah, seorang isteri perlu mengikut suaminya beraya di rumah ibu bapanya pada setiap kali hari raya sebagai tanda hormatkan ibu bapa suami. Entah dari mana nas dan dalil yang menyarankan sedemikian, saya pun tak pasti. Tak dinyatakan pula di dalam emel tersebut. Yang pasti, bagi saya pendapat tersebut adalah pendapat yang berat sebelah.

Kenapa berat sebelah? Kerana setiap anak mempunyai peranan dan tanggungjawab yang hampir sama tak kiralah anak lelaki atau anak perempuan. Islam bukanlah mengamalkan prinsip hidup seperti kaum India. Setelah berkahwin, hubungan anak perempuan dengan keluarganya adalah tidak penting lagi. Malah, saya yakin, prinsip ini tidak lagi diamalkan sekarang ini. Rata-rata menginginkan satu perkara: membahagiakan hidup ibu bapa sendiri selagi hayat mereka masih ada di dunia ini. Bererti, setiap isteri juga berhak untuk kembali ke rumah ibu bapa mereka pada hari raya dan sudah tentulah hari raya yang pertama. Isteri juga ada ibu dan bapa, sama seperti anda. Jika anda ingin menggembirakan ibu bapa anda, sama jugalah dengan isteri anda.

Saya juga pernah mengendalikan satu kes, seorang isteri tidak berpeluang langsung meraikan hari raya pertama bersama ibu bapanya di kampung setelah lebih 10 tahun berkahwin. Pada awal perkahwinan suaminya memberi alasan, kesiankan ibu si suami yang telah kematian suami dan terpaksa berhari raya bersama adik-adik yang masih kecil sahaja. Hampir tujuh tahun menurut dan memendam rasa, tiba Aidilfitri ke lapan, isteri berharap dapat meraikan hari raya pertama bersama ibu bapanya setelah ibu mertuanya kembali ke rahmatullah. Malangnya, kali ini si suami memberi alasan, kesian adik-adiknya yang terpaksa beraya sendirian tanpa ibu bapa walau hakikatnya si adik yang peling kecil dah pun berusia 21 tahun. Kerana kes pulang berhari raya inilah juga menyebabkan si isteri sering merasa tidak puas hati dengan suami.

Mungkin ada yang menganggap…. alaaaaa, kes balik raya pun, kecik ja la! Jangan lupa, kecil bagi anda, tak semestinya kecil juga bagi orang lain. Bagi setiap individu Muslim, hari raya Aidilfitri adalah hari yang paling bermakna. Tika inilah, seluruh ahli keluarga akan berkumpul bersama-sama. Jika anda ingin bersama insan tersayang, begitu juga dengan pasangan anda. Lantaran itulah, sebaiknya amalkanlah sistem giliran. Tahun ini di rumah ibu bapa anda,tahun hadapan di rumah ibu bapa pasangan anda pula. Jangan pula jadikan alasan Aidiladha sebagai satu giliran. Aidilfitri dan Aidiladha tidak sama. Masing-masing mempunyai kemeriahan yang tersendiri. Paling penting juga, jangan lupakan giliran yang telah berjalan. Sebaiknya catatkan dengan teliti.

Jangan ambil mudah tentang giliran beraya ini kerana ada kes rumahtangga berantakan semata-mata tidak memenuhi kehendak antara pasangan untuk pulang berhari raya. Hari raya hari yang mulia, hari untuk saling bergembira di samping bermaafan. Andai anda rasa, raya yang baru berlalu memberikan kelukaan kepada insan tersayang gara-gara giliran pulang beraya, cepat-cepatlah memohon maaf dan berjanjilah, dia akan kembali ke rumah ibu bapanya pula pada hari raya tahun hadapan, insyaAllah!!

