16 Julai 2010

Tinggikan martabat wanita dengan ilmu

Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak isu tentang wanita berkahwin dalam tempoh eddah, wanita bersuami dua, wanita digantung tanpa tali dan macam-macam lagi isu berkaitan hak wanita. Ketika media kecoh dengan isu ‘ustazah jahil’, rakan saya yang bekerja di utara tanahair berdepan isu yang sama, seorang gadis dituduh bernikah dalam tempoh eddah. Majlis perkahwinan si gadis kecoh apabila tak lama selepas akad nikah, seorang lelaki datang berjumpa suaminya memberitahu perkahwinan mereka tidak sah kerana isteri yang dikahwininya baru sebentar tadi itu, masih di dalam tempoh eddah setelah bercerai dengannya kira-kira dua bulan yang lalu.

Kes yang sama juga berlaku di daerah yang sama apabila seorang wanita diputuskan mempunyai dua suami dan Mahkamah Syariah memutuskan perkahwinan kedua itu adalah tidak sah dan mengarahkan si wanita kembali kepada suami yang pertama walaupun wanita tersebut enggan dan tika ini, kes masih dalam peringkat rayuan. Di selatan tanahair pula, seorang wanita rasa kecewa apabila permohonan untuk perkahwinannya gagal dek kerana kegagalannya menyerahkan surat akuan perceraian atau surat akuan kematian bekas suami disebabkan dia sendiri tidak tahu apa-apa berita berkaitan suaminya yang telah meninggalkannya hampir 11 tahun yang lalu.

Kes-kes yang saya kemukakan hakikatnya mewakili banyak kes lain yang kesemuanya berpunca daripada satu perkara: tidak mempunyai ilmu berkaitan dengan hak diri sendiri menurut hukum syarak dan undang-undang. Sungguh, masih terlalu ramai yang tidak ambil kisah dengan ilmu-ilmu sebegini. Malah ada yang beranggapan, mengambil tahu ilmu-ilmu berkaitan terutama tentang pembubaran perkahwinan seolah-olah badi yang akan memakan diri. Teringat kata-kata seorang klien satu tika dulu: “Akak memang tak pernah ambik tahu langsung pasal cerai ni. Kalau baca buku atau majalah apa pun, nampak saja perbincangan pasal cerai ni, memang akak tak baca. Tak nak kena badi tapi tak sangka sungguh, akak terpaksa juga bercerai…”

Terus terang, memang terasa nak gelak besar tapi syukurlah saya masih mampu mengawal diri. Nak takutkan badi apa pulak? Habis tu, semua yang tahu dan arif tentang ilmu rumahtangga, tentang perceraian akan terkena badi lah yer? Eh! Yang tak nak ambil tahu pun terkena badi jugak, apa cerita? Ya Allah! Apa pulak badinya? Belajar, mengambil tahu tentang sesuatu, adalah perkara yang baik, bukannya tak elok. Tak pernah ada manusia yang belajar tentang perceraian atau pembubaran perkahwinan menyimpan niat atau matlamat untuk bercerai. Sebaliknya mereka yang mempunyai ilmu ini berasa lebih bersedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan di hari depan.

Kalau tak der ilmu? Haaa… timbullah kes-kes seperti yang saya sebutkan tadi. Nikah dalam tempoh eddah, digantung tak bertali dan sebagainya. Hakikatnya perkara-perkara seperti itu tidak akan berlaku jika setiap individu terutamanya kaum wanjta sendiri mengambil berat mengenai hak sendiri dan mempunyai ilmu tentang segala yang berkaitan dengan haknya sebagai seorang wanita, isteri dan bekas isteri. Malah dengan ilmu ini jugalah, martabat kaum wanita akan berada di kemuncak, tak mudah dipijak orang.

Saya tak suruh setiap individu mengambil kursus guaman syarie bagi melengkapkan diri dengan ilmu kekeluargaan Islam dan undang-undang syariah. Yang saya harapkan ialah setiap gadis dan wanita membaca dan mengambil tahu mengenai hak-hak anda seperti yang ditetapkan oleh hukum syarak dan undang-undang kekeluargaan Islam. Paling mudah, setiap individu diwajibkan menghadiri kursus pra perkahwinan. Mengikut silibus, setiap perkara berkaitan ada diajar semasa kursus berkenaan, terpulang kepada peserta untuk betul-betul menghayati ilmunya atau sekadar ingin mendapatkan sijil.

Sekarang ini juga banyak buku-buku malah laman-laman yang mengenengahkan tentang ilmu-ilmu berkaitan. Malangnya, buku yang dijual di pasaran atau laman ilmu yang berada di alam siber ini lebih banyak berbanding mereka yang gemar atau berminat untuk mengambil faedah daripadanya. Kesannya, bila timbul suatu masalah, individu-individu ini mula gelabah, mula mencari sumber-sumber yang boleh membantu dalam masa cepat dan segera dan paling tidak sedap didengar, mereka sesuka hati menuduh hak mereka tidak dipedulikan. Bagaimana orang lain nak peduli jika anda sendiri tidak ambil kisah?

Terus terang, saya simpati dengan kaum wanita yang ditimpa masalah dan ujian di dalam rumahtangga. Tambah simpati apabila anda gagal menemui jalan keluar walau hakikatnya jalan tersebut berada di depan mata anda. Lantaran itu lah, saya menyeru malah merayu kaum wanita semua malah para gadis di luar sana agar meninggikan martabat diri anda dengan ilmu. Hanya dengan ilmu sahaja, diri anda tidak mudah diperkotak-katikkan. Bukan dah terhantuk baru nak tengadah. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

****Siaran Disember 2008

Tiada ulasan: