08 April 2009

Erti cinta sejati

Kenalkah anda siapakah Jamil dan Musfirah? Pasangan suami isteri yang mempunyai empat cahayamata bernama Fatin Aishah, Munirah, Muazzam dan Fahmi? Bagi penonton setia rancangan Bersamamu TV3, pasti mengenali mereka yang saya maksudkan ini. Ya, mereka ialah keluarga bahagia walaupun hidup dalam keadaan terlalu sederhana dan redha dengan segala ujian yang diberikan oleh Allah Taala. Bagi saya, Musfirah adalah isteri yang bertuah dan beruntung kerana berjaya mengecap erti cinta sejati seorang suami. Walaupun terlantar sakit, tidak mampu menguruskan diri sendiri apatah lagi menguruskan keperluan suami dan anak-anak malahan anak-anak yang baru mengenali erti hidup yang perlu membantu Musfirah hatta untuk sesuap nasi, Musfirah tetap menerima kasih sayang yang tidak berbelah bahagi daripada suaminya. Betapa bertuahnya Musfirah kerana tidak ramai isteri yang bernasib baik sepertinya.

Saya masih ingat beberapa kes isteri yang ditinggalkan oleh suami hanya kerana tidak mampu lagi melayan keperluan suami terutama keperluan seksual. Di utara tanahair, seorang isteri yang koma setelah melahirkan anak yang kesembilan, ditinggalkan suami begitu sahaja tanpa mempedulikan pengorbanan isteri sebelum itu malahan anak-anak juga dibiarkan di bawah jagaan mentuanya yang uzur. Awal tahun baru ni, seorang isteri muda berusia hujung 20-an menceritakan bagaimana suami yang dikenalinya sebelum kahwin sebagai seorang yang amat prihatin sanggup menceraikannya semata-mata si isteri yang lumpuh dari pinggang ke bawah selepas melahirkan anak sulung mereka, meminta wang RM5 untuk membeli shampoo. Banyak kes lagi yang telah sampai ke telinga saya yang kalau nak dikumpulkan, boleh menjadi beberapa tajuk hebat siri samarinda. Lantaran itulah, bila mengetahui nasib Musfirah, Mak Cik Mashitah (seorang isteri awal 60-an yang mengalami nasib yang sama dengan Musfirah, juga disiarkan melalui siri Bersamamu), saya rasa amat terharu dan terfikir sendiri, apakah nasib saya jika di tempat mereka?

Bukan mempertikaikan ketulusan kasih suami tetapi sekadar mengingatkan diri sendiri agar jangan lupa berdoa, memohon dan mengharapkan agar kasih sayang suami kepada saya tetap kekal sejati biarpun tiba satu masa, saya tidak lagi sihat sempurna seperti hari ini. Kenapa? Ya, manusia boleh berubah. Pengalaman saya mengendalikan kes-kes rumahtangga cukup memberikan saya keinsafan pentingnya untuk terus berdoa memohon segala yang terbaik daripada-Nya. Saya telah saksikan banyak cinta yang dikatakan agong, musnah di tengah jalan semata-mata kegagalan satu pihak memainkan peranan dan kegagalan tersebut di luar keupayaannya. Seperti kes yang saya sebutkan tadi. Bukan sahaja kes isteri ditinggalkan suami malah ada kes isteri meninggalkan suami dengan alasan yang sama, nauzubillah.

Jika anda mencanangkan cinta anda cinta sejati, cinta anda cinta agong menyamai atau mengalahkan cinta Laila dan Majnun, kenapa perlu meminggirkan pilihan hati anda setelah dia tidak berupaya melayani kehendak anda? Bukan sekadar kehendak seksual malah ada kes perceraian berlaku semata-mata suami tidak mampu memenuhi kehendak isteri untuk hidup mewah seperti kehidupannya sebelum berkahwin. Ini bukan cerita Sabariah dan Kasim Selamat tetapi hakikat yang berlaku di dunia hari ini. Persoalannya, apakah sebab dan alasan ketika anda menerima pasangan anda sebagai teman hidup satu masa dulu? Hanya kerana menyayanginya dan ingin hidup bersama? Ke mana perginya kasih sayang anda itu? Kenapa setelah perlu menghadapi kesusahan atau pasangan anda menyusahkan anda, anda berpaling kasih? Ke mana perginya setia yang diucapkan? Ke mana hilangnya janji susah senang bersama?

Mungkin ada yang pertikaikan, buat apalah saya nak kalut dan bising-bising persoalkan semua ni? Hak masing-masing la kan? Lagipun, bukankah dalam undang-undang keluarga Islam yang dipraktikkan kini ada memperuntukkan kebenaran untuk memohon fasakh sekiranya pasangan tidak mampu melayani kehendak batin? Kaum lelaki juga layak memohon untuk berpoligami andai isteri sedia ada tidak mampu melayan kehendak suami. Habis? Nak kecoh-kecoh apa lagi? Ya, saya faham semua tu. Faham dan tahu sangat-sangat. Seperti yang saya pernah jelaskan bahawa perkahwinan mempunyai prinsip dan hikmah yang tersendiri. Bukan sekadar untuk menjalani kesenangan hidup bersama tetapi juga menghadapi kesusahan dan segala ujian hidup bersama. Tika kesusahan tanpa kawalan ini berlakulah, segala janji dimeterai dan kasih sayang yang diucapkan sebelum ini teruji. Satu perkara yang tidak boleh dinafikan ialah perkahwinan dan kehidupan ini memang tidak dapat lari daripada pelbagai ujian.

Ujian mungkin pada diri anda, mungkin juga dialami oleh pasangan anda atau anak-anak anda. Jika anda sanggup menghadapi segala ujian hidup bersama, tanpa mempedulikan kepentingan diri anda semata-mata, sungguh… cinta anda adalah cinta agong….cinta anda adalah cinta sejati. Bagaimana nak wujudkan cinta agong dan sejati? Jawapannya mudah, jika anda ikhlas menyayangi dan menyintai seseorang kerana dirinya, bukan kerana apa yang ada padanya atau bukan kerana apa yang anda harapkan daripadanya, insyaAllah cinta anda adalah cinta sejati. Jika anda ingin memberikan cinta sejati, anda boleh berusaha ke arah itu dan bukan sekadar memberi harapan. Jika anda inginkan cinta sejati, anda perlu berusaha dan berdoa agar Allah menetapkan pendirian pasangan anda agar terus kekal cinta dan sanggup berusah payah bersama anda hingga ke akhir hayat. Berusahalah, berdoalah… demi cinta sejati di dunia ini.

****Siaran April 2007

1 ulasan:

adah berkata...

memang benar bukan mudah untuk mendapat cinta sejati,terimalah pasangan seadanya,kita sebagai hambaNya perlu berusaha dan berdoa agar hati ini penuh keikhlasan menerima dirinya...kerana bukan mudah untuk menjadi ikhlas,dihati hanya ALLAH yang tahu...