****Siaran Oktober 2007

22 Julai 2009

Bila pasangan anda harapan keluarga

Selepas artikel mengenai kewajipan seorang anak lelaki terhadap ibu bapanya berbanding anak dan isterinya disiarkan di majalah kegemaran ramai ini disiarkan, saya menerima beberapa sms dan emel yang memberikan respons yang berkaitan. Antara emel yang menarik perhatian saya ialah: Suami saya adalah anak lelaki tunggal di dalam keluarga. Masalahnya, suami saya terlalu melebihkan ibu bapanya. Hampir separuh daripada pendapatan bulanannya diserahkan kepada kedua ibu bapanya. Saya tak menghalang tetapi ibu bapanya dah biasa hidup sederhana sedangkan kami mempunyai anak-anak. Disebabkan sikap suami, saya perlu menampung sebahagian perbelanjaan kami setiap bulan. Bantulah saya. Bagaimana caranya untuk saya menasihati suami?.

Kepada pengirim emel, maafkan saya kerana tidak membalas emel anda sebaliknya permasalahan anda saya lontarkan ke ruangan ini untuk dikongsi bersama dengan pembaca lain yang saya yakin, mempunyai masalah dan krisis yang hampir sama. Seperti yang pernah saya jelaskan, sememangnya seorang lelaki bernama suami dan bapa adalah perlu mengutamakan kebajikan isteri dan anak-anaknya terlebih dahulu berbanding ibu bapanya sendiri ataupun saudara yang ada. Mengikut keutamaan perbelanjaan, seorang lelaki perlu membahagikan jumlah pendapatannya kepada dua bahagian. Pertama: keperluan dirinya sendiri dan keperluan untuk berulang alik ke tempat kerja. Kedua: Keperluan isteri dan anak-anak. Sekiranya terdapat lebihan pendapatan daripada kedua-dua bahagian ini, barulah boleh diserahkan kepada ibu bapanya atau pun saudara yang memerlukan.

Namun, seperti yang sedia dimaklumi, Islam bukanlah agama yang zalim sebaliknya Islam adalah satu cara hidup yang sesuai pada setiap masa dan keadaan. Sekiranya solat yang merupakan tiang agama diberikan rukhsah atau kelonggaran di dalam mengerjakannya, sudah semestinyalah tanggungjawab dan peranan seorang lelaki juga mempunyai rukhsahnya. Di dalam kes yang diemelkan kepada saya ini, jelas sekali bahawa si suami bukannya gagal menjalankan kewajipannya sebaliknya berusaha untuk menjadi seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab. Dalam masa yang sama, lelaki ini berusaha untuk menjadi seorang anak yang soleh dan bertanggungjawab kepada kedua ibu bapanya.

Hmmmm… apa kena mengena pulak persoalan kes ini dengan tajuk perbincangan kali ini? Konklusi kes inilah yang saya maksudkan. Si isteri sedia maklum bahawa suaminya adalah anak tunggal. Sebagai anak tunggal, sudah semestinya hanya suaminya harapan dan tempat ibu bapa bergantung. Tidak timbul soal ibu bapa suami biasa hidup sederhana atau susah atau melarat. Yang penting, setiap anak yang sedar dan waras apatah lagi berkemampuan, akan berusaha memastikan ibu bapanya, yang tidak dapat dihitung betapa tinggi dan besarnya jasa mereka kepada si anak, dapat hidup sempurna dan lebih baik. Jika anda sendiri, sanggupkah anda melihat ibu bapa anda hidup susah dan melarat sedangkan anda mampu menghulurkan bantuan kepada mereka? Kalau jawapan anda ya, anda memang tak layak hidup di dunia ini.

Saya tahu dan faham, seorang ibu dan bapa tidak layak menuntut jasa dan pengorbanan mereka dibalas tetapi sedarlah, anda tak mungkin menikmati kemewahan hidup tanpa jasa dan pengorbanan mereka. Sebagai isteri atau suami, walaupun ibu dan bapa mertua anda tidak memberikan apa-apa sumbangan terhadap kehidupan anda, jangan lupa! Mereka memberikan anda peluang untuk anda merasai nikmat hidup berpasangan bersama pasangan anda. Usah pertikaikan usaha pasangan anda untuk menjadi seorang anak yang soleh atau solehah. Selagi segala sumbangan dan bantuan yang diberikan itu bernama keperluan, selagi keperluan hidup anda sekeluarga tidak terjejas, berbahagialah dan bergembiralah kerana anda mempunyai pasangan hidup yang bertanggungjawab kepada kedua ibu bapanya dan percayalah, dia juga akan bertanggungjawab kepada anda sekeluarga.

