30 Disember 2009

Membina kepercayaan yang telah hilang

Ada seorang budak gembala kambing. Budak ini selalu membawa kambing-kambingnya meragut rumput di hujung kampung. Satu hari, budak gembala ini menjerit memanggil orang kampung, katanya harimau memakan seekor kambingnya. Bila orang kampung sampai, budak gembala ketawa berdekah-dekah, seronok kerana berjaya memperdayakan orang kampung. Esoknya sekali lagi budak gembala mengulagi kenakalannya. Orang kampung tergesa-gesa pergi dan sekali lagi juga, mereka diketawakan. Hari ketiga, memang betul harimau cuba menangkap kambing budak gembala. Dia menjerit meminta tolong malangnya tiada seorang pun penduduk kampung yang datang menolong dan akhirnya seekor kambingnya menjadi habuan si harimau.

Saya yakin, cerita di atas telah biasa didengar oleh pembaca semua, walau mungkin ayat dan penceritaannya berbeza namun moralnya tetap satu iaitu jangan sampai orang hilang kepercayaan kepada anda. Kenapa? Semua orang tahu, bila kepercayaan telah hilang, memang sukar untuk dipulihkan kembali. Inilah kemelut yang biasa dialami oleh para isteri malah oleh para suami juga yang tidak tahu, apakah boleh diletakkan kembali rasa percaya kepada pasangan yang telah melukakan hati? Pasangan yang telah menipu? Pasangan yang curang dan pelbagai perkara negatif lain lagi?

Seorang isteri pernah mengadu dengan saya, setiap kali memandang wajah suami, dia akan terbayang air muka suami yang bersahaja ketika menceritakan tentang hubungan si suami dengan bekas teman wanitanya. Paling perit apabila bersama suami di ranjang, si isteri akan terbayang perlakuan suami yang mengakui pernah beberapa kali meniduri bekas teman wanitanya itu. Allah sahaja yang mengetahui betapa siksanya emosi dan mindanya tika itu. Walaupun si suami bersumpah telah insaf dan berjanji akan meninggalkan segala tabiat buruk sebelum itu dan akan berusaha menjadi suami yang terbaik untuk si isteri namun bagi isteri, senang mendengar janji tetapi nak terima dan percaya… payahnya!!!!

Saya faham, memang sukar mempercayai sesiapa saja yang telah diketahui pernah menipu kita sebelumnya. Terus terang, saya sendiri juga sukar percaya namun sebagai manusia, kita sewajarnya MEMBERIKAN PELUANG kepada sesiapa sahaja apatah lagi kepada pasangan sendiri. Di dalam agama kita sendiri, Islam mengajar kita untuk memberi peluang kepada pasangan hidup kita. Semua maklum, cerai terbahagi dua iaitu cerai rajei dan cerai bain. Cerai rajei ialah cerai yang boleh dirujuk kembali tanpa akad baru di dalam tempoh eddah yang tertentu. Terdapat dua peluang untuk rujuk kembali sekiranya berlakunya perceraian rajei. Jika cerai bain pula, tidak boleh dirujuk sebaliknya perlu nikah semula kecuali bain kubra. Ringkasnya Islam mengajar umatnya untuk sentiasa memberi peluang kepada pasangan masing-masing demi keharmonian rumahtangga.

Lumrah hidup, setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelemahan serta tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan lantas BERIKANLAH KEMAAFAN kepadanya. Anda dan pasangan anda adalah insan biasa, sama-sama mempunyai kelebihan dan kekurangan. Jika Yang Maha Kuasa boleh menerima taubat hamba-Nya, siapalah kita untuk mendabik dada enggan memaafkan insan lain. Berikan kemaafan yang lahir daripada hati, bukan sekadar angguk atau pengakuan lisan. Anda perlu ikhlas ketika meluahkan “saya maafkan!!” atau apa sahaja ayat yang anda gunakan dengan tujuan memaafkan tersebut. Maafkanlah walau terlalu sukar untuk anda melupakan segala luka atau derita yang diberikannya kepada anda. Memaafkan adalah amalan yang amat mulia.

Rasulullah SAW, seorang yang maksum dan dijanjikan dengan syurga sanggup memaafkan nenek tua yang sering memaki hamun baginda dengan pelbagai kata nista malah si nenek sanggup membaling najis kepada baginda ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat. Kita sebagai umat baginda, sewajarnya lebih bersifat memaafkan kerana memberi kemaafan adalah dendam yang terindah, itu antara lirik lagu popular penyanyi Aishah.

Apabila anda bersedia dan ikhlas memaafkan kesalahan orang lain ataupun pasangan anda sendiri, tanpa perlu dipaksa anda akan dapat menerima pasangan anda kembali. Menerimanya seperti biasa. Seperti tidak pernah wujud sengketa sebelumnya, insyaAllah. Saya akui, terlalu banyak masa yang perlu untuk mewujudkan keadaan tersebut, keadaan seperti tidak pernah berlaku apa-apa masalah namun, percayalah…. anda akan mampu menerimanya jika anda bersedia dan sanggup memberi peluang. Dalam masa yang sama, berdoa agar anda diberikan kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan hidup bersama pasangan anda. Mohon agar pasangan anda berubah menjadi yang lebih baik, tidak lagi terlibat di dalam insiden-insiden yang boleh melukakan hati anda semula. Mohon juga agar anda mampu membiarkan pengalaman perit yang lalu berlalu begitu sahaja tanpa anda sendiri mengungkit atau membangkitkannya semula.

KEPADA YANG DIBERI PELUANG, jangan salahguna peluang yang diberikan kepada anda. Jangan cemarkan kepercayaan yang cuba dibina semula oleh pasangan anda. Islam mengajar umatnya memberikan peluang malah Islam juga mengajar umatnya untuk menghukum mereka yang bersalah dan sengan sengaja mensia-siakan peluang yang diberi. Sekali, dua kali, peluang masih boleh diberi. Tiga atau empat kali atau bila hati telah retak… jangan menangis bila anda ditinggalkan sendirian…

****Siaran Mei 2008

23 Disember 2009

Bila suami mengabaikan nafkah

Umaira pening melihatkan bil-bil yang menimbun di depan mata. Bil eletrik, air, kereta, kad kredit. Tuan rumah baru saja telefon bertanyakan pasal sewa yang dah tertunggak 3 bulan. Pagi tadi anak sulungnya dah ingatkan pasal duit buku yang perlu dijelaskan esok. Aduhhhh!! Sakitnya kepala memikirkan semua itu. Pantas Umaira membuka laman web maybank2u… hah! Tak sampai seratus?! Rasanya semalam berbaki hampir seribu… ni mesti kerja suaminya yang tak sedar diri diuntung. Dah ler selama 16 tahun perkahwinan segala perbelanjaan rumahtangga dan saraan hidup anak-anak ditanggung oleh Umaira. Dah pandai ambil duit secara senyap pulak. Eiiiii.. geramnya...!!!

Nak mohon cerai, suaminya baik… penyayang, mengambil berat tentang dirinya dan anak-anak cuma dalam hal berkaitan kewangan sahaja. Bukan suaminya tak mampu tetapi suaminya lebih mengutamakan ibu dan adik-adiknya di kampung. Boleh dikatakan semua pendapatan bulanannya dilaburkan untuk ibu dan adik-adiknya. Bukan Umaira tak benarkan tetapi rasanya dah melampau. Ye lah, bukan setakat keperluan tetapi mertuanya dan ipar-iparnya tu menuntut kemewahan daripada suaminya. Tak cukup dengan duit suaminya, dah berkali-kali jugak suaminya merayu untuk dapatkan duit Umaira tapi Umaira berkeras. Tak sangka suaminya sanggup menggelapkan wangnya. Dah berkali-kali Umaira ingatkan… tanggungjawab suaminya adalah lebih kepada isteri dan anak-anak tetapi setiap kali Umaira bersuara maka setiap kali itu jugalah akan terjadi pertengkaran antara mereka. Syukur juga Umaira berpendapatan besar tapi sampai bila Umaira harus bertahan dan bersabar? Apa lagi yang dapat Umaira lakukan?

Rasanya bukan Umaira sahaja yang menghadapi masalah sebegini, saya percaya masih ramai lagi yang mengalami kemelut seperti Umaira. Mungkin juga suami kurang arif yang mana lebih utama, isteri dan anak-anak atau ibu, ayah dan adik-adik? Namun tak kurang juga yang amat arif tetapi buat-buat tidak mengerti. Bagi mereka, isteri dah mampu tangani segala masalah kewangan keluarga, beruntunglah memiliki isteri sedemikian. Memang untung tetapi harus difikirkan antara kerelaan dan keterpaksaan si isteri.

Bagi wanita atau para isteri yang menghadapi masalah seperti Umaira, jangan rasa tertekan kerana ada jalan penyelesaiannya. Peruntukan undang-undang syariah di bawah seksyen 148 Enakmen Tatacara Mal Wilayah Persekutuan dan enekmen yang sama bagi negeri-negeri lain memperuntukkan bahawa isteri boleh menyaman suami di bawah tuntutan penghutang penghakiman. Bererti isteri boleh memohon pihak mahkamah mengeluarkan perintah agar suami membayar jumlah nafkah yang patut kepada isteri dan anak-anak.

Sekiranya dibimbangi suami mengengkari arahan yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah maka isteri boleh memohon pihak mahkamah mengeluarkan arahan potong gaji ke atas suami. Dalam erti kata lain, pihak mahkamah akan mengeluarkan arahan kepada majikan suami agar memotong sejumlah wang yang telah ditetapkan sebagai jumlah nafkah yang patut untuk isteri dan anak-anak, daripada jumlah pendapatan bulanan suami itu. Sekiranya mahkamah menetapkan RM2000 sebagai jumlah nafkah yang patut maka jumlah RM2000 tersebut akan dipotong daripada gaji suami terus masuk ke akaun isteri. Suami hanya akan menerima baki daripada jumlah yang telah dipotong tersebut. Jika pendapatan bulanan suami berjumlah RM3500, maka suami hanya akan menerima RM1500 sahaja daripada majikannya. Arahan potongan gaji ini akan berkuatkuasa sehinggalah pihak majikan menerima arahan tamat perintah daripada mahkamah.

Mungkin ada yang berfikir, kalau suami bekerja sendiri ataupun jalankan perniagaan sendiri, bagaimana nak keluarkan arahan potong gaji? Bagi kes yang melibatkan suami bekerja sendiri atau jalankan perniagaan sendiri maka pihak isteri boleh mengemukakan dokumen bagi segala harta yang dimiliki oleh suami. Harta-harta tersebut boleh dijadikan sebagai jaminan pelaksanaan nafkah oleh pihak mahkamah. Bererti apabila mahkamah telah mengeluarkan arahan agar suami membayar sejumlah nafkah yang patut kepada isteri dan anak-anak tetapi suami engkar menurut perintah tersebut maka pihak mahkamah akan mengeluarkan arahan lelongan harta yang dijamin tersebut bagi melunaskan hutang nafkah yang telah diarahkan. Arahan atau perintah sebegini juga boleh dibuat oleh isteri yang dimadukan oleh suami sebagai jaminan hak nafkah diri dan anak-anak terbela.

Namun, harus diingat, tuntutan adalah untuk melengkapi keperluan dan bukannya kemewahan. Sekiranya suami memang tidak mampu walau untuk keperluan maka inilah masanya pengorbanan kita sebagai isteri diperlukan. Sungguh kata bijak pandai, di belakang setiap lelaki ada seorang wanita… bangun lelaki kerana wanita dan jatuh lelaki juga kerana wanita. Gunakan peluang yang ada untuk mencipta bahagia bersama suami namun jangan sampai tersasar kerana wanita bukan untuk diperkotak-katikkan.

****Siaran Mei 2008

18 Disember 2009

Ujian setanding iman dan ilmu

Setelah tiga kali temujanji bersama Puan H tertangguh disebabkan keadaan kesihatan anak dan saya sendiri, Alhamdulillah akhirnya pada hari Sabtu baru ni, dapat juga temujanji tersebut dilaksanakan. Puan H berusia awal 20-an, pada saya adalah satu usia yang terlalu awal untuk merasai kemelut hidup berumahtangga. Namun apa daya, dek kerana cinta dan kepercayaan, Puan H bersetuju menikahi suaminya lebih tiga tahun lepas tanpa persetujuan malah pengetahuan ahli keluarganya sendiri. Alasan suami Puan H tika itu, dia terlalu sayangkan Puan H dan tidak sanggup menunggu lama. Puan H masih belajar dan baru berusia 21 tahun, memang agak sukar mendapat izin keluarga untuk berkahwin walaupun hubungan Puan H dan suami diketahui dan direstui keluarga. Paling tragis, Puan H sanggup mengikut kehendak untuk berkahwin di sempadan.

Ujian mendatang apabila hampir setahun perkahwinan, Puan H mendapat tahu bahawa dirinya adalah isteri ketiga kepada suaminya yang pada mulanya mengaku telah bercerai dengan isteri terdahulu. Bagaikan langit menghempap kepala. Sukar dipercayai apatah lagi latar belakang suaminya yang dikenali sebagai seorang yang berpendidikan agama, bekerja di sebuah pejabat agama, dikenali sebagai ustaz dan menguruskan hal ehwal keagamaan. Kenapa lelaki yang beperwatakan sedemikian sanggup menipu dan bersikap tidak adil kepada isteri-isterinya?

Mmmm jawapan saya mudah sahaja. Ustaz pun manusia biasa. Terus terang, saya langsung tidak terkejut dengan kes yang saya kendalikan baru-baru ini. Sebabnya, ini bukan kes pertama. Sebelum ini, ada seorang isteri mengadu suaminya, seorang ustaz, suka menonton video lucah hampir setiap malam. Seorang ustaz juga bersikap kasar dan memukul isterinya. Seorang peguam syarie bersikap tidak adil terhadap tiga isterinya hinggakan isteri pertama ditinggalkan begitu sahaja, ibarat digantung tidak bertali. Hal anak-anak tidak diendahkan, semuanya terletak di bahu isteri. Anda juga pasti pernah membaca berita penangkapan imam berkhalwat dan berbagai kes lagi yang melibatkan insan-insan yang mempunyai ilmu dan pengetahuan agama, yang selalunya kita fikir adalah mustahil mereka sebegini boleh terlibat di dalam masalah akhlak dan kemelut rumahtangga.

Teringat kepada kata-kata seorang Ustaz tika saya masih bersekolah dulu. “Seseorang itu diuji oleh Allah sesuai dengan tahap iman dan ilmu yang dia ada. Kalaulah iman dan ilmu tahap koperal, syaitan yang datang menguji pun berpangkat koperal. Kalau iman dan ilmu seseorang di tahap jeneral, maka syaitan yang menguji pun berpangkat jeneral.” Maksudnya, ujian yang diberikan kepada seseorang itu adalah setanding dengan iman dan ilmu yang ada. Ayat al-Quran turut menjelaskan bahawa ujian setanding dengan kemampuan seseorang. Kemampuan itu jelas bererti ilmu dan iman yang ada. Terpulang kepada seseorang itu untuk mengawal nafsu di dalam dirinya agar tidak ‘berkawan’ dengan bisikan syaitan. Kenapa? Kerana nafsu di dalam diri kita sebenarnya adalah lebih jahat berbanding syaitan.

Setiap individu Muslim tahu, syaitan diperintahkan keluar daripada syurga dan turun ke dunia kerana enggan menyembah Nabi Allah Adam a.s. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa nafsu yang ada di dalam diri kita adalah lebih jahat lagi. Kalau syaitan sekadar tidak mahu menyembah Adam kerana merasakan lebih mulia lantaran diciptakan Allah daripada api, nafsu pula lebih berani apabila enggan mengakui Allah sebagai penciptanya. Setelah beratus-ratus tahun dibenamkan ke dasar api neraka, selepas tiga kali peluang mengakui tuhannya, akhirnya barulah nafsu mengaku. Itulah dia nafsu yang sering menjadi kawan kita tanpa kita sedar. Lantas, jika seseorang itu gagal mengawal nafsunya, walau setinggi mana pun ilmu dan imannya, bila digoda dek syaitan yang setaraf pangkat dengan ilmu dan imannya, orang seperti ini akan bertindak di luar kepercayaan orang lain. Mengecewakan mereka yang menaruh harapan dan mencurah kasih sayang.

Kalau orang sebegini pun tidak boleh dipercayai, bagaimana nak tentukan jodoh? Bukankah mereka sebegini menduduki takhta pertama pilihan? Tentu ada yang bertanya sedemikian. Jangan risau, bukan semua ustaz atau orang yang berpendidikan agama tidak baik. Mereka yang bukan ustaz pun ramai yang baik. Faktor paling penting ialah berilmu dan mengamalkan ilmu yang dipelajari. Yang menjadi masalah ialah mempunyai ilmu tetapi enggan mengamalkan ilmu tersebut. Paling tak berguna ialah menyalahgunakan ilmu yang ada untuk kepentingan diri sendiri.

INGAT!! Kulit bukan isi. Biar siapa pun yang anda kenali, selidik sepenuhnya latar belakang dirinya. Bak kata orang, nak tau kebaikan seseorang tanyalah sahabatnya, nak tau keburukannya pula, tanyalah musuhnya. Masalah sekarang ini, terlalu ramai yang percaya cinta pandang pertama. Ada juga yang mengenepikan hal perwatakan dan sikap asalkan rupa menjerat pandangan dengan alasan sikap dan perangai boleh diubah sebaliknya rupa kekal. Hmmm jika masih ada yang berpendirian sebegini, fikirkanlah beribu kali. Islam menyarankan agar setiap individu mengenali pasangannya terlebih dahulu. Nak kenal pulak, jangan sampai mengenepikan hukum syarak. Paling penting, biar setinggi mana cinta dan rindu anda, serahkan segalanya kepada Yang Maha Esa. Mohon agar jodoh anda adalah yang terbaik untuk anda, yang dapat menyayangi anda seadanya dengan jujur dan ikhlas, yang dapat membimbing anda ke jalan yang diredhai Ilahi dan paling penting, dapat menerima keluarga anda seperti keluarganya sendiri. Bila anda berserah, apa juga ujian mendatang, anda akan tetap pasrah, insyaAllah!!

****Siaran Mei 2008

07 Disember 2009

Amalkanlah anak orang anak kita

Artikel ini saya sediakan agak lewat, sehari selepas deadline. Memang di luar jangkaan sebabnya saya terpaksa mengambil cuti kecemasan sejak Isnin hinggalah Khamis kerana anak ketiga saya, baru berusia enam bulan 10 hari mengalami demam yang tinggi. Mulanya, hampir jam 6.00pm Jumaat, saya mendapat panggilan daripada taska, bayi saya demam dan muntah-muntah. Terkejut jugak sebab pagi tadi bayi saya sihat-sihat saja. Ketika mengambil bayi di taska, memang perasan bayi saya agak lemah. Ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta berdekatan, suhu badan anak saya 38.7°C. Nafas anak saya juga seakan berombak. Saya dinasihatkan agar merujuk kes anak saya ke hospital kerajaan.

Hmmm… sebelum ni saya memang dah banyak kali sangat dengar kes-kes lambat kat klinik atau hospital kerajaan tapi agaknya rezeki saya, tak pula saya terkena kes-kes yang saya boleh kategorikan segera maka saya masih boleh menerima kelambatan yang diperkatakan. Namun, kes kali ini memang membuatkan saya menyinga. Beza nombor saya dengan pesakit sedang dirawat hanyalah enam orang tetapi saya perlu menunggu hampir dua jam barulah berjaya menemukan anak saya dengan doktor. Apa tidaknya, ada lima bilik rawatan, hanya dua bilik yang berfungsi. Bayangkanlah keadaan saya memujuk bayi yang tak sihat, dengan keadaan yang saya tak pasti kondisinya. Memanglah demam bukan kecemasan tetapi demam yang tinggi begitu bagi seorang bayi adalah satu kes kecemasan. Memang saya marah betul.

Tambah buat saya marah bila doktor tanya: Selalu mandikan baby kul baper? Yang dapat saya jawab: Kalau dengan saya memang mandi awal la dalam kul 9 sebab saya mandikan dengan air suam. Kalau kat taska, saya tak pasti la pulak.

Mmm… kemungkinan baby akak ni dimandikan lewat ni, sebab tu dia demam tinggi. Menyirap darah saya mendengar jawapan tersebut. Teringat kisah hampir tiga minggu lepas. Seminggu selepas bayi saya mula ditinggalkan kat taska, saya perasan bayi saya batuk-batuk di awal pagi, batuk seakan berkahak. Saya syak bayi saya dimandikan dengan air sejuk. Bila saya tanyakan kepada pengasuh di taska, seorang demi seorang mengelak daripada memberikan jawapan. Hmmm… cara paling tak baik mengelak diri kan? Bila saya ingatkan agar mandikan bayi saya dengan air suam, seorang pengasuh bersuara: Kalau cam tu, mandikan tengahari sikit la. Jawapan tersebut segera saya pintas; tak boleh la cam tu, nanti demam pulak. Saya bagitau pemilik taska, yang memang saya dah kenal lama. Terkejut dia sebabnya air suam memang disediakan, bererti pengasuh sengaja malas nak mandikan dengan air suam. Jadi, bila doktor mengeluarkan kenyataan tersebut, memang membuat saya betul-betul marah. Buat saya tambah marah, geram dan sedih bila selepas dua hari, bayi saya masih demam dan berak-berak cair hingga perlu ditahan di wad selama 2 hari. Bezanya, marah saya tidak boleh saya lepaskan kepada sesiapa.

Jika anda di tempat saya, apakah anda juga akan marah? Atau ada yang boleh menerima keadaan tersebut dengan berlapang dada? Saya juga boleh menerima sebab semuanya sudah terjadi, semuanya telah ditakdirkan. Apa yang terjadi hanyalah sebagai sebab dan alasan untuk sesuatu kejadian itu berlaku. Cuma perkara-perkara begini masih boleh dielakkan. Itu yang penting. Jika para pengasuh mengambil sikap, anak-anak yang dijaga di taska adalah anak-anak mereka, insyaAllah kejadian tidak diingini oleh mana-mana ibu bapa, bukan saja saya, tidak akan berlaku. Tak kisahlah la pengasuh taska ker, pengasuh kat rumah ker, pembantu rumah ker, SIAPA JUGA ANDA YANG MENGAMBIL AMANAH UNTUK MENJAGA ANAK ORANG LAIN, ANDA WAJIB MENJAGA MEREKA DENGAN BAIK, bukan sekadar lepas tangan dan cukup bulan, dapat bayaran.

INGAT! IBU BAPA MENGHANTAR ANAK MEREKA KEPADA ANDA UNTUK DIJAGA DENGAN SEBAIKNYA, DENGAN PENUH KASIH SAYANG, DENGAN PENUH KEJUJURAN DAN KEIKHLASAN. Bukan menginginkan jagaan sambil lewa. Jam 7am dihantar, jam 7pm diambil semula. Kebanyakan masa siang atau masa celik anak-anak adalah bersama anda. Saya akui, bayaran RM200 atau RM300 untuk seorang anak belum cukup untuk anak itu mendapat semuanya yang perlu dan boleh diberi oleh seorang ibu jika ibu sendiri yang menjaga dan membesarkannya. Tetapi bukan bererti, bayaran yang tidak setimpal itu membolehkan anda menganiaya anak orang sesuka hati.

Cuba letakkan diri anda di tempat ibu bapa yang terpaksa meninggalkan anaknya kepada orang lain… apa yang anda rasa? Bersyukurlah dengan adanya kami ibu bapa yang terpaksa meninggalkan anak kepada anda, membantu anda mendapatkan saraan hidup. Kalau bukan saraan penuh pun, membantu juga kan?? Persoalan kewangan bukan perkara utama sebaliknya TANGGUNGJAWAB DAN AMANAH yang anda terima daripada ibu bapa yang perlu anda laksanakan.

INGAT! Jagalah anak-anak yang dipertanggungjawabkan kepada anda bagai menjaga anak anda sendiri. Fikirkan, jika anak anda diperlakukan sama seperti apa yang anda lakukan kepada anak orang lain, bolehkah anda menerimanya dengan hati yang senang? TOLONGLAH!! Saya merayu… janganlah kes yang berlaku kepada anak saya berulang kepada anak orang lain.

****Siaran April 2008

26 November 2009

Bantu anak-anak hadapi kegagalan

Keputusan SPM yang diumumkan dua hari yang lalu amat mengejutkan saya. Rasa kagum dan bangga dengan pencapaian seorang adik di Kedah yang memperolehi 21A. Jika saya yang tidak ada kena mengena dengan adik tersebut rasa cukup bangga, bayangkanlah ibu bapa sendiri. Namun, seperti lumrahnya hidup ini, setiap perkara ada lawannya. Jika ada yang berjaya, ada pula yang gagal. Jika yang berjaya gembira, yang gagal pula sudah pasti kecewa. Gagal pula ada banyak kategorinya, ada yang gagal terus, ada yang berjaya tetapi masih merasakan diri gagal kerana tidak berjaya mendapat keputusan yang dihajati. Itulah yang dialami oleh adik bongsu saya.

Alhamdulillah, adik saya memperolehi keputusan yang membanggakan saya dan keluarga namun dek kerana tidak berjaya menyaingi kejayaan abangnya dua tahun lalu, adik bongsu saya itu menangis, menangis dan terus menangis. Sejak lepas mendapatkan keputusannya hinggalah dalam perjalanan balik. Keceriaan yang selalu ada di dalam setiap perjalanan, hilang. Saya dah puas memujuk. Sebabnya, adik bongsu saya itu masih yang terbaik antara kami enam beradik, Cuma dia tidak dapat menandingi kejayaan abangnya dua tahun lepas. Adik-adik saya yang lain juga telah berusaha memujuk namun sia-sia. Dia masih bersedih kerana tidak berjaya memperolehi keputusan yang diharapkannya. Dalam kekecohan itulah, Bapa saya mencelah: Apalah yang duk teriak-teriak lagi ni? Bersyukur lah dengan apa yang Allah bagi. Ada orang lagi teruk lagi keputusan depa, depa boleh terima. Dah dapat elok macam ni pun, nak teriak lagi. Bersyukur la.

Kata-kata Bapa saya ditambah oleh Mak: Tu la, Mak pun bersyukur sangat anak Mak dapat cam ni. Tok sah duk pikiaq yang tak dapat apa yang nak tu, semua ni ujian Allah. Dia nak tengok, hang syukur ka dak dengan apa yang dia bagi. Hang duk teriak tu, tanda hang tak syukur, tanda hang marah. Marah kat sapa? Nak marah kat Allah? Mak syukur sangat-sangat dah Allah bagi kat hang keputusan cam tuh. Tadi tu ada sorang Mak dengaq, lagi teruk daripada hang. Cuba istighfar banyak-banyak. Jangan ikut perasaan sangat. Ikut perasaan tu ikut setan tau dak?

Haaa! Kan dah kena kuliah hampir zohor! Hehehe… kata-kata Bapa dan Mak saya membuatkan adik bongsu saya berhenti menangis. Alhamdulillah, tak lama selepas itu, keadaan kembali seperti biasa. Malam tu, saya sempat berbicara dengan adik saya. Rupa-rupanya, dia bimbang Mak dan Bapa kecewa sebab tak dapat keputusan lebih baik daripada abangnya sedangkan dua tahun lepas, dia berjaya menandingi keputusan abangnya dalam PMR. Hmm, patutlah bila Mak dan Bapa bersuara, adik saya kembali tenang.

Ya lah, siapa yang tak nak gembirakan hati ibu bapa. Setiap anak yang baik memang ingin berusaha sedaya upaya agar dapat menggembirakan dan membanggakan ibu bapa masing-masing. Namun, tidak semua perancangan berjalan dengan lancar. Kita sebagai hamba hanya mampu berusaha, segala keputusan akhir terletak di tangan Yang Maha Kuasa. Sebagai ibu bapa, anda perlu memainkan peranan membantu anak anda hadapi kekecewaan dan kegagalan di dalam perancangannya. Jangan pula anda yang menambah beban kecewanya. Saya faham, ada ibu bapa yang marahkan anak yang gagal kerana salah anak itu juga. Enggan berusaha bersungguh-sungguh. Belajar main-main atau selalu ponteng sekolah. Boleh nak marah tapi berhati-hati dengan perkataan yang anda lafazkan. Sebaiknya, keluarkan kata-kata berunsur nasihat, bukan mencaci maki hingga melukakan hati yang boleh mengakibatkan perkara yang lebih buruk lagi.

