30 Mei 2008

Cinta dan bahagia milik semua

Seorang rakan sepejabat bertanyakan saya, bolehkah dipercayai ucapan cinta daripada seorang lelaki yang berperawakan menarik dan menjadi perhatian ramai gadis, kepada seorang gadis berwajah biasa, bertubuh besar malah jauh lebih besar berbanding si lelaki, jika digandingkan umpama jari kelingking dengan ibu jari.

Saya tergelak, ye lah…teringatkan kes saya sendiri, saya juga jauh lebih besar daripada suami dan Alhamdulillah, atas nama cinta suci dan murni, kami kini dikurniakan seorang putera dan seorang puteri.

Sebenarnya, tidak patut timbul sama ada boleh dipercayai atau tidak ungkapan cinta si lelaki kerana cinta itu sesuatu yang suci yang lahir dari jiwa yang murni. Malahan, kita boleh perhatikan sekeliling sekarang ini, memang banyak kes-kes pasangan yang kurang sepadan daripada segi fizikal, bukan sahaja kes lelaki kecil perempuan besar malah ada kes lelaki besar dan perempuan kecil molek tetapi hakikatnya hidup mereka bahagia.

Tidak semua pasangan perlu sepadan seperti pinang dibelah dua baru menjamin tercapainya bahagia. Malah, kebanyakan kes rumahtangga yang berlaku melibatkan pasangan yang dikatakan orang, sama cantik cama padan, bagai cincin dengan permata. Apa ertinya semua ini? Ya, ini menunjukkan bahawa paras rupa dan bentuk tubuh fizikal bukan aset yang menjamin kebahagiaan.

Malahan, setiap orang sama ada kecil atau besar, cantik atau tidak, masing-masing mempunyai hak untuk memiliki cinta dan hidup bahagia. Allah Maha Adil, setiap kejadianNya, ada hikmah yang tersembunyi. Begitu juga setiap ciptaanNya, mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Mungkin rupa seseorang itu tidak cantik atau mempunyai tubuh yang besar dan kurang menarik tetapi percayalah, orang sebegini mempunyai keistimewaan lain yang layak dan patut dipandang tinggi dan dihargai. Keistimewaan inilah yang mampu menambat hati seseorang untuk melayakkan dirinya dicintai.

Satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian kepada mereka yang sedang mencari cinta sejati…jangan meletakkan paras rupa sebagai perkara utama di dalam menentukan pilihan hati. Rupa cantik atau bentuk badan menarik, takkan ke mana perginya. Kalau dah tua nanti, kerepot dan kendur juga. Kepandaian sains takkan mampu mengubah ketentuanNya.

Bagi mereka yang menerima lamaran cinta daripada pasangan yang anda rasa lebih menarik dan kurang sepadan dengan anda, anda boleh berhati-hati tetapi jangan sampai meragui keikhlasannya. Seseorang yang ikhlas menyintai anda akan mengambil berat tentang diri anda, sentiasa menghubungi anda malah akan berusaha untuk mendapatkan perhatian anda. Sekiranya ciri-ciri seperti ini ada di dalam diri orang yang melafazkan cintanya kepada anda, jangan terus menolak tetapi pertimbangkanlah dengan wajar. Jangan jadikan bentuk badan atau rupa fizikal anda untuk anda menolak keikhlasan cintanya. Ingatlah, anda juga punyai keistimewaan tersendiri.

Namun, sekiranya kata-kata cinta belum diluahkan dengan nyata, jangan anda mengharapkan sesuatu yang belum pasti. Anda boleh berdoa agar anda dicintai olehnya tetapi anda perlu pastikan anda tidak meletakkan impian dan harapan yang terlalu tinggi, bimbang memakan diri.

Bagi mereka yang sedang bercinta atau telah pun berkahwin dan pasangan anda bersaiz lebih besar daripada anda, cintailah kekasih anda kerana keistimewaan yang dimilikinya. Malah, ada sesetengah orang yang menganggap saiz pasangannya yang lebih besar itulah satu keistimewaan yang membuatkan hatinya tertarik.

Jangan sesekali cuba untuk mengarahkan agar pasangan anda mengubah bentuk fizikalnya kerana anda perlu ingat, anda perlu menerima pasangan anda seadanya. Sekiranya anda inginkan pasangan anda membuat perubahan, kenapa anda memilih pasangan anda yang memang anda tahu berfizikal sebegitu?

Lainlah kalau pasangan anda berubah setelah bersama anda tetapi jangan pulak perubahan ini dijadikan alasan untuk anda berpaling tadah mencari cinta yang baru. Jika anda benar-benar menyintai, cintailah dengan sepenuh hati dan terimalah segala kekurangannya, bukan sahaja kelebihannya.

****Siaran Disember 2004

Berikan peluang kedua

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa saya ni? Sebelum ni beriya-iya benar mempertahankan agar kaum wanita berundur daripada perkahwinan yang gagal menepati matlamat. Tetiba, kali ni, saya memulakan topik minggu ini dengan sesuatu yang begitu kontra iaitu berikan peluang kedua kepada pasangan anda.

Jangan cepat melatah, apa yang saya utarakan bukan mengikut emosi dan saya mengharapkan agar peluang yang diberikan kepada saya untuk muncul di dalam majalah kebanggaan ramai ini sebagai satu medan untuk saya berkongsi ilmu yang ada dengan semua, tak kira perempuan atau lelaki, tak kira suami atau isteri. Semoga artikel-artikel saya dapat memberikan panduan dan motivasi kepada semua termasuk diri saya sendiri.

Sebelum saya menghuraikan dengan lebih panjang mengenai topik kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman seorang klien saya yang diuji dengan berita tragis, suaminya ingin berkahwin lagi. Memang sesuatu yang menyedihkan. Bayangkan jika saudariku berada di tempat kawan kita tadi. Nyata, makan tidak berselera, malam tak dapat lelapkan mata. Begitulah kawan kita ini. Yang sentiasa bermain di fikirannya ialah apakah lagi yang tidak aku lakukan untuk suami?

Hampir tiga bulan berperang dengan perasaan sendiri, setelah berbagai usaha beliau cuba, akhirnya kami ditakdirkan bersemuka. Hasil perbincangan, saya cadangkan beliau memberi kata dua kepada suami sebabnya beliau memang tak dapat terima cadangan suami kerana bagi beliau, belum kahwin pun suaminya dah mula berubah perangai…bagaimana kalau dah terpaksa berkongsi segalanya nanti?

Syukur… jodoh mereka masih ada kerana sehari selepas perbincangan, beliau menghubungi saya memberitahu bahawa suaminya memilih beliau dan anak-anak. Malah, sewaktu pertemuan bersemuka antara saya, beliau dan suaminya baru-baru ini, suaminya nyata bersungguh-sungguh mengharapkan agar beliau diberikan peluang sekali lagi. Si isteri meminta masa untuk memberikan keputusan. Kini, segala-galanya bergantung kepada kawan kita tadi.

Memang sukar membuat keputusan setelah hati sakit dilukai dan segala janji dikhianati. Namun, tidak rugi memberikan peluang sekali lagi. Setiap daripada kita melakukan kesilapan, sama ada suami atau isteri, masing-masing punyai kesalahan tersendiri. Bersyukurlah kerana pasangan kita menyedari kesilapan dan salah lakunya selama ini. Malah, panjatkan juga kesyukuran kerana kita masih menjadi pilihan suami walaupun hakikatnya kita mempunyai pesaing yang telah menggugat kedudukan dan ketenangan diri.

Tidak salah memberi peluang kedua, apatah lagi dalam keadaan pasangan kita belum betul-betul tersesat dan masih boleh mendengar rayuan dan kata hati kita. Di dalam Islam sendiri, ada konsep peluang kedua dan seterusnya selagi mahu dan berdaya. Perhatikan konsep perkahwinan dan perceraian di dalam Islam dan undang-undang kekeluargaan Islam kita.

Di dalam Islam, selepas perceraian dengan talak raj’ie iaitu sama ada talak satu atau talak dua, Islam menetapkan isteri perlu menjalani tempoh eddah yang biasanya adalah tempoh tiga bulan. Kenapakah perlu ada tempoh sebegini? Ya…supaya masing-masing dapat berfikir semula tentang keputusan perceraian yang telah dibuat, menunjukkan bahawa ianya sebagai peluang kedua untuk kedua-dua pihak bersama semula.

Sekiranya masih ada keserasian, pasangan suami isteri yang bercerai boleh rujuk semula di dalam tempoh eddah tersebut. Malah, sekiranya tempoh eddah telah tamat, pasangan suami isteri tadi boleh menikah semula dengan akad yang baru. Inilah peluang yang Islam berikan demi kesejahteraan rumah tangga agar matlamat kewujudan sesebuah intitusi keluarga dapat direalisasikan.

Namun begitu, tidak semua perceraian di dalam Islam itu memberikan ruang untuk pasangan suami isteri bersama semula. Sebagai contoh, sekiranya perceraian dengan talak bain kubra iaitu talak tiga, cerai dengan sebab li’an* atau ila’**, maka pasangan suami isteri yang bercerai tidak mungkin akan dapat bersama semula.