Ingat ya!!! Berulang kali saya nyatakan, KEPERLUAN bukannya kemewahan. Mungkin kehidupan anda tidak sesenang kehidupan orang lain namun selagi anda dan anak-anak tidak berlapar, selagi anda dan anak-anak masih mampu berpakaian menutup aurat, masih mampu hidup di sebuah rumah yang dapat melindungi anda sekeluarga daripada panas dan hujan, selagi pendidikan anak-anak tidak terabai, redhalah dengan berlapang dada menginzinkan pasangan anda menghulurkan belanja kepada ibu bapanya.

Tiada salahnya anda membantu pasangan anda menampung perbelanjaan keluarga. Walau sebagai isteri, segala pendapatan anda adalah hak mutlak anda dan suami perlu meminta izin anda untuk menggunakannya, apalah salahnya anda korbankan semua itu demi kebahagiaan hidup anda dan suami tercinta. Walau anda memiliki jumlah wang setinggi gunung, semua itu takkan bernilai jika anda tidak hidup bahagia. Malah, semua itu akan anda tinggalkan begitu sahaja apabila jasad berpisah daripada nyawa.

Jika anda enggan bersikap sedemikian, kenapa perlu menerima lelaki harapan keluarga ke dalam hidup anda?? Ingat! Perkahwinan bukan antara anda dan suami anda sebaliknya perkahwinan mengikat hubungan dua buah keluarga. Terimalah suami anda, terimalah juga ibu bapanya. Moga suatu hari nanti, sikap baik suami anda akan dijejaki oleh anak lelaki anda dan tika itu, anda akan tahu betapa bahagianya menjadi seorang ibu atau bapa yang mempunyai anak yang bertanggungjawab.

****Siaran Oktober 2007

Hak isteri dalam poligami

"Kenapa isu poligami dibesar2kan? Bgus sgt ker poligami ni. Sy x fhm knp poligami hnya ada dlm Islam. Nabi sendiri pun x bg anaknya kawin dgn lelaki beristeri. Tekankan itu bila buat perbincangan. Lelaki boleh ceraikan isterinya bila dah x suka kawin lain bila dia suka habis pompuan camana? Kau sendiri suka ker poligami? Mcm mana kalau benda ni jadi kat kaum kerabat kau sendiri? lebih baik bincangkan hak2 wanita sekiranya suami ingin berpoligami- 01*62*0*50”

Di atas adalah petikan satu sms yang saya terima rentetan perbincangan mengenai salahkah mencintai suami orang yang disiarkan pada awal Januari lalu. Walaupun jelas sekali pengirim sms ini mengalami konflik emosi dan fikiran, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana dalam marah, dia masih memberikan idea yang menarik untuk dikongsi di dalam ruangan ini. Terima kasih!

Sebenarnya, apabila berbicara mengenai hak isteri yang dipoligamikan, terdapat hak sebelum dipoligamikan dan hak selepas dipoligamikan. Namun, ramai sedia maklum, jarang sangat para isteri sedia ada tahu diri mereka akan dipoligamikan. Yang selalu terjadi, apabila rahsia perkahwinan baru suami pecah berderai dek apa-apa insiden, barulah isteri sedar bahawa mereka telah pun dipoligamikan. Malah ada kes, isteri baru tidak tahu mereka telah mengahwini suami orang. Mulanya menyangka dirilah yang pertama dan terakhir, rupa-rupanya menjadi mangsa penipuan suami. Sabar jer lah…

