27 Februari 2011

Menjaga bayi perlukan sepenuh perhatian

Bulan November tahun lepas, negara gempar dengan kes kematian seorang bayi kerana tersedak susu. Hari ini (tika artikel ini disediakan), media cetak sekali lagi mendedahkan kes yang sama dan kali ini melibatkan bayi berusia tiga bulan. Hakikatnya, terlalu banyak kes serupa berlaku saban hari, kisah kelalaian pengasuh dan taska, malah tak terkecuali kes-kes penderaan bayi secara sembunyi dan hanya dikesan setelah bayi tersebut pergi mengadap Ilahi. Dalam kes terbaru, agak sukar untuk saya percaya seorang pengasuh menjaga empat bayi serentak pada satu masa.

Kenapa boleh jadi begitu? Saya tahu, ramai yang beranggapan menjaga bayi adalah mudah dan senang. Sebabnya bayi hanya tahu tidur dan tidur dan tidur. Bagi je botol susu, letak dalam buai… dah, nanti lelap lagi lah bayi tu. Teringat kata seorang pengasuh di taska anak-anak saya suatu masa dulu. “Kami kena jaga dua baby serentak. Kalau dua-dua nangis tu, Kak A pesan baringkan jer dua-dua sekali kat atas riba, seorang sebelah. Pas tu, goyang je lah peha tu nanti diamlah….” Pengasuh tersebut menceritakan demikian selepas saya mempertikaikan kenapa bayi bertambah sedangkan pengasuh masih dalam jumlah yang sama. Mana nak jaga kanak-kanak yang dah besar sikit lagi. Dek sebab itu jugalah, saya berhenti menghantar anak-anak saya ke sana, bimbang dengan keselamatan da keselesaan anak-anak biarpun tika itu Ayuni dah tiga tahun dan Suhail dah dua tahun.

Terus terang, itu adalah kata dan pendirian orang tak ada akal. Kalaulah tak reti nak jaga bayi sekalipun, fikirkanlah secara waras, apakah wajar seorang bayi yang sinonim dengan tidak mengerti apa-apa: tidak mampu melafazkan apa-apa, laparnya adalah tangisan, dahaganya adalah tangisan, sakitnya adalah tangisan, ngantuknya adalah tangisan, basah kencing atau berak adalah tangisan… segala-galanya yang dilalui dalam kehidupan harian seorang bayi adalah hanya dengan satu signal atau tanda iaitu tangisan… wajarkah diperlakukan sedemikian???

Hakikatnya, menjaga seorang bayi memerlukan perhatian sepenuhnya daripada pengasuh. Ya, seorang bayi lebih banyak tidur, itu saya akui. Namun, tidur bayi juga perlu diperhatikan, bukan hanya menunggu suara tangisan atau rengekannya sahaja. Kes tersedak susu sewajarnya tidak berlaku sekiranya seorang pengasuh, tak kiralah pengasuh di rumah atau di taska, memberikan perhatian yang sewajarnya kepada bayi tersebut.

Menyusukan bayi menggunakan botol bukan bermaksud buat jer susu kemudian disuap ke mulut bayi, lapik dengan bantal agar selari dengan kedudukan mulut bayi kemudian ditinggalkan begitu sahaja. Sebaliknya menyusukan bayi perlukan perhatian sepenuhnya daripada pengasuh atau penjaga bermula daripada hisapan pertama hingga hisapan terakhir. Setelah selesai minum pula, bayi perlu disendawakan bagi memberikan keselesaan sepenuhnya kepada bayi. Saya yakin, proses wajib ini tidak dilakukan di dalam kes-kes tersedak susu dan saya juga yakin, ramai yang bersetuju jika saya katakan, pengasuh di dalam kes tersedak susu ini boleh dikaitkan dengan kes membunuh tanpa niat.

Bunyinya seakan keras dan mungkin zalim tetapi itulah hakikatnya. Jika kes-kes penculikan kanak-kanak boleh dikaitkan dengan kelalaian ibu bapa, kenapa kes tersedak susu ini tidak dikaitkan dengan kes kelalaian pengasuh malah kes tersedak adalah lebih tepat menunjukkan kelalaian pengasuh atau penjaga berbanding kes-kes penculikan kanak-kanak.

Saya bukan nak melawan takdir. Saya bukan nak memberontak keras mewakili ibu bapa bayi terlibat atau nak lebih-lebih meluahkan rasa berbanding mereka. Saya hanya inginkan pihak berwajib mengambil perhatian tentang perkara ini. Apakah nak tunggu hingga lebih banyak lagi kes bayi yang baru nak belajar hidup meninggal dek kerana tersedak susu? Nak tunggu lebih ramai ibu bapa yang baru sahaja belajar menumpahkan kasih sayang kepada bayi mereka, terpaksa menderita menerima hakikat bayi mereka tersedak susu? Bunyinya mudah, tersedak susu tetapi bagi seorang bayi, ia adalah perkara yang perlu dielakkan. Sebabnya? dah tentulah membahayakan nyawa sebab tu boleh membawa maut.

Saya pernah luahkan di dalam blog saya dan kali ini, sekali lagi saya ingin meluahkan rasa hati yang sama. Saya merayu kepada semua ibu bapa di luar sana, berhati-hati memilih pengasuh anak anda terutama jika anak anda itu masih seorang bayi yang tak mampu menceritakan apa juga tindakan pengasuh kepadanya. Carilah pengasuh yang hanya menjaga bayi anda sahaja agar sepenuh perhatian dapat diberikan kepada bayi anda. Jika anak anda di taska, pastikan juga perkara yang sama. Dalam masa yang sama juga, ada tikanya kita perlu benarkan orang menjaga tepi kain kita agar kita tidak menyesal di belakang hari. Malah sesekali lakukanlah pemeriksaan mengejut bagi memastikan segalanya di dalam keadaan selamat. Ya, berserah kepada Allah hanya setelah anda berikhtiar.

"Ya Allah!! Kau selamatkanlah anak-anak yang tak berdosa dan Kau ubahlah sikap mereka yang jahat dan berpura-pura agar ikhlas menyayangi anak-anak kami dan menjaga mereka dengan jujur. Jika mereka masih dengan kejahatan mereka, Kau berikan kami kesedaran agar kami tidak terlambat bertindak dan Kau berikan balasan setimpal dengan perlakuan mereka.. amin ya rabbal a'lamin...!!!!"

****Siaran Mac 2009

1 ulasan:

yangbaik berkata...

memang agak mendukacitakan sekiranya kejadian begini terusan berlaku. Ngeri rasanya mengingatkan hal sedemikian, tak lama lagi saya kan sambung kerja setelah menamatkan tempoh cuti bersalin. Pengasuh masih belum jumpa lagi, ada pembantu kat rumah pun tak berapa pandai nak jaga baby. Inilah antara dilema yang harus dihadapi oleh setiap ibu malahan juga bapa yang bekerja. sekian.