16 Disember 2012

Tangani nafsu dengan iman dan ilmu



Menunaikan janji dengan rakan-rakan Facebook ekoran permintaan seorang rakan yang meminta agar saya jelaskan mengenai cara untuk meneruskan hidup bila perlu berpisah dengan pasangan terutama ketika berkeinginan untuk melampiaskan kehendak batin, maka kali ini saya pilih topik seperti dinyatakan. Hakikatnya, perkahwinan bukan semata-mata bertujuan untuk melampiaskan kehendak batin seseorang individu. Hikmah perkahwinan yang paling utama ialah untuk melahirkan zuriat atau keturunan yang bersih. Islam menganjurkan bilangan umat yang ramai demi untuk menegakkan syariat-Nya di muka bumi ini. Umat yang ramai pula perlulah mempunyai nasab keturunan yang pasti memandangkan ketidakpastian nasab boleh membawa masalah di dalam rumahtangga dan masyarakat malah membawa kehancuran dan kebinasaan kepada negara.

Hikmah perkahwinan yang kedua ialah bagi memupuk perasaan kasih sayang di antara suami dan isteri, kerana fitrah manusia inginkan kasih sayang dan belaian daripada orang yang tertentu. Fitrah berkasih sayang ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya. Dan menjadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan….”

Hikmah perkahwinan yang ketiga barulah bertujuan untuk mengelakkan manusia daripada melakukan perbuatan maksiat, khususnya zina. Perkahwinan menyelamatkan seseorang daripada perbuatan zina kerana tuntutan syahwat dapat disalurkan melalui cara yang halal. Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa begini kedudukannya? Jawapannya, bukan semua manusia layak berkahwin kerana perkahwinan bukan bermatlamatkan seks tetapi amanah dan tanggungjawab. Jika takut terjebak dengan zina, janganlah zina didekati. Allah SWT berfirman dalam al-Isra’ ayat 32 bermaksud: “Janganlah kamu dekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” Merujuk kepada ayat ini, Allah SWT melarang dekati zina, bukan melakukan zina; bermaksud hampir dengan perbuatan yang boleh sebabkan berlakunya zina menjadi satu larangan dan ditegah.

Kembali kepada persoalan rakan Facebook, naluri atau keinginan untuk melampiaskan nafsu takkan timbul jika anda tidak menjadikan keinginan dan kehendak tersebut sebagai keutamaan. Berkongsi pengalaman sendiri yang lebih empat tahun sendiri malah ada antara rakan-rakan yang dah berbelas tahun bersendirian, tak pernah ada rasa untuk melampiaskan kehendak tersebut kerana saya dan rakan-rakan ini tidak memikirkan dan mengutamakan perkara tersebut. Seperti yang pernah saya jelaskan, sememangnya kita semua mempunyai kehendak batin atau mudahnya nafsu untuk dilampiaskan tetapi jika nafsu tersebut berjaya dikawal, ia tak perlu dilampiaskan malah ada tikanya tak pernah mengganggu rutin harian malah emosi sendiri.

Nak mengawal nafsu, bukan hanya dengan perkataan tetapi perlukan kekuatan iman dan mempunyai ilmu. Iman adalah asas penting dalam setiap perkara. Beriman bermaksud anda mengakui Allah itu ada, bersedia melaksanakan segala tuntutan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah adz-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud: "Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat kepada-Ku ". Betullah! Seks suami isteri termasuk dalam ibadah tetapi ada syaratnya. Kalau terjah hingga lupakan adab yang disarankan syariat, tak nama ibadah juga. Selain seks, banyak lagi ibadah yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW, kenapa hanya seks yang melekat di minda?

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang telah memiliki kemampuan untuk menikah, maka hendaknya dia menikah kerana nikah itu lebih menundukkan pandangan dan lebih menjaga kemaluan. Sedang barangsiapa yang tidak mampu, maka seharusnya dia berpuasa kerana puasa itu adalah benteng atau perisai baginya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Jelaskan maksud hadis ini? Termasuk dalam ketagori tidak mampu ini ialah mereka yang pernah berkahwin dan kini kembali bersendiri. Lantas, amalkanlah puasa seperti saranan syariat.