Namun, kepada para isteri sedia ada, jika anda berpeluang mengetahui bahawa diri anda bakal berkongsi suami, anda bolehlah melaksanakan hak-hak anda. Hak pertama, anda boleh mempertikaikan kewajaran tindakan suami anda untuk berpoligami. Jika anda tahu suami anda memang bermasalah di dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami walau hanya kepada anda dan anak-anak, anda bolehlah melawan tuntutan suami anda di mahkamah. Perlu diingat, lawan dengan saksi dan bukti yang kukuh, bukannya sekadar meluahkan emosi sendiri. Hak kedua ialah anda boleh mengenal pasti pembahagian perbelanjaan yang patut untuk anda dan anak-anak dan juga pembahagian waktu bermalam kemudian jadikannya sebagai satu syarat yang perlu dipatuhi oleh suami setelah berpoligami. Semua ini boleh dijadikan satu meterai perjanjian antara anda dan suami sebelum suami anda berpoligami. Paling penting, kenal pasti dan bahagikan terus harta-harta yang dikumpul bersama sepanjang tempoh pekahwinan anada dan suami. Ingat!! Walaupun anda hanyalah suri rumah, anda tetap berhak ke atas 1/3 daripada harta suami anda. Paling tidak pun, fikirkan keperluan anak-anak anda di masa depan kerana kita tak mungkin tahu apa yang bakal berlaku.

Secara umumnya pula, isteri yang perlu berkongsi suami mempunyai hak yang sama seperti juga isteri yang tidak perlu berkongsi suami. Hukum dan undang-undang jelas menyatakan bahawa suami adalah bertanggungjawab sepenuhnya kepada isteri dan anak-anak. Menyentuh mengenai tanggungjawab suami, dah banyak kali sangat saya bincangkan, merangkumi segala keperluan yang patut dan wajar bagi isteri dan anak-anak, tak terkecuali walaupun si isteri bekerja dan mempunyai pendapatan yang lebih berbanding suami. Bermaksud, seorang suami mestilah menyediakan makan minum, pakaian dan tempat tinggal yang sesuai dan sempurna untuk isteri dan anak-anaknya. Bukan sekadar itu, anak-anak mestilah mendapat pendidikan yang sempurna.

Pendek kata, segala keperluan isteri dan anak-anak bagi menjamin sebuah kehidupan yang selesa bersesuaian dan wajar dengan kehendak kehidupan kini perlulah disediakan oleh seorang lelaki bernama suami dan bapa. Jika anda mempunyai dua, tiga atau empat isteri sekali pun, segala tanggungjawab ini tidak ada pengurangan sedikit pun walaupun isteri kedua atau ketiga atau keempat ataupun isteri pertama mempunyai pendapatan sendiri. Sebab itulah, di dalam ayat al-Quran yang menerangkan hukum harus berpoligami menyatakan dengan jelas bahawa: ‘Jika tidak mampu berlaku adil, memadailah dengan satu”. Secara asasnya, keadilan yang dikehendaki di dalam poligami bukanlah bermaksud sama rata tetapi mendapat hak yang sewajar dan sepatutnya. Sebagai contoh, jika isteri pertama mempunyai anak lebih ramai berbanding anak isteri kedua, sewajarnya perbelanjaan untuk keluarga daripada isteri pertama adalah lebih berbanding untuk keluarga isteri kedua. Inilah keadilan. Bukan sekadar pembahagian wang belanja tetapi juga pembahagian masa dan perhatian. Bak kata Datuk dalam cerita Mami Jarum, yang baru nak dipolish, yang lama pun nak kena gabuih. Bukannya dah dapat yang baru, yang lama terbiar terpinggir sendiri. Jika keadaan ketidak adilan berlaku, isteri yang dipoligamikan berhak menuntut keadilan tersebut di mahkamah. Jika masih gagal, isteri berhak memohon untuk keluar daripada perkahwinan.

Namun, sesuai dengan hikmah adanya poligami di dalam Islam, bukan sebagai satu cabang untuk mewujudkan permusuhan sebaliknya adalah satu cara untuk merapatkan persaudaraan serta saling bantu membantu sesama insan. Paling penting, setiap individu yang terlibat menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing. Tak perlu bermusuh dengan madu anda kerana anda dan dia adalah sama, seorang isteri kepada seorang lelaki. Jangan bersikap tamak hingga ingin mengawal segala benda. Segala yang anda miliki kini termasuklah suami hanyalah pinjaman sahaja. Bila maut menjemput, segalanya ditinggalkan sendiri. Memang senang bercakap, berat untuk menanggung tapi ingatlah janji yang Allah berikan, sebuah payung emas menanti anda di syurga.