Sesungguhnya Allah itu Maha Adil…memang sesuai apabila Islam meletakkan tiada lagi peluang kedua kepada suami isteri yang bercerai dengan bain kubra ini kerana bain kubra adalah talak yang amat patut dijauhi dan hanya lelaki yang pendek akal dan tidak mengerti konsep perkahwinan dan intitusi kekeluargaan sahaja yang akan terlibat di dalam perkara sebegini.

Lantaran, selagi ada ruang kemaafan, berikanlah peluang kerana kemaafan adalah dendam yang terindah.

*suami menuduh isteri melakukan curang walau sekadar mempertikaikan, betul ker ini anak kita berdua? Kemudian kedua-dua suami dan isteri bersumpah mempertahankan pendirian masing-masing, suami tetap mengatakan isteri curang dan si isteri menafikan. Apabila masing-masing telah bersumpah dengan nama Allah maka berlakulah li’an.

**suami bersumpah untuk tidak bersama dengan isteri dalam erti hubungan suami isteri selama tempoh 40 hari dan suami melaksanakan sumpah tersebut.

****Siaran Disember 2004

27 Mei 2008

Ujian Berumahtangga

Setelah artikel pertama saya disiarkan di dalam majalah kegemaran ramai ini, saya banyak menerima email yang memohon bantuan dan pandangan tentang permasalahan masing-masing yang mempunyai kaitan dengan persoalan yang saya keutarakan. Namun, ada juga antara email yang saya terima, tidak suka dengan kupasan saya mengenai topik tersebut.

Bukan sekadar menyatakan tidak bersetuju malah mengatakan saya telah menyemarakkan api kepada wanita-wanita yang bermasalah supaya berundur sedangkan rumahtangga adalah sesuatu yang perlu dipertahankan walau apa jua keadaan. Kata pengirim email, permasalahan yang timbul di dalam rumahtangga adalah sebagai ujian yang perlu ditempuhi dengan redha.

Walaupun email sebegini adalah satu daripada lima belas email yang saya terima lanjutan daripada tersiarnya Konflik Berterusan: Bertahan Atau Berundur?, namun email ini menarik perhatian saya kerana mungkin ada lagi antara mereka di luar sana yang terkeliru dengan ulasan saya dan berpendapat seperti pengirim email tersebut.

Jangan salah faham…saya tidak marah malah saya berterima kasih kerana pengirim email tersebut membantu saya mendapatkan idea untuk menulis satu isu baru iaitu UJIAN BERUMAHTANGGA.

Sememangnya hidup ini akan sentiasa diuji dan diduga. Tak kira samada hidup bersendiri ataupun hidup berumahtangga. Hidup berumahtangga ujiannya lebih mencabar kerana kita perlu memikirkan orang lain berbanding jika kita hidup bersendirian. Orang lain yang asalnya adalah terlalu asing tetapi telah kita terima menjadi sebahagian daripada hidup kita. Orang lain yang asalnya langsung tidak kita kenali tetapi kita sayang dan cinta dengan sepenuh hati.

Namun, walau cinta menggunung tetapi percayalah, kita takkan mungkin akan mengenali pasangan kita sepenuhnya. Kita takkan mungkin akan memahami dan mengerti pendirian dan kehendak pasangan kita seratus peratus. Jangan fikir, andai kita telah bercinta 10 tahun bererti kita telah cukup mengenali pasangan kita.

Lantaran itu, para psikologi menetapkan bahawa lima tahun pertama sesebuah perkahwinan adalah tempoh untuk saling cuba menyelami hati dan budi masing-masing. Masa inilah kita akan tahu segala baik buruk pasangan kita. Ingat, kita adalah insan yang serba kekurangan dan kekurangan kita boleh disempurnakan oleh pasangan kita. Begitu juga, kekurangan pasangan kita hendaklah kita yang menyempurnakannya barulah rumahtangga akan bahagia.

Tahun keenam dan tahun-tahun yang seterusnya juga perlu diharungi bersama kerana ujian dan dugaan masih ada. Inilah hakikat hidup berumahtangga sebenarnya. Hidup yang dipenuhi ujian dan rintangan tetapi perlu ditempuhi dan diharungi bersama… bukan sendirian.

Saya mencadangkan pengunduran hanya kepada wanita yang bersendirian mengharungi ranjau dan onak duri perkahwinan. Apa guna punya suami hanya pada nama sedangkan segalanya diuruskan sendiri seperti tidak bersuami. Bukan sehari dua tetapi bertahun-tahun. Saya pernah mendengar kata-kata seorang lelaki , tak apalah isteri berkorban lebih untuk suami sebabnya isteri menyayangi suami. Kerana sayang, isteri perlu bersabar dan cuba mengubah suami.

Pelik…! Memang pelik! Siapa yang dijadikan daripada siapa sebenarnya? Bukankah kaum wanita yang dijadikan daripada tulang rusuk lelaki? Islam telah tetapkan tugas kaum lelaki untuk membetulkan kaum wanita dengan penuh hikmah kerana jika tersalah, tulang akan patah dan jika dibiarkan pun, tulang akan terus bengkok. Lantas, sejak bila tanggungjawab membetulkan dan mengubah ini berpindah kepada isteri?

Saya tau, ada antara wanita yang berjaya mengubah pendirian dan sikap suami. Suami boleh dibentuk oleh isteri sekiranya suami sedar akan kelemahan diri dan bersedia menerima tunjuk ajar dan bimbingan…bersedia untuk berubah malah menunjukkan tanda-tanda awal inginkan perubahan.

Bagaimana jika memiliki suami jenis bodoh sombong…sukar menerima pendapat apatah lagi diperbetulkan…apakah isteri perlu berkorban hingga jiwa terkorban?

Jangan silap memahami fakta…memang benar ujian dan dugaan adalah rempah ratus rumahtangga tetapi segala ujian dan dugaan perlu diharungi dan ditempuhi bersama. Jika hanya satu pihak sahaja yang berusaha untuk mengatasinya, jangankan lima tahun, lima puluh tahun pun, belum tentu rumahtangga akan bahagia.

****Siaran Disember 2004

Cinta, sekufu dan pilihan ibu bapa

Seorang teman lama yang juga adik sekolej semasa di UM dulu menghubungi saya baru-baru ni. Dia inginkan kesahihan tentang berita yang didengarinya bahawa saya bersuamikan seorang tentera biasa. Memang benar, saya mengakuinya. Saya bahagia mengahwini seorang tentera berpangkat lans koperal dan mempunyai taraf pendidikan yang lebih rendah daripada saya.

Bila saya ditanyakan, tidakkah hubungan saya ditentang oleh ibu bapa saya kerana saya dan suami tidak sekufu? Saya menjelaskan, tentangan memang ada tetapi hanya pada awalnya dan setelah janji diikat dengan restu orang tua pastinya, tiada lagi perbincangan sama ada sekufu atau tidak kerana sepanjang lebih dua tahun bersama, saya dan suami telah berjaya mengharungi segala pahit getir bersama dan akan sentiasa bersama, InsyaAllah.

Perbualan demi perbualan, akhirnya saya ketahui, rupa-rupanya hubungan beliau dihalang kedua ibu bapa lantaran pasangannya dikatakan tidak sekufu, sekadar mempunyai diploma sedangkan beliau bakal menamatkan ijazah kedua.

Saya tidak pelik…bukan seorang dua yang menghadapi masalah sebegini. Masalah halangan keluarga kerana kononnya pilihan si anak tidak sekufu bukanlah cerita baru…malah telah berkurun lamanya. Sejak negara tiada kemajuan hinggalah sekarang berbagai bangunan pencakar langit terjulang.

Insan yang menilai masalah tidak sekufu ini bukannya calang-calang orang…rata-ratanya berpendidikan. Yang peliknya, jika ditinjau dan diteliti, banyak perkahwinan antara pasangan yang dikatakan tidak sekufu ini, hidup aman dan bahagia.

Sebaliknya, kebanyakan perkahwinan yang terhasil daripada pasangan yang dikategorikan sebagai sekufu dan sama darjat pula, berakhir dengan perpisahan. Jika benar suami isteri adalah pasangan sekufu, kenapa perpisahan berlaku? Jika benar suami isteri adalah pasangan sekufu, kenapa rumahtangga masih berantakan, sukar sekali mencapai keharmonian?

Lantas, kita perlu memahami, apakah maksud sebenar sekufu seperti yang dianjurkan di dalam Islam? Kembali kepada maksud firman Allah yang menyatakan bahawa perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Inilah maksud sekufu yang dikehendaki dan patut serta perlu diamalkan sebenarnya.

Bukannya sekufu itu bermaksud seorang lelaki atau perempuan perlu mempunyai tahap pendidikan yang sama atau berharta dan mempunyai kedudukan yang setaraf dengan bakal pasangannya. Apabila salah seorang sama ada perempuan atau lelaki mempunyai pendidikan yang lebih tinggi berbanding pasangannya ataupun memiliki harta yang lebih berbanding pasangannya tetapi mereka mempunyai persamaan dari segi ilmu agama dan kecenderungan mengamalkan amalan agamanya, maka lelaki dan perempuan tersebut adalah sekufu.

Islam telah menetapkan bahawa sesiapa yang mengutamakan ajaran agama akan mendapat keharmonian di dalam hidup. Kepada mereka yang sedang bercinta dan dihalang oleh orang tua kerana dikatakan tidak sekufu tetapi tidak menepati maksud sekufu yang dianjurkan oleh Islam, sekiranya anda yakin pilihan anda adalah pilihan yang terbaik, berdoalah agar pilihan anda memang betul pilihan yang terbaik dan berdoalah juga agar jodoh anda dipermudahkan.

