26 September 2010

Tak susah jika kena caranya

Semalam, saya ke Mahkamah menguruskan satu kes. Alhamdulillah, selepas tiga kali ke Mahkamah, kes tersebut selesai. Kes pengesahan cerai melalui sms. Suami melafazkan cerai melalui sms pada awal Mac lalu. Kes pengesahan cerai ini didaftarkan di Mahkamah pada hujung September, disebut kali pertama pada awal Oktober. Ditetapkan untuk perbicaraan pada pertengahan November, seterusnya sambung bicara untuk saksi kedua semalam (hujung Disember) dan di akhir bicara, hakim terus memberikan keputusan kes. Kes pengesahan cerai ini langsung tidak mendapat kerjasama suami dalam erti kata suami langsung tidak hadir ke Mahkamah pada tiga-tiga sesi kes tersebut. Hanya isteri yang hadir dan memberikan keterangan dengan bantuan keterangan daripada dua saksi dan beberapa dokumen yang dikemukakan.

Kenapa boleh jadi begitu? Dalam masa tiga bulan sahaja kes telah selesai? Suami tak hadir pulak tu? Ya!! Bukan kes olok-olok tapi kes yang nyata. Bukan kes yang saya sendiri uruskan ini sahaja sebaliknya semalam, satu kes yang serupa: kes pengesahan cerai juga, suami engkar hadir memberikan keterangan setelah dua kali tarikh perbicaraan ditetapkan, tiada saksi yang mendengar suami melafazkan cerai yang boleh dijadikan saksi kes namun kes selesai apabila Mahkamah mengambil kira keengganan suami untuk hadir walaupun menerima maklumat perbicaraan kes sebagai ‘yamin al-mardudah’ dan si isteri juga diminta untuk menyebut sumpah berkata benar.

Kenapa saya ceritakan dua kes yang berlaku di depan mata saya sendiri semalam? Ya! Bertepatan dengan topik perbincangan kali ini, tak susah jika kena caranya. Rata-rata kaum wanita yang menemui saya, selalu meluahkan: tak suka berurusan dengan Mahkamah sebab selalu sangat kes berpanjangan. Ada kes makan masa setahun, dua tahun malah bertahun-tahun lebih lagi. Saya akui kebenaran tersebut tetapi, percayalah, kelambatan atau penangguhan kes dari satu tarikh ke satu tarikh bukanlah salah pihak Mahkamah, atau kerana anda dianiayai (ada yang berpandangan demikian), bukan juga kerana Mahkamah memihak kepada pihak lelaki sebaliknya kelewatan tersebut hanyalah kerana satu sebab: cara dan prosedur yang tidak betul.

Saya tahu, ramai suami atau pihak lelaki yang berpendapat, kes tidak boleh diteruskan jika suami tidak hadir ke Mahkamah. Anda salah! Pendapat tersebut tidak benar dan tidak tepat sama sekali. Cuba perhatikan surat saman yang anda terima. Maksud saya surat saman daripada Mahkamah Syariah yang meminta agar anda hadir ke Mahkamah. Perhatikan klausa: “Ambil perhatian bahawa jika anda engkar hadir di Mahkamah pada hari dan masa yang ditetapkan, Mahkamah boleh terus mendengar dan memutuskan kes tanpa kehadiran anda.” Klausa ini bukan main-main ya! Sebaliknya satu hakikat.

Habis tu, kenapa ada juga kes yang suami tak hadir tapi Mahkamah tak nak teruskan? Satu peringatan: Mahkamah hanya boleh terus mendengar dan memutuskan kes tanpa kehadiran suami jika Mahkamah berpuas hati dan percaya, saman tersebut telah sampai ke pengetahuan suami. Saya teringat ketika sesi perbicaraan kes yang saya uruskan pada pertengahan November yang lalu, ada satu kes telah tiga kali disebut. Suami masih gagal hadir tetapi menurut si isteri, dia telah memberitahu suami tentang perkara tersebut. Mahkamah tidak boleh mengambil kira keterangan si isteri sebegitu sahaja. Kes ditangguhkan sekali lagi. Nampak ketara riak wajah wanita tersebut yang amat kecewa. Saya tak sempat nak berjumpa wanita itu kerana selepas itu, giliran kes saya pula dipanggil.

Sebenarnya, dalam keadaan sebegitu, si isteri perlu menyediakan dokumen bernama Afidavit Penyampaian yang mencatatkan keterangan bersumpah si isteri bahawa dia telah menyampaikan maklumat saman kes kepada si suami. Kenapa hakim tak beritahu carannya? Ingat ya! Hakim adalah pihak yang menjalankan keadilan kepada semua pihak. Memberikan maklumat mengenai satu cara yang perlu dilakukan oleh mana-mana pihak boleh menjejaskan keadilan yang bakal dilaksanakan. Malumat sebegini hanya boleh anda peroleho daripada Pegawai Mahkamah, Peguam Syarie atau pun Perunding Guaman Syarie. Dalam keadaan seperti ini, hakim hanya boleh nasihatkan pihak yang terlibat untuk mendapatkan khidmat Peguam Syarie. Jika anda menghadapi keadaan sedemikian, ketahuilah bahawa anda mempunyai masalah berurusan dengan Mahkamah kerana menghadapi masalah dari segi tatacara dan prosedur. Kenapa perlu ikut semua tatacara dan prosedur? Hanya dengan tatacara dan prosedur itulah, satu bukti bahawa kes anda dijalankan mengikut kehendak syarak dan undang-undang dan bererti juga, keadilan telah dijalankan.

Sungguh, tak susah jika kena caranya. Nak kena caranya, kena lah tau maklumat yang berkaitan. Saya tak nafikan, ada kes yang menggunakan khidmat Peguam Syarie tetapi masih berlarutan panjang. Berdasarkan kes yang diadukan kepada saya, ada dua sebab: tiada kerjasama pihak lawan dan kes memang perlukan kerjasama pihak lawan kerana jika tiada kerjasama, kes tidak boleh diteruskan contohnya kes nafkah anak. Sebab kedua ialah masalah etika Peguam Syarie sendiri. Seperti yang selalu saya katakan, Peguam Syarie juga adalah manusia yang ada tikanya tersasar. Jika anda ragu-ragu dengan kewibawaan Peguam Syarie yang mewakili anda, anda berhak memberhentikannya daripada terus menguruskan kes anda.

Yang penting, jangan serik mencari maklumat. Hanya dengan maklumat, anda akan tahu cara dan jalan yang benar bagi memudahkan segala urusan anda.

****Siaran Januari 2009

3 ulasan:

Bonda berkata...

Salam Perkenalan. Tahniah. Blog yang penuh dengan informasi. Teruskan usaha murni Suzana. Jika berkelapangan, lawatilah saya di http://pena-bonda.blogspot.com.

ZaridaIshak berkata...

salam, dah agak lama juga saya kenal dengan nama suzana, cuma baru sekarang baru berkesempatan melawat blog ini. Satu perkongsian yang menarik untuk dijadikan panduan hidup terutama bagi yang sedang belajar law. terima kasih kerana sudi berkongsi pandangan dengan kami semua.

just me berkata...

salam...

disaat sy perlukan nasihat, perlukan panduan & pedoman dlm menghadapi masalah kehidupan, Allah temukan sy dgn blog ini..alhamdulilah, setakat scroll down ayat2 terjemahan al-quran kat epi tu pon dah melegakan hati sy yg sarat ni...

moga2 Allah memberkati kamu, puan suzana