22 Ogos 2013

Suami wajib dihormati walau apa jua situasi

"Salam. Sejak kita kahwin dan sehingga ke saat ni, kita asyik bergaduh. Setiap kali bergaduh, awak mengambil keputusan untuk bercerai. Dah berpuluh kali awak minta saya ceraikan awak. Awak pun selalu cakap, awak tiada nafsu pada saya dan tak boleh nak hormat pada saya. Awak tidak melayan saya sebagai seorang suami. Awak menengking saya dan banyak berkasar dengan saya. Awak tak pernah nak belajar bersyukur dan berterima kasih. Saya tak akan menengking isteri jika isteri tak menengking saya. Skrg saya cuma fikirkan nasib anak shj. Kalau betul apa yg awak cakapkan pada saya bahawa awak dah benci pada saya dan dah tak boleh membahagiakan saya, awak buatlah apa yang patut…”

Di atas adalah satu mesej menerusi sistem pesanan ringkas yang dipanjangkan oleh klien saya kepada saya. Mesej daripada suaminya. Klien saya ini bertemujanji menerusi panggilan telefon bersama saya tidak lama dulu. Menurut klien saya ini, dia rasa dikongkong oleh suaminya, sukar nak bebas bersama rakan-rakan, terpaksa mengikut cakap suami dan macam-macam lagi, seolah kebebasannya disekat. Saya akan bincangkan mengenai sekatan hubungan social ini minggu depan, insyaAllah dan kali ini, seperti topik yang tertera, seorang isteri wajib, perlu dan wajar menghormati suami.

Seperti balasan SMS saya kepada klien tadi; mengulangi semula pesanan saya tika sesi temujanji sebelum ini; jangan berfikir menggunakan emosi sebaliknya gunakan fikiran yang waras. Jangan sampai menyesal belakang hari. Saya tak mendengar daripada suaminya, namun SMS si suami menyokong cerita-cerita klien saya sebelum ini. Klien mengakui, dia tak ada hati lagi kepada suami. Mengakui sering bergaduh. Kadang-kadang hanya tentang perkara kecil. Meneliti SMS si suami, saya yakin, ada tikanya juga, klien saya memulakan pergaduhan.

Ya!! Pergaduhan, pertengkaran, perkelahian memang biasa dalam perkahwinan tapi kalau tiap-tiap hari bergaduh, sepanjang masa berkelahi dan bertengkar, itu sudah jadi luar biasa. Kita semak semula hikmah dan prinsip perkahwinan, antaranya ialah untuk setiap individu iaitu suami dan isteri merasa tenang dan bahagia dan untuk kedua-dua pihak, suami dan isteri menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing. Kalau tiap-tiap hari bertekak, pantang jumpa mesti bergaduh, bagaimana nak dating ketenangan dan kebahagiaan? Di mana tanggungjawab dan peranan yang perlu dilaksanakan?

Seorang isteri, diwajibkan untuk hormatkan suami, walau dalam apa juga situasi. Bukan tak boleh mempertahankan hak sendiri tetapi hormat tetap perlu ada. Bila hormat tetap ada, si isteri akan berusaha mengelakkan diri daripada meninggikan suara kepada suami, memaki hamun suami, mencaci itu ini atau pun tidak akan memperlekehkan suami. Walau isteri lebih kaya, lebih rupa, lebih tinggi pendidikannya, isteri tetap wajib hormatkan suami. Walau suami seorang yang tidak berdaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami atau sengaja mengabaikan tanggungjawabnya, isteri juga tetap wajib hormatkan suami.

Ini bukan penganiayaan kepada isteri tetapi keistimewaan. Apa istimewanya kalau suami tak buat tanggungjawab pun nak hormat juga? Istimewanya kerana pahala yang akan diperolehi oleh isteri tadi, sukar untuk dinilai. Aaahh pahala? Apa guna pahala kalau hidup sengsara? Kalau sengsara, keluar dari perkahwinan tersebut. Ramai isteri yang enggan keluar dari perkahwinan, berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan status isteri tetapi gagal menghormati suami. Suami diherdik, ditengking, dicaci dan dicerca. Ada yang mendiamkan diri, suami tegur tak peduli, nak layan suami jauh sekali. Ada yang berpura-pura, depan suami senyum manis sekali tapi di belakang, suami diumpat itu ini. Kenapa memilih status isteri jika dalam masa yang sama terus menerus menambah dosa sendiri?

Manusia normal mesti bertekak dan ada tikanya tertinggi suara. Ya!! Saya akui kebenaran tersebut. Cuma pesanan saya, jika perkara tersebut berlaku, cepat-cepatlah mohon ampun dan maaf kepada suami. Jangan tunggu raya baru nak minta maaf. Kalau suami yang salah, nak minta maaf juga? Ya!! Minta maaf sebab isteri tertinggi suara, bukan maaf atas kesalahan yang bukan bermula daripada anda. Kalau tak minta maaf? Kalau suami memaafkan anda tanpa anda meminta maaf, Alhamdulillah!! Tapi jika tidak, hanya Dia yang tau kedudukan anda cuma hukum mengatakan; redha Allah kepada isteri hanya setelah suami redha kepada isteri tadi.

Kan ke kalau suami sengaja  gagal laksana tanggungjawab nafkah zahir, isteri boleh tak layan nafkah batinnya? Betul tu, dengan mengambil kira kewajipan nafkah sama seperti kewajipan mas kahwin (rujuk blog atau buku saya) tetapi kegagalan suami itu bukan kebenaran untuk isteri tidak hormatkan suami. Paling penting, ada perbezaan jelas antara taat dan hormat. Isteri wajib taat kepada suami selagi segala arahan atau kehendak suami tidak menyalahi hukum syarak. Hormat pula, perlu sepanjang masa. Dalam Kamus Dewan edisi 4, hormat bermaksud mempunyai pandangan yang tinggi terhadap seseorang dengan memberikan layanan yang penuh sopan, khidmat, takzim.

Hormatilah suami sedaya upaya, walau apa juga emosi anda, walau apa juga situasinya. Jika tak mampu (dengan syarat telah berusaha sesungguhnya), jalan  keluar tersedia…

****Siaran Disember 2009