Anda boleh minta anak anda renung dan fikir semua kesan sikapnya yang tidak ambil berat dengan pelajaran. Minta anak anda fikir, apa yang dia akan lakukan bila makin dewasa nanti jika tidak berpelajaran. Ya… memang ada pun ‘dunia’ yang tak perlukan seseorang itu berilmu tinggi tapi sejauhmanakah kebahagiaan hidup boleh dikecapi. Bila cantik dan muda, ada lah yang meminati. Bila dah berumur, baru lah nak mencari pihak itu pihak ini. Mungkin juga anda tak kisah anak-anak anda terlibat dalam dunia sebegitu tetapi nasihat saya, biarlah anak anda berilmu. Kenapa? Sebab orang yang berilmu ibarat benih yang baik, jatuh ke tanah menjadi pokok, jatuh ke laut menjadi pulau. Ke mana jua arah tujunya, akan terpelihara dan terjaga insyaAllah.

Seperkara lagi, mungkin anda ada hasrat tersendiri untuk anak anda tetapi sebaiknya, jangan dipaksa anak anda menjadi seseorang yang dia tidak mahu. Sebagai ibu bapa, anda perlu berfungsi sebagai penyokong dan pendorong setiap impian dan cita-cita anak anda. Kecualilah hasrat dan impiannya itu tidak baik untuk masa depannya. Ingat! Sekali anak anda tewas, terus tiupkan semangat ke dalam dirinya. Jangan sesekali anda patahkan semangatnya walaupun hasratnya itu bukan harapan anda. Ada tikanya ibu bapa perlu berikan ruang untuk anak-anak mencari dirinya sendiri. Dalam masa yang sama, perhati, turuti langkahnya dan jika perlu, pimpin tangannya agar dia mampu terus berdiri. Jangan sesekali anda terus menerus memimpin tangannya kerana sikap tersebut akan menambahkan masalah kepada anda dan juga anak anda.

Paling penting, jangan putus berdoa. Setiap kata-kata ibu bapa adalah doa untuk si anak. Biasakan mengucapkan kata-kata yang baik dan berkawanlah dengan anak remaja anda. Mereka akan lebih menghargai kasih sayang anda, insyaAllah.

****Siaran April 2008

17 November 2009

Bangunlah wanita!!!

Saya baru saja balik daripada makan tengahari. Masih terasa lagi panas… bukan panas lauk atau panas berjalan di bawah matahari tetapi panas hati… memang amat panas. Selepas makan, saya mengikut kawan masuk ke sebuah pasaraya yang agak terkenal namanya. Tika berdiri di tepi kaunter juruwang, terkejut saya melihat satu promosi: Jualan hebat dan potongan besar-besaran bagi pelbagai jenis kondom sempena Women International Week. Terus saja mulut saya bising dan kecoh, mengomel promosi tersebut. Kepada juruwang, saya ajukan soalan: Apasal teruk sangat ni? Ingat kaum wanita ni habuan lelaki jer ker? Juruwang yang merupakan seorang lelaki muda menunjukkan air muka risau, tergagap bersuara: Maaf Kak. Saya pun tak tau! Saya faham. Saya pun tak salahkan juruwang tersebut. Cuma harapan saya, omelan dan kemarahan saya disampaikan kepada bossnya, yang mungkin juga akan dipanjangkan kepada mereka-mereka yang lain yang terlibat.

Sungguh, saya betul-betul marah. Kawan saya juga marah. Bila sekejap tadi saya sampaikan cerita kemarahan saya kepada beberapa rakan sekerja wanita, mereka juga marah. Rakan sekerja lelaki ada yang hanya tersenyum, ada yang memberi respons: Aah kan, entah apa-apa lah kan? Tak kisahlah cuma bagi golongan wanita, siapa jua yang mengetahui berita ini, kalau tak ada rasa marah tu, memang sah ada yang tak kena lah tu. Mungkin ada yang menganggap, saya ni kecoh. Sungguh, saya mengaku saya kecoh sebab ianya melibatkan kaum wanita. Saya adalah wanita, jika bukan saya yang pertahankan hak wanita, siapa lagi?

Wanita adalah lambang sebuah keharmonian dan kemuliaan. Allah SWT ciptakan wanita pertama iaitu Hawa sebagai penghibur kepada manusia pertama, Adam alaihissalam. Melalui dua putera dan dua puterinya, Allah anjurkan perkahwinan bagi menunjukkan bahawa hubungan jenis antara lelaki dan wanita boleh berlaku tetapi hanya melalui ikatan yang sah. Islam malah ugama-ugama lain di dunia ini melarang keras hubungan haram kerana wanita bukan hamba lelaki. Wanita bukan hamba seks liar. Wanita bukan tempat lelaki melampiaskan nafsu serakah. Lelaki boleh mendapatkan wanita tetapi melalui hubungan yang sah dan halal. Islam meletakkan wanita di darjat dan kedudukan yang tinggi. Islam wajibkan lelaki membayar mas kahwin sebagai satu bentuk kemuliaan kepada wanita kerana sanggup menyerah diri kepada lelaki bernama suami. INGAT!!!! Duit yang dihulur bagi setiap perkhidmatan seks bukan mas kahwin.

Saya tahu, ada wanita yang terpaksa bekerja menjual diri. Alasan diberi, tak der dah pekerjaan lain yang boleh dibuat. Keadaan memaksa, dharurat. Nauzubillah! Pendapat itu semuanya salah dan tidak benar sama sekali. Perkhidmatan seks adalah sama dengan zina, hukumnya tetap haram biarpun rela terpaksa kecuali betul-betul paksaan seperti kes rogol dan perkosa. Sekarang ini banyak kerja lain yang boleh anda lakukan untuk menyara keluarga. Jual nasi lemak, jual goreng pisang. Macam-macam… yang penting anda bersabar dan teruskan berusaha. Memang perit, memang susah nak senang tapi percayalah, andai anda ikhlas berusaha demi menyara anak-anak anda, akan ada pintu rezeki yang terbuka. Jangan kejar kemewahan hidup, cukuplah sekadar dapat sebuah kehidupan yang sederhana.

Singkap semula sejarah zaman sahabat dulu. Seorang wanita berulang kali memberitahu anak-anaknya: Sabar nak! Makanan masih belum masak! Berulang kali hingga akhirnya anak-anak terlena. Bila terjaga, si ibu masih memberikan jawapan yang sama hingga anak-anak kembali terlena. Beberapa hari perkara yang sama berulang hinggalah bantuan daripada pimpinan tiba. Cerita ini bukan satu rekaan tetapi satu kisah benar. Bukan sekadar moral dan iktibar untuk mereka bernama pimpinan agar mengambil tahu tentang hal rakyat tetapi juga panduan untuk kaum wanita, lakukanlah apa juga demi anak-anak tetapi jangan sampai menggadai harga diri anda.

Wahai wanita! Anda adalah insan mulia. Anda bukan hamba nafsu serakah lelaki bersikap buaya. Wanita bukan kaum yang lemah. Wanita sebenarnya adalah kaum yang kuat dan tabah. Wanitalah penyambung generasi. Wanita juga penyejuk hati suami. Bangunlah! Jangan jadi hamba nafsu lelaki semata. Jangan juga jadi hamba suami yang tak sedar diri, asyik menagih hak sebagai suami tetapi gagal jalankan tanggungjawabnya kepada anda dan anak-anak. Hayati dan renunglah puisi ini. Terima kasih kepada pencetus idea keramat ini:

Wanita dan Kemuliaan
Wanita
Renung dengan mata hati
Bukan emosi
Adakah hadirmu menguntungkan
Atau sekadar mengisi kekosongan

Wanita
Seringkali engkau berduka
Kononnya engkau dipersenda
Kerana hakmu diperguna
Engkau seolah-olah insan yang hina
Hanya berada di belakang pemuda
Sehingga timbul pelbagai suara
Menurut hak sama rata

Wanita
Adakah engkau lupa?
Engkau sebenarnya sangat ISTIMEWA
Ayuh buka mata dan minda
Untuk merenung seketika
Agar engkau tidak alpa
Bahawa engkau terlalu mulia

Wanita
Engkau bukanlah dijadikan daripada kepala
Untuk dijadikan ketua segala ketua
Engkau juga bukan dijadikan daripada kaki
Untuk dihina dan dikeji
Tapi engkau dijadikan daripada tulang rusuk
Yang terletak dekat dengan hati
Untuk dikasihi dan disayangi


Wanita
Dari rahimmu yang sempit itulah
Lahirnya seorang perdana menteri
Lahirnya seorang ulama sejati
Lahirnya seorang mujahid berani
Lahirnya seorang rasul dan nabi
Tidak dari rahim lelaki
Tidakkah engkau mengerti?
Kedudukanmu terlalu tinggi

Wanita
Mentaatimu tiket ke syurga
Berbakti kepadamu petunjuk sifat taqwa
Mengasihimu lambang akhlak mulia
Mengabaikanmu membawa celaka
Mengetepikanmu seolah-oleh tiada makna

Wanita
Andai pena dijadikan perantaraan
Untuk membuat segala catatan
Untuk membuktikan segala keistimewaan
Nescaya tiada kemampuan
Kerana engkau terlalu diagungkan
Cukuplah jika engkau telah membuat persediaan
Berlandaskan ilmu dan Iman
Bukan emosi dan perasaan
Pasti engkau dapat menerima kenyataan
Bahawa engkau sebenarnya terlalu dimuliakan
Mempunyai kedudukan yang tinggi disisi Tuhan.

****Siaran April 2008

14 November 2009

Sukarnya membuat keputusan

Pernahkah anda mendengar kata-kata ‘diluah mati emak, ditelan mati bapa’? Ya, kata-kata tersebut mencerminkan satu keadaan yang terlalu sukar. Tak ditelan atau diluah pun, terkemam jer di dalam mulut pun tak boleh jugak. Sebenarnya, hampir semua orang termasuk saya sendiri pernah berada di dalam situasi tersebut. sebabnya, setiap saat yang mendepani kita memerlukan satu keputusan dan tindakan yang tertentu. Tak kiralah siapa anda: pelajar, pekerja, suami atau isteri atau siapa juga, anda takkan dapat lari daripada menentukan pilihan. Hatta bayi juga, perlu memilih untuk berdiam diri atau menangis ketika lapar atau basah. Bukan sahaja di dalam urusan rumahtangga, malah pilihan juga perlu dibuat di dalam kerjaya, pelajaran dan juga makanan. Bezanya, memilih makanan tak der lah sampai merasakan kesukaran yang teramat sangat ketika membuat pilihan. Persoalannya, apabila berada di dalam keadaan yang amat kritikal tersebut, bagaimanakah caranya untuk anda menentukan pilihan? Manakah pilihan yang terbaik? Bagaimana untuk menentukan yang terbaik?

Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah tenangkan diri, jangan cepat gelabah dan risau. Berikan masa kepada diri anda untuk menentukan keputusan. Masa yang anda perlukan minima ialah tiga hari dan maksimanya pula terpulanglah kepada anda. Jika anda diberikan masa kurang daripada tiga hari untuk membuat pilihan, cukuplah masa 24 jam. Yang penting, gunakan sepenuhnya masa yang diberikan kepada untuk bermunajat kepada-Nya memohon petunjuk mendapatkan yang terbaik. Perkara paling utama yang perlu anda lakukan ketika bermunajat ialah kosongkan fikiran anda daripada memikirkan apa juga keputusan atau kesan yang mungkin berlaku jika sesuatu keputusan anda ambil. Serahkan diri anda sepenuhnya kepada Allah, biar Dia yang menentukan pilihan anda.

Mungkin ada di kalangan pembaca wanita yang mempertikaikan, bagaimana nak bermunajat memohon petunjuk-Nya sedangkan diri di dalam keadaan tidak suci (kedatangan haid atau nifas sahaja kerana badan tidak suci akibat berjunub boleh disegerakan mandi wajib dan haram hukumnya jika melewatkan mandi wajib hingga menghalang anda bersolat)? Kenapa pula tidak boleh? Berdoa bukan sahaja di dalam sembahyang atau solat. Bila-bila masa anda boleh berdoa: ketika memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah, memandu, bila-bila masa dan di mana juga kecuali ketika sedang melakukan qadha hajat atau buang air. Berdoa pula biarlah menggunakan bahasa yang anda fahami.

Saya faham, ada ramai wanita yang meminta doa melembutkan hati suami, doa pengikat kasih sayang malah berbagai doa. Saya tahu, memang ada amalan doa-doa yang boleh diikut cuma mengikut ajaran guru-guru saya, lebih baiklah berdoa daripada hati anda sendiri. Luahkan apa yang membuku fikiran dan emosi anda. Luahkan segala-galanya kerana Allah Taala Maha Mendengar segala luahan hati anda. Tak perlu menghafaz doa bahasa Arab, cukuplah dengan bahasa dan gaya percakapan anda seharian kerana Allah Taala Maha Mengetahui. Bagaimana pula nak ketahui jawapannya?

Saya pernah dengar, ada yang mencatatkan keputusan yang bakal dibuat di atas kertas kemudian kertas-kertas pilihan tersebut digulung dan akhirnya dipilih, itulah jawapannya. Hmmm, saya tak pasti samada cara tersebut berkesan atau tidak. Seperti yang saya jelaskan, saya juga pernah berada di dalam situasi ditelan mati emak dan diluah mati bapa ini. Saya tak gunakan kertas pilihan. Alhamdulillah, setelah berserah kepada-Nya, keputusan yang mulanya amat sukar menjadi amat mudah. Pilihan yang perlu dibuat bagaikan air yang mengalir perlahan menyejukkan hati. Tidak lagi rasa terlekat di tekak, keputusan boleh diambil sama untuk menelan atau meluah tanpa halangan lagi. Secara mudah, keputusan boleh dibuat.

Saya masih ingat, ada yang bertanyakan kepada saya, kenapa suami yang dipilih melalui istikharahpun masih memberikan masalah hingga gagal di dalam perkahwinan? Bukankah istikharah bererti pilihan Allah. Kalau pilihan Allah, pastinya yang terbaik. Kalau dah terbaik, kenapa masih boleh bermasalah? Jangan menyalahkan takdir atau ketentuan Allah. Perlu diingat, setiap perancangan dan ketentuan Allah mempunyai sebab dan hikmahnya yang tersendiri. Jika ketika anda memohon, ketentuannya adalah A dan selepas itu A memberikan masalah kepada anda, bukan bererti ketentuan itu adalah tersalah. A adalah yang terbaik untuk anda ketika anda memohon petunjuk-Nya dan samada A atau diri anda sendiri yang berubah menjadikan pilihan tersebut bukan lagi yang terbaik. Berlapang dadalah menerima setiap ketentuan-Nya.