Kepada para suami, jangan hanya mengharap untuk para isteri memahami anda. Ingatlah! Jika anda terleka dan terlalai dan ada antara isteri atau anak-anak yang berasa tidak senang dengan tanggungjawab yang anda lakukan, anda perlu menjawabnya di akhirat kelak.

****Siaran September 2007

07 Julai 2009

Merdekakan anak kita

Walaupun 31hb Ogos sudah pun berlalu, namun kita masih berada di dalam suasana perayaan sambutan kemerdekaan. Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat meraikan sambutan kemerdekaan ke 50 kepada semua rakyat Malaysia. Dah pun 50 tahun kan? Kalau itu adalah usia seseorang, dah hampir nak bersara pun. Persoalannya, apakah generasi hari ini betul-betul merdeka? Semua orang tahu, sejak 50 tahun yang lalu, negara kita adalah hak kita sepenuhnya dan tidak lagi dijajah. Apakah itu ertinya merdeka bagi anda? Sebagai ibu bapa pula, apakah kita memberikan kemerdekaan yang sebenarnya kepada anak-anak kita? Apa erti merdeka yang sebenarnya dan yang selayaknya dengan kehidupan kita hari ini? Jika ditanyakan seorang demi seorang, saya pasti setiap individu akan memberikan pendapat yang berbeza. Tak kisah lah apa pandangan anda, yang penting, sebagai seorang Muslim, kemerdekaan yang sebenar sudah tentulah bukan hanya pada hayat dunia tetapi juga untuk kehidupan abadi di akhirat nanti. Inilah fokus saya untuk perbincangan pada kali ini.

Saya yakin, setiap individu Muslim terutamanya kaum lelaki yang sememangnya sinonim dengan status ketua keluarga, tahu dan maklum dengan firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim, ayat 6 yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka...”. Ayat ini dengan jelas menyuruh setiap orang yang mengaku beriman supaya mempraktikkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan agar diri terselamat daripada kepanasan api neraka. Bukan sahaja diri sendiri sebaliknya perlu menyuruh ahli keluarga iaitu isteri dan anak-anak melakukan segala perintah dan menjauhi larangan-Nya. Malangnya, sejak kebelakangan ini sering sangat saya menerima aduan mengenai sikap suami yang mengabaikan suruhan Allah yang utama iaitu solat. Tika berkenalan dan belum kahwin, bakal isteri yang selalu cari alasan tak nak berjumpa atau keluar jika diri berada di dalam ’tempoh bercuti’, malu jika teman lelaki mengajak ke masjid atau solat, rahsia sedang bercuti akan pecah. Sebaliknya selepas kahwin, berbuih sudah mulut isteri mengingatkan suami tentang solat tetapi suami bagaikan pekak telinga. Ada juga isteri yang dibelasah cukup-cukup hanya kerana mengingatkan suami tentang solat. Paling malang, ada juga kes kedua-dua suami isteri tak pernah solat dan si anak yang mendapat tahu mengenai solat di sekolah, berusaha untuk mencari cahaya yang selama ini dilindungi oleh ibu bapa mereka.

Hanya satu soalan saya kepada setiap ibu bapa: Apakah impian dan harapan anda terhadap anak anda? Fikirkan sedalam-dalamnya. Sebelum menjawabnya, fikirkan juga soalan-soalan ini: Apakah anda akan hidup selamanya? Ke mana hala tuju anda selepas roh terpisah daripada jasad? Kalau yang bukan Muslim percayakan adanya kelahiran seterusnya selepas kematian, sebagai Muslim anda wajib percaya tentang adanya kehidupan abadi di akhirat, kehidupan untuk kita menerima pelbagai bentuk ganjaran dan balasan berdasarkan segala yang telah kita lakukan semasa hayat di dunia. Lantas, apa jawapan kepada soalan saya tadi: Apakah impian dan harapan anda terhadap anak anda? Saya akan tetap ingat jawapan yang tak pernah berubah daripada bibir Bapa saya setiap kali jika ditanyakan soalan ini: Bapa harapkan anak-anak Bapa semuanya berjaya di dalam hidup di dunia dan juga di akhirat.