Walau ibu bapa anda sukar menerima pilihan anda dan masih tetap dengan pendiriannya bahawa pilihan anda itu tidak sekufu dengan anda, berusahalah dan berdoalah agar ibu bapa anda mengubah pendirian mereka. Ingatlah, tidak mudah untuk mendapat apa yang kita hajati tetapi kita boleh berusaha mendapatkannya.

Paling penting, elakkan perkahwinan tanpa restu orang tua kerana walaupun kita sebagai anak berada di pihak yang benar tetapi apabila kita melukakan hati orang tua, kita juga telah melakukan dosa.

Ingatlah, setitis air mata ibu yang jatuh ke bumi, tak mungkin tertanggung bebannya di akhirat nanti. Diamnya bapa dengan tindakan kita bukan bererti dia redha tetapi jiwanya menanggung lara yang tidak mampu diluahkan dengan kata. Letakkan kedudukan anda di tempat mereka, apakah yang anda rasa? Ingatlah, redha Allah hanya dengan restu orang tua. Perkahwinan tanpa restu orang tua adalah sukar untuk bahagia kecuali setelah ibu bapa redha dengan perkahwinan tersebut.

Bersabarlah dan teruskan berusaha dan berdoa, jika sememangnya anda ditakdirkan untuk dirinya, pasti akan bersatu jua. Namun, andai masih ada halangan dan rintangan, itu petanda jodoh antara anda dan dia tiada. Takdir menentukan anda dan dia dipasangkan dengan insan lain yang lebih baik untuk diri masing-masing. Percayalah, setiap yang berlaku ada hikmahnya.

****Siaran Disember 2004

22 Mei 2008

Pisang montel dan masak lemak patin

Tentu ada yang tertanya-tanya, cerpen atau novel apa pulak yang cuba saya ketengahkan di dalam siri kali ini. Sebenarnya, tajuk topik saya kali ini bukanlah tajuk cerpen atau novel tetapi mengenai satu kisah benar berkaitan pisang montel dan masak lemak patin. Pisang montel dan masak lemak patin yang telah menyelamatkan sebuah rumah tangga.

Kalau selalu saya paparkan kisah orang lain, kali ini saya ingin berkongsi kisah saya sendiri. Bukan untuk dijadikan bahan kajian apatah lagi sebagai sindiran kerana sebagai manusia biasa, saya juga turut diuji dengan konflik di dalam rumah tangga.

Perkahwinan saya dengan suami telah menjangkau usia 28 bulan. Alhamdulillah, walau pada awalnya perhubungan saya dengan suami mendapat tentangan keluarga kerana suami dikatakan tidak sekufu (seperti takrifan kebanyakan orang sekarang) dengan saya, saya bahagia dan saya yakin kebahagiaan itu kami kecapi kerana selepas hampir 7 tahun (tidak termasuk tempoh 5 tahun kami berpisah kerana akur kepada kehendak keluarga) menghadapi ranjau, akhirnya kami disatukan dengan restu kedua ibu bapa. Kalau dah jodoh…terpisah tanpa sebarang berita selama 5 tahun tidak menghalang pertemuan kedua dan kini kami dikurniakan sepasang cahayamata…Ayuni Syafiqah dan Azfar Suhail.

Kembali kepada peranan pisang montel dan masak lemak patin. Seperti kata P.Ramlee… sedangkan lidah lagi tergigit… begitu juga saya dan suami. Hanya disebabkan satu insiden di mana suami saya telah berbuat satu kesilapan yang tidak disengajakan sebenarnya, saya terasa seperti suami telah menyakiti dan melukakan hati saya. Saya mula merasakan bahawa suami saya sama seperti kebanyakan lelaki lain yang hanya pandai bermain kata. Berbagai perasaan bercampur baur di dalam minda dan hati saya. Rasa marah, geram, tertipu, sedih… segalanya bercampur aduk.

Saya cuba mendapatkan nasihat daripada rakan sekerja namun, nasihatnya tidak berjaya mengubah pendirian saya. Sungguh, saya rasakan pada masa itu, lebih baik saya berpisah sahaja. Saya menceritakan segalanya kepada sahabat baik saya. Emailnya betul-betul mengubah pendirian saya. Syukur, Allah masih sayangkan saya dan perkahwinan saya dan tidak membiarkan saya terikut-ikut dengan kehendak syaitan…

Sungguh… apabila kita gagal mengawal emosi, pada masa itulah syaitan akan menguasai minda kita. Walau saya selalu memberikan nasihat, pandangan dan semangat kepada orang lain, saya akui saya kalah kepada emosi sendiri. Betul kata sesetengah orang, syaitan yang mengacau kita mempunyai pangkat tertentu yang setanding dengan iman dan peribadi kita. Jika kita terlibat dengan buaya, selalunya kita akan mati di mulut buaya dan seperti saya… ujian tentang masalah rumah tangga betul-betul menguji minda dan emosi saya.

Saya nekad untuk memohon maaf daripada suami sebab hampir 24 jam sejak insiden pagi tu, saya tidak bertegur sapa dengan suami. Saya memohon izin daripada majikan untuk balik awal. Tujuan saya ialah untuk memasakkan masak lemak patin, kegemaran suami saya… sebagai tanda maaf dan perdamaian. Jam 5.30 petang, saya terdengar bunyi pintu rumah dibuka. Saya bergegas ke muka pintu, suami saya semacam pelik melihatkan saya di rumah. Tak lama, dia terbau sesuatu… masak apa tuh?

Saya tersenyum… masak lemak patin. Suami segera ke dapur, merasa masakan saya… sedap nih.. lapar pulak. Saya tersenyum… segera saya memohon maaf daripada suami, begitu juga suami saya sambil berpesan..pisang tu jangan lupa makan pulak…

Saya gelak sendiri… sebenarnya pisang montel tu suami saya belikan sejak semalam untuk memujuk saya tetapi saya berkeras tidak menjamahnya… dan hari itu, kami menjamu selera dengan hidangan masak lemak patin dan pisang montel sebagai pencuci mulut… pisang montel kegemaran saya dan masak lemak patin kegemaran suami saya…kerana kedua-duanya kami kini kembali ceria dan lebih berhati-hati di dalam tindakan demi kebahagiaan kami dan anak-anak yang semakin nakal dan bijak.

Jangan terlalu mudah melenting hanya dengan perkara kecil… walau ianya adalah salah suami… terimalah dan maafkanlah dia kerana kita semuanya tidak sempurna…kita masing-masing pernah membuat kesalahan.

Saya sering mengucapkan kata-kata ini malah sering menyebutnya di dalam penulisan saya tetapi apabila terkena ke kepala sendiri.. tak sangka saya terlalu cepat melatah… saya betul-betul mendapat pengajaran.

****Siaran November 2004

Mahu seribu daya

Hari minggu baru ni, saya bersama suami membawa anak-anak keluar makan angin. Walaupun anak-anak masih kecil sangat dan kawasan dituju bukanlah sebuah peranginan istimewa, sekadar taman kecil, rasanya amat memadai kerana saya dan suami dapat meluangkan masa bersama serta bersama dengan anak-anak.

Di dalam perjalanan pulang, kami melalui satu kawasan tempat cuci kereta dan suami menyatakan hasrat untuk mencuci kereta kerana kereta kami pun, dah hampir bercatkan lumpur. Semasa menunggu kereta siap dicuci, saya terpandang kelibat seseorang yang rasanya saya kenal. Saya tunjukkan pada suami, suami mengangguk-angguk tanda bersetuju dengan telahan saya. Suami menghampiri lelaki tersebut. Nyata betul tekaan kami, memang kami kenal lelaki tersebut. Lama juga suami berborak dengan lelaki itu dan tika kereta selesai dicuci, barulah mereka bersalaman.

Apa yang ingin saya ceritakan di sini ialah mengenai lelaki yang saya dan suami temui di tempat cuci kereta tersebut. Lelaki itu ialah suami kepada kawan saya semasa sama-sama belajar di universiti dulu. Dia bekerja sebagai salah seorang kakitangan kerajaan dan kawan saya pula bekerja di sebuah syarikat swasta. Apa yang suami kawan saya buat di tempat cuci kereta tu? Bukan mencuci kereta tetapi bekerja mencuci kereta di situ secara sambilan.

Menurut suami saya, seperti yang diceritakan kepadanya oleh suami kawan saya itu, suami kawan saya itu terpaksa bekerja sambilan disebabkan gaji bersihnya sebulan tinggal lebih kurang RM150 sahaja, walau gaji pokoknya 4 angka, setelah ditolak duit rumah, duit kereta dan lain-lain potongan. Walaupun isterinya bekerja dan juga mempunyai pendapatan 4 angka tetapi dia tidak mahu berharap sepenuhnya kepada gaji isterinya selagi dia masih mampu berusaha mencari nafkah untuk isteri dan anak-anak.

Saya berasa cukup kagum dengan suami kawan saya itu. Memang bertuah kawan saya mempunyai suami yang amat bertanggungjawab. Dalam kekaguman itu, saya terkenangkan seorang kawan, juga sama-sama belajar di universiti tetapi di dalam kursus yang berlainan.

Setelah hampir 3 tahun perkahwinan, dia menghubungi saya memohon bantuan. Katanya dia nekad untuk berpisah dengan suaminya kerana suami gagal menunaikan tanggungjawab memberikan nafkah kepada dirinya dan anak. Segala keperluan rumahtangga, kawan saya yang tanggung. Suaminya terlalu memilih kerja malah suka bertukar-tukar kerja dan masih tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap hingga kini. Dua orang sahabat dengan dua situasi yang berbeza, cukup memberikan pengajaran kepada kita semua.

Kenapa? Seperti pepatah Melayu mengatakan, mahu seribu daya, tak mahu seribu dalih. Seperti suami kawan saya yang pertama, sanggup bekerja sambilan di hujung minggu untuk menambahkan pendapatan keluarga. Nyata sekali sikapnya sebagai seorang suami yang bertanggungjawab malah menyedari kewajipannya sebagai seorang bapa.

Jarang sekali kita berpeluang untuk berjumpa dengan lelaki sebegini. Kebanyakan lelaki hanya bergantung harap kepada pendapatan daripada kerja tetapnya apatah lagi kakitangan kerajaan dan kalau tak cukup, gunakan saja pendapatan isteri. Sebab, mereka dah bekerja dan dah ada pendapatan, kira dah menepati tanggungjawab le tu. Apa guna isteri bekerja kalau tak dapat membantu suami.

Kepada lelaki di luar sana yang bersikap sama seperti suami kawan saya yang pertama tadi, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan, andalah suami mithali, tunggu penghargaan untuk anda di akhirat nanti. Kepada lelaki-lelaki yang bersikap seperti suami kawan saya yang kedua, berubahlah dan sedarlah, isteri dan anak-anak adalah amanah untuk anda. Jaga mereka agar mereka gembira, belai mereka agar mereka bahagia dan jangan harapkan hasil titik peluh mereka untuk menyara keluarga kerana di akhirat nanti, anda perlu menjawab di hadapanNya, kenapa anda gagal menjalankan tanggungjawab anda?

****Siaran November 2004

21 Mei 2008

Isteri meleteri suami siri 2

Saya masih berminat untuk membincangkan isu yang sama dengan keluaran lepas, berkaitan isteri meleteri suami, kerana saya menerima berbagai maklum balas berkaitan isu ini.

Tiga perkara yang dilontarkan ialah mengenai hadis Rasulullah s.a.w yang menyatakan bahawa, seandainya dibenarkan menyembah kepada selain Allah, nescaya disuruh para isteri menyembah suami mereka. Hadis ini dikatakan sebagai menunjukkan betapa tingginya darjat dan kedudukan suami di mata isteri, sebagai seorang yang perlu dihormati walau dalam apa jua keadaan dan perasaan yang dialami oleh isteri.

Satu lagi ialah mengenai Rasulullah s.a.w menolak permintaan anakanda baginda, Sayyidatina Fatimah, mendapatkan seorang hamba tebusan sebagai pembantu rumah. Penolakan ini bererti Rasulullah s.a.w menginginkan anakanda baginda menguruskan segala urusan rumah tangga dengan sendirinya tanpa bantuan sesiapa. Penolakan ini juga bererti, sememangnya tugas menguruskan rumah tangga adalah tugas isteri, walau dalam apa jua keadaan.

Perkara ketiga ialah mengenai hadis Rasulullah s.a.w yang menceritakan pengalaman baginda ketika Israk, bagaimana baginda melihat ramai wanita telah digantung dengan lidah mereka sendiri dan air panas yang menggelegak dituang ke dalam mulut mereka. Wanita-wanita ini adalah para isteri yang bersikap tidak menghormati suami dan meleteri para suami mereka.

Saya ingin memberikan reaksi kepada ketiga-tiga maklum balas ini. Bukan menafikan tetapi ingin menjelaskan secara terperinci perkaitan ketiga-tiga alasan tadi dengan isu yang dibicarakan iaitu isteri meleteri suami ketika menguruskan rumah tangga terutamanya ketika balik daripada penat bekerja.

Saya mengakui bahawa suami adalah insan yang perlu ditaati dan dihormati oleh setiap isteri tetapi saya ingin menegaskan bahawa ketaatan kepada suami mempunyai pengecualian tertentu yang dianjurkan oleh Islam. Saya akan bincangkan pengecualian ini di dalam siri yang lain kerana kali ini, fokus saya ialah kepada perbincangan isteri meleteri suami.

Saya ingin membawakan satu kisah di zaman sahabat Rasulullah s.a.w iaitu di zaman Saidina Omar al-Khattab. Seorang lelaki telah berkunjung ke rumah Saidina Omar dengan tujuan untuk membuat aduan mengenai isterinya yang sering sahaja berleter. Baru sahaja lelaki tersebut menjejak di halaman rumah Saidina Omar, lelaki tersebut mendengar isteri Saidina Omar sedang meleteri Saidina Omar. Keadaan tersebut membantutkan hasrat lelaki tersebut. Ketika lelaki tersebut baru melangkahkan kaki mahu meninggalkan rumah Saidina Omar, Saidina Omar membuka pintu dan menyapa lelaki tersebut.

Setelah ditanyakan tujuan kedatangan beliau, lelaki tersebut pun menceritakan segalanya tetapi kata lelaki tersebut..aku rasa bagaimanakah dapat kau menyelesaikan masalah aku sedangkan kau juga menghadapi keadaan yang sama? Saidina Omar tersenyum sambil berkata…aku tak pernah rasa tindakan isteriku itu sebagai tidak menghormati aku ataupun berlaku biadap kepadaku. Aku rela dengan telatah isteriku kerana dia telah berbuat segalanya untuk aku, menyediakan makan minumku, pakaiku, melayani aku… biarkanlah dia meluahkan perasaannya dengan cara tersebut kerana aku tahu, dia tak memaksudkan setiap perkataannya itu…

Hayatilah kisah di atas, seorang sahabat dapat menerima kelemahan isterinya dengan hati terbuka, kenapa suami di akhir zaman ini tidak dapat bersikap sedemikian? Seperti yang ditegaskan oleh Saidina Omar, para isteri sememangnya tidak berniat untuk berlaku biadap kepada suami tetapi leteran itu sebagai cara untuk melepaskan apa yang isteri rasai. Sekiranya para suami membantu isteri, seperti yang saya tegaskan di dalam siri yang pertama dulu… percayalah, takkan ada lagi leteran atau bebelan kedengaran.

Kenapa malas membantu isteri sedangkan Rasulullah s.a.w sendiri melakukan sendiri beberapa kerja untuk keperluannya seperti menjahit pakaian. Rasulullah s.a.w juga bersabar mendengar keluhan isterinya malah Rasulullah s.a.w memberikan peluang kepada isteri-isteri baginda untuk berdebat dengan baginda dan sekiranya isteri-isteri baginda berkasar, baginda akan menerima dengan penuh pengertian dan kemaafan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Yang paling baik antara kamu ialah yang paling baik terhadap isteri-isterinya dan aku adalah yang paling baik antara kamu terhadap isteri-isteriku.

Sekiranya inginkan isteri sebaik Fatimah, jadikanlah diri kamu suami sebaik Ali, begitu juga jika inginkan suami semulia Ali, jadikanlah diri kamu isteri sehebat Fatimah.

****Siaran November 2004

Isteri meleteri suami

Saya menerima ‘forwading email’ berkenaan para isteri sekarang yang telah terbiasa meleteri suami.

Leteran biasanya berlaku apabila sama-sama balik ke rumah, penat setelah seharian bekerja, si isteri terpaksa ke dapur menyiapkan hidangan makan malam dan kalau telah mempunyai anak-anak, terpaksa pula melayani kerenah anak-anak yang pelbagai sedang suami dapat berehat sambil membaca akhbar atau menonton tv hatta inginkan secawan kopi, suami memintanya daripada isteri. Situasi sebeginilah yang sering membuatkan isteri meradang, geram dan terus melontarkan leteran demi bebelan kepada suami.

Bukannya para isteri tidak tahu hukum dan kesannya di dalam agama apabila bertindak sedemikian. Sebenarnya para isteri, kesemuanya, tidak ingin bersikap sedemikian apatah lagi suka dan gemar untuk membebel kepada suami yang nyata bukannya kanak-kanak, yang boleh berubah sikap dengan leteran. Malah, para suami perlu tahu, berleter dan membebel bukannya satu kerja atau amalan yang seronok dan terhibur ketika melakukannya. Masalahnya, leteran dan bebelan tetap berlaku kerana para isteri ingin meluahkan apa yang dirasai waktu itu, apa yang para isteri rasa tidak puas hati.

Saya tau mungkin para suami terfikir, ye lah, awak tu perempuan, mestilah awak sokong perempuan. Apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah, bukannya masalah menyokong kaum sejenis atau anti kaum yang berlawanan. Apa yang pentingnya sekarang ialah, sekiranya para suami cuba memahami keadaan isteri, meletakkan diri mereka di dalam diri isteri, mereka akan dapat merasai apa yang isteri mereka rasai.

Salahkah jika para suami bertoleransi, bersikap tolak ansur dengan para isteri.
Jika isteri sibuk di dapur menyediakan hidangan makan malam, para suami ambillah tugas melayani kerenah anak-anak. Sekiranya belum mempunyai anak, kenapa tidak suami bersama-sama isteri menyiapkan hidangan makan malam, tidakkah itu menambahkan lagi kemesraan.

Satu perkara yang perlu diingat oleh para suami, kewajipan isteri di dalam rumahtangga seperti yang ditetapkan oleh Islam ialah melayani suami dan mendidik anak-anak. Para ulama’ salaf mendefinisikan melayani suami adalah bermaksud melayani kehendak batin suami semata. Isteri hanya perlu menghias diri menunggu kepulangan suami untuk bersama. Bererti segala kerja-kerja mengemas, memasak dan sebagainya bukanlah satu kewajipan tetapi adalah bonus bagi para isteri yang mampu melakukannya.

Malah, ulama’ salaf berpendapat, sekiranya seorang suami memperisterikan seorang gadis daripada golongan yang berada dan si gadis mempunyai pembantu rumah di rumahnya itu, ulama’ menetapkan si suami perlu menyediakan pembantu rumah untuk gadis yang dikahwininya itu supaya si gadis tidak merasai kekurangan setelah berkahwin dan meninggalkan keluarganya.

Jika dilihat di dalam keadaan sekarang ini, berapa ramaikah para suami yang mempraktikkan sedemikian? Bukan itu sahaja, berapa ramaikah suami yang benar-benar menjalankan kewajipannya sebagai suami dan bapa? Selalunya, kita akan dengar kata-kata kepada bakal pengantin lelaki… senang le kau lepas ni, dah ada orang jaga makan minum dan pakai kau… jarang sekali kita dengar… kau kena ingat, lepas ni tanggungjawab kau lagi berat, nak tanggung isteri…itu ini….

Inilah masalah di dalam masyarakat kita. Boleh dikatakan dalam keadaan apa sekali pun, segala kesalahan diletakkan ke bahu wanita sedangkan kitalah yang bertindak sebagai tulang belakang kepada kaum lelaki. Kitalah yang membantu suami membiayai keperluan rumahtangga sedangkan tanggungjawab tersebut seratus peratus terletak di bahu suami.

Saya ingin menyeru kepada kaum suami di luar sana, fahamilah isteri anda. Bantulah mereka di dalam menguruskan hal ehwal rumahtangga seperti mana mereka membantu anda menyelesaikan masalah kewangan keluarga. Jika perkara yang kecil ini anda dapat lakukan, anda tidak akan lagi mendengar bebelan dan leteran dan paling penting, rumahtangga anda akan dirahmati hingga ke akhirat, InsyaAllah.

Alhamdulillah, aku mempunyai suami yang memahami….

****Siaran November 2004

16 Mei 2008

Sejauh manakah ketaatan kepada suami

Ini pula kisah kedua yang saya ingin saya kongsi bersama pembaca, seperti yang saya katakan pada minggu lalu.

Hari keempat anak saya berada di wad, satu katil yang kosong setelah seorang kanak-kanak dibenarkan keluar telah diisi oleh seorang bayi, berusia lingkungan 18 bulan. Menurut ibu bayi berkenaan, anaknya telah mengalami demam dan batuk-batuk hampir sebulan.

Bila ditanya kenapa baru sekarang anaknya dibawa ke hospital? Kata si ibu, beliau memang telah lama ingin mebawa anaknya mendapatkan rawatan tetapi suaminya melarang kerana suaminya tidak percaya kepada ilmu perubatan sekarang. Sepanjang hampir sebulan anaknya sakit itu, beliau hanya memberikan anaknya minum madu lebah seperti yang diarahkan oleh suaminya kerana menurut suaminya, itu adalah amalan Rasulullah s.a.w, walaupun beliau tidak setuju dengan tindakan suaminya. Anaknya dibawa ke hospital pada hari itu adalah kerana arahan ibu mertuanya yang mengetahui keadaan cucunya.

Mendengar penerangan si ibu, saya beristighfar di dalam hati. Kenapa di dalam dunia yang serba moden dan di zaman Islam telah maju ini juga, masih ada yang berfikiran sedemikian? Saya merenung keadaan si anak. Pada malamnya, si kecil dihantar ke ICU. Kesian si kecil, menjadi mangsa kekolotan si bapa dan kebodohan si ibu.

Kenapa saya katakan si ibu juga bodoh? Kalau si bapa, tentu semuanya memahaminya kan??!! Ya… si ibu juga bodoh kerana tidak tahu menilai yang mana perlu ditaati dan yang mana perlu diutamakan?

Sebenarnya, sebagai isteri, sememangnya kita wajib taat kepada kata-kata dan arahan suami tetapi ketaatan kepada suami juga ada batasannya. Kalau kita dah tau arahan suami itu tidak wajar dipatuhi, kenapa kita mesti terus patuh dan tunduk?

Di dalam kes tadi, sekiranya ibu mertua tidak bertindak, bayangkan apa yang akan terjadi kepada si kecil? Ya… madu lebah amalan Rasulullah tetapi telitilah apa sakitnya. Bukan semua sakit Rasulullah menggunakan madu lebah. Ini satu lagi masalah di dalam masyarakat Islam kita. Belajar tak habis tetapi berlagak macam tau segala.

Menyentuh mengenai ketaatan kepada suami, ingin saya ingatkan kepada semua isteri, ketaatan kita ada batasnya. Soalan yang selalu ditanyakan kepada saya apabila saya mengadakan sesi ceramah ialah sejauh manakah kita perlu taat kepada kehendak suami di dalam hubungan di tempat tidur? Sebabnya, para suami menggunakan alasan hadis Rasulullah, sekiranya suami meminta maka isteri perlu menunaikan kehendak suami walau berada di atas bonggol unta.

Hakikatnya, hadis tersebut adalah sebagai menunjukkan betapa beratnya kewajipan isteri di dalam memenuhi kehendak batin suami kerana hanya isteri sebagai jalan melepaskan nafsu lelaki yang satu itu. Tetapi, bukan bererti kewajipan tersebut adalah muktamad, tidak ada campur bahagi. Sebenarnya kewajipan suami isteri di dalam rumahtangga termasuklah hubungan suami isteri lebih kepada berbentuk tolak ansur.

Matlamat perkahwinan adalah untuk kebahagiaan kedua-dua pihak. Sekiranya hanya satu pihak merasa bahagia sedang satu pihak lagi tertekan menderita, tidak ada gunanya perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam. Sama juga di dalam hubungan suami isteri. Ianya untuk kepuasan kedua-dua pihak. Sekiranya si isteri melakukan di dalam keadaan terpaksa, di mana nikmatnya yang Allah janjikan untuk pasangan suami isteri tersebut?

Sebab itulah, suami perlu lebih bertolak ansur dan cuba memahami keadaan isteri. Fikirkan, dalam kehidupan seharian, Islam mempertanggungjawabkan segala urusan perbelanjaan rumahtangga kepada suami tetapi ada rukhsahnya, isteri boleh membantu. Samalah juga dengan tanggungjawab isteri, suami perlu bertolak ansur, membantu urusan isteri dan memahami kepenatan isteri. Isteri pula perlu bijak memberikan keutamaan. Jangan sampai diri tidak mempunyai hak yang dipenuhi oleh suami.

****Siaran Oktober 2004

Sebagai isteri kita kena mulakan

Alhamdulillah, setelah hampir seminggu anak kedua saya terpaksa menjalani rawatan di wad, anak saya dibenarkan pulang. Seminggu bercuti, menjalani kehidupan di hospital, menghadapi berbagai kerenah manusia, saya ingin berkongsi dua kisah menarik bersama rakan pembaca semua.

Kisah pertama, berkaitan penglibatan suami di dalam urusan kesihatan anak, maksud saya, tentang penjagaan dan rawatan terutamanya di rumah.

Malam kedua di wad, ada seorang kanak-kanak dimasukkan ke bilik yang sama dengan bilik anak saya. Memang perkara biasa tetapi yang menarik hati saya ialah, sepanjang malam tersebut, si bapa merayau-rayau di luar bilik wad berkenaan, memerhatikan katil si anak yang terletak berhampiran pintu bilik, walaupun isterinya telah ada bersama dengan si anak.

Rupanya , bukan saya seorang saja yang perasan dengan tindakan si bapa malahan seorang ibu lain yang berada di dalam bilik yang sama, meluahkan kekagumannya pada keesokan harinya. Beliau rasa kagum dengan tindakan si bapa sedangkan suami beliau, memang susah untuk bertindak sedemikian. Kalau anaknya sakit, hanya beliau seorang lah yang berjaga malam menjaga si anak.

Saya tersenyum sendiri. Dalam hati turut rasa bangga sebab suami saya tergolong di dalam kumpulan si bapa yang bertanggungjawab tadi. Namun, tidak pada mulanya. Sebab itulah saya katakan, sebagai isteri, kita yang kena mulakan.

Pada awal dahulu, ketika anak sulung masih kecil, sekiranya anak saya bangun di tengah-tengah malam samada kembung perut atau demam atau meragam tak boleh tidur, suami saya memang buat tak tau jer. Tapi, saya berkeras, saya kejutkan suami untuk turut berjaga bersama saya. Alasan saya, anak itu bukan anak saya seorang tetapi anak kami berdua. Kalau difikirkan esok suami perlu bekerja, kita juga bekerja. Alhamdulillah, bermula dari teguran itu, suami saya dah tak kisah berjaga malam malah sekarang ini, kalau si kakak inginkan susu di tengah malam, suami saya yang bangun buatkan susu dan saya hanya bangun kalau si adik inginkan susu. Begitu juga dengan menukar diapers, saya tak ada masalah kerana suami saya sanggup berkongsi tugas.

Sebenarnya, kaum suami ini bukannya memilih sangat ataupun malas sangat di dalam bab penjagaan anak-anak ni. Pokoknya, kita sebagai isteri yang kena suarakan apa yang kita ingini. Kalau kita berkeras melakukan segalanya seorang diri sejak awal lagi dan apabila tiba satu peringkat dan ketika baru kita nak mintak pertolongan suami, itu yang timbul masalah.

Sama juga dengan urusan rumahtangga. Saya teringat kisah seorang teman semasa sama-sama berkursus satu ketika dulu. Kata teman saya itu, suaminya menyerahkan semua urusan rumahtangga dan anak-anak kepada beliau malahan apabila balik dari bekerja, stoking yang dipakai oleh suaminya, si isteri yang terpaksa ambil dan letakkan di dalam kasut kemudian letakkan di atas rak kasut. Suaminya juga hanya akan minum air dari cawan yang dihulur oleh isteri kepadanya.

Sememangnya isteri yang melakukan semua perkara sebegini adalah tergolong di dalam kumpulan isteri solehah, isteri mithali. Tetapi, untuk tergolong di dalam kumpulan tersebut, si isteri tak boleh mengeluh malah perlu redha dan melakukannya dengan senang hati. Berapa ramaikah yang dapat berbuat begitu?

Lantaran itu, wahai kaum isteri sekelian, jangan terlalu manjakan suami dan kepada gadis-gadis yang sedang asyik bercinta, jangan terlalu mudah mengikut segala kehendak pasangan anda sekarang. Selalulah pastikan kehendak kita yang dituruti supaya kita senang di kemudian hari.

Bukan saya menyarankan sikap ‘queen control’ tetapi jika kita biasakan pasangan kita terlalu mudah menerima dan kita pula sering memberi, tabiat ini akan kekal hingga kita mendirikan rumahtangga nanti. Masalahnya di belakang hari, kita sendiri yang akan hadapi. Gunakan segala kekuasaan yang Allah berikan kepada kita sebagai wanita. Ingat… tangan wanita mampu menggoncang dunia… terpulang kepada kita untuk merealisasikannya.

****Siaran Oktober 2004

Menyayangi Anak-anak

Beberapa hari lepas, saya menerima email daripada seseorang yang telah menceritakan tentang kisah silamnya sejak di zaman kanak-kanak hinggalah sekarang. Apa yang ingin saya kongsi bersama pembaca semua di sini ialah, bagaimana seorang anak merasakan dirinya sebagai orang luar lantaran sikap ahli keluarganya terutama ibunya sendiri.

Marliya (bukan nama sebenar) telah dianaktirikan oleh ibunya sendiri sejak kecil malahan ketika telah berumahtangga dan telah mempunyai beberapa orang anak, sikap ibunya masih sama dan tidak berubah kecuali ketika khidmat dan bantuannya diperlukan.

Segala yang dilakukan oleh Marliya serba tidak kena di mata ibunya walaupun Marliya telah cuba melakukan yang terbaik. Bukan setakat sering dipersalahkan malahan Marliya dikesampingkan daripada menerima pertolongan ahli keluarganya walaupun Marliya amat memerlukan dan bantuan yang diperlukan bukanlah terlalu besar untuk disempurnakan oleh keluarganya.

Yang membuatkan Marliya berkecil hati dan rasa kecewa ialah, si ibu melebihkan adik Marliya walaupun si adik sering mendatangkan masalah kepada keluarga terutama si ibu. Paling menyedihkan, apabila si adik memberikan masalah maka Marliya yang akan menjadi sasaran kemarahan. Hingga sekarang, Marliya sering tertanya-tanya kenapa dia diperlakukan sedemikian.

Saya sendiri tidak mampu untuk menjawab sepenuhnya, kenapa Marliya diperlakukan sedemikian. Kalau nak kata Marliya anak angkat, Marliya bagitau dia pernah lihat kad klinik ibu mengandung yang menyatakan dia dilahirkan oleh ibunya di awal 70-an dulu.

Apa yang dapat saya nyatakan ialah, sikap ibu Marliya sendiri yang tidak adil di dalam menyayangi anak-anak. Ibu Marliya lebih menyayangi adiknya, mungkin sebab adiknya hampir digugurkan seperti cadangan doktor, kerana masalah kesihatan ibunya semasa mengandungkan adiknya, tetapi ibunya bertahan, seperti cerita Marliya.

Namun, walau apa pun alasannya, kita sebagai seorang ibu yang melahirkan setiap anak-anak kita, hendaklah memberikan kasih sayang, pendidikan dan perhatian yang sama rata. Tak kira anak kita hampir meninggal dunia kerana sakit, tak kira anak kita terlalu cerdik berbanding anak-anak yang lain, walaupun anak kita tidak sempurna, pokoknya mereka adalah anak-anak kita, darah daging kita.

Kita yang bertanggungjawab melahirkan mereka ke dunia. Kenapa biarkan mereka menerima berbagai penderitaan dan penyeksaan daripada kita. Memang betul, kasih sayang tidak boleh diukur atau disukat malahan Rasulullah s.a.w sendiri mengakui sukar memberikan kasih sayang yang sama rata di dalam poligami. Persoalannya sekarang, cara kita menunjukkan bagaimana kita menyayangi anak-anak adalah penting.

Anak-anak yang kita lahirkan adalah ibarat kain yang putih bersih. Kita yang mencorakkan hidupnya menjadi merah atau biru atau berwarna warni. Mencorak pula bukan sekadar memerhati tetapi mendidik, menjaga pemakanannya, memberikan kasih sayang, perhatian dan pendidikan dunia dan akhirat yang cukup.

Menyayangi anak-anak bukan bermaksud menurut segala kehendak atau melarang segala kemahuan. Apa yang perlu dan patut, kita katakan ya, apa yang tidak, katakan tidak. Walau berapa pun anak-anak kita, ingatlah… mereka bukannya beban, mereka bukannya masalah tetapi anak-anak adalah amanah Allah kepada kita.
Marilah bersama kita menyayangi anak-anak kita, kesemuanya tanpa ada rasa pilih kasih walau mungkin, ada di antara pembaca yang turut merasai seperti apa yang Marliya rasai. Jika kita tahu keperitan menjadi mangsa pilih kasih, jangan biarkan anak-anak kita menerima nasib yang sama.

****Siaran Oktober 2004

Kata-kata dan niat adalah doa

Ingat lagi artikel saya di dalam siri kedua? Kisah si isteri berniat untuk bercerai dengan si suami sejurus selepas diakadnikahkan. Juga kisah seorang suami berusia hampir 70 tahun ingin menceraikan si isteri yang berumur 68 tahun, setelah hidup bersama lebih 50 tahun dan telah mempunyai anak-anak dan cucu-cucu yang ramai, hanya dengan alasan si isteri tidak pandai melayan kehendaknya.

Kedua-dua fenomena ini saya ungkitkan kembali kerana ianya mempunyai satu sebab dan alasan yang sama, iaitu kata-kata dan niat. Kedua-duanya adalah doa yang memungkinkan wujudnya satu realiti mengenai apa yang dihajati walau secara tidak disedari.

Kisah pertama, satu kisah nyata, Kak Ani (bukan nama sebenar) berjumpa dengan saya selepas hampir 17 tahun perkahwinannya, setelah dikurniakan 3 orang cahayamata, semuanya gadis-gadis jelita berusia antara 13 hingga 16 tahun. Kata Kak Ani, sejak selepas diakadnikahkan, dia berhasrat untuk bercerai dengan suaminya satu hari nanti. Tiada alasan cuma Kak Ani tidak bersedia mengahwini suaminya, pilihan keluarga dan sebagai anak, Kak Ani terpaksa menerima.

Sejak bergelar isteri, Kak Ani menjalankan segala kewajipan yang patut dilakukan oleh seorang isteri, daripada keperluan zahir hingga keperluan batin walau menurut Kak Ani, dia pernah membayangkan orang lain ketika bersama suaminya… Na’uzubillah…

Sejak lebih dua tahun bergelar isteri juga, setelah dikurniakan seorang cahayamata, Kak Ani mendoakan agar suaminya dilanggar lori setiap kali suaminya keluar dari rumah. Sebabnya, sikap suaminya sendiri. Tidak menunaikan kewajipan sebagai seorang suami seperti yang sepatutnya. Suaminya mampu, berpendapatan kategori berada tetapi silap berbelanja. Saban hari, menghabiskan masa dan duit dengan kawan-kawan persis orang bujang. Keperluan rumahtangga diletakkan sepenuhnya ke bahu isteri yang sanggup mengambil upah mencuci baju untuk sesuap nasi. Makan pakai dan sakit anak isteri tidak dipeduli.

Kak Ani pernah bercerai sekali dengan suami tetapi setelah kehilangan Kak Ani, si suami berubah sikap 100%, bak taubat nasuha, tak kan ulangi perkara lama. Setelah hampir 2 tahun menjanda, Kak Ani sanggup memberi peluang kedua kepada suami. Namun, selepas seminggu sahaja, segala perubahannya sebelum ini bagaikan mimpi semata. Sebab itulah, kali ini, Kak Ani nekad untuk bercerai. Tetapi, suami enggan menceraikan dan menurut peruntukan seksyen 47, Undang-undang keluarga Islam Wilayah Persekutuan, sekiranya satu pihak enggan untuk bercerai maka kes akan dirujuk ke unit kaunseling semula. Menunggu 6 bulan untuk masing-masing berfikir semula.

Sepanjang tempoh menunggi inilah, saya nasihatkan pada Kak Ani, berdoalah… kebetulan tika itu bulan Ramadan, mohonlah agar Allah ubah sikap suami Akak supaya menjadi suami yang bertanggungjawab dan berdoalah juga agar Allah ubah pendirian Akak agar menyayangi suami dan keluarga dan bersedia untuk sama-sama mengharungi hidup berumahtangga.

Allah Maha Kuasa, 3 bulan selepas itu, Kak Ani telefon saya meminta agar kesnya ditarik balik sebab hari ini, pertama kali di dalam tempoh perkahwinan, dia rasa sayang sangat pada suaminya dan ketika menghantar suaminya pergi kerja, dia berdoa agar Allah selamatkan perjalanan suaminya, walau suami baru berubah sikit.

Inilah keperluan dan kepentingan doa… Allah sendiri berfirman, “Mohonlah padaKu nescaya Aku tunaikan..” Sama juga doa kita kepada pengantin baru, tinggalkan ungkapan lama, sebutkanlah, “Semoga bahagia hingga ke akhir hayat”, InsyaAllah, takkan ada lagi kisah ibu tua diceraikan suami kerana di usia emas inilah, masing-masing akan lebih memerlukan.

****Siaran Oktober 2004

08 Mei 2008

Konflik Berterusan siri 4

DEMI ANAK-ANAK

Anak-anak adalah permata hati, cahaya yang menerangi kehidupan di dalam sebuah perkahwinan. Setiap pasangan yang berkahwin mengharapkan kehadiran anak-anak bagi memeriahkan alam rumahtangga.

Kehadiran anak juga adalah sebagai pengikat kasih, penambat sayang malah sebagai penyemarak cinta antara suami dan isteri. Namun, ada juga kehidupan rumahtangga yang goyah dan rebah dek kehadiran si kecil kerana suami masih belum bersedia menjadi seorang bapa, walaupun ianya satu kes antara seribu.

Bagi seorang wanita, anak-anak juga adalah sebagai senjata untuk menambat hati suami. Malah, secara semulajadi, sewajarnya seorang suami akan lebih menghargai si isteri kerana telah menggadai jiwa melahirkan zuriat untuknya.

Tetapi, takdir penentu segala, walau anak sejumlah satu pasukan bola sepak, rumahtangga masih tetap tidak dapat lari daripada ujian. Walau isteri telah berulang kali menyabung nyawa untuk memberikan hadiah paling istimewa kepada suami, ada ketikanya suami seolah melupakan segalanya terutama apabila di hati sudah ada yang lebih istimewa.

Isteri telah sedia memahami namun memaksa diri untuk bertahan kerana anak-anak. Tidak sanggup untuk membesarkan anak seorang diri. Tidak sanggup melihat anak tidak berbapa. Tidak sanggup melihat anak menjalani kehidupan yang tidak sama dengan anak orang lain.

Persoalannya, kenapa perlu timbul soal membesarkan anak seorang diri? Di dalam Islam malah hukum perkahwinan ugama lain juga, apabila terputus satu ikatan perkahwinan, yang berpisah hanyalah suami dan isteri. Anak-anak tetap mempunyai hubungan dan pertalian yang kukuh dengan si ibu dan si bapa. Sebab itulah, sekiranya selepas perkahwinan dibubarkan, akan ada satu pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga anak-anak tersebut. Namun, satu pihak lagi akan tetap dipertanggungjawabkan untuk sama-sama menjaga kebajikan anak-anak.

Sebagai contoh, hak jagaan anak-anak diberikan kepada si isteri tetapi si suami sebagai bapa kepada anak-anak, adalah bertanggungjawab untuk memberikan nafkah kepada anak-anak merangkumi segala keperluan hinggalah anak-anak mampu berdikari. Bukan sekadar memberikan belanja tetapi turut mengambil tahu perkembangan anak-anak. Lantaran itulah, si bapa diberikan hak lawatan, bukan sekadar melawat atau mejenguk tetapi untuk mencurahkan perhatian dan kasih sayang.

Jelas sekali, alasan bersendirian membesarkan anak-anak atau anak-anak membesar tanpa kehadiran bapa di sisi tidak akan berlaku KECUALI sikap si ibu atau si bapa sendiri yang mewujudkan fenomena sedemikian.

Satu perkara yang perlu diberikan perhatian ialah perkembangan minda dan jiwa anak-anak dipengaruhi oleh situasi sekeliling. Menurut kajian, lelaki yang bersikap memukul atau mendera isteri, hampir 90% membesar di dalam suasana keluarga yang bapanya bersikap sedemikian. Di dalam satu kes, klien saya sering dipukul oleh suami dan perbuatan ini dilihat oleh si anak yang berusia 3 tahun. Si anak bertindak pula memukul si adik yang berusia 2 tahun. Apabila ditanyakan kenapa abang memukul adik? Lancar dia menjawab, ayah selalu pukul mama tak per pun…

Lantas, fikirkanlah… mahukah kita mempertahankan kasih tanpa balasan dan membiarkan anak-anak melihat kepincangan yang berlaku di dalam rumahtangga ibu bapanya, seterusnya meneladani segalanya untuk dipraktikkan di belakang hari sedangkan kita tahu, kisah kita sewajarnya disempadani. Ingatlah… anak-anak itu bersih jiwanya, kitalah yang bertanggungjawab mencorakkannya.

***Siaran September 2004

07 Mei 2008

Konflik Berterusan siri 3

KENAPA PERLU BERUNDUR?

Saya pasti ramai wanita terutamanya yang menghadapi masalah di dalam rumahtangga dan masih cuba bertahan, tidak bersetuju malah mungkin ada yang marah-marah setelah membaca tulisan saya di dalam siri-siri sebelum ini.

Alah…tak kena batang hidung dia, senang le cakap… mungkin itu ayat yang difikirkan paling mudah dan paling sesuai untuk saya.

Tak kisah lah, apapun pandangan orang lain, itu pandangan saya tetapi pandangan saya bukan pandangan kosong. Pandangan saya berasaskan pengalaman dan kajian. Hampir 90% kes yang menerima pandangan sebegini, akhirnya berjaya keluar dari kepompong derita yang mereka ciptakan sendiri.

Kenapa perlu berundur? Saya akan jelaskan alasan-alasan kenapa saya berpendapat sedemikian.

Pertamanya, kenapa kita hidup? Untuk menikmati kebahagiaan dan keseronokan, bukan? Habis tu, kenapa perlu biarkan diri menderita? Tidak ada seorang pun yang menyuruh atau memaksa kita untuk menderita. Kalau derita yang kita pilih, maka deritalah jadinya. Kalau bahagia yang kita inginkan, ucapkanlah selamat tinggal kepada penderitaan.

Keduanya, fikirkan, berbaloikah kita menderita untuk insan yang langsung tak menghargai kasih sayang dan pengorbanan kita? Kita serahkan kasih dan sayang, orang lain juga yang dia pandang. Kita berkorban harta, sanggup berkongsi malah menyerahkan segalanya, dia buat tak tau saja. Kita bersedih, menangis siang malam sampai tak ada selera nak makan, dia senang lenang dengan awek dia, makan kenyang sampai perut macam mengandung 3 bulan.
Fikirkan, berbaloikah? Siapa yang ambil kisah? Tidakkah semua itu sia-sia belaka? Habis, masih mahu memilih derita?

Wahai wanita-wanita, saudaraku semuanya. Memang sukar melupakan insan tersayang sementelah pula, segalanya telah diharungi bersama di dalam tempoh masa yang lama, 5 tahun, 10 tahun malah ada wanita yang diuji di dalam usia perkahwinan menjangkau 20 tahun atau lebih. Segalanya ditentukan olehNya. Walaupun begitu, kita disuruh berikhtiar. Bukan menyerah, pasrah segala. Segalanya di dalam diri kita. jika kita mahu, kita akan dapat melakukannya.

Saya mencadangkan pengunduran, bukan bererti saya menggalakkan perpisahan atau perceraian. Saya tahu institusi keluarga adalah sebuah menara yang paling mulia berbanding mana-mana jua menara yang ada. Meruntuhkan rumahtangga bererti melakukan dosa tetapi membiarkan diri terus menderita juga bererti kita kufur nikmat hidup yang Allah kurniakan, juga melakukan dosa.

Pengunduran yang saya maksudkan juga bukan bererti pengunduran selama-lamanya. Percayalah, jika diizinkan Allah, pengunduran kita akan membuatkan kita kembali memiliki kebahagiaan yang kita ingin pertahankan. Bagaimana? Ya, kerana kebanyakan lelaki hanya tahu menghargai apabila kita tiada lagi di sisi. Apabila kita telah pergi, barulah mereka sedar betapa bernilainya diri kita ini. Betapa mereka tidak boleh hidup tanpa kita, barulah kita dianggap permata yang berharga. Terus bertaubat, takkan ulangi perangai lama.

Tetapi, kita mesti tabah dan jangan harapkan untuk kembali bersama kerana kita tak tahu jodoh kita sampai ke mana? Jodoh itu bermaksud keserasian. Kalau sudah tiada keserasian, maka tiada lagilah pertemuan.

