22 April 2011

Sentiasalah berkomunikasi dengan pasangan

Baru-baru ni, sepasang suami isteri berjumpa dengan saya. Melihat kepada kemesraan mereka, memang sukar dipercayai mereka sedang menghadapi situasi sengit di dalam perkahwinan. Mulanya, saya menjangkakan masalah salah faham biasa namun mengejutkan apabila si isteri meluahkan, dia dah tak ada perasaan terhadap suami. Bila ditanya sebabnya? Si isteri meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan sikap suami yang tidak peduli dengan kehendaknya – mohon bantuan dalam menguruskan anak-anak dan rumahtangga – malah si suami selalu ambil mudah dengan setiap permintaannya. Contohnya si isteri minta tolong suami pakukan gambar kat dinding tapi si suami dengan selamba bertanya: kerja abang ke tu?

Bukan sekali tapi banyak kali hinggakan si isteri dah bosan meminta tolong lalu segalanya dilakukan sendiri. Banyak kali juga bising tapi si suami akan buat tak peduli. Kadang-kadang si suami akan marah-marah, menuduh isteri nak mengajar dia pulak. Tambah menyakitkan hati bila si isteri tak cukup tangan dan tersilap atau terlewat sediakan sesuatu, si suami akan menempelak. Bila saya tanyakan, dah pernah bincang tentang semua ni? Jawapan yang saya terima amat menghampakan. Si isteri dah tak sanggup nak bersuara sebab suami tak peduli dan si suami pula, tak perasan pun kehendak si isteri – itu katanya lah. Saya yang baru dengar luahan si isteri, perasan air muka isteri yang tidak puas hati dengan kata-kata suami.

Itu saja alasannya? Saya masih mengorek. Ya lah, takkan sebab tu saja dah boleh hilang kasih sayang. Ramai lagi yang hadapi masalah serupa tapi tak terus hilang sayang. Lama isteri terdiam, kemudian si isteri bersuara: “Saya rasa sunyi di rumah sendiri. Anak kami ada tapi hanya saya dan anak-anak.“ “Suami?“ “Setiap hari balik kerja, dia akan tengok tv ataupun layan game. Lepas makan malam pulak, dia akan naik atas buat kerja dia. Saya dengan anak-anak ja lah.”
Selepas melafazkan ayat tersebut, wajah si isteri berubah dan tiba-tiba dia menangis. Sejak awal kahwin kak, bukan baru-baru ni ja. Dulu dia susah sangat nak sentuh saya sampaikan saya rasa saya ni tak berguna. Seminggu sekali pun susah. Lepas bersalin anak kedua, lagi lah. Kadang-kadang saya yang kena mulakan dan dia pernah menolak kak.”

Saya pandang si suami. “Saya sibuk la kak, saya kerja, belajar jugak. Sebab tu saya menolak.” Saya tak nak pertikaikan isu tersebut, cuma yang saya nak tau: “Pernah tak bincangkan pasal perkara ni sebelum ni?” Kedua-duanya menggeleng. Tepat jangkaan saya. Nasihat yang saya berikan kepada pasangan tersebut yang ingin saya kongsikan dengan pembaca semua kali ini. Hakikatnya, terlalu ramai yang tak ambil berat tentang komunikasi antara pasangan. Bukan saja suami, malah ada kes melibatkan isteri. Bagi mereka ini, cukuplah isteri atau suami tau statusnya sebagai isteri atau suami kepada seseorang, faham dengan kesibukan yang dialami dan pandai-pandailah bawa diri. Zaman serba maju, bergerak selangkah ja perlukan duit maka perlulah bekerja keras. Hmmm... kalau benar pun gitu pandangannya, kenapa perlu korbankan insan tersayang?

