20 November 2010

Maksud terima pasangan seadanya

Seorang wanita muda, baru memegang status sebagai ibu tunggal disebabkan si suami mengikut emosi hingga melafazkan talak tiga, mengadakan temujanji perbualan telefon dengan saya. Saya tak nak bincangkan tentang kes yang diadukan cuma yang ingin saya kongsi bersama pembaca semua kali ini ialah tentang konsep atau maksud sebenar satu terma yang menjadi antara syarat mewujudkan kebahagiaan di dalam rumahtangga atau perkahwinan iaitu ‘menerima pasangan seadanya’.

Di dalam perbualan telefon tersebut, wanita muda yang masih bersedih itu meluahkan rasa bersalah, kemungkinan punca suaminya melafazkan talak tiga tersebut ialah kerana kegagalan dirinya menerima suaminya seadanya. Menurut wanita muda ini, suaminya yang seusia dengannya suka sangat menghabiskan masa bersama rakan-rakan hingga sanggup mengenepikan dirinya dan anak kecilnya. Suaminya juga susah nak diajak berbincang dan susah nak dinasihati. Tersilap cakap, suaminya akan merajuk. Menurut wanita tersebut, dia rasa bersalah kerana gagal menerima perwatakan suaminya itu yang merupakan anak lelaki bongsu dan selalu dimanjakan.

Saya yakin, anda faham dengan tujuan saya membincangkan topik kali ini. Ya! Jelas sekali pemahaman wanita muda tadi tentang menerima pasangan seadanya adalah salah dan silap. Maksud sebenar menerima pasangan seadanya ialah menerima kelemahan dan kelebihan yang ada pada diri pasangan anda dalam erti kata pasangan anda itu mampu dan berusaha untuk menunaikan tanggungjawab dan menjalankan peranan sebagai suami atau isteri.

Sebagai contoh, jika seorang gadis mengahwini seorang lelaki yang memang telah diketahui mempunyai pendapatan yang jauh lebih rendah berbanding dirinya maka terma menerima pasangan anda seadanya dalam kes ini ialah si isteri tidak boleh memaksa si suami mengeluarkan belanja yang melebihi kemampuan si suami bagi memenuhi keperluan nafkah zahirnya. Tetapi si isteri masih berhak menuntut keperluan yang munasabah dengan keperluan harian dan selari dengan kemampuan si suami.

Jika si isteri telah terbiasa ketika sebelum berkahwin, menikmati hidangan KFC untuk setiap kali makan tengahari sebaliknya si suami tidak mampu menyediakannya, maka si isteri tidak boleh memaksa si suami menyediakannya. Kenapa? Kerana si isteri telah bersedia dan sanggup menerima si suami yang memang telah diketahui tidak mampu menyediakan hidangan KFC untuk setiap kali waktu makan tengahari itu. Inilah contoh kes menerima pasangan seadanya. Jika si isteri memaksa juga si suami menunaikan kehendaknya, bermaksud si isteri tidak menerima pasangan seadanya. Dah kalau tahu lelaki tu tak mampu penuhi selera mewah anda, kenapa tetap memilih dan menerima dirinya? Kalau dah terima, terimalah seadanya.

Samalah juga dengan kes menerima pasangan yang bertubuh besar. Jika semasa bercinta dan seterusnya berkahwin, anda memang menerima fizikalnya yang bersaiz XL atau XXL, anda tidak wajar menyuruh pasangan anda menukar saiz tersebut kepada L atau M kecuali pasangan anda sendiri yang berhasrat untuk membuat perubahan penampilan. Anda hanya berhak bersuara jika semasa berkahwin saiznya L dan selepas berkahwin, dah jadi XL. Jika anda adalah suami, jangan bersuara sahaja sebaliknya anda perlu memberikan perbelanjaan yang patut dan wajar bagi membantu isteri anda kembali ke saiz asal. Kenapa? Selalunya wanita akan bertukar saiz selepas bersalin bermaksud isteri anda menerima kesan yang puncanya juga adalah daripada anda. Lantaran itulah, anda perlu membantu isteri anda kembali ke saiz asal, jika itu yang anda inginkan. Bukannya menempelak, menyindir atau mencaci maki apatah lagi mencari orang lain semata-mata tidak dapat menerima pertukaran saiz tersebut.

Paling penting, menerima pasangan anda seadanya mestilah dalam erti kata pasangan anda itu masih mampu menunaikan tanggungjawab dan menjalankan peranannya yang perlu dan patut di dalam sesebuah perkahwinan dan rumahtangga. Terima kelebihan dan terima kekurangan. Namun, menerima kelemahan pasangan anda bukanlah bererti hingga memaksa anda mengambil alih peranan dan tanggungjawab yang wajib dilakukan oleh pasangan anda itu. Terdapat perbezaan yang ketara antara suami yang bekerja dan berpendapatan rendah berbanding suami yang enggan bekerja. Suami yang berpendapatan rendah berusaha menjalankan tanggungjawab sebaliknya suami yang malas bekerja, sudah nyata dan pasti dia dengan rela dan selambanya enggan menjalankan tanggungjawab. Sama juga dengan isteri yang enggan dan malas memasak (sinonim sebagai tugas isteri), jauh bezanya dengan isteri yang tidak pandai memasak tetapi tetap berusaha memasak untuk suami.

Lantas, jangan tersalah menilai tentang terma menerima pasangan seadanya. Hakikatnya perkahwinan adalah perkongsian dua jiwa. Kelebihan adalah bonus untuk dikongsi bersama pasangan. Kelemahan pula bukan untuk dijaja atau diperlekehkan tetapi untuk sama-sama diatasi dan diperbaiki. Malah kelebihan satu pihak adalah untuk menampung kelemahan pihak yang satu lagi. Jangan asyik menuding jari menyalahkan diri sendiri atau menyalahkan pasangan sebaliknya berbincang dan cari jalan penyelesaian. InsyaAllah, akan wujud kebahagiaan.

****Siaran Februari 2009
CEPAT! Sertai Kelab Eksekutif Bina Bahagia , Bengkel Menggilap Permata dan Santai Ilmiah.

07 November 2010

Egois vs Emosi

Semalam (tika artikel ini disediakan), baru saja memulakan pelayaran melakukan tugasan di pejabat, telefon bimbit saya berdering. Saya dah kenal siapa yang memanggil, sahabat baik saya. Ingatkan apalah yang penting nak diperkatakan. Rupanya sahabat baik saya itu meluahkan emosi marahnya setelah membaca akhbar tentang sikap seorang suami yang membuang bayinya yang berusia enam bulan ke dalam tong sampah kerana dia percaya, anak itu bukan anaknya sebaliknya anak hasil hubungan isterinya dengan lelaki lain. Saya yang dah dengar berita sama menerusi satu stesen radio hari sebelumnya tika dalam perjalanan pulang dari kerja, hanya tergelak. Saya faham perasaan sahabat saya itu sebab saya pun marah.

Awal pagi tadi pula, bekas rakan sekerja mengirimkan mesej via ym, link akhbar online yang memaparkan berita yang sama. Sama seperti sahabat saya semalam, bekas rakan sekerja saya ini juga marah. Yang buatkan saya tergelak, soalan bekas rakan sekerja saya tu: “Dah kalau tau isteri kau tidur dengan lelaki lain, naper tak buang jugak bini kau tu ke dalam tong sampah? Yang pergi buang baby tu apasal?” Saya hanya dapat membalas: “kalau buang isteri, dah tak boleh la nak main-main lagi… “ bunyi seakan bergurau tetapi penuh makna tersirat.

Saya yakin, bukan saya dan rakan-rakan saya saja yang terkesan emosi dek berita tentang suami dan ayah ‘gila’ tersebut. Rata-ratanya menunjukkan reaksi marah dan kecewa. Dah kalau marahkan isteri, yang kau pergi buang bayi yang tak berdosa, yang tak tau apa-apa tu ke dalam tong sampah, apa hal? Hmmm… selalunya wanita yang dikaitkan dengan terlalu ikutkan emosi. Tapi dalam kes ni??? Meminjam kata Nabil: Lu fikirlah sendiri…

Saya bukan nak bincangkan tentang perbezaan emosi antara jantina tetapi fokus saya ialah tentang sikap individu yang terlalu pentingkan keegoan dan biarkan ego tersebut mengawal emosi, diri dan tindakannya. Ada bezanya antara emosi dan egois. Seperti kes yang saya utarakan tadi, bayi tu dah pun enam bulan. Saya yakin, si suami baru saja mengetahui berita kecurangan isteri malah tak mustahil, sekadar syak dan tak benar pun sebenarnya. Takkanlah selama tempoh enam bulan kelahiran bayi tersebut, lelaki tadi tak pernah rasa sayang dan kasih kepada bayi. Ya lah, lelaki… mana nak peduli sangat! Kalau itulah alasannya pun, saya yakin, lelaki tadi pernah memegang dan mengucup bayi tersebut walaupun sekali. Dah pernah ada rasa sayang dan kasih.

Kenapa bila mendapat tahu tentang kecurangan isteri atau syak kecurangan isteri, bayi yang tak membuat apa-apa kesalahan kepada kau tu yang kau humban dalam tong sampah? Seperti kata rakan saya tadi, buang je lah bini kau! Seperti jawapan saya, tindakan lelaki tadi lebih kepada menjaga egonya sebagai suami, bukan menjaga emosi atau harga diri.

Ya lah! Kalau menjaga emosi atau harga diri, sudah pasti lelaki tadi memilih untuk menjaga bayi yang tidak berdosa daripada terus menyimpan isteri yang tak reti nak jaga air muka sendiri. Kalau menjaga harga diri juga, lelaki itu takkan bertindak bodoh di depan orang awam. Buatlah diam-diam, tak der sapa yang perasan (tapi Allah tetap tahu). Sebaliknya, dek kerana menjaga ego lelaki yang tercalar, lelaki tadi bertindak mengikut hasutan syaitan, sanggup membuang bayi yang masih bernyawa tanpa sedikit pun belas kasihan.

“Kau tau apa, kau tu perempuan… sakit hati ooo dapat tau isteri curang!” Mungkin ada lelaki yang berpandangan sebegini. Habis tu, kami yang perempuan ni, tak sakit hati kalau tau suami curang, tau suami simpan perempuan, tau suami tubuh cawangan? Tapi tak der lagi laporan kes isteri mengamuk-ngamuk marah hingga sanggup buang anak pesaingnya ke dalam tong sampah kan!

Saya pernah membantu seorang wanita mengendalikan emosinya. Dia ditakdirkan terpaksa berkongsi kasih setelah suaminya membuntingkan seorang gadis. Mulanya si suami enggan bertanggungjawab hinggalah si gadis bertemu dan berterus terang dengan si isteri. Wanita yang sinonim dengan istilah mengikut emosi ini, meminta si suami bertanggungjawab, sanggup menerima si gadis yang hamil sebagai madunya malah sanggup menjaga si gadis di dalam pantang dek kerana si gadis telah dibuang keluarga. Anak yang dilahirkan si gadis tadi juga dijaga bagai membelai anak sendiri. Ketika bertemu saya, wanita tadi mohon panduan untuk terus kuat dan tabah kerana keluarganya sendiri menempelak tindakannya.

Nah! Satu bukti wanita yang dikatakan mengikut emosi tetapi masih mampu bertindak adil disebabkan tidak mengikut nafsu egois. Sebaliknya lelaki, yang sinonim dengan keegoan tersendiri, selalu bertindak menentang emosi dan kata hati sendiri. Ya!! Saya akui bukan semua lelaki terlalu berpegang kepada ego sendiri tetapi kebanyakan lelaki, saya ulangi: kebanyakan lelaki, seperti yang saya katakan tadi, selalu bertindak mengikut ego dan menentang kata hati malah emosi yang juga ada di dalam diri. Bukan saja dalam kes kecurangan isteri malah dalam banyak kes lain termasuk enggan mengakui kesilapan diri, enggan mendengar nasihat baik si isteri malah macam-macam lagi.

“Aku suami, aku ketua famili, tak perlu nak tegur dan ajar aku itu ini.” Alahaiii!!! Kendurkanlah sedikit ego anda tu sebabnya ego anda itu boleh memakan diri, boleh membuatkan anda hilang orang yang anda sayangi. Bimbang, anda bukan sekadar menggigit jari tetapi anda dah tak mampu nak kenal diri sendiri, nauzubillah!!

****Siaran Februari 2009