Demi anak-anak… inilah alasan yang paling top dalam carta wanita yang tidak ingin berpisah, masih ingin bertahan walau dalam hati memang dah tak tahan lagi dah. Percaya tak, kalau saya katakan, sebenarnya pengunduran kita mendatangkan lebih banyak kebaikan berbanding kita bertahan.

Bagaimana? Saya akan bincangkan dalam siri yang akan datang.

***Siaran September 2004

06 Mei 2008

Konflik Berterusan siri 2

KATAKAN TIDAK KEPADA JANDA

Janda? Nauzubillah…mintak dijauhkan Tuhan…simpang malaikat 44…baik le andartu dari janda…Inilah antara beberapa ayat yang lazim diucapkan oleh wanita kita apabila mendengar perkataan janda.

Malah, seorang klien saya pernah menceritakan, dia tak berani nak ucapkan perkataan cerai apatah lagi perkataan janda. Kata klien saya itu, kalau dia terjumpa artikel berkaitan masalah rumahtangga, perceraian atau kehidupan selepas bergelar janda, klien saya akan segera berpaling daripada bahan bacaan tersebut. Bila ditanya, kenapa? Katanya, dia tak mau ambil tahu semua tu, takut menimpa diri di belakang hari. Namun, takdir mengatasi segala, selepas setahun berumahtangga, akhirnya dia berjumpa saya untuk meminta nasihat dan pertolongan.

Bila difikirkan, kenapa agaknya semua ini terjadi? Memang tidak dapat dinafikan, setiap pasangan** yang dinikahkan mengharapkan akan bahagia hingga akhir hayat dan bukannya hingga ke anak cucu sahaja seperti kebiasaan kata-kata kita kepada pangantin baru, kalau ke anak cucu sahaja, nanti dah tua, berpisah pula…malah saya pernah kendalikan kes melibatkan lelaki berumur hampir 70 tahun, dah bertongkat pun, nak bercerai dengan isterinya yang berumur 68 tahun, alasannya, isterinya tak pandai nak layan kehendaknya. Kedua-duanya datang dengan ditemani anak-anak dan cucu…itu lah, kata-kata tu kan doa.

Allah dah janjikan, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik sementara perempuan yang jahat, untuk lelaki yang jahat. Sebab itulah, kebiasaannya kalau kita selidiki, rumahtangga akan ada masalah kalau salah seorang, tak kira samada suami atau isteri, melalaikan tanggungjawab. Melalaikan tanggungjawab bererti melakukan kesalahan, melakukan dosa. Melakukan dosa bererti seorang yang tidak baik. Bila perlaku percanggahan identiti sebegini, maka berlakulah kepincangan.

Setiap kepincangan perlu diperbetulkan kerana kita semua adalah insan. Insan yang memang terkenal sebagai makhluk yang tidak sempurna, lantas setiap daripada kita dijadikan ada pasangannya supaya sama-sama saling melengkapi. Tetapi, sekiranya hanya satu pihak sahaja yang sering menampal sedangkan satu pihak lagi asyik membuat lubang, sudah pasti kapal akan tetap hanyut dan tenggelam.

Kalau kita dah tahu kapal dah nak tenggelam, apakah kita masih ingin tinggal di dalam kapal tersebut? Inilah yang berlaku di dalam kebanyakan kes sekarang ni. Ramai wanita kita di luar sana masih berharap kapal akan dapat ditampal, akan dapat meneruskan pelayaran bersama walau halatuju nyata berbeza. Ramai wanita kita sanggup berpaut pada dinding kapal walau belum pasti selamat atau tidak. Alasannya, berundur meninggalkan kapal akan menyebabkan mereka dipandang serong oleh khalayak.

Kononnya mereka adalah isteri yang tidak pandai menjaga suami. Kononnya wanita tu ada yang tak kena sebab tu diceraikan oleh suami. Kononnya mereka ini akan cuba menambat hati suami orang lain. Kalau dah janda tu, janda le jugak… inilah antara pandangan masyarakat kepada wanita bergelar janda hinggakan ada yang sanggup mengambil keputusan untuk terus menderita di dalam rumahtangga asalkan tidak memegang status janda.

Wahai wanita, kita tidak boleh menutup mulut orang. Kalau buat baik pun, orang akan cakap kita nak menunjuk-nunjuk, buat jahat, apatah lagi. Lantaran itu, pedulikan kata-kata orang, biar le kita bergelar janda asalkan hidup kita bahagia. Biar le bergelar janda, kita tak pernah mintak makan dengan orang. Kalau kita bertahan tapi menderita, tiada keceriaan juga. Bila tiada keceriaan, kompang akan berbunyi juga walau entah apa-apa entah lagunya. Fikirkanlah, realistikkah kita menderita hanya untuk mengelakkan kata-kata orang yang memang nyata tak mungkin dapat dielakkan?

**(kecuali seorang, yang pernah saya temui, berhasrat untuk bercerai dengan suaminya sejurus selepas diakadnikahkan, saya akan ceritakan satu hari nanti)

*** Siaran September 2004

Konflik Berterusan siri 1

BERTAHAN ATAU BERUNDUR?

Sepanjang bulan Jun ini, saya mengendalikan lima kes yang melibatkan fenomena di mana isteri tetap ingin mempertahankan rumahtangganya walaupun konflik rumahtangga telah melalui tempoh yang lama, masih berterusan malah semakin teruk. Apabila ditanyakan kepada wanita-wanita ini, kenapa masih ingin bertahan sedangkan mereka akui mereka sudah tidak tahan lagi dengan sikap dan kerenah si suami? Alasannya yang terlalu mudah tapi goyah, mereka tidak mahu mengaku kalah kepada orang ketiga.

Persoalannya, wajarkah seorang wanita yang juga seorang isteri dan seorang ibu menggadaikan kebahagiaan diri sendiri dan kebahagiaan orang yang menyayangi dirinya, semata-mata tidak mahu mengaku kalah? Semata-mata kerana ego yang terlalu tinggi? Berapa lama wanita ini akan bertahan? Kemenangan apakah yang ingin diperolehi?

Kes A, masalah rumahtangga bermula sejak awal perkahwinan. Si suami mempunyai wanita lain yang merupakan buah hatinya sebelum berkahwin. Selepas berkahwin pun, mereka masih berhubungan malah perhubungan ini mengganggu rumahtangga si A. A telah bertahan selama hampir 7 tahun dan mereka telah mempunyai tiga orang anak. Suami tetap tidak berubah malah menjadi makin teruk. Kewajipan terhadap isteri dan anak-anak diabaikan. Sejak awal perkahwinan hingga anak sulung berusia 5 tahun, segala perbelanjaan rumahtangga ditanggung oleh isteri.

Kes B, masalah rumahtangga bermula ketika B bersalin anak yang pertama. Ketika isteri di dalam tempoh berpantang di kampung, si suami menjalinkan hubungan dengan wanita lain malah suami telah pun mengakui pernah meniduri perempuan tersebut. Sekarang, si anak sudah pun berumur 3 tahun tetapi si suami masih menjalinkan hubungan dengan wanita tersebut. Kewajipan terhadap isteri dan anak diabaikan. Perbelanjaan rumahtangga si isteri yang tanggung malahan si isteri juga menanggung si suami termasuklah perbelanjaan si suami dengan teman wanitanya kerana si suami tidak mempunyai pendapatan tetap. Si isteri betul-betul tertekan tetapi enggan berundur kerana tidak mahu melepaskan suami ke tangan teman wanita si suami.

Pelik kan? Apa semua ni? Kenapa di dalam zaman yang serba maju dan canggih ini, masih ada wanita, yang berpendidikan pula tu, masih berpendirian sebegini? Tidak mahu berundur kerana tidak mahu mengaku kalah. Persoalannya, adakah dengan bertahan walau tidak rela dengan kepincangan yang berlaku di dalam rumahtangga, anda telah menang? Adakah dengan membiarkan hati anda remuk redam, air mata sering menitis bagai hujan lebat di tengahari, anda telah menang?

Wahai wanita, kita adalah insan istimewa yang Allah ciptakan, kehadiran kita di sisi seorang lelaki bukan untuk menanggung derita. Kehadiran kita di sisi seorang lelaki bukan untuk menjadi hamba. Kehadiran kita di sisi seorang lelaki adalah sebagai teman pengubat sepi, sebagai teman untuk dicintai.

Kenapa kita perlu menanggung derita hanya kerana ingin memenangi pertaruhan yang tidak menjanjikan sebarang hadiah istimewa? Realitinya, mengundurkan diri adalah satu kemenangan yang amat besar bagi wanita yang mengalami situasi seperti yang diceritakan di awal tadi. Malahan, sebagai seorang wanita Muslim, kita dilarang bersubahat dengan perlakuan suami yang melanggar hukum syarak ini. Ya, memang melanggar hukum syarak sebab suami mengabaikan kewajipan rumahtangga, satu dosa. Suami menjalinkan hubungan dengan wanita lain, satu dosa.

Fikirkanlah… berbaloikah kita bertahan, menderita, sakit hati, diri merana, terpaksa pula menanggung dosa yang tidak kita lakukan, sedangkan kemenangan yang konon kita inginkan, tidak pasti akan diperolehi atau tidak?

***Siaran September 2004