07 November 2013

Doa masih perlukan usaha

Alhamdulillah, Kem Jati Diri Wanita Lembut Tetapi Bukan Lemah berjaya diadakan pada hari kedua Ramadhan yang lalu. Ada permintaan untuk kem seterusnya, insyaAllah, saya akan usahakan. Biarpun kem tersebut telah lebih dua bulan berlalu namun kes-kes yang diketengahkan sepanjang perjalanan kem masih membekas di hati saya. Terdapat beberapa kes yang paling meninggalkan kesan antaranya kisah wanita muda yang datang bersama bayinya yang masih menyusu, seorang isteri yang ditinggalkan bersama anak-anak dek kerana suami bekerja jauh dan dalam masa yang sama bertindak seolah-olah dirinya tidak beristeri dan punya anak, macam-macam lagi. Hari ini, saya terima satu emel daripada seorang peserta yang mendaftarkan diri tetapi gagal hadir tika program diadakan.

Menurut pengirim emel, perkahwinannya bakal berusia 19 tahun, dengan sepasang cahayamata berusia 18 dan 16 tahun. Sejak selepas melahirkan anak kedua, suaminya berubah sikap. Suami bekerja sendiri, selalu balik lewat malam, tak peduli hal makan minum isteri dan anak-anak atau apa-apa keperluan pun. Segalanya dibebankan ke bahu isteri. Mula dulu, suami pernah ditanya malah diminta wang belanja tetapi hanya tengkingan dan sumpah seranah diperolehi menyebabkan si isteri bertindak mendiamkan diri, tak peduli lagi apa pun tindakan suami. Si isteri hanya diam, menjalankan tanggungjawab sebagai isteri bila dikehendaki dan kadang-kadang, memberikan wang kepada suami yang dikatakan sebagai hutang, hingga sekarang belum pernah ada apa-apa bayaran.

Bagi mengelakkan pertengkaran, si isteri hanya diam, diam dan diam tetapi dalam masa yang sama, si isteri berdoa agar suaminya berubah dan menjadi seorang suami yang baik serta bertanggungjawab, hinggalah ke saat emel dikirimkan kepada saya, keadaan tetap serupa dengan keadaan 16 tahun lalu. Saya ditanya, kenapa setelah sekian lama, doanya masih belum dimakbulkan?

Saya pasti, telah ada di kalangan pembaca yang mula faham dengan pilihan topik saya kali ini. Ya!!! Memang betul la ada janji Allah SWT kepada hamba-Nya: “Mintalah nescaya Aku kabulkan.”  Sungguh pun begitu, meminta kepada-Nya tanpa melakukan apa-apa ikhtiar dan usaha, bukanlah satu tindakan yang betul. Allah dah janji: Dia takkan ubah nasib kita jika kita sendiri tak nak ubah. Tiada usaha dan ikhtiar samalah dengan tidak berkehendak kepada perubahan. Ya! Doa mintak berubah tapi kalau cuma meminta, meminta dan terus meminta, tanpa ada ikhtiar dan usaha yang selari dengan doa tersebut, sudah pastilah doa anda sia-sia.

Analogi mudah: Anda lapar. Anda berdoa kepada Allah agar anda rasa kenyang! Berdoalah 24 jam pun, secara logiknya lah, memang anda akan tetap rasa lapar walaupun tidak mustahil Allah boleh berikan anda rasa kenyang. Memang boleh, bila Allah sebut; “kun, fayakun!” Saya akui kebenaran tersebut. Cuma sebagai manusia, kita memang disuruh supaya ikhtiar dan usaha, bukan meminta dan berdoa sahaja. Kalau cukup sekadar doa, kenapa Rasulullah SAW berdakwah selama 23 tahun untuk menyampaikan kebenaran Islam? Baginda menghadapi pelbagai rintangan termasuk luka ketika perang, berlapar dan macam-macam lagi. Sebagai rasul malah kekasih Allah, bukankah lebih senang kalau baginda berdoa saja dan sudah pasti juga, doa baginda tidak terhijab langsung. Tetapi baginda tidak berbuat begitu. Pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan hingga kini, kita merasai nikmat beragama Islam.

Kalau Rasulullah SAW berusaha beserta dengan doa, apa lebih dan istimewanya kita yang hanya berharap kepada doa, tanpa melakukan sebarang usaha? Usaha terbahagi kepada macam-macam perkara. Merujuk kes di awal perbincangan, sepatut si isteri berbincang dengan suami. Tak nak bising? Apakah diam itu menyelesaikan masalah? Tak boleh berbincang, adukan kepada pihak berkuasa, kepada pejabat agama berdekatan. Anda kena faham, buat aduan ke pejabat agama bukan bermaksud anda akan bercerai atau perlu bercerai ya!!

Saya faham, semua orang ingin kekal dalam perkahwinan. Semua orang sayangkan perkahwinan. Pejabat agama bukannya nak menceraikan anda. Mahkamah juga bukan nak ceraikan anda. Pejabat agama boleh bertindak sebagai penasihat. Jika anda dan pasangan anda sukar untuk berbicara, wakil pejabat agama akan menjadi orang tengahnya. Kalau kes tak boleh diselamatkan, maka kes dibawa ke muka pengadilan, itu pun atas permintaan anda atau pasangan anda. Wakil pejabat agama takkan suka-suka saja mendaftarkan kes anda di mahkamah.

Seperkara lagi yang perlu diingat, sikap manusia tak mungkin berubah hanya dengan doa. Untuk ubah sikap, anda perlu tegur, beri nasihat, berbincang, bercakap dengan perlahan malah ada tikanya anda perlu bertegas. Bukan hanya diam dan diam dan diam bersama dengan doa dan doa dan doa. Apa pun perkara, keputusan, apa-apa saja yang berkaitan dengan hidup kita seharian, perlukan ikhtiar dan usaha. Doa adalah antara usaha yang perlu dilakukan bersama dengan usaha-usaha lain yang telah saya sebutkan tadi! Ikhtiar, usaha, doa, tawakkal! Berserah kepada-Nya setelah berusaha, Dia tau yang terbaik untuk anda!!

****Siaran Disember 2009. Sertai Bengkel Wanita JITU pada 14 Disember 2013. Info layari http://wanitajayaintelektrampilunggul.blogspot.com/

1 ulasan:

Unknown berkata...

Betul tu...
doa dan usaha saling berkait..dan kemudiannya tawakkal....

Jemput ke blog saya jugak..
http://jomsihatjomgojes.blogspot.com