Apakah anda mempunyai jawapan yang serupa? Jika tidak, muhasabahlah diri. Kehidupan di dunia bukanlah kehidupan yang abadi. Jika ya, jalankanlah peranan anda yang sewajarnya sebagai ibu dan bapa. Merdekakanlah anak-anak anda. Merdekakan mereka daripada dibelenggu oleh budaya barat, budaya tak sihat. Sebaliknya, berikan mereka ilmu agama yang cukup kerana hanya ilmu agama sahaja yang dapat memelihara kehidupan mereka di dunia ini dan di akhirat nanti. Bukan saja kehidupan mereka tetapi juga kehidupan anda kerana selepas anda dijemput mengadap Ilahi, semuanya dah tak berguna lagi kecuali tiga perkara: amal soleh anda, sedekah jariah anda dan paling utama adalah doa daripada anak-anak yang soleh.

Terus terang, saya sendiri bukanlah seorang yang terlalu kuat beribadah. Sekadar menjalankan perintah yang wajib kepada-Nya. Nak lakukan ibadah sunat, adalah sekali sekali. Kalau dalam kategori P.Ramlee tu, bukan jarang-jarang lagi dah tetapi kadang-kadang sahaja lah. Namun, apabila mempunyai anak-anak, kebergantungan kepada Allah itu saya rasakan lebih hebat dan ketara. Tambah apabila anak-anak dah pandai berbicara. Jika sebelum ini saya yang beritahu bila dengar azan tu tandanya dah masuk waktu solat tetapi sekarang, anak-anak yang akan mengingatkan. Air mata saya menitis apabila dengan mudah sahaja Ayuni mampu mengingati doa untuk kedua ibu bapa hanya setelah beberapa kali mengikut saya berdoa selepas solat. Keadaan inilah yang membuatkan saya menjadi lebih rapat kepada Allah kerana saya tidak mahu, kelalaian saya menyebabkan anak-anak saya juga akan terlalai dan seterusnya terpinggir daripada landasan yang diredhai-Nya, nauzubillahi min zalik.

Saya sayangkan anak-anak saya. Saya yakin setiap ibu bapa juga begitu. Lantas, mainkanlah peranan kita yang sewajarnya.

****Siaran September 2007

Rotan: mengajar atau mendera?

Dah agak lama isu guru merotan murid menjadi perbincangan hangat. Namun, kali ini saya terpanggil untuk membincangkan isu ini di majalah kegemaran ramai ini kerana saya merasakan terdapat kekeliruan dan kekalutan di dalam mendapatkan hak seorang guru, hak seorang murid yang juga seorang anak dan hak ibu dan bapa. Bukan menyokong, bukan juga menuding jari menyalahkan sesiapa sebaliknya harapan saya, perbincangan ini akan merungkai kekusutan yang timbul. Seingat saya, guru dan rotan boleh diibaratkan seperti pasangan uda dan dara. Di mana ada guru, di situlah ada rotannya. Seingat saya juga, ibu bapa dahulu kala akan berpesan kepada mana-mana guru yang akan diamanahkan untuk mengajar anak mereka: ”Ajarlah anak saya, jika perlu rotanlah ia.” Kenapa? Kerana guru dianggap sebagai orang yang akan membantu ibu bapa membentuk anak-anak menjadi seorang insan yang berguna kepada diri sendiri, ibu bapa, masyarakat dan agama.

Sememangnya, itulah guru. Di dalam Islam pula, tidak disyaratkan seseorang itu perlu mengajar di dalam kelas untuk dipanggil guru. Guru menurut Islam adalah sesiapa sahaja yang memberi petunjuk dan panduan kepada seseorang. Rasulullah SAW pernah mengiktiraf seorang hamba Badwi sebagai guru baginda hanya kerana hamba tersebut memberitahu arah jalan yang dicari. Pendefinisian ini menunjukkan betapa Islam mengiktiraf kriteria seorang guru yang juga adalah pendidik, pengajar dan pembimbing. Walau siapa pun anda tika ini, anda takkan berpeluang menikmati semua itu tanpa kehadiran guru. Tak kiralah anda kini lebih berjaya daripada guru anda tetapi darjat seorang guru tidak boleh dipandang sebelah mata. Ini adalah satu hakikat yang perlu diterima.

Masalahnya kini, karier sebagai guru semakin dipandang remeh. Malah, pernah sampai ke telinga saya ayat-ayat yang tidak enak didengar berkaitan guru. Ibu bapa mempertikaikan kewibawaan guru yang mengajar anak-anak mereka. Paling sedih, ada ibu bapa yang tanpa segan silu memberi amaran kepada guru-guru agar tidak menyentuh anak mereka. Saya faham, setiap ibu bapa tidak ingin anaknya cedera tetapi perlu diingat, tugas guru bukan melukakan atau mencederakan. Guru bertindak apabila keadaan memerlukan. Adik kedua saya seorang guru. Bapa saya juga seorang guru. Bermula sebagai guru biasa dan bersara pada Jun tahun lepas sebagai seorang guru besar. Kepakaran bapa saya ialah bidang sains dan matematik. Terus terang, ramai yang mengkategorikan bapa saya sebagai seorang guru yang garang. Namun, hingga saat ini, bapa saya masih menerima ucapan selamat hari guru daripada bekas-bekas muridnya dahulu, ada antaranya yang lebib berusia daripada saya dan antara ucapan yang melekat di fikiran saya ialah: Jika bukan kerana cikgu pernah merotan tapak tangan saya, saya takkan berjaya seperti sekarang.

Saya akui kebenaran tersebut kerana saya juga pernah mengalami insiden yang sama, dirotan kerana gagal menyiapkan kerja rumah. Alhamdulillah, sejak tarikh tersebut, saya tidak berani lagi untuk gagal menyiapkan kerja rumah. Kesudahannya, saya berjaya mencapai cita-cita menjadi Peguam Syarie dan Perunding Keluarga. Jelas sekali, guru dan rotan adalah pasangan yang serasi. Malahan di dalam Islam, terdapat penjelasan bahawa merotan dan memukul perlu untuk tujuan pembelajaran. Anak-anak yang telah berusia 10 tahun dan engkar untuk solat boleh dirotan. Isteri yang tidak menurut perintah suami yang patut dan tidak melanggar perintah syarak boleh dipukul. Namun, ada cara untuk merotan dan memukul, bukan belasah sesedap rasa sahaja. Pokok pangkalnya ialah merotan dan memukul tersebut berasaskan satu tujuan iaitu untuk mengajar.

Kepada yang menjadi guru, tanyakan kepada diri, kenapa anda memegang status sebagai guru? Adakah sekadar ingin mempunyai pekerjaan dan pendapatan? Adakah kerana kerjaya guru dianggap sebagai kerjaya paling banyak cuti? Walau apa pun alasan anda, ingat!!! Anda memikul amanah dan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak bangsa anda sendiri. Setiap anak-anak yang hadir ke sekolah, setiap ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka kepada anda, semuanya mempunyai impian dan harapan yang satu: untuk menjadi insan yang berjaya di dalam hidup, bukan kepada diri sendiri malah juga kepada orang lain. Sebagai guru, anda perlu mengajar dan mendidik anak-anak bangsa sama rata, bukan pilih kasih. Jika anak si kaya, diberikan perhatian yang lebih. Anak si miskin atau anak-anak yang agak lemah pencapaian mereka diherdik atau dimarahi sesuka hati. Ingat lagi tentang kisah lelaki yang datang temuduga ke pejabat saya, yang pernah saya ceritakan dulu? Lelaki tersebut pernah bekerja sebagai guru dan pernah memarahi pelajarnya yang selalu gagal menyiapkan kerja rumah. Atas dasar kemanusiaan, lelaki ini menyiasat kenapa anak muridnya itu gagal menyiapkan kerja rumah? Jawapannya, anak murid itu daripada keluarga yang amat miskin dan tidak berkesempatan menyiapkan kerja sekolah kerana terpaksa bekerja bagi membantu keluarga. Berapa ramai guru yang tahu latar belakang pelajarnya seperti lelaki ini?

Kepada ibu bapa, anda berhak mempercayai kata anak sendiri tetapi anda juga perlu ambil peduli dengan kata-kata orang lain terutama cikgu mereka. Jangan sampai anda tersilap membuat tafsiran, penyesalan akan sukar ditanggung.

****Siaran September 2007