Dalam beribu keputusan, antara keputusan yang paling sukar untuk diambil ialah samada seorang wanita berstatus ibu perlu berhenti kerja untuk menjaga anak-anaknya sendiri dan samada seorang isteri perlu menamatkan perkahwinan yang tidak memberikan kebahagiaan kepada dirinya sedangkan anak-anak dianggap memerlukan suaminya sebagai tempat bermanja. Memang sukar!! Seperti yang sering saya jelaskan, jangan paksa diri membuat keputusan yang anda sendiri tidak pasti sebaliknya SERAHKAN SEGALANYA KEPADA ALLAH, mohonlah yang terbaik untuk diri anda, suami dan anak-anak. Apa juga keptusan yang berlaku, terimalah dengan hati terbuka dan berlapang dada kerana anda akan merasai hikmah di sebalik semuanya dalam beberapa detik masa yang akan datang, percaya lah!!

****Siaran April 2008

10 November 2009

Bahagia maksudnya...

Jika ada yang bertanyakan kepada anda: Anda bahagia? Apa jawapan anda? Mungkin ada yang berfikir, bahagiakah aku? Sebabnya aku belum mempunyai teman lelaki atau teman wanita? Atau; Bahagiakah aku sebab aku masih belum ada pekerjaan yang memberikan pendapatan lumayan? Atau; bahagiakah aku sedangkan aku adalah ibu tunggal atau bapa tunggal? Jika ada antara anda yang pernah melayari web binabahagia yang terhenti proses kemas kini disebabkan tidak sempat dan bila ada masa, saya terlupa kata laluannya (dek terlalu banyak sangat perlukan kata laluan sekarang ni- insyaAllah saya sedang mengusahakan satu laman web yang lebih praktikal), bahagia adalah satu perkara yang abstrak, tidak ada definisi khas dan tertentu yang boleh menggambarkan maksud bahagia.

Sebabnya, bahagia seseorang adalah bergantung kepada diri orang itu sendiri. Seperti cerita yang berlaku antara seorang lelaki kaya berkereta mewah dan seorang pesawah miskin yang hanya mampu berbasikal. Ditakdirkan mereka berselisih ketika sama-sama melalui satu jalan kampong, tika si lelaki kaya sedang menuju ke satu kawasan pertanian miliknya sementara si pesawah sedang dalam perjalanan pulang dari sawah. Terdetik di hati si pesawah: Alangkah bahagianya aku jika aku memiliki kereta mewah dan isteri yang cantik seperti lelaki itu. Dalam masa yang sama, lelaki kaya berbisik sendiri: Alangkah bahagianya pesawah ini kerana mempunyai isteri yang amat menyayanginya hingga sanggup memeluknya walaupun si suami dalam keadaan comot dan berbau.

Walau sekadar satu cerita yang sering diperkatakan oleh beberapa pakar psikologi apabila memperkatakan tentang definisi bahagia, moralnya adalah satu: bahagia adalah berbeza situasinya bagi setiap individu. Anda tidak boleh sewenangnya mengatakan seseorang itu bahagia jika anda melihat orang tersebut ceria, gembira sepanjang masa. Sama juga anda tidak boleh mengatakan seseorang itu tidak bahagia hanya kerana orang tersebut putus cinta atau gagal di dalam perkahwinannya. Teringat lagu dendangan Britney Spears bertajuk Lucky. Tentu ramai yang tahu lagu tersebut kan? Kisah seorang yang menjadi kesayangan ramai dan selalu nampak gembira sebaliknya, si gadis menangis sendirian saban malam. Mungkin inilah yang dikatakan menangis dalam tawa.

Saya yakin, semua insan ingin bahagia. Tidak ada insan yang inginkan penderitaan. Namun realiti kehidupan, takkan ada laluan mudah untuk maju ke depan tanpa melalui onak dan duri. Satu perkara yang pasti ialah anda takkan tahu perkara yang terbaik untuk diri anda. Hanya Allah Taala yang tahu yang terbaik untuk anda dan insan-insan di sekeliling anda. Seperti yang selalu saya tegaskan, cabaran dan ujian adalah lumrah hidup. Hanya dengan cabaran dan ujian sahajalah, Allah menduga iman setiap hamba-Nya. Malah, Allah takkan menguji hamba-Nya melainkan Dia Yang Maha Kuasa tahu hamba tersebut mampu menghadapinya seperti maksud firman Allah di dalam ayat 286 surah al-Baqarah: "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."

Apabila diuji, jangan cepat melatah atau patah semangat. Dekatkan diri kepada-Nya. Jangan putus berdoa mohon yang terbaik untuk kehidupan anda dan insan-insan di sekeliling anda. Allah dah janji, mintalah dengan-Nya dan Dia akan makbulkan. Masalahnya, ada antara kita yang cepat putus asa. Sering sangat menyalahkan mereka-mereka yang menjadi sebab dan punca sesuatu kesedihan dan penderitaan hingga lupa sebenarnya mereka itu hanyalah sebagai penyebab sedangkan segala yang terjadi telah pun tertulis di Luh Mahfuz sejak mula roh ditiupkan ke dalam diri kita ketika kita masih bernama janin di dalam kandungan ibu.

Satu perkara lagi, BETULKAN DOA ANDA. Ramai yang tersalah berdoa, mohon sesuatu yang anda tidak pasti apakah itu yang terbaik untuk anda. Sebagai contoh, isteri-isteri yang diduga di dalam perkahwinan anda. Kepada mereka yang pernah mendapatkan khidmat saya, saya sering mengingatkan agar selalu mohon yang terbaik sebab anda tak mungkin tahu apa yang terbaik untuk diri anda. Hanya Allah yang tahu lantas mohonlah kepada-Nya.

Contohnya: Jika anda diduga dengan suami yang sering menimbulkan masalah atau gagal melaksanakan tanggungjawab sedangkan perkahwinan telah menjangkau usia 10 tahun dan dikurniakan lima cahayamata, memang sukar untuk melepaskan diri daripada perkahwinan. Bukan suami jer yang saying isteri, isteri pun sayangkan suami walau hati teramat luka dan sakit dengan kerenahnya. INGAT!! Itu semua ujian. Jangan putus asa, mohon yang terbaik. Jika ditakdirkan anda berpisah dan tiba-tiba suami merujuk semula dan anda bersedia, kemudian anda kembali derita walau suami berjanji untuk berubah, itu adalah ketentuan-Nya dan yakinlah ada hikmah disebaliknya. Sebab itulah saya katakan, doa mohon yang terbaik: Ya Allah, berikan aku yang terbaik. Jika perkahwinan ini yang terbaik untuk masa depan aku, suamiku dan anak-anak, berikanlah aku, suamiku dan anak-anakku kebahagiaan dan keceriaan. Sebaliknya jika perkahwinan ini menambahkan penderitaan kepada aku, suamiku dan anak-anakku, Kau mudahkanlah urusan pengakhiran jodoh antara aku dan suamiku….

PERCAYALAH, Bila anda mengharap yang terbaik, apa juga keputusannya ANDA AKAN BAHAGIA walau ditakdirkan anda berpisah dengan suami anda kerana HANYA DIA YANG TAHU YANG TERBAIK UNTUK KEBAHAGIAAN ANDA.

****Siaran Mac 2008

Antara pukul mengajar dan lepas geram

Minggu lepas, ketika bercuti menjaga anak yang tak sihat, sempat saya tonton satu rancangan perbincangan keluarga berkaitan dengan kes pukul memukul. Isunya tentang suami pukul isteri juga tentang ibu bapa yang memukul anak-anak. Dalam perbincangan tersebut, ada pendapat ramai yang mengatakan boleh memukul jika untuk mengajar. Saya akui kebenaran pendapat tersebut cuma yang membuatkan saya tampil dengan isu kali ini ialah terlalu ramai yang keliru dengan pukulan mengajar ini. Malahan ada kes pukulan dengan tujuan mengajar bertukar menjadi satu bentuk penderaan fizikal. Satu yang amat dikesali dan ditakuti ialah anak-anak yang dipukul konon dengan tujuan mengajar, dengan harapan akan berubah menjadi lebih baik, sebaliknya bertukar menjadi lebih liar dan nakal… nauzubillah min zalik.

Jelas sekali, pukulan yang dikatakan untuk mengajar tersebut bukanlah benar-benar pukulan mengajar. Mungkin pukulan amarah atau pukulan lepas geram. Bagaimana nak bezakan antara dua jenis pukulan ini? Atau pun, masih wajarkah dipraktikkan memukul di dalam mendidik isteri dan anak-anak? Sebenarnya, memukul memang dibenarkan di dalam Islam. Di dalam ayat 34 surah an-Nisa menyatakan: “Maka wanita yang saleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka dari tempat tidur dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Di dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perintahkan anak-anakmu mengerjakan sembahyang bila dia berumur 7 tahun dan pukullah dia bila mana tidak mahu mengerjakan sembahyang semasa berusia 10 tahun dan pisahkan dari tempat tidur.”

Kedua-dua nas ini menyatakan dengan jelas bahawa memukul adalah satu daripada kaedah mengajar tetapi merupakan kaedah paling akhir. Bukan bererti, cakap sekali tak dengar terus jer pukul. Bukan itu saja, bukan semua perkara boleh menggunakan pukulan. Walaupun suami ketua rumahtangga, suami tak berhak memukul isteri sewenang-wenangnya. Di dalam ayat tadi jelas mengatakan jika isteri tersebut nusyuz sahaja. Nusyuz bermaksud engkar suruhan suami dan dengan syarat suruhan atau perintah suami tidak melanggar hukum syarak. Bermaksud: suami tidak berhak memukul isteri yang menasihatinya suaminya ke arah kebaikan. Suami tidak berhak memukul isterinya yang menuntut haknya sebagai isteri dan hak anak-anak.

Para ulama juga berpendapat terdapat beberapa syarat ketika mempraktikkan kaedah memukul bagi tujuan pembelajaran ini. Bagi suami yang ingin mengajar isterinya, pukulan yang dibolehkan hanya sekadar mengangkat tangan tanpa membuka ketiak dan dilarang sama sekali menampar muka isteri. Pukulan hanya dibolehkan pada bahagian yang terlindung bagi menjaga air muka isteri malahan harga diri suami. Sesuai dengan rutin kehidupan berumahtangga, selisih faham dan tersilap adalah perkara yang biasa berlaku. Bererti, SUAMI TIDAK BERHAK MENAMPAR ISTERI. SUAMI TIDAK BERHAK MENUMBUK ISTERI. SUAMI TIDAK BERHAK MEMUKUL ISTERI MENGGUNAKAN APA JUGA BENDA YANG BOLEH MENDATANGKAN KESAN SAKIT YANG MELAMPAU.

Jika suami bersikap melampau, isteri berhak mendapatkan perlindungan. Masalahnya ramai sangat isteri yang berdiam diri. Ada yang bimbang suami bertindak lebih kasar dan keras lagi. Usah bimbang. Anda mempunyai hak anda. Paling penting, laporkan kes anda kepada pihak polis dan dapatkan pengesahan doktor yang merawat anda bahawa kesan luka anda adalah kesan dipkul oleh suami. JANGAN MENIPU DIRI SENDIRI, padahnya anda sendiri yang akan tanggung kemudian hari. Mungkin hari ini luka kecil tapi kalau berterusan, tak mustahil ianya boleh mengakibatkan kematian. Fikirkan orang tersayang yang betul-betul menyayangi anda andai itu kesudahannya.

Dalam mendidik anak-anak pula, boleh dipraktikkan memukul tetapi jangan biasakan. Kanak-akank yang hidup dalam kemarahan tidak akan kenal erti kasih sayang. Anak-anak ini takkan membesar menjadi seorang yang penyayang sebaliknya akan menjadi seorang yang keras dan pendendam. Sebaiknya, apabila anak-anak melakukan kesilapan, tegur dan nyatakan dulu apa kesilapannya. Terangkan apa yang sepatutnya si anak lakukan dan jelaskan kenapa perkara yang dilarang tidak boleh dilakukan.

Memang biasalah si anak tetap akan cuba melakukan perkara yang dilarang sebabnya jiwa anak-anak akan memberontak untuk merasai sendiri kesan kenapa sesuatu perkara tidak boleh dilakukan. Sebab itu, praktikkan untuk tidak menggunakan perkataan JANGAN keraa perkataan tersebut umpama satu suruhan untuk anak-anak. Jika larangan dan teguran tidak membuahkan hasil barulah teruskan dengan pukulan tetapi ingat!!! Pukulan mengajar bukan lepas geram. Sama seperti mendidik isteri, tidak boleh memukul anak-anak di muka. Sebaiknya pukullah anak anda di tapak kakinya kerana kesan pukulan itu akan turut mendatangkan kebaikan kepada kesihatannya. Moga kita sama-sama berjaya membentuk sebuah kehidupan yang bahagia bersama insan-insan tersayang. Amiinnnnnnnn!!!!!

****Siaran Mac 2008

05 November 2009

Tiada celanya bergelar janda

“Abang bukannya lelaki yang dayus nak tunduk pada perempuan macam Ana, Abang dah serik, hari ini hari terakhir kita kenal, bawa la haluan masing-masing, jagalah anak-anak tu baik-baik, Abang ceraikan Ana hari ni, jangan tanya pasal Abang lagi, terima kasih.” Satu sms yang tak pernah Ana sangka akan terima tapi Ana redha dan pasrah dengan takdir-Nya. Setelah 4 kali dalam tempoh 4 tahun Ana berikan peluang untuk suami Ana berubah tapi suami tetap tidak mahu berubah, masih tetap menyalahkan Ana, cukuplah. Ana akan berusaha menjaga anak-anak dan Ana yakin, insyaAllah Ana mampu kerana selama ini pun, segala urusan rumahtangga Ana yang tanggung. Yang agak merunsingkan Ana, bagaimana agaknya pandangan masyarakat apabila Ana memegang status janda dan ibu tunggal?

Satu luahan hati seorang wanita yang ingin saya kongsi bersama pembaca semua dalam perbincangan kali ini. Saya tidak mahu menganalisa kes ini panjang-panjang, luahannya pun ringkas namun persoalannya yang utama dan yang menarik perhatian saya ialah: bagaimana agaknya pandangan masyarakat apabila Ana memegang status janda dan ibu tunggal?

