20 November 2010

Maksud terima pasangan seadanya

Seorang wanita muda, baru memegang status sebagai ibu tunggal disebabkan si suami mengikut emosi hingga melafazkan talak tiga, mengadakan temujanji perbualan telefon dengan saya. Saya tak nak bincangkan tentang kes yang diadukan cuma yang ingin saya kongsi bersama pembaca semua kali ini ialah tentang konsep atau maksud sebenar satu terma yang menjadi antara syarat mewujudkan kebahagiaan di dalam rumahtangga atau perkahwinan iaitu ‘menerima pasangan seadanya’.

Di dalam perbualan telefon tersebut, wanita muda yang masih bersedih itu meluahkan rasa bersalah, kemungkinan punca suaminya melafazkan talak tiga tersebut ialah kerana kegagalan dirinya menerima suaminya seadanya. Menurut wanita muda ini, suaminya yang seusia dengannya suka sangat menghabiskan masa bersama rakan-rakan hingga sanggup mengenepikan dirinya dan anak kecilnya. Suaminya juga susah nak diajak berbincang dan susah nak dinasihati. Tersilap cakap, suaminya akan merajuk. Menurut wanita tersebut, dia rasa bersalah kerana gagal menerima perwatakan suaminya itu yang merupakan anak lelaki bongsu dan selalu dimanjakan.

Saya yakin, anda faham dengan tujuan saya membincangkan topik kali ini. Ya! Jelas sekali pemahaman wanita muda tadi tentang menerima pasangan seadanya adalah salah dan silap. Maksud sebenar menerima pasangan seadanya ialah menerima kelemahan dan kelebihan yang ada pada diri pasangan anda dalam erti kata pasangan anda itu mampu dan berusaha untuk menunaikan tanggungjawab dan menjalankan peranan sebagai suami atau isteri.

Sebagai contoh, jika seorang gadis mengahwini seorang lelaki yang memang telah diketahui mempunyai pendapatan yang jauh lebih rendah berbanding dirinya maka terma menerima pasangan anda seadanya dalam kes ini ialah si isteri tidak boleh memaksa si suami mengeluarkan belanja yang melebihi kemampuan si suami bagi memenuhi keperluan nafkah zahirnya. Tetapi si isteri masih berhak menuntut keperluan yang munasabah dengan keperluan harian dan selari dengan kemampuan si suami.

Jika si isteri telah terbiasa ketika sebelum berkahwin, menikmati hidangan KFC untuk setiap kali makan tengahari sebaliknya si suami tidak mampu menyediakannya, maka si isteri tidak boleh memaksa si suami menyediakannya. Kenapa? Kerana si isteri telah bersedia dan sanggup menerima si suami yang memang telah diketahui tidak mampu menyediakan hidangan KFC untuk setiap kali waktu makan tengahari itu. Inilah contoh kes menerima pasangan seadanya. Jika si isteri memaksa juga si suami menunaikan kehendaknya, bermaksud si isteri tidak menerima pasangan seadanya. Dah kalau tahu lelaki tu tak mampu penuhi selera mewah anda, kenapa tetap memilih dan menerima dirinya? Kalau dah terima, terimalah seadanya.

Samalah juga dengan kes menerima pasangan yang bertubuh besar. Jika semasa bercinta dan seterusnya berkahwin, anda memang menerima fizikalnya yang bersaiz XL atau XXL, anda tidak wajar menyuruh pasangan anda menukar saiz tersebut kepada L atau M kecuali pasangan anda sendiri yang berhasrat untuk membuat perubahan penampilan. Anda hanya berhak bersuara jika semasa berkahwin saiznya L dan selepas berkahwin, dah jadi XL. Jika anda adalah suami, jangan bersuara sahaja sebaliknya anda perlu memberikan perbelanjaan yang patut dan wajar bagi membantu isteri anda kembali ke saiz asal. Kenapa? Selalunya wanita akan bertukar saiz selepas bersalin bermaksud isteri anda menerima kesan yang puncanya juga adalah daripada anda. Lantaran itulah, anda perlu membantu isteri anda kembali ke saiz asal, jika itu yang anda inginkan. Bukannya menempelak, menyindir atau mencaci maki apatah lagi mencari orang lain semata-mata tidak dapat menerima pertukaran saiz tersebut.

Paling penting, menerima pasangan anda seadanya mestilah dalam erti kata pasangan anda itu masih mampu menunaikan tanggungjawab dan menjalankan peranannya yang perlu dan patut di dalam sesebuah perkahwinan dan rumahtangga. Terima kelebihan dan terima kekurangan. Namun, menerima kelemahan pasangan anda bukanlah bererti hingga memaksa anda mengambil alih peranan dan tanggungjawab yang wajib dilakukan oleh pasangan anda itu. Terdapat perbezaan yang ketara antara suami yang bekerja dan berpendapatan rendah berbanding suami yang enggan bekerja. Suami yang berpendapatan rendah berusaha menjalankan tanggungjawab sebaliknya suami yang malas bekerja, sudah nyata dan pasti dia dengan rela dan selambanya enggan menjalankan tanggungjawab. Sama juga dengan isteri yang enggan dan malas memasak (sinonim sebagai tugas isteri), jauh bezanya dengan isteri yang tidak pandai memasak tetapi tetap berusaha memasak untuk suami.

Lantas, jangan tersalah menilai tentang terma menerima pasangan seadanya. Hakikatnya perkahwinan adalah perkongsian dua jiwa. Kelebihan adalah bonus untuk dikongsi bersama pasangan. Kelemahan pula bukan untuk dijaja atau diperlekehkan tetapi untuk sama-sama diatasi dan diperbaiki. Malah kelebihan satu pihak adalah untuk menampung kelemahan pihak yang satu lagi. Jangan asyik menuding jari menyalahkan diri sendiri atau menyalahkan pasangan sebaliknya berbincang dan cari jalan penyelesaian. InsyaAllah, akan wujud kebahagiaan.

****Siaran Februari 2009
CEPAT! Sertai Kelab Eksekutif Bina Bahagia , Bengkel Menggilap Permata dan Santai Ilmiah.

1 ulasan:

Hawa Syamsyiah berkata...

Salam Puan Suzana..
Dalam konteks suami berpendapatan lebih rendah dari isteri,bagaimana pula jika seorang isteri itu menerima seadanya pasangannya mengikut penerimaan yang disebutkan dalam artikel Puan,tetapi isteri tersebut menggunakan pendapatannya sendiri(hanya selepas kehendak sendiri dipenuhi) untuk membantu keperluan rumah dan kadangkala menghadiahi suaminya dengan pemberian tetentu dengan niat untuk meringankan beban suami dan bagi pemberian tertentu itu,dengan niat untuk suaminya kelihatan lebih bergaya seumpamanya.
Adakah itu dibolehkan dan adakah dikira sebagai isteri itu 'menanggung' sebahagian perbelanjaan walaupun niatnya benar-benar ikhlas kerana kasih sayangnya pada suami?
Adakah ini boleh membawa kepada diambil kesempatan oleh suami nanti?
Harap Puan dapat memberikan pendapat Puan.
Terima kasih :)