Dalam masa yang sama, gunakanlah akal yang dianugerahkan oleh Allah untuk penuhi minda dengan ilmu dan waraskan pemikiran. Jika sedar diri mudah tergoda, elakkanlah diri daripada melihat, membaca atau mendengar perkara-perkara yang boleh menimbulkan reaksi syahwat anda. Sebagai contoh, jika anda meminati filem Hindi dan umum maklum, filem Hindi rata-rata memfokuskan cinta dan semestinya mempunyai aksi ghairah dan menggoda maka janganlah ditonton. Sama jugalah filem-filem Melayu kini malah novel-novel yang bercambah di pasaran. Pokok pangkalnya anda sendiri, jangan cari pasal!

Selain anda yang terlibat, saya ingin menasihatkan ibu bapa agar mengambil berat mengenai khitan atau berkhatan kepada anak-anak khususnya anak perempuan. Kajian membuktikan masyarakat moden kebelakangan ini terlalu mengabaikan tuntutan syariat agar mengkhatankan anak perempuan. Amalan wajib ini telah ditinggalkan. Biarpun tiada nas yang jelas dalam al-Quran atau hadis berkenaan keperluan khitan kepada anak perempuan namun ulama’ salaf berijtihad, khitan kepada anak perempuan adalah wajib sebagai satu cara mengekang nafsu. Apabila khitan tidak dilakukan kepada anak perempuan, nafsu seksual yang ada adalah pada tahap yang tinggi dan sukar untuk dikawal. Mungkin ini jawapan kenapa kebelakangan ini ramai remaja yang rosak, tak reti malu malah ramai wanita yang berstatus isteri bersikap curang kepada suami.

Pesan Rasulullah SAW: “Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Imam Malik, al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Nashr dan Ibnu Hazm)

**** Resipi Hidup, Mingguan Wanita - April 2012

02 Disember 2012

Umur bukan semata-mata angka



Perbincangan Resipi Hidup, 2 Disember 2011:
 
Jumaat 2hb Disember, bertambah satu angka lagi pada umur saya yang makin hampir mencapai usia 40-an. Ya Allah! Alhamdulillah! Syukur kepada-Mu kerana masih memberi peluang untuk hamba-Mu ini bernafas di atas muka bumi-Mu ini. Sememangnya saya sentiasa mendoakan agar saya diberikan kesihatan yang baik dan umur yang panjang; bukan hanya kerana takut mati disebabkan amalan yang masih terlalu sedikit untuk mengadap Ilahi tetapi kerana saya mengharapkan peluang dan kesempatan agar saya mampu membesarkan anak-anak saya seterusnya mendidik mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah; bermanfaat untuk mereka sendiri, masyarakat dan agama.

Andai ditakdirkan saya tiada lagi di dunia ini, harapan dan doa saya juga agar anak-anak saya tika itu nanti telah mempunyai iman, ilmu dan taqwa sebagai bekalan menjadi individu cemerlang untuk kehidupan mereka di dunia membawa ke akhirat dan saya mampu menikmati hasil didikan saya itu dengan aman di ‘alam sana’. Maaf andai ada yang kurang senang dengan pilihan perbincangan kali ini namun mahu atau tidak, suka atau sebaliknya; anda, saya, kita semua perlu mengakui hakikat bahawa hari demi hari dan tahun demi tahun, usia kita makin bertambah. Paling penting juga untuk kita sentiasa ingat dan faham bahawa pertambahan umur ini bukan sekadar bertambah atau meningkatnya jumlah angka sebaliknya banyak perkara tersirat yang perlu kita suratkan di sebalik ucapan selamat menyambut ulangtahun kelahiran atau happy birthday atau apa saja ucapan selamat yang disampaikan oleh orang lain kepada kita.