Rata-rata, apabila saya mengendalikan kes-kes rumahtangga, memang kebanyakannya persoalan tentang pandangan masyarakatlah antara dua perkara yang paling merisaukan para wanita di dalam menentukan keputusan. Perkara paling utama sudah tentulah mengenai hak jagaan anak-anak. Seringkali saya tegaskan, peduli dengan pandangan masyarakat. Bahagia dan senang anda mereka suka tapi bila anda derita dan susah, berapa ramai yang sudi menghulur simpati? Tetapkan pendirian, mohon yang terbaik daripada Yang Maha Kuasa. Jika ketentuan-Nya anda bergelar janda atau ibu tunggal, terima dengan redha dan pasrah. Sabar, tingkatkan keimanan, dekatkan diri kepada-Nya, mohon agar diberikan kekuatan dan yang terbaik untuk anda, anak-anak dan bekas suami anda juga untuk terus menghadapi kemelut hidup ini.

Ya.. bercakap tidak sepayah insan yang perlu menghadapinya. Saya faham. Kerana itulah saya ketengahkan isu kali ini. Tidak ada cela atau hinanya menjadi janda. Setiap ahli masyarakat perlu menanam prinsip ini di dalam diri. Janda apatah lagi ibu tunggal perlu dibantu dan disokong dengan kata-kata semangat dan motivasi agar mereka mampu terus tabah menjalani hidup. Mereka tidak pernah minta untuk menjadi janda. Seperti wanita-wanita lain, mereka juga ingin hidup bahagia di dalam perkahwinan mereka. Namun, dah namanya hidup ini satu ujian, perkahwinan juga satu ujian, mereka pula terpilih untuk menerima ujian gagal di dalam rumahtangga, kita yang masih selamat dengan ujian serupa perlulah mengambil iktibar dan pengajaran.

Jangan sesenang hati menuding jari menyalahkan insan bernama janda. Saya yakin, ramai janda-janda yang telah berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan perkahwinan mereka namun tidak berjaya. Seperti luahan hati Ana, telah empat kali peluang diberi namun suami mensia-siakan dan akhirnya, Allah menetapkan perceraian sebagai akhiran perkahwinannya. Apakah Ana dan wanita-wanita lain sepertinya masih perlu dipersalahkan? Nyata sekali bukannya janda-janda ini tak pandai jaga suami sebaliknya suami-suami mereka yang tidak pandai menghargai permata berharga. Seperti kata-kata popular dari filem Cinta: isteri bukannya hak milik tetapi anugerah, lantas anda semua yang bernama suami, jagalah anugerah Allah Taala ini sebaiknya kerana anugerah ini boleh ditarik balik bila-bila masa jika anda terleka dan lalai menjaganya.

Ingatlah! Perkahwinan adalah untuk kemaslahatan kedua-dua pihak suami dan isteri. Bila perkahwinan mengundang masalah malah ada kes, mewujudkan dosa apabila isteri tidak mampu lagi menghormati suami yang enggan menjalankan tanggungjawab sebagai suami maka perceraian adalah jalan terbaik. Bila Islam sebagai agama yang paling agung mengiktiraf adanya perceraian sebagai jalan terakhir di dalam perkahwinan yang bergolak, kenapa kita sebagai umatnya boleh bersikap angkuh dan sombong meletakkan janda dan ibu tunggal sebagai insan yang bersalah? Kepada para wanita bernama isteri, tidak salah jika anda berkawan dengan janda-janda ini kerana mereka juga masih seorang insan yang perlukan kawan dan sahabat untuk berkongsi semangat. Ingat!! Sikap kaum wanita yang meminggirkan janda-janda inilah menjadi penyebab kepada mereka ini berkawan dengan kaum lelaki. Tujuan asal hanya untuk berkongsi cerita dan masalah namun dek kerana terus dipinggirkan oleh kaum sejenis, simpati lelaki boleh berubah menjadi sayang. Masa ni, barulah anda nak melenting marahkan janda memikat suami anda. Sedangkan hakikatnya, andalah pencetus ke arah fenomena tersebut.

Kepada para suami dan kaum lelaki lainnya, jangan ambil kesempatan kepada wanita dengan status janda. Istilah ‘dah pernah dapat dan tak boleh duduk jika tak dapat’ tak benar sama sekali. Kajian membuktikan kebanyakan wanita boleh hidup tanpa seks. Tambah lagi bila wanita tersebut mempunyai pekerjaan dan mampu menjaga anak-anak sendiri. Malah, kebanyakan kes janda yang menerima huluran kasih lelaki bukanlah kerana dirinya sendiri sebaliknya demi anak-anak. Lantas, ubahlah pendirian anda terhadap mereka yang bernama janda, balu atau ibu tunggal. Kepada wanita bernama janda, balu atau ibu tunggal di luar sana, tabahkan hati dan kuatkan semangat. Dekatkan diri kepada-Nya, anda akan bahagia, percayalah!! Jika ditakdirkan saya juga seperti anda (bukan memohon tetapi hakikat hidup, bukan sebagai janda, mungkin juga sebagai balu), saya pasrah dan redha kerana semua yang berlaku adalah di atas ketentuan-Nya dan sebagai manusia, kita sama-sama mohon yang terbaik daripada-Nya..amiinnnn!!!

****Siaran Mac 2008

Benarkah romantik lelaki hanya sebelum kahwin?

Sekejap tadi, tika ingin ke bahagian belakang ofis menuju ke surau, perasan seseorang di hadapan pintu ofis (pintu kaca separuh legap). Pintu saya buka, seorang lelaki berbangsa Cina berdiri di depan pintu sambil memegang sejambak bunga. Kecoh sekejap apabila penerima bunga tersebut adalah seorang gadis yang agak pendiam dan sedikit pemalu. Lebih kecoh bila tertera pada kad yang dititipkan bersama tiga kuntum mawar merah dan seekor patung beruang kecil memegang sebuah bantal kecil berbentuk hati: Nice knowing you… from Secret Admirer (You’ll know who I am soon).

Dalam kekecohan cuba mengenal pasti siapa pengirim bunga tersebut, seorang rakan sekerja lelaki bersuara: Alaaa, lelaki ni masa belum kahwin jer romantik. Kata-kata tersebut disambut dengan pertanyaan seorang rakan sekerja wanita: Kak Su, betul ker? Persoalan tersebut memberikan saya idea untuk membincangkan topik perbincangan di atas.

Jawapan mudah, tidak benar. Kes paling hampir ialah suami saya sendiri. Jangankan selepas kahwin, sebelum kahwin pun susah nak tengok romantiknya. Sejak kenal pada tahun 1995, berpisah sementara setelah perhubungan tidak direstui keluarga, berjumpa semula pada tahun 2002, kini perkahwinan telah dianugerahkan tiga cahayamata, sikapnya masih sama, biasa-biasa saja. Saya sendiri dah biasa dengan sikapnya itu. Jangan nak mengharap kad ucapan atau bunga atau hadiah pada hari lahir atau ulangtahun perkahwinan, hanya sekadar ucapan lisan: Ana, happy birthday!! Namun, saya tak pernah marah. Juga tak pernah mengharap lebih daripada itu. Mungkin sebab saya sendiri tidak terlalu mengharapkan semua kejutan tersebut. Ya lah, sebab sejak mengenalinya, itulah dia. Sebagai isteri, saya menerimanya seadanya.

Ada juga kes lelaki yang kekal romantik. Sebelum kahwin dan selepas kahwin tetap romantik. Dah ada anak cucu pun romantik. Mungkin tak banyak kes seumpamanya. Namun, saya tahu ramai juga lelaki yang menepati persoalan di atas. Sebelum kahwin, mak aii… romantiknya. Setiap kali jumpa, pasti ada sejambak bunga bersama. Kad bermuzik dan hadiah besar juga. Bila dah kahwin, bagai menunggu ayam jantan bertelur atau menunggu kucing bertanduk kata orang tua-tua, entah bila la nak diterima semua tu? Kesian kat isteri….

Kes-kes sebegini lah yang menyebabkan timbulnya persoalan yang menjadi topik perbincangan kali ini. Walaupun bukan semua tetapi sikap sebegini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Kenapa perlu hilangkan romantik anda itu? Jika sememangnya anda bukan daripada golongan yang dikategorikan lelaki romantik, kenapa sebelum memiliki pasangan anda, anda mampu bersikap romantik? Sekadar memuja sebelum dapat? Tak boleh la macam tu. Anda perlu ingat, pasangan anda menerima anda kerana menyukai sikap anda. Kenapa perlu menipu pasangan anda? Sikap anda yang berpura-pura sedemikian boleh mengundang rasa marah, sedih dan mungkin benci di dalam diri pasangan anda. Jika sememangnya anda tidak mampu bersikap sedemikian, jadilah diri anda yang sebenarnya sejak mula.

Tak perlu nak menipu kerana romantik atau tidak bukanlah keutamaan di dalam sesebuah hubungan kasih sayang. Perkara yang paling penting ialah keikhlasan dan kejujuran. Saya teringat satu forwarding emel yang saya terima ujung bulan lepas. Tentang rasa hairan seorang gadis apabila rakan karibnya yang menerima seorang lelaki yang nyata sekali nampak berbeza, terlalu biasa berbanding beberapa lelaki lain yang pernah mendekati rakannya itu. Jawapan mudah yang diberikan rakannya ialah kerana lelaki itu manusia biasa. Saya ‘pastekan’ petikan lamaran lelaki yang berjaya menambat hati si gadis seperti yang terdapat di dalam emel tersebut di sini:

“Saya, yang bernama …………… menginginkan anda …………untuk menjadi isteri saya. Saya bukan siapa-siapa. Saya hanya manusia biasa. Buat masa ini saya mempunyai pekerjaan. Tetapi saya tidak tahu apakah kemudiannya saya akan tetap bekerja. Tapi yang pasti saya akan berusaha mendapatkan rezeki untuk mencukupi keperluan isteri dan anak-anakku kelak. Saya memang masih menyewa rumah. Dan saya tidak tahu apakah kemudiannya akan terus menyewa selamanya. Yang pasti, saya akan tetap berusaha agar isteri dan anak-anak saya tidak kepanasan dan tidak kehujanan. Saya hanyalah manusia biasa, yang punya banyak kelemahan dan beberapa kelebihan. Saya menginginkan anda untuk mendampingi saya. Untuk menutupi kelemahan saya dan mengendalikan kelebihan saya. Saya hanya manusia biasa.”

Persoalannya, berapa ramaikah lelaki di luar sana yang bersikap seperti lelaki di dalam emel ini? Saya tak pasti ini kisah benar atau tidak tetapi moral daripada kisah ini yang perlu kita ambil dan jadikan pengajaran. Bukan sahaja lelaki, malah wanita juga. Jangan pukau bakal suami anda dengan sikap penuh pura-pura. Ingatlah, jadilah diri anda seadanya kerana kasih yang diterima seadanya akan tetap kekal semarak cintanya walau ribut dan taufan melanda.

****Siaran Mac 2008

24 Oktober 2009

Ada tikanya memang perlu jaga tepi kain orang

Tika artikel ini ditulis, genap 14 hari Adik Syarlinie hilang dan masih belum ada berita yang pasti tentang kehilangannya itu. Setiap kali menatap berita kehilangan Adik Syarlinie, hati saya tersentuh dan air mata pasti bergenang. Ke hadrat Ilahi, saya memohon agar Adik Syarlinie dijauhkan daripada nafsu jahat manusia bertopengkan syaitan dan selamat kembali ke pangkuan ibu bapanya. Tak lupa, saya berdoa agar saya dan semua ibu bapa yang lain, dijauhkan daripada ujian yang serupa, nauzubillah min zalik. Syarlinie sebaya dengan Ayuni, puteri sulung saya. Setiap kali Ayuni bermanja dengan saya, memohon pertolongan di dalam menyelesaikan kerja-kerja sekolahnya (tadika), saya terkenangkan ibu Syarlinie. Alhamdulillah, saya masih mampu melayan anak saya, sedangkan dia sekarang ini, sedang bersedih, risau, runsing, bimbang dan entah seribu perasaan lagi yang sukar diluahkan.

Dalam kemelut dan kekecohan ini pun, saya pelik dan hairan sekali bila hujung minggu baru ni, ketika berkunjung ke sebuah gedung membeli belah, masih ada ibu bapa yang kurang peduli dengan anak-anak mereka. Anak-anak seusia Ayuni dan Suhail, dibiarkan lepas berjalan sendirian. Dalam kehairanan itulah juga, ada pemberitahuan tentang seorang kanak-kanak perempuan yang mencari ibu bapanya. Dalam perjalanan pulang pula, suami saya menegur perlakuan tiga kanak-kanak yang nampaknya lebih kurang sebaya anak-anak saya juga, sedang bermain di tepi longkang besar. Air longkang tu laju dan agak dalam, kebetulan baru lepas hujan. Kanak-kanak yang mendengar teguran suami saya tadi hanya tersengih. Berhenti bermain sekejap. Berlari agak jauh dari longkang. Saya sempat berpesan, balik ke rumah tau. Mereka hanya tersenyum dan berlari pergi, entah ke mana. Yang pasti, jauh daripada kawasan berbahaya tadi. Kepada anak-anak sendiri, saya sempat selitkan nasihat, tak boleh tau main kat longkang cam tu, bahaya, nanti kalau jatuh, mati. Cepat ja Ayuni menambah: Aah kan Ummi, nanti kena tanam dalam tanah! Saya hanya mengiyakan, dengan doa dan harapan, anak-anak saya tidak terlibat di dalam kes seperti itu dan kanak-kanak tadi selamat sampai ke rumah.

Allahu Akbar, kenapa lah kita ini sering lalai dan lupa dengan tanggungjawab kita sebagai ibu bapa. Bila dah jadi kecelakaan, menangis air mata darah pun dah tak guna. Kenapalah anak-anak kecil dibiarkan keluar rumah sendirian begitu? Bermain dengan bahaya? Kalaulah ibu bapa tiada di rumah, orang yang mengambil amanah untuk menjaga anak-anak tadi perlu menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya. Atau mungkin, anak-anak keluar tanpa disedari oleh ibu bapa atau penjaga, maka sesiapa juga yang ternampak kelibat kanak-kanak ini sewajarnya menegur dan melarang mana yang patut. Bukan kes berbahaya sahaja malah kes-kes bermain sendirian di taman, kes ponteng sekolah dan macam-macam kes lagi yang melibatkan anak-anak kecil harapan setiap ibu bapa. Tanya kepada diri, pernahkah anda menegur sikap tidak elok atau kenakalan anak-anak jiran anda? Pernahkah anda ambil peduli dengan apa yang sedang dilakukan oleh anak-anak jiran anda di luar pengetahuan atau penglihatan ibu bapa mereka?

