Baru-baru ini, pembantu saya tunjukkan satu sms: “Puan, saya berkahwin hampir lima tahun lepas dan dah bercerai dengan suami setahun yang lalu. Tapi, kami masih tinggal serumah demi anak-anak dan kebelakangan ini, kami pernah beberapa kali juga terlanjur hingga saya rasakan, kami sudah menjadi suami isteri kembali. Saya pernah luahkan rasa bersalah kepada suami tetapi suami menyatakan: anggap saja kita dah rujuk. Boleh kah begitu puan? Apakah kami perlu rujuk atau nikah semula?”
Sungguh saya berasa amat marah ketika membaca sms tersebut. Kenapa saya marah? Bukankah sepatutnya anda tahu tentang hukum tersebut? Seingat saya, setiap pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga diwajibkan menghadiri kursus perkahwinan. Apa yang anda lakukan semasa kursus? Saya pernah dapat aduan, peserta kursus yang asyik bermadu kasih semasa kursus. Inilah masalahnya dan kesannya, wujud masyarakat yang bertindak ikut hati dan nafsu sendiri. Mungkin pihak yang berkenaan patut bertindak bagi mengatasi masalah yang serupa.
Tahukah anda, apa maksud rujuk? Rujuk dari segi bahasa bererti kembali. Sementara dari segi syarak pula ialah mengembalikan isteri kepada nikah dalam waktu eddah yang bukan talak bain.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 228 bermaksud: “Dan suami-suami mereka lebih berhak untuk mengambil kembali (rujuk) akan isteri-isteri di dalam masa eddah itu jika mereka bertujuan mahu membuat perdamaian.” Di dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka apabila mereka telah mendekati akhir eddah, rujuklah mereka dengan cara yang makruf (baik) atau ceraikan mereka dengan cara yang makruf (baik).” - surah at-Talaq ayat 2.
Ayat-ayat ini jelas menunjukkan rujuk merupakan hak yang diberikan oleh Islam kepada bekas suami untuk melanjutkan ikatan perkahwinannya dengan bekas isteri yang telah diceraikannya sebelum habis waktu eddah isteri. Ingat!! Rujuk hanya boleh berlaku dalam tempoh eddah dan bukan selepasnya.
Merujuk kepada kes, wanita tersebut telah bercerai dengan suaminya setahun yang lalu dan berkelakuan bagai suami isteri semula kebelakangan ini. Saya faham kebelakangan ini adalah tidak lebih tiga bulan. Jika kes cerai biasa, jelas sekali isteri telahpun tamat tempoh eddah. Mana ada rujuk lagi jika eddah dah tamat tempoh?
Saya akui, masih ramai yang keliru tentang tempoh eddah. Sebenarnya, tempoh-tempoh eddah adalah berbeza mengikut jenis perceraian dan keadaan wanita yang dibubarkan perkahwinannya itu. Bagi wanita yang hamil, tempoh eddahnya ialah tamat tempoh kandungannya itu sama ada secara kelahiran biasa atau keguguran, tak kiralah wanita hamil ini diceraikan atau kematian suami. Bagi wanita yang masih didatangi haid dan rutin haidnya adalah normal, tempoh eddahnya ialah sebanyak tiga kali suci. Bagi wanita yang haidnya tidak normal, telah putus haid atau belum kedatangan haid maka eddahnya ialah tiga bulan.
Bagi wanita yang kematian suami dan dia tidak hamil, eddahnya ialah empat bulan sepuluh hari. Sekiranya seseorang wanita kematian suami dan dia pula sedang hamil, eddahnya ialah melahirkan anak kandungan tersebut ataupun keguguran, seperti yang telah saya jelaskan di awal tadi. Namun, bagi perempuan yang baru dinikahi atau telah lama bernikah tetapi tidak pernah disetubuhi suaminya kemudian diceraikan oleh suaminya itu, perempuan itu tidak perlu bereddah. Sebaliknya, sekiranya suaminya itu meninggal dunia walaupun tidak pernah disetubuhi oleh suaminya, dia wajib bereddah selama empat bulan sepuluh hari.
Sekiranya tempoh eddah telah tamat, tiada lagi rujuk sebaliknya pasangan bercerai yang ingin kembali hidup sebagai suami isteri hendaklah melakukan akad nikah baru. Bermaksud, lakukan proses permohonan nikah sama seperti perkahwinan sebelum ini.
Kepada wanita pengirim sms, jangan mengikut kehendak bekas suami atau kehendak nafsu anda sendiri. Apa yang anda dan bekas suami lakukan kebelakangan ini seperti yang anda sebutkan itu adalah sama seperti anda melakukan zina. Ajaklah suami bertaubat bersama-sama dan lakukan proses untuk nikah semula sekiranya masih ingin meneruskan kehidupan sebagai suami isteri.
Kepada pasangan yang mengamalkan hidup serumah biarpun telah bercerai, nasihat saya, seorang perlu keluar dan tinggal berasingan. Terlalu banyak ujian dan dugaan jika tinggal bersama. Banyak cara lain yang boleh anda lakukan untuk menjaga kepentingan dan kemaslahatan anak-anak, bukan dengan menggadai maruah dan hukum agama.
Saya merayu kepada semua terutama kaum wanita, ambil tau dan belajar tentang hukum agama. Kepada bakal pengantin pula, jangan main-main ketika menghadiri kursus perkahwinan. Kursus yang anda hadiri bukan sekadar untuk memberikan anda sijik sebaliknya satu majlis ilmu untuk menyediakan diri anda menghadapi hidup berumahtangga.
****Siaran Oktober 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan