03 Mac 2010

Hormati hak orang lain hak anda akan dihormati

“Abang rela kena rebus dalam neraka daripada tengok muncung kakak kamu…”

Petikan kata-kata di atas adalah luahan seorang suami kepada isteri keduanya setelah isteri kedua mempertikaikan kenapa si suami menurut sahaja kata-kata isteri pertama hingga mengabaikan haknya yang juga adalah isteri yang sah. Suaminya seorang yang menunaikan sembahyang, tahu serba sedikit hal-hal agama. Kata-kata suaminya itu amat menikam perasaan si isteri.

Punca kes, wanita A berkahwin dengan lelaki B di sempadan, tanpa pengetahuan isteri pertama, C. Selepas beberapa ketika, setelah didesak oleh A, B akhirnya mengkhabarkan berita perkahwinan A dan B kepada C. C memberontak namun akhirnya bersetuju dan menerima perkahwinan kedua suaminya dengan beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh suami antaranya:
- suami hanya boleh pulang ke rumah isteri kedua pada hari giliran ditetapkan selepas segala urusan harian di rumah isteri pertama selesai iaitu kira-kira selepas jam 9 atau 10pm
- suami tidak dibenarkan makan tengahari bersama isteri kedua
- suami tidak boleh mempunyai anak hasil daripada perkahwinan kedua

Saya tak pasti apakah pandangan anda terhadap kes yang saya bentangkan ini tetapi terus terang, kes ini adalah kes benar. Saya tak nak bincangkan tentang pendirian suami yang sanggup mengeluarkan kata-kata sedemikian sebaliknya saya nak bincangkan tentang sikap tamak dan keji serta kejam seorang wanita bernama isteri tua (isteri-isteri sedia ada dan dalam kes ini isteri pertama lah).

Kenapa saya katakan tamak, keji dan kejam? Ya! Kerana isteri tua bersifat sedemikian. Tamak dalam mendapatkan haknya hingga sanggup bersikap keji terhadap insan sejenis malah bertindak kejam kepada suami sendiri. Kejamlah hingga sanggup menjadikan suami seorang yang mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri kedua.

Kenapa perlu tamak? Sebagai membalas pengorbanan anda yang sanggup menerima kehadiran isteri lain selepas anda? Pengorbanan apa hingga sanggup membiarkan suami mengabaikan tanggungjawab? Anda perlu ingat, isteri kedua atau ketiga atau keempat sekalipun, dia juga mempunyai hak yang sama seperti anda isteri pertama, tak ada lebih dan tak ada kurang. Setiap isteri wajib mendapatkan hak nafkah zahir merangkumi makan minum, tempat tinggal, pakaian, perubatan dan lain-lain keperluan yang munasabah daripada suami. Bezanya, jumlah atau kuantiti. Seperti yang selalu saya tegaskan, adil di dalam poligami bukan bermaksud sama rata sebaliknya hak yang sewajarnya. Mereka juga berhak mendapat nafkah batin dan layanan yang baik sama seperti anda. Kenapa perlu disekat segala hak tersebut?

Kerana isteri kedua merampas? Siapa yang rampas hak siapa? Jika anda adalah isteri pertama dan anda mengamalkan sikap yang sama atau hampir sama dengan sikap isteri pertama di dalam kes yang saya nyatakan di atas, andalah sebenarnya perampas. Isteri yang hadir ke dalam hidup suami anda selepas anda kemudian menerima nasib seperti isteri kedua di dalam kes ini tidak layak dipanggil perampas. Sebab? Mereka ingin berkongsi. Mereka hadir ke dalam hidup anda untuk berkongsi kasih seorang lelaki bernama suami. Poligami dibenarkan di dalam Islam sebagai satu perkongsian, bukan perebutan hak. Sekiranya mereka bersedia untuk berkongsi, kenapa anda tidak??

Ya! Saya faham, seperti yang pernah saya jelaskan, keadaan sama tetapi tidak serupa. Namun, ketidakserupaan keadaan tersebut bukan bererti anda boleh atau berhak merebut suami hingga mengabaikan hak isteri-isteri baru. Sikap anda itu menyebabkan suami anda berada dalam kedudukan menempah tiket ke neraka. Sanggupkah anda?

“Peduli la asalkan aku dapat apa yang aku nak.”
Ke mana perginya rasa kasih dan sayang anda?

“Buat apa nak sayang lelaki yang curang dan khianati kasih?”
Suami anda bukan curang atau khianati kasih. Jika dia curang, dia akan terus mendiamkan diri dan terus menipu anda dalam terang. Jika dia tak sayang, awal-awal lagi dia akan tinggalkan anda dan pilih yang baru.

“Apa pun alasan, aku memang tak leh terima suami aku ada wanita/isteri lain selain aku.” Siapa anda nak mendabik dada bercakap begitu? Ingatlah, kita adalah makhluk yang diciptakan Allah untuk menikmati kehidupan di muka bumi ini. Bukan sekadar hidup sebaliknya segala apa yang kita lakukan adalah bertujuan menjadi ibadat dan mendapat keredhaan-Nya. Allah dah janjikan, setiap hamba akan diuji keimanannya dan ketahuilah, poligami juga termasuk antara ujian di dalam hidup anda.

“Susah sangat, bercerai saja lah!”
Perceraian memang dibenarkan di dalam Islam namun perceraian tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak hukumnya adalah haram. Tidak dapat terima hidup bermadu tidak termasuk di dalam senarai alasan yang dibenarkan oleh syarak. Sekiranya suami anda mampu berlaku adil mengikut kehendak syarak, anda tidak ada alasan untuk keluar daripada perkahwinan tersebut. Bertahanlah kerana ganjarannya amat besar. Paling penting, hormatilah hak orang lain dan insyaAllah, hak anda akan dihormati.

****Siaran Ogos 2008

4 ulasan:

su berkata...

Selalunya si isteri hanya menyalahkan wanita lain yang hadir dalam kehidupannya, padahal suaminya yang mengundang perkara.

Next RizQ berkata...

nice artikel huhu.... teruskan berdakwah

amiza berkata...

Salam,
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul..
Sebagai isteri pertama memang kita kadang2 akan mendabik dada dan cakap apa yang pn. nyatakan dalam artikel ini. Kalau di ikutkan hati, macam2 nak kita cakap dan luahkan. Tambahan lagi, suami bukan seorang yang mampu sebenarnya. Sakit rasanya hendak menerima hakikat. Tapi bila memikirkan hikmah disebalik apa yang berlaku...saya jadi insaf dan cuba untuk menjadi isteri yang lebih bersyukur pada yang sedikit dan lebih bersabar dengan ujianNya. Hingga saat ini saya masih belajar menerima hakikat yang seperti ombak kadang2 tenang kadang bergelora.

otegana2 berkata...

Article anda hebat.

Salam,

Sila bantu Kak, sy seorang anak yang tersepit. Dua ibu bap saya bergaduh sejak kantoi sampai sekarang dah 6 tahun .Tapiayah sayadah taubat masalahnya ibu saya sellau negatif thinking dan mengonkong ayah saya dan memalukan aayah saya dengan kawan-kawannya.
Pasal sepender ibu sendiri dalam kereta hilang cakap ayah yang sorok banyak lagi kak cum setakat ini dulu.

tersepitlove