Memang, ada pepatah yang kata: jangan jaga tepi kain orang lain. Itu kata orang tua dahulu, bukan kata-kata yang putus atau muktamad. Di dalam ayat al-Quran jelas dan terang: Berpesan-pesanlah dengan kebenaran, berpesan-pesanlah dengan kesabaran. Secara umumnya, ayat ini membenarkan kita menjaga tepi kain orang bila keadaan membenarkan dan memerlukan. Masalahnya masyarakat kita hari ini, bukan nak jaga tepi kain tetapi yang dalam kain. Ini yang menambahkan masalah dan buat orang lain marah. Perkara yang perlu, dibuat tak endah. Perkara yang tak perlu, dicanang riuh tak cukup sekampung, senegara nak disampaikan. Cam kata Pak Pie dalam Mami Jarum: nak jadi internet bergerak. Sikap begini yang buat orang marah. Sedangkan hakikatnya, jika semua orang berjaya mempraktikkan amalan jaga tepi kain orang dengan sewajarnya, insyaAllah, masalah dan gejala sosial yang makin menjadi-jadi sekarang ini, dapat dikurangkan.

Islam menggalakkan kita mengambil berat tentang keadaan jiran kita. Jiran dalam Islam pula bukanlah hanya mereka yang berada di kiri kanan depan belakang rumah sahaja sebaliknya di dalam satu hadis menyatakan, jiran ialah mereka yang berada dalam jarak 40 buah rumah di sekeliling kita. Tak kiralah jiran kita Islam atau bukan Islam, kita wajar menjaga hak-haknya. Hak yang paling utama ialah berbuat baik kepadanya. Termasuk di dalam berbuat baik ialah mengambil berat tentang jiran, yang bererti, perlu menjaga tepi kainnya. Menjaga tepi kainnya termasuklah menegur sikap anak-anak yang nakal dan boleh membahayakan diri kanak-kanak tersebut. Anda boleh juga berjumpa dengan jiran dan ceritakan apa yang anda nampak dengan mata anda sendiri mengenai perlakuan anaknya. Ingat!! Nampak dengan mata sendiri bererti anda jelas dengan perkara tersebut, bukan dengar daripada orang lain.

Cara penyampaian anda juga perlu dijaga. Jangan terus mencaci sikap anaknya. Cakap elok-elok, biar jiran anda nampak keikhlasan anda. InsyaAllah, jika anda benar-benar ikhlas, ianya akan terserlah melalui percakapan dan pertuturan serta mimik muka anda. Kepada yang ditegur atau mendapat berita mengenai anak-anak anda pula, janganlah menyinga. Orang ambil peduli bererti orang ambil berat dan sayangkan anak-anak anda. Jangan rasa malu bila anda menerima aduan mengenai anak-anak anda. Jadikan aduan tersebut sebagai satu cara untuk anda menambah baikkan lagi sikap dan keperibadian anak-anak anda. Anak kita tetap anak kita, anak orang juga anak kita… tanamkan prinsip tersebut, insyaAllah kebajikan anak-anak akan terpelihara.

****Siaran Februari 2008

13 Oktober 2009

Rahsia kekal ceria

Saya masih senyum sendiri. Jangan risau yer, saya masih waras dan sedar. Sebentar tadi, saya tergelak sendiri hingga mengejutkan rakan sekerja di sebelah. Apa tidaknya, satu emel yang saya terima hari ini meminta petua atau rahsia saya kekal ceria. Sabar jer lah! Agaknya sebab gambar saya di ruangan ini sentiasa saja tersenyum. Tapi, soalan seperti ini pernah juga saya terima daripada rakan sekerja. Kata rakan tersebut: “Kak Su ni tak pernahnya masam muka, kes macam-macam pun asyik senyum ja. Apa rahsia Kak Su?” Saya masih ingat lagi jawapan saya: “Dah kalau rahsia, tak boleh la bagitau kan?” Kami sama-sama ketawa. Hari ini, saya akan jawab pertanyaan pengirim emel ini.

Sebenarnya, tidak ada rahsia atau petua yang khusus. Sentiasa senyum dan ceria bukanlah bermakna hidup saya sentiasa berjaya dan bahagia. Sama seperti orang lain, saya juga tidak dapat lari daripada ujian hidup. Jika anda peminat setia ruangan ini dan pernah membaca perbincangan saya mengenai ujian hidup adalah asam garam kehidupan, anda pasti tahu onak dan duri yang pernah saya lalui. Hingga kini, ujian masih bersama saya mendepani hidup. Namun, seperti yang selalu saya tegaskan, ujian adalah perkara biasa di dalam hidup kita. Ujianlah yang menentukan sama ada kita bersedia untuk terus menghadapi hari-hari mendatang atau pun tidak. Ujian jugalah yang mematangkan kita di dalam membuat sesuatu keputusan.

Namun, ujian bukan penghalang untuk kita kekal senyum dan ceria. Sebaliknya, dengan senyuman dan keceriaanlah kita akan mampu untuk menghadapi ujian hidup. Tidak percaya? Jika anda ditimpa masalah atau musibah, memang biasalah anda akan susah hati dan ada tikanya anda akan menangis kan? Persoalannya, apakah susah hati dan menangis itu akan menyelesaikan masalah anda? Sudah tentu jawapannya tidak kan? Malah, tangisan dan susah hati anda akan menambahkan bebanan masalah yang sedang anda hadapi. Sebaliknya, jika anda senyum dan ceria, insyaAllah segala bebanan yang sedang anda hadapi akan dapat dikurangkan secara perlahan-lahan. Kenapa? Anda tidak akan dapat berfikir dengan waras dan rasional dalam keadaan diri anda tidak tenang. Ketenangan masih boleh dirasai jika anda menerima segala ujian dan masalah dengan berlapang dada. Caranya adalah tetap kekal senyum dan ceria.

Paling penting, anda perlu menyediakan diri anda untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah tersebut. Masalah takkan selesai jika anda melarikan diri daripadanya. Masalah hanya akan selesai apabila anda berusaha menyelesaikannya. Memang susah. Memang payah. Ada tikanya perit dan mengecewakan malah melukakan. Tetapi percayalah, bila anda menerima setiap yang berlaku di dalam hidup anda sebagai ujian, anda akan tetap boleh kekal senyum dan ceria. Di bawah ini, saya senaraikan prinsip pegangan saya selama meniti ujian hidup ini, moga dapat membantu anda semua.

KENAPA AKU DIUJI?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." -Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." -Surah Al-Baqarah ayat 286

KENAPA RASA KECEWA?
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." -Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." -Surah Al-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" -Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka..... -Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP? "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." -Surah At-Taubah ayat 129

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!! ".....dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." -Surah Yusuf ayat 12

****Siaran Februari 2008

06 Oktober 2009

Pembantu rumah bukan hamba

Waktu bercuti sempena anak-anak kurang sihat baru-baru ini, saya berkesempatan menonton satu siaran televisyen yang membincangkan tentang perlu atau tidak mempunyai pembantu rumah. Masih teringat pendapat seorang lelaki: “Tak perlu la ada pembantu rumah. Lebih baik isteri ja yang urus rumahtangga dan anak-anak semua. Kalau isteri kerja pun, anak-anak lebih elok tinggalkan kat taska, balik kerja tu, sambil-sambil buat kerja rumah, boleh tumpukan pada anak-anak. Kalau ambil pembantu rumah ni, selalunya pembantu je lah yang uruskan semua. Isteri banyak mengarah jer, tak best la cam tu.”

Hmmmm… dua perkara yang saya rasa cukup menarik ada pada kata-kata tersebut. Pertama: Lebih baik isteri ja yang urus rumahtangga dan anak-anak semua. Kalau isteri kerja pun, anak-anak lebih elok tinggalkan kat taska, balik kerja tu, sambil-sambil buat kerja rumah, boleh tumpukan pada anak-anak. Kedua: Kalau ambil pembantu rumah ni, selalunya pembantu je lah yang uruskan semua. Isteri banyak mengarah jer, tak best la cam tu. Saya tak nak fokuskan pada perkara yang pertama sebabnya dah banyak kali sangat saya membincangkan mengenai perkara yang serupa dengan maksud pernyataan tersebut. Fokus saya kali ini ialah mengenai perkara kedua. Ya, tentang isteri atau majikan yang selalu mengarah itu ini dan keikhlasan hati suami yang tidak suka dengan perkara tersebut.

Ya lah, sebagai suami, sesekali nak la juga isteri yang melayan. Kalau dah pembantu rumah yang kemaskan rumah, gosok baju kerja, sediakan hidangan makan malam, sesekali nak juga rasa air teh atau milo hasil air tangan isteri sendiri, betul tak? Saya tak nak bincang panjang tentang air tangan isteri ni, boleh cari semula perbincangan saya tentang topik ini yang disiarkan pada bulan Februari 2006. Tumpuan saya kali ini ialah pada khidmat pembantu rumah anda, seperti tajuk perbincangan, pembantu rumah anda bukanlah khadam atau chief khadam seperti cerita P.Ramlee tu. Bukan juga hamba anda yang anda boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Sesuai dengan namanya, mereka ialah pembantu anda di dalam menyelesaikan kerja-kerja rumah anda dan membantu anda dalam menguruskan anak-anak anda.

Saya tahu, ramai yang mengerti peranan pembantu rumah yang digajikan oleh anda. Namun, ada segelintir daripada anda di luar sana yang tersilap faham tentang peranan sebenar pembantu rumah atau mungkin juga sengaja buat-buat tidak mengerti. Ada satu kes yang sampai kepada saya, seorang pembantu rumah diminta oleh majikannya untuk mencuci seluar dalamnya yang penuh dengan darah haid. Astaghfirullah… memang saya mengucap panjang. Betapa zalimnya majikan tersebut. Memanglah dia tu pembantu anda, anda dah bayar gajinya tapi ingatlah satu perkara: dia juga manusia biasa yang ada hati dan perasaan malah juga PUNYA HARGA DIRI. Sungguh, bagi saya tindakan majikan tersebut adalah amat melampau dan tidak berperi kemanusiaan. Bukan saja seluar yang penuh dengan darah malah sebagai seorang yang waras, seseorang itu tidak akan benarkan orang lain mencuci pakaian dalamnya walau menggunakan mesin basuh. Apalah salahnya anda cuci sendiri barang-barang sulit anda itu. Kalau dah bersih tu, dimaafkan la kalau mintak tolong pembantu atau sape-sape juga ambilkan di ampaian.

Ada satu kes lain, pembantu rumah dikerah sesuka hati membuat pelbagai kerja. Makan minumnya pula tak diambil peduli. Allahu akbar, mengalir air mata saya mendengar kisah pembantu rumah ini. Kenapalah ada manusia yang sanggup bersikap sedemikian? Hmmmm kalau tidak, tak der lah syurga dan neraka kan! Namun, bukan tujuan saya membincangkan perkara ini untuk memalukan mana-mana pihak. Bukan juga untuk menceritakan kisah buruk sesetengah majikan. Tidak juga untuk menyebelahi pembantu rumah yang semua orang tahu, rata-ratanya adalah daripada Indonesia. Saya sendiri pernah menggunakan khidmat pembantu rumah. Alhamdulillah hubungan saya dengan pembantu rumah seperti kakak dan adik. Tak ada salahnya anda sebagai majikan bersikap baik dengan pembantu rumah. Percayalah, kalau pembantu anda dijaga dengan baik, insyaAllah anda dan keluarga anda akan dijaga dengan baik juga.

Ingatlah… mereka berada di rumah anda adalah dengan tujuan mencari rezeki. Mereka sanggup mengembara jauh, meninggalkan kaum keluarga, suami dan anak-anak malahan ada kes, meninggalkan bayi yang belum berusia dua bulan, semata-mata untuk mencari rezeki menambahkan pendapatan keluarga. Bukan satu perkara yang mudah. Terlalu banyak kekuatan dan ketabahan diperlukan untuk melakukan pengorbanan tersebut. Cuba letakkan diri anda di dalam kasut mereka... apa perasaan anda? Berpisah dengan suami tercinta, berjauhan daripada anak-anak yang masih perlukan belaian, terpaksa melakukan pelbagai jenis pekerjaan setiap hari dengan cuti yang kadangkala diwujudkan oleh sesetengah majikan sehari dalam sebulan dan hanya menerima RM400 atau lebih sedikit sahaja sebulan??? Sanggupkah anda berada di tempat mereka???

Saya merayu… tolonglah bersikap lebih berperi kemanusiaan kepada pembantu anda. Dia menjaga kebajikan anda sekeluarga. Jagalah juga kebajikannya. RM400 atau berapa punjuga bayaran anda kepadanya tidak berbaloi sama sekali dengan apa yang dilakukannya. Anda membayarnya untuk menjaga anak-anak anda, bukan menyayangi mereka walaupun terlalu ramai anak-anak kini yang lebih rapat dengan pembantu rumah. Kasih sayangnya kepada anak-anak anda.. berapa bayaran anda kepada mereka?? Saya akui, ada juga pembantu yang jahat tetapi percayalah, baik akan dibalas dengan baik., begitu juga sebaliknya…..

****Siaran Februari 2008

29 September 2009

Hati seorang ibu

Jam menunjukkan hampir pukul 3.00pm. Pukul 3.30pm ada mesyuarat dengan bis boss. Baru nak semak agenda mesyuarat yang bakal dihadiri, tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi. Tertera ‘Abang’. Daripada suami saya rupanya. Baru saja saya ucapkan hello, terdengar di sebalik sana, bunyi tangisan bayi. Berdebar rasa hati. “Ana, balik la!! Tak tau naper Sulaim asyik nangis jer dari tadi ni!” Cepat-cepat saya putuskan talian, shut down pc dan capai beg. Kepada rakan sekerja, saya hanya beritahu: “Baby akak nangis jer dari tadi, tak tau naper? Akak balik yer! Tolong bagitau boss akak tak dapat attend mesyuarat.” Dengan harapan kata-kata saya didengar, saya terus meluru ke lif. Jarak dari rumah ke pejabat dalam 12Km tetapi rasa macam lambat saja perjalanan. Macam-macam menerjah fikiran. Risau apa-apa berlaku kepada bayi saya yang baru berusia dua bulan setengah itu. Dalam debar, saya berusaha memanjatkan doa kepada Allah agar tidak ada apa-apa yang serius menimpa bayi saya.

Sampai depan rumah, saya masih dengar tangisan Afkar Sulaim. Suara suami saya memujuk juga jelas kedengaran. Segera saya memberi salam. Pintu dibuka oleh Ayuni. Sejurus itu juga, tangisan bayi saya berhenti. Dengan cepat saya mengambil Sulaim daripada suami. Sulaim memandang saya kemudian terdengar suaranya “uuu….” Terus saya bertanya: “Naper? Cari Ummi yer?” Agaknya menjawab pertanyaan saya, Sulaim terus tersenyum. Subhanallah!! Barulah saya teringat, sejak dua minggu lepas, saya tak pernah lupa mencium kedua-dua pipinya dan memberitahunya saya nak pergi kerja. Cuma pagi tadi, saya tak lakukan perkara yang sama sebab Afkar Sulaim sedang asyik lena di dalam buaian. Agaknya sebab itulah dia mencari saya. Allahu Akbar, Allah Maha Besar!

Bukan sekadar anggapan rindukan saya, bertalu-talu soalan saya ajukan kepada suami. Baby jatuh ke? Tersilap pegang ker? Ada tak biarkan kakak atau abang dukung baby? Macam-macam soalan yang hari ini (kejadian berlaku semalam) saya sendiri dah tak boleh nak ingat. Bagi pembaca yang bernama ibu, anda pasti mengerti perasaan yang saya alami semalam. Ya, risau, bimbang… segalanya bercampur aduk. Hal kerja atau apa saja yang lain dah tak penting lagi tika itu. Yang nampak di mata hanyalah anak. Agaknya begitulah juga keadaan Mak saya tika saya terlibat dalam program pertukaran pelajar antara Uni. Malaya dan Uni. Soka, Jepun. Saya hanya mengirim kad ucapan selamat hari ibu dan selepas itu, tiada langsung khabar yang saya kirimkan. Ya lah, sebulan sahaja saya di sana. Kad saya kirim seminggu selepas tiba di Tokyo. Bagi saya, memadailah. Tak sangka pula, Mak saya tak berselera nak makan hampir dua minggu setelah mengetahui berita kejadian gempa bumi di Jepun, jauh beribu kilometer daripada tempat saya berada. Hinggakan Mak saya bernazar untuk tumbangkan seekor kambing jika saya selamat kembali ke Malaysia.

Itulah hati seorang ibu kan? Saya pernah dengar orang bercakap: “Orang perempuan ni, fikir entah apa-apa. Benda kecik pun nak risau lebih-lebih.” “Anak ok ja, mak pulak yang lebih-lebih meraung.” Macam-macam lagi la. Saya akui, dari segi rasional, memang nampak remeh. Macam kes bayi saya, dia hanya menangis. Suami pun bagitau dia hanya menangis. Tetapi dalam perjalanan balik tu, macam-macam yang menjengah fikiran saya. Semua yang saya fikirkan itulah, saya lontarkan soalannya kepada suami selepas itu. Dan jawapan bagi semua soalan saya, adalah TIDAK. Nyata, Sulaim hanya mencari saya. Namun, bagi seorang ibu, tidak ada perkara yang remeh jika ianya berkaitan dengan anak-anak, betul tak? Bagi wanita bernama ibu, anak adalah lebih utama dan pertama dalam segala hal. Ibu sanggup bersusah payah untuk kebahagiaan anak-anak. Ibu sanggup berlapar demi anak-anak. Paling penting, ibu sanggup menggadaikan nyawa untuk melahirkan anaknya ke dunia. Namun, berapa ramaikah anak-anak yang masih sedar dengan susah payah seorang ibu? Berapa ramaikah anak-anak yang faham hati seorang ibu? Berapa ramaikah anak-anak yang masih mengutamakan ibu?

Saya tahu, dah banyak kali saya tekankan, anak perempuan akan berubah darjat ketaatan daripada ibu bapa kepada suaminya apabila dia berkahwin. Anak lelaki pula akan lebih bertanggungjawab kepada keluarganya sendiri berbanding ibu bapanya. Namun, banyak kali juga saya tekankan, ibu bapa dan keluarga sendiri boleh dijaga bersama serentak jika ada toleransi antara suami dan isteri. Isteri patut mengenang jasa ibu bapa suaminya dan berusaha untuk sama-sama menjaga mereka melalui hari-hari tua. Suami patut sedar, isterinya juga mempunyai ibu bapa yang perlu juga dijaga kebajikan mereka. Jika masing-masing pihak menyedari tugas dan peranan masing-masing, insyaAllah takkan ada hati yang terluka.

Paling penting, hati ibu tidak terguris. Ingatlah, ibu adalah segalanya. Redha Allah kepada seorang anak bergantung kepada redha ibu kepada anak tersebut. Ibu sukar meluahkan perasaan sedih atau lukanya. Malah ibu sanggup berbohong demi menjaga hati anak-anak. Ibu bukan sengaja berbohong sebaliknya ibu tidak mahu anak-anak susah hati dengan keadaannya. Lantas, sebagai anak, kitalah yang perlu lebih peka dan sensitif dengan perasaan ibu. Biar betapa hodoh pun rupa ibu, biar betapa buruk pun kediaman ibu, biar betapa garang pun sikap ibu kepada kita semasa kecil, ibu tetap ibu. Darjatnya tidak pernah jatuh walau apa pun anggapan kita terhadapnya. Syurga tetap di telapak kakinya.

Lantas, kepada anda yang masih mempunyai Ibu atau Mak atau Mama atau Ummi atau apa saja panggilan anda, renungkan ke dalam diri, adakah anda telah melakukan yang terbaik untuk menjaga hati ibu?? Mak!! Kau inspirasi hidupku!!!

****Siaran Februari 2008

17 September 2009

Cikgu oh cikgu

Hampir dua bulan sekolah dibuka untuk sesi persekolahan baru. Puteri sulung saya pun dah semakin kalut dengan kerja rumahnya. Walau baru di kelas tadika, rutin sebegitu melegakan saya. Paling seronok, bila dia pulak berlagak sebagai cikgu dan mengajar adiknya Suhail hampir saban malam selepas selesai kerja rumah dan mengaji. Memang kelakar.

Teringat sekali tu, sampai ja rumah cepat-cepat dia cakap: Ummi! Ari ni kawan Kak Yang (saya panggil Ayang, adiknya panggil Kak Yang, dah lekat Kak yang jugak) yang nama Wafa kena berdiri atas kerusi.

Yer ker? Kenapa?
Wafa tidur masa cikgu mengajar.
Oooo, ok. Ayang jangan tidur tau, nanti kena berdiri jugak.
Kak Yang pun kena berdiri jugak ari ni.
Laaa, naper pulak?
Hehehe… Ayang sembang dengan kawan…

Saya menahan gelak. Betul lah anak ummi, peramah sangat-sangat. Dalam menahan ketawa tu, sempat jugak saya nasihatkan jangan ulangi kesilapan tersebut, nanti kena denda lagi. Boleh nak berbual tetapi bukan masa belajar. Itu cerita anak saya. Semalam, saya sempat berbual dengan seorang kawan, mengenai anaknya yang kini di tahun satu. Kata kawan saya tu, anak perempuannya itu didenda duduk di kantin sekolah sepanjang sesi pembelajaran satu mata pelajaran gara-gara belum mempunyai buku kerja. Buku kerja tersebut perlu dibeli di koperasi sekolah. Sehari sebelum tu, kawan saya dah pergi ke koperasi untuk membeli buku yang dimaksudkan tetapi diberitahu kehabisan stok., akan tiba dalam beberapa hari lagi. Penangan kehabisan stok itulah, anak kawan saya didenda. Yang kawan saya pertikaikan, takkan lah cikgu tak boleh tolak ansur sebab buku memang dah habis di koperasi tu. Satu hal lagi, kenapa perlu disuruh tinggal sendirian di kantin sekolah tu. Dalam keadaan sekarang ni, macam-macam hal boleh terjadi. Hmm…. Saya faham kerisauan kawan saya itu. Kalau saya di tempatnya, mesti saya juga berpendirian serupa.

Ya lah… setiap ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah dengan satu harapan, cikgu-cikgu bukan sekadar bertanggungjawab mengajar anak-anak mereka tetapi juga mendidik dan mengambil tahu keselamatan anak-anak tersebut. Cikgu lah harapan ibu bapa untuk menjaga keselamatan anak-anak sepanjang tempoh anak-anak bersama mereka. Apakah semua cikgu mengerti tanggungjawab ini? Maaf, saya bukan menafikan kekredibilitian guru-guru tetapi dah banyak kali juga sampai ke telinga saya mengenai kisah sesetengah guru yang sekadar masuk kelas dan terima gaji setiap hujung bulan. Ada satu kes, seorang guru yang sesedap rasa melaksanakan cuti sendiri. Sekolah belum cuti, dia dah cuti. Sekolah dah buka, dia masih bercuti. Apa nak jadi dengan anak-anak bangsa jika ramai cikgu-cikgu begini?

Saya masih ingat lagi dengan seorang lelaki yang saya jalankan sesi temuduga beberapa bulan lepas, menceritakan pengalamannya menjadi guru sementara. Seorang pelajarnya berbangsa Cina selalu sangat tak siapkan kerja rumah. Pakaian selekeh dan selalu kotor. Dah banyak kali dia marahkan pelajarnya itu tetapi tak juga berubah. Hinggalah satu hari, dia terfikir nak kenal dengan keluarga pelajarnya. Mengikut rekod, pelajarnya itu anak seorang peniaga. Satu hari, cikgu ini cuba mencari rumah pelajarnya mengikut alamat yang direkodkan. Terletak di tengah-tengah kesibukan kota raya. Tika melalui jalan belakang bangunan (rumah kedai), tiba-tiba cikgu tedengar satu arahan di dalam bahasa Cina. Tak lama dia ternampak pelajarnya (dalam pakaian yang lusuh dan comot) mengendong keluar satu plastik besar berisi sampah. Pelajarnya terkejut memandangnya. Kesempatan yang ada diambil untuk mengenali hidup sebenar pelajarnya. Barulah cikgu itu tahu keadaan sebenar pelajarnya yang sentiasa sibuk membantu ibu bapa mencari rezeki di sebuah gerai kecil hingga tidak ada masa untuk membuat kerja sekolah.

Persoalannya, berapa ramai cikgu yang bertindak sedemikian? Bukan asing lagi kisah-kisah anak-anak mereka yang tidak berdaya dan tidak mampu dipukul, didenda malah diherdik dan dihina kerana gagal membayar yuran sekolah atau membeli buku. Hingga memaksa anak-anak ini berhenti sekolah. Apa ni? Takkan nak kena masuk tv dulu baru nak dihulurkan bantuan?? Mereka yang bernama cikgu atau guru atau ustaz atau ustazah perlu lebih peka dengan kehidupan pelajar. Bukan nak suruh cikgu menanggung setiap pelajar yang mempunyai masalah kewangan. Apalah salahnya lakukan apa-apa cara yang boleh membantu pelajar tersebut? Bukan bila gagal siapkan sesuatu atau gagal membayar atau sediakan buku, terus dimarah dan diherdik.

Ingatlah, anak-anak yang dihantar kepada anda adalah anak-anak yang tagihkan ilmu dan didikan, tak kurang juga kasih sayang. Anak-anak itu juga membawa harapan ibu bapa agar anda menjadikan anak-anak mereka seorang yang berguna kepada diri sendiri, agama, bangsa dan negara. Memegang jawatan sebagai seorang guru bukan bererti sekadar masuk kelas, ajar dua tiga perkara, berikan kerja rumah. Kerja tak siap, bebas memarahi dan mengherdik. Bukan, bukan dan bukan. Anak-anak zaman kini tidak boleh ditangani dengan kemarahan sebaliknya dengan kasih sayang. Bukan bererti cikgu-cikgu tak boleh nak marah tetapi marah yang bertempat dan kenal pasti sebabnya dulu. Saya pernah menjadi guru. Bapa saya juga pencen sebagai seorang guru besar. Saya hargai pengorbanan cikgu yang betul-betul menjalankan tanggungjawab sebagai guru kerana saya akui, tugas guru adalah besar dan mencabar. Tugas sebagai cikgu adalah tugas yang mulia. JANGAN ROSAKKAN KEMULIAAN INI.

****Siaran Februari 2008

04 September 2009

Bagaimana acuan begitulah kuihnya

Hampir dua bulan ‘berkurung’, akhirnya saya kembali ke pejabat hari ini. Rasa seperti burung yang baru bebas dari sangkar. Bukan tak suka berada di rumah tetapi kesibukan bekerja seharian sudah menjadi rutin hidup saya. Minda saya telah disetkan hari-hari biasa adalah hari bekerja dan malam hari serta hujung minggu adalah masa untuk bersama keluarga. Alhamdulillah, suami dan anak-anak sudah mengerti rutin harian saya ini. Hinggakan hampir setiap hari, tika menjalani tempoh berpantang dan cuti bersalin, kedua-dua anak saya akan bertanya: “Ummi tak kerja ke hari ni?” Hampir setiap hari juga la saya perlu menjawab: “Tak. Ummi tak kerja. Ummi cuti panjang.” Dan anak-anak akan mengucapkan “oooooooooo”……

Bila dah lama tak berjumpa dengan rakan sekerja, rasa terlalu banyak benda yang nak dikongsikan. Makan tengahari hari ini jadi padat dengan ketawa bila masing-masing bercerita tentang gelagat anak masing-masing apabila kehendak dan permintaan mereka tika berada di pasaraya ditolak. Seorang kawan bercerita tentang gelagat anak sulungnya berusia hampir tiga tahun yang membuka bajunya di khalayak ramai di sebuah gedung beli belah gara-gara kehendaknya untuk mendapatkan sejenis permainan ditolak. Seorang rakan lagi bercerita mengenai anak sulungnya juga yang berusia hampir lima tahun yang menangis terisak-isak apabila permintaannya tidak dipenuhi. Paling lucu bila si ibu siap mencabar si anak: “Menangislah camana pun, ibu tetap akan menang. Ibu takkan beli….” Bila tiba giliran saya, tak ada cerita yang menarik sebab anak-anak saya telah biasa dengan permintaan yang tidak dilayan.

Boleh dikatakan setiap kali anak-anak meminta, ada saja alasan yang saya berikan. Apabila permintaan tidak lagi keluar daripada mulut anak-anak, barulah saya ikhtiarkan untuk membeli barangan tersebut. Mungkin ada yang menganggap saya ini kedekut. Biarlah, saya cuma bertindak sama seperti Mak dan Bapa saya dahulu. Saya masih ingat lagi, memang susah untuk saya dapatkan apa sahaja. Kalau inginkan sesuatu, saya perlu melepasi beberapa ujian dan selalunya ujian tersebut adalah lulus cemerlang dalam peperiksaan. Bukan sahaja saya malah adik-adik saya juga. Hinggakan pernah satu ketika saya berjanji dengan diri sendiri, kalau ditakdirkan saya mempunyai anak-anak, saya takkan lakukan perkara yang sama yang Bapa dan Mak lakukan kepada saya. Bila dah dewasa dan tau bukan senang nak dapatkan duit, saya mula faham kenapa Bapa dan Mak bertindak sedemikian kepada saya dan adik-adik. Kini, saya bertindak cara yang sama kepada anak-anak saya. Alhamdulillah, anak-anak mendengar cakap walau sesekali pernah juga menarik muka 14 (ikut kata Mak saya) bila permintaan mereka tidak saya penuhi.