Perkara paling utama ialah PERLU SEDAR DIRI bahawa umur kita telah meningkat. Mungkin ada yang beranggapan, biarlah usia bertambah tapi hati tetap muda! Saya 100% bersetuju Cuma pengaplikasian hati muda tersebut yang perlu diperjelaskan dan diperbetulkan. Tak salah untuk tetap berasa muda, memiliki jiwa yang muda tetapi jangan sampai lupa diri! Lupa bahawa hidup ini lawannya mati. Lupa dengan adab dan tatasusila masyarakat yang menekankan kesantunan dan budi pekerti. Lebih menyedihkan lagi bila sengaja lupa identiti diri sebagai Muslim/Muslimah yang mempunyai satu tanggungjawab utama: melaksanakan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maaf kerana saya perlu katakan; ramai orang Melayu kita hari ini yang rata-ratanya dimaklumi beragama Islam semakin lupa mengenai tanggungjawab utama ini.

Dalam satu kes yang saya kendalikan; sepasang suami isteri berusia awal 40-an telah biasa melakukan aktiviti seksual secara tukar suka sama suka dengan pasangan rakan masing-masing. Kes diadukan kepada saya apabila si isteri mula meminggirkan suami dengan melakukan seks bebas tanpa pengetahuan suaminya. Mungkin jika si isteri masih setia bersama suami meneruskan hobi dan tabiat buruk masing-masing masih dengan acuan yakni dalam pengetahuan pasangan sendiri; saya tak berpeluang berkongsi kisah ini dengan anda. Seolah-olah hubungan seks bebas tersebut ‘halal’ kerana dipersetujui bersama oleh si suami dan si isteri sedangkan kedua-duanya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Dalam satu kes yang lain; saya menerima kejutan besar bila seorang isteri mengaku melanggan pelacur untuk si suami sebagai hadiah hari jadi untuk menguji tahap ‘kejantanan’ si suami yang sudah semakin layu tika bersamanya.

Saya yakin, ramai pembaca yang memikirkan betapa sakitnya sebahagian masyarakat hari ini. Kenapa? Kenapa lupa diri dengan penambahan usia yang diberikan oleh Ilahi. Di samping perlu sedar diri; kita juga perlu BERSIKAP SELAYAKNYA DENGAN USIA. Jangan pula dek kerana hati muda, sengaja lupa umur dah cecah 50 tapi sikap macam anak remaja. Dalam satu kes; seorang anak risau dengan sikap ibunya yang berusia 48 tahun tetapi masih bergetah yang selalu berkunjung ke kelab malam dan bertukar-tukar pasangan hampir setiap malam tika dihantar pulang pada jam dua atau tiga pagi. Mungkin sebab tinggal di bandar, tiada yang peduli tetapi jika anda sedar diri, tabiat buruk ini pasti anda jauhi.

Pamerkanlah ciri-ciri kematangan anda sesuai dengan usia. Kalau umur 30-an atau 40-an, bersikaplah bagai orang dewasa. Kalau usia dah 50-an ke atas tu, sedarlah diri bahawa anda kini tergolong dalam usia tua. Warga emas yang diberikan kepada anda bukan untuk anda berbangga tetapi sebagai satu cara untuk anda sedar diri bahawa rumah bukan sudah kata ‘pergi’ dan kubur pula dah panggil ‘mari’! Saya bukan nak takut-takutkan pembaca semua cuma bertindaklah atas dasar kematangan usia dan kematangan minda. Bergembiralah! Berusahalah seolah-olah kita akan kekal hidup di dunia ini tetapi dalam masa yang sama, pertingkatkan amal ibadat kita kepada-Nya seolah-olah esok adalah hari terakhir kita. Bukan kata saya tetapi pesanan penuh hikmah dan rahsia besar daripada sahabat junjungan besar Nabi Muhammad SAW bernama Sayyidina Umar al-Khattab.

Khusus buat Mak saya; Hajjah Che Su Md Isa dan Bapa saya; Haji Ghazali bin Ebramsa, ribuan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan kalian berdua membesarkan dan mendidik anakmu ini serta sentiasa menyokong setiap usaha yang saya lakukan. Ya Allah! Aku mengharapkan agar Kau panjangkan usia Mak dan Bapa, berikan mereka kesihatan yang baik kerana aku masih memerlukan mereka dalam hidupku ini. Panjangkan juga usiaku dalam iman dan taqwa kepada-Mu sebagai peluang untuk aku membesarkan dan mendidik anak-anakku sekurang-kurangnya hingga mereka mampu berdikari dan menjaga diri sebagai hamba-Mu yang soleh dan solehah, amiiiiinn!!