Kerjalah... belajarlah... buatlah apa saja yang anda suka tetapi jangan sampai meminggirkan pasangan dan anak-anak anda. Seperti pesanan saya kepada pasangan tadi, luangkan masa bersama pasangan dan anak-anak. Luangkan masa bukan bererti anda berada di rumah bersama pasangan dan anak-anak tetapi masing-masing melakukan aktiviti sendiri. Kalau 24 jam di rumah dengan cara begitu, anda masih dikategorikan sebagai gagal berkomunikasi dengan baik. Berkomunikasi bermaksud adanya pertukaran maklumat dan perasaan. Sama-sama berbual, bergurau, berkongsi idea dan buah fikiran, bergelak ketawa, makan bersama, beriadah bersama dan pelbagai aktiviti lagi yang dilakukan bersama-sama dalam keadaan yang mesra, bukannya membatukan diri seperti bangkai bernyawa.

Paling penting, perlu bijak uruskan jadual kerja anda. Praktikkan, masa bekerja seharian di pejabat adalah masa untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja anda. Bila waktu pejabat tamat, cepat-cepat pulang ke rumah walaupun masih ada kerja yang perlu diselesaikan. Jika perlu habiskan juga untuk hari itu, bawalah pulang ke rumah tetapi hanya lakukan kerja-kerja tersebut selepas selesai urusan anda dengan pasangan dan anak-anak anda. Apa urusannya? Solat jemaah bersama-sama, makan malam bersama-sama, berbual dengan pasangan dan anak-anak, bantu anak-anak lakukan kerja sekolah, lakukan hubungan intimasi dan bila segalanya telah selesai, berikanlah perhatian kepada kerja anda semula. Mungkin dalam lingkungan jam 10 atau 11 malam. Lewat? Biarlah terlewat sedikit, itulah namanya pengorbanan untuk yang tersayang.

Seperkara lagi, setiap pasangan perlu membiasakan diri untuk berterus terang. Luahkan segala ketidakpuasan hati anda kepada pasangan. Segala kerisauan, segala kebosanan, segala masalah. Jika semasa bercinta, boleh saja berkongsi masalah dan kerisauan, kenapa tidak teruskan selepas dah jadi pasangan yang sah? Sebaik-baiknya juga, khaskan satu masa dalam seminggu untuk setiap ahli keluarga berkumpul dan berbincang tentang apa juga perkara. Untuk suami isteri pula, khaskan masa antara 10 hingga 30 minit untuk berbincang dengan pasangan anda. Tika waktu itu, setiap individu perlukan tumpukan sepenuh perhatian kepada perkara yang dibentangkan. Jangan main-main, jangan ambil mudah walaupun perkara yang dibentangkan itu amat remeh bagi anda sebaliknya bagi orang lain, ia boleh jadi sesuatu yang amat sukar dan perlukan diberi perhatian. Lantas, sentiasalah berkomunikasi!!

****Siaran April 2009

3 ulasan:

farisha berkata...

saya juga mengalami masalah yg sama tetapi sy cuba untuk berkomunikasi dengan suami.cuba untuk mengajak dia berbincang sekiranya ada perkara yang saya tidak puas ati. tetapi sebaliknya dianggap bebelan oleh suami. setiap perkataan yang keluar dari mulut saya atau teguran saya dianggap bebelan olehnya. dan kemudian dia mencari perempuan lain yang dikatakan tidak "membebel" seperti saya dengan alasan bosan dengan sikap saya.

rosejack berkata...

Salam,
'komunikasi itu penting' sy sgt2 setuju kak, pd sy tak kiralah dlm keluarga,tmpt kerja, dgn ibu bapa n dimana shaja lah 'komunikasi sgt penting'....
dlm kes d ats cthnya perlu sedar dr awl, sekiranya dr awl lg kita bw berbincg n saling meluah kan apa yg kita rasa mgkn permasalahan ini x panjang. org lelaki mmg sukar meluah kan perasaan tp klu kita slalu meluahkan pd dia lama2 dia jg akn jd begitu pd kita, tp bw bebincanglah bkn betekak atau marah2 krn nnt x akn membawa penyelesaian jgk....btul x kak su??

haziq harraz berkata...

Mohon share ...tq