Tak kisahlah 14 ke 18, yang penting bila anak-anak saya dewasa nanti, mereka akan turut faham seperti mana saya mengerti cerita di sebalik tindakan Bapa dan Mak. Sebabnya, terlalu banyak kebaikannya. Anak-anak yang biasa hidup susah akan lebih menghargai hidup bila merasa nikmat kesenangan. Mereka juga takkan cepat melatah bila teruji dengan kesusahan atau kepayahan hidup. Sebaliknya anak-anak yang biasa hidup senang akan mengalami kejutan jika tiba-tiba teruji dengan kesulitan. Saya teringat satu kisah daripada sebuah filem hindi. Sesekali tu, layan la jugak. Bukan sekadar untuk mengisi waktu tetapi menyingkap moral yang boleh dikongsi bersama. Walau sekadar cerita tetapi tidak mustahil ada kisah benar di sebaliknya. Kisahnya mengenai seorang ayah dan anak lelakinya. Si ayah terlalu manjakan si anak hinggakan si anak tidak tahu berdikari. Hatta selepas kahwin, nak bagi makan isteri pun minta dengan si ayah. Mulanya si ayah tak sedar kesilapannya walau ditegur berkali-kali oleh si ibu (isterinya).

Satu hari si ayah dikenal pasti menghidap penyakit barah peringkat kronik. Baru si ayah tersedar tentang nasib si anak. Memang payah nak ubah sikap kebergantungan si anak kepadanya hinggakan terpaksa mewujudkan permusuhan dan kebencian si anak kepada si ayah. Walau kisah tersebut berakhir dengan kegembiraan bila si anak sedar tujuan kebencian yang diwujudkan oleh si ayah tetapi satu persoalan: apakah kita ingin lakukan perkara yang sama seperti kisah tersebut kepada anak-anak kita? Seperti tajuk perbincangan kali ini, kitalah pembentuk sikap dan perangai anak-anak. Jika kita gunakan bahan untuk resepi karipap, takkan lah hasilnya adalah kuih gulung? Jika kita masukkan teh ke dalam cawan, takkan lah hasilnya air milo??

Bukan sekadar kebergantungan malahan sebagai ibu bapa, kita juga boleh membentuk masa depan anak-anak. Teringat saya tentang kisah seorang Ustaz yang menanam cita-cita di dalam diri 10 anak-anaknya sejak kecil. Setiap anaknya diasuh untuk menjadi seseorang yang dirancangnya. Alhamdulillah, berkat usaha dan doa, setiap anaknya berjaya menjadi seperti yang dirancangnya. Meneladani kisah Ustaz itulah juga, saya mendidik anak-anak saya dengan cita-cita yang tersendiri. Hinggakan tika anak-anak baru tau bercakap, jika ditanya mengenai cita-cita, mereka telah tahu mengucapkannya. Hari demi hari membesar, anak-anak didedahkan dengan bentuk kerja yang dicita-citakan itu. Puteri sulung sebagai jurutera, putera kedua sebagai doktor. Tika kelahiran anak ketiga, puteri saya yang mencadangkan agar adiknya menjadi angkasawan pula. Itu harapan saya. Saya yakin, semua ibu bapa mempunyai harapan yang tersendiri untuk anak-anak. Impikan, berharap, berusaha dan berdoa….. moga menjadi kenyataan kerana bagaimana acuan, begitulah bentuk kuihnya kan…. insyaAllah!!!

****Siaran Januari 2008

21 Ogos 2009

Tips bersuamikan lelaki lebih rendah tahap pendidikan

Dah banyak kali saya diminta untuk membincangkan mengenai topik kali ini. Isu demi isu disusun dan diutarakan, baru kali ini saya berpeluang mengenengahkan isu ini. Sebenarnya perkahwinan antara gadis atau wanita berpendidikan lebih tinggi dan mempunyai kerjaya yang lebih baik dengan lelaki yang lebih rendah atau sederhana, bukan lagi fenomena biasa. Biarpun hamper semua kes, perhubungan antara mereka dihalang keras oleh ibu bapa pihak perempuan namun kebanyakannya tetap meneruskan hubungan dan berjaya memasuki alam rumahtangga.

Semua sedia maklum, perkahwinan umpama bahtera yang belayar di lautan. Ada masanya tenangn dan ada tikanya bergelora. Namun, dalam kes melibatkan perkahwinan lelaki berpendidikan lebih rendah dan berpendapatan kurang berbanding isteri, gelora yang melanda terlalu cepat menjadi taufan. Kesannya, percintaan bertahan lima tahun sebaliknya perkahwinan mampu bertahan lima bulan , nauzubillah min zalik.

Realitinya, perkahwinan beza taraf seperti ini tetap boleh mencapai bahagia. Saya sendiri berkahwin dengan lelaki yang hanya lulus SPM sahaja dengan pangkat dua, baru sahaja pencen askar dengan pangkat Lans Koperal sahaja. Namun, alhamdulillah perkahwinan kami menjangkau enam tahun dengan kurniaan seorang puteri dan dua orang putera. Bohonglah kalau saya katakan perkahwianan saya bebas dari ujian. Sama seperti orang lain, ada tikanya berlaku selisih faham. Namun, syukur tidak berpanjangan. InsyaAllah saya akan bincangkan beberapa tips yang boleh diamalkan bagi menyelamatkan perkahwinan anda daripada terus bergelora.

Perkara pertama ialah anda sedar dan tahu kedudukan dan peranan anda sebagai isteri ataupun suami. Kepada isteri, walaupun anda lebih bijak dan berpendidikan, bukan bererti anda boleh memperbodohkan suami anda sesuka hati. Andai takdirkan anda adalah ketua kepada suami anda di tempat kerja, di rumah pula suamilah ketua rumahtangga. Anda boleh memberi arahan dan marahkan suami jika ada urusan pejabat yang tak diurus sewajarnya, tetapi ingat!! Urusan pejabat hanyalah urusan di pejabat. Di rumah, anda berperanan sebagai isteri atau ibu. Segala yang berlaku di pejabat jangan dibawa balik ke rumah.

Kepada suami, jangan ada rasa rendah diri. Biar siapa pun anda, anda adalah suami dan ketua rumahtangga. Mungkin anda lebih rendah tahap pendidikan dan berpendapatan lebih rendah berbanding isteri tetapi itu bukan anda boleh menjadi hamba isteri.Tak boleh menjadi hamba isteri bukan bermaksud anda boleh menghambakan isteri anda pula. Walau anda ketua keluarga, anda tidak berhak mengarah itu ini kepada isteri. Anda juga tidak berhak meminta wang sesuka hati daripada isteri. Mungkin pendapatan anda sedikit namun ia tidak menafikan tanggungjawab anda sebagai suami dan bapa. Anda tetap WAJIB mengeluarkan perbelanjaan untuk menanggung segala keperluan isteri dan anak-anak. Jika isteri menghulur bantuan, ianya adalah bonus kepada anda tetapi jika isteri menganggap hulurannya itu sebagai hutang maka anda perlu melangsaikan segala hutang tersebut walaupun tidak dituntut.

Di samping sedar, tahu menjalankan peranan anda, perkara yang paling penting ialah JANGAN MENGUNGKIT LATAR BELAKANG masing-masing. Isteri jangan sesekali menjadikan latar belakang suami sebagai senjata untuk menjatuhkan air muka dan harga diri suami. Jika kelemahan suami itu anda persoalkan, kenapa dahulu beriya sangat menjadi pasangannya? Suami juga tidak boleh menjadikan latar belakang sendiri untuk menutup mulut isteri atau menjadikan latar belakang isteri sebagai senjata untuk meminta simpati. Setelah hubungan suami isteri sah diakadkan, tak kira apa juga latar belakang anda, anda perlu satukan ia menjadi satu sikap toleransi. Hanya dengan toleransi, bahtera perkahwinan anda akan dapat terus belayar menuju destinasi, insyaAllah.

Satu perkara yang tidak kurang pentingnya ialah TERIMALAH PASANGAN ANDA SEADANYA. Jangan bandingkan pasangan anda dengan orang lain. Dah anda tahu suami anda berpendapatan lebih rendah, janganlah mengharapkan dia menyalutkan badan anda dengan emas atau menghiaskan rumah anda dengan perabot mewah. Jangan pertikaikan ketidakupayaan suami anda memberikan kehidupan yang sempurna tanpa bantuan anda. Seperti yang saya persoalkan tadi, anda dah tahu latar belakang dirinya, kenapa masih menerimanya jika kini latar belakang itu anda jadikan senjata menikam dirinya pula? Kepada suami pula, dah anda tahu kerjaya isteri anda perlukan komitmen dan masa yang lebih, berilah sokongan kepadanya dan jangan ragui kesetiaanya pula.

Percayai diri anda, percayai pasangan anda, berdoalah kepada-Nya, insyaAllah perkahwinan anda akan bahagia.

17 Ogos 2009

Penghargaan buat pasangan

“Kenapa suami tak pernah hargai isteri?” Ini adalah soalan yang dikemukakan kepada saya melalui satu sms beberapa bulan yang lalu. Persoalan tersebut saya simpan dengan azam akan bincangkannya melalui ruangan ini tidak lama selepas itu. Namun, sebagai insan biasa saya terlupa hinggalah malam ini, tika tanpa sengaja saya ‘on’kan telefon bimbit suami yang ter’off’ dengan sendirinya setelah terjatuh kerana dimain oleh anak-anak. Mengejutkan saya apabila ‘welcome note’ yang tertera di telefon bimbit tersebut tercatat: “isteri bukanlah hak milik tetapi anugerah”. Bagi setengah orang apalah sangat kata-kata tersebut kan! Itu kan kata-kata popular di dalam filem Cinta. Tapi bagi saya, ianya adalah tanda betapa suami menghargai saya, isterinya. Perasaan tersebut membuat saya asyik tersenyum sendiri malam ini hinggakan ditegur oleh suami. Lantas, persoalan sms tersebut menerjah fikiran.

Sebenarnya, saya kurang bersetuju dengan persoalan tersebut. Sebab?? Bukan semua suami tak menghargai isteri. Dalam beberapa kes, isteri yang tak sedar betapa suami menghargai dirinya. Mungkin cara suami yang menghargai dalam diam atau sikap isteri yang mengharapkan sesuatu yang berbeza bagi membuktikan dirinya dihargai. Namun, saya tak nafikan juga dalam beberapa kes yang melibatkan para isteri yang langsung tidak pandai menghargai suaminya. Nauzubillah min zalik.

Bagaimanakah dengan anda? Adakah anda rasa dihargai oleh pasangan anda? Nanti dulu, sebelum persoalan tersebut anda jawab, jawab dulu soalan ini: Apakah anda menghargai pasangan anda? Ambil masa anda dan fakir dengan teliti. Jika jawapan ya, syukur alhamdulillah. Tapi, apakah pasangan anda tahu dan sedar betapa anda menghargainya? Jika anda yakin telah menghargai pasangan anda, apakah pasangan anda merasakannya? Memang terlalu banyak persoalan kerana hanya soalan demi soalan sahajalah, diri anda dan pasangan anda akan dapat dikoreksi. Persoalan yang paling penting ialah bagaimanakah bentuk penghargaan yang sebenarnya perlu diberikan kepada pasangan anda?

Hakikatnya, penghargaan yang adalah sama seperti kebahagiaan, terlalu abstrak dan global untuk didefinisikan. Ada yang menganggap pemberian hadiah, kad atau jambangan bunga pada hari-hari istimewa adalah satu penghargaan. Bila hari-hari istimewa berlalu begitu saja tanpa apa-apa ucapan apatah lagi keraian, mulalah timbul perasaan di dalam diri betapa diri anda tidak dihargai, begitu??

Secara mudah, saya ingin menyeru kepada semua individu tak kiralah suami atau isteri, jangan terlalu meletakkan harapan yang tinggi kepada pasangan anda. Terimalah pasangan anda seadanya. Apabila anda mampu mendisiplinkan diri dengan prinsip tersebut, percayalah, anda akan rasa diri anda dihargai walau hanya apabila pasangan anda melakukan sesuatu yang bukan tanggungjawabnya. Ya! Melakukan sesuatu yang bukan tanggungjawab merupakan bentuk penghargaan yang paling mudah. Malah ianya adalah lebih mudah daripada menerima ucapan terima kasih daripada pasangan. Tak percaya?

Fikirkan, pernah tak anda ucapkan terima kasih kepada pasangan anda? Kalau pernah, berapa kali? Bila? Setelah menerima hadiah, bunga atau kad? Bagaimana dengan perkara-perkara biasa? Pernah tak anda ucapkan terima kasih apabila isteri menghidangkan juadah untuk anda? Pernah tak anda ucapakan terima kasih setelah suami anda menolong anda buaikan bayi? Paling penting, berapa ramai suami yang mengucapkan terima kasih kepada isteri masing-masing yang telah menyabung nyawa melahirkan zuriat anda?

Mungkin anda berpendapat, buat apalah nak ucap terima ksih sedang semua yang dilakukan itu adalah tanggungjawab dan tugas yang telah termaktub. Ya, saya akui ianya tanggungjawab tapi tak terfikirkah anda, apabila anda membiasakan diri dengan perkara-perkara kecil sedemikian, barulah anda akan dapat melakukan penghargaan dalam bentuk yang lebih besar.

Jangan ambil terlalu mudah di dalam melahirkan penghargaan kepada pasangan. Penghargaan adalah antara cara untuk meluahkan rasa saying. Jika pasangan anda sedar betapa anda menghargai dirinya, tak perlu lagi ada ucapan cinta sepanjang masa. Sebaliknya jika setiap minit anda meluahkan rasa cinta tetapi pasangan anda tidak merasainya malah tidak langsung merasa dirinya dihargai, jangan terkejut jika tiba satu hari, anda kehilangan kasih sayangnya dan dirinya juga. Oleh itu hargailah pasangan anda sebelum terlambat.

